Translate

Thursday, March 31, 2016

Setiausaha Bahagian Kewangan KBS hadapi 32 pertuduhan rasuah

KUALA LUMPUR - Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menyalah guna kuasa jawatan serta kedudukan melibatkan kerugian RM38.4 juta pada empat tahun lalu.
Otman Arsahd, 57, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.
Dia didakwa atas 17 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berhubung surat pembayaran projek KBS yang tidak wujud melibatkan transaksi RM36.3 juta.
Tertuduh juga didakwa atas 15 pertuduhan menyalah guna kuasa jawatan dan kedudukannya untuk mengarahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) untuk membuat pembayaran kepada syarikat milik anak-anaknya berhubung projek kementerian itu melibatkan transaksi RM2.16 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di MSN, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini antara  28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.
Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 23 (1) akta sama, Othman menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Wednesday, March 30, 2016

Pengurus Besar GLC didakwa terima rasuah RM2 juta

KUALA LUMPUR - Pengurus Besar (Projek dan Servis) Malaysia Transformer Manufacturing Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 14 pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.021 juta pada dua tahun lalu.
Shahanom Uthman yang kini digantung tugas daripada jawatan dalam anak syarikat Tenaga Nasional Berhad itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sohaini Alias.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, Shahanom didakwa menerima rasuah berupa wang tunai berjumlah keseluruhan RM1.881 juta dan sebuah kereta BMW bernilai RM140,000 daripada Ahsan Sabri Pang Abdullah dan Tee Boon Chin.
Suapan itu didakwa sebagai upah sebagai dorongan untuk memberi diskaun kepada timbangan berat tembaga yang belum diproses kepada kedua-dua ahli peniagaan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa itu dilakukan di sekitar bandar raya ini dari 5 Disember 2013 hingga 18 Disember 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen Akta 17(a) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Penangguhan mutaah RM30 juta dibenar

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, 53, yang merupakan ahli perniagaan dan anak kedua Yang Dipertua Negeri Sarawak untuk menangguhkan perintah pembayaraan mutaah RM30 juta kepada bekas isterinya, Shahnaz Majid, 53.
Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan alasan dikemukakan pemohon iaitu jumlah pampasan mutaah yang diperintahkan terlalu tinggi dan perlu dibayar dalam masa singkat sehingga menyebabkan pinjaman terpaksa dibuat.
"Mahkamah meluluskan penangguhan sementara perintah bayaran mutaah sehingga keputusan dibuat Mahkamah Rayuan Syariah," katanya ketika membacakan penghakimannya.
Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 10 Mac lalu telah memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar RM30 juta sebagai pemberian mutaah terhadap Shahnaz ekoran kesedihan serta keaiban yang dialami wanita itu akibat perceraian yang telah disahkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 10 Mac 2011.
Difahamkan perintah pemberian mutaah RM30 juta itu merupakan yang tertinggi pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di negara ini. - K! ONLINE

Tuesday, March 29, 2016

Tukang cat kelar penganggur dipenjara 6 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang tukang cat dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencederakan seorang penganggur dengan sebilah pisau dalam insiden perselisihan faham pada Jumaat lalu.
Majistret Ahmad Solihin Abd. Wahid memerintahkan demikian selepas Yoew Wee Wee, 46, membuat pengakuan bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, Wee Wee didakwa mengelar kepala dan perut A. Kalimathu, 54, dengan sebilah pisau pemotong kertas di Jalan Air Keroh, Setapak di sini pada pukul 7.39 malam, 25 Mac 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan tersebut jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Monday, March 28, 2016

Juru X-ray miliki penerbitan berkaitan IS dijel 12 bulan

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juru - X-ray di sebuah hospital di Perlis dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas kesalahan memiliki majalah berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) pada tujuh bulan lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas Ahmad Kamil Ghazali, 25, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

“Biarpun penglibatan kamu bukan secara langsung dengan IS, namun memiliki bahan berkaitan keganasan juga merupakan satu kesalahan di negara ini. Keganasan yang berlaku boleh memberi kesan kepada ketenteraman awam kerana masyarakat akan hidup dalam ketakutan dan kekacauan,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Sewaktu pertama kali dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Kangar pada 15 September 2015, Ahmad Kamil membuat pengakuan tidak bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam bela, Pyara Singh.

