Translate

Tuesday, July 31, 2018

UMT terima penghargaan

IKTIRAF. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai RM1,000 dalam pertandingan Universiti Awam Bebas Denggi sempena Sambutan Hari Denggi ASEAN yang diadakan di Sekolah Rendah Agama Kampung Sungai Ara, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

 Pengarah Pusat Kesihatan UMT, Dr. Arnie A. Rahim berkata, pertandingan yang disertai 20 institusi pengajian tinggi tempatan itu merupakan anjuran Kementerian Kesihatan dan proses penjurian telah dilakukan di kampus induk UMT di Kuala Nerus, Terengganu pada 24 April lalu.

 “Universiti Utara Malaysia muncul johan pertandingan terbabit sementara Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah masing-masing di tempat kedua dan ketiga,” katanya.

Kerajaan ambil pendekatan berhemah atasi masalah LGBT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan mengambil pendekatan berhemah untuk mengatasi masalah kecelaruan hidup melibatkan orientasi seks songsang dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, berdasarkan tinjauan, dianggarkan 80 peratus daripada golo­ngan terjebak dalam orientasi seks songsang terutamanya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) terlibat dalam industri pelacuran.

“Kita perlu menyantuni golongan ini bagi memahami masalah mereka sebagai langkah penyelesaian jangka panjang untuk membantu mereka kembali kepada fitrah.

“Diskriminasi dan undang-undang tidak selesaikan masalah kerana akan menyebabkan golo­ngan ini semakin jauh,” katanya selepas merasmikan Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari di sini semalam.

Mujahid memberitahu, golongan LGBT yang berjaya dikeluarkan daripada aktiviti songsang perlu dibantu berdikari dari segi pendidikan dan mo­dal perniagaan.

“Setakat ini hampir 2,000 golongan itu telah tampil secara sukarela dalam program pemulihan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di seluruh negara,” ujar beliau.

Pegawai Teknikal Syarikat Air Terengganu disyaki subahat kes tuntutan palsu ditahan SPRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGANU - Sehari selepas seorang kontraktor Syarikat Air Terengganu (Satu) ditahan untuk membantu siasatan kes tuntutan palsu, giliran seorang pegawai teknikal syarikat pembekalan air negeri itu pula ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Sumber SPRM, suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 1 tengah hari kerana disyaki berpakat dengan kontraktor terbabit melibatkan penipuan tuntutan kerja-kerja membaiki bumbung garaj Depoh Agihan Satu Gong Badak, Kuala Nerus yang sebenarnya tidak disiapkan.

"Lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM11,060 yang disyaki dilakukan seorang kontraktor berusia 50 tahun pada Disember lalu.

"Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Noor Adila Abd. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Kosmo! Online semalam melaporkan seorang kontraktor Satu ditahan reman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu pada tahun lalu. - K! ONLINE

Kontraktor Syarikat Air Terengganu disyaki buat tuntutan palsu ditahan SPRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu pada tahun lalu.
Perintah reman terbabit dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Noor Adila Abd. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang berusia 50 tahun tersebut disyaki mengemukakan tuntutan palsu tersebut kepada Satu pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata, lelaki tersebut disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM11,060 berhubung kerja-kerja mengubahsuai bumbung garaj Depoh Agihan Satu Gong Badak, Kuala Nerus yang sebenarnya tidak disiapkan kepada syarikat pembekalan air Terengganu. - K! ONLINE

UMT, CME jalin kerjasama

JARINGAN INDUSTRI. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama strategik dengan Centre of Maritime Excellence Sdn. Bhd. (CME) yang merupakan syarikat menjalankan latihan dalam aktiviti maritim di kampus UMT, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

 Pengarah Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri UMT, Dr. Mohd. Nizam Lani berkata, kerjasama tersebut membolehkan pelajar institusi pengajian tinggi tersebut menjalani latihan industri dengan CME.

 “Ketua Pegawai Eksekutif CME, Datuk Jaafar Lamri turut meluahkan minat untuk berkolaborasi bagi membangunkan sumber manusia dalam bidang maritim bukan dalam kalangan pelajar malah turut melibatkan tenaga pengajar UMT,” katanya.

Monday, July 30, 2018

Penganggur rogol dan liwat anak tiri dipenjara 27 tahun, 15 sebatan

KEMAMAN - Perbuatan durjana seorang lelaki mengkhianati amanah dengan merogol dan meliwat anak perempuan tirinya yang berusia lapan tahun dalam dua insiden berasingan baru-baru ini berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 27 tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh yang merupakan seorang penganggur berusia 54 tahun mengaku bersalah setelah kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan perbuatan merogol mangsa yang merupakan murid tahun dua di sebuah sekolah di daerah ini antara 1 hingga 22 Jun lalu manakala bagi perbuatan liwat pula, ia didakwa berlaku di rumah mereka di daerah ini pada 13 Julai lalu.

Bapa tiri mangsa didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C akta sama kerana melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Marsilawati Mohamad Shah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. - K! ONLINE

Sindiket jual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam dikesan APMM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) mengesan kegiatan sindiket didalangi warga tempatan yang disyaki menjual hasil ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam di tengah laut di sekitar perairan Pantai Timur termasuk Terengganu.

Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, berdasarkan risikan, sindiket berkenaan menjual hasil tangkapan ikan premium seperti kerapu, siakap, kurau dan yu kepada nelayan Vietnam terbabit manakala cuma membawa pulang ikan berkualiti biasa dan rendah ke jeti-jeti nelayan di negeri ini.

