Translate

Monday, October 31, 2016

Azizulhasni, Fatehah Duta Tahun Melawat Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa dilantik sebagai Duta Tahun Melawat Terengganu 2017.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemilihan Azizulhasni dan Fatehah yang masing-masing kelahiran Dungun dan Hulu Terengganu itu mampu mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan menarik di luar negara.
"Kita serba maklum Azizulhasni dan Fatehah sering menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
"Mereka dapat mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2017 menerusi pemakaian jersi dan pengibaran bendera pada setiap pertandingan itu," katanya di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, October 30, 2016

Fenomena rumpai laut merah jambu gemparkan penduduk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Penduduk Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini gempar dengan fenomena rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di sepanjang pantai perkampungan tersebut sejak kelmarin.
Kehadiran puluhan kilogram rumpai laut yang mengeluarkan bau hanyir itu kira-kira 100 meter di sepanjang pantai berkenaan telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Habsah Muda, 53, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung mula menyedari lambakan rumpai laut terbabit pada pukul 12 tengah hari, Jumaat lalu.
"Pada mulanya, kami ingatkan ia sekadar timbunan sampah yang dibawa oleh ombak laut namun bau hanyir yang dikeluarkan oleh objek itu telah menarik perhatian kami.
"Setelah diamati rupa-rupanya ia rumpai laut yang berwarna merah jambu dan warnanya akan bertukar kepada merah apabila kering. Kuantitinya semakin banyak terdampar di sepanjang pantai mulai awal pagi tadi," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Pelajar PSMZA sertai kem 
ikhtiar hidup

LASAK. Seramai 130 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyertai Kem Ikhtiar Hidup Muslim di Sungai Loh, Pasir Raja, Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Penyelaras program itu, Wan Zaimi Wan Yusof berkata, kem yang dianjurkan Jabatan Pengajian Am PSMZA dengan kerjasama Kelab Peminat Pacuan Empat Roda Dungun itu bertujuan untuk meningkat keterampilan diri dan menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, sepanjang kem tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti ikhtiar hidup di dalam hutan seperti pemasangan pukat di dalam sungai, penyembelihan ayam dan mencari arah kiblat.

12 ekor gajah mengamuk serang kebun

Oleh AZLI ADLAN

SETIU – Sekumpulan gajah liar kembali ‘menyerang’ kebun penduduk Kampung Pelong di sini baru-baru ini hingga menyebabkan penduduk kerugian RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pelong, Abdul Rahman Abdul Bakar (gambar kecil) berkata, amukan itu dipercayai angkara 12 ekor gajah liar.

“Gajah-gajah ini telah  memusnahkan kebun pisang, tebu dan kelapa sawit milik penduduk.

“Serangan gajah liar ini bukannya asing bagi penduduk perkampungan ini. Sejak beberapa tahun lalu, kami mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM400,000 setahun selepas hasil tanaman yang diusahakan dimusnahkan kumpulan gajah liar.
“Kami ketakutan dan buntu kerana kehadiran kumpulan haiwan terbabit tidak pernah reda walaupun pelbagai usaha telah diambil termasuk memasang pagar elektrik baru-baru ini,” katanya kepada pemberita di  sini semalam.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, gerakan untuk mengesan dan menangkap kumpulan gajah liar yang memusnahkan kebun penduduk itu telah dilakukan sebaik menerima aduan penduduk.

Beliau berkata, operasi mengesan dan menangkap haiwan tersebut telah dilakukan lapan anggota agensinya pada setiap malam di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.

“Kita akan meneruskan operasi tersebut sehingga keadaan kembali terkawal dan kumpulan gajah liar itu dapat dijejak,” katanya.

Saturday, October 29, 2016

Atlet Terengganu terima insentif

JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang dihadiahkan sebuah apartmen bernilai RM250,000 pemberian kerajaan negeri Terengganu sebagai insentif kerana berjaya memenangi pingat gangsa menerusi acara keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, atlet kelahiran Dungun itu juga diberi ganjaran wang tunai RM20,000 kerana turut mengharumkan nama negeri tersebut di mata dunia menerusi kejayaannya di pentas Olimpik.

“Empat atlet kelahiran Terengganu lain yang bertanding pada Sukan Olimpik dan Paralimpik tersebut turut menerima insentif wang tunai RM10,000 setiap seorang.

“Mereka ialah Fatehah Mustafa (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) serta atlet Paralimpik, Mohamad Azwar Bakar (pingpong),” kata beliau selepas menghadiri majlis penyampaian insentif tersebut di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif tersebut kepada atlet-atlet terbabit.

Ahmad Razif berkata, lapan pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) kelahiran negeri itu termasuk Mohd. Shahrun Nabil Abdullah, Muhammad Shahiram Zali serta Mohd. Fitri dan Faizal Shaari turut dianugerahkan lot kediaman di daerah kelahiran masing-masing.

Menurut beliau, 14 pegawai dan pemain luar THT lain yang berjaya merangkul kejuaraan berganda Liga Hoki Malaysia musim ini pula masing-masing menerima insentif wang tunai RM10,000.

“Pasukan Berbasikal Terengganu (TSG) yang cemerlang pada kejohanan Le Tour de Langkawi 2016 pula menerima ganjaran wang tunai RM15,000. Insentif RM80,000 pula diberikan kepada pasukan ragbi negeri atas kejayaan muncul juara kejohanan Tujuh Sebelah kebangsaan baru-baru ini,” tambahnya.

Ahmad Razif memberitahu, pasukan negeri yang menyertai Kejohanan Kuda Lasak Dunia di Slovakia baru-baru ini juga menerima ganjaran wang tunai RM35,000 selain pemberian sebuah lot kediaman di daerah Kuala Nerus kepada Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri atas kejayaan mendaki Gunung Everest baru-baru ini.

Pada majlis sama, kerajaan negeri Terengganu turut menerima tajaan RM35 juta yang disumbangkan pelbagai syarikat korporat untuk digunakan bagi tujuan pembangunan sukan negeri pada tahun depan.

Kakitangan Pejabat Pertanian Kemaman maut kena serangan jantung

KEMAMAN - Seorang kakitangan Pejabat Pertanian Daerah Kemaman maut selepas terkena serangan jantung sewaktu memandu kereta di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Titian Berayung, Kijal dekat sini semalam.
Kejadian pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan kereta Proton Wira yang dipandu Che Wan Junaidi Che Wan Ab. Ghani, 40, terbabas ke dalam kawasan semak berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang masih bujang baru keluar dari rumahnya di Kampung Titi Berayung yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
"Mangsa yang mengadu mengalami masalah angin dalam badan mahu pergi berurut di sebuah rumah tukang urut tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Dia baru keluar dari Hospital Kemaman di sini selepas dirawat di dalam wad hospital itu akibat penyakit paru-paru berair dan jantung," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, October 28, 2016

Azizulhasni, Fatehah raih penghargaan

DUA atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang serta Fatehah Mustafa meraih penghargaan apabila dilantik sebagai duta Tahun Melawat Terengganu 2017.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemilihan Azizulhasni serta Fatehah yang masing-masing kelahiran Dungun dan Hulu Terengganu itu mampu mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelancongan menarik di peringkat antarabangsa.

