Translate

Thursday, November 30, 2023

Suami isteri diberkas tipu tender RM130,000

 KUALA TERENGGANU – Seorang penolong tadbir kanan sebuah jabatan kerajaan negeri Terengganu dan isterinya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan menyalahgunaan kuasa melibatkan pemberian tender bernilai kira-kira RM130,000. 

Sumber SPRM berkata, lelaki itu disyaki memberi 70 perolehan pembaikan kenderaan jabatan kepada syarikat milik isterinya. 

 “Suspek juga dipercayai telah mengesyorkan kerja-kerja pembaikan kenderaan jabatan berkenaan kepada bengkel dimiliki sebuah koperasi yang mempunyai kepentingan dengan dirinya. 

 “Lelaki itu merupakan ahli lembaga koperasi merangkap setiausaha jawatankuasa perdagangan koperasi tersebut,” katanya di sini semalam. 

 Sumber SPRM berkata, siasatan awal percaya semua transaksi pemberian tender berkenaan dilakukan pada tahun 2021 dan 2022. 

Tambah beliau, kedua-dua suami isteri terbabit telah ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 11 pagi semalam. 

 “Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini esok (hari ini) bagi proses permohonan reman,” katanya. 

 Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, yang dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. 

 Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lupa, musim banjir punca lambat buat dokumen anak

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita mengakui terlewat memohon kad pengenalan atau MyKad anak bongsunya yang genap 12 tahun pada Mac lalu kerana terlupa. 

Menurut wanita yang mahu dikenali sebagai Kamariah, 42, dia hanya tersedar perkara itu kira-kira tiga bulan kemudian.

 “Saya mula teri­ngat anak bongsu belum memohon MyKad sewaktu melalui kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu secara kebetulan pada Jun lalu. 

“Saya dan suami mungkin terlepas pandang kerana ulang tahun kelahiran anak jatuh pada bulan Ramadan. Kebetulan ketika itu suami bekerja di luar kawasan,” katanya kepada Kosmo!.

 Kamariah memberitahu, kelewatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana rumahnya hanya terletak tidak sampai tiga kilometer dari Kaunter JPN, UTC Kuala Terengganu. 

Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Nasir Mat Sam, 47, yang menetap di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus mengakui dia berasa risau memandangkan anak lelakinya bakal menyambut ulang tahun yang ke-12 pada bulan depan. 

“Seperti semua tahu, musim tengkujuh sudah bermula jadi kami yang menetap di pulau ini biasanya tidak dapat keluar menaiki bot kerana keadaan laut yang bergelora. 

“Pejabat JPN terdekat pula sama ada di Permaisuri, Setiu atau Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu,” katanya. 

Mohd. Nasir memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan dan merancang akan membawa anaknya memohon MyKad di pejabat JPN paling awal pada Mac tahun depan selepas Monsun Timur Laut berakhir.

Kes lewat mohon MyKad meningkat

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sikap acuh tak acuh segelintir ibu bapa menyebabkan ramai golongan remaja di negara ini tercicir memiliki kad pengenalan atau MyKad selepas usia 12 tahun. 

Mengikut statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), seramai 45,588 remaja di negara ini yang berusia 13 hingga 17 tahun tidak mempunyai MyKad, setakat tahun 2019.

 Sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan ibu bapa atau penjaga mendaftarkan permohonan Mykad mengikut masa yang ditetapkan. 

Ini terbukti apabila 2,900 kes lewat pendaftaran MyKad dite­rima JPN pada 2021.

Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, negeri ini juga tidak terkecuali apabila bilangan mereka yang lewat memohon MyKad meningkat sejak kebelakangan ini.

 “Semakan mendapati ada ibu bapa yang tersedar anak mereka masih belum memiliki MyKad pada usia 16 tahun. 

“Kita juga pernah menerima kes yang mana lelaki warga emas orang kelainan upaya (OKU) lembam memperoleh MyKad pada usia 71 tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru i

 Berdasarkan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kanak-kanak warga Malaysia perlu memohon MyKad dalam tempoh 30 hari selepas tarikh genap usia 12 tahun.

 Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati sebahagian besar kelewatan itu disebabkan ibu bapa yang alpa sehingga terlupa membuat permohonan di JPN. 

“Kebanyakan kes bukan faktor jarak atau status ekonomi dan sosial keluarga memandangkan sebahagian besar permohonan yang lewat itu melibatkan mereka yang tinggal di bandar kurang 10 kilometer dari pejabat JPN terdekat. 

“Ibu bapa sendiri kurang ambil berat, sebahagian mereka boleh menganjurkan majlis hari lahir secara meriah, tetapi terlupa membawa anak mereka ke pejabat JPN berhampiran untuk membuat MyKad pada hari sama,” ujar beliau. 

Mohamad Nasir tidak menolak kemungkinan hukuman ringan atas kelewatan mendaftar permohonan MyKad buat kali pertama membuatkan ramai pihak yang memandang enteng perkara tersebut. 

Jelasnya, mereka yang lewat memohon MyKad hanya dikenakan bayaran proses sebanyak RM10 selepas 30 hari dari tarikh genap usia 12 tahun. 

“Saya mohon ibu bapa atau penjaga supaya lebih cakna. Ketiadaan MyKad tidak boleh dipandang remeh kerana banyak perkara seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan akan ‘hilang’ tanpa dokumen penting itu.

 “Masyarakat sekeliling juga diseru main peranan mengingatkan antara satu sama lain ketika sambutan hari lahir ahli keluarga, rakan atau jiran,” katanya. 

 Tambahnya, JPN juga memainkan peranan meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar). 

Beliau mengakui ada segelintir kes disebabkan faktor ekonomi dan jarak bagi kanak-kanak yang menetap di kawasan pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Redang. 

“Kami akan lebih kerap mengambil inisiatif turun padang di perkampungan membantu mereka memperoleh dokumen pengenalan diri. 

“Ada juga kes-kes terpencil kanak-kanak genap usia 12 tahun pada hujung tahun dan awal tahun tidak dapat keluar pulau untuk memohon MyKad kerana laut bergelora,” katanya.

Empat ADUN Pas bantu Ahmad Samsuri

KEMAMAN – Calon Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar optimis kesibukannya sebagai Menteri Besar Terenggganu tidak akan menjejaskan perkhidmatannya kepada Parlimen Kemaman sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2 Disember ini. 

Beliau berkata, tugasnya untuk berkhidmat kepada warga bandar ini sudah pasti akan dibantu empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas sedia ada mewakili kesemua dewan undangan negeri (DUN) terdapat di dalam Parlimen Kemaman. 

“Tidak memberi apa-apa masalah (kerana) keempat-empat DUN di Kemaman ini pun sudah dimenangi oleh Pas.

 “Jadi dengan keupayaan ADUN-ADUN itu akan membantu tugas Ahli Parlimen (Kemaman),” katanya di sini kelmarin. 

Ahmad Samsuri berkata, semua pihak perlu menerima realiti tugas pentadbiran kerajaan negeri Terengganu diterajuinya harus berjalan seperti biasa walaupun beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman kelak. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau terus mengharapkan ahli-ahli UMNO tempatan yang mengundi calon Pas sebagai tanda protes pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan Pilihan Raya Negeri lalu kekal melakukannya pada PRK Parlimen Kemaman kali ini. 

