Translate

Friday, May 30, 2014

Kerajaan berjaya jimat RM2 bilion

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kerajaan berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM2 bilion hasil daripada pelaksanaan amalan  pengurusan   nilai  terhadap projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sejak empat tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul  Wahid  Omar (gambar) berkata, secara puratanya, konsep tersebut telah berjaya mengurangkan 11 peratus daripada unjuran asal kos projek pembangunan berkenaan.

"Pengenalan konsep  pengurusan   nilai  terhadap projek pembangunan kerajaan yang bernilai RM50 juta ke atas sejak September 2010 mula menampakkan kesannya.

"Ia menjadi panduan kepada kakitangan kerajaan bagi pelaksanaan setiap projek pembangunan mengikut bajet dan objektif yang ditetapkan tanpa sebarang pembaziran tidak perlu," katanya selepas merasmikan Seminar Amalan Baik Industri Pembinaan Kebangsaan Keenam di sini semalam.

Turut hadir Presiden Institut  Pengurusan   Nilai  Malaysia, Datuk Abdul Nasir Abdul Razak.

Pengurusan nilai adalah sistem yang digunakan untuk meminimumkan sesuatu harga dan mengoptimumkan sesuatu kos projek, sistem dan kemudahan.

Abdul Wahid yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi berkata, kos setiap projek pembangunan di bawah RMK-10 telah berjaya dijimatkan antara lima peratus hingga 95 peratus menerusi amalan  pengurusan nilai.

Jelasnya, sebagai contoh, pengurangan kos sehingga 95 peratus terhadap sesetengah projek pembangunan itu berikutan penilaian semula projek menerusi pengurusan   nilai telah mendapati ia boleh dilaksanakan tanpa pembinaan baharu tetapi sekadar menggunakan infrastruktur sedia ada.

"Kita juga bercadang untuk terus mengamalkan konsep  pengurusan   nilai  pada projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang akan dilancarkan tidak lama lagi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul  Wahid  mengalu-alukan usaha untuk memperkembangkan amalan tersebut dalam kalangan sektor swasta.

Thursday, May 29, 2014

Persandingan beramai-ramai 20 pasangan mualaf

Seramai 20 pasangan mualaf melangsungkan perkahwinan beramai-ramai dalam program Jalinan Kasih Walimatul Urus Mega Mualaf daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.
Kesemua pasangan pengantin mualaf tersebut terlebih dulu diarak mengelilingi pekarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor dengan menaiki trem sebelum bersanding beramai-ramai di pelamin khas.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Abdul Rahim Salleh berkata, program julung-julung kali anjuran Majlis Agama Islam Selangor dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Selangor itu bertujuan merapatkan lagi hubungan pasangan pengantin yang baru memasuki agama Islam.

Buruh Indonesia dipenjara 12 tahun bunuh lelaki Aceh

SHAH ALAM - Seorang buruh warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas dia didapati bersalah menyebabkan kematian lelaki senegaranya dua tahun lalu.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad memutuskan demikian selepas  Maliki   Yaumidin , 27, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah menyebabkan kematian Muhamad Sahfii, 19, dalam pergaduhan perkumpulan di Dataran Seni Centre Point, Klang dekat sini pada pukul 12.45 tengah malam, 4 Januari 2012.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dan enam lagi yang masih bebas telah didatangi mangsa serta beberapa orang rakannya di lokasi kejadian.

Ketika kejadian,  Maliki  dan rakan-rakannya yang berasal dari Lombok, Indonesia sedang menikmati minuman keras dan dalam keadaan mabuk.

Provokasi ditimbulkan kumpulan Muhammad Sahfii yang berasal dari Aceh, Indonesia menyebabkan berlaku pertikaman lidah yang berakhir dengan pergaduhan antara kumpulan rakyat republik itu.

Dalam pergaduhan berkumpulan tersebut, mangsa yang juga seorang PATI maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah kerana ditikam.

 Maliki  didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 25 tahun.

