Translate

Saturday, January 31, 2015

28 GRO Vietnam sedang leka layan pelanggan dicekup

KLANG - Seramai 28 pelayan pelanggan wanita warga Vietnam yang sedang leka menghiburkan pelanggan telah diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Gopeng di sini semalam.

Ketua Operasi Unit Siasatan Jenayah Bahagian Perjudian,Kongsi Gelap dan Maksiat Bukit Aman, Superintendan Razali Abdul Samah berkata, serbuan pada pukul 1.30 pagi yang diketuainya turut disertai oleh 12 pegawai dan anggota.

"Semasa serbuan, kesemua GRO warga asing yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an tersebut sedang leka melayan pelanggan masing-masing menyebabkan masing-masing gagal melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati pusat hiburan itu turut menyediakan perkhidmatan seks melibatkan GRO warga Vietnam itu dengan kadar antara RM150 hingga RM250. Turut ditahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga penjaga premis berkenaan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ujar Razali, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menyelamatkan tiga wanita warga Vietnam yang mendakwa telah menjadi mangsa satu sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.

"Ketika serbuan, seramai hampir 100 pelanggan turut berada di dalam pusat hiburan tersebut dan mereka telah dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai," katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 6 (1) C akta sama, Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.

Kontraktor bunuh jurujual dihukum mati

SHAH ALAM - Seorang kontraktor pembekalan bahan pembinaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh seorang jurujual pada lapan tahun lalu.

Wong Poh Ling, 37, dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur disabitkan bersalah membunuh Choong Lap Hing, 26, di tepi Restoran PJ Seafood, Kampung Cempaka, Kelana Jaya, Petaling Jaya di sini pada pukul 4.45 pagi, 26 Ogos 2007.

Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurbaya Jamil telah berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau memberitahu, mahkamah menolak hujah pembelaan yang mengatakan Poh Ling berada dalam keadaan tidak waras sementara kerana berada dalam pengaruh dadah dan alkohol ketika melakukan perbuatan jenayah itu.

"Berdasarkan keterangan seorang saksi pendakwaan iaitu pakar psikiatri dari Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak yang memberitahu pengambilan pelbagai jenis dadah dan minuman keras secara sekali gus tidak akan menjejaskan mental tertuduh.

"Ia kerana tubuh tertuduh sudah terbiasa berikutan pengambilan (pelbagai jenis dadah dan alkohol secara sekali gus) telah dilakukan dalam jangka masa lama," katanya ketika membacakan penghakiman bertulisnya di sini semalam.

Berdasarkan fakta kes, Poh Ling telah menyerang Lap Hing dengan sebilan pedang samurai dalam kejadian dipercayai bermotif dendam kerana mangsa telah didakwa telah memperkosa tunangnya.

Mayat jurujual itu di temui pekerja Restoran PJ Seafood dengan kesan tetakan di bahagian leher bertiarap bersebelahan kereta jenis Proton Satria Neo miliknya pada kira-kira pukul 9 pagi keesokan hari.

Friday, January 30, 2015

Kontraktor membunuh dihukum gantung

SHAH ALAM - Seorang kontraktor pembekalan bahan pembinaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki pada lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak memutuskan Wong Poh Ling, 37, menjalani hukuman demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa membunuh Choong Lap Hing, 26, dengan menetaknya beberapa kali dengan pedang samurai di tepi Restoran PJ Seafood, Kampung Cempaka, Kelana Jaya pada pukul 4.45 pagi, 26 Ogos 2007. - KOSMO!

Thursday, January 29, 2015

Azmin cuba alih isu Datum Jelatek

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor cuba mengalih isu desakan menghentikan projek pembangunan mewah, Datum Jelatek dengan mendakwa perhimpunan bantahan di Taman Keramat, Kuala Lumpur kelmarin didalangi oleh orang luar.

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata, selain Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek, Salleh Samad, status peserta lain yang turut menyertai demonstrasi bantahan itu boleh diragui.

"Mereka (peserta demonstrasi) itu siapa? Awak pasti mereka penduduk tempatan? Selain Encik Salleh, siapa lagi yang hadir?" katanya sebagai mengulas perhimpunan bantahan hampir 1,000 orang termasuk penduduk Taman Keramat, Kuala Lumpur kelmarin bagi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek di kawasan itu dihentikan.

Begitupun, Azmin berjanji akan meneliti bantahan terbabit dan mengaturkan satu pertemuan melibatkan agensi kerajaan negeri dan penduduk terlibat bagi mencari penyelesaian isu berkenaan.

Kosmo! semalam melaporkan hampir 1,000 orang termasuk penduduk di Taman Keramat berhimpun dan mengadakan bantahan bagi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek dihentikan.

Projek Datum Jelatek yang bermula pda tahun tahun 2008 di atas tanah seluas 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek melibatkan empat blok bangunan kondominium dan pejabat.

Tuesday, January 27, 2015

Fitv dilancar April ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - FTV Marketing Sdn. Bhd. bakal melancarkan stesen televisyen berbayar, Fire TV (Fitv) yang dipancarkan menggunakan talian jalur lebar berkelajuan tinggi pada April depan.

Ketua Pegawai Operasi, Tony Wong Chee Pol berkata, Fitv yang menyediakan 200 saluran bukan sahaja boleh ditonton menerusi televisyen malah diakses menerusi telefon pintar.

"Saluran yang disajikan merangkumi drama, filem, hiburan, berita, dokumentari, sukan dan animasi tempatan dan antarabangsa.

