Translate

Thursday, June 23, 2016

Pasangan berpoligami perlu pulangkan sijil nikah palsu

KUALA NERUS - Pasangan suami isteri di negeri ini yang menggunakan khidmat sindiket pengedaran sijil dan akuan nikah palsu perlu memulangkan dokumen itu kepada pihak berkuasa bagi mengelak sebarang masalah pada masa depan.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, seharusnya pasangan suami isteri yang berpoligami secara tidak sah itu perlu menjalani proses yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terenganu (JHEAT).

"Perkara ini jika tidak diperbetulkan segera akan memberi kesan buruk bahkan  akan menyusahkan mereka pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Dana Raya kepada penduduk di Kampung Baru Seberang Takir di sini semalam.

Terdahulu beliau diminta mengulas berhubung penahanan tiga penjawat awam termasuk seorang pengawai JHEAT kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu pada Ahad lalu.

Kosmo! kelmarin melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga penjawat awam berusia dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket menguruskan pernikahan individu yang hendak berpoligami tanpa prosedur sah.

Kera cakar bayi dilepas ke Taman Negara Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kera yang mencakar pipi seorang bayi berusia lapan bulan dalam kejadian di Kampung Sungai Buaya, Dungun Jumaat lalu akan dilepaskan ke Taman Negara Terengganu, Tanjung Mentong, Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ne­geri, Mohd. Hasdi Husin berkata, pegawai agensi itu telah mengambil haiwan berkenaan dari jagaan pemiliknya, Syed Mohd. Hishamuddin Syed Mohd. Yassin, 36, pada pukul 12.45 te­ngah hari semalam.

“Pegawai Perhilitan telah pergi ke rumah pengadu (Syed Mohd. Hishamuddin) di Kampung Sungai Buaya, Dungun untuk menangkap kera terbabit selepas menerima aduan tentang serangan haiwan tersebut terhadap anaknya.

“Kita bercadang untuk melepaskan kera berkenaan ke dalam hutan di Taman Negara Terengganu dalam masa terdekat,” kata beliau kepada Kos­mo! di sini semalam.

Isnin lalu Kosmo! melaporkan anak Syed Mohd. Hishamuddin, Khaliffah Nurul Damia Qhalifa luka di pipi kirinya selepas dicakar oleh kera yang ditambat di sebatang tiang di luar rumahnya.

Sewaktu kejadian, bayi pe­rempuan itu didukung ibunya, Norhayati Mohd. Dahan, 36, yang sedang mengambil selipar di belakang rumah.

Berikutan kejadian itu, Kha­liffah telah dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi menjahit koyakan pada pipi kirinya.

Wednesday, June 22, 2016

Peniaga maut kereta rempuh pokok kelapa sawit

BESUT – Seorang peniaga maut selepas kereta Proton Wira yang dipandu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Kampung Bukit Tanah, Jertih dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2.28 petang itu, Md. Yusoff Che Mat (gambar kecil), 68, yang berasal dari Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kampung Raja di sini dari Kampung Kerandang, Jertih dekat sini.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki cerun curam di bahu jalan.
“Kenderaan itu kemudiannya merempuh sebatang pokok kelapa sawit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut di sini untuk dibedah siasat.

Pulangkan dokumen nikah palsu - MB

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman menasihatkan pasangan di negeri tersebut yang menggunakan khidmat sindiket pengedaran sijil dan akuan nikah palsu agar tampil memulangkan dokumen itu kepada pihak berkuasa dengan segera.
Beliau berkata, pasangan suami isteri yang mengamalkan poligami secara tidak sah tersebut perlu menjalani proses yang telah ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terenganu (JHEAT).
"Perkara ini jika tidak diperbetulkan segera akan memberi kesan buruk yang akan menyusahkan mereka pada masa akan datang," katanya sebagai mengulas penahanan tiga penjawat awam termasuk seorang pengawai JHEAT kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu pada Ahad lalu.
Terdahulu beliau ditemui pada majlis penyerahan Dana Raya kepada penduduk Seberang Takir di Kampung Baru Seberang Takir di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga penjawat awam berusia dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun kerana disyaki terlibat dalam sindiket menguruskan pernikahan individu yang hendak berpoligami tanpa prosedur sah. - K! ONLINE