“Kita serba maklum Azizulhasni dan Fatehah se­ring menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Mereka dapat mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2017 menerusi pemakaian jersi dan pe­ngibaran bendera pada setiap pertandingan (yang disertai) itu,” kata Ahmad Razif selepas menghadiri majlis penyampaian insentif kepada atlet cemerlang Terengganu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif tersebut kepada atlet-atlet berkenaan yang mencapai kecemerlangan menerusi acara masing-masing pada sepanjang tahun ini termasuk Azizulhasni serta Fatehah.

Ahmad Razif menambah, kedua-dua duta terbabit turut bakal terbabit dalam siri pameran jelajah mempromosi Tahun Melawat Terengganu yang akan dijalankan secara berkala.

Sementara itu, Azizulhasni pula berkata, pemilihan beliau bersama Fatehah sebagai duta Tahun Melawat Terengganu 2017 merupakan penghargaan besar buat mereka.

“Saya sifatkan ia sebagai kerjasama strategik yang bijak oleh kerajaan negeri yang telah banyak membantu kami dalam mengembangkan karier sebagai atlet berbasikal bertaraf dunia.

“Kesempatan ini akan digunakan untuk mempromosi Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mesti dilawati (sepanjang berada) di setiap negara yang saya bertanding dan berlatih seperti Eropah, Australia dan Afrika Selatan,” katanya.

Fatehah pula berkata, beliau juga akan mempromosi pulau-pulau peranginan popular yang terdapat di sekitar negeri itu menerusi media sosial seperti Instagram serta Facebook.

Atlet Terengganu terima insentif

KUALA TERENGGANU - Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil baru-baru ini menerima insentif sebuah apartmen bernilai RM250,000 daripada kerajaan negeri Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, atlet kelahiran Dungun tersebut turut menerima ganjaran wang tunai RM20,000 atas kejayaannya dalam acara Keirin yang turut mengharumkan nama negeri di mata dunia.
"Empat atlet kelahiran Terengganu lain yang bertanding pada Sukan Olimpik dan Paralimpik tersebut turut menerima insentif wang tunai RM10,000 seorang.
"Mereka ialah Fatehah Mustafa (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah) dan Mohd. Hafifi Mansor (angkat berat) serta atlet Paralimpik, Mohamad Azwar Bakar (ping pong)," katanya selepas menghadiri majlis penyampaian insentif tersebut di sini semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan insentif tersebut kepada atlet-atlet terbabit.

Bekas Setiausaha Agung ASEAN terima Ijazah Kehormat Unisza

KUALA NERUS – Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan menerima ijazah kehormat pada majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) kelapan semalam.

Pemilihan Surin, 68, berikutan sumbangan besar bekas Menteri Luar Thailand itu dalam mencorakkan hubungan diplomatik di rantau Asia Tenggara terutama sewaktu menerajui ASEAN pada tahun 1999 hingga 2012.

Beliau yang dilahirkan di wilayah Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand pada 1948 itu juga merupakan tokoh diplomat muslim yang disegani di peringkat global.

Anugerah ijazah kehormat tersebut disampaikan kepada Surin oleh Pro Canselor Unisza, Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Mohamed Noor.

Turut hadir pada majlis konvokesyen itu ialah Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Pada majlis sama, Nuramalina Abd. Rahman, 24, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan graduan Ijazah Sarjana Muda Perundangan, Chan Jung Ling, 24, menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Seramai 2,489 graduan menerima ijazah ma­sing-masing pada majlis konvokesyen kali ini.

Thursday, October 27, 2016

Tiga lagi mangsa masuk hospital

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tiga mangsa insiden belon meletup pada program Walk for the Blind di Dataran Batu Burok di sini pada Jumaat lalu yang sebelum ini dirawat sebagai pesakit luar telah dimasuk­kan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat kom­plikasi kebakaran kulit.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, seorang kakitangan HSNZ berusia 49 tahun dan dua anaknya masing-masing berumur tujuh dan 11 tahun itu dimasukkan ke wad tersebut selepas menjalani rawatan susulan kelmarin.

“Ia menjadikan 10 mangsa masih dirawat di HSNZ terma­suk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ditahan di Unit Rawatan Rapi hospital ini.

“Dia mengalami kebakaran kulit sebanyak 18 peratus manakala mangsa-mangsa lain yang masing-masing ditempatkan di Wad Unit Kebakaran dan Unit Plastik pula melecur pada kadar dua dan tiga peratus,” katanya selepas melawat mangsa insiden belon meletup berkenaan di HSNZ di sini semalam.

Mohammad berkata, kesemua mangsa mengalami kebakaran kulit pada muka dan kedua-dua tangan dan enam daripada mereka hanya mengalami kelecuran pada permukaan kulit.

Menurut beliau, kecederaan empat mangsa lain pula agak serius dan memerlukan pemindahan kulit yang bakal dilakukan terhadap mereka selewat-lewatnya hari ini.

“Pakar-pakar perubatan HSNZ cuba untuk mengelakkan mangsa-mangsa tersebut daripada terkena serangan kuman yang dikhuatiri boleh memberi komplikasi kesihatan selain memastikan tidak menyebabkan parut tebal kekal yang akan memberi kesan psikologi pada masa hadapan.

“Kesemua mangsa juga menjalani sesi kaunseling bagi mengurangkan trauma akibat insiden tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammad berkata, Jabatan Kesihatan negeri menyerahkan kepada polis tindakan selanjutnya terhadap pembekal sekiranya terbukti belon-belon yang meletup itu diisi gas hidrogen.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, belon-belon itu berkemungkinan besar tidak diisi dengan gas helium seperti didakwa pembekal terbabit.

Kosmo! sebelum ini melapor­kan, seramai 30 peserta program Walk for the Blind yang diadakan sempena Hari Penglihatan Sedunia peringkat Terengganu cedera selepas 150 biji belon didakwa berisi gas hidrogen tiba-tiba meletup dan terbakar.

Sewaktu kejadian, beberapa petugas HSNZ sedang mele­raikan ikatan tali belon tersebut untuk diagih-agihkan kepada sekumpulan kanak-kanak yang turut menghadiri program tersebut.

Kelantan pertahan kejuaraan Piala Presiden

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Piala Presiden Kelantan mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan T-Team 2-0 pada aksi kedua final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Keputusan tersebut membolehkan Kelantan merangkul piala itu buat dua tahun berturut-turut dengan agregat 3-1.
Pemain penyerang, Muhamad Raihan Mohd. Huzaizi membuka jaringan pertama Kelantan pada minit ke-40.
Dia memanfaatkan kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd. Asyaf Azmi yang tersepak bola ke kaki pemain itu di dalam kotak penalti sebelum meledak rembatan yang menerjah jaring tuan rumah.
Tersentak dengan gok tersebut, T-Team memperkemaskan jentera serangan yang diterajui Muhamad Safawi Rasid.
Kesempatan terbaik T-Team untuk mendapat gol penyamaan diperolehi menerusi rembatan lencong Muhamad Safawi menerusi sepakan percuma ke dalam kotak penalti lawan namun gagal disudahkan rakan sepasukan, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-62.
Sisa-sisa perjuangan T-Team berakhir selepas Muhammad Danial Ashraf Abdullah meledak gol kedua Kelantan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-81.
Pada aksi final pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 18 Oktober lalu, kedua-dua pasukan diikat 1-1.
Tuan rumah mendahulu menerusi sepakan percuma Muhammad Danial Ashraf pada minit ke-55 sebelum T-Team menyamakan kedudukan menerusi tandukan Engku Nur Shakir pada minit ke-64. - K! ONLINE