"Fitv membolehkan pengguna bukan sahaja menonton rancangan televisyen kegemaran mereka malah berinteraksi secara media sosial dengan pengguna lain," katanya pada majlis pra pelancaran FITV di pusat membeli-belah, Space U8 di sini semalam.

Chee Pol berkata, buat permulaan, syarikatnya menyasar kira-kira 2,000 pengguna Fitv meliputi Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutama Lembah Klang, Johor Bahru, Melaka, Pulau Pinang dan Ipoh menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, Fitv akan diperluas di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak selepas itu berdasarkan kesediaan infrastruktur talian jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Sebuah set dekoder Fitv boleh diperolehi pada harga RM988 dan ia termasuk yuran bulanan RM50 sebulan selama setahun.

"Kami akan memasang beberapa set dekoder Fitv di sekitar Space U8 bagi membolehkan pengunjung pusat membeli-belah berkenaan menonton saluran stesen televisyen berbayar kami secara percuma," katanya.

Kanak-kanak lemas mandi sungai

SHAH ALAM - Seorang murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini mati lemas ketika sedang mandi di Sungai Damansara berhampiran Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC), Seksyen U6 di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Muhammad Syubli Hillmi Mohd. Fauzi, 12, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini selepas diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd. Sani Harul berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menetap di Bukit Subang kira-kira 10 kilometer dari situ difahamkan telah pergi memancing di lokasi kejadian dengan beberapa rakan sebayanya.

"Selepas memancing, mangsa dan beberapa rakan-rakannya telah bertindak mandi ke dalam sungai terbabit. Mangsa kemudiannya dilihat tergapai-gapai meminta pertolongan sebelum tenggelam.

"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu bertindak menarik keluar mangsa dari sungai sebelum menghantarnya ke HTAR bagimendapatkan rawatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Sani berkata, sungai terbabit mempunyai kedalaman hampir semeter dan tidak sesuai untuk kanak-kanak melakukan aktiviti memancing dan mandi-manda.

Monday, January 26, 2015

Penduduk rayu diberikan lebih masa untuk berpindah

KLANG - Penduduk Kampung Sungai Bertek di sini yang diarah berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembinaan jambatan ketiga Klang merayu kerajaan negeri Selangor agar memberi mereka lebih masa bagi mengosongkan tanah tersebut.

Seorang penduduk, Razman Abu Bakar, 65, mendakwa, arahan yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Klang tersebut terlalu tergesa-gesa sehingga menyukarkan mereka yang telah menduduki tanah pusaka terbabit sejak puluhan tahun lalu untuk mencari penempatan baharu.

"Lagipun persetujuan bersama bagi kadar bayaran pampasan yang sepatutnya kami terima masih belum. Beri lebih masa untuk berunding bagi mencapai keputusan menang-menang.

"Kami bukan tidak mahu berpindah, apatah lagi menentang pembangunan tetapi mohon ambil perhatian kepada kebajikan kami yang rata-ratanya merupakan pesara," dakwanya ketika di temui di rumahnya di Kampung Sungai Bertek di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Rusimah Iskandar, 57, pula mendakwa kadar pampasan yang ditentukan kerajaan negeri iaitu RM39 bagi setiap 0.3048 meter tanah diduduki mereka sebagai tidak memadai.

Pelakon popular 70-an yang lebih dikenali sebagai Rose Iskandar mendakwa, kadar itu lebih rendah daripada ditentukan jurunilai bertauliah iaitu RM45 bagi setiap 0.3048 meter.

"Sudah lah tanah yang kami duduki dari ibu bapa kami ini berstatus pegangan bebas dan rizab Melayu. Kami tidak berpuas hati dengan sikap pegawai PTG Klang acuh tidak acuh dan seakan cuba memaksa kami menerima pampasan ditetapkan secepat mungkin.

"Kami gesa Menteri Besar Selangor, Azmin Ali peduli dengan masa depan kami sebagai rakyat selaras dengan slogan dia selama ini," dakwa ibu tunggal berkenaan.

Kerajaan negeri Selangor telah melancarkan projek Jambatan Ketiga Klang sepanjang 2.5 kilometer dengan kos lebih kurang RM199 juta dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

Dua maut motosikal bertembung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG – Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggangi bertembung dalam kemalangan di Jalan Ban­ting-Pandaraman di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.25 malam itu, Muhd. Azamuddin Kudong, 18, yang merupakan pengawal keselamatan di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT) maut di lokasi kejadian, manakala Lim Soon Huat, 28, pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, sewaktu kejadian, Muhd. Azamuddin dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Delek, Klang.

"Motosikal ditunggangi Muhd. Azamuddin dipercayai cuba memotong sebuah kereta di hadapan dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa kedua.

"Muhd. Azamuddin yang cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan meninggal dunia serta-merta dan jenazah di bawa ke Unit Forensik (HTAR) untuk dibedah siasat," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarulzaman memberitahu Soon Huat yang merupakan seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Pandamaran pula menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.30 pagi semalam.

Rita tuntut pembelanjaan makan minum RM1,500 sebulan

SHAH ALAM - Pelakon Rita Rudaini Mokhtar membantah dakwaan bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak yang menyifatkan tuntutan tunggakan nafkah pembelanjaan makanan sebanyak RM30,000 bagi tempoh 20 bulan atau RM1,500 sebulan sebagai melampau di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Sewaktu disoal balas peguam syarie, Rushdan Sujak Rafie yang mewakili Aidil Zafuan, Rita Rudaini, 39, memberitahu tuntutan sebanyak RM50 sehari itu meliputi sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam bagi dia dan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

"Kos RM50 sehari tersebut meliputi memasak sendiri atau membeli makanan di luar (premis makanan). Biasanya saya membeli (makanan) dan hanya memasak apabila tidak bekerja," jelasnya pada pembicaraan kes tuntutan tunggakan nafkah berjumlah RM102,000 di hadapan Hakim Mawardi Che Wan di Mahkamah Tiggi Syariah di sini semalam.