Tuesday, June 21, 2016

Peniaga maut, kereta rempuh kelapa sawit

BESUT - Seorang peniaga maut selepas kereta Proton Wira yang dipandu terbabas sebelum merempuh sebatang pokok kelapa sawit di Kampung Bukit Tanah, Jertih dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.28 petang itu, Mohd. Yusoff Che Mat, 68, yang berasal dari Kampung Alor Jejawi, Kuala Besut dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Kampung Raja di sini dari Kampung Kerandang, Jertih dekat sini.
"Sewaktu melalui Kampung Bukit Tanah, kereta Proton Wira yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok kelapa sawit," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Pegawai jabatan agama ditahan

KUALA TERENGGANU – Tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) ditahan reman selama seminggu sehingga Ahad ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah palsu.
Perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 43 tahun itu dibenarkan oleh Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10 pagi semalam.
Sumber SPRM memberitahu, ketiga-tiga suspek disyaki terlibat dalam sindiket menguruskan pernikahan individu yang hendak berpoligami tanpa prosedur sah.
Di negeri ini, seorang suami yang mahu berpoligami perlu mendapat kebenaran isteri pertama selain melalui proses di mahkamah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pernikahan tersebut berlangsung di negara jiran, Thailand manakala surat pengesahan penikahan dan kad akuan nikah yang tidak sah akan dise­rahkan kepada mereka di negeri ini oleh sindiket berkenaan selepas segala urusan selesai.“Setiap pasangan perlu membayar sebanyak RM3,500 kepada sindiket terbabit meliputi perkhidmatan urusan pernikahan di negara jiran dan pengelua­ran dokumen pernikahan tidak sah tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sumber SPRM tersebut berkata, suspek pertama yang merupakan seorang pegawai JHEAT berusia 43 tahun ditahan ketika sedang menerima bayaran akhir berjumlah RM1,000 daripada satu pasangan yang menggunakan khidmat sindiket tersebut.

Menurut beliau, lelaki itu ditahan anggota penguat kuasa SPRM sewaktu hendak menye­rahkan dokumen pernikahan tidak sah itu di sebuah medan selera di bandar raya ini pada pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

“Suspek kedua pula berusia 30 tahun dan suspek ketiga berusia 34 tahun yang merupakan kakitangan kerajaan masing-masing diberkas di sekitar bandar raya ini pada pukul 5.30 petang dan 11.30 malam semalam (kelmarin).

“Wang tunai sebanyak RM2,600 turut dirampas daripada kedua-kedua suspek ber­kenaan dalam serbuan tersebut,” katanya.

Sumber itu berkata, kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Pe­risikan SPRM, Datuk Hishamuddin Hashim yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya JHEAT, Datuk Omar Musa yang dihubungi enggan mengulas berhubung penahanan tiga penjawat awam termasuk seorang pegawai jabatannya.

“Masih terlalu awal untuk saya ulas, biar SPRM menyiasat,” katanya.


Wanita berputih mata MPV dilarikan penjenayah

KUALA TERENGGANU – Gara-gara tidak mematikan enjin kenderaan sewaktu singgah ke kedai runcit, seorang suri rumah berputih mata selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova miliknya dilarikan penjenayah di Kampung Apek, Permaisuri, Setiu dekat sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, wanita berusia 59 tahun tersebut tergamam apabila mendapati, kenderaan miliknya yang diletakkan di hadapan kedai runcit tiba-tiba hilang tanpa di­sedari.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang memandu kenderaan itu seorang diri singgah ke kedai runcit berkenaan untuk membeli rokok suaminya.

“Wang tunai berjumlah RM4,500 yang disimpan di papan pemuka kende­raan tersebut turut dilarikan penjenayah.

“Selain itu, barangan lain yang juga hilang ialah kad pengenalan miliknya dan seorang cucu, lesen memandu, sebuah buku bank, buku cek dan surat gadaian barangan kemas,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Monday, June 20, 2016

Bayi cedera pipi dicakar kera yang dibela bapanya

KUALA TERENGGANU – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan cedera selepas pipinya dicakar seekor kera yang dibela ayahnya di rumah mereka di Kampung Sungai Buaya, Dungun Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9 pagi itu, pipi kiri Khaliffah Nurul Damia Qhalifa Syed Mohd. Hishamuddin luka akibat cakaran kera terbabit.

Bapanya, Syed Mohd. Hishamuddin Syed Mohd. Yassin, 36, berkata, sewaktu kejadian, anaknya itu sedang didukung oleh isterinya, Norhayati Mohd. Dahan, 36, untuk mengambil selipar di belakang rumah.

“Sewaktu hendak mengambil selipar itu, tiba-tiba kera yang ditambat di sebatang tiang di luar rumah melompat lalu menarik rambut anak saya.

“Anak saya meronta-ronta sebelum pipi kirinya dicakar oleh kera terbabit,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Wad Kanak-Kanak, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.

Syed Mohd. Hishamuddin berkata, panik dengan perbuatan kera tersebut, isterinya kemudiannya bertindak menghempas kera itu di tanah sebelum menjerit meminta pertolongannya.

Menurutnya, dia yang berada di dalam rumah meluru keluar sebelum bergegas membawa Khaliffah Nurul Damia Qhalifa ke Hospital Dungun dekat sini untuk mendapatkan rawatan.

“Anak saya kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Syed Mohd. Hishamuddin memberitahu, kera terbabit dipelihara sejak tiga tahun lalu dan selama ini, haiwan itu tidak pernah berkelakuan ganas.

Remaja selamat jalani pembedahan leher

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, yang cedera parah akibat bermain mercun bola pada Khamis lalu selamat menjalani pembedahan membaiki otot lehernya yang berlubang di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, pembedahan yang melibatkan empat pakar perubatan telinga, hidung dan tekak, pembedahan am serta plastik itu memakan masa kira-kira lima jam.

“Pembedahan yang berakhir pada pukul 2 petang itu bertujuan untuk memulihkan kembali kerosakan pada otot leher mangsa yang berlubang.
“Biarpun masih lemah, kea­daannya kini dilaporkan stabil,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohamad berkata, Mohd. Haiqal Firdaus perlu menjalani satu lagi pembedahan plastik bagi merawat bahagian dadannya yang melecur teruk akibat insiden berkenaan tidak lama lagi.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Noriah Awang (gambar), 41, berkata, Mohd. Haiqal Firdaus sudah mula sedarkan diri beberapa jam selepas keluar dari bilik pembedahan dan kea­daannya kini beransur pulih.

Kosmo! semalam melaporkan remaja yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu itu mengalami kecederaan parah pada leher, dada dan lengan selepas mercun bola yang dinyalakan meletup sebelum sempat dilempar di Kampung Tok Kah, Dungun.

Bot kargo Vietnam seludup diesel ditahan

KUALA TERENGGANU - Maritim Malaysia (APMM) Terengganu berjaya menahan sebuah bot kargo asing yang disyaki membawa 14,000 liter diesel bersubsidi di perairan Kuala Terengganu pada Rabu lalu.
Pengarah Penguatkuasa APMM Terengganu, Kepten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, seramai tujuh kru bot warga Vietnam turut ditahan dalam serbuan pada pukul 4.25 petang itu.
"Diesel bersudsidi dan bot kargo yang bernilai keseluruhan RM521,000 terbabit telah disita.
"Kesemua suspek juga ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Maritim Sembilan Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Saturday, June 18, 2016

Mangsa mercun selamat jalani pembedahan leher

KUALA TERENGGANU - Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, yang cedera parah akibat bermain mercun bola pada Khamis lalu selamat menjalani pembedahan membaiki otot lehernya yang berlubang semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, pembedahan yang melibatkan empat pakar perubatan dalam bidang telinga, hidung dan tekak (ENT), pembedahan am serta plastik itu memakan masa kira-kira lima jam.
"Pembedahan yang berakhir pada pukul 2 petang itu bertujuan untuk memulihkan kembali kerosakan pada otot leher mangsa yang berlubang.
"Biarpun masih lemah, keadaannya kini dilaporkan stabil," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Leher berlubang main mercun bola

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Seorang remaja berusia 14 tahun cedera parah pada leher, dada dan lengan selepas mercun bola yang dinyalakan meletup sebelum sempat dilempar di Kampung Tok Kah di sini kelmarin.
Sewaktu kejadian pada pukul 9 malam itu, Mohd. Haiqal Firdaus Mohd. Abdullah, 14, sedang bermain mercun terbabit kira-kira 200 meter dari rumah datuknya.
Ibu saudaranya, Noriah Awang, 41, berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Kampung Padang Pulut di sini telah berbuka puasa di rumah datuknya itu.
“Tiba-tiba kami mendengar bunyi letupan kuat tidak jauh dari rumah ibu bapa saya diikuti dengan bunyi erangan kesakitan dari seorang budak.
“Sebaik sahaja meluru keluar ke lokasi kejadian, alangkah terkejut saya apabila mendapati anak saudaranya (Mohd. Haiqal) berlumuran darah dengan lehernya berlubang dan sebahagian dadanya melecur teruk,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Noriah berkata, sewaktu ditemui anak saudara itu mengadu kesakitan sambil memegang lehernya dalam keadaan sedar.
Menurutnya, Mohd. Haiqal yang merupakan anak sulung daripada enam beradik tersebut kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Dungun di sini untuk menerima rawatan.
Menurut beliau, remaja itu kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menjalani pembedahan leher beberapa jam kemudian.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar berkata, selain kecederaan parah pada leher, Mohd. Haiqal turut melecur teruk pada dada dan kedua-dua lengan.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan remaja yang keciciran persekolahan sejak setahun lalu itu perlu menjalani pembedahan plastik bagi merawat kecederaan yang menimpanya.
“Keadaannya kini dilaporkan stabil dan ini kes mangsa letupan mercun pertama yang dilaporkan di Terengganu sepanjang bulan Ramadan ini," katannya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Ahmad Zailani Yaakub yang dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Toyota Innova dilarikan di hadapan kedai runcit

KUALA TERENGGANU - Gara-gara tidak mematikan enjin kenderaan sewaktu singgah ke kedai runcit, seorang suri rumah berputih mata selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova miliknya dilarikan penjenayah di Kampung Apek, Permaisuri, Setiu dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, wanita berusia 59 tahun tersebut tergamam apabila mendapati kenderaan miliknya yang diletakkan di hadapan kedai runcit tiba-tiba hilang tanpa disedari.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar berkata, sewaktu kejadian, mangsa yang memandu kenderaan itu seorang diri singgah ke kedai runcit berkenaan untuk membeli rokok suaminya.
"Wang tunai berjumlah RM4,500 yang disimpan di papan pemuka kenderaan tersebut turut dilarikan penjenayah.
"Selain itu, barangan lain yang juga hilang ialah kad pengenalan miliknya dan seorang cucu, lesen memandu, sebuah buku bank, buku cek dan surat gadaian barangan kemas," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE 

Thursday, June 16, 2016

Enam pelajar IPT cirit-birit lepas makan sup ayam bazar Ramadan

KUALA TERENGGANU - Seramai enam pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Marang dekat sini mengalami keracunan makanan selepas membeli makanan untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran pada Selasa lalu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohamad Omar berkata, kesemua pelajar terbabit mengalami cirit-birit dan muntah selepas memakan sup ayam yang dibeli di salah sebuah gerai di bazar Ramadan terbabit.
"Mereka telah dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan berhampiran dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
"Berikutan itu, Jabatan Kesihatan negeri telah melakukan siasatan dan mengarahkan pemilik gerai makanan terlibat agar menutup operasi serta-merta selama 14 hari bermula semalam (kelmarin)," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

KPDNKK Terengganu kesan 655 kesalahan peniaga bazar Ramadan

KUALA NERUS - Sebanyak 655 kesalahan berkaitan perihal dagangan direkodkan di seluruh Terengganu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri sepanjang 10 hari bulan Ramadan ini bermula 6 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Roslee Daud berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak meletakkan tanda harga, menipu timbangan dan menjual barangan tiruan.
"Kebanyakan kesalahan itu dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan. Begitupun setakat ini, kita hanya mengeluarkan notis amaran bagi mendidik dan memberi peringatan kepada mereka.
"Namun bermula pada Ahad ini, pendekatan kompromi dihentikan dan kompaun akan mula dikeluarkan terhadap peniaga yang masih berdegil melakukan kesalahan-kesalahan tersebut," katanya selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Barangan Musim Perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri di pasar raya Sabasun, Gong Badak di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua beradik edar dadah diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Dua beradik diberkas kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu, mercun dan kelongsong peluru dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Seberang, Bukit Payung di sini kelmarin.

Serbuan pada pukul 9.30 pagi itu pada mulanya menemui 100 biji mercun bola dan sebutir kelongsong peluru kosong di bahagian ruang tamu rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan lanjut terhadap ke­dua-dua lelaki yang masing-masing berusia 24 dan 26 tahun itu membawa kepada penemuan dadah terbabit.

“Suspek berusia 24 tahun mengaku me­nyembunyikan sebuah beg yang mengandungi dadah di belakang kuali besar yang digantung dalam bilik air rumah mereka.

“Pemeriksaan semula dalam rumah itu berjaya menemui beg tersebut yang mengandungi 50 biji pil berwarna merah disyaki syabu yang disimpan dalam kotak rokok diperbuat daripada besi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini semalam. 

Mohd. Suhaimi berkata, pihak polis juga menjumpai paket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan satu penimbang digital dipercayai digunakan untuk menimbang dadah terbabit.

Ramadan bererti bagi ibu tunggal lima anak

BESUT – Ramadan tahun ini lebih bermakna bagi seorang ibu tunggal dan lima anaknya apabila menerima sebuah rumah baharu menerusi program Rumah Komuniti sumbangan Pejabat Parlimen Besut di Kampung Beris Lampu, Kuala Besut di sini baru-baru ini.

Nor Mahani Mohamad, 43, berkata, penerimaan rumah secara percuma itu dianggap­nya sebagai rezeki sempena Ramadan.

Menurutnya, rumah tiga bilik dengan satu bilik air berkeluasan kira-kira 80 meter persegi itu cukup selesa.

“Sebelum ini, saya dan lima anak yang berusia lapan hingga 17 tahun menyewa rumah de­ngan kadar RM150 sebulan.

“Saya tidak pernah menduga untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika menerima kunci rumah tersebut daripada Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh di sini baru-baru ini.

Nor Mahani yang menyara keluarga dengan berniaga mi rebus turut menerima bantuan sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Idris yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, program Rumah Komuniti bertujuan untuk membina rumah secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan yang masih tidak memiliki rumah sendiri di kawasan Parlimen Besut.

Beliau berkata, rumah tersebut disiapkan dalam tempoh sebulan dengan kos RM20,000.

Wednesday, June 15, 2016

Dua beradik disyaki pengedar dadah diberkas

MARANG - Dua beradik diberkas kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu, mercun dan kelongsong peluru dalam serbuan di rumah mereka di Kampung Seberang, Bukit Payung di sini semalam.
Serbuan pada pukul 9.30 pagi itu pada mulanya menemui 100 biji mercun bola dan sebutir kelongsong peluru kosong di bahagian ruang tamu rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan lanjut terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 26 dan 24 tahun itu di Balai Polis Bukit Payung di sini kemudiannya membawa kepada penemuan dadah terbabit.
"Suspek berusia 24 tahun mengaku menyembunyikan sebuah beg yang mengandungi dadah terbabit di belakang kuali besar yang digantung di dalam bilik air rumah mereka.
"Pemeriksaan semula di dalam rumah itu pada pukul 10.10 pagi kemudiannya berjaya menemui beg tersebut yang mengandungi 50 biji pil berwarna merah disyaki syabu yang disimpan di dalam sebuah kotak rokok diperbuat daripada besi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini hari ini. - K! ONLINE

Tuesday, June 14, 2016

MB Terengganu berbuka bersama 5,000 penduduk

RAI. Seramai 5,000 penduduk daerah Kuala Nerus menghadiri majlis ber­bu­ka puasa anjuran UMNO Ba­hagian Kuala Nerus di Stadium Tertutup Sultan Mizan, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, seramai 200 anak yatim di sekitar daerah tersebut turut menerima sumbangan duit raya.

“Peruntukan untuk aktiviti sepanjang Ramadan juga diserahkan kepada 22 masjid dan 50 surau di seluruh Kuala Nerus,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Kuala Nerus baru-baru ini.

Program khas Maidam cari ulama muda

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Mai­dam) memperkenalkan program Memperkasa Institusi Ulama bertujuan menjejaki golongan muda yang berpotensi untuk dipupuk bagi mengisi beberapa jawatan penting bidang keagamaan di negeri itu pada masa depan.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, menerusi program tersebut, kumpulan pelajar terpilih yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bakal menerima penajaan pengajian mereka sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

“Kumpulan perintis seramai tujuh pelajar akan memulakan pengajian dalam bidang keagamaan di peringkat ijazah sarjana muda di universiti terpilih di Jordan mulai bulan September depan.

“Mereka yang berjaya mengekalkan kecemerlangan akan menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana pula di institusi pengajian tinggi tempatan sebelum dihantar ke negara Barat pula bagi peringkat PhD,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Shaikh Harun berkata, prestasi akademik dan sahsiah kesemua pelajar itu akan dipantau dan hanya mereka yang dapat mengekalkan kecemerlangan sahaja akan diserap untuk berkhidmat di jabatan agama Islam negeri setelah menamatkan pengajian masing-masing.

Menurut beliau, bakat mereka akan terus digilap dan bakal diberi keutamaan untuk disenarai pendek sebagai calon berpotensi untuk mengisi jawatan penting dalam bidang keagamaan negeri seperti mufti, imam besar dan pegawai kanan Maidam.

“Selain itu, program ini juga berfungsi serampang dua mata bagi melahirkan lebih ramai ulama hebat dan serba boleh yang mampu menyumbang kepada negeri pada masa hadapan,” katanya.

Monday, June 13, 2016

Kuih Tok Aji Serban menggamit selera

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebagaimana unik namanya, Tok Aji Serban, begitulah juga rasa keenakan kuih tradisional Terengganu ini yang lemak-lemak manis sehingga menggamit selera penduduk ne­geri ini setiap kali bulan Ramadan.

Kuih tersebut sesuai dijadikan sebagai pemanis mulut selepas menjamah makanan berat seperti nasi ketika berbuka puasa.

Seorang pengusaha kuih tersebut, Nurasyikin Abdullah, 29, berkata, tahun ini beliau menyajikan kuih Tok Aji Serban di gerainya di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini.

Menceritakan bagaimana kuih tradi­sional tersebut boleh dinamakan Tok Aji Serban, Nurasyikin berkata, kuih tersebut mempunyai dua lapisan iaitu sekaya telur pada lapisan atas manakala lapisan bawah pula ialah pulut.

“Lapisan sekaya telur dibuat daripada telur, gula nisan (gula melaka), santan dan garam.

“Rahsia kelazatan kuih ini ialah adunan telur dan bahan-bahan lain yang perlu seimbang dan dibancuh sehingga sebati sebelum dicurahkan di atas lapisan pulut yang kemudian dikukus selama kira-kira setengah jam,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Nurasyikin yang menetap di Manir di sini berkata, tiga ketul kuih Tok Aji Serban dijual pada harga RM5.

Menurut beliau, sepanjang bulan Ramadan ini, sebanyak 16 loyang kuih Tok Aji Serban yang dibawa untuk jualan di bazar tersebut biasanya habis dijual dalam tempoh kurang dua jam selepas gerainya dibuka pada pukul 4 petang.

“Kalau di luar bulan Ramadan, saya hanya akan mengambil tempahan dari rumah untuk majlis keraian seperti perkahwinan, kenduri kesyukuran dan cukur jambul,” katanya.

Saturday, June 11, 2016

Warga emas hilang lima hari ditemui selamat di hutan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Bukit Tok Hat, Bukit Parit di sini sejak lima hari lalu ditemui selamat semalam.

Fatimah Ismail, 71, yang menghidap penyakit Parkinson dan nyanyuk ditemui dalam keadaan lemah serta tidak bermaya oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11.29 pagi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu ditemui, Fatimah sedang bersandar di bawah sebatang pokok di kawasan hutan Bukit Tok Hat yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

“Sehelai tuala dan tapak kaki yang dijumpai kira-kira 500 meter dari lokasi wanita itu ditemui sebelum itu telah menjadi petunjuk yang membawa kepada pe­nemuan warga emas berkenaan.

“Sewaktu ditemui anggota pasukan mencari dan penyelamat, Fatimah ber­ada dalam keadaan lengkap berpakaian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, selepas ditemui Fatimah telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu bagi menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan semakin stabil.

Isnin lalu, ahli keluarga Fatimah telah membuat laporan polis di Balai Polis Marang di sini selepas warga emas itu dilaporkan tidak pulang setelah keluar pada pukul 9 pagi, 6 Jun lalu.

Operasi mencari dan menyelamat yang dianggotai 50 orang terdiri daripada  anggota polis, bomba, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan penduduk kampung telah digerakkan selepas usaha mencarinya di beberapa rumah saudara terdekat gagal.

Mereka dengan bantuan dua ekor anjing pengesan telah mencari warga emas itu di sekitar kawasan hutan dan kebun kelapa sawit di Bukit Tok Hat berhampiran Institut Latihan Perindustrian Marang di sini.

Friday, June 10, 2016

Warga emas sesat dalam hutan ditemui selamat

MARANG - Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di dalam kawasan hutan Bukit Tok Hat, Bukit Parit di sini sejak lima hari lalu berjaya ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Fatimah, 71, yang menghidap penyakit Parkinson dan kurang daya ingatan ditemui dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 11.29 pagi.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu ditemui, Fatimah bersandar di bawah sebatang pokok di dalam kawasan hutan terbabit yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.
"Sehelai tuala yang dijumpai kira-kira 500 meter dari lokasi berkenaan sebelum itu telah menjadi petunjuk yang membawa kepada penemuan warga emas," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Peniaga bazar Ramadan ‘pengotor’ akan disenarai hitam

KUALA TERENGGANU –Peniaga bazar Ramadan di Terengganu yang didapati gagal mengutamakan amalan kebersihan dan keselamatan makanan bakal dikenakan tindakan disenarai hitam.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang tidak mematuhi etika dan peraturan sehingga memudaratkan kesihatan orang ramai.

“Aspek kebersihan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan perlu dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan pembeli.

“Kita tidak akan bertolak-ansur dengan peniaga yang menjual makanan basi atau masalah lain yang memudaratkan pembeli. Mereka yang didapati bersalah akan disenarai hitam dan tidak dibenarkan lagi berniaga di kawasan lain walaupun di luar bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohamad Omar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Mohamad Kamil Othman di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, seramai 26 pasukan yang dianggotai 288 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan telah dikerahkan untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan terhadap 6,774 peniaga makanan di bazar Ramadan di seluruh Terengganu sepanjang bulan puasa ini.

Menurut beliau, pemeriksaan juga dijalankan terhadap 56 pembekal bahan mentah meliputi pembekal ayam, daging, ikan, bahan runcit, ais dan kuih-muih tempatan.

“Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati 17 premis berada pada tahap Gred A (Sangat Baik) manakala selebihnya mendapat Gred B (Baik),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sedang berusaha untuk memperbanyakkan lagi premis makanan Gred A di seluruh ne­geri ini.

Wednesday, June 8, 2016

Kompaun mandatori RM300 kesalahan guna lorong kecemasan

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk mengenakan kompaun mandatori RM300 kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, sememangnya kompaun maksimum RM300 dikenakan bagi kesalahan tersebut tetapi PDRM menggunakan budi bicara untuk memberikan diskaun.

“Oleh kerana kesalahan menggunakan lorong kecemasan kerap berlaku sehingga mengganggu kerja-kerja menyelamat, kita akan mencadang­kan agar kompaun bagi kesalahan tersebut tidak layak menerima pe­ngurangan pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran PDRM Peringkat Kebangsaan 2016 di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengeluarkan 91 notis temu siasat kepada pemilik kenderaan yang didapati menggunakan lorong kecemasan di Kilometer 228 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Simpang Ampat, Melaka pada 22 Mei lalu sehingga menghalang laluan ambulans.

Tuesday, June 7, 2016

Zakat fitrah di Perlis, Johor naik

Oleh Wartawan Kosmo!

KUALA LUMPUR – Kadar zakat fitrah bagi tahun 2016 di Johor dan Perlis menyaksikan kenaikan antara RM1 hingga RM0.50 sen, manakala kadar zakat di Terengganu diselaraskan daripada tiga kategori kepada satu kategori sahaja iaitu RM7.

Kadar zakat fitrah tahun ini di lain-lain negeri di seluruh negara adalah bersamaan dengan bayaran tahun 2015 dengan kadar paling rendah di Negeri Sembilan RM6.50, manakala sembilan negeri lain kekal RM7.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Pengerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis me­ngumumkan kadar zakat fitrah di Perlis naik 50 sen pada tahun ini iaitu RM7 berban­ding RM6.50 pada 2015.

Sementara itu di Johor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor, Mohd. Rofiki Shamsudin berkata, kadar zakat fitrah tahun ini di negeri itu bagi keluarga dalam kategori gred beras hancur 15 peratus naik RM1 daripada RM5 kepada RM6, manakala kategori beras standard (lima dan 10 peratus ke atas) kekal RM8.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) me­ngumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada kadar minimum RM7.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 pe­ratus dan lima peratus hancur di pasaran.

“Selain wang tunai, zakat fitrah juga boleh dibayar de­ngan 2.6 kg beras yang bersamaan dengan 2.97 cupak atau satu gantang Baghdad,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Shaikh Harun berkata, sebelum ini, zakat fitrah bagi Terengganu ditetapkan pada tiga kadar iaitu RM7.40, RM6.80 dan RM4.60 mengikut gred beras yang dimakan pada setiap keluarga.

Sementara itu, menurut sumber Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), setiap ne­geri mempunyai kadar bayaran zakat fitrah yang berbeza dan mengikut Majlis Agama Islam negeri di seluruh negara.