Wednesday, October 26, 2016

Hashim puas julang Piala Presiden sebagai pemain, jurulatih

KUALA TERENGGANU - Kejayaan skuad Piala Presiden Kelantan mempertahankan kejuaraan buat dua tahun berturut-turut amat berharga buat pengendalinya, Hashim Mustapha.
Beliau yang merupakan bekas penyerang sensasi Kelantan era 90-an berkata, kemenangan 3-1 secara agregat terhadap T-Team pada aksi final tersebut mengimbau kenangan sewaktu menjulang piala itu pada 31 tahun lalu.
"Saya merupakan sebahagian skuad Piala Presiden Kelantan yang menjadi johan pada tahun 1985.
"Kini, saya menjulang semula Piala Presiden sebagai seorang jurulatih. Ia memberi kepuasan kepada saya," katanya ketika ditemui selepas aksi final kedua Piala Presiden di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Kelantan menewaskan tuan rumah 2-0 menerusi jaringan dua penyerang pasukan itu iaitu Muhammad Raihan Mohd. Huzaizi dan Muhammad Danial Ashraf Abdullah masing-masing pada minit ke-40 dan 81.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi final pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 18 Oktober lalu. - K! ONLINE

Kelantan pertahan Piala Presiden buat dua tahun berturut-turut

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Piala Presiden Kelantan mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan T-Team 2-0 pada aksi kedua final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Keputusan tersebut membolehkan Kelantan merangkul piala itu buat dua tahun berturut-turut dengan agregat 3-1.

Pemain penyerang, Muhamad Raihan Mohd. Huzaizi membuka jaringan pertama Kelantan pada minit ke-40.

Dia memanfaatkan kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd. Asyaf Azmi yang tersepak bola ke kaki pemain itu dalam kotak penalti sebelum meledak rembatan yang menerjah jaring tuan rumah.

Tersentak dengan gol tersebut, T-Team memperkemaskan jentera serangan yang diterajui Muhamad Safawi Rasid.

Kesempatan terbaik T-Team untuk mendapat gol penyamaan diperoleh menerusi rembatan lencong Muhamad Safawi menerusi sepakan percuma ke dalam kotak penalti lawan, namun gagal disudahkan rakan sepasukan, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-62.

Sisa-sisa perjuangan T-Team berakhir selepas Muhammad Danial Ashraf Abdullah meledak gol kedua Kelantan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-81.

Pada aksi final pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 18 Oktober lalu, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kanak-kanak rahang mereput akhirnya meninggal dunia

BESUT – Perjuangan penuh tabah Muhammad Syafi Mohd. Syahrizan melawan kanser tulang lebih dua tahun berakhir semalam apabila kanak-kanak malang itu meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Landak, Jertih dekat sini.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Nyior Tujuh di sini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi ibunya, Norzuriana Madri, 38, dan  bapanya, Mohd.Syahrizan Ibrahim, 39, pada pukul 3 petang.

Norzuriana berkata, tahap kesihatan anak keempatnya daripada lima beradik atau lebih mesra dipanggil Syafi, 7, itu semakin merosot  malam kelmarin.
“Sebelum ini, Syafi sihat terutama selepas rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan pada minggu lalu.

“Namun keadaannya tiba-tiba merosot malam tadi (kelmarin) sebelum Syafi meninggal dunia pada pukul 3 petang ini (semalam),” katanya.

Norzuriana berkata, walaupun berasa sangat hiba namun reda dengan pemergian Syafi yang sudah lebih dua tahun menderita dan terlantar akibat kanser tulang.

Kosmo! 25 September lalu melaporkan kesihatan Syafi semakin merosot sejak Februari lalu dengan rahang kiri mereput sedikit demi sedikit sehingga menampakkan hampir keseluruhan rongga dalam mulutnya termasuk lidah dan tekak.

HUSM mengesahkan kanak-kanak itu menghidap kanser 'Infantile Fobrosarcoma' pada Ogos 2014.

Penderitaan Syafi mendapat perhatian ramai pihak termasuk kerajaan negeri Terengganu yang meluluskan peruntukan segera RM100,000 bagi membiayai kos perubatan kanak-kanak itu.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman sewaktu melawat Syafi pada 2 Oktober lalu turut menghadiahkan sebuah kereta mainan bagi menceriakan kanak-kanak itu.

Tuesday, October 25, 2016

T-Team nekad julang Piala Presiden

KUALA TERENGGANU - T-Team tekad menumbangkan juara bertahan Kelantan sekali gus menjulang Piala Presiden pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Pengendali skuad Piala Presiden T-Team, Mohd Nafuzi Zain berkata, kegagalan pasukan senior memenangi Piala Malaysia selepas terkandas dalam saingan separuh akhir baru-baru ini menjadi perangsang kepada anak buahnya untuk menebus kehampaan tersebut.
"Misi kita untuk memberi kejuaraan kepada rakyat Terengganu bagi menebus kekecewaan dua pasukan senior (T-Team dan Terengganu).
"Walaupun mempunyai kelebihan satu gol di tempat lawan, kita tetap fokus untuk mencapai kemenangan pada malam esok sekali gus menjamin kejuaraan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat T-Team, Kuala Terengganu hari ini. - K! ONLINE

Tahanan reman dua tukang rumah disambung

KUALA TERENGGANU – Tempoh reman dua tukang rumah yang disyaki bersubahat dengan Mohd. Hafiz Mohamad yang menikam mati bakal abang iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini pada 16 Oktober lalu dilanjutkan selama empat hari lagi.

Perintah sambungan reman sehingga Khamis ini terhadap kedua-dua suspek tersebut telah dibenarkan oleh Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rosila Nik di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Sebelum ini,  rakan Mohd. Hafiz yang dipercayai membantu suspek utama itu melarikan diri dengan memandu kereta Honda Civic miliknya telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Buluh Gading, Manir dekat sini beberapa jam selepas insiden bunuh tersebut berlaku.

Tidak lama kemudian, bapa saudaranya berusia 55 tahun pula ditahan kerana disyaki membantu menyorokkan kereta tersebut di kawasan padang berhampiran kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau, Manir.

Kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan kes bunuh terbabit.

Suspek utama, Mohd. Hafiz, 29, pula berjaya diberkas dalam keadaan kelaparan di tepi Jalan Jeram, Kampung Petai Bubus, Manir pada Rabu lalu.

Kosmo! 17 Oktober lalu  melaporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pengkalan Kubor, Muhamad Shukri Husin, 34, maut selepas ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman.

Mohd. Hafiz yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, dipercayai bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar ahli keluarga kekasihnya itu.