Pembicaraan tersebut berlangsung tanpa kehadiran Aidil Zafuan dan Mawardi dimaklumkan ketiadaan pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT) itu disebabkan dia sedang sibuk membuat persiapan akhir untuk musim baharu Liga Malaysia.

Pembelanjaan makanan RM1,500 sebulan itu merupakan sebahagian daripada tuntutan nafkah bulanan sebanyak RM5,100 sebulan yang dimohon Rita Rudaini bagi tempoh 20 bulan ditinggalkan bekas suaminya bermula Januari 2012 sehingga diceraikan menerusi sistem kiriman ringkas (SMS) pada Ogos 2013.

Begitupun, Rita Rudaini mengakui amaun resit pembayaran makanan bagi April 2012 yang dilampirkan sebagai dokumen sokongan bagi tuntutan terbabit menunjukkan kos makanan mereka tiga beranak ialah pada bulan tersebut tidak mencapai RM1,500.

Dalam perkembangan sama, dia juga tidak bersetuju dengan dakwaan Aidil bahawa pembelanjaan bil utiliti sebanyak RM600 sebulan yang dituntutnya sebagai melebihi keperluan.

Rita Rudaini yang diwakili peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain berkata, tuntutan itu merupakan anggaran pembayaran bil elektrik, air dan stesen televisyen berbayar, Astro yang biasanya melebihi RM600.

Dia yang pernah pernah membintangi beberapa filem seperti Mami Jarum, Cinta, Balistik, Mistik dan Mami Jarum Jr memfailkan tuntutan tunggakan nafkah berjumlah RM102,000 berkenaan pada 20 Januari 2014.

Rita Rudaini yang menetap di Challis Damansara, Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini percaya Aidil Zafuan, 28, mampu membayar tunggakan nafkah berkenaan memandangkan bekas suaminya mempunyai pendapatan lebih RM50,000 sebulan dan memiliki kereta mewah Mercedes CLS350 dan motosikal berkuasa tinggi Ducati Monster.

Pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada tahun 2008 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada 6 September 2013.

Sunday, January 25, 2015

Peniaga pasar malam bertempur dengan MBSA

SHAH ALAM - Seramai 96 peniaga pasar malam nekad berniaga di tapak asal di Jalan Sungai Long, Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini semalam biarpun diarah  berpindah ke tapak baharu oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Biarpun mengawal rapi tapak terbabit selama lebih dua jam, ketegasan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan itu kendur selepas kesemua peniaga terbabit bertindak agresif merempuh hadangan kon seterusnya memacak gerai jualan di tapak yang sudah diduduki sejak 16 tahun lalu pada kira-kira pukul 5.30 petang semalam.

Sebelum ini, peniaga pasar malam yang beroperasi pada setiap Jumaat dari pukul 3 petang hingga 10 malam itu telah diarahkan MBSA untuk berpindah ke lokasi baru di Jalan Hon, Seksyen 34 berkuatkuasa minggu lalu kerana didakwa mengganggu kelancaran trafik penduduk Taman Desa Kemuning dan Taman Seksyen 32 yang terletak bersebelahan.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Kampung Bukit Naga, Muhammad Al-Hafiz Hasnil menolak dakwaan tersebut dan memberitahu tapak pasar malam itu tidak menghalang laluan masuk utama ke dua taman perumahan terbabit yang wujud pada tahun 2006 kerana peniaga telah berpindah beberapa meter baru-baru ini.

"Aduan tersebut juga tidak menggambar keseluruhan penduduk Kampung Bukit Naga kerana kaji selidik yang dibuat baru-baru ini menunjukkan lebih 80 peratus penduduk setempat mahu tapak pasar malam ini dikekalkan," dakwanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam pada itu, wakil Jabatan Pelesenan MBSA memberitahu, PBT terbabit yang mengambil alih pengurusan pasar malam itu daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Naga mulai Jun lalu mendapati tapak di Jalan Sungai Long tidak lagi sesuai ekoran tekanan pembangunan.

Rotan anak jadi kesalahan besar


SHAH ALAM – Merotan anak berkemungkinan menjadi kesalahan dalam akta baharu bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar kecil) berkata, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan memandangkan negara ini telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Merotan anak merupakan sebahagian budaya masyarakat kita. Namun, kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.
“Kita juga mengambil iktibar daripada rakyat negara kita (Azizul Rahim Awaluddin dan Shalwati Norshal) yang dihukum penjara kerana memukul anak di Sweden pada tahun lalu,” katanya selepas menghadiri program Santai Kopi O anjuran Komuniti Pertubuhan Wanita 1 Malaysia (Perwani) Shah Alam di Galeri Shah Alam di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Munirah Abdullah Bajanuddin dan Pengerusi Penyelaras Perwani Shah Alam, Radziah Ahmad.
Konvensyen mengenai CRC telah diterima dengan rasminya oleh PBB pada 20 November 1989 secara konsensus.
Rohani memberitahu, hukuman terhadap kesalahan merotan anak masih belum diputuskan dan rang undang-undang untuk mengubal Akta Kanak-Kanak 2001 sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, akta baharu itu akan turut melibatkan beberapa penambahbaikan antaranya tempoh hukuman penjara dan jumlah denda yang lebih setimpal dengan kesalahan membabitkan penderaan dan pengabaian anak-anak.

