Translate

Friday, December 31, 2021

Banjir: Mangsa banjir Terengganu meningkat 390 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mangsa banjir di daerah ini terus meningkat kepada 390 orang daripada 115 keluarga hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, setakat ini, petempatan terjejas masih kekal dua iaitu Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terletak di Hulu Dungun di sini.

“Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 163 mangsa daripada 55 keluarga.

“Seramai 225 mangsa daripada 60 keluarga pula berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rosman berkata, langkah berjaga-jaga diambil memandangkan kebanyakan kawasan di Terengganu masih hujan buat masa ini. – K! ONLINE

Banjir: Terengganu meningkat 388 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mangsa banjir di daerah ini terus meningkat kepada 388 orang daripada 114 keluarga.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, banjir yang melanda Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun sebelum ini telah merebak ke Kampung Shukor yang terletak bersebelahan.

“Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Shukor telah dibuka pada pukul 6.30 petang tadi.

“Setakat ini, seramai 225 mangsa daripada 60 keluarga telah ditempatkan di PPS berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rosman berkata, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja yang beroperasi lebih awal kini menempatkan 153 mangsa daripada 54 keluarga.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, tiga lembangan sungai di Terengganu berada pada paras bahaya.

“Selain Sungai Dungun berhampiran Kampung Pasir Raja, dua lembangan lain yang mengalami kenaikan paras air mendadak ialah Sungai Telemong berhampiran Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Besut berhampiran Jambatan Keruak,” katanya. – K! ONLINE

Industri pelancongan perlu bangkit semula

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TAHUN 2021 mungkin memori yang mahu dilupakan oleh pengiat pelancongan tempatan termasuk di Pantai Timur.

Pemulihan daripada impak negatif penularan pandemik Covid-19 yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya kes positif Co­vid-19 meningkat mendadak sehingga memaksa operasi sektor pelancongan dihentikan ekoran penutupan sempadan negeri se­awal bulan Februari lagi.

Pembukaan semula rentas negeri pada bulan Oktober lalu bukanlah berita terlalu menggembirakan, memandang­kan ia terlalu hampir dengan ketibaan musim tengkujuh.

Ramai penggiat pelancongan khususnya di rangkaian pulau peranginan di Terengganu tiada pilihan, selain mengambil risiko beroperasi pada monsun Timur Laut yang sudah bermula pada awal November lalu demi kelangsungan perniagaan.

Malangnya, baru hendak ‘bernafas’, sektor pelancongan khususnya diuji lagi dengan bencana banjir besar yang melanda negara termasuk sebahagian Pahang pada 18 Disember lalu.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin mengakui, bencana banjir tersebut memberi tamparan buat sektor pelancongan di Pantai Timur.

Beliau berkata, banyak produk pelancongan khususnya di Janda Baik, Bentong, Lanchang, Temerloh, Gambang dan Kuantan di Pahang serta Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan yang mengalami kerosakan akibat banjir.

“Kemusnahan itu mengakibatkan kerugian besar mencecah puluhan juta ringgit,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Hafiz berkata, penggiat pelancongan Terengganu juga tetap menerima tempias secara tidak langsung walaupun situasi banjirnya pada masa ini tidak ­kronik seperti negeri-negeri lain.

Ujar beliau, impak jangka pendek ialah ramai pengunjung sukar ke Terengganu berikutan akses terhadap disebabkan penutupan banyak jalan utama yang ditenggelami banjir.

“Bencana banjir ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka sederhana berhubung kemasukan pelancong ke Pantai Timur termasuk Terengganu.

“Kita boleh jangka ramai yang merancang untuk melancong terpaksa membatalkannya. Sebaliknya tumpuan kewangan akan diberikan untuk membaiki dan mengganti aset yang rosak akibat bencana itu,” katanya.

Hafiz berkata, kemungkinan itu secara tidak langsung memberi cabaran besar sektor pelancongan pada tahun 2022 kerana kebergantungan terhadap pe­ngunjung domestik amat tinggi dalam tempoh dua tahun ini.

Selain itu, beliau menambah sukar untuk menarik pelancong asing pada masa terdekat ekoran peningkatan kes varian baharu, Omicron di peringkat global.

“Sehubungan itu, inisiatif pakej rangsangan dicadang untuk membantu penggiat agar dapat bangkit secepat mungkin.

“Harapan tahun 2022 sepatutnya cerah kerana berdasarkan kaji selidik dalam pelancong asing dan domestik yang telah melawat Pulau Langkawi baru-baru ini, destinasi pilihan untuk program gelembung pelancongan kedua ialah Pantai Timur khususnya Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, semua pihak perlu berganding bahu bagi menghidupkan semula sektor pelancongan.

Beliau berkata, kerosakan yang dialami penggiat pelancongan akibat bencana banjir perlu dibaiki dan dipulihkan segera.

“Kita perlu bangkit untuk menghidupkan semula sektor pelancongan. Ini harus dilakukan bersama oleh semua pemegang taruh berkepentingan,” katanya. -K! ONLINE

Wednesday, December 29, 2021

Guru maut, dua adik kritikal kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang guru wanita maut manakala dua adik perempuannya kritikal setelah kereta Honda City dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Telaga Papan di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, meninggal dunia manakala dua adik perempuannya, Siti Nur Ummi Nabihah, 19, dan Nur Qaseh Balqis, 10, pula cedera parah di beberapa anggota badan.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa dikatakan dalam perjalanan mengikut pasangan pengantin baru untuk mengambil foto perkahwinan di Pantai Penarik di sini.

Mereka yang menetap di Kampung Chalok Kedai di sini merupakan ahli keluarga pasangan pengantin tersebut yang baru melangsungkan perkahwinan hari ini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, kereta Honda City yang dipandu Nurul Salikin dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.

“Kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah merempuh tunggul kayu di bahu jalan.

“Mereka sempat dikeluarkan oleh ahli keluarganya dengan bantuan orang ramai sebelum kereta itu terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, Nurul Salikin disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini.

Tambah beliau, dua lagi mangsa iaitu Siti Nur Ummi Nabihah dan Nur Qaseh Balqis yang cedera parah pula dirawat di hospital sama.

Banjir: Terengganu pulih sepenuhnya

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya selepas hampir semua 66 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, buat masa ini, mangsa banjir hanya tinggal sembilan orang daripada tiga keluarga.

“Mereka masih berada di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor di sini.

“Dua PPS yang dibuka sebelum ini iaitu Surau Kampung Ban Ho dan SK Bukit Mentok di sini telah ditutup secara berperingkat mulai pukul 9 pagi tadi,” katanya di sini hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, banjir di Bukit Mentok juga dijangka bakal pulih sepenuhnya pada petang ini.

Beliau berkata, ia berikutan cuaca baik di seluruh Terengganu sejak semalam. – K! ONLINE

UniSZA umum cuti bencana banjir lapan hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengumumkan cuti bencana selama lapan hari sehingga Ahad ini ekoran banjir yang menjejaskan beberapa negeri.

Pemangku Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Fadzli Adam berkata, pengurusan universiti
memahami aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) pastinya terganggu buat sebahagian pelajarnya terkesan disebabkan bencana banjir tersebut.

“Sehubungan itu, UniSZA mengumumkan cuti bencana selama lapan hari bermula 19 Disember lalu.

“Sepanjang tempoh itu, sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran, dan penghantaran tugasan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus dan campuran) ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadzli berkata, keputusan tersebut dilakukan sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan UniSZA terhadap kebajikan pelajar.

Begitu pun, beliau memberitahu, bagi fakulti Perubatan, cuti bencana tersebut hanya melibatkan pelajar tahun satu.

“Pelajar Fakulti Perubatan UniSZA lain masih perlu menjalani PdP seperti biasa,” katanya. – K! ONLINE

UMT hantar sukarelawan banjir ke Selangor, Pahang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menghantar sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pasca banjir di Lembah Klang dan Pahang.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, seramai dua pasukan yang masing-masing terdiri daripada 50 pelajar akan berlepas ke lokasi bencana terbabit pada hujung minggu ini.

“Sambutan diterima pelajar UMT untuk menyertai sukarelawan banjir itu amat memberangsangkan dengan hampir 400 orang telah mendaftar.

“Begitupun mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita terpaksa mengehadkan kepada 50 orang sahaja bagi setiap pasukan,” katanya ketika ditemui di UMT di sini hari ini.

Mazlan berkata, seramai 100 pelajar UMT tersebut akan menyertai Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia bagi melakukan kerja-kerja sukarelawan terbabit bersama pelajar institusi pengajian tinggi awam lain.

Jelas beliau, sukarelawan terbabit akan melakukan kerja-kerja membersihkan sisa-sisa banjir di bawah koordinasi agensi penyelamatan.

“Kita juga akan membawa peralatan pembersihan seperti pam air bertekanan tinggi, mop dan penyodok yang dikatakan sukar didapati di lokasi bencana,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan memberitahu, UMT mengumumkan cuti tujuh hari sehingga Ahad ini ekoran bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada minggu lalu.

Beliau berkata, sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugasan pelajar ditangguhkan sepanjang tempoh tersebut. – K! ONLINE

Ikan paus terdampar di Pantai Merchang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pekerja sebuah resort gempar dengan penemuan seekor ikan paus yang terdampar di Pantai Merchang di sini hari ini.

Anak ikan paus yang dianggarkan seberat satu tan tersebut dijumpai terdampar di gigi pantai terbabit pada pukul 10 pagi.

Pemilik resort tersebut, Abd. Latif Jamaludin, 53, berkata, penemuan ikan paus tersebut kemudiannya dimaklumkan kepada Jabatan Perikanan.

“Sewaktu ditemui, kami mendapati ikan paus dalam keadaan lemah tetapi matanya kelihatan berkelip-kelip.

“Ia kemudiannya diambil pasukan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang pada pukul 12 tengah hari,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Abd. Latif berkata, sebelum ini, beliau dan pekerjanya pernah menjumpai bangkai ikan paus di lokasi sama pada tahun 2017.

Sementara itu, Pengarah FRI Rantau Abang, Sharum Yusof berkata, ikan paus itu gagal diselamatkan kerana terlalu lemah.

“Bangkai ikan paus tersebut dibawa ke FRI Rantau Abang untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tuesday, December 28, 2021

Kemudahan teknologi di mahkamah syariah ketinggalan 10 tahun

 




Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Institusi kehakiman syariah memerlukan transformasi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidek berkata, berbanding dengan institusi mahkamah sivil, mahkamah syariah jauh ketinggalan dengan kebanyakan kemudahan teknologi dimilikinya berusia lebih 10 tahun.

“Sewaktu mahkamah sivil sudah memiliki sistem yang membolehkan urusan pendaftaran kes dan pembayaran dilakukan secara online, mahkamah syariah masih perlu melakukan secara manual di kaunter.

“Keterangan-keterangan (prosiding) di mahkamah syariah juga perlu dicatat secara tulisan tangan sedangkan mahkamah sivil yang sudah menggunakan sistem visual audio iaitu sistem rakaman mahkamah,” katanya ketika ditemui pada majlis Cabaran Pegawai-Pengawai Syariah dalam Mendepani Revolusi Industri 4.0 di sini malam tadi.

Program yang dirasmi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim itu turut dihadiri Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun.

Wan Abdul Malik berkata, kekangan tersebut menimbulkan kesukaran bagi melakukan koordinasi antara negeri selain secara tidak langsung banyak kes-kes syariah tertunggak serta lewat diselesaikan terutama sewaktu penularan pandemik Covid-19 ini.

Pengerusi Persatuan Pegawai Syariah Terengganu itu berkata, kelewatan penyelesaian kes berkenaan bukan sahaja menyebabkan institusi kehakiman syariah dilihat sebagai tidak efisien dan efektif malah dikhuatiri boleh menjejaskan individu terlibat ekoran lewat mendapat keadilan.

“Sehubungan itu, saya mohon isu tersebut diambil cakna oleh kerajaan bagi menambah baik sistem sedia ada di mahkamah syariah,” katanya. – K! ONLINE

Ketulan batu berlilin disahkan bukan muntah ikan paus

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ketulan batu berlilin yang dijumpai seorang pengusaha kedai makan pada akhir bulan lalu disahkan bukan muntah ikan paus.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, keputusan tersebut dimaklumkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan Universiti Malaysia (UMT), Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berdasarkan analisis sampel ketulan itu.

Beliau berkata, mengikut analisis makmal yang dilakukan bersama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang dan UMT, objek tersebut tidak memiliki ciri-ciri ambergis atau muntah ikan paus.

“Analisis makmal dikeluarkan semalam mendapati sampel ketulan tersebut mendapati ia tidak mempunyai bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone.

“Tiga elemen tersebut terkandung dalam muntah ikan paus yang tulen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ruzaidi berkata, analisis termal juga mendapati ketulan yang dijumpai Aida Zurina Long, 41, tersebut melebur pada suhu 76.04 darjah celcius sedangkan titik lebur muntah paus tulen ialah 82.32 darjah celcius.

ambah beliau, analisis makmal mendapati objek tersebut yang sedikit berserabut berkenaan terbentuk daripada pengumpulan bahan organik seperti asid lemak.

Kosmo! 15 Disember lalu melaporkan Aida Zurina menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus sewaktu memancing bersama keluarganya di Marang pada akhir bulan lalu. – K! ONLINE

Pemborong ayam gagal patuhi harga siling dikompaun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kedegilan sebuah syarikat pemborong ayam ingkar mematuhi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) membawa padah apabila dikompaun baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro Dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pemeriksaan mendapati pemborong terbabit menjual ayam melebihi harga siling ditetapkan iaitu RM8 sekilogram.

“Pemborong di Kuala Terengganu itu didapati menjual ayam pada harga sehingga RM8.30 sekilogram pada 9 Disember lalu.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu telah mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemborong itu,” katanya selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMMP) Krismas peringkat Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nurkhuzaini berkata, sebanyak lapan premis makanan di negeri ini telah dikompaun atas pelbagai kesalahan dalam Ops. Menu yang berakhir Selasa lalu.

Jelasnya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang tidak ditentusahkan.

“Kesemua pengusaha restoran tersebut dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya. – K! ONLINE

Ambil pengajaran bencana banjir luar jangka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Penduduk Terengganu khususnya yang menghuni di pesisir pantai perlu sentiasa bersedia menghadapi bencana walaupun episod kedua banjir di negeri itu baru berakhir Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, mereka harus mengambil pengajaran akibat bencana banjir luar jangka yang menimpa Lembah Klang-baru ini.

“Bencana banjir sekarang sukar diramal, sewaktu jangkaan awal memberikan tumpuan kepada Pantai Timur, hujan terlalu lebat hingga membawa banjir besar pula melanda Selangor baru-baru ini.

“Selain itu, jika mengikut ramalan cuaca, hujan akan kembali turun di Terengganu mulai Rabu (kelmarin) tetapi ia tidak berlaku pula,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu, Md. Hilman menasihatkan, penduduk negeri ini yang menetap di lokasi rendah dan berhampiran pantai agar perlu sentiasa peka dan berpindah segera sebaik nampak tanda-tanda rumah akan dinaiki air.

Tambah beliau, mereka disaran jangan menunggu sehingga paras banjir naik mendadak sehingga ia menyukarkan operasi penyelamatan dan merisikokan nyawa.

“Masalahnya, segelintir masih ambil ringan dan menganggap sudah biasa dengan banjir tanpa memikirkan kemungkinan situasi luar jangka boleh terjadi seperti banjir besar di Kemaman pada tahun 2014.

“Diarah pindah awal tidak mahu dan apabila paras banjir sudah terlalu tinggi pada lewat malam baru cemas meminta pertolongan. Operasi penyelamatan waktu itu memang sangat berisiko,” katanya. – K! ONLINE

UniSZA hantar misi pasca banjir ke Selangor

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultanah Zainal Abidin (UniSZA) melancarkan misi bantuan untuk membantu keluarga pelajarnya yang terlibat dengan bencana di Selangor.

Pemangku Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr Fadzli Adam berkata, seramai 68 orang daripada 139 pelajar yang terjejas banjir tersebut menetap di Selangor.

“Seramai 40 orang daripada pelajar kami yang tinggal di Selangor terjejas teruk dengan banjir khususnya yang berada di daerah Klang, Shah Alam, Kuala Langat dan Hulu Langat.

“Sehubungan itu, UniSZA ambil inisiatif melakukan misi pasca banjir membersihkan rumah keluarga pelajar terlibat dan sekitarnya,” katanya selepas melepaskan misi bantuan banjir di kampus UniSZA di sini hari ini.

Fadzli berkata, selain membersihkan kediaman, misi tersebut turut menyediakan bantuan kewangan dan makanan terhadap mangsa banjir berkenaan.

Tambah beliau, misi bantuan banjir itu melibatkan 100 sukarelawan terdiri daripada kakitangan dan pelajar UniSZA.

“Mereka akan menyertai misi bantuan banjir selama tiga hari sehingga lusa dengan melibatkan logistik seperti dua buah bas, tiga van, tiga kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori,” katanya. – K! ONLINE

Penyelidik UniSZA berjaya cerap komet Leonard

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya mencerap komet Leonard di Balai Cerap Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Merang di sini pada kelmarin.

Felo ESERI, Prof. Madya Dr. Roslan Umar berkata, imej komet berkenaan berjaya dirakam di balai cerap itu pada pukul 8.23 malam.

“Kumpulan penyelidik UniSZA telah melakukan penjejakan komet Leonard sejak beberapa minggu namun waktu tersebut ia tidak berjaya dicerap kerana faktor cuaca.

“Komet tersebut yang juga dikenali sebagai C/2021 A1 mula-mula ditemui J.S Leonard yang merupakan ahli astronomi dari University of Arizona, Amerika Syarikat pada 3 Januari lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Komet merupakan jasad cakerawala terdiri daripada gumpalan batu, ais, debu dan campuran gas yang bergerak mengelilingi Matahari dalam sistem Suria.

Ia membeku apabila menjauhi Matahari namun mengewap membentuk kepala bergas dan ekor apabila mendekati matahari.

Roslan berkata, komet Leonard yang mula dikesan di Balai Cerap Gunung Lemmon berhampiran dengan Tucson Arizona, Amerika Syarikat tersebut merupakan komet baharu terawal ditemui pada tahun ini.

Penyelidik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA itu berkata, komet Leonard adalah jenis ultralaju yang bergerak 254,412 kilometer sejam (km/j) berbanding bumi.

“Ia kelihatan dari hemisfera selatan sepanjang bulan ini dan Januari depan. Oleh itu di Malaysia, ia boleh dinampak dari ufuk barat daya sejurus matahari terbenam sehingga akhir bulan depan.

“Begitupun, komet itu sukar dilihat dengan mata kasar sebaliknya boleh dicerap menggunakan binokular atau teleskop,” katanya. – K! ONLINE

Friday, December 24, 2021

Ramai minat beli ‘muntah ikan paus’

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN – Sebaik sahaja seorang pengusaha kedai makan mendedahkan mengenai pene­muan ketulan batuan berlilin dipercayai muntah ikan paus, wanita itu menerima banyak panggilan daripada individu dan pihak yang berminat untuk membelinya

Aida Zurina Long, 41, berkata, ramai yang berminat untuk membeli muntah paus yang ditemuinya.

Begitupun wanita itu berkata, setakat ini, ketulan batuan berlilin itu masih belum dijual dan berada selamat dalam simpanannya.

KEMAMAN – Sebaik sahaja seorang pengusaha kedai makan mendedahkan mengenai pene­muan ketulan batuan berlilin dipercayai muntah ikan paus, wanita itu menerima banyak panggilan daripada individu dan pihak yang berminat untuk membelinya

Aida Zurina Long, 41, berkata, ramai yang berminat untuk membeli muntah paus yang ditemuinya.

Begitupun wanita itu berkata, setakat ini, ketulan batuan berlilin itu masih belum dijual dan berada selamat dalam simpanannya.

Aida Zurina menegaskan, dia dan keluarganya mendedahkan penemuan muntah ikan paus tersebut bukan dengan niat untuk memancing pembeli, apatah lagi berangan-angan untuk bergelar jutawan segera.

Sebaliknya, niat asal cuma mahu mengetahui ketulenan objek tersebut sama ada benar-benar ambergis ataupun sebaliknya.

“Sebagai orang biasa, kami tidak mempunyai pengetahuan cara untuk mengesahkan ketulenan objek yang dijumpai. Tidak niat pun mahu jadi kaya sekelip mata seperti didakwa netizen di media sosial,” katanya.

Aida Zurina tidak mengambil kisah tanggapan negatif segelin­tir masyarakat berhubung pen­dedahannya mengenai pe­nemuan objek dipercayai muntah ikan paus tersebut.

Begitupun, dia tidak menolak sekiranya ada pihak mahu menawarkan harga lumayan untuk membeli ketulan batuan berlilin tersebut dan menganggapnya sebagai rezeki yang tidak disangka.

Kosmo! semalam melaporkan, Aida Zurida tidak menyangka mendapat ‘rezeki terpijak’ apabila menemui objek menyerupai ketulan lilin dipercayai muntah ikan paus di Marang baru-baru ini.

Dia terjumpa objek itu sewaktu memancing bersama ahli keluarganya berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada pukul 11 malam, akhir bulan lalu.

Pada mulanya, Aida Zurina mengalihkan objek terapung berhampiran kawasan memancing mereka ke tebing sungai dengan sebatang kayu kerana menyangkanya sampah.

Thursday, December 23, 2021

‘Gali emas hanya tiga kali setahun’

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – “Biasanya dalam setahun, mereka akan melombong dalam satu, dua kali sahaja. Saya difahamkan hasilnya tidak lah banyak.”

Demikian ujar Muhammad Shahrul Nizam Mohd. Shaberi, 20-an, adik keempat kepada penternak lembu, Mohd. Johari Mohd. Asri, 34, yang maut tertimbus dalam lubang sedalam tiga meter semasa mencari emas di Kampung Air Sejuk, di sini.

Semasa kejadian, Mohd. Johari melombong emas bersama ibunya, Rohani Mohd. Nor, 50-an dan bapa tiri, Mohd. Salberi.

Muhammad Shahrul Nizam berkata, tiga beranak tersebut mencari emas di lokasi kejadian sebagai pendapatan sampingan sejak beberapa tahun lalu.

“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kejadian tidak diingini. Saya yang menetap di Cameron Highlands, Pahang bergegas pulang ke kampung sebaik menerima berita buruk itu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Guntung Dalam di sini semalam.


Katanya, jenazah Mohd. Johari yang juga bapa kepada dua anak berusia dua dan lapan tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Guntung Dalam.

Dalam pada itu, Mohd. Salberi dan Rohani enggan ditemu bual kerana terlalu trauma dengan insiden yang berlaku depan mata mereka.

Sementara itu, Pejabat Tanah dan Daerah Setiu telah menutup serta merta kawasan cari gali emas itu,

Kelmarin, seorang penternak lembu maut tertimbus di dalam lubang yang digalinya dipercayai untuk melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini.

Dalam kejadian pada pukul 5.10 petang itu, mangsa, Mohd. Johari, 34,  gagal menyelamatkan diri selepas tanah digalinya  sedalam kira-kira 3.05 meter tiba-tiba runtuh lalu menimbusnya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata,  sebelum kejadian, Mohd. Johari yang berasal dari Kampung Guntung Dalam di sini dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja melombong emas di sebuah tanah kerajaan di pinggir sebuah kebun getah bersama bapa tirinya, Mohd. Salberi Ismail, 60-an.

“Kejadian berlaku selepas hujan lebat yang dipercayai telah menyebabkan struktur tanah liat dan berpasir di kawasan tersebut menjadi lembut.

“Runtuhan berlaku menyebabkan pengadu (Mohd. Salberi) panik dan telah keluar dari kawasan perlombongan itu ke arah jalan (Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu) untuk meminta pertolongan,” katanya kepada Kosmo! semalam. -K! ONLINE


Wednesday, December 22, 2021

KMI tawar kemudahan makmal kateterisasi jantung

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – KMI Kuala Terengganu meningkatkan perkhidmatan rawatan jantung dengan menjadi pusat perubatan swasta pertama di negeri Pantai Timur itu yang menyediakan kemudahan makmal kateterisasi jantung dengan pelaburan RM4 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan KMI, Dr. Rayney Azmi Ali berkata, kemudahan makmal tersebut menyediakan perkhidmatan mengesan masalah pembuluh darah dalam jantung dan rawatan intervensi menggunakan sinar-X berteknologi tinggi.

Beliau berkata, prosedur yang ditawarkan ialah angiografi kononari, agioplasti koronari, pemantauan elektrofisiologi dan pemasangan alat pacu jantung.

“Sebelum ini, kemudahan makmal kateterisasi jantung ini hanya dimiliki hospital kerajaan sehingga menyebabkan rakyat Terengganu terpaksa menunggu lapan bulan untuk mendapatkan rawatan.

“Ia juga menyebabkan ramai penghidap penyakit jantung di negeri ini terpaksa mendapatkan rawatan jantung ke negeri-negeri lain termasuk Lembah Klang,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan pelancaran makmal kateterisasi jantung di KMI Kuala Terengganu oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Rayney Azmi berkata, kemudahan makmal itu membolehkan tempoh menunggu rawatan jantung bagi pesakit di Pantai Timur dapat disingkatkan kepada sehari sahaja.

Tambah beliau, pasukan kardiologi KMI Kuala Terengganu diterajui Dr Ahmad Suhaimi Mustafa yang memiliki kepakaran khusus dalam bidang elekrofisiologi iaitu perkhidmatan pemasangan perentak jantung dan masalah rentak jantung tidak sekata.

“Buat masa ini, kita menawarkan promosi sesi konsultasi dan saringan kesihatan jantung pada kadar masing-masing RM100 dan RM450,” katanya. – K! ONLINE

Risiko banjir kembali meningkat di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu memberi amaran episod kedua banjir musim tengkujuh berkemungkinan melanda negeri ini pada lusa.

Jurucakap sekretariat itu berkata, sebahagian kawasan di negeri Pantai Timur berdepan dengan risiko limpahan air laut dan hujan pada tempoh tersebut.

“Ramalan cuaca semasa menunjukkan cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak sedang menghampiri perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang mulai esok dan berakhir Jumaat ini.

“Senario itu berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan di kebanyakan tempat di negeri ini sekali gus meningkatkan risiko banjir,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, Stesen Cerapan Kemaman juga meramal paras air laut bakal mencecah 2 meter hingga meter sehingga lusa.

Tambah beliau, aras air laut di Kuala Terengganu pula dijangka mencapai 2.1 meter dan 2.3 meter dalam tempoh sama.

“Sehubungan itu, penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah di negeri ini dinasihat berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang tempoh berkenaan,” katanya. – K! ONLINE

Maut tertimbus ketika menggali emas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang penternak lembu maut tertimbus di dalam lubang yang digalinya dipercayai untuk melombong emas di Kampung Air Sejuk di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.10 petang itu, mangsa, Mohd. Johari Mohd Asri, 34, gagal menyelamatkan diri selepas tanah digalinya sedalam kira-kira 3.05 meter tiba-tiba runtuh lalu menimbusnya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sebelum kejadian, Mohd. Johari yang berasal dari Kampung Guntung Dalam di sini dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja melombong emas di sebuah tanah kerajaan di pinggir sebuah kebun getah bersama bapa tirinya, Mohd. Salberi Ismail, 60-an.

“Kejadian berlaku selepas hujan lebat yang dipercayai telah menyebabkan struktur tanah liat dan berpasir di kawasan tersebut menjadi lembut.

“Runtuhan berlaku menyebabkan pengadu (Mohd. Salberi) panik dan telah keluar dari kawasan perlombongan itu ke arah jalan (Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu) untuk meminta pertolongan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Afandi berkata, sepasukan anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.20 petang.

Tambah beliau, sebuah jentolak terpaksa digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat Mohd. Johari memandangkan mangsa tertimbus agak dalam.

“Kedudukan mangsa di dalam runtuhan tanah berjaya dikenalpasti pada pukul 7 malam sebelum dia berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian,” katanya. – K! ONLINE