“Sudah tentu kita (Pas) mengharapkan (ahli-ahli) UMNO yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan mereka memberi sokongan kepada Pas dalam PRK Kemaman. 

“Begitu juga mereka tidak berparti yang sebenarnya agak ramai (untuk mengundi Pas),” katanya. 

Pada PRK Kemaman, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas akan menentang calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor

Pakaian atlet patuh syariah sukar dibuat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Garis Panduan Pemakaian Sukan Patuh Syariah masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Terengganu ekoran terikat dengan peraturan yang ditetapkan badan sukan antarabangsa. 

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Karim berkata, pendekatan lebih lembut terpaksa diambil bagi mendidik para atlet bagi mematuhi garis panduan terbabit dengan berpakaian patuh syariah sewaktu bersukan. 

“Kalau hendak patuh syariah itu agak sukar dilaksanakan sepenuhnya seperti sukan berbasikal.

 “Kita mendidik perlahan-lahan dan memberi kesedaran kepada atlet agar mengenakan pakaian yang mesra syariah berbanding langkah penguatkuasaan lebih tegas,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini semalam. 

 Beliau menjawab soalan lisan Dr. Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas-Sura) tentang standard pemakaian menutup aurat ditetapkan kerajaan negeri bagi acara sukan dan acara badan bukan kerajaan. 

 Hishamuddin berkata, usaha pendidikan bagi memastikan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Terengganu dilancarkan pada 2020 tetap diteruskan. 

 Dalam pada itu, Hishamuddin menjelaskan, kerajaan negeri kekal tidak akan menyertai acara gimnastik dan gimrama wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 ekoran isu pemakaian atlet yang tidak mematuhi syariah.

 “Masalahnya, pakaian (atlet gimnastik dan gimrama wanita) terlalu ketat dan menampakkan bentuk tubuh mereka. Kita tak akan berkompromi dan pendirian ini perlu dihormati. 

“Kita tidak benci sukan itu, namun tidak membiarkan atlet berpakaian sebegitu,” katanya. 

 Hishamuddin berkata, garis panduan tersebut hanya tertakluk kepada atlet Muslim.

Bah di Terengganu, Kelantan kian surut

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang semalam membolehkan situasi banjir di Terengganu semakin memulih dengan tinggal hanya 711 mangsa daripada 186 keluarga terjejas di empat daerah.

 Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Besut. 

 Kebanyakan penduduk sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir yang melanda sejak Isnin lalu mulai surut. 

 Begitupun rata-rata mereka masih berhati-hati memandangkan hujan masih turun dan gelombang pertama banjir di negeri ini belum diumumkan berakhir secara rasmi. 

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, Kuala Terengganu kekal paling terjejas dengan 405 mangsa daripada 110 keluarga berada di tiga PPS. 

 “Sebanyak tiga PPS dengan menempatkan 145 mangsa daripada 39 keluarga masih beroperasi di Marang. 

 “Seramai 117 mangsa daripada 27 keluarga pula berada di enam PPS di Kuala Nerus,” katanya di sini semalam. 

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, satu-satu PPS yang masih dibuka di Besut ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut dengan 44 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan.

 Di Kelantan pula, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di dua PPS di negeri itu menurun kepada 57 orang sahaja.

Wednesday, November 29, 2023

Bubur Asyura Hentian Bas MBKT


 Ahli-ahli Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu menunjukkan isyarat bagus ketika memasak bubur asyura untuk diedarkan kepada orang ramai di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Ramai masih terjejas di daerah Kuala Nerus

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Cuaca yang semakin baik di negeri ini sejak pagi semalam membolehkan bilangan mangsa banjir yang terjejas semakin berkurangan kepada 2,331 daripada 629 keluarga.

 Setakat pukul 5 petang semalam, mereka masih menghuni 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini. 

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas dengan 1,012 mangsa daripada 281 keluarga di 10 PPS. 

 “Seramai 712 mangsa daripada 201 keluarga mash beriada di lima PPS di Kuala Terengganu.

 “Sebanyak empat PPS yang menempatkan 450 mangsa daripada 115 keluarga masih beroperasi di Marang,” katanya di sini semalam. 

 Ujarnya, Besut pula masih mempunyai 226 mangsa daripada 51 keluarga di sebuah PPS. 

 Tambahnya, seramai 23 mangsa daripada lima keluarga pula di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, Dungun. 

 “Cuaca di kebanyakan kawasan di Terengganu hari ini (semalam) mendung dan trend kini mula menunjukkan penurunan,” katanya. 

Sementara itu, di Kelantan, Sekreteriat Pengurusan Banjir Negeri Kelantan dalam satu kenyataan berkata, jumlah mangsa mencatatkan penurunan kepada 108 orang susulan cuaca baik dan tiada hujan lebat. 

Menurutnya, setakat pukul 5 petang semalam, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 297 orang berbanding 405 orang pada pukul 12 tengah hari. 

Katanya, tiga daerah yang masih terjejas banjir ialah Pasir Puteh, Bachok dan Pasir Mas. 

“Sebuah PPS masing-masing dibuka di Pasir Puteh dan Bachok. Seramai 30 mangsa ditempatkan di Pasir Puteh, manakala 46 mangsa di Bachok. 

“Sebuah lagi PPS dibuka di Pasir Mas iaitu di Sekolah Kebangsaan Gua Tok Deh yang menempatkan 32 mangsa daripada tujuh buah keluarga,” katanya. 

Tambah kenyataan itu, lapan sungai utama di Kelantan mencatatkan bacaan normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras bahaya.

BN mahu matikan gelombang hijau di Kemaman

KEMAMAN – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini amat penting sebagai simbolik melemahkan sepenuhnya gelombang hijau digerakkan Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRK15) lalu. 

 Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sasaran tersebut sekiranya tercapai bukan sahaja mampu mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan malah tambah manis jika berjaya dilakukan di kawasan Parlimen terletak di negeri dikuasai Pas tersebut.

 “Kemenangan di (Parlimen) Kemaman akan mematikan green wave (gelombang hijau) di tanah (kawasan) mereka banggakan dengan (kejayaan) menang 40 kerusi (Parlimen di empat negeri majoriti Melayu). 

 “Ikut logik memang sukar kerana majoriti 27,000 (dimenangi Pas) tetapi kita kena lawan ibarat rakyat Palestin melawan Israel walaupun dengan batu,” katanya pada program Ramah Mesra Geng Perpaduan di Kampung Mak Chili Paya, di sini kelmarin.

 Ujarnya, Pemuda BN telah berganding bahu bersama pergerakan Pemuda dalam parti komponen kerajaan Perpaduan seperti Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menggempur Parlimen Kemaman. 

Ujar Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka itu, mereka telah merangka gerak kerja luar biasa bagi menawan hati pengundi muda untuk membantu kemenangan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

 “Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) telah memenuhi permintaan Pemuda UMNO untuk melantik calon bukan orang politik (bagi PRK Kemaman). 

 “Ini yang dimahukan orang muda dan akan menjadi indikator (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang,” katanya.

Pas tidak ‘perlu’ orang tua

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Pas tidak mengharapkan undi daripada pengundi warga emas kerana sokongan padu diberikan golongan muda diyakini sudah cukup untuk memenangkan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman. 

 Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini, majoriti pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun menyokong parti itu. 

 Beliau memberitahu, begitupun, sokongan tersebut masih gagal diperolehi daripada pengundi warga emas yang berada di saluran satu dan dua. 

 “Yang tinggalnya orang tua tak reti bahasa. Dia (golongan warga emas) tidak faham politik tetapi orang muda faham.

 “Undi saluran satu, dua ini kalau boleh pujuk, (kita) pujuk. Kalau habis masa (tidak sempat), tak usah pujuklah, buat buang masa,” katanya ketika Ceramah Perdana PRK Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Kijal, di sini kelmarin. 

 Justeru Abdul Hadi berkata, Pas harus fokus kepada undi golongan muda yang telah mencetuskan gelombang kemenangan besar 27,000 majoriti di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. 

 Ahli Parlimen Marang itu menegaskan jentera parti Pas perlu terus bekerja kuat mempertahankan sokongan yang telah diperolehi di saluran undi lima hingga tujuh dimiliki pengundi muda. 

 Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengakui pemilihan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pas dalam PRK Kemaman bagi meneguhkan kedudukan Menteri Besar Terengganu itu di peringkat nasional sebagai persiapan sekiranya berpeluang mengambil alih kerajaan Persekutuan.

 “Kita hendak ambil langkah jauh lagi, ambil kerajaan Pusat. Apabila ada kosong di (Parlimen) Kemaman, kita ambil dia (Ahmad Samsuri jadi calon). 

 “(Ia) untuk meneguhkan kedudukan dia dan kita (Pas) di Pusat, ini sangat penting,” katanya. 

 Abdul Hadi mendakwa Ahmad Samsuri yang merupakan bekas ahli akademik jauh lebih berwibawa berbanding calon ditampilkan Barisan Nasional (BN) iaitu Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. 

 Dakwa beliau, Raja Mohamed Affandi yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak sesuai mewakili penduduk Kemaman yang kebanyakannya golongan peneroka Felda dan nelayan.

Sampah hantui penduduk Pulau Redang

KUALA NERUS – Seramai kira-kira 2,000 penduduk Kampung Baru Pulau Redang dekat sini keresahan berhadapan dengan masalah timbunan sampah dan sisa pepejal yang mengganggu kualiti hidup mereka seharian. 

 Isu tersebut didakwa sudah berlarutan sejak dua tahun lalu, namun semakin kronik kira-kira dua bulan lalu.

 Seorang penduduk, Mahadi Mustafa, 53, mendakwa, sisa pepejal dan domestik dari rumah penduduk dan pemain industri pelancongan pulau peranginan berkenaan sepatutnya dibawa keluar bagi pelupusan di daratan setiap tiga kali seminggu.

 “Masalah timbul apabila bot digunakan kontraktor dilantik pihak berkuasa tempatan (PBT) bersaiz kecil hingga tidak mampu menampung semua sisa domestik dan pepejal dari pulau ini. 

 “Sampah-sampah yang ditinggal itu makin lama makin menimbun dan tidak pernah dibersihkan sepenuhnya sehingga menyebabkan pencemaran bau dan penglihatan kerana terletak berhampiran dengan jeti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Baru Pulau Redang di sini semalam. 

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Muda, 63, pula berkata, tapak timbunan sampah terbabit juga terletak terlalu hampir dengan bangsal nelayan perkampungan tersebut. 

 Nelayan itu mendakwa timbunan sampah yang tidak dikutip sepenuhnya menyebabkan dia dan rakan-rakannya tidak selesa untuk menaikkan ikan dan membaiki peralatan menangkap ikan seperti jala di kawasan bangsal tersebut. 

 “Kami tidak tahan bau busuk yang kadang-kala merebak dibawa angin hingga ke penempatan kampung dan resort penginapan berhampiran. 

 “Timbunan sampah terbabit turut menimbulkan ancaman haiwan dan serangga perosak seperti tikus, lipas, nyamuk dan ulat yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya.

Mangsa banjir Terengganu turun 2,311 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca yang semakin baik di negeri ini sejak pagi ini membolehkan bilangan mangsa banjir yang terjejas semakin berkurangan kepada 2,311 daripada 629 keluarga.

Mereka masih menghuni 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas dengan 1,012 mangsa daripada 281 keluarga di 10 PPS.

“Seramai 712 mangsa daripada, 201 keluarga masih berada di lima PPS di Kuala Terengganu.

“Sebanyak empat PPS yang menempatkan 450 mangsa daripada 115 keluarga masih beroperasi di Marang,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Besut pula masih mempunyai 131 mangsa daripada 30 keluarga di sebuah PPS.

Tambahnya, seramai enam mangsa daripada dua keluarga pula di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Kah, Dungun.

“Cuaca di kebanyakan kawasan di Terengganu hari ini mendung dan trend kini mula menunjukkan penurunan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, November 28, 2023

Cari model terbaik – Sultan Mizan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan pentadbiran kerajaan negeri agar mencari kaedah terbaik bagi memastikan ketelusan sistem pentadbiran ekoran ketiadaan wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN). 

 Baginda bertitah, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah menyaksikan rakyat Terengganu telah memilih kerajaan tanpa pembangkang di dalam DUN. 

Sehubungan itu, Sultan Mizan bertitah, kaedah perlu dicari bagi memastikan sistem pentadbiran kerajaan negeri Terengganu lebih efisien dan telus sebelum sebarang keputusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat diputuskan. 

 “Disiplin serta cabang ilmu pentadbiran teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan kerajaan yang berkepentingan.

 “(Ia) agar keputusan dibuat secara cekap dan tepat,” titah baginda sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini semalam.

 Sultan Mizan bertitah, amalan demoraksi iaitu kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif kepada kerajaan walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan. 

Baginda turut yakin kedaulatan undang-undang dapat berjalan dengan baik, adil dan saksama terhadap semua strata sosial dalam masyarakat. 

Dalam pada itu, Sultan Mizan menitahkan kerajaan negeri Terengganu agar menggiatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar. 

Baginda bertitah, seramai 6,330 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di negeri ini.

 “Pelbagai pendekatan telah dan sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kitaran kemiskinan ini termasuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat melalui kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.

 “Sehingga kini, seramai 168 KIR miskin tegar telah dilibatkan dalam projek pertanian, keusahawanan, pertukangan, kraftangan dan jahitan dengan janaan pendapatan tambahan antara RM300 hingga RM500 sebulan,” katanya. 

Sultan Mizan turut menyarankan kerajaan negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian isu pencerobohan nelayan asing yang telah menyebabkan ketirisan hasil laut mencecah RM4 bilion setahun.

Mangsa banjir Terengganu tinggal 711 orang di PPS

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca baik sepanjang hari ini membolehkan situasi banjir di Terengganu semakin memulih dengan tinggal hanya 711 mangsa daripada 186 keluarga terjejas di empat daerah.

Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Besut.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Terengganu kekal paling terjejas dengan 405 mangsa daripada 110 keluarga berada di tiga PPS.

“Sebanyak tiga PPS dengan menempatkan 145 mangsa daripada 39 keluarga masih beroperasi di Marang.