Tertuduh diwakili peguam, S. Selvi manakala Timbalan Pendakwa Raya pula diwakili Wan Zuraida Wan Nawan.

Tuesday, May 27, 2014

Pengawal dituduh bunuh pemandu lori

KLANG - Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam satu pergaduhan perkumpulan di Taman Sentosa di sini pertengahan bulan ini.

 G.   Rajasekaran , 29, turut menghadapi dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu lain dalam kejadian sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Mohd. Fadzly Yaacob, tertuduh yang juga bekas tahanan Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor didakwa membunuh M. Ganesan, 31, pada 13 Mei lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dan beberapa individu yang masih bebas telah menyerang mangsa di antara pukul 1.30 pagi hingga 2 pagi dengan senjata berbahaya hingga menyebabkan kematiannya di Jalan Dato Abdul Hamid 20, Taman Sentosa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan oleh  Rajasekaran  selepas dia mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohd. Fadzly memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 16 Julai depan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar pula,  Rajasekaran  menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada dua beradik, P. Jegathesan, 43, dan P. Mohan, 41.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia dan beberapa individu yang masih bebas telah menyerang dua lelaki terbabit dengan senjata berbahaya di lokasi dan masa sama Ganesan dibunuh.

 Rajasekaran  yang mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tasnim yang tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan dan memerintahkan sebutan semula kes berkenaan pada 26 Jun depan.

Sunday, May 25, 2014

Persatuan Nelayan Kuala Selangor buka Restoran d'Coral Ikan Bakar

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR - Persatuan Nelayan Kuala Selangor meneroka bidang perniagaan makanan dengan membuka  Restoran  d'Coral Ikan Bakar di  Pasir   Penambang  di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahim berkata, pembukaan  restoran  yang berkonsepkan makanan laut ala Thai itu bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan nelayan di daerah tersebut.

"Keunikan  Restoran  d'Coral Ikan Bakar berbanding  restoran  makanan laut lain yang terdapat di sekitar Kuala Selangor ialah ia merupakan satu-satunya premis yang turut menyediakan hida- ngan berasaskan ikan air tawar.

"Antara ikan air tawar yang terdapat di  restoran  ini ialah ikan kelah, patin, talapia dan jelawat," katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan  restoran  tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah rakan kongsi yang turut menguruskan  restoran  tersebut iaitu Masli Isa dan James Wong.

Omar menjelaskan,  Restoran  d'Coral Ikan Bakar yang dibuka setiap hari itu turut menyajikan hidangan berasaskan ikan kerapu, jenahak, siakap dan ketutu.

Tambah beliau, kesemua bekalan ikan tersebut diperoleh segar daripada nelayan laut dalam dan darat dari sekitar Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

"Kami juga menyajikan menu masakan istimewa dari negara Thailand seperti kari hijau ikan dan tom yam kung.

"Pada masa hadapan, kami juga bercadang untuk memasarkan produk hiliran nelayan seperti bebola ikan sebagai pilihan kepada pelanggan  Restoran  d'Coral Ikan Bakar," katanya.

Saturday, May 24, 2014

Hanes Suraya, kekasih saman MAS

SHAH ALAM - Pelakon Hanez Suraya dan kekasihnya, Romei Razin Adilha Abd. Jais memfailkan saman malu terhadap Penerbangan Malaysia (MAS) di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Peguam artis wanita itu, Harjit Saidu berkata, anak guamnya mendakwa kakitangan syarikat penerbangan nasional tersebut telah mendedahkan keratan tiket penerbangan dia dan kekasihnya ke Bangkok, Thailand pada 20 April lalu.
"Berikutan itu, gambar keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat naik ke sebuah akaun laman rangkaian sosial, Facebook.
"Gambar itu menerima lebih 1,000 komen negatif berunsur cemuhan dan cacian yang dilemparkan kepada kedua-dua anak guam saya (Hanez Suraya dan Romei Razin Adilha)," katanya selepas memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Turut hadir Hanez Suraya atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29.

Berdasarkan writ saman tersebut,  Hanez   Suraya  dan Romei Razin Adilha, 34, yang merupakan seorang ahli perniagaan telah berlepas untuk bercuti ke Bangkok dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MH0788 pada 12.20 tengah hari, 20 April lalu.

Sebelum menaiki pesawat terbabit, mereka telah menyerahkan keratan tiket penerbangan kepada petugas yang memakai pakaian seragam  MAS .

 Hanez   Suraya  dan kekasihnya menyedari imej keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat turun ke akaun Facebook 'Kami sokong Liyana Manan' setelah dimaklumkan beberapa kenalan mereka beberapa jam selepas mendarat di Bangkok.

Harjit Saidu berkata, anak guamnya merasakan penyebaran keratan tiket penerbangan itu melanggar Akta Pelindungan Data Peribadi 2010.

Ujarnya, defendan masih gagal memberikan surat penjelasan yang diminta plaintif sehingga 12 Mei lalu seperti dipersetujui dalam pertemuan dengan pegawai  MAS  pada 24 April lalu.

"Tindakan saman malu terhadap defendan bagi menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk serta faedah dan kos yang bakal ditentukan oleh mahkamah," katanya.

Sementara itu,  Hanez   Suraya  yang popular dengan drama rantaian Love You Mr. Arrogant dan Dalam Hati Ada Taman berkata, tindakan memuat naik imej tiket penerbangan berkenaan ke laman sosial itu merupakan pencerobohan terhadap kehidupan peribadi dan mengancam keselamatannya.

Selain itu, penyebaran imej terbabit secara meluas di laman sosial, blog dan akhbar tempatan telah menyebabkan dia dan kekasihnya mengalami tekanan emosi.

Thursday, May 22, 2014

Hanez Suraya saman MAS

SHAH ALAM - Pelakon, Hanez Suraya dan kekasihnya, Romei Razin Adilha Abd. Jais memfailkan saman kepada Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas dakwaan memuat naik tiket penerbangan pencutian mereka ke Bangkok, Thailand ke internet hingga menarik perhatian umum pada 20 April lalu.
Notis tuntutan saman itu difailkan melalui peguamnya, Harjit Sandhu melalui sistem pemfailan elektronik (e-filing).
Menurut Hanez, tindakan memuat naik tiket penerbangan itu ke laman sosial itu telah mengganggu kehidupan peribadi dan keselamatannya.
Sehubungan itu, artis yang popular dengan drama rantaian 'Love You Mr. Arrogant' itu menuntut ganti rugi teladan daripada syarikat penerbangan nasional itu. - KOSMO!

Mak Mah kembali bergelar isteri

BERBAHAGIA. Pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, kembali bergelar isteri selepas sah bernikah dengan seorang peneroka Felda Jelai, Negeri Sembilan, Al Fatah Rahim Ismail, 70, semalam.

Dengan sekali lafaz, dia yang lebih mesra dipanggil Mak Mah sah menjadi isteri kepada Al Fatah dalam majlis pernikahan yang berlangsung di rumah abang iparnya, Rusman Warjono, 76, di Taman Berkat, Meru, Klang, Selangor.

Pasangan tersebut yang berbusana sedondon putih dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As Syarif, Meru, Mohd. Jani Salman pada pukul 9.20 pagi.

Mak Mah yang mengenali Al Fatah sewaktu mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah pada Mac lalu memberitahu, selepas ini, dia akan mengikut suaminya untuk menetap di Felda Jelai, Gemas.

"Begitupun, kerjaya saya sebagai pelakon masih diteruskan sekiranya mendapat tawaran. Suami tidak keberatan dan membenarkannya," katanya.

Wednesday, May 21, 2014

CCMD bakal perkenal produk merawat anemia

KLANG - Firma farmaseutikal tempatan, Chemical Company of Malaysia Duopharma Biotech Berhad (CCMD) bakal memperkenalkan produk baharu Erthopoietin (EPO) bagi rawatan anemia bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjelang tahun 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif CCMD, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, produk berasaskan biosimilar itu kini dalam ujian klinikal fasa III sejak ia mula dibangunkan pada akhir November tahun lalu.

“Pengeluaran EPO dengan kerjasama sebuah syarikat dari Korea Selatan bakal menjadi produk biosimilar iaitu berasaskan sel protein pertama dikomersial di dunia.

“Ia merupakan salah satu strategi CCMD untuk menjadikan segmen produk bioterapeutik sebagai pemacu utama pengembangan dan keuntungan syarikat bagi tempoh jangka pendek dan sederhana,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan CCMD ke-13 di sini semalam.

Jodoh peneroka dan seniwati

HUJAN mencurah-curah di pekan Meru, Selangor sewaktu majlis pernikahan pelakon veteran, Ruminah Sidek, 68, berlangsung di kediaman abang iparnya pada pagi Sabtu lalu.
Bagaikan berjanji, selebat hujan yang turun di luar rumah, begitu jua dengan air mata murni Ruminah atau mesra menggelarkan dirinya sebagai Mak Mah sewaktu akad nikah sempurna dilafazkan suaminya, Al Fatah Rahim Ismail, 70.
Tangisan itu tanda kegembiraan dan kesyukuran doa yang telah ditanam dalam hati semasa mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah dua bulan lalu telah diperkenankan Ilahi.
Takdir juga telah menentukan jodoh aktres senior kesayangan ramai itu dengan seorang duda yang tanpa disedari turut sama menitipkan doa tersebut agar dipertemukan jodoh untuk menemani sisa-sisa kehidupan mereka.
"Mak Mah bersyukur dapat menghabiskan saki baki hidup ini sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, kami selamat disatukan sebagai suami isteri.
"Mohon peminat mendoakan kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina ini hingga ke akhir hayat," ujarnya riang biarpun sekali sekala menyeka air mata yang masih bersisa di kelopak mata.
Pasangan warga emas terbabit dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Masjid As Syarif, Meru, Mohd. Jani Salman dengan disaksikan adik pengantin perempuan, Mohd. Zainal Sidek pada pukul 9.20 pagi.
Mak Mah yang telah membintangi lebih 25 filem sejak mula bergiat dalam bidang seni menerusi filem Anak Bapak pada tahun 1968 itu menerima mas kahwin sebanyak RM300.
Memilih untuk tidak mengkehendaki sebarang wang hantaran, kedua-dua mempelai masing-masing berbalas 12 dulang hantaran. Antara hantaran diterima Mak Mah ialah sebiji kek, senaskhah al-Quran, beg tangan, kasut, sejadah, minuman bikarbonat dan telekung.
Al Fatah pula menerima set wangian, sebiji kek, tepak sirih, persalinan, sejadah, tuala dan buah-buahan.
Seri pengantin
Menyarung persalinan putih pada majlis akad nikah sebelah pagi, Mak Mah biar basah dengan air mata kelihatan berseri untuk bersatu dengan lelaki yang bakal menemani separuh lagi perjalanan hidupnya. Begitu juga dengan Al Fatah yang tampak begitu segak bersama persalinan lengkap songkok.
Mereka yang kemudian memakai busana berwarna ungu tajaan Azika Collection di singgahsana pelamin rekaan Adi Wedding Decoration pada majlis resepsi juga tampil berseri. Seri pengantin, kata orang lama.
