Translate

Sunday, November 5, 2023

Pelajar tahfiz maut akibat lemas di Dataran Banggol Cempedak

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar pusat tahfiz berusia 15 tahun lemas ketika mandi di Sungai Terengganu berhampiran Dataran Banggol Cempedak di sini hari ini.

Tiga rakan mangsa yang juga pelajar pusat tahfiz itu termasuk seorang dilaporkan kritikal dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, mayat Ahmad Mujahid Al-Faruqi Haimi, 15, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9.10 malam.

“Tiga lagi rakan mangsa berusia antara 14 hingga 16 tahun yang turut mandi sungai sewaktu kejadian berjaya diselamatkan sebelum itu sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

“Salah seorang daripada mereka iaitu Mohd. Abdul Rahman Mohd. Soud, 15, terpaksa ditidurkan dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital sama,” katanya di sini hari ini.

Rozizah berkata, mayat Ahmad Mujahid Al-Faruqi juga telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut.

Difahamkan sebelum kejadian, empat mangsa yang merupakan pelajar sebuah pusat tahfiz di Bukit Payung, Marang terlibat dalam persembahan qasidah sempena Festival Warisan Air di Dataran Banggol Cempedak. - KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment