azliadlan@kosmo.com.my
SHAH ALAM – Pelakon Ezany Nizariff yang dalam proses penceraian dengan isterinya, Lizda Nuryanti Abidin memfailkan permohonan hadanah iaitu hak penjagaan sementara dan kekal ke atas dua anak mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Ezany atau nama sebenarnya, Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff, 41, yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan memfailkan permohonan itu di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Norsalwa Abdullah Thani.
Lizda Nuryanti yang pernah menyertai program realiti, Akademi Fantasia 7 pada tahun 2009 bagaimana gagal menghadiri prosiding terbabit yang bermula pada pukul 10 pagi kerana terlewat sampai dan hanya diwakili peguam syarie, Ismail Mohd.
Norsalwa kemudian menetapkan perbicaraan bagi kedua-dua permohonan tersebut dijalankan serentak pada 24 September ini selain memerintahkan defendan yang diwakili Ismail agar menyediakan afidavit jawapan sebelum tarikh perbicaraan berkenaan.
Kosmo! semalam melaporkan Ezany mahu meneruskan kes nusyuz iaitu perintah kembali taat terhadap isterinya yang telah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Petaling Jaya pada 22 Julai lalu.
Permohonan nusyuz itu dilakukan mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selepas Lizda Nuryanti keluar dari rumah kelamin mereka di Seri Kembangan, Selangor pada 17 Julai lalu.
Ezany ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, permohonan hadanah itu dibuatnya selepas perbincangan antara dia dan isterinya berhubung hak penjagaan anak menerusi proses sulh pada 25 Ogos lalu menemui jalan buntu.
Dia berkata, antara sebab permohonan hadanah tersebut difailkan kerana dia bimbang keselamatan dan kebajikan kedua-dua anaknya memandangkan Lizda Nuryanti masih tidak mempunyai kediaman tetap setelah bertindak keluar dari rumah kelamin mereka lebih sebulan lalu.
"Lebih baik anak-anak bersama saya. Jika saya tiada di rumah kerana menjalani penggambaran drama dan urusan perniagaan, ibu saya dan pembantu rumah boleh membantu menjaga mereka.
"Saya tiada halangan untuk membenarkan isteri berjumpa dan bermalam dengan anak-anak mengikut tempoh dipersetujui tetapi perlu mengikut lunas undang-undang," katanya.
Dalam pada itu, Lizda Nuryanti yang tiba di mahkamah berkenaan kira-kira 15 minit selepas prosiding berakhir kelihatan tergesa-gesa menemui Ezany yang ketika itu berada di lobi premis berkenaan.
Dia juga dilihat mengalirkan air mata apabila diizinkan Ezany untuk berbual dengan anak-anak mereka menerusi panggilan telefon menggunakan telefon bimbit suaminya itu.