Berdasarkan pertuduhan, Ahmad Kamil didakwa memiliki 10 bahan penerbitan berkaitan kumpulan pengganas IS di hadapan Kompleks Pentabdiran Taman Kechor, Taman Kechor Indah Fasa II, Jalan Abi Tok Hashim, Kangar, Perlis pada pukul 7.50 pagi, 19 Ogos 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana barangan tersebut jika sabit kesalahan.

Friday, March 25, 2016

Ketua UMNO cawangan didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO cawa­ngan Jalan Pasar Pudu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap akaun semasa parti pe­ringkat cawangan itu melibatkan amaun RM4,350 dua tahun lalu.

Zamri Redzuan@ Ridzwan, 50, yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Cheras membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Baharuddin Ahmad Kasim.

Berdasarkan pertuduhan, Zamri yang diamanahkan untuk menjaga akaun semasa RHB Islamic Bank milik UMNO cawangan Jalan Pasar Pudu telah melakukan pecah amanah dengan memasukkan cek bernilai RM4,350 ke dalam akaun simpanan peri­badinya di Maybank pada 27 Januari 2014.

Cek terbabit sepatutnya diserahkan kepada butik busana, Mun Men’s Wear sebagai upah menjahit pakaian tetapi ia tidak dibayar sepenuhnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd. Nasir membenarkan Zamri dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta syarat tambah iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan.

Zamri yang mempunyai empat orang anak membayar wang jaminan tersebut.

Thursday, March 24, 2016

Mahathir, dua lagi pihak saman Najib RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dua yang lain iaitu bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan serta bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan salah laku dalam pentadbiran negara.

Saman tersebut difailkan menerusi Tetuan Haniff Khatri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Menerusi pernyataan tuntutan, Mahathir, Khairuddin dan Anina masing-masing selaku plaintif pertama hingga ketiga mendakwa defendan, Najib, de­ngan sengaja mengganggu siasatan terhadap dakwaan kewangan berkenaan

1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat  berkaitan.

Selain memohon mahkamah mengisy­tiharkan Najib melakukan tort misfeasans (kesalahan berkaitan pecah amanah yang membolehkan pihak terjejas me­nuntut ganti rugi) dalam jawatan awam dan mungkir kewajiban fidusiari dengan menyalahguna kedudukannya, mereka menuntut ganti rugi teladan dan berpanjangan masing-masing berjumlah RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada defendan untuk dibayar kepada kerajaan Malaysia.

Penganggur tikam dua lelaki termasuk pelancong dipenjara 18 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua kesalahan menikam dua lelaki berlainan termasuk seorang pelancong warganegara Amerika Syarikat pada minggu lalu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som memerintahkan demikian selepas Jifran Ippah, 33, membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Jifran didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Amit Mazin, 32, dengan menikam dada kanan mangsa dengan pisau di sebuah kedai snooker di Jalan Jambu Melaka 2, Jinjang Selatan di sini pada pukul 2.30 petang, 13 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menikam seorang lelaki warganegara Amerika Syarikat, Street David dengan pisau di hadapan Pusat Perhutanan Bukit Nenas Eko Rimba, Jalan Raja Chulan di sini pada pukul 4 petang, 16 Mac lalu.
Jifran didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan. - K! ONLINE