“Seramai 117 mangsa daripada 27 keluarga pula berada di enam PPS di Kuala Nerus,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, satu-satu PPS yang masih dibuka di Besut ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut dengan 44 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan.

“Situasi banjir di Terengganu semakin menunjukkan trend penurunan walaupun hujan masih turun di beberapa tempat di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pengerusi PPS ditahan SPRM, tipu tuntutan berkaitan bantuan banjir

 KUALA TERENGGANU – Seorang pengerusi jawatankuasa pusat pemindahan sementara (PPS) sebuah daerah di Terengganu ditahan berhubung kes penipuan dalam tuntutan permohonan bantuan mangsa banjir tahun lalu. 

 Sumber berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 60-an itu dikatakan memperakui borang tuntutan anaknya walaupun lelaki itu tidak layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati warga emas itu memperakui bahawa borang dipercayai mengandungi butiran palsu bagi tahun bagi bantuan bencana banjir pada tahun 2022. 

“BWI berjumlah RM1,000 itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu setiap ketua isi rumah yang terjejas selepas dilanda banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) tahun itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

 Sumber itu menjelaskan, suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kemaman pada pukul 11 pagi kelmarin. 

 Warga emas itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah keterangannya selesai diambil.

 Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid memberitahu, siasatan lanjut  masih diteruskan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


PRK Kemaman: Pengalaman, kepakaran Raja Mohamed Affandi diperlukan Parlimen

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pengundi Kemaman diharap agar dapat memberi peluang kepada Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon Barisan Nasional (BN) itu mempunyai pengalaman luas dan kepakaran yang diperlukan bagi membantu kerajaan mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, Raja Mohamed Affandi juga berkemampuan bukan sahaja menjadi suara Kemaman dan Terengganu dalam kerajaan Perpaduan malah melakukan kerja semak dan imbang terhadap kerajaan negeri dikuasai sepenuhnya Pas.

“Terengganu ini tiada wakil kerajaan Perpaduan (di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri).

“Kalau beliau (Raja Mohamed Affandi) terpilih, dapat beri satu kepentingan kepada pengundi-pengundi di Kemaman,” katanya ketika berkempen membantu calon BN di Chukai di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Johari berkata antara faktor BN memilih Raja Mohamed Affandi sebagai calon kerana kesungguhan bekas Panglima Angkatan Tentera Darat (ATM) itu untuk menabur bakti di kampung halamannya, Kemaman.

Tambahnya, pemilihan calon langsung berkebolehan untuk bertanding dalam pilihan raya bukan perkara baru kerana pernah dilakukan dalam PRK Cameron Highlands pada 2019.

“Pada waktu itu, kita pilih bekas pegawai polis, Datuk Ramli Mohd. Noor. Bukan sahaja menang malah kini kita boleh nampak kebolehan beliau sebagai salah seorang Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

JPN mudahkan proses MyKad penduduk Pulau Redang

KUALA NERUS – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu mengambil inisiatif melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) bagi memudahkan proses dokumentasi penduduk Pulau Redang, di sini. 

 Pengarah JPN Terengganu Mohamad Nasir Kareem berkata, sebelum ini penduduk pulau peranginan itu perlu ke pejabat JPN yang terletak di Kuala Terengganu dan Permaisuri, Setiu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri atau MyKad.

 “Kami memahami kekangan penduduk Pulau Redang yang berdepan kekangan masa dan kewangan bagi menguruskan dokumen pengenalan diri berkenaan. 

 “Fokus diberikan bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun serta gantian kad pengenalan,” katanya pada program Mekar di Kampung Baru Pulau Redang, di sini semalam.

 Seramai 19 penduduk Pulau Redang menerima MyKad pada program itu dan inisiatif terbabit akan diteruskan di Pulau Perhentian, Besut akhir bulan ini. 

 Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Nasir Mat Sam, 47, berkata, walaupun MyKad sudah lama mengalami kerosakan, dia menangguhkan penggantian ekoran kekangan kos dan masa. 

 “Pejabat JPN terdekat terletak di Kuala Terengganu hampir 40 kilometer dari Jeti Merang, Setiu.

 “Kos menaiki bot dari Pulau Redang ke jeti seterusnya ke Kuala Terengganu dengan teksi boleh mencecah RM200,” katanya.

Mangsa banjir di Terenganu tinggal 544 orang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Ketika empat daerah lain di Terenggganu terjejas banjir sejak Isnin lalu, Dungun pula kembali dilanda bencana sama hari ini.

Kemaman juga mula dilanda banjir melibatkan 13 mangsa daripada empat keluarga di Kampung Labohan, Kerteh di sini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, sebanyak 544 mangsa daripada 135 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di negeri ini.

Kesemua mangsa banjir di Kemaman ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Labohan. Seramai 61 mangsa daripada 12 keluarga dipindahkan di dua PPS di Dungun.

“Ia termasuk 30 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Tok Kah yang sebelum ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing beberapa hari lalu,” katanya di sini hari ini.

Kuala Terengganu masih mempunyai 260 mangsa daripada 70 keluarga yang berada di dua PPS. Sebanyak tiga PPS menempatkan 113 mangsa daripada 30 keluarga di Marang.

Seramai 34 mangsa daripada enam keluarga masih berada di PPS Dewan Sivik Batu Rakit, Kuala Nerus.

“Besut pula masih mempunyai 63 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Besut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Monday, November 27, 2023

Tanam 3,000 pokok sempena Jubli Perak Sultan Mizan

 

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 3,000 pokok ditanam di sepanjang Pantai Batu Burok hingga Pantai Pandak, Chendering di sini semalam. 

 Program anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan kerjasama Yayasan Sultan Mizan itu adalah bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-25.

 Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, empat spesies pokok teduhan iaitu ketapang, rhu pantai, kelapa dan ambang-ambang ditanam di sepanjang 11.3 kilometer pantai itu. 

 “Program yang dibahagikan kepada tujuh zon ini adalah tanda sokongan terhadap agenda nasional yang menyasar penanaman 100 juta pokok menjelang 2025. 

 “Diharapkan ia dipulihara dengan baik untuk dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya. 

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim di Dataran Batu Burok di sini semalam. 

Pada majlis itu, Sultan Mizan mencemar duli menanam sebatang pokok rhu pantai di Pantai Batu Burok. 

 Ahmad Samsuri berkata, penanaman 3,000 pokok itu bakal mewujudkan keseimbangan kawasan hijau dan pembangunan fizikal di bandar raya ini. 

 “Ia juga bakal memberi kesan iklim dengan mengurangkan kepanasan serta meningkatkan kelembapan relatif. 

“Spesies pokok teduhan yang ditanam berperanan lindungan semulajadi benteng bagi mengurangkan kemusnahan akibat kejadian alam seperti pukulan ombak dari laut di kawasan pantai berpasir,” katanya. 

 Program itu mendapat sokongan badan korporat dan anak syarikat berkaitan kerajaan negeri seperti Petronas dan Tenaga Nasional Berhad.

Kerajaan Pusat tidak pernah pinggir kebajikan rakyat Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kerajaan Perpaduan yang memegang tampuk Persekutuan tidak pernah meminggirkan kebajikan rakyat Terengganu seperti didakwa Pas.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat negeri ini termasuk Kemaman turut menerima banyak manfaat menerusi pelbagai program kebajikan dikelolakan kerajaan Pusat.