Beliau berkata, berdasarkan Akta Kanak-Kanak sedia ada, hukuman bagi kesalahan penderaan ialah denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan manakala hukuman bagi kesalahan pegabaian ialah denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun tahun jika disabitkan kesalahan.

"Kami berpendapat (hukuman) penjara dan denda tidak mencukupi dan mahu mengisi kerohanian mereka dengan mengenakan hukuman khidmat masyarakat supaya mereka dapat muhasabah diri dan timbul rasa sayang terhadap anak masing-masing," katanya.

Tuesday, January 20, 2015

Mati lemas treler masuk tasik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Seorang lelaki maut selepas treler membawa muatan batu-batu yang dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah tasik di Jalan Batu Arang berhampiran kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1 petang itu, mangsa terbabit disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas beberapa minit berjaya dikeluarkan daripada tasik berkenaan oleh anggota bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, sewaktu kejadian, treler dari arah Puncak Alam, Kuala Selangor dekat sini dipercayai  terbabas lalu terjunam ke dalam sebuah tasik berhampiran.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik di sini bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, lelaki berkenaan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dikeluarkan.

Tambahnya, bantuan penafasan yang diberikan oleh pegawai perubatan kepada mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an itu gagal dan dia disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini untuk dibedah siasat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mengenali mangsa atau kehilangan saudara kenalan terdekat diminta tampil di Unit Forensik HTAR bagi tujuan pengecaman.

Mior Dessert mahu penuhi permintaan

SHAH ALAM - Mior Desseer Enterprise (Mior Dessert) merancang untuk memperluaskan operasinya pada pertengahan tahun ini ekoran sambutan memberangsangkan yang diterima terhadap produk utamanya iaitu paf krim.

Pengusahanya, Mior Ashraf Norul Bashah berkata, perpindahan ke sebuah kilang baharu di Seksyen 13 dari Seksyen 19 dekat sini bertujuan memenuhi kehendak pelanggan, di samping menambah tawaran produk di pasaran.

"Sejak memulakan perniagaan secara dalam talian ini bersama isteri, Fadzillah Omar pada November 2013, sambutan ang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

"Kini kami mendapat tempahan sebanyak lebih 1,000 biji krim paf setiap hari," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Menurut Mior Ashraf, pihaknya bukan sahaja menawarkan pastri tersebut dalam inti tradisi kastad tetapi juga pilihan perisa seperti vanilla, coklat, lemon, coklat vanilla, cip coklat, oreo dan coklat pisang.

"Bagi memberikan kepelbagaian, kami merancang untuk mengeluarkan krim paf sejuk beku dalam tahun ini," jelasnya.

Paf krim Mior Dessert dijual pada harga antara RM24 dan RM26 dalam sekotak yang berisi 25 biji, selain pek mini yang mengandungi empat biji pastri (RM5 sekotak).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook Mior Dessert - Cream Puff Sedap atau menghubungi talian 012-2995057.

Monday, January 19, 2015

Empat lorong elektronik tambahan di Plaza Tol Bukit Jelutong

SHAH ALAM - Perjalanan pengguna Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) di sini akan lebih lancar selepas ini dengan pembinaan empat lorong elektronik tambahan berlapis di Plaza Tol Bukit Jelutong (arah utara) yang dijangka siap pada akhir Mac ini.

Pengurus Besar GCE, Rostam Shahrif Tami berkata, pembinaan lorong elektronik tambahan berlapis tersebut merupakan inisiatif pengendali lebuh raya berkenaan, Prolintas Expressway Sdn. Bhd. untuk memastikan kelancaran pergerakan trafik di lebuh raya sepanjang 25 kilometer itu.

"Kerja-kerja pembinaan lorong elektronik tambahan berlapis terbabit akan bermula esok (hari ini) sehingga 22 Mac depan dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang.

"Sepanjang tempoh itu, pengguna dinasihat agar mematuhi papan tanda arah disediakan dan arahan kakitangan trafik demi kelancaran trafik di Plaza Tol Bukit Jelutong," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Rostam Shahrif berkata, untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi di talian 1-300-88-0035 atau mengikuti laman mikro sosial twitter, GCEtrafik.

Thursday, January 15, 2015

Tuntutan mutaah RM300,000 Rita Rudaini April dan Mei depan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan pembicaraan kes tuntutan mutaah sebanyak RM300,000 oleh pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 39, terhadap bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 28, berlangsung selama dua hari pada April dan Mei depan.

Hakim Mawardi Che Wan memerintahkan Rita Rudaini dan Aidil Zafuan yang juga pemain pertahanan Harimau Malaya masing-masing memberi keterangan dan pembelaan berkaitan tuntutan tersebut pada 13 April dan 11 Mei depan.

Beliau juga diberitahu pihak plaintif dan defendan akan menampilkan dua saksi bagi menyokong afidivit masing-masing sepanjang pembicaraan terbabit.

"Keempat-empat saksi terbabit perlu mengemukakan afidivit secara bertulis dan diserahkan kepada mahkamah dalam tempoh 14 hari sebelum pembicaraan," katanya pada sebutan kes tersebut di sini semalam.

Sebutan kes tersebut berlangsung tanpa kehadiran Aidil Zafuan yang diwakili peguam Rushdan Sujak Rafie. Manakala Rita Rudaini pula menghadiri prosiding terbabit bersama peguamnya, Datuk Zaidi Mohd Zain.