Kebetulan ia kali pertama buat ibu kepada aktor, Adlin Aman Ramlie itu bersanding di pelamin biarpun sudah menempuhi tiga kali alam perkahwinan sebelum ini termasuk dengan pelawak legenda, AR Tompel.
Mak Mah memberitahu, perkahwinan mereka berdua menyatukan keluarga masing-masing yang sudah sedia besar.
Dia merupakan ibu tunggal kepada enam anak dan 20 cucu manakala Al Fatah yang merupakan seorang peneroka Felda Jelai, Gemas, Negeri Sembilan pula bapa tunggal kepada 10 anak dan 30 cucu.
Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah kedua-dua belah keluarga. Sanak saudara Mak Mah termasuk anak bongsunya, Adlin Aman Ramli dan isteri, Emelda Rosnaida serta anak tiri, AR Badul ceria berbusana ungu.
Majlis resepsi itu juga tidak lekang dengan gelak tawa hampir 50 ahli keluarga Al Fatah yang segak memakai busana berwarna jingga.
Mengulas gelodak perasaan bergelar suami kepada seniwati terkenal, Al Fatah mengakui pada mulanya dia agak gementar apabila memikirkan penerimaan peminat dan rakan artis Mak Mah.
"Saya juga memikirkan bagaimana hendak berhadapan dengan wartawan yang ramai membuat liputan majlis pernikahan kami tetapi keramahan mereka membuatkan saya selesa.
"Hilang gementar, datang keserasian. Tak sangka seorang peneroka dapat mengahwini seniwati," katanya ceria dalam gelak tawa.
Bercerita tentang perancangan masa depan, Al Fatah memberitahu, mereka sudah sepakat untuk menjalani kehidupan berumah tangga di Felda Jelai.
Jelasnya, mereka bakal menjalani kehidupan sebagai peneroka Felda yang mengerjakan kebun getah dan menghabiskan usia senja dengan beribadah kepada Allah bersama-sama.
Begitupun jelas Al Fatah, dia tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya Mak Mah masih mahu aktif sebagai pelakon biarpun sudah bergelar isteri.
"Saya kena reda, itu kerjaya dia. Saya izinkan (berlakon) tetapi tak perlu sampai saya ikut sekali ke set penggambaran," ujarnya.
Mak Mah dan Al Fatah sepakat mengimpikan untuk mengerjakan ibadah haji bersama-sama suatu hari nanti sebagai percutian bulan madu paling berharga.
Jelas Al Fatah, selain mengimbau lokasi perkenalan awal mereka, sebagai seorang Muslim, dia beranggapan tanah suci Mekah dan Madinah adalah lokasi paling diangankan untuk dijejaki.
Sementara itu Adlin dan Emelda berkata, mereka berkongsi kegembiraan dan kesyukuran ibunya yang lama hidup sendiri kini sudah memiliki teman sehidup semati.
Justeru, pasangan suami isteri itu mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kemudahan ibu dan bapa tiri baharunya itu menjalani kehidupan dan beribadah.
"Selain mengharapkan 'adik' baharu, saya juga pening nak balik kampung mana, sama ada Felda (kediaman Al Fatah), Meru (rumah Mak Mah) atau Perak (kampung Emelda) pada Aidilfitri tahun ini," selorohnya sambil mengerling kepada Emelda.