“Seramai 390,210 rakyat Terengganu berkelayakan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah keseluruhan RM241.8 juta (pada tahun ini).

“Pesawah negeri ini pula seramai 4,483 orang juga menerima bantuan berjumlah keseluruhan RM4.6 juta,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Mak Chili di sini hadi ini.

Ahmad berkata, kebajikan golongan memerlukan di Terengganu terus terbela menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah keseluruhan RM128 juta.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, bantuan JKM itu dinikmati 23,623 orang golongan terbabit yang berkelayakan.

“Kita juga mengusahakan pelbagai pembangunan terutama sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah (kerajaan negeri Terengganu).

“Ia termasuk projek tebatan banjir di Kemaman yang sedang dalam proses disiapkan,” katanya.

Ahmad berkata, penyaluran bantuan dan pembangunan di Terengganu boleh semakin dilicinkan sekiranya calon BN, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE

Guna pengalaman 40 tahun takluk Parlimen Kemaman – Raja Mohamed Affandi

KEMAMAN – Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan menggunakan pengalaman lebih 40 tahun dalam perkhidmatan tentera untuk menggempur kubu Pas bagi menakluk kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Disember ini. 

 Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) menegaskan, misinya bertanding adalah untuk menang. 

 “Fokus saya satu sahaja, hendak menang di (PRK Parlimen) Kemaman. Yang lain itu adalah cara dan kaedah.

 “Kalau dalam askar, misi kita adalah menang,” katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya BN PRK Kemaman oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di sini kelmarin. 

 Raja Mohamed Affandi juga percaya peluang untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kemaman yang sudah dikuasai Pas sejak dua penggal lalu bukanlah mustahil dan misi itu lebih mudah tercapai sekiranya mendapat bantuan padu jentera parti BN.

 “Saya akan berusaha berjumpa sebanyak mungkin pengundi. Biarlah 14 hari (tempoh berkempen) nanti padat dan mudah-mudahan kesihatan dan semangat tentera yang masih ada lagi, saya mampu laksanakan. 

“Saya juga bersedia untuk menabur bakti kepada penduduk di kawasan saya dibesarkan,” ujarnya. 

 Raja Mohamed Affandi mengakui bukan perkara mudah untuk dirinya membuat keputusan bersetuju sebagai calon BN bagi Parlimen Kemaman. 

“Pada malam itu (sehari sebelum diumumkan calon), saya tidak boleh tidur memikirkan. Saya ambil sekeping kertas menulis. 

 “Saya mesti mencari jawapan, kenapa daripada ramai, saya yang dipilih. Akhirnya saya dapat. Jawapannya bukan datang daripada kita semua tetapi sebenarnya disunting oleh Allah,” katanya.

‘Samsuri bukan pemimpin tamak’

KEMAMAN – Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bukanlah seorang pemimpin politik yang tamak kuasa apabila bertanding bagi kerusi Parlimen Kemaman. 

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, dakwaan itu tidak benar dan Ahmad Samsuri sekadar menggalas amanah diberikan kepimpinan parti. 

 Beliau berkata, Ahmad Samsuri tidak pernah terfikir, bukan sahaja untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, malah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang pada 2018 yang membolehkannya menjadi Menteri Besar Terengganu. 

 “Saya mengenali beliau (Ahmad Samsuri) secara dekat sebab kami sama-sama berasal dari Besut.

 “Beliau menangis di Pejabat Agung Pas (Kuala Lumpur) kerana tidak mahu sewaktu dipilih sebagai calon (DUN) Ru Rendang (pada Pilihan Raya Umum ke-14) dan diberi ‘isyarat’ akan menjadi Menteri Besar (Terengganu),” katanya ketika berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Teluk Kalong, Kijal, di sini semalam. 

 Nasrudin berkata, ia menunjukkan Ahmad Samsuri bukanlah pemimpin yang tamak kuasa walaupun ketika itu ditawarkan jawatan Menteri Besar. 

 Dalam pada itu, Nasrudin juga mengingatkan penyokong-penyokong Pas agar tidak terlalu yakin mampu memenangi PRK Parlimen Kemaman dengan mudah walaupun memiliki calon berpengaruh kuat dan rekod majoriti kemenangan besar sebelum ini. 

 Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu menggesa jentera Perikatan Nasional terus bekerja keras memastikan Ahmad Samsuri memperolehi kemenangan yang lebih besar pada hari pengundian, 2 Disember ini.

Projek akuakultur LKIM mampu stabilkan bekalan ikan tempatan

 

BESUT – Nelayan tempatan disaran untuk melibatkan diri dalam industri hiliran penternakan ikan dalam sangkar bagi meningkatkan lagi bekalan hasil laut. 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan, malah memastikan bekalan ikan dan hasil laut terus mencukupi terutama untuk memenuhi permintaan pada musim tengkujuh tidak lama lagi. 

 Beliau berkata, ia selaras dengan sasaran kerajaan bagi memastikan industri akuakultur tempatan menyumbang 60 peratus daripada bekalan ikan nasional menjelang tahun 2030.

 “Kita telah melakukan projek perintis dengan penglibatan nelayan termasuk di Kuala Besut di sini.

 “Projek perintis penternakan ikan merah dan jenahak dalam sangkar diusahakan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Besut tersebut telah mula menampakkan hasil dengan pengeluaran kira-kira 700 kilogram pada fasa pertama baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Beliau sebelum itu merasmikan program Jualan MyAquaBest di Kompleks LKIM Kuala Besut.

 Muhammad Faiz berkata, selain PNK Kuala Besut, tujuh PNK lain turut terlibat dalam perusahaan akuakultur itu seperti Kijal; Satang Biru, Sarawak; Jasin, Melaka; Sedili, Johor dan Kerian di Perak.

  Mengulas lanjut, beliau berkata, projek perintis akuakultur LKIM turut memberi memberi tumpuan terhadap penternakan hidupan laut yang lain seperti kupang, udang putih dan harimau serta ikan tilipia merah dan keli.

Dungun kembali dilanda bah, mangsa di Kelantan turun

KEMAMAN – Ketika empat daerah lain di Terenggganu terjejas akibat banjir sejak Isnin lalu hampir pulih, Dungun pula kembali dilanda bencana itu semalam. 

 Selain itu, daerah Kemaman turut dilanda bencana sama menyebabkan 13 mangsa daripada empat buah keluarga di Kampung Labohan, Kerteh di sini terjejas. 

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, seramai 544 mangsa daripada 135 buah keluarga berada di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di Terengganu ketika ini. 

 Menurut beliau, kesemua mangsa banjir di Kemaman pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Labohan. 

 “Seramai 61 mangsa daripada 12 buah keluarga sudah mula berpindah ke dua PPS di Dungun. 

 “Ia termasuk 30 mangsa daripada enam buah keluarga dari Kampung Tok Kah yang sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak beberapa hari lalu,” katanya di sini semalam.

 Sementara itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di PPS di negeri tersebut menurun kepada 49 orang setakat pukul 4 petang semalam. 

Bilangan tersebut menunjukkan penurunan daripada 63 orang mangsa pada pukul 8 pagi meskipun hujan berterusan melanda kebanyakan kawasan. 