"Bukan satu tetapi banyak sindiket disyaki terlibat dalam perbuatan menjual ikan berkualiti tinggi kepada nelayan Vietnam di tengah laut. Saya percaya perbuatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai antara punca harga ikan di Terengganu lebih mahal berbanding negeri-negeri lain," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammad Sufi berkata, perbuatan tersebut dipercayai untuk mengaut keuntungan besar secara mudah kerana harga ditawarkan nelayan Vietnam agak tinggi berikutan permintaan tinggi terhadap ikan-ikan berkualiti premium terbabit untuk dieksport termasuk ke negara-negara Eropah.


Tambah beliau, setakat ini, sebanyak 105 bot nelayan Vietnam merangkumi 29 di perairan Pahang, Terengganu dan Kemaman (55) dan Kelantan (21) berjaya ditahan APMM sejak awal tahun ini. - K! ONLINE

Kakitangan IKH, Indonesia bakal ikuti program pascasiswazah di UniSZA

KERJASAMA STRATEGIK. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoA) dengan Institut Kesihatan Helvetia (IKH), Medan, Indonesia di kampus UniSZA Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, perjanjian yang ditandatanganinya bersama Rektor IKH, Dr. H. Ismail Efendi M. Si itu berhubung aspek penyeliaan pelajar dan penyelidikan.

“Kakitangan IKH akan diterima untuk melanjutkan pelajaran dalam peringkat Sarjana Sains dan Doktor Falsafah di UniSZA mengikut terma dan perjanjian yang ditetapkan dalam MoA berkenaan,” katanya.

250 pelajar UniSZA meriahkan Larian Warna-Warni

CERIA. Seramai 250 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memeriahkan program Larian Warna-Warni di Tembila, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah program, Mohd. Farid Hamdan berkata, larian warna-warni yang julung-julung kali diadakan itu dirasmikan Pemangku Pengarah UniSZA Kampus Besut, Prof. Madya Dr. Khamsah Suryati Mohd.

“Program ini bertujuan mengumpul dana Tabung Komuniti UniSZA Kampus Besut selain memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar universiti,” katanya.

Sunday, July 29, 2018

UniSZA-Unas bekerjasama kaji tanaman herba nusantara

KERJASAMA. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menandatangani memorandum perjanjian dengan Universitas Nasional Indonesia (Unas) berhubung kerjasama penyelidikan tanaman herba di kampus Unas, Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, kerjasama tersebut melibatkan kajian terhadap tanaman ubat-ubatan dan herba yang terdapat di Malaysia dan Indonesia oleh penyelidik kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut dalam tempoh tiga tahun.

“Kerjasama ini juga akan melibatkan pertukaran pelajar dan pensyarah antara UniSZA dan Unas sepanjang program penyelidikan terbabit,” katanya.

Saturday, July 28, 2018

Kosiswa UMT adakan mesyuarat agung tahunan

UNTUNG. Koperasi Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Berhad (Kosiswa UMT) mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali kelapan di Hotel Ann Trasit, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Bendahari Kosiswa UMT, Tengku Nuriah Tengku Abdul Rahman berkata, seramai 15 ahli lembaga termasuk enam muka baharu telah dilantik untuk menerajui penggal baharu koperasi tersebut pada AGM berkenaan.

“AGM itu juga mengumumkan pengagihan 12 peratus dividen kepada ahli yang juga merupakan tertinggi dalam tempoh lapan tahun penubuhannya,” katanya.

Friday, July 27, 2018

Ambilan pertama staf Hospital UniSZA tahun depan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yang sedang giat dalam pembinaan bakal memulakan pengambilan pertama kakitangan pada pertengahan tahun depan.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, pengambilan perintis kakitangan hospital itu melibatkan 70 orang meliputi pelbagai perjawatan termasuk staf sokongan seperti doktor perubatan, doktor siswazah, jururawat, paramedik, pengawal keselamatan dan jurulandskap.

“Jabatan Perkhidmatan Awam telah memberi arahan agar memulakan pengambilan kakitangan bagi Hospital Pengajar UniSZA yang dijangka diisi sebahagian besarnya oleh penduduk setempat pada Julai 2019.

“Pembinaan Hospital Pengajar UniSZA yang bermula pada 21 Mac 2016 kini telah siap 25 peratus. Walaupun setakat ini, kemajuannya lewat dua hari tetapi kita yakin ia dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual asal iaitu pertengahan tahun 2020,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Staf UniSZA di sini semalam.

Antara penerima anugerah kecemerlangan pada majlis yang turut dihadiri Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd. Yusof Noor ialah Prof. Dr. Che Abdullah Abu Bakar dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan atas sumbangannya terlibat dalam penyelidikan pembuatan nasi dagang sejuk beku yang kini telah dikomersialkan termasuk pasaran Britain dan Australia.

Ahmad Zubaidi berkata, Hospital Pengajar UniSZA yang menelan kos pembinaan kira-kira RM600 juta bakal mempunyai 200 katil dan berkonsepkan Smart Hospital iaitu diintegrasi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi.

Berdasarkan kapasiti hospital terbabit, seramai hampir 2,000 kakitangan daripada pelbagai perjawatan diperlukan.

Thursday, July 26, 2018

EPIC raih hasil RM273 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Loji jana kuasa tenaga solar milik syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Bhd. (EPIC) mula beroperasi secara rasmi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, loji jana kuasa terbesar di negara ini memiliki kapasiti sehingga 18.5 megawatt (MW).

Ia dibina di tapak berkeluasan 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.