Sebelum ini, Rita Rudaini telah memfailkan tuntutan tersebut pada 7 Julai tahun lalu tetapi ia dibantah Aidil Zafuan dengan menyifatkan nilai mutaah yang dipohon pelakon terkenal itu sebagai melampaui jumlah sepatutnya.

Pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada tahun 2008 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban pada 6 September 2013.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

Aidil Zafuan kemudian telah berkahwin baru dengan dengan Zarema Zainal pada 14 Mac 2014 dan mereka sedang menanti kehadiran cahaya mata sulung.

Wednesday, January 14, 2015

Kurator Padat dituduh terima wang suapan

SHAH ALAM - Seorang kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memperaku dokumen palsu dan menerima rasuah melibatkan pembelian peralatan muzik yang tidak wujud berjumlah RM56,940 kira-kira dua tahun lalu.

Mohd. Subli Musa, 35, dari Bandar Bukit Raja, Klang dekat sini dituduh melakukan kesalahan tersebut di pejabat Padat yang terletak di Tingkat Tujuh, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Seksyen 14 di sini pada 7 Mei 2013.

Dia yang mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Tertuduh didakwa memperaku dokumen palsu kononnya telah menerima peralatan muzik iaitu sebuah keyboard berharga RM7,140 untuk kumpulan kesenian Padat yang sebenarnya tidak wujud.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mendapatkan suapan berjumlah RM38,000 daripada sebuah syarikat, Security Multi Solutions bagi meluluskan kerja-kerja pembekalan peralatan muzik tradisional bernilai RM49,800 untuk kumpulan kesenian agensi kerajaan negeri Selangor tersebut.

Mohd. Subli menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 23 akta sama bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika bersalah.

Noradidah membenarkan Mohd. Subli dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari ini.

Tertuduh yang mempunyai tiga anak berusia dari 10 bulan hingga tujuh tahun membayar wang jaminan tersebut.




Tuesday, January 13, 2015

Harga sayur naik di Sarawak

Oleh MULLER ASSEN, MEGAT LUFTI MEGAT RAHIM, SITI KAMILAH MUSTAPHA dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

KUCHING - Harga sayur di beberapa pasar utama di negeri ini mencatatkan kenaikan antara 50 sen hingga RM1 sekilogram sepanjang musim tengkujuh ini.

Antara sayur yang naik harga ialah bayam, terung, kacang panjang, kacang buncis, petola, bendi dan peria.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak, Stanley Tan berkata, kenaikan harga sayur tersebut bukan berpunca daripada permintaan tinggi tetap keadaan cuaca sejak kebelakangan ini.

"Pemeriksaan menerusi Ops. Pasca Banjir itu bagaimanapun mendapat harga sayur masih terkawal dan tidak membebankan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Kelmarin kira-kira pegawai penguat kuasa PPDNKK Sarawak sudah dikerahkan untuk melakukan pemantauan harga barangan sepanjang Ops. Panca Banjir.

Sementara itu, Pengarah PPDNKK Perlis, Khairul Amin Talib memberitahu, pihaknya telah menggerakkan 40 peguat kuasa memantau dan memeriksa harga makanan serta barangan keperluan asas oleh pemborong, peniaga pasar, pasar raya termasuk pasar tani di seluruh Perlis.

"Setakat ini, tidak berlaku kenaikan harga dan kita akan memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan," katanya.

Di Selangor pula, Penolong Pengarah Kanan PPDNKK negeri, Yusof Bakar memberitahu, berlaku kenaikan harga terutama sayur bayam, bendi dan sawi di negeri berkenaan.

"Namun kami masih memantau perkembangan tersebut dan mempertimbang untuk menguatkuasa Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana mengesan terdapat unsur-unsur manipulasi harga dalam kenaikan harga sayur berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya telah memeriksa sebanyak 2,651 remis perniagaan semalam selepas Ops. Pasca Banjir dilancarkan dua hari lalu.

Daripada jumlah itu, penguat kuasa telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,800 kepada premis yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Sebanyak 15 kes telah dikesan di Johor apabila peniaga gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

"Jumlah pemeriksaan oleh KPDNKK hari ini (semalam) melibatkan 1,428 pasar basah, pasar malam (392) dan gerai makan (186) di samping pasar tani, kedai makan, medan selera, kedai runcit, pasar raya mini, pasar raya besar dan pemborong," katanya.

Hasan menambah, sebanyak 12 kes dalam Ops. Pasca Banjir itu disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala tiga lagi kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Kurator Muzium didakwa rasuah

SHAH ALAM - Seorang kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menerima suapan melibatkan pembelian peralatan muzik bernilai lebih RM45,000 pada Mac dua tahun lalu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Mohd. Subli Musa, 35, dituduh melakukan perbuatan tersebut di pejabat Padat di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 7 Mei 2013.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi pembelian peralatan muzik iaitu sebuah keyboard bernilai RM7,140 untuk kegunaan kumpulan kesenian Padat yang sebenarnya tidak wujud.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima rasuah sebanyak RM38,000 daripada sebuah syarikat pembekalan peralatan muzik pada masa sama.
Mohd. Subli dituduh mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan seksyen 18 akta sama.
Hakim Datuk Noradidah Ahmad membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari depan. - KOSMO!