Thursday, May 15, 2014

Didakwa lupus harta curi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


KLANG – Seorang pemandu peribadi seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 484 tuduhan melupuskan harta curi bernilai lebih RM600,000 kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Saidina Azzuanira Saidina Othman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kesemua pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Fadhly Yaacob.
Mengikut kesemua pertuduhan,   Saidina    Azzuanira  didakwa memindahkan wang tunai berjumlah RM643,897.42 yang terdapat di dalam akaun syarikat miliknya, Maidina  Othman  Trading ke akaun-akaun simpanan peribadinya yang lain di Bank Hong Leong cawangan Pelabuhan Klang dari 3 Januari 2012 hingga 30 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun serta denda bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff kemudian tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes tersebut melibatkan pertuduhan dan jumlah kerugian yang banyak.  

Saidina Azzuranira yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar dibebaskan dengan wang jaminan yang berpatutan dengan alasan perlu menyara keluarga.

Mohd. Fadhly kemudian menetapkan agar tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin selain memerintahkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didengar bersama kes pecah amanah isterinya yang dijadual berlangsung hari ini.

Kosmo! 22 Jun 2013 melaporkan isteri kepada   Saidina   Azzuranira, Mai Shahira Ishak, 37, didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran menggunakan 489 keping cek bernilai RM647,445 kepada Maidina  Othman  Trading milik suaminya itu yang diketahui oleh tertuduh tiada hubungan perniagaan dengan majikannya, UTI Worldwide (M) Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Batu Nilam 1A, Bandar Bukit Tinggi, Klang antara 31 Disember 2011 dan 30 Januari tahun lalu.

Bekas eksekutif akaun itu pada mulanya mengaku salah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 14 Jun 2013 namun membuat kejutan apabila menukar pengakuan kepada tidak bersalah di mahkamah sama ketika sebutan semula dilakukan pada 21 Jun 2013. 

Mai Shahira memberi alasan yang dia berasa takut ketika dihadapkan ke mahkamah buat pertama kali hingga mendorongnya mengaku bersalah atas kesemua tuduhan tersebut.

Tuesday, May 13, 2014

Ditahan masa leka punggah kontena


KLANG – Sekumpulan penyamun yang sedang leka memunggah sebuah kontena selepas memecah masuk sebuah premis perniagaan tergamam apabila mereka dikepung sepasukan polis di Jalan Batu Tiga Lama, Kapar dekat sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu, empat lelaki berusia dalam lingkungan 30-an tersebut dicekup sebelum sempat melarikan pelbagai peralatan elektrik seperti televisyen litar tertutup dan mesin pencetak yang dianggar bernilai puluhan ribu ringgit.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor Sulong berkata, terdahulu, mangsa, seorang ahli perniagaan telah dimaklumkan oleh rakannya melalui panggilan telefon bahawa premis miliknya itu disyaki dipecah masuk.
"Sebaik sahaja menerima maklumat itu, dia yang menetap di pusat bandar  Klang  telah bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta.

"Mangsa yang terserempak dengan sebuah sekatan jalan raya kemudiannya telah memaklumkan mengenai kejadian pecah masuk itu kepada anggota polis bertugas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Klang   Utara , Kapar dekat sini semalam.

Mohd. Shukor berkata, sebaik menerima maklumat itu, sebahagian anggota polis terbabit telah mengikuti mangsa ke premis penyimpanan  kontena  terbabit.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, keempat-empat penjenayah terbabit yang sedang sibuk memunggah barangan berharga daripada  kontena  ke dalam sebuah lori tergamam dengan kehadiran pihak berkuasa lalu cuba melarikan diri.

"Dua daripada suspek berjaya diberkas manakala dua lagi berjaya meloloskan diri. 

Pelbagai senjata dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti pecah masuk itu seperti tiga bilah parang, tukul besi, pemotong besi dan spana turut dijumpai di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berusia awal 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes samun," katanya.

Mohd. Shukor berkata, gerakan memburu dua lagi suspek sedang digiatkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 akta sama.

Thursday, May 8, 2014

Bunuh pegawai AmBank, 35 saksi bakal beri keterangan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini semalam dimaklumkan seramai 35 individu bakal dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan berhubung kes seorang pengawal keselamatan warga Indonesia yang dituduh membunuh pegawai AmBank wanita yang bermotifkan rompakan di Subang Jaya dekat sini pada Oktober tahun lalu.
Hakim Datuk Akhtar Tahir diberitahu, antara saksi pendakwaan yang akan memberi keterangan ialah seorang pengawal keselamatan yang sepatutnya bertugas pada hari kejadian tetapi bercuti sebelum digantikan tertuduh, La Ode Ardi Rasila (gambar), 37.

Ketua Unit Pendakwaan Selangor, Mohd. Azari Harun memberitahu  mahkamah , pengurus bank AmBank cawangan USJ Sentral 2, penyelia pengawal keselamatan, tiga rakan sekerja mangsa, Norazita Abu Talib, 37, dan suaminya antara individu yang turut memberi keterangan dalam perbicaraan yang akan berlangsung selama lima hari bermula 23 Jun depan.

Akhtar juga memerintahkan pihak pendakwaan mengemukakan barang kes dalam kejadian tersebut kepada mahkamah  semalam bagi tujuan pelabelan. 

La Ode menghadapi dua pertuduhan iaitu membunuh dan melepaskan tembakan terhadap Norazita di premis AmBank cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya dekat sini antara pukul 6 petang dan pukul 6.30 petang 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan membunuh Norazita, tertuduh yang berasal dari Sulawesi, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

La Ode yang diwakili peguam S. Selvi turut menghadapi pertuduhan melakukan rompakan dan melepaskan tembakan menggunakan pump gun dengan niat untuk menyebabkan kematian ke atas mangsa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang juga memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam kejadian pada 23 Oktober lalu, Norazita yang merupakan pegawai di bank berkenaan maut akibat kecederaan di kepala setelah ditembak seorang pengawal keselamatan ketika membuka peti besi di bilik kebal bank tersebut.

Pengawal keselamatan itu kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM450,000 sebelum ditangkap polis selepas 19 hari bersembunyi di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada 10 November lalu.

Wednesday, May 7, 2014

Koperasi OKB lancar SPEAK tingkatkan pemasaran

SHAH ALAM - Koperasi Orang Kota Bharu Berhad (OKB) membangunkan Sistem Pemasaran Efektif Anggota Koperasi (SPEAK) bagi membantu koperasi merangsang keberkesanan pemasaran produk dan perkhidmatan masing-masing.

Pengerusinya, Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, SPEAK merupakan sistem pemasaran dan pengurusan digital yang dibangunkan mengikut modul pengurusan koperasi tempatan.

“Sistem ini berasaskan kombinasi pangkalan web, aplikasi mudah alih dan sistem pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan pengurusan koperasi berkongsi maklumat kepada ahli dan pelanggan dengan pantas dan mudah.

“Ia dapat membantu koperasi merangsang keberkesanan pemasaran produk dan perkhidmatan mereka,” katanya di sini semalam.

Pelancaran SPEAK disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Turut hadir Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Mohamad Kamil Hassan Hilmi.

Sheikh Ahmad Dusuki berkata, sistem SPEAK berupaya melakukan penghantaran SMS secara pukal sehingga 50,000 kali bagi setiap penghantaran.

"Dengan sistem tersebut, kos untuk teknik pemberitahuan konvensional seperti membuat panggilan telefon dan penghantaran surat dapat dikurangkan,” katanya.

Mayat remaja lelaki lemas ditemui terapung

KLANG - Mayat seorang remaja lelaki yang terjatuh dari sebuah tongkang ketika sedang memancing kelmarin dijumpai terapung di muara Sungai  Kapar  Besar berhampiran jeti Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,  Kapar  dekat sini semalam.

Mayat  Mohd.   Rashid   Ruslan , 16, dijumpai anggota Maritim Malaysia (APMM) pada pukul 9.43 pagi kira-kira 15 jam selepas dia dilaporkan hilang.

Pegawai Koordinasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Daerah Maritim Klang, Leftenan Madya Maritim  Mohd.  Reduan Che Kamaruddin berkata, mangsa telah terjatuh dari sebuah tongkang pada pukul 6.30 petang kelmarin sewaktu sedang memancing kira-kira 60 meter dari lokasi mayatnya ditemui.

"Mangsa bersama adik lelakinya yang berusia 11 tahun dan seorang rakan sebaya dikatakan memancing di tempat kejadian sebelum tongkang tersebut terbalik.

"Rakan dan adik mangsa sempat berpaut pada tongkang sebelum diselamatkan beberapa nelayan yang berada berhampiran," katanya di sini semalam.

Ujarnya, sepasukan anggota APMM telah melancarkan operasi mencari di kawasan perairan sekitar sejak pukul 7 petang kelmarin.

"Sewaktu ditemui, mayat mangsa masih dalam lengkap berpakaian namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai," katanya.

Mohd.  Reduan memberitahu, jenazah  Mohd.   Ruslan  telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk dibedah siasat.