Menurut Noor Fadzil, projek itu dibangunkan bersama firma swasta tempatan, MIE Industrial Sdn. Bhd. dengan kos sebanyak RM86 juta.

“Tenaga solar yang terhasil dari loji berkenaan akan disalurkan ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

“Sepanjang tempoh perjanjian yang akan berakhir sehingga tahun 2039 itu, EPIC menyasarkan untuk menjana pendapatan sebanyak RM273 juta atau kira-kira RM13 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran loji jana kuasa tenaga solar itu di Teluk Kalong di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Noor Fadzil menjelaskan, penglibatan EPIC dalam industri bekalan tenaga baharu secara besar-besaran di wilayah Pantai Timur merupakan salah satu strategi syarikat untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Ia juga bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan berasaskan minyak dan gas.

Menurut beliau, projek penjanaan tenaga solar berkenaan diharap bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada ekonomi negeri Terengganu secara berte­rusan tetapi turut merancakkan pembangunan Kawasan Perindustrian Teluk Kalong di sini.

“Penjanaan tenaga solar ini juga dapat memberi manfaat kepada pengguna domestik dan komersial di sekitar daerah ini,” katanya.

Wednesday, July 25, 2018

Kelantan tersingkir ke Liga Premier

MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARIAH KHALIDI

KUALA TERENGGANU - Kelantan sah tersingkir ke Liga Premier musim depan selepas tumbang 0-2 di tangan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Biar pun masih berbaki satu perlawanan, skuad The Red Warriors yang sekadar mampu mengutip 15 mata sepanjang musim ini tidak mampu lagi mengejar Selangor di tangga ke-10 sekali gus memusnahkan misi keluar dari zon penyingkiran.

Kali terakhir Kelantan yang pernah menjuarai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 beraksi di Liga Premier ialah pada 10 tahun lalu.

Turut mengiringi skuad bimbingan Yusri Che Lah mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super ialah Negeri Sembilan yang turut berkongsi 15 mata.

Bagi TFC I pula, kemenangan tipis itu membolehkan skuad Penyu kembali ke tangga keempat liga dan berkongsi 34 mata dengan Pahang di tangga ketiga.

Penyerang sensasi TFC I, Tchetche Kipre meledak gol pertama tuan rumah menerusi rembatan kencangnya pada minit ke-44.

Penjaga gawang Kelantan, Mohd. Shahrizan Ismail tewas buat kali kedua selepas gagal menahan rembatan deras pemain pertahanan tuan rumah, Mohamad Kamal Azizi Mohamad Zabri para minit ke-53.

TFC I berpeluang menambah gol ketiga namun Kipre gagal menyempurnakan tendangan penalti yang meliar melepasi palang gawang Kelantan pada minit ke-84. - K! ONLINE

Constant buka 10 outlet baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Syarikat bio­teknologi tempatan, Bio­alpha Holdings Bhd. (Bioalpha) menyasarkan untuk membuka 10 lagi cawangan farmasi Constant di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Bioalpha, Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, sehingga kini, syarikat memiliki sebanyak 20 farmasi Constant untuk memasarkan produk keluaran syarikat itu yang berjenama Apotec dan Nushine yang dibuka secara francais di seluruh negara termasuk tiga di Terengganu.

Menurutnya, sebanyak 50 pe­ratus daripada pasaran produk Bioalpha yang diperbuat daripada herba tradisional itu ditawarkan untuk pasaran domestik, manakala selebihnya 25 peratus di Indonesia, China (20 peratus) dan lain-lain negara (lima peratus).

“Kami mempunyai 300 produk suplemen seperti penjagaan kecantikan, kulit dan obesiti dan peningkatan imuniti badan yang mana sebahagian daripada bahan asasnya diperoleh dari dua buah taman herba di Pasir Raja dekat sini dan di Desaru, Johor.

“Tanaman herba tradisional yang memiliki keluasan sehingga 528.12 hektar itu ditanam dengan tongkat ali, kacip fatimah, betik sekaki, misai kucing, dukung anak, roselle, hempedu bumi dan ia kini mula dituai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja dekat sini semalam.

Majlis tersebut telah di­sempurnakan Sultan Terengga­nu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Abdul Rahman menjelaskan, sehingga kini, taman herba Pasir Raja dan Desaru tersebut telah mengeluarkan sebanyak 300 met­­rik tan herba tradisional setahun dan ia digunakan sebagai bahan asas produk Bioalpha.

Tambah beliau, syarikat me­nyasar untuk mengoptimumkan lagi baki tanah kosong di kedua-dua taman herba itu.

Katanya, ini sekali gus me­ningkatkan hasil tuaian sehingga 2,000 metrik tan setahun menjelang tahun 2020.

“Bioalpha turut menjalin kerjasama dengan Wilayah Eko­­nomi Pantai Timur untuk membantu seramai  30 petani kontrak dalam kalangan penduduk setempat di Pasir Raja bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Hasil tanaman herba terbabit akan dijual kepada Bioalpha, penghasilan sendiri bahan asas membolehkan kami menjimatkan kos operasi,” katanya.

Tuesday, July 24, 2018

APMM tahan dua lagi bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua lagi bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan Terengganu semalam.

Penahahan dua bot nelayan Vietnam tersebut yang dipercayai menangkap ikan secara haram di perairan negara dengan menggunakan pukat gading tersebut berjaya merampas hasil laut, minyak diesel dan peralatan dianggarkan bernilai RM3 juta.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, aktiviti dua bot nelayan asing itu berjaya dikesan kapal peronda, KM Pekan yang sedang melakukan rondaan pada kedudukan lebih kurang 58 batu nautika dari muara Kuala Terengganu dekat sini.