Monday, October 24, 2016

Tiga lagi mangsa belon meletup dimasukkan ke HSNZ

KUALA TERENGGANU - Tiga mangsa insiden belon meletup pada program Walk For The Blind di Dataran Batu Burok di sini pada Jumaat lalu yang sebelum ini dirawat sebagai pesakit luar telah dimasukkan ke dalam wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat komplikasi kebakaran kulit.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, seorang kakitangan HSNZ berusia 49 tahun dan dua anaknya masing-masing berusia tujuh dan 11 tahun itu di tahan ke wad hospital tersebut selepas menjalani rawatan susulan semalam.
"Ia menjadikan 10 mangsa masih di rawat di HSNZ termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ditahan di Unit Rawatan Rapi hospital ini.
"Dia mengalami kebakaran kulit sebanyak 18 peratus manakala mangsa-mangsa lain yang masing-masing ditempatkan di Wad Unit Kebakaran dan Unit Plastik pula melecur pada kadar dua dan tiga peratus," katanya selepas melawat mangsa insiden belon meletup berkenaan di Hospital Sultanan Nur Zahirah di sini hari ini.
Kosmo! 22 Oktober lalu melaporkan seramai 30 peserta program Walk For The Blind yang diadakan sempena Hari Penglihatan Sedunia peringkat Terengganu cedera selepas 150 biji belon berisi gas hidrogen tiba-tiba meletup dan terbakar.
Sewaktu kejadian, beberapa petugas HSNZ sedang meleraikan ikatan tali belon tersebut untuk diagih-agihkan kepada sekumpulan kanak-kanak yang tuurt menghadiri program tersebut. - K! ONLINE

Bulan Kesiapsiagaan dilancar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Bulan Kesiapsiagaan Nasional dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap persiapan menghadapi bencana alam terutama banjir yang diramal melanda tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, respons mangsa bencana alam di negara ini terhadap usaha-usaha yang dijalankan agensi penyelamat masih berada pada tahap sederhana.

“Jika diberi skala satu hingga 10, saya boleh beri lima. Kesedaran dalam kalangan mangsa banjir perlu ditingkatkan lagi.

“Semua agensi kerajaan terlibat (pengurusan banjir) telah bersiap sedia 100 peratus tetapi kita perlu kerjasama daripada mangsa-mangsa,” katanya selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Kemaman Waterfront, Chukai di sini semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Ahmad Zahid berkata, kesiapsiagaan menghadapi bencana alam terutama pada musim banjir perlu menjadi budaya dalam kalangan rakyat negara ini.

Menurut beliau, beberapa program telah diatur sepanjang sambutan bulan berkenaan bagi meningkatkan kesedaran mangsa termasuk sentiasa memantau ramalan cuaca yang disebarkan Jabatan Meteorologi.

“Mangsa-mangsa banjir perlu sentiasa bersedia untuk berpindah sebaik menerima maklumat bagi mengurangkan risiko (kemalangan jiwa),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang julung-julung kali diadakan itu juga bertujuan untuk mengkoordinasi agensi-agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan banjir di bawah Agensi Pengurusan Banjir Negara.

Beliau berkata,  pada masa ini, tumpuan akan diberikan terhadap negeri-negeri yang kerap dilanda banjir pada musim tengkujuh iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak.

Lelaki 221 kg tekad mahu kurus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Kesukaran seorang lelaki obes seberat 221 kilogram (kg) sehingga tidak mampu berjalan mendapat perhatian pengendali pusat kecergasan dan gimnasium yang menawarkan per­khidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma kepadanya.
Pengendali pusat kecergasan itu, Mohd. Fairuz Nasiruddin berkata, perkhidmatan itu ditawarkan selama setahun kepada Mohamad Faisal Md. Ali, 28.
“Faisal akan mengikuti pelan pengurusan berat badan antaranya meliputi kawalan pemakanan dan aktiviti fizikal dengan sasaran turun sekurang-kurangnya 70 kg dalam tempoh setahun,” katanya selepas menyampaikan peralatan senaman kepada Faisal di rumahnya di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini hari ini.
Sementara itu, Faisal berkata, dia bertekad untuk kurus dan dapat menjalani kehidupan se­perti orang lain. - K! ONLINE

Sunday, October 23, 2016

Bulan Kesiapsiagaan Nasional dilancar

KEMAMAN - Bulan Kesiapsiagaan Nasional dilancarkan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap persiapan menghadapi bencana alam terutama banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, respons mangsa bencana alam di negara ini terhadap usaha-usaha yang dijalankan agensi penyelamat masih berada pada tahap sederhana.
"Jika di beri skala satu hingga sepuluh, saya boleh beri lima. Kesedaran di kalangan mangsa banjir perlu ditingkatkan lagi.
"Semua agensi kerajaan terlibat (pengurusan banjir) telah bersiap sedia 100 peratus tetapi kita perlu kerjasama daripada mangsa-mangsa," katanya selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Kemaman Waterfront, Chukai di sini hari ini. - K! ONLINE

Nelayan Terengganu dapat jaket keselamatan

BANTUAN. Seramai 2,400 nelayan tradisional Terengganu menerima jaket keselamatan percuma daripada kerajaan negeri sempena kempen Keselamatan Nelayan di Laut di Dataran Telok Ketapang, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemberian jaket keselamatan itu bertujuan untuk mengurangkan risiko kemalangan melibatkan nelayan sewaktu menangkap ikan di laut terutama pada hampir musim tengkujuh.

"Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5.621 juta sebagai pembayaran elauan sara hidup bulanan nelayan zon A hingga C2 dalam tempoh sembilan bulan tahun ini," katanya.

Saturday, October 22, 2016

Bekas Setiausaha Agung ASEAN terima Ijazah Kehormat Unisza

KUALA NERUS - Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan menerima Ijazah Kehormat pada majlis Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) kelapan hari ini.
Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, pemilihan Surin berikutan sumbangan besar bekas Menteri Luar Thailand itu dalam mencorakkan hubungan diplomatik di rantau Asia Tenggara terutama sewaktu menerajui ASEAN pada tahun 1999 hingga 2012.
"Beliau yang dilahirkan di wilayaah Nakorn Sri Thammarat, Selatan Thailand pada 68 tahun lalu juga merupakan tokoh diplomat muslim yang disegani di peringkat global," katanya pada majlis Konvokesyen Unisza kelapan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Unisza di sini hari ini.
Anugerah Ijazah Kehormat tersebut disampaikan kepada Surin oleh Pro Canselor Unisza, Tan Sri Dr. Mohamad Yusof Mohamed Noor. - K! ONLINE

Staf pejabat pertanian maut sakit jantung ketika memandu

KEMAMAN – Seorang kakita­ngan Pejabat Pertanian Daerah Kemaman maut selepas terkena serangan jantung sewaktu memandu kereta di Kilometer 131, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Titian Berayung, Kijal dekat sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 9.10 malam itu menyebabkan kereta Proton Wira yang dipandu mangsa, Che Wan Junaidi Che Wan Ab. Ghani, 40, terbabas ke dalam kawasan semak berhampiran.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang masih bujang baru keluar dari rumahnya di Kampung Titi Berayung yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Mangsa yang mengadu me­ngalami masalah angin dalam badan mahu pergi berurut di sebuah rumah tukang urut tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Dia baru keluar dari Hospital Kemaman di sini selepas dirawat akibat penyakit paru-paru berair dan jantung,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Said berkata, mayat Che Wan Junaidi yang  merupakan pembantu rendah am di Pejabat Pertanian Daerah Kemaman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik meninggal dunia akibat serangan jantung.

Terengganu bersedia hadapi musim tengkujuh

PADA waktu ini, beberapa lokasi di Selangor, Kedah, Perlis dan Perak ditenggelami air berikutan fenomena air pasang besar yang bermula Jumaat lalu.

Setakat ini, persiapan rapi yang telah dibuat dapat meminimumkan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa di empat negeri di Pantai Barat tersebut.

Fenomena air pasang yang berpunca daripada kesan tarikan graviti bulan dengan Bumi berserta hujan lebat serta angin kencang itu dijangka berakhir hari ini dan tumpuan bakal beralih arah ke Pantai Timur yang dijangka dilanda musim tengkujuh bermula pertengahan bulan depan.