Thursday, January 8, 2015

Azmin tetap tuntut wang pampasan dipulangkan

SHAH ALAM - Polemik isu wang pampasan lapan pembantu bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semakin berlarutan apabila kerajaan negeri Selangor tetap mempertahankan laporan audit yang dipertikai sebelum ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun tidak memberi peluang kepada pihak terlibat untuk memberi penjelasan, laporan audit yang menjadi asas utama Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menuntut semula keseluruhan pampasan berjumlah RM2.6 juta itu berintegriti kerana ia dilaksana secara bebas tanpa campur tangan kerajaan negeri.

"Saya tidak masuk campur dalam laporan audit tersebut. Jabatan Audit adalah satu jabatan bebas yang telah masuk (pengurusan MBI) dan melakukan siasatan.

"Berdasarkan dokumen yang dibentangkan, laporan audit (itu) tiada masalah," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas keengganan lapan pembantu Abdul Khalid untuk mematuhi arahan kerajaan negeri untuk memulangkan pampasan yang telah diterima mereka ketika mengosongkan jawatan masing-masing pada akhir September lalu.

Tegas Mohamed Azmin, kesemua lapan pembantu Abdul Khalid terbabit diberi tempoh selama 14 hari sehingga 19 Januari ini untuk memulangkan pampasan masing-masing yang berjumlah antara RM115,000 dan RM695,000.

Ujar beliau, pengurusan MBI juga telah mengkaji beberapa tindakan sekiranya pampasan tersebut masih tidak dipulangkan pihak terbabit mengikut masa ditetapkan.

Selasa lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin mendakwa, laporan audit berkenaan cacat dan tidak dilakukan secara profesional tanpa mengikuti tatacara pengauditan yang betul.

Dakwa beliau, audit tersebut merupakan laporan yang cacat kerana ia dijadikan dokumen awam tanpa mendapatkan penjelasan daripada pihak terlibat termasuk Abdul Khalid.

Sehubungan itu, kelapan-lapan pembantu Abdul Khalid terbabit akan mengambil perkhidmatan peguam bagi meneliti surat tuntutan pemulangan keseluruhan wang pampasan tersebut.

Ahli MAIS sesi 2015-2017 terima watikah

SHAH ALAM - Seramai 20 Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerima watikah perlantikan masing-masing bagi sesi 2015-2017 di Istana Kayangan di sini hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah perlantikan berkenaan kepada mereka yang diketuai Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa.
Lima muka baharu dilantik termasuk Pengarah Jabatan Agama Islam baharu, Datuk Haris Kassim, bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan dan Pensyarah Kanan Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Datin Paduka Norazlina Zakaria. - KOSMO! 

Wednesday, January 7, 2015

Asam Pedas Quali kini di Shah Alam

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Peminat masakan asam pedas ikan baung yang popular di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor kini boleh merasai kelazatannya di Asam Pedas Quali yang terletak di Restoran Radi Corner, Seksyen 20 di sini.

Pemiliknya, Azri Mardi berkata, Asam Pedas Quali yang mula beroperasi sejak September lalu merupakan cawangan kedua Restoran Asam Pedas Ikan Baung yang popular di selatan tanah air.

"Seperti cawangan pertama di Ayer Hitam, masakan yang disajikan di Asam Pedas Quali merupakan resepi tradisi ibu saya, Saadah Abd. atau lebih dikenali penduduk setempat sebagai Tok Mak.

"Kepakaran kami memasak asam pedas ikan baung sungai yang diperolehi secara segar dari komuniti Orang Asli di Kahang, Kuang, Johor,"katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Azri berkata, keistimewaan di Asam Pedas Quali ialah pelanggan dapat merasai kelazatan asam pedas secara panas yang dimasak di dalam periuk mini.

Menurut beliau, selain ikan baung, terdapat juga pilihan ikan jenahak, kembong, pari, merah, tenggiri dan kepala ikan merah serta jenahak.

"Setiap hidangan yang turut disertakan nasi, telur masin atau telur dadar berharga antara RM9 hingga RM20 mengikut jenis dan saiz ikan yang boleh dipilih sendiri oleh pelanggan.

"Restoran kami dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari dan sejak dibuka lebih tiga bulan lalu, sambutan diterima sangat menggalakkan," katanya.

Perkasa hantar 10 tan bantuan mangsa banjir

SIMPATI. Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor menghantar bantuan barangan keperluan dan makanan seberat hampir 10 tan kepada mangsa banjir di Pantai Timur baru-baru ini.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, antara barangan yang dihantar ialah air mineral, lilin, lampin bayi, minyak masak, makanan kering dan beras.
Beliau berkata, barangan bantuan terbabit telah dihantar ke pusat pengumpulan di Pasir Mas, Kelantan dengan menggunakan sebuah trak.
“Ia kemudiannya akan diagihkan-agihkan ke seluruh Pantai Timur mengikut keperluan mangsa banjir,” katanya.