"Salah sebuah bot nelayan itu cuba melepaskan diri dengan memecut laju namun berjaya dipintas KM Pekan pada jarak kira-kira empat batu nautika dari lokasi pertama tidak lama kemudian.

"Seramai 23 kru termasuk dua tekong berusia dalam lingkungan 19 hingga 51 tahun yang kesemuanya warga Vietnam juga telah berjaya ditahan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.


Turut hadir Pengarah Maritim Wilayah Timur, Zulkarnain Mohd Omar dan Pengarah Maritim Terengganu, Rahim Ramli. - K! ONLINE

Monday, July 23, 2018

Rumah terbakar, sekeluarga rugi RM200,000

DUNGUN - Sebuah keluarga kerugian hampir RM200,000 setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Wa dekat sini semalam.

Kebakaran pada pukul 3 petang itu turut memusnahkan pelbagai barangan berharga milik keluarga Abdul Wahab Idris,59, seperti barangan kemas dianggarkan bernilai RM100,000, wang tunai (RM20,000) dan empat buah motosikal.

Isteri Abdul Wahab, Rohana Khalid, 54, berkata, dua tempayan penuh duit syiling yang disimpan bertahun-tahun turut hangus dalam kebakaran terbabit.

"Sewaktu kejadian, saya baru selesai menunaikan solat Zuhur manakala anak saya (Rohaida, 35) dan dua cucu berusia empat dan enam tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Saya dan anak (Rohaida) segera membawa dua cucu saya menyelamatkan diri keluar dari rumah yang sedang marak terbakar menerusi pintu dapur," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Rohana berkata, sewaktu kejadian, suaminya, Abdul Wahab yang merupakan seorang buruh sedang bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumah mereka. - K! ONLINE

Bioalpha sasar tambah 10 farmasi Constant menjelang akhir tahun

MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN - Syarikat bioteknologi tempatan, Bioalpha Holding Berhad (Bioalpha) menyasar untuk menambah 10 lagi cawangan farmasi Constant di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengerusi Bioalpha Holding Berhad (Bioalpha), Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata, setakat ini, terdapat 20 farmasi Constant bagi memasarkan produk keluaran syarikat itu jenama Apotec dan Nushine yang dibuka secara francais di seluruh negara termasuk tiga di Terengganu.

Beliau berkata, sebanyak 50 peratus daripada pasaran produk Bioalpha yang diperbuat daripada herba tradisional di pasarkan di pasaran domestik selebihnya 25 peratus di Indonesia, China (20 peratus) dan lain-lain negara (lima peratus).

"Kami mempunyai 300 produk suplemen seperti penjagaan kecantikan, kulit dan obesiti dan peningkatan imuniti badan yang sebahagian bahan asasnya didapati di dua taman herba di Pasir Raja dekat sini dan Desaru, Johor.

"Tanaman herba tradisional tersebut seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Betik Sekaki, Misai Kucing, Dukung Anak, Roselle dan Hempedu Bumi yang ditanam di sebahagian daripada 528.12 hektar tanah terdapat di kedua-kedua taman herba terbabit sudah mula ditunai hasilnya," katanya selepas menyaksikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja dekat sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Seri Jebasingam Issace John. - K! ONLINE

Insan cacat penglihatan rajin menderma darah terima pengiktirafan Kementerian Kesihatan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kekurangan diri sebagai insan cacat penglihatan tidak menjadi halangan buat Mohd. Zamzuri Ariffin, 46, untuk menderma darah secara konsisten sejak sedekad lalu.

Niat murni beliau yang berasal dari Batu Burok di sini secara sukarela menderma darah pada setiap kali bulan Ramadan sejak tahun 2008 menarik perhatian Kementerian Kesihatan untuk mengiktirafnya pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan tahun ini.

"Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk menderma darah pada kempen bergerak dianjurkan Jabatan Kesihatan negeri di Masjid Batu Burok di sini setiap kali bulan Ramadan sejak 10 tahun lalu.

"Terdetik hati untuk menderma darah kerana inilah satu-satu cara saya untuk menolong insan lain. Saya sedar sebagai insan cacat penglihatan dan kurang senang, kemampuan saya untuk membantu masyarakat dari sudut lain agak terhad," katanya selepas menerima Anugerah Khas pada majlis sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan di sini malam tadi.


Mohd. Zamzuri yang masih bujang menerima sijil penghargaan dan plak daripada Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad. - K! ONLINE

Sunday, July 22, 2018

Dua lagi negeri sokong Anwar

Oleh ZULKIFLI MANZOR, AZLI ADLAN dan SYALMIZI HAMID

SEBERANG PERAI – Keputusan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawarkan diri sebagai calon Presiden PKR bagi pemilihan parti itu September ini terus mendapat sokongan beberapa PKR negeri.

PKR Pulau Pinang dan PKR Negeri Sembilan menjadi dua negeri terbaru yang bersetuju dan menyokong keputusan Anwar untuk kembali aktif dalam dunia politik.

Sejak menawarkan diri bertanding kerusi nombor satu PKR, enam pimpinan negeri sudah menyatakan sokongan kepada Anwar antaranya PKR Terengganu, Johor, Perlis dan Kelantan.