 Sekreteriat Pengurusan Banjir Negeri Kelantan dalam satu kenyataan semalam memberitahu, daerah Pasir Mas masih terjejas akibat banjir setakat semalam.

Banjir Terengganu semakin buruk

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI 

KUALA TERENGGANU – Banjir di Terengganu sejak Isnin lalu semakin buruk dengan bilangan mangsa meningkat dua kali ganda kepada 4,397 orang daripada 1,162 orang kelmarin dengan 34 buah sekolah terpaksa ditutup kelmarin hanya 22 buah sekolah ditutup. 

Penutupan institusi itu membabitkan lebih 16,000 pelajar. 

Dungun menjadi daerah terbaharu dilanda banjir selepas Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Besut dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka. 

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 5 petang semalam, Kuala Nerus kekal daerah paling terjejas dengan 1,710 mangsa daripada 454 keluarga berada di 15 PPS. 

“Seramai 1,153 mangsa daripada 336 keluarga berada di lima PPS di Kuala Terengganu. Sebanyak tujuh PPS menempatkan 845 mangsa daripada 213 keluarga di Marang,” katanya semalam.

 Tambahnya, seramai 661 mangsa daripada 153 keluarga di tiga PPS di Besut, manakala di Dungun seramai 23 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Kah. 

“Hujan diramal turun berterusan di beberapa kawasan di negeri ini sehingga hari ini,” ujarnya.

 Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman @ Abdullah berkata, setakat semalam, sembilan sekolah ditutup selepas dinaiki air, manakala 25 lagi dijadikan PPS.

 “Kesemua sekolah terlibat di enam daerah di negeri ini tersebut telah disyorkan memohon cuti bencana,” ujarnya. 

Sementara itu, Azman memberitahu, pihaknya memberi jaminan Ujian Amali Sains (UAS) bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula 5 Disember depan tidak akan terjejas walaupun negeri ini kini berhadapan bencana banjir.

Menurutnya, setakat ini, semua makmal sains sekolah di semua negeri ini yang terlibat dengan UAS masih selamat. 

“Seramai 5,301 calon SPM di Terengganu bakal terlibat dalam UAS selama tiga hari bermula 5 Disember depan dengan melibatkan 138 pusat peperiksaan yang akan diselia 1,034 pegawai pengawas,” jelasnya. 

Sementara itu, seorang wanita Suhada Rani, 47, terpaksa meredah banjir dalam keadaan paha kanan berbungkus dengan plastik setelah rumahnya di Kampung Kayu Kelat 8, Kuala Besut di sini dinaiki air semalam. 

“Saya takut luka pembedahan akibat membuang bisul pada bulan lalu terkena air. Bimbang luka melarat dan terkena jangkitan kuman kerana saya merupakan pesakit diabetes,” katanya. 

 Suhada memberitahu, dia terpaksa meredah banjir sedalam paras pinggang dari rumahnya ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut di sini.

Sementara itu, di Kelantan, seramai 409 penduduk daripada 105 buah keluarga di tiga daerah di negeri ini dipindahkan ke tujuh PPS apabila rumah mereka terjejas banjir setakat pukul 3 petang semalam.

Sekreteriat Pengurusan Banjir Negeri Kelantan memberitahu, tiga buah daerah terjejas banjir iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Machang. 

Jelasnya, tujuh sungai utama di Kelantan mencatatkan bacaan normal, namun Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras amaran dan Sungai Semerak di Jambatan Melor berjaga-jaga.


Sunday, November 26, 2023

Banjir Kemaman, Marang dan Kuala Nerus pulih

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Cuaca baik sepanjang hari ini membolehkan tiga daerah iaitu Kemaman, Kuala Nerus dan Marang kembali pulih daripada banjir gelombang pertama.

Tiga PPS iaitu masing-masing satu di daerah berkenaan iaitu Dewan Sivik Kampung Labohan, Kerteh di sini; Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai, Marang dan Dewan Sivik Batu Rakit, Kuala Nerus telah menutup operasinya secara berperingkat sebentar tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Terengganu kekal daerah paling terjejas dengan 164 mangsa daripada 42 keluarga berada di dua PPS.

“Seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga masih berada di PPS SK Kuala Besut.

“Sebanyak 55 mangsa daripada 11 keluarga berada di dua PPS di Dungun,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, PPS Kampung Rhu Sepuluh yang mempunyai lima mangsa sekeluarga masih beroperasi di Setiu. – KOSMO! ONLINE

BeDigital Bootcamp tawar peluang kerja

 

KUALA TERENGGANU – Petronas melalui satu program anjurannya, BeDigital Bootcamp membantu seramai 41 graduan universiti awam di kawasan Pantai Timur mendapatkan pekerjaan. 

 Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong berkata, program itu merupakan inisiatif syarikat untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan bagi memenuhi kehendak majikan. 

Menurut beliau, ini merupakan sebahagian daripada 96 peserta program tersebut yang diadakan sebelum ini. 

“Program BeDigital Bootcamp berlangsung selama 12 hari dan melalui program tersebut, graduan terbabit telah dilengkapkan dengan kemahiran digital termasuk teknik penterjemahan dan pengolahan data serta kemahiran pembentangan yang berkesan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penutup program BeDigital Bootcamp di sini kelmarin. 

 Seramai 41 peserta yang berjaya dalam program tersebut telah menerima tawaran kerja secara langsung daripada Petronas dan rakan strategik program berkenaan. 

 Bacho berkata, peserta terlibat terdiri daripada graduan Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu serta Kelantan. 

 “Majikan lain yang turut menawarkan kerja adalah Tata Consultancy Services, Ernst & Young, Schlumberger Wta (M) Sdn. Bhd., Alfameli Group, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. dan Tajdid Corporation Sdn. Bhd.," katanya.

PRK Kemaman: Undi orang muda cukup, Pas tak perlu pengundi tua

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Pas tidak mengharapkan undi daripada pengundi warga emas kerana sokongan padu diberikan golongan muda diyakini sudah cukup untuk memenangkan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, berdasarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini, majoriti pengundi muda berusia 21 hingga 40 tahun menyokong parti itu.

Beliau memberitahu, begitupun, sokongan tersebut masih gagal diperolehi daripada pengundi warga emas yang berada di saluran satu dan dua.

“Yang tinggalnya orang tua tak reti bahasa. Dia (golongan warga emas) tidak faham politik tetapi orang muda faham.

“Undi saluran satu, dua ini kalau boleh pujuk, (kita) pujuk. Kalau habis masa (tidak sempat), tak usah pujuklah, buat buang masa,” katanya ketika berceramah PRN Parlimen Kemaman di Dewan Sivik Kijal di sini malam tadi.

Justeru Abdul Hadi, 76, berkata, Pas harus fokus kepada undi golongan muda yang telah mencetuskan gelombang kemenangan besar 27,000 majoriti di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengakui pemilihan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pas dalam PRK Kemaman bagi meneguhkan kedudukan Menteri Besar Terengganu itu di peringkat nasional sebagai persiapan sekiranya berpeluang mengambil alih kerajaan Persekutuan.

“Kita hendak ambil langkah jauh lagi, ambil kerajaan Pusat. Apabila ada kosong di (Parlimen) Kemaman, kita ambil dia (Ahmad Samsuri jadi calon).