Tuesday, January 6, 2015

TOKOH Maulidur Rasul 1436 Hijrah

PERINGKAT KEBANGSAAN
Anugerah Perdana Maulidur Rasul
Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad

ANUGERAH MAULIDUR RASUL
Ahli Jawatankuasa Fatwa Perak
Datuk Saleh Mah@Ahmad

Jurubahasa Bahasa Arab Tilawah al-Quran Antarabangsa
Datuk Mahamud Abdul

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia
Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor

Pensyarah Universiti Malaya
Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail

Penolong Setiausaha Bahagian Pengurusan Bencana MKN
Kolonel Mohd. Sakri Hussin

bekas penyanyi kumpulan Raihan
Nazrey Johani

Atlet paralimpik
Mohammad Azlan Mat Lazin

KEDAH
Ketua Jabatan Mualamat dan Kewangan Islam Universiti Utara Malaysia
Dr. Ahmad Bashir Aziz

PERAK
Anugerah Keluarga Mithali
bekas Pengarah Pendidikan Perak
Datuk Khairuddin Arshad

SABAH
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah
Dr. Suwaid Tapa

Bekas guru
Salmah Abdullah

PULAU PINANG
Ketua Bahagian Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Mohd. Azmi Abdul Hamid

SELANGOR
Anugerah Imam Al-Ghazali
Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Prof. Datuk Ab. Halim Tamuri

Belum putus pulangkan wang pampasan

SHAH ALAM - Lapan pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya akan memutuskan sama ada akur dengan arahan kerajaan negeri memulangkan wang pampasan atau sebaliknya selepas menerima notis tuntutan tersebut.
Salah seorang daripada mereka, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Faekah Husin mengesahkan, setakat ini, kesemua bekas kakitangan pejabat Menteri Besar Selangor terbabit masih belum menerima notis tuntutan berkenaan daripada MBI.

"Saya akan meneliti notis terbabit sebelum mengulas atau mengambil sebarang tindakan selanjutnya," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas arahan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali agar kelapan-lapan pembantu Abdul Khalid itu agar memulangkan pampasan dan ganti kepada notis tiga bulan yang diterima mereka sewaktu meninggalkan jawatan mereka pada akhir September lalu.

Mohamed Azmin memberitahu pengurusan baharu MBI telah memutuskan pembayaran yang dibuat dalam jumlah sangat besar itu sebagai melanggar syarat-syarat kontrak yang telah mereka persetujui sebelum ini.

Sementara itu, sumber MBI memberitahu, notis tuntutan wang pampasan tersebut akan diposkan kepada lapan pembantu Abdul Khalid tersebut pada hari ini.

Sebelum ini, Faekah dan tujuh pembantu Abdul Khalid menerima pampasan antara RM115,000 dan RM695,400 sebagai pampasan dan ganti kepada notis tiga bulan kerana mengosongkan pejabat Menteri Besar berikutan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang  pada 22 September lalu.

MAIS hantar sembilan tan bantuan kepada mangsa banjir

MISI BANTUAN. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menghantar sembilan tan barang keperluan sebagai bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur dan Perak di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, barangan tersebut merupakan sumbangan daripada anak-anak syarikatnya, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Wakaf Selangor dan Kumpulan MAIS Corporation.
Beliau berkata, selain barangan keperluan diri, sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan negeri Selangor itu akan turut mengagihkan pakaian seragam sekolah kepada anak-anak mangsa banjir terbabit.

Saturday, January 3, 2015

Rektor Kuis tokoh Maulidur Rasul Selangor

SHAH ALAM - Rektor Kolej Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Prof. Datuk Ab. Halim Tamuri menerima anugerah Imam Al Ghazali pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Stadium Malawati di sini hari ini.
Anugerah Saidina Ali pula diberikan kepada pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Hulu Langat, Cheras, Nur Aisyah Mohamed Ibrahim atas kecemerlangan dia menjadi johan pertandingan Debat Bahasa Arab Nusantara baru-baru ini.
Pengarah Komunikasi Korporat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datin Dr. Norizan Abdul Razak pula dinobat sebagai penerima anugerah Saidatina Khadijah.
Mereka menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut. - KOSMO!

Friday, January 2, 2015

Peniaga jual ikan, sayur lebih mahal

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM, RIZAM ZAKARIYA, AMMAR JAZLAN MAD LELA, MANIRAH OTHMAN, MOHD. AZLI ADLAN,  AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, NOR AZIRAN YUNUS, MOHD. YUNUS YAKKUB, IKHWAN IDERIS
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Harga barangan keperluan harian di beberapa pasar basah di seluruh negara menunjukkan trend kenaikan harga ekoran kekurangan bekalan disebabkan faktor cuaca dan bencana banjir melibatkan beberapa negeri sejak bulan lalu.
Bagaimanapun, ada antara pasar-pasar basah yang membekalkan ikan segar dan sayur-sayuran di beberapa negeri juga tidak banyak berubah bahkan masih mengekalkan harga sama.
Di ibu negara, harga jualan runcit bagi ikan segar di beberapa pasar sekitar Kuala Lumpur dijangka naik memandangkan bekalan sukar diperoleh dari negeri-negeri pembekal seperti Kelantan, Pahang, Terengganu dan utara tanah air yang terjejas akibat banjir.
Tinjauan Kosmo! di Pasar Keramat, Pasar Pudu dan Pasar Chow Kit mendapati bekalan ikan segar sangat terhad dan harganya pula menunjukkan peningkatan seperti ikan tenggiri dijual pada harga sekitar RM20 hingga RM24 sekilogram, bawal hitam (RM20-RM26 sekilogram) dan ikan kembung (RM12-RM14 sekilogram).
Turut terpengaruh dengan situasi semasa ialah bekalan sayur-sayuran terutamanya cili merah yang dijual pada harga RM9 hingga RM10 sekilogram di Pasar Chow Kit dan Pudu manakala harga di Pasar Keramat pula antara RM12 hingga RM14 sekilogram.

Di Terengganu, bencana banjir yang melanda negeri itu sejak beberapa hari lalu menyebabkan bekalan sayur-sayuran seperti kangkung, sawi, kailan dan terung berkurangan di Pasar Besar Chukai, Kemaman. Bagaimanapun bekalan ikan dan daging masih mencukupi.