Di Pulau Pinang, Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman berkata, ahli-ahli parti berkenaan telah lama menanti Anwar untuk kembali mengemudi parti dan seterusnya me­mimpin negara. 
“Kepimpinan beliau diyakini boleh memantapkan parti bagi menghadapi cabaran dalaman mahupun luaran,” katanya semalam.

Sementara itu, di Negeri Sembilan, PKR negeri itu turut  menyambut baik hasrat Anwar menawarkan diri bertanding jawatan Presiden PKR.

Pengerusinya, Aminuddin Harun berkata, PKR Negeri Sembilan sangat yakin dan percaya bahawa Anwar layak memegang jawatan tersebut berdasarkan jasa dan pengorbanan beliau kepada parti, rakyat dan negara.

Sementara itu, di Terengganu, kepimpinan PKR negeri mencadangkan agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan untuk memberi laluan kepada Anwar.

Ahad lalu, Anwar bersetuju menawarkan diri merebut kerusi Presiden selepas berbincang dan dipersetujui dengan iste­rinya yang juga Presiden ketika ini, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Saturday, July 21, 2018

Kementerian Kesihatan sasar tiga peratus rakyat Malaysia menderma darah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Kesihatan menyasar untuk meningkatkan bilangan penderma darah dalam kalangan rakyat negara ini kepada sekurang-kurangnya tiga peratus dalam tempoh lima tahun.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, hanya 2.2 peratus daripada rakyat negara ini merupakan penderma darah dan ia masih rendah berbanding negara-negara maju.

"Sebagai pengkongsian, Pusat Darah Negara berjaya mengumpul 694,473 beg darah pada tahun lalu dengan 67 peratus daripadanya diterima daripada penderma darah tetap.

"Ini bermakna cuma 228,145 orang penderma darah baharu tampil pada tahun 2017. Saya berharap golongan ini akan kekal menjadi penderma darah tetap dan tempoh yang ideal  ialah tiga bulan sekali,"  katanya selepas menghadiri sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat kebangsaan di sini malam tadi.


Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Norhayati Abu Amin.- K! ONLINE

Friday, July 20, 2018

PKR Terengganu cadang Anwar dipilih Presiden PKR tanpa bertanding

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mencadangkan agar jawatan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim

Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail berkata, Anwar perlu diberi penghormatan untuk mengisi jawatan presiden tanpa bertanding berikutan statusnya sebagai calon Perdana Menteri menanti.

"Pakatan Harapan sebelum ini secara konsensus telah bersetuju Datuk Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri yang akan menggantikan Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam tempoh tertentu.

"Oleh itu, wajar beliau (Anwar) diberi penghormatan untuk berada di barisan kepimpinan parti (PKR) sebagai Presiden," katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Keadilan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Azan berkata, syor agar jawatan Presiden PKR tidak dipertandingkan tersebut tidak bermakna parti tersebut telah membelakangkan prinsip demoraksi yang dilaung-laungkan selama ini.

Ujar beliau, konsensus iaitu kesepakatan secara bersama dalam sesuatu isu seperti pemilihan Presiden ini juga merupakan ciri-ciri demoraksi aras tinggi.


Dalam pada itu, PKR Terengganu sebulat suara juga mencadangkan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR pada masa ini dipilih untuk mengisi jawatan ketua umum parti yang bakal dikosongkan Anwar. - K! ONLINE

Thursday, July 19, 2018

MATTA bantu promosi pakej baharu pelancongan Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan membantu kerajaan negeri Terengganu menyediakan pakej baharu bagi mempromosi produk pelancongan negeri itu selain pulau.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, walaupun Terengganu mempunyai banyak tarikan pelancongan, sebahagian besar daripada 4.79 juta pelancong terutama dalam kalangan warga asing yang melawat negeri itu setiap tahun tertumpu kepada pulau-pulau peranginan.

"Rangkaian pulau-pulau peranginan di Terengganu seperti Pulau Perhentian, Redang, Kapas dan Lang Tengah sememangnya sudah lama terkenal dalam kalangan pelancong namun perlu ditutup operasi dari bulan November hingga Februari setiap tahun ekoran musim tengkujuh.

"Sehubungan itu, kita perlu pakej unik untuk menarik pelancong melawat daratan Terengganu pula yang tidak kurang menariknya terutama pada empat bulan berkenaan," katanya selepas menghadiri majlis perasmian pejabat baharu MATTA Terengganu di Dataran Panji di sini hari ini.

Pejabat operasi bersaiz lebih kurang 2,000 meter persegi dan anatara terbesar di negara tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman. - K! ONLINE


habis

Sedia taja tangan palsu untuk Nur Zulaikha

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu bersedia menaja sepenuhnya pemasangan tangan palsu buat seorang kanak-kanak yang putus tangan kirinya akibat tersepit pada rim motosikal dalam kejadian Khamis lalu.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib yang me­nimpa Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, yang kehilangan anggota penting itu dalam ­kemalangan tersebut.

“Sumbangan pemasangan tangan palsu tersebut diharap dapat membantu dia untuk meneruskan kehidupan se­perti biasa selepas ini,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Nur Zulaikha kehilangan ta­ngan kiri sehingga paras bahu akibat tersepit pada rim motosikal yang ditunggang sepupunya di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang.

Kejadian pada pukul 9.30 malam itu dipercayai berlaku selepas baju sejuk bersaiz dewasa yang dipakai mangsa tersangkut pada rim motosikal tersebut.

Menurut Ahmad Samsuri, beliau berharap keluarga kanak-kanak itu tabah meneri­ma ujian tersebut dan tidak putus-putus untuk memberi semangat kepada mangsa agar terus cekal menghadapi kehidupannya yang masih panjang.