“(Ia) untuk meneguhkan kedudukan dia dan kita (Pas) di Pusat, ini sangat penting,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nelayan mahu Ahli Parlimen baharu bela nasib mereka

KEMAMAN – Komuniti nelayan di Kerteh dan Kemasik di sini berharap Ahli Parlimen Kemaman baharu yang akan dilantik kelak dapat menyelesaikan isu-isu berbangkit dihadapi mereka sejak sekian lama. 

 Ratusan nelayan tradisional di kedua-dua kawasan itu menghadapi masalah hampir sama sejak puluhan tahun yang menyukarkan mereka turun ke laut, sekaligus menjejaskan punca pencarian. 

 Salah seorang nelayan, Yaakub Hashim, 45, berkata, ini disebabkan muka kuala di Kerteh dan Kemasik cetek ekoran kewujudan beting pasir. 

 “Ini menyebabkan kami sukar keluar ke laut untuk menangkap ikan. 

 “Bot-bot kami juga selalu rosak ekoran tersangkut pada beting pasir berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kuala Kerteh di sini semalam. 

Terdahulu beliau disantuni Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman. 

Seorang lagi nelayan, Mohd. Pilus Awang, 58, berkata, nelayan tradisional setempat juga berhadapan dengan ancaman pencerobohan pukat tunda yang mengganggu periuk nasi mereka. 

 “Kawasan tangkapan ikan kami sering dicerobohi nelayan zon lain yang bukan sahaja menggunakan bot lebih besar, malah pukat tunda bagi mengaut hasil laut.

 “Bukan sahaja hasil laut hilang malah ekosistem dasar laut di perairan Kemaman ini banyak rosak disebabkan pukat tunda itu,” katanya. 

 Sementara itu, Raja Mohamed Affandi berkata, beliau mengambil maklum dan memahami keluh-kesah komuniti nelayan tersebut. 

 “Saya akui instrastruktur di pengkalan nelayan di kawasan tersebut yang uzur. Banyak juga isu-isu berbangkit perlu diselesaikan segera. 

 “Insya-Allah, sekiranya Ahli Parlimen yang dipilih bagi PRK Kemaman, 2 Disember ini daripada wakil Kerajaan Perpaduan, banyak boleh diselesaikan demi manfaat nelayan setempat,” katanya.

FRIM hasil produk antigout guna pati daun cucur atap

KUALA TERENGGANU – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengeluarkan produk antigout, CurAtap yang diperbuat daripada pati daun pokok cucur atap. 

 Pengarah FRIM, Dr. Ismail Parlan berkata, produk terbabit merupakan penyelidikan, Ketua Program Sumber Biologi FRIM, Dr. Fadzureena Jamaludin. 

Beliau berkata, Dr. Fadzureena telah melakukan penyelidikan bagi menghasilkan produk terbabit sejak 11 tahun lalu. 

 “Produk CurAtap berbentuk cecair untuk diminum itu diperbuat daripada ekstrak pokok cucur atap yang banyak terdapat di pesisir pantai di Pantai Timur ini.

 “Kajian mendapati ekstrak pokok itu mengandungi enzim yang mampu menghalang pengumpulan asid urik pada sendi tulang yang menjadi punca penyakit gout,” katanya di sini semalam. 

 Ujarnya, FRIM telah menjalin kerjasama dengan syarikat pemasaran, Asbaf Legacy Sdn. Bhd. yang berpengkalan di Shah Alam bagi mengkomersialkan produk CurAtap itu. 

 Beliau berkata, produk CurAtap kini sudah boleh didapati di pasaran dengan sasaran pelanggan dalam kalangan individu menderita gout. 

 “Produk CurAtap sudah dipatenkan sejak 2021. Ia merupakan sebahagian hasil penyelidikan FRIM daripada flora dan fauna yang terdapat dalam hutan belantara negara ini.

 “Setiap tahun, FRIM menghasilkan kira-kira 40 produk penyelidikan dengan sasaran sekurang-kurangnya lima daripada akan dipatenkan,” katanya. 

 Jelasnya, FRIM giat menjalin kerjasama dengan pihak industri bagi mengkomersialkan lebih banyak hasil penyelidikan yang sudah dipatenkan.

Nelayan kekal terima bakul makanan, elaun sara hidup

 

KUALA NERUS – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan untuk terus menjaga kebajikan kira-kira 56,000 nelayan tradisional yang bakal terjejas dengan monsun Timur Laut (MTL) diramal melanda negara pada bulan depan. 

 Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, semua nelayan zon A terlibat bakal menerima agihan bakul makanan secara berkala sepanjang musim tengkujuh berkenaan. 

 Beliau berkata, elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan juga akan diteruskan dalam tempoh lima bulan nelayan terbabit tidak boleh turun ke laut ekoran faktor cuaca dan laut bergelora. 

 “Elaun sara hidup yang biasanya untuk membaiki peralatan menangkap ikan seperti pukat pada bulan-bulan lain bolehlah digunakan untuk membeli barang keperluan asas sepanjang mereka tiada pendapatan ekoran musim tengkujuh. 

 “Seramai kira-kira 71.8 peratus daripada nelayan tempatan berada dalam kategori zon A yang mencari rezeki di pesisir pantai dan menggunakan bot kecil dijangka akan terjejas berikutan MTL,” katanya di Kampung Baharu Pulau Redang di sini semalam. 

 Terdahulu beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan lampu berkuasa solar bagi menerangi bangsal nelayan perkampungan tersebut. 

 Muhammad Faiz berkata, bagi penyelesaian jangka panjang pula, LKIM sentiasa menggalakkan persatuan nelayan kawasan (PNK) terlibat dalam industri hiliran bagi mengurangkan kebergantungan penuh terhadap hasil tangkapan ikan di laut. 

 Jelas beliau, industri hiliran seperti akuakultur, pembuatan keropok, sata sejuk beku dan bebola ikan terbabit akan membolehkan nelayan itu terus mampu menjana pendapatan walaupun pada musim tengkujuh.

Samsuri calon PM masa depan sekadar spekulasi

 

KUALA TERENGGANU – Calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menganggap dakwaan desas-desus beliau bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman sebagai calon Perdana Menteri masa depan Perikatan Nasional (PN) cuma spekulasi semata-mata. 

 Menteri Besar Terengganu itu menganggap andaian kebanyakan penganalisis politik tersebut sebagai suatu kebiasaan setiap kali musim pilihan raya.

 “Saya tidak tahu (dakwaan calon PM masa depan PN) kerana tiada perbincangan secara khusus dalam PN sebelum ini. 

 “Kita tak boleh hendak halang orang buat spekulasi, what can I say? (apa saya hendak cakap?) Terpulang masing-masing hendak buat macam mana,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chedering di sini semalam. 

 Terdahulu, beliau meninjau 170 mangsa banjir yang berlindung di PPS berkenaan. Ahmad Samsuri turut menafikan dakwaan kononnya pencalonan beliau untuk mewakili Pas pada PRK Parlimen Kemaman itu sebenarnya dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

 Naib Presiden Pas itu berkata, sepanjang pengetahuannya, Dr. Mahathir hanya menjalankan tugas dalam bidang ekonomi sebagai Penasihat State-Goverment 4 (SG4) atau empat kerajaan negeri ditadbir Pas tanpa pernah menyentuh soal politik.