Ramalan menjangkakan negeri-negeri di Pantai Timur termasuk Terengganu bakal dilanda banjir besar sepanjang musim tengkujuh berkenaan berikutan fenomena La Nina menyebabkan lebihan hujan 20 peratus yang dibawa angin Monsun Timur Laut.

Biarpun banjir pada tahun ini diramal tidak seburuk bah kuning yang melanda pada 2014 namun tidak bermakna ia boleh dipandang ringan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman berkata, kawasan rendah di seluruh negeri ini terutama di Kemaman, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu berisiko tinggi untuk dilanda bah pada musim tengkujuh kali ini.

Beliau berkata, berdasarkan data yang diterima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, aras air laut di perairan daerah Kemaman, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu akan berada pada paras tinggi dari 15 November hingga 31 Disember depan.

“Aras air laut di kedua-dua daerah itu berada pada paras melebihi 2.5 meter pada tempoh 15 hingga 21 November, 29 dan 30 November, 1 dan 6 Disember, 13 hingga 20 Disember dan 28 hingga 31 Disember.

“Sekiranya keamatan (taburan) hujan melebihi 100 militer sehari dan ia berlarutan melebihi 48 jam dalam tempoh sama kemungkinan banjir berlaku di kawasan terbabit adalah besar," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Che Adam yang juga Sekretariat Pengurusan Bencana negeri berkata, sebanyak lapan sistem Web Kamera Pemantauan Banjir telah dipasang di seluruh negeri ini masing-masing dua di Kemaman, Setiu dan Besut manakala sebuah di Hulu Terengganu.

Menurut beliau, persiapan rapi bagi menghadapi banjir itu telah digerakkan menerusi pengisytiharan Oktober ini sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional mulai awal bulan ini.

“Sepanjang bulan tersebut, selain hebahan secara berkala kepada rakyat, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam Sekretariat Pengurusan Bencana negeri akan melakukan simulasi pengurusan bencana mengguna pakai Sistem Pengurusan Banjir Kemaman.

“Sistem tersebut telah mene­rima pengiktirafan antarabangsa apabila mendapat kedudukan lima teratas dalam ka­tegori Infrastruktur Komunikasi dan Maklumat pada Sidang Kemuncak Dunia Masyarakat Bermaklumat yang diadakan di Geneva, Switzerland, Mei lalu,”  katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan kesemua resort dan calet di pulau peranginan di negeri ini menutup operasi secara berperingkat-peringkat mulai awal bulan ini.

Beliau berkata, penutupan melibatkan 79 tempat penginapan di Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Gemia, Pulau Tenggol dan Pulau Lang Tengah sehingga awal Januari tersebut bertujuan mengelak sebarang insiden tidak diingini sepanjang musim tengkujuh kelak.
“Kita perlu mengutamakan keselamatan pelancong. Sepanjang empat bulan penutupan tersebut, saya berharap pengusaha resort dan calet terbabit dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan penginapan masing-masing,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi banjir, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman pula memberitahu,  kerajaan negeri telah membeli 80 buah bot penyelamat tambahan melibatkan peruntukan RM800,000 baru-baru ini.

Beliau berkata, bot terbabit akan diagih-agihkan ke lapan daerah di negeri ini dalam masa terdekat dengan setiap daerah menerima 10 buah bot.

“Kesemua bot yang akan digunakan untuk kerja-kerja menyelamat penduduk semasa musim banjir itu akan ditempatkan di setiap pejabat tanah dan daerah terlibat,” katanya.

Apa pun, kerjasama daripada penduduk yang terlibat banjir untuk mematuhi prosedur standard operasi yang ditetapkan pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan kejayaan setiap pelan pengurusan bencana yang telah direncanakan.

Semoga tragedi yang memusnahkan banyak harta benda dan meragut nyawa termasuk dua di Terengganu sewaktu bah kuning tahun 2014 dapat diminimumkan walaupun kita tidak mungkin mampu melawan hukum alam dan ketentuan Tuhan.

Friday, October 21, 2016

Angkara makan sandwic telur busuk

KUALA TERENGGANU – Seramai 62 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek di sini dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam selepas mendakwa makan sandwic telur busuk.
Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin (gambar) berkata, penghuni asrama sekolah itu me­ngadu sakit perut dan cirit-birit dipercayai berpunca daripada sandwic telur yang dimakan sebagai hida­ngan minum malam kelmarin.

Beliau berkata. seramai 62 pelajar sekolah itu mengadu sakit perut dan cirit-birit mulai pukul 9 pagi.

“Seramai 51 pelajar telah dibenarkan pulang setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala 11 pelajar lagi masih ditahan di dalam wad,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali memberitahu, beberapa rakannya ada memberitahu sandwic tersebut sudah agak berbau busuk sewaktu dimakan.

“Bau itu mungkin daripada telur yang digunakan,” dakwanya.

Thursday, October 20, 2016

Suspek kebulur sewaktu diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Akibat kelaparan selepas em­pat hari bersembunyi di rumah-rumah kosong di sekitar Manir di sini, lelaki yang menjadi suspek kes tikam bakal abang ipar sampai mati akhirnya keluar dari tempat persembunyi­an sebelum diberkas polis.

Tukang rumah yang berusia 29 tahun itu berjaya ditangkap polis di Kampung Petai Bubus, Manir semalam selepas dikatakan keluar mencari makan di tepi jalan di kampung itu akibat kelaparan sekitar pukul 12 tengah hari.

Suspek yang disyaki membunuh Muhamad Shukri Husin, 34, dengan menikam bertubi-tubi leher dan dada mangsa, ditemui dalam keadaan kelaparan dan keletihan di tepi jalan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, Mohd. Hafiz Mohamad yang dalam keadaan tidak bermaya cuba juga melarikan diri dengan bersembunyi di bawah sebuah rumah dan kawasan padang berhampiran tetapi gagal.

“Sebaik diberkas, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk disoal siasat.

“Siasatan awal mendapati dia telah bersembunyi di beberapa buah rumah tinggal yang sudah lama tidak berpenghuni di sekitar Manir sejak menjadi buruan polis pada Ahad lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini semalam.

Wan Abd. Aziz memberitahu, motosikal Honda EX5 yang digunakan suspek untuk melarikan diri masih belum dijumpai dan polis akan memohon perintah reman terhadap suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Wan Abd. Aziz  berkata, sebelum ini, rakan sekerja suspek telah menyerahkan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu di IPD Kuala Terengganu petang kelmarin.

“Lelaki itu memberitahu suspek telah menyerahkan pisau yang telah dibersihkan daripada kesan darah itu kepadanya Ahad lalu.

“Dia yang mengetahui kes pembunuhan tersebut menerusi akhbar kemudiannya menyerahkan pisau terbabit kepada polis ke­rana enggan bersubahat,” katanya.
Kosmo! Isnin lalu me­laporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri maut selepas ditikam sebanyak enam kali pada bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Darul Iman.

Suspek yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

Rakan Mohd. Hafiz yang memandu kereta Honda Civic bagi membantu suspek utama itu melarikan diri selepas menikam Muhamad Shukri telah diberkas di Manir Ahad lalu.

Bapanya saudaranya  yang berumur 55 tahun yang dipercayai membantu menyorokkan kereta tersebut turut ditahan tidak lama kemudian.