Wednesday, March 23, 2016

Pengarah syarikat tipu PSMB didenda RM50,000

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah syarikat penyediaan latihan dan kemahiran didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu berhubung yuran kursus latihan kakitangan swasta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) pada tiga tahun lalu.
Hakim Mohd. Nasir Nordin memutuskan demikian selepas menerima pengakuan bersalah Tey Jinn Woei, 35.
Berdasar pertuduhan pertama hingga kelima, Jinn Woei didakwa membuat tuntutan palsu terhadap yuran lima kursus kemahiran berjumlah RM74,750 yang kononnya diberikan kepada kakitangan dua syarikat swasta berlainan di tiga lokasi berbeza di Melaka dan Johor dari 29 November 2013 hingga 16 April 2014.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Wisma PSMB, Jalan Beringin, Bukit Damansara di sini dari 4 Disember 2013 hingga April 2014.
Jinn Woie dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Ketua UMNO cawangan Jalan Pasar Pudu didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR - Seorang ahli politik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan amaun RM4,350 pada dua tahun lalu.
Zamri Redzuan@ Ridzuan, 50, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin.
Berdasarkan pertuduhan, Zamri sebagai Ketua UMNO cawangan Jalan Pasar Pudu di sini didakwa memasukkan cek berjumlah RM4,350 yang sepatutnya dibayar kepada tukang jahit, Mun Men's Wear ke dalam akaun peribadinya di Maybank Jalan Pudu di sini pada 27 Januari 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Tuesday, March 22, 2016

Pemandu teksi tipu Perkeso didenda RM1,200

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu teksi didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan membuat memberi maklumat palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada lima tahun lalu.

Majistret Adira Adnan memerintahkan demikian selepas V. Baskaran, 44, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, Baskaran didakwa membuat pernyataan palsu kononnya merupakan seorang jurujual Perusahaan SPN Trading yang tidak wujud ketika menuntut Faedah Hilang Upaya Sementara akibat kemalangan jalan raya di pejabat Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 10 pagi, 11 November 2011.

Pernyataan tidak benar itu menyebabkan Perkeso telah membayar faedah sebanyak RM11,249.32 kepada Baskaran.

Dia didakwa mengikut Seksyen 93(a) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pengarah syarikat didakwa pecah amanah

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan transaksi lebih RM19,000 pada dua tahun lalu.
Phang Yik Foo, 44, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, Yik Foo sebagai pengarah syarikat Innoware Holding Sdn. Bhd.didakwa telah memasukkan baki wang baki akaun bank syarikat itu berjumlah RM19,429.99 ke dalam akaun bank Vision Source Solution milik dia tanpa pengetahuan pengarah-pengarah syarikat yang lain pada 2 Oktober 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Monday, March 21, 2016

Penganggur curi telefon bimbit diperintah bela diri

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang penganggur mem­bela diri atas­ pertuduhan mencuri satu unit telefon bimbit yang telah dikaitkan dengan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini lapan bulan lalu.
Majistret Nur A’mi­nahtul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz (gambar), 23, selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne telah berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mende­ngar hujahan pihak pendakwaan dan pem­belaan serta keterangan 10 saksi pendakwaan yang telah dipanggil sejak kes itu pertama kali didengar di mahkamah pada 14 Julai tahun lalu.

“Tarikh perbicaraan bagi saksi pembelaan ditetapkan pada 12 April hingga 14 April depan,” katanya di sini semalam.

Shahrul Anuar yang diwakili barisan peguam bela iaitu Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, Mohammad Yahya Zakaria dan Ihsan Busyro Zakaria membuat pilihan untuk memberi ketera­ngan secara bersumpah di kandang saksi yang turut membolehkan dia disoal balas pihak pendakwaan.

Mohd. Khairul Azam berkata, pihak pembelaan dijangka mengemukakan dua orang saksi pembela­an.
Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Anuar didakwa mencuri sebuah telefon bimbit jenama Lenovo S860 berwarna hitam bernilai RM800 milik Techasia Boutique di Plaza Low Yat pada pukul 4.47 petang 11 Julai 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Saturday, March 19, 2016

BritishIndia kalah kes saman

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam menolak tuntutan ganti rugi yang telah difailkan BTC Clothier selaku pemilik jenama BritishIndia terhadap Suria KLCC berhubung penamatan sewaan butik pakaian jenama berkenaan di pusat beli-belah terkemuka itu dua tahun lalu.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin memerintahkan BTC Clothier selaku plaintif agar membayar RM100,000 sebagai kos kepada Suria KLCC yang merupakan defendan kes tersebut.