 “Semasa Tun (Mahathir) hadir ke Terengganu untuk berbincang pasal SG4, Tun tidak sentuh politik," katanya.

Saturday, November 25, 2023

Pusat pentadbiran Kuala Nerus tingkat sistem penyampaian

KUALA NERUS – Pengisytiharan Kuala Nerus sebagai daerah baharu kelapan Terengganu pada sembilan tahun lalu telah meningkatkan sistem penyampaian terhadap masyarakat setempat. 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kualiti perkhidmatan agensi kerajaan juga semakin meningkat selepas Bandar Al-Wathiqu Billah yang merupakan pusat pentadbiran daerah itu beroperasi sepenuhnya pada 22 Februari tahun lalu. 

 “Daerah baharu Kuala Nerus telah diisytiharkan secara rasminya sebagai daerah kelapan pada 18 September 2014. 

 “Peletakan batu asas pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus disempurnakan Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Mei 2015,” katanya pada majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus, di sini semalam.

 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah menyempurnakan perasmian itu sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

 Ahmad Samsuri berkata, Bandar Al-Wathiqu Billah yang berkeluasan 187.76 hektar menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus, bangunan gunasama kerajaan negeri dan Persekutuan dan kemudahan lain. 

Beliau berkata, pusat pentadbiran daerah Kuala Nerus tersebut telah siap sepenuhnya 28 Oktober 2021.

 “Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus ini telah memberikan impak positif terhadap kualiti perkhidmatan dan khidmat pelanggan yang lebih baik.

"Ia juga mampu merancakkan kitaran ekonomi di kawasan sekitarnya," katanya.

Perjuang masalah veteran tentera

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berazam menjadikan agenda membela golongan veteran tentera sebagai salah satu perjuangannya sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini. 

 Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengakui terkilan sebahagian inisiatif membela nasib veteran tentera yang pernah dipeloporinya tidak diteruskan selepas beliau bersara pada 2016.

 “Banyak program yang saya buat dahulu berhenti. Bagi saya, ia unfinished business (urusan yang tidak selesai) yang perlu saya selesaikan. 

 “Jadi Tuhan jentik hati saya (untuk terima jadi calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman) untuk teruskan apa yang dahulu saya tinggalkan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan veteran ATM di Kerteh di sini semalam. 

 Raja Mohamed Affandi berkata, antara program-program kebajikan yang terhenti itu ialah Bantuan Bakti Negara yang menawarkan bantuan kewangan kepada veteran tentera tidak berpencen sebanyak RM200 sebulan. 

 Ujarnya, beliau juga memperkenalkan program Satu Anggota Satu Rumah, bagi membantu anggota dan veteran ATM memiliki rumah sendiri. 

“Waktu dalam perkhidmatan saya telah berjaya menaikkan pencen hilang upaya daripada RM65 sebulan kepada RM500. 

 “Saya juga telah mengemukakan formula kenaikan pencen veteran yang munasabah dilaksanakan, tetapi tidak sempat dilaksanakan kerana pertukaran kerajaan (Persekutuan),” katanya. 

 Sehubungan itu, Raja Mohamed Affandi memohon agar diberi peluang untuk menjadi Ahli Parlimen Kemaman bagi menyuarakan nasib veteran tentera di Dewan Rakyat. 

 “Beri saya peluang menjadi soldier stateman (negawan askar) untuk bersuara (memperjuangkan nasib veteran tentera).

 “Insya-Allah, saya akan menjadi lebih baik daripada apa yang telah ada di dalam Dewan (Rakyat) itu (Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor),” katanya. 

Raja Mohamed Affandi berhadapan calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu pada PRK Parlimen Kemaman tersebut.

Waspada MTL-El Nino

Bersama MOHD. AZLI ADLAN

MONSUN Timur Laut (MTL) yang membawa risiko bencana alam terutama banjir bakal kembali melanda negara dalam tempoh kurang sebulan lagi. 

Persiapan meliputi mesyuarat dan latihan simulasi operasi menyelamat serta agihan barang keperluan mangsa banjir telah mula giat dilaksanakan agensi terlibat mengikut rutin sejak bulan lalu.

 Persediaan terhadap musim tengkujuh kali ini haruslah lebih rapi memandangkan senario banjir sejak kebelakangan ini semakin sukar dijangka. 

Corak banjir sudah berubah dengan semakin banyak lokasi yang sebelum ini selamat tiba-tiba terjejas bah terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. 

Tanpa persediaan rapi untuk menghadapi situasi luar jangka itu, keadaan kelam-kabut operasi penyelamatan terutama pada fasa awal bah seperti berlaku sebelum ini pasti berulang.

 Ancaman itu bukan mustahil kerana berdasarkan hebahan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) kelmarin, berlaku pertembungan antara MTL dan fenomena El Nino yang boleh memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara. 

Met Malaysia meramalkan berlakunya empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh membawa risiko banjir sepanjang musim tengkujuh kelak. 

Tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka menerima taburan hujan lebat pada bulan depan dan Disember.

 Episod hujan lebat itu pula beralih ke Johor, Sabah dan Sarawak pada bulan Disember ini dan Januari tahun depan. 

Negeri-negeri di Pantai Barat juga tidak terkecuali daripada mengalami hujan berterusan sekiranya berlakunya luruan monsun kuat yang membawa tekanan rendah sewaktu tempoh MTL berkenaan.

 Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, fenomena El Nino sememangnya berpotensi mempengaruhi taburan hujan sewaktu MTL. 

Beliau berkata, berdasarkan kajian sebelum ini, fenomena El Nino boleh mengurangkan taburan hujan di utara Sabah dan Sarawak serta utara dan tengah Semenanjung Malaysia. 

“Sebaliknya fenomena sama pula akan meningkatkan taburan hujan di selatan Semenanjung dan Kuching, Sarawak. 

“Ia disebabkan kecenderungan pergerakan ‘pusaran luruhan sejuk’ dari kawasan Pantai Barat Kepulauan Borneo berhampiran Kuching ke arah selatan Semenanjung Malaysia semasa fenomena El Nino,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Jing Xiang menerangkan pusaran-pusaran luruhan sejuk yang boleh menyebabkan hujan lebat biasa terbentuk di Kepulauan Borneo sepanjang tempoh MTL. 

Beliau berkata, walaupun perubahan cuaca disebabkan pertembungan fenomena El Nino yang membawa cuaca kering dan MTL agak rumit untuk dijangka, ia tidak boleh dipandang mudah.

 “Persiapan rapi perlu dilakukan agensi bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran dan ancaman yang mungkin berlaku. 

“Masyarakat juga perlu sentiasa waspada dan peka dengan sebarang sebaran disalurkan kerajaan sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed pula berkata, persiapan operasi penyelamatan pada musim tengkujuh kali ini tidak terhad kepada banjir sahaja malah bencana alam lain seperti tanah runtuh dan kepala air.

 “Kita bersiap sedia semua kemungkinan dan sentiasa berhubung rapat dengan Met Malaysia kerana pertembungan MTL dan fenomena El Nino kali ini mungkin akan memberi cabaran berbeza buat pasukan penyelamat dalam operasi cari dan menyelamat,” katanya.