Di Kedah, harga sayur kangkung dan cili merah di Pasar Besar Alor Setar didapati meningkat sedikit sejak seminggu lalu masing-masing daripada RM3.50 kepada RM6 sekilogram dan RM9 kepada RM14 sekilogram, namun sesetengah barang basah seperti ayam didapati lebih murah berbanding sebelum ini.

Di Pulau Pinang, kebanyakan harga barang basah tidak menunjukkan peningkatan yang ketara memandangkan bekalan ikan kembung, selar dan cencaru masih boleh diperoleh daripada peraih dan nelayan di sekitar negeri ini yang tidak terjejas dengan musim tengkujuh.

Di Sarawak, kenaikan harga sayur-sayuran tidak dapat dielakkan kerana berkurangan bekalan sejak dua minggu lalu terutamanya sawi, kacang bendi, kacang panjang dan taugeh yang meningkat antara 50 sen hingga RM3.

Masalah bekalan ikan pula tidak begitu ketara kerana adanya stok ikan import, namun harga ikan kembung agak meningkat iaitu kepada RM12 sekilogram berbanding RM9 sekilogram sebelum ini manakala ikan selar kuning dan bawal hitam juga naik kepada RM14 dan RM26 sekilogram.

Di Melaka, kebanyakan barang keperluan harian di Pasar Besar Melaka menunjukkan kenaikan terutamanya ikan yang rata-ratanya naik RM2 berbanding harga sebelum ini disebabkan kekurangan bekalan kira-kira 15 peratus berbanding kebiasaan ekoran faktor cuaca.

Di Pahang, harga sayur-sayuran di Kuantan naik mendadak berikutan banjir sekali gus menjejaskan beberapa bekalan jenis sayur tempatan terutamanya kangkung manakala ikan, daging serta ayam tidak banyak berubah.

Di Sabah, cuaca hujan dan bencana banjir di Keningau dan Tenom bulan lalu menyebabkan kenaikan harga paling ketara terhadap cili merah iaitu RM20 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini manakala sayur sawi daripada RM3 kepada RM10 sekilogram.

Di Selangor, harga beberapa hasil laut seperti ikan selar, cencaru dan kembung di Pasar Seksyen 6, Shah Alam meningkat berikutan kekurangan sehingga 50 peratus bekalan ikan disebabkan banjir, namun barangan lain tidak banyak perubahan harga.

Thursday, January 1, 2015

Menu enak sempena sambutan Tahun Baru di Hotel Concorde

SHAH ALAM - Hotel Concorde di sini menerusi Kafe Melting Pot bakal menampilkan menu baharu sempena ketibaan Tahun Baru 2015 Khamis ini.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Concorde, Amilia Alias berkata, kesemua menu meliputi pembuka selera, sajian utama, sup dan pemanis mulut tersebut merupakan air tangan Chef Eksekutif Alham Ahmad Daldiri.

"Bukan sahaja resepi tempatan dan Asia malah makanan ala Barat dan Jepun juga disajikan bagi memenuhi selera pelanggan warga asing yang turut ramai menginap di hotel kami.

"Antara menu istimewa yang akan diperkenalkan ialah Nasi Goreng Pedas Concorde, Nasi Goreng Ibunda dan ayam masak paprik Thai dan ikan siakap bakar dengan sos masam-manis," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Amilia menjelaskan, pelanggan juga dapat menikmati sajian tuna sirip biru Tataki, udang kara panggang bersama keju Ricotta Ravioli, sup labu, pizza dan menu berasaskan pasta.

Tambah beliau, Kafe Melting Pot turut menyajikan pelbagai makanan dan minuman kegemaran rakyat negara ini seperti roti jala, cucur udang, roti kahwin, sate kajang, kueh teow goreng, bihun goreng, kopi tarik dan teh tarik.

"Kesemua menu tersebut menggunakan ramuan yang segar, bermutu tinggi dan organik," katanya.

Butik SincerelyByUs tawar koleksi baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Butik tudung dan selendang kontemporari, Sincerely By Us (SBU) bakal melancarkan segmen baju wanita dan skirt terbaharu dengan label sendiri pada tahun 2015.

Pemiliknya, Noor Inora Putri Noorzainy berkata, pengenalan produk baharu itu bertujuan untuk mengukuhkan jenama produk dan memberi pilihan pelbagai kepada pelanggannya.

SBU terkenal dengan tudung dan selendangnya yang menjadi pilihan ramai kerana bukan sahaja dijual pada harga berpatutan malah mudah dibentuk dan digayakan mengikut kesesuaian penggayanya kerana tidak perlu digosok.

"Kami juga akan memperkenalkan lebih banyak rekaan terbaharu tudung dan selendang yang menggunakan kain chiffon crepe yang terlalu nipis atau tebal sesuai untuk Muslimah menutup aurat sepanjang tahun 2015," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika mengadakan kempen jualan tengah malam di SBU Alam Avenue 2, Seksyen 16 di sini baru-baru ini.

Jualan promosi akhir tahun yang menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi produk terpilih itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggannya.

Selain itu, SBU turut melancarkan tabung bantuan bagi membolehkan pelanggan butik terbabit menghulurkan derma yang akan disalurkan kepada mangsa banjir Pantai Timur.

Noor Inora Putri memberitahu, sebuah cawangan ketiganya bakal dibuka di Taman Air Kolam, Johor Bahru pada pertengahan Januari ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk keluaran SBU, boleh hubungi talian 03-55241806 atau layari laman web www.sincerelybyus.com.