Beliau turut membenarkan tuntutan balas defen­dan dengan memerintahkan BTC Clothier agar membayar sewa bulanan berjumlah RM336,614 bermula dari Julai 2014 sehingga premis terbabit dikosongkan dan diserahkan semula kepada pengurusan pusat beli-belah berkenaan.

Ini bermakna, setakat bulan ini, BTC Clothier perlu membayar lebih RM7 juta kepada Suria KLCC sebagai sewa bulanan premis perniagaan yang masih beroperasi sehingga kini di tingkat satu pusat beli-belah ber­kenaan.

Nor Bee dalam penghakimannya berkata, beliau mendapati tidak berlaku penamatan salah dalam perjanjian dalam kontrak penyewaan premis antara Suria KLCC dan British­India kerana ia tidak pernah diperbaharui selepas tamat tempoh.

“BTC Clothier gagal membuktikan Suria KLCC selaku defendan berhasrat untuk mengekalkannya sebagai penyewa selain tidak dapat menunjukkan wujudnya hubungan secara kontrak antara kedua-dua pihak melalui tingkah laku defendan.

“Berhubung penerimaan bayaran sewa untuk bulan Julai 2014 selepas tamat tempoh perjanjian pada 30 Jun tahun sama, defendan telah memberikan hujahan berasas iaitu dengan harapan plaintif berpindah ke tingkat dua (pusat beli-belah berkenaan) seperti yang pernah dibincangkan sebelum itu,” kata beliau di sini semalam.

Oleh itu menurut Nor Bee, hujah pihak plaintif bahawa wujudnya kontrak penyewaan baharu berikutan penerimaan bayaran sewa pada bulan terbabit adalah tidak berbangkit sama sekali.

Pada 7 Julai 2014, BTC Clothier telah memfailkan saman terhadap Suria KLCC dengan mendakwa, defendan telah secara salah menamatkan perjanjian sewaan menerusi surat bertarikh 4 Julai 2014.
BritishIndia merupakan jenama tempatan yang mempunyai lebih 40 cawa­ngan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina dan merupakan antara penyewa awal sejak Suria KLCC dibuka pada tahun 1998.

Jenama itu diasaskan oleh usahawan wanita Malaysia, Pat Liew yang memiliki 35 tahun pengalaman dalam industri jualan.

BTC Clothier diwakili oleh peguam Khong Jo Ee manakala peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili Suria KLCC.

Friday, March 18, 2016

Penganggur didakwa curi telefon bimbit di Plaza Low Yat diperintah bela diri

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang penganggur agar membela diri atas pertuduhan mencuri seunit telefon bimbit di Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini yang telah menimbulkan kekecohan pada lapan bulan lalu.
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md. Nor memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne telah berjaya membuktikan kes prima facie.
Berdasarkan pertuduhan, Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit Lenovo S860 milik Techasia Boutique di premis tersebut di Lot UG, K021, Tingkat UG, Plaza Low Yat, Bukit Bintang di sini pada pukul 4.47 petang, 11 Julai 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Thursday, March 17, 2016