Tuesday, May 6, 2014

Dua graduan Icam jalani latihan di Portugal

SHAH ALAM - Dua graduan cemerlang Kolej Automotif Antarabangsa ( Icam ) akan dihantar Kumpulan  DRB -Hicom untuk menjalani latihan industri selama enam bulan di kilang pemasangan Volkswagen Autoeuropa di Palmera,  Portugal  bermula Sabtu ini.

Pengarah Urusan Kumpulan  DRB -Hicom, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, dua graduan tersebut ialah Aziz Taib, 46, dan Najla Dyana Amira Najmi, 21, masing-masing memiliki Diploma Program Pemasangan Kenderaan Automotif dan Diploma Sistem Pengurusan Automotif  Icam .

"Kedua-dua graduan ini merupakan perintis kepada program penghantaran graduan  Icam  untuk menjalani latihan industri dengan syarikat automotif terkemuka dunia di luar negara.

"Mereka telah memenuhi kriteria ditetapkan rakan kongsi  DRB -Hicom bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri automotif," kata beliau pada majlis khas program latihan industri  Icam  tersebut di Glenmarie di sini semalam.

Mohd. Khamil berkata, Aziz dan Najla Dyana juga merupakan kakitangan anak syarikat  DRB -Hicom, Hicom Autofacturers (M) Sdn. Bhd. (HAMM) yang terlibat dalam pemasangan tempatan kenderaan Volswagen untuk pasaran negara ini.

Menurut beliau, sepanjang menjalani latihan industri di  Portugal , kedua-dua graduan itu akan mempelajari teknologi pembuatan kenderaan dan budaya kerja Volkswagen.

Sementara itu, Aziz yang merupakan Eksekutif Jaminan Kualiti HAMM berkata, pengalaman menjalani latihan industri di kilang Volkswagen merupakan ganjaran berharga sepanjang 20 tahun berkhidmat di  DRB -Hicom.

"Sebelum ini saya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di  Icam . Saya berjanji tidak akan mensia-siakan kepercayaan ini," katanya.

Abdul Harith CEO baharu Proton

SHAH ALAM - Pengurusan tertinggi Kumpulan DRB-HICOM mengumumkan  Datuk   Abdul   Harith   Abdullah  sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  Proton  Holdings Berhad ( Proton ) berkuatkuasa semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, sebagai CEO baharu  Proton , tugasan sulung  Abdul   Harith  adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap produk syarikat automobil pertama negara itu.
"Pengurusan baharu  Proton  perlu memenangi semula hati masyarakat yang masih berpersepsi negatif. Berikan model kenderaan yang dimahukan mereka daripada segi kualiti, harga dan penghantaran," katanya di sini semalam.

Mohd. Khamil ditemui selepas mengumumkan dua graduan Kolej Automobil Antarabangsa yang akan menjalani latihan industri di kilang pengeluaran Volkswagen Autoeuropa di Palmela, Portugal.

Turut hadir ialah  Abdul   Harith  dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti HICOM Sdn. Bhd., Sharifah Halimah Syed Ahmad.

Jualan kenderaan  Proton  pada suku pertama tahun ini merosot kepada 32,734 unit berbanding 34,343 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Malah penguasaan pasaran kereta buatan nasional iaitu  Proton  dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd., (Perodua) juga menurun kepada 48 peratus berbanding 51.1 peratus pada tahun 2013.

Mohd. Khamil menjelaskan, kualiti produk kenderaan yang dikeluarkan  Proton  sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebenarnya telah menunjukkan peningkatan ketara.

Menurut beliau, ia dibuktikan oleh pengurangan rungutan yang diterima daripada pengguna terutama untuk model Preve.

"Kami bersedia menerima sebarang idea, pendapat, cadangan dan kritikan untuk menukar persepsi masyarakat terhadap  Proton ," katanya.
Sementara itu,  Abdul   Harith  yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Defence Technologies Sdn. Bhd. (Deftech) ketika ditemui berkata, langkah pertama yang akan diambil untuk memulihkan semula reputasi  Proton  ialah menekankan perkhidmatan pelanggan.