Sementara itu, bapa Nur Zulaikha, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, pakar perubatan memberitahu, keputusan tahap kecederaan tangan kiri anak sulungnya tersebut dijang­ka diketahui hari ini.

“Doktor beritahu balutan luka tangan kiri anak saya yang putus akan dibuka esok (hari ini). Keputusan sama ada dia boleh memakai ta­ngan palsu juga akan diketahui pada hari sama,” ­katanya.

Wednesday, July 18, 2018

Pengambilan kakitangan Hospital Pengajar UniSZA bermula pertengahan tahun depan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini yang sedang giat dalam pembinaan bakal memulakan pengambilan pertama kakitangan pada pertengahan tahun hadapan. 

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, pengambilan perintis kakitangan hospital itu melibatkan 70 orang meliputi pelbagai perjawatan termasuk staf sokongan seperti doktor perubatan, doktor siswazah, jururawat, paramedik, pengawal keselamatan dan jurulandskap.

"Jabatan Perkhidmatan Awam telah memberi arahan agar memulakan pengambilan kakitangan bagi Hospital Pengajar UniSZA yang dijangka diisi sebahagian besarnya oleh penduduk setempat pada Julai 2019.

"Pembinaan Hospital Pengajar UniSZA yang bermula pada 21 Mac 2016 kini telah siap 25 peratus. Walaupun setakat ini, kemajuannya lewat dua hari tetapi kita yakin ia dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual asal iaitu pertengahan tahun 2020," katanya selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Staf UniSZA di sini hari ini.


Turut hadir Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Mohd. Yusof Noor. - K! ONLINE

Loji Janakuasa Tenaga Solar terbesar negara milik EPIC mula beroperasi

MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Loji Janakuasa Tenaga Solar berkapasiti 18.5 Megawatt (MW) milik syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) yang terbesar di negara ini mula beroperasi secara rasmi hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, syarikatnya berkerjasama dengan firma swasta tempatan, MIE Industrial Sdn. Bhd. yang berperanan sebagai pembawa teknologi untuk membina loji janakuasa tenaga solar tersebut di tapak berkeluasan 28.35 hektar di Teluk Kalong di sini.

Beliau berkata, tenaga solar berkapasiti 18.5 MW yang terhasil daripada loji yang menelan kos RM86 juta terkenaan disalurkan ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tempoh 21 tahun.

"Penyaluran tenaga kepada TNB di loji janakuasa tenaga solar tersebut telah bermula pada 23 Mac lalu.

"Sepanjang 21 tahun tempoh perjanjian sehingga tahun 2039, EPIC menyasar untuk menjana pendapatan sebanyak RM273 juta atau kira-kira RM13 juta setahun," katanya selepas menyaksikan majlis pelancaran loji janakuasa tenaga solar itu di Teluk Kalong di sini hari ini.


Pelancaran loji kanakuasa tenaga solar berkapasiti 18.5 MW itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. - K! ONLINE

Tuesday, July 17, 2018

APMM mahu kemuka bantahan diplomatik atas pencerobohan nelayan Vietnam

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) bercadang untuk mengemukakan bantahan diplomatik berhubung pencerobohan nelayan Vietnam yang semakin menjadi-jadi di perairan negara sejak akhir-akhir ini kepada Kesatuan Eropah (EU) pada masa terdekat.

Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, surat bantahan yang akan dikemukakan kepada EU pada masa terdekat itu akan mencadangkan agar produk hasil laut dari negara jiran tersebut dikenakan 'kad merah' iaitu pelarangan eksport ke negara-negara Eropah.

Beliau berkata, sebelum ini, EU telah mengenakan 'kad kuning' kepada Vietnam sebagai amaran berikutan tindakan nelayan negara itu melakukan pencerobohan ke perairan negara-negara asing termasuk Malaysia pada Oktober tahun lalu.

"APMM berpendapat Vietnam patut dikenakan 'kad merah' oleh EU kerana pihak berkuasa Vietnam tidak cukup berusaha untuk mengatasi masalah pencerobohan tersebut. Setakat 15 Julai lalu (Ahad lalu), sebanyak 78 bot nelayan negara jiran itu berjaya ditahan kerana menceroboh perairan negara meliputi Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

"Sepucuk surat penjelasan juga telah dihantar APMM kepada pihak berkuasa Vietnam pada Sabtu lalu setelah radar mengenalpasti lebih 200 bot nelayan negara itu telah menceroboh perairan negara pada cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Terengganu di sini hari ini.


Zulkifli berkata, pencerobohan nelayan Vietnam tersebut serius kerana berdasarkan statistik, APMM telah berjaya menahan 690 bot nelayan negara tersebut yang mengakibatkan kehilangan hasil laut negara sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun sejak tahun 2006. - K! ONLINE

40 pelajar sekolah jayakan sambutan Hari Penyu Sedunia

DIDIK. Seramai 40 pelajar Sekolah Menengah Swasta Saleha Genting Highlands menjayakan sambutan Hari Penyu Sedunia di Resort World Kijal, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah program, Indra Arumugam berkata, program tajaan Genting Malaysia Bhd. itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan penyu yang kini diancam kepupusan dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan para peserta program ialah mempelajari kerja-kerja pemuliharaan penyu seperti proses pengutipan dan pengeraman telur, gotong-royong membersihkan Pantai Kijal, Kemaman dan taklimat daripada pegawai Jabatan Perikanan Terengganu.