Sharhan berdepan tuduhan baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Penceramah dan pengamal perubatan Islam terkenal, Ustaz Sharhan Shafie, 40, dan isterinya, Umi Masjuri Hassan, 41, bakal menghadapi pertuduhan bernikah tanpa keizinan pendaftar perkahwinan pada tiga tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.
Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin berkata, Pejabat Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memutuskan demikian selepas meneliti representasi yang dikemukakan Sharhan, Umi Masjuri dan seorang lagi tertuduh, Masbelinda, 22, yang juga adik perem­puan tertuduh kedua menerusi peguam syarie, Mohamad Isa Abd. Ralip pada 21 Disember tahun lalu.
“Pertuduhan baharu terhadap tertuduh pertama (Sharhan) dan tertuduh kedua (Umi Masjuri) tersebut adalah mengikut Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
“Pada masa sama, Pejabat Pendakwaan Jawi turut menarik balik pertuduhan berkhalwat terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas meneliti dokumen sokongan pihak pembelaan dalam representasi dikemukakan pihak pembelaan,” katanya kepada Hakim Syarie Ibrahim Deris di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.
Zainor Rashid berkata, antara faktor pengguguran pertuduhan berkhalwat tersebut ialah status perkahwinan antara Sharhan dan Umi Masjuri te­lah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerusi Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain pada 26 Ogos tahun lalu.
Sehubungan itu, Ibrahim memutuskan untuk melepas dan membebaskan Sharhan, Umi Masjuri dan Masbelinda daripada perdakwaan berkhalwat dan mengarahkan wang jaminan RM3,000 yang dikenakan pada setiap tertuduh dikembalikan.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan untuk Masbelinda, dia didakwa berkhalwat bersama Sharhan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa di sini pada pukul 2.55 pagi, 24 Ogos 2013.
Masbelinda didakwa mengikut Seksyen 27(b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Sharhan dan Umi Masjuri pula didakwa di bawah Seksyen 27(a) dan Seksyen 27(b) akta sama.
Sementara itu, Zainor Rashid yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, pertuduhan baharu iaitu bernikah tanpa keizinan pendaftar perkahwinan terhadap Sharhan dan Umi Masjuri itu telah difailkan di kaunter Pendaftaran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Kosmo! 29 Ogos 2015 melaporkan Sharhan me­ngaku dia telah bernikah dengan Umi Masjuri kira-kira lima bulan sebelum ditangkap berkhalwat.
Dia yang sering dijemput untuk memberi ce­ramah di program popular Tanyalah Ustaz di stesen TV9 mendakwa menikahi isterinya itu dengan berwalikan abang kandung wanita berkenaan di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa di sini pada Mac 2013.

Penolong Pengarah Kokurikulum Kuala Lumpur didakwa perdaya JPN negeri

KUALA LUMPUR - Penolong Pengarah Pusat Kokurikukum Kuala Lumpur di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berhubung pembayaran perkhidmatan mengurus berjumlah RM7,500 yang tidak wujud pada empat tahun lalu.
Idayusni Ismail, 42, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Idayusni didakwa memperdaya JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan mengemukakan dokumen palsu berhubung perkhidmatan mengurus aktiviti Bengkel Kerja Pengurusan Aktiviti Kejurulatihan berjumlah RM7,500 yang sebenarnya tidak wujud di Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur, Jalan Berserah off Jalan Kuantan di sini pada 14 Disember 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Wednesday, March 16, 2016

Ustaz Sharhan dan dua wanita lepas kes khalwat

Oleh  MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini melepas dan membebaskan pengamal perubatan Islam, Ustaz Sharhan Shafie, 40, daripada pertuduhan berkhalwat dengan dua wanita pada tiga tahun lalu.

Turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama ialah isteri Sharhan, Umi Masjuri Hassan, 41, dan adik iparnya, Masbelinda.

Hakim Syarie Ibrahim Deris menetapkan demikian selepas menerima keputusan Pejabat Pendakwaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk menarik balik kes tersebut setelah menerima representasi (rayuan) yang dikemukakan ketiga-tiga tertuduh pada 21 Disember tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Sharhan, Umi Masjuri dan Masbelinda ditahan penguatkuasa Jawi di sebuah apartmen di Taman Keramat Wangsa di sini pada pukul 2.55 pagi, 24 Ogos 2013.