Warga emas, kanak-kanak maut dalam dua kemalangan berasingan

KUALA TERENGGANU – Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) terus meragut nyawa apabila seorang warga emas dan kanak-kanak perempuan maut dalam dua kemalangan berasingan di Ajil, Hulu Terengganu dan Paka, Dungun dekat sini semalam.

Dalam kejadian pertama, seorang warga emas, Bakar Mat Amin, 64, dari Kampung Laut di sini me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Pero­dua Alza yang dipandu isterinya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 392.5 LPT 2 berhampiran Ajil, Hulu Terengganu pada pukul 12.30 tengah malam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Pengusaha Bomba Kanan II, Mohd. Nor Ali berkata, lima penumpang lain termasuk pemandu kende­raan, Cik Saudariah Ismail, 61, mengalami kecederaan parah.

“Empat lain yang cede­ra parah ialah anak dan menantu pasa­ngan tersebut iaitu Rosliza, 36, dan Kamarulzaman Jaafar, 35, serta dua orang cucu mereka, Mohd Kasifilah Rahimi,9, dan Mohd Khairi Rafikin, 3,” katanya di sini semalam.

Mohd. Nor berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan Perodua Alza yang dipandu Cik Saudariah telah merempuh belakang sebuah treler membawa muatan simen yang sedang bergerak di laluan kiri.

Beliau memberitahu, sewaktu kejadian, enam beranak terbabit dalam perjalanan ke Ajil dari Bukit Besi, Dungun.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia tujuh tahun maut selepas tercampak keluar apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 333.5 LPT 2 berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, Dungun pada pukul 9.10 pagi.
Amni Khatijah Amirud­din (gambar kecil) yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman dekat sini me­ninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala sewaktu dalam perjalanan untuk mene­rima rawatan di Klinik Kesihatan Kete­ngah Jaya, Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, kejadian berlaku selepas Toyota Hilux dipandu bapa mangsa, Amiruddin Mamat, 39, dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta Toyota Camry.

“Rempuhan itu menyebabkan Toyota Hilux itu hilang kawalan sebelum terbalik sebanyak beberapa kali. Bapa dan ibu mangsa, Faridatul Akma Mohamad, 37, serta tiga adik-beradiknya iaitu Ammar Yusof, 10, Fariz Ismail, 9, dan Fahim Abdullah, 2, terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan untuk menziarahi ahli keluarga mereka yang sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

Monday, June 6, 2016

Kempen PRK Sungai Besar dijangka panas

KUALA TERENGGANU – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang bakal bermula selepas proses penamaan calon pada 5 Jun ini dijangka berlangsung dalam keadaan panas dan tegang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, di kawasan Sungai Besar, sekurang-kurangnya 50 kawasan ‘panas’ yang berpotensi berlaku kekecohan telah dikenal pasti.

“Seramai 7,000 anggota polis akan dikerahkan untuk bertugas bagi membantu kelancaran kedua-dua PRK berkenaan sepanjang kempen pilihan raya.

“Oleh kerana kita menjangkakan PRK Parlimen Sungai Besar lebih ‘panas’, maka seramai 5,000 anggota polis akan ditempatkan di situ manakala selebihnya di Kuala Kangsar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Majlis Tilawah al-Quran Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan di sini semalam.

Noor Rashid berkata, PDRM menasihatkan parti-parti politik yang akan bertanding dalam kedua-dua PRK berkenaan agar berkempen secara berhemah bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Warung Nasi Dagang Kak Ros jamu pelanggan sempena Ramadan

KUALA TERENGGANU – Pengusaha Warung Nasi Dagang Kak Ros yang terletak di Kampung Atas Tol di sini menjamu kira-kira 3,500 pelanggannya dengan makanan tradisional terbabit secara percuma sempena me­nyambut ketibaan bulan Ramadan semalam.

Rohana Yusoff, 43, berkata, seba­nyak 108 kilogram (kg) nasi dan 200kg ikan tongkol yang disediakan bagi menyediakan nasi dagang terbabit habis dalam tempoh empat jam selepas warung­nya dibuka pada pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut menyediakan 18kg nasi lemak dan 80kg laksa untuk dinikmati secara percuma oleh pelanggan.

“Amalan mengadakan jamuan percuma ini sehari sebelum ketibaan Ramadan merupakan tradisi Warung Nasi Dagang Kak Ros sejak lima tahun lalu.

“Ia sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan kepada pelanggan setia yang tidak putus-putus memberi sokongan sejak warung ini mula beroperasi 10 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di warung­nya semalam.