Minum petang bersama Datuk Bandar Kuala Terengganu

MESRA. Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengadakan majlis minum petang Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd. Zulkifli Abu Bakar bersama pengamal media di Kelab Eksklusif Batu Burok, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mohd. Zulkifli berkata, pertemuan tersebut bertujuan mengeratkan lagi hubungan beliau dengan pengamal media tempatan.

Beliau yang baru dilantik menerajui MBKT pada awal September lalu berkata, pandangan dan input daripada pengamal media amat diperlukan bagi memperkasakan imej Kuala Terengganu sebagai bandar raya warisan pesisir air.

“MBKT bercadang untuk mempertingkatkan pencahayaan bagi menceriakan bandar raya ini pada waktu malam sempena Tahun Melawat Terengganu 2017,” katanya.

Wednesday, October 19, 2016

Suspek tikam bakal abang ipar diberkas

KUALA TERENGGANU - Tukang rumah yang menikam bakal abang ipar hingga mati di Kompleks Seri Iman di sini Ahad lalu berjaya diberkas polis di Kampung Petai Bubus, Manir dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sewaktu ditahan pada pukul 12 tengahari, suspek yang berusia 29 tahun itu berada dalam keadaan kelaparan dan keletihan di tepi jalan di kampung berkenaan.
"Suspek dipercayai bersembunyi di beberapa rumah kosong di sekitar Manir sejak Ahad lalu.
"Perintah reman terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret di sini pada pagi esok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Kosmo! Isnin lalu melaporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin maut selepas ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Konpleks Darul Iman.
Suspek berusia 29 tahun yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, bertindak demikian selepas berang rahsianya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu. - K! ONLINE

Irfan perlu masa buat keputusan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BEKAS jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim hampir pasti menyertai Terengganu pada kempen Liga Malaysia musim depan.

Menurut Irfan, beliau amat berminat dengan pelawaan Terengganu tetapi masih memerlukan sedikit masa untuk membuat kata putus.

“Saya merupakan jurulatih bola sepak yang suka berhijrah, lagipun keluarga saya suka dengan suasana di Terengganu.

“Tengoklah dalam tempoh seminggu ini, mungkin keputusan dapat dicapai,” kata Irfan kepada pemberita selepas mengadakan rundingan awal dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di Kuala Terengganu semalam.

Irfan bukan asing kepada peminat bola sepak Terengganu kerana beliau pernah melatih skuad tersebut selama tiga musim mulai 1999 dan berjaya membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia pada 2011.

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pemangku Presiden PBSNT, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, buat masa ini mereka belum membuat keputusan muktamad kerana rundingan antara ke­dua-dua belah pihak masih berjalan.

“Buat masa ini kita masih belum boleh memberi keputusan. Apabila semua urusan dapat diselesaikan, baru kita maklumkan,” katanya.

Irfan yang berjaya membawa Felda Uni­ted muncul naib juara Liga Super musim ini membuat keputusan untuk meletak jawatan dengan skuad The Fighters setelah gagal mencapai sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

Sasaran tersebut merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat Irfan bersama Felda United musim ini dan selepas gagal mencapainya, jurulatih kelahiran Perak itu membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya.

Tugasnya dengan Felda United musim depan kini diganti oleh bekas jurulatih Johor Darul Takzim II, Azmi Mohamad.

Perkhemahan Kor Kadet Polis tingkatkan disiplin pelajar

DISIPLIN. Seramai 320 pelajar sekolah menengah seluruh negara menyertai Perkhemahan Kor Kadet Polis peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, program tersebut bertujuan memupuk semangat patriotisme dan meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar sekolah yang menganggotai Kadet Polis.

Beliau berkata, sepanjang empat hari berkhemah, peserta menyertai pelbagai aktiviti fizikal dan kerohanian seperti berkawad, merentas halangan, menembak, pandu arah dan menembak.

Pada program itu, kontinjen Terengganu muncul sebagai pasukan terbaik keseluruhan dengan dua anggotanya iaitu Muhammad Rahimi Hussain dan Nur Ain Balkish Reduwan masing-masing dinobatkan sebagai kadet lelaki dan perempuan terbaik.

Tuesday, October 18, 2016

INFO Lelaki dicari polis

Nama : Mohd. Hafiz Mohamad
Umur : 29 tahun
Nombor MyKad : 870522-06-5813
Alamat : Kampung Baloh, Manir, Kuala Terengganu
Pekerjaan : Tukang rumah
Kulit : Gelap
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohd. Hafiz diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di talian 09-632 2222 atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di talian 09-635 4722

Tukang rumah jadi buruan polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tukang rumah yang diburu bagi membantu siasatan  kes  pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mati akibat ditikam bertubi-tubi di Kompleks Seri Iman di sini ke­lmarin selepas rahsianya sudah bergelar suami orang terbongkar menghilangkan diri dengan menunggang motosikal Honda EX5.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki berkenaan, Mohd. Hafiz Mohamad, 29, sebelum itu dikatakan pergi ke Pejabat Agama Islam di Kompleks Seri Iman de­ngan menaiki kereta Honda Civic dipandu rakannya.

Menurut beliau, selepas berlaku pergaduhan dan kejadian bunuh melibatkan pegawai JPJ, Muhamad Shukri Husin, 34, di luar Pejabat Agama Islam, Mohd. Hafiz meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki kereta Honda Civic  sama.

“Sampai di rumah rakannya di Kampung Buluh Gading, Manir dekat sini, Mohd. Hafiz dikatakan melarikan diri dengan menunggang motosikal EX5 milik­nya,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam. 

Jarak Kompleks Seri Iman dan Kampung Buluh Gading kira-kira 10 kilometer.

Berikutan itu, kata Wan Abd. Aziz, polis memberkas rakan Mohd. Hafiz di rumahnya pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Lelaki itu merupakan pemilik kereta Honda Civic.

“Soal siasat ke atas lelaki itu mendapati Mohd. Hafiz sebelum itu meninggalkan motosikal miliknya di rumah rakannya sebelum pergi ke Kompleks Seri Iman,” ujarnya.
Wan Abd. Aziz memberitahu, selepas Mohd. Hafiz melarikan diri dengan motosikal, rakannya itu telah meminta bantuan bapa saudaranya yang berusia 55 tahun untuk menyorokkan kereta Honda Civic miliknya.

“Honda Civic itu kemudian disembunyikan di satu kawasan padang berhampiran kandang lembu di Kampung Dusun Tembakau di Manir,” jelasnya.
Jarak Kampung Dusun Tembakau dan Kampung Buluh Gading kira-kira tiga kilometer.

Lelaki yang menyembunyikan kereta Honda Civic itu turut  ditangkap di Kampung Dusun Tembakau selang 15 minit selepas tangkapan pertama.

Katanya, berdasarkan siasatan terhadap kedua-dua lelaki yang juga bekerja sebagai tukang rumah itu, polis percaya Mohd. Hafiz masih berada di dalam negeri.

Mereka kini direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh Muhamad Shukri.
Kosmo! semalam melaporkan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin maut selepas ditikam sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher oleh bakal adik iparnya di tempat letak kereta Kompleks Darul Iman.

Suspek berusia 29 tahun yang berhasrat mengahwini adik mangsa, Azlina, 27, bertindak demikian selepas berang rahsia­nya yang merupakan suami orang dibongkar keluarga kekasihnya itu.