Begitupun, Pendakwa Syarie Kanan, Zainor Rashid Hassin memberitahu, pihaknya akan mengemukakan pertuduhan baru terhadap Sharhan dan Umi Masjuri berhubung dakwaan bernikah tanpa kebenaran pada masa terdekat. - K! Online

Tuesday, March 15, 2016

Pemandu teksi tumbuk mat motor didenda RM1,300

KUALA LUMPUR -Seorang pemandu teksi didenda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menumbuk seorang penunggang motosikal ketika bertengkar selepas terlibat dalam pelanggaran kecil pada Jumaat lalu.
Majistret Mahyudin Mohmad Som merintahkan demikian selepas K. Mahendran, 55, membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mahendran didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap V. Kausikan, 24, di Jalan Brunei Utama di sini pada pukul 2.40 petang, 11 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. K! ONLINE

Ustaz Kasanova dipenjara lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang jurujual air kesihatan yang mendapat jolokan sebagai Ustaz Kasanova dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran dan dua pertuduhan bernikah tanpa keizinan antara tahun 2010 dan 2012.

Hakim Syarie Mohd. Shaifullah Hamzah memerintahkan demikian selepas mene­rima pengakuan bersalah Mohd. Razis Ismail, 34, dan kejayaan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.

 Beliau berkata, syarat mewajibkan orang Islam untuk memohon keizinan untuk bernikah dan berpoligami dengan pendaftar nikah bukan sekadar bersifat prosedur tetapi juga menjaga kepentingan awam daripada segi urus tadbir, perwalian perkahwinan dan keturunan.

 “Tertuduh telah membelakangkan undang-undang demi kepentingan peribadi dengan mengambil kesempatan atas re­putasi sebagai ustaz dengan mengahwini wanita-wanita.

“Perbuatan itu menjejaskan kepercayaan masyarakat dan mencemarkan imej agama,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

 Mohd. Shaifullah menetapkan hukuman denda RM800 dan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan yang diarahkan supaya dijalani secara berasingan.

 Beliau juga memerintahkan hukuman penjara tambahan sebulan bagi setiap lima pertuduhan jika tertuduh gagal membayar denda.

 Mohd. Shaifullah turut mengarahkan hukuman penjara lima bulan yang dikenakan dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara setahun atas kesalahan me­lakukan persetubuhan luar nikah yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 7 Mac lalu.

 Mohd. Razis yang pernah mengahwini 13 orang isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu membayar denda itu.

 Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah dengan  seorang wanita berusia 40 tahun hingga melahirkan seorang bayi perempuan.

 Pada 29 Februari lalu, Mohd. Razis me­ngaku bersalah atas tiga pertuduhan ber­poligami tanpa kebenaran mahkamah de­ngan tiga wanita berlainan menggunakan status masih bujang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya jika sabit ke­salahan.

Mohd. Razis juga membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan melakukan akad nikah tanpa kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah seperti dikehendaki Seksyen 16(2) akta sama dengan dua wanita berbeza iaitu di Flat Hang Tuah, Jalan Loke Yew di sini dan Golok, Thailand masing-masing pada 4 Oktober 2010 dan 26 Mei 2012.

 Dia mendapat jolokan Ustaz Kasanova kerana menggunakan imej sebagai orang alim untuk memikat wanita-wanita sehingga dapat mengahwini 13 isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu.

Monday, March 14, 2016

Papagomo didenda RM4,300

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhi hukuman denda RM4,300 ke atas blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri  Wan Mohd. Deres ke­rana mence­derakan lelaki Pakistan yang didakwa me­lakukan gangguan seksual terhadap tiga wanita termasuk dua adik perem­puannya.

Majistret Husna Dzulkifly memutuskan demikian selepas Wan Muhammad Azri, 33, yang  merupakan bapa kepada empat orang anak termasuk seorang bayi berusia dua bulan membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan berasingan mencederakan mangsa dibacakan.

Beliau turut memerintahkan hukuman tambahan penjara 10 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda. Wan Muhammad Azri yang hadir ke mahkamah dengan berambut perang dan berjambang lebat hitam membayar denda tersebut.

Klip video berdurasi 3 minit 55 saat yang memaparkan tertuduh menyerang seorang pekerja warga asing itu turut ditayangkan di mahkamah sebagai salah satu bahan bukti dikemukakan pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan tersebut, Wan Muhammad Azri didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Khuram Shahzad, 33, dengan menampar dan menumbuk pipi kiri mangsa selain menendang alat sulit lelaki warga asing itu.

