Translate

Thursday, July 2, 2026

Nak untung cepat, penjawat awam rugi RM22,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penjawat awam wanita berputih mata selepas kerugian RM22,033.56 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita tersebut tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada pukul 10 pagi, 15 Jun lalu.

“Dia kemudiannya berhubung dengan individu tidak dikenali mendakwa kononnya wakil syarikat skim pelaburan tersebut sebelum membayar RM300 sebagai modal pelaburan awal pada 9.24 malam, Khamis minggu lalu

“Wanita tersebut kemudiannya telah dihubungkan pula dengan individu lain yang juga didakwa merupakan pegawai skim pelaburan,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, penjawat awam tersebut turut mengikut arahan suspek untuk membuat beberapa pembayaran lain secara pindahan bank antara pukul 1.57 tengah hari pada Jumaat lalu hingga 10.33 pagi semalam.

“Mangsa akhirnya menyedari tertipu apabila diarahkan terus membuat pembayaran lagi biarpun tetap tidak menerima sebarang keuntungan,” katanya.

Azli menasihatkan orang ramai agar berwaspada kerana tiada skim pelaburan yang mampu menjamin keuntungan cepat pada kadar tidak munasabah. – KOSMO! ONLINE

LKIM terus perjuang subsidi diesel nelayan C2

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) berharap penyeragaman harga diesel pada kadar RM2.10 seliter mulai semalam dapat membuka jalan kepada pemberian subsidi bahan api tersebut kepada nelayan laut dalam atau C2.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, setakat ini, nelayan C2 masih belum menikmati subsidi bahan api, RM1.65 seliter yang ditetapkan cuma untuk nelayan kategori-kategori lain.

“Saya difahamkan buat masa ini, penyeragaman harga diesel pada kadar RM2.10 seliter berkuatkuasa semalam terhadap untuk pengguna kenderaan darat.

“Harapan kami agar ia dapat turut dinikmati golongan nelayan khususnya C2,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! 9 Jun lalu melaporkan 14.25 peratus daripada 400 pengusaha bot nelayan C2 tempatan memilih ‘bercuti’ sementara daripada menangkap ikan ekoran tidak mampu menanggung kenaikan kos operasi akibat lonjakan harga diesel global.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, ia menyebabkan pendaratan ikan tempatan merosot sehingga 4,000 tan metrik pada bulan Mac dan April lalu.

Muhammad Faiz berkata, LKIM tidak akan berhenti memperjuangkan nasib nelayan tempatan berdasarkan tahap kemampuan kerajaan.

Dalam pada itu, beliau juga berharap trend penurunan sedikit harga diesel tanpa subsidi semasa kepada RM3.97 seliter dapat mendorong sebahagian nelayan C2 yang masih ‘bercuti’ kembali turun ke laut pada masa terdekat. – KOSMO! ONLINE