Murid Tabika Kemas meriahkan Hari Sukan Negara

SUKAN. Seramai 50 murid Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas menyertai sambutan Hari Sukan Negara peringkat mukim Kepong di Balai Raya Kampung Tok Hakim, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Abd. Fatah Husin berkata, program anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Tok Hakim tersebut disertai oleh murid dari empat tabika Kemas sekitar mukim Kepong iaitu Padang Midin, Kampung Tok Hakim, Binjai Berambu dan Bukit Kepong.

“Selain bersenam dengan ibu bapa dan guru masing-masing, kanak-kanak itu juga menyertai pertandingan melukis yang bertemakan patriotisme,” ujarnya.

Monday, October 17, 2016

Tidak sangka kekasih bertindak kejam

KUALA TERENGGANU – Kekasih kepada tukang rumah yang menikam sehingga mati bakal abang iparnya di tempat letak kereta Kompleks Seri Iman di sini semalam mendakwa suspek menunjukkan sikap bersopan-santun sepanjang perkenalan mereka selama lima tahun.

Menurut Azlina Husin, 27, dia tidak menyangka kekasihnya itu sanggup bertindak kejam dengan menikam abang keduanya, Muhamad Shukri, 34, sehingga mati.

Dia berkata, mereka berkenalan menerusi inisiatif rakan-rakannya pada tahun 2012 sebelum memutuskan untuk menjalin hubungan cinta dua tahun kemudian.
“Sebelum ini abang saya (Muhamad Shukri) memberitahu kekasih saya sebenarnya adalah suami orang tetapi saya tidak percaya.

“Justeru, saya nekad pergi ke Pejabat Agama Kuala Terengganu hari ini (semalam) untuk mengetahui perkara sebenar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Azlina yang pernah bekerja di sebuah pasar raya di Kota Bharu, Kelantan berkata, sebelum meninggalkan pejabat agama Islam Terengganu itu dia memberitahu kekasihnya untuk memutuskan hubungan mereka dan suspek kemudian menerima keputusan tersebut.

Adik kelima Muhamad Shukri, Alias, 29, pula berkata, suspek yang mengaku be­kerja sebagai seorang arkitek sebelum kerjaya sebenarnya terbongkar juga pernah berjanji untuk mengahwini Azlina yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik dalam tempoh terdekat.

“Namun kami sekeluarga curiga selepas dia bukan sahaja meminang adik saya secara bersendirian malah telah menangguhkan majlis pertunangan mereka yang sepatutnya berlangsung pada Mac lalu dengan alasan ayah saya meninggal dunia,” katanya.

Menurut Alias, abangnya kemudian bertindak merujuk ke Pejabat Agama Islam Kuala Terengganu di sini pada bulan September lalu dan mendapati suspek telah berkahwin dengan seorang wanita dari Kampung Gemuruh, Kuala Nerus pada tahun 2010.
Sementara itu, di Tumpat, Kelantan isteri Muhamad Shukri, Noriah Lah, 34, berkata, hasrat suaminya untuk melihat zuriat sulung lahir pada bulan depan tidak kesampaian selepas suaminya yang berasal dari Jeli maut ditikam.

Noriah yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham sejak empat tahun lalu berkata, anaknya dijangka lahir pada 25 November depan.

“Saya mengetahui kejadian malang itu kira-kira pukul 11.30 pagi menerusi mesej yang dihantar rakan menggunakan aplikasi WhatsApp,” katanya yang bertugas sebagai seorang jururawat ketika ditemui di Kampung Kok Keli 2, Tumpat.

Noriah berharap suspek yang membunuh suaminya segera ditangkap dan menerima hukuman setimpal di atas perbuatan tersebut.

Suspek tikam bakal abang ipar lari dengan motosikal Honda EX5

KUALA TERENGGANU - Tukang rumah yang telah menikam bakal abang iparnya hingga mati di Kompleks Seri Iman di sini semalam dipercayai telah melarikan diri dengan menggunakan motosikal Honda EX5.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, lelaki berusia 29 itu yang sebelum itu melarikan diri dengan sebuah kereta Honda Civic telah mengambil motosikal miliknya yang diletakkan di Kampung Buluh Gading, Manir dekat sini.
"Hasil soal siasat lelaki memandu kereta Honda Civic yang telah diberkas polis pada 4.30 petang semalam mendapati mereka telah singgah ke rumah tersebut sebelum suspek utama melarikan diri dengan motosikal miliknya.
"Sebelum itu, motosikal tersebut telah diletakkan di pekarangan rumah berkenaan oleh suspek utama sebelum mereka ke Kompleks Seri Iman dengan menaiki kereta berkenaan pada pukul 10 pagi," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Maut ditikam bakal adik ipar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana tembelang status perkahwinannya terbongkar, seorang tukang rumah berusia 29 tahun sanggup menikam bakal abang iparnya hingga mati di pekarangan Kompleks Seri Iman di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, suspek bertindak kejam menikam pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dari Pengkalan Kubor, Kelantan, Muhamad Shukri Husin, 34, sebanyak enam kali di bahagian dada dan leher dengan sebilah pisau berukuran kira-kira 15.24 sentimeter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, Muhamad Shukri bersama tujuh ahli keluarganya dari Kampung Sungai Renyut, Jeli, Kelantan berkunjung ke Pejabat Agama Islam di sini yang terletak di dalam Kompleks Seri Iman untuk memeriksa status perkahwinan suspek.

“Pemeriksaan itu mendapati bakal adik ipar mang­sa masih dalam status perkahwinan namun suspek mendakwa dia telah bercerai sehingga tercetus perbalahan di tempat letak kereta kompleks berkenaan.

“Suspek secara tiba-tiba telah mengeluarkan sebilah pisau yang disimpan di dalam kereta Honda Civic yang dinaikinya sebelum menikam mangsa bertubi-tubi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Muhamad Syukri yang bertugas di Stesen Kawalan JPJ Pengkalan Kubor, Kelantan menunggu masa untuk menimang anak pertama yang dijangka lahir pada bulan depan setelah hampir lima tahun berkahwin.

Wan Abd. Aziz berkata, seorang pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu telah bertindak menutup pintu pagar utama kompleks berkenaan namun suspek telah bertindak mengacu pisau terhadapnya dan mengarahkan lelaki itu tidak masuk campur.
Menurut beliau, suspek yang berasal dari Kampung Baloh, Manir dekat sini kemudiannya membuka pintu pagar itu sebelum bertindak melarikan diri dengan kereta Honda Civic berwarna merah yang dipercayai dipandu seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di lokasi kejadian telah menemui bungkusan surat khabar yang dipercayai digunakan untuk menyembunyikan pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan terbabit.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat. Gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan. kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Lelaki disyaki tetak sepupu diberkas

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat Kila ditahan kerana disyaki menyerang sepupu lelakinya bersama dua lelaki lain di Kampung Gong Pasir Oh, Jertih dekat Besut semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang berumur 41 tahun ditemui isterinya dalam keadaan cedera di bahagian belakang kepala, bahu kanan, tangan kanan dan belakang badan akibat di tetak ketiga-tiga suspek.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, setakat ini, Mat Kila telah berjaya diberkas di belakang sebuah rumah di Kampung Arpal Jerteh dekat Besut pada pukul 11 pagi tadi.
"Terdahulu, mangsa yang bekerja sebagai buruh telah di serang oleh tiga suspek bertopeng dan bersenjatakan pedang di hadapan rumahnya.
"Dia yang ditetak pada beberapa anggota badan dijumpai isterinya yang berumur 36 tahun tidak lama kemudian sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk menerima rawatan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, October 16, 2016

Final ulangan

BAGAIKAN aksi ulangan. Demikian gambaran perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini setelah juara bertahan, Selangor sekali lagi bakal membuat perhitungan dengan Kedah dalam aksi yang dijadualkan berlangsung di Stadium Shah Alam hujung bulan ini.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan ketiga melibatkan skuad Gergasi Merah dan Helang Merah selepas final edisi 2008 yang memihak Kedah 3-2 dan perlawanan akhir musim lepas yang mana Selangor menang dengan keputusan 2-0.