Kejadian itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah premis di tingkat dua pusat perniagaan, Starparc Point, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang, 29 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama dua orang lelaki dan tiga wanita telah mendatangi Khuram yang sedang bekerja sebelum mengarahkan mangsa dan dua rakan sekerjanya yang juga warga asing beratur di hadapan mereka.

Wan Muhammad Azri kemudian menampar dan menumbuk pipi kiri Khuram sebelum menanyakan tentang serangan seksual yang didakwa dilakukan oleh mangsa terhadap tiga wanita termasuk dua adik pe­rempuan tertuduh.

Khuram telah menafikan dakwaan itu dengan bersumpah atasn nama Allah dalam bahasa Inggeris selepas ditendang dua kali pada bahagian alat sulit oleh Wan Muhammad Azri.

Dia seterusnya terus dimarahi tertuduh dalam bahasa yang tidak difahami mangsa sebelum ditinggalkan dengan amaran agar menghormati rakyat negara ini.

Lelaki warga asing itu kemudian membuat aduan polis sebelum tertuduh kemudian ditahan.

Wan Muhammad Azri didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau ke­dua-duanya jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Sewaktu membuat rayuan, peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff berkata, tindakan anak guamnya bukan membabi-buta sebaliknya ia dilakukan selepas menerima aduan daripada dua adik perempuannya dan seorang lagi rakan wanita mereka yang mendakwa sering diganggu secara seksual oleh pengadu yang sering mengusap dadanya dan memasukkan tangan ke dalam seluarnya sambil memandang mereka.

Wan Muhammad Azri pernah ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 bagi membantu siasatan dakwaan memuat naik gambar berbaur perkauman di Facebook berhubung kes pergaduhan membabitkan kecurian te­lefon bimbit di Plaza Low Yat di sini pada 14 Julai 2015.

Pada 28 Februari 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintah blogger Papagomo membayar ganti rugi sebanyak RM800,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan memfitnah bekas Ke­­tua Pembangkang itu.

Ustaz Kasanova kena penjara lima bulan lagi dan denda RM4,000

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual air kesihatan yang mendapat jolokan sebagai Ustaz Kasanova dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas lima kesalahan iaitu tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran dan dua pertuduhan bernikah tanpa kebenaran antara tahun 2010 dan 2012.

Hakim Syarie Mohd. Shaifullah Hamzah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan itu dilaksanakan selepas Mohd. Razis Ismail, 34, selesai menjalani penjara selama setahun bagi kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah yang dijatuhkan terhadap tertuduh pada 7 Mac lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Razis didakwa berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita berlainan menggunakan status masih bujang mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagi dua lagi pertuduhan pula, dia didakwa melakukan akad nikah tanpa kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah seperti dikehendaki oleh Seksyen 16(2) akta sama dengan dua wanita berbeza di Golok, Thailand dan Flat Hang Tuah, Jalan Loke Yew di sini masing-masing pada 26 Mei 2012 dan 4 Oktober 2010. - K! Online

Sunday, March 13, 2016

Awie cadang hantar representasi kes cederakan Rozana

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini semalam diberi­tahu penyanyi rock dan pelakon terkenal, Awie bercadang untuk mengemukakan representasi (rayuan) kepada Jabatan Peguam Negara berhubung kes mendatangkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun pada tahun 2014.

Peguam Hazman Harun yang mewakili Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, memaklumkan mahkamah, ia berikutan terdapat perkembangan terbaharu membabitkan anak guamnya berhubung kes berkenaan.

Majistret Husna Dzulkifly kemudiannya menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh pengurusan bagi kes itu.

“Sekiranya tiada sebarang perkembangan, saya akan menetapkan tarikh perbicaraan pada hari (pengurusan kes) tersebut,” katanya di sini semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar.