Monday, July 16, 2018

Menteri Besar Terengganu dilantik Presiden PBSNT secara automatik

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar secara automatik dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Ia berikutan 57 ahli gabungan PBSNT bersetuju sebulat suara meminda perlembagaan badan induk bola sepak negeri itu berhubung pelantikan presiden pada kongres luar biasa (EGM) di sini hari ini.

Bekas Presiden PBSNT, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pindaan terhadap Artikel 33 dan 39  tersebut memperuntukkan jawatan presiden badan induk bola sepak negeri kini dikhususkan kepada Menteri Besar Terengganu.

"Pindaan tersebut juga memberi kuasa kepada Presiden PBSNT untuk melantik Timbalan Presiden I.

"Ia bertujuan untuk memberi kekuatan kepada persatuan bola sepak ini bagi meneruskan kecemerlangan yang sedang di capai dalam kancah bola sepak tempatan," katanya pada sidang akhbar  selepas mempengerusikan EGM PBSNT di sini hari ini.


Sebelum ini, pemilihan semua jawatan tertinggi PBSNT termasuk presiden adalah terbuka dan dilakukan secara pengundian oleh ahli gabungan pada mesyuarat agung tahunan. - K! ONLINE

Sunday, July 15, 2018

Bakal guru jalani ujian psikiatri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Kementerian Pendidikan tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan ujian psikiatri terhadap bakal guru sebagai inisiatif bagi mengurangkan kes-kes jenayah seksual seperti cabul terhadap pelajar.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, ujian tersebut sebagai saringan bagi memastikan tiada individu yang mempunyai kecenderungan pedofilia diterima sebagai guru.

“Itu (ujian psikiatri) merupakan cadangan yang baik dan akan diteliti dengan lebih lanjut. Kementerian tidak akan bertoleransi dan memberi muka terhadap mana-mana pihak melakukan jenayah termasuk pedofilia,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengulas pendedahan seorang aktivis sosial yang mendakwa dua orang murid telah dicabul seorang guru sewaktu mengikuti kursus satu mata pelajaran di sebuah resort baru-baru ini.

Maszlee berkata, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap setiap aduan jenayah seksual murid yang dilaporkan termasuk kes terbaharu yang dilaporkan kelmarin.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi menerusi laman Twitternya mendakwa, kes cabul ber­kenaan telah diketahuinya sejak April lalu namun melalui laluan sukar untuk dibawa ke muka pengadilan berikutan tiada sokongan sehinggalah dua murid berkenaan membuat pengakuan kepada ibu bapa masing-masing.

 Susulan itu, dua laporan polis telah dibuat dan guru itu ditahan reman beberapa hari lalu.

Saturday, July 14, 2018

Kerajaan negeri Terengganu sedia taja tangan palsu Nur Zulaika

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Keputusan sama ada Nur Zulaika Khumaira Zulkifli, 7, boleh memakai tangan palsu dijangka diketahui pada esok.

Bapanya, Zulkifli Mohamad, 38, berkata, balutan luka pada tangan kiri anak sulungnya yang putus sehingga hampir paras bahu akan dibuka esok.

"Doktor memberitahu rawatan selanjut terhadap kecederaan menimpa anak saya (Nur Zulaika Khumaira) termasuk sama ada dia boleh memakai tangan palsu atau sebaliknya juga boleh diketahui selepas laporan perubatan siap pada hari sama (esok)," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Wad 5C, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kos pemasangan tangan palsu kanak-kanak perempuan tersebut akan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Saya bersimpati dan berharap sumbangan pemasangan tangan palsu tersebut diharap dapat membantu sedikit sebanyak adik Nur Zulaika Khumaira untuk meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.


Kosmo! hari ini melaporkan Nur Zulaika Khumaira mengalami detik tragis apabila tangan kirinya putus hingga hampir paras bahu akibat tersepit pada rim motosikal yang ditunggang sepupunya di Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong, Marang. - K! ONLINE

UMT sumbang oleh-oleh raya kepada petugas media

MESRA. Pengurusan kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkunjung ke beberapa pejabat agensi media di Kuala Terengganu, Terengganu termasuk Kosmo! bagi menyampaikan oleh-oleh Aidilfitri baru-baru ini.

Kunjungan itu diketuai Penolong Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Fauziah Abu Hasan.

Sumbangan berupa kuih raya itu hasil air tangan kakitangan Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT.

Turut serta Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMT, Wan Mohd. Wasir Wan Abdul Wahab.

Tiga bookie Piala Dunia ditahan dalam Ops Soga

KUALA TERENGGANU – Tiga lelaki yang dipercayai bookie perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 Rusia ditahan polis menerusi Ops Soga dalam tiga serbuan berasingan di bandar raya ini baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 36 tahun itu di berkas ketika sedang leka menerima pertaruhan bola sepak yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM30,000.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 28 Jun, 2 Julai dan 4 Julai lalu di beberapa pusat hiburan di sekitar bandar ini.

“Sewaktu ditahan, mereka secara berasingan sedang me­nerima pertaruhan sewaktu berlangsungnya aksi di peringkat kumpulan, pusingan kedua dan suku akhir Piala Dunia 2018 Rusia.

“Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan serbuan Ops Soga di Terengganu kerana sebelum ini, kita tidak pernah menerima sebarang laporan perjudian bola sepak termasuk pada penganjuran Piala Dunia sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini semalam.