Pada pentas separuh akhir malam tadi, skuad Merah Kuning tidak berdepan masalah untuk meranapkan impian pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan keputusan 3-0.

Pasukan kendalian K. Gunalan itu berjaya mendapatkan dua gol awal menerusi pemain sayap, R. Gopinathan pada minit kedua sebelum tonggak pertahanan import, Ugo Ukah melebarkan kelebihan Selangor pada minit ke-19. 

Kapten pasukan, Andik Vermansyah menambah derita pasukan tuan rumah menjadikan kedudukan 3-0 pada minit-minit akhir perlawanan menjadikan kedudukan agregat 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir merupakan bonus terbaik buat pasukan Gergasi Merah setelah mengharungi musim suram tahun ini apabila tersingkir awal dalam saingan Piala FA, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan gagal memberi saingan dalam pentas Liga Super.

Susulan kegagalan tersebut, pengendali asal musim ini, Zainal Abidin Hassan dipecat Ogos lepas dan posisinya diambil alih oleh Gunalan yang dilihat kembali berjaya meniupkan api semangat pada barisan pemain Selangor.
Sementara itu, di Stadium Hang Jebat, Melaka, Kedah berjaya mengekalkan kelebihan selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali gus menjadikan kemenangan 2-1 pada separuh akhir pertama bulan lalu sudah cukup untuk membawa Helang Merah mara ke final buat tahun kedua berturut-turut.

Pada pentas akhir musim lepas, dua jaringan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri berjaya menamatkan badi Misi 33 Selangor yang ketika itu dibimbing oleh pengendali import, Mehmet Durakovic untuk meranapkan impian Kedah di Stadium Shah Alam.

Lelaki 221 kg tekad mahu kurus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kesukaran seorang lelaki obes seberat 221 kilogram (kg) sehingga tidak mampu berjalan mendapat perhatian pengendali pusat kecergasan dan gimnasium yang menawarkan per­khidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma kepadanya.

Pengendali pusat kecergasan itu, Mohd. Fairuz Nasiruddin berkata, perkhidmatan itu ditawarkan selama setahun kepada Mohamad Faisal Md. Ali, 28.

“Faisal akan mengikuti pelan pengurusan berat badan antaranya meliputi kawalan pemakanan dan aktiviti fizikal dengan sasaran turun sekurang-kurangnya 70 kg dalam tempoh setahun,” katanya selepas menyampaikan peralatan senaman kepada Faisal di rumahnya di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini semalam.

Sementara itu, Faisal berkata, dia bertekad untuk kurus dan dapat menjalani kehidupan se­perti orang lain.

Dia yang kini hanya mampu bergerak dengan alat bantu jalan memberitahu, kehidupannya sebagai individu obes amat perit kerana segala urusan kehidupan termasuk mandi dan makan terpaksa dibantu oleh ibunya, Kamsah Mat Noor, 57.

“Setiap hari sebahagian besar waktu dihabiskan dengan berba­ring sahaja dan terpaksa mengesot untuk bergerak di dalam rumah.

“Jika saya dapat kurus dan berjalan seperti biasa semula, perkara pertama yang akan saya buat ialah keluar bersiar-siar bersama kawan-kawan seperti dulu,” ujarnya.

Menceritakan semula pe­ngalamannya, anak kelima daripada lapan beradik itu memberitahu, berat badannya naik mendadak daripada 170 kg menjadi 221 kg sejak berhenti kerja akibat masalah kesihatan pada dua tahun lalu.

Dia yang sebelum ini merupakan pereka grafik di sebuah syarikat pencetakan batik di Kuala Terengganu berkata, kegemukan melampau itu menyebabkan kakinya lemah dan tidak berdaya untuk berjalan.

Faisal makan empat kali sehari dan makanan kegemaran antaranya, nasi dagang dan pulut panggang.

“Kemuncaknya, keluarga saya terpaksa meminta bantuan Ang­katan Pertahanan Awam Malaysia membawa saya dengan sebuah lori untuk mendapat ra­watan ke hospital pada April lalu.

“Sebelum ini, saya pernah berusaha berdiet dengan inisiatif sendiri selain makan ubat kurus tetapi gagal sehingga saya hampir putus asa,” katanya.

Saturday, October 15, 2016

T-Team tetap menghormati reputasi Selangor

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

“NIKMATI perlawanan esok (malam ini) dalam suasana berseronok dan jangan sesekali tertekan.”

Itu amanat pengendali T-Team, Rahmad Darmawan kepada anak-anak buahnya menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala Malaysia 2016 menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Rahmad berkata biarpun bakal berhadapan dengan pertarungan paling mencabar musim ini, pemain-pemainnya perlu tenang agar kekal fokus bagi merencanakan setiap taktikal yang te­lah dirancang di atas padang.

“Walaupun ketinggalan secara agregat, pemain-pemain telah diingatkan agar tidak terlalu ghairah untuk memburu jaringan.

“Mereka perlu juga berganding bahu untuk mengelak daripada gawang dibocori. Jika tidak, tugas kita untuk melangkah ke pentas akhir (Piala Malaysia) sudah pasti semakin sukar,” kata Rahmad selepas memantau sesi latihan terakhir skuad T-Team di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.

Rahmad yang merupakan bekas jurulatih skuad Bawah 23 Indonesia berkata anak-anak buahnya dituntut agar bermain dengan corak pantas sepanjang 90 minit perlawanan itu nanti.

Begitupun pengendali berusia 49 tahun tersebut juga mahu ke­sebelasan utama yang bakal diturunkan kelak bijak mengimbangi antara corak menyerang dan bertahan bagi memerangkap pergerakan Selangor.

“Kita harus sentiasa waspada kerana Selangor bukan calang-calang pasukan apatah pasukan itu merupakan juara bertahan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rahmad optimis ketiadaan tonggak pertahanan, Abdoulaye Maiga akibat penggantungan tidak akan merencatkan benteng pertahanan T-Team.

“Memang benar ketiadaan Maiga memang sedikit sebanyak dirasai namun bola sepak adalah permainan berpasukan. Kami juga sudah membuat persediaan termasuk melakukan simulasi dalam sesi latihan tanpa dia (Maiga).

“Saya akan memilih salah seorang antara Hasbullah Awang, Marzuki Yusoff atau Wan Ahmad Amirzafran untuk menggalas tugas Maiga pada perlawanan itu kelak,” katanya.

Pada aksi pertama di Shah Alam 1 Oktober lalu, T-Team tewas 1-2 namun mereka kini memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Mereka hanya perlu menang 1-0 malam ini untuk mengesahkan tempat ke final.