Aidi berkata, serbuan dalam ketiga-tiga Ops Soga itu turut merampas wang tunai berjumlah keseluruhan RM3,100 dan tiga telefon pintar yang dipercayai digunakan untuk mene­rima pertaruhan daripada kaki judi.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam telefon pintar suspek mengesyaki mereka telah menerima pertaruhan melibatkan amaun lebih RM30,000.

Friday, July 13, 2018

Masjid Al-Muktafi Billah Shah bantu asnaf sambut Aidilfitri

PRIHATIN. Pengurusan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu menaja kelengkapan Aidilfitri kepada 129 individu kurang berkemampuan di pasar raya besar Mydin Kuala Terengganu baru-baru ini.

Pengerusi masjid, Datuk Wan Mohd. Albakri Wan Md. Noor berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu keluarga terbabit untuk meraikan Aidilfitri dengan lebih ceria.

“Program bantuan hari raya itu melibatkan 24 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf dari sekitar bandar raya Kuala Terengganu,” katanya.

Kementerian Pendidikan cadang laksana ujian psikiatri kepada bakal guru, kurangkan jenayah pedofilia

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Kementerian Pendidikan tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan ujian psikiatri terhadap bakal guru sebagai inisiatif bagi mengurangkan kes-kes jenayah seksual seperti cabul terhadap pelajar.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, ujian tersebut sebagai saringan bagi memastikan tiada individu yang mempunyai kecenderungan pedofilia diterima sebagai guru.

"Itu (ujian psikiatri) merupakan cadangan yang baik dan akan diteliti dengan lebih lanjut. Kementerian tidak akan bertolenrasi dan memberi muka terhadap mana-mana pihak melakukan jenayah termasuk pedofilia. 

"Pada era baharu pendidikan ini, kita memberi jaminan untuk sentiasa mejaga kepentingan pelajar dan wanita," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengulas pendedahan seorang aktivis sosial yang mendakwa dua orang murid telah dicabul seorang guru sewaktu mengikuti kursus satu mata pelajaran di sebuah resort baru-baru ini.


Kosmo! Online semalam melaporkan seorang aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi menerusi laman mikro, Twitternya mendakwa kes cabul berkenaan telah diketahuinya sejak April lalu namun melalui laluan sukar untuk dibawa ke muka pengadilan berikutan tiada sokongan sehinggalah dua murid berkenaan membuat pengakuan kepada ibu bapa masing-masing. - K! ONLINE

Thursday, July 12, 2018

LPT2 ragut dua nyawa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Dua termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terbunuh selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terlibat dalam kemala­ngan di Kilometer 334.3, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 pagi, Syed Namirun Putra Syed Khairul Hissham, 11, dan kawan bapanya,  Mohamad Nor Mohammad, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mereka mengalami kecede­raan parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Bapa Syed Namirun Putra iaitu Syed Khairul Hissham Md. Akhir, 45, yang tersepit di tempat duduk penum­pang hadapan pula me­ngalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan­ Baharudin Abdullah ber­kata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan untuk mengambil anak sulung Syed Khairul Hissham iaitu Syarifah Filzatun Athirah, 20, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dari Felda Karatong, Bandar Tun Razak, Pahang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Mohamad Nor hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya sehingga menyebabkan kenderaan itu berpusing beberapa kali.

“Impak daripada kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta, Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra yang duduk di tempat duduk belakang tercampak keluar sejauh beberapa meter,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, sepa­sukan anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Syed Khairul Hissham yang tersepit di tempat duduk penumpang hadapan.

Baharudin berkata, ma­yat Mohamad Nor dan Syed Namirun Putra dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk dibedah siasat manakala Syed Khairul Hissham yang cedera parah pula  mendapat rawatan di unit kecemasan hospital sama dan kea­daannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, Syarifah Filzatun Athirah yang merupakan pelajar tahun akhir Diploma Pengurusan Hotel berkata, bapanya yang berkhidmat di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Muazzam Shah dan adiknya me­numpang kereta rakan keluarga mereka iaitu Mohamad Nor untuk menjemputnya yang baru habis menduduki kertas peperiksaan akhir semester di UiTM Dungun.

“Mereka dari rumah di Felda Keratong 9, Bandar Tun Razak mahu menjemput saya.

“Beberapa jam sebelum kemalangan, ayah (Syed Khairul Hissham) ada menghubungi saya dan memberitahu mereka telah sampai di Plaza Tol Gambang, Kuantan, Pahang,” kata gadis ber­kenaan ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Dungun.

Bagaimanapun, menurut Syarifah Filzatun Athirah, dia sangat terkejut apabila ayahnya menghubunginya pada pukul 12 tengah hari untuk memaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa adik dan rakan ayahnya itu.

Wednesday, July 11, 2018

Menteri Pendidikan mahu terjah projek sekolah bermasalah di seluruh negara

MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berjanji untuk turun padang bagi memantau sendiri semua projek pembinaan dan menarik taraf bangunan sekolah yang bermasalah di seluruh negara.

Beliau berkata, program lawatan mengejut itu bertujuan untuk memastikan kesemua projek yang mengalami kelewatan itu dapat kembali lancar dan boleh disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan demi kepentingan pelajar sekolah terbabit.

"Hari ini saya bermula dengan memantau projek pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang di sini yang merupakan antara sekolah daif cuba dipulihkan.

"Ia merupakan antara projek paling serius (bermasalah) di Terengganu selain beberapa yang lain di seluruh negara termasuk di Borneo (Sabah dan Sarawak)," katanya selepas melawat projek pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang di sini hari ini. 


Turut hadir Guru Besar SK Seberang Marang, Azman Abdul Hadi. - K! ONLINE