Pada 15 Februari lalu, Awie yang merupakan vokalis kumpulan rock, Wings membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Rozana, 38, di kaunter Permodalan Nasional Berhad, Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kelmarin, Awie telah dilepas dan dibebaskan daripada satu lagi pertuduhan mencederakan Rozana di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor selepas kedua-dua pihak bersetuju agar kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000.

Hos dalam slot bual bicara di sebuah rancangan televisyen itu turut memohon maaf secara terbuka terhadap bekas isterinya tersebut di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman.

Pada 4 Julai 2014, Awie yang popular dengan lagu Tragedi Oktober mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang terhadap pertuduhan mencede­rakan Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada pukul 1.30 petang, 2 Jun 2014.

Saturday, March 12, 2016

Tiga remaja tukar pengakuan

PETALING JAYA – Tiga remaja termasuk seorang juvana mengu­bah pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini semalam atas pertuduhan mengaibkan kehormatan dua pelajar sekolah menengah dengan menyuruh mereka menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar pada akhir Januari lalu.
Lim Koo Boo Kean, 19, yang merupakan pelajar kolej swasta; lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Tan Jze Keong, 18, dan seorang tertuduh bawah umur membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd. Suah.
Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika pertama kali di hadapkan ke mahkamah pada 5 Februari lalu.
Fadzlin Suraya menetapkan 14 April depan sebagai tarikh jatuh hukum terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Dalam prosiding sama yang dijalankan secara tertutup, beliau turut menjatuhkan hukuman terhadap tiga tertuduh juvana lain dalam kes tersebut.
Bagaimanapun hukuman tersebut tidak didedahkan kerana tertuduh merupakan pesalah bawah umur selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
Keenam-enam tertuduh termasuk Jze Keong dan Boo Kean didakwa mengaibkan kehormatan dua remaja berusia 15 tahun de­ngan menyuruh mereka bersujud sambil menjilat jalan raya di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sea di sini pada pukul 1 petang, 29 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit ke­salahan.

Kosmo! 3 Februari lalu melapor­kan, tindakan sekumpulan enam remaja membuli dua pelajar SMK Taman Sea dengan memaksa mereka menyalak bagai anjing dan menjilat jalan tar mengundang padah apabila kesemuanya ditahan polis.

Kes buli itu didakwa berpunca daripada tindakan kedua-dua mang­sa merakam tanpa kebenaran gambar seorang gadis yang merupakan rakan kepada kesemua tertuduh.

Klip video berdurasi 34 saat yang memaparkan kejadian buli itu kemudian menjadi viral di laman sosial sejak 31 Januari lalu.

INFO Kes Tuntutan Bayaran Mutaah

Ahli perniagaan, Datuk Seri Norazam Shah Ibrahim diperintah oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan untuk membayar tuntutan mutaah sebanyak RM600,000 kepada bekas isterinya, Noor Akmam Abdullah pada November 2013.

 Mahkamah Tinggi Syariah Seremban, Negeri Sembilan memerintahkan pakar tulang Hospital Seremban, Dr. Abd. Shukor Mohd. Hashim membayar mutaah sebanyak RM70,000 terhadap bekas isterinya, Dr. Suraiya M. Shafie yang juga pakar mata hospital sama pada tahun 2009.

 Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor memerintahkan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak membayar RM30,000 sebagai tuntutan pembayaran mutaah kepada bekas isterinya, Rita Rudaini yang juga seorang pelakon pada 5 Oktober 2015.

 Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Alam Sekitar dan Kesihatan Kelantan, Hassan Abdullah diperintah Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan untuk membayar mutaah sebanyak RM30,000 terhadap bekas isterinya, Nadiah Ahmah pada tahun 2006.

Friday, March 11, 2016

RM30 juta ubat duka Shahnaz

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memutuskan Shahnaz Majid, 53, yang me­rupakan kakak kepada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid la­yak menerima RM30 juta sebagai bayaran mutaah selepas diceraikan bekas suaminya lima tahun lalu.
Pembayaran mutaah itu diberikan selepas Shahnaz me­nuntut RM100 juta daripada bekas suami­nya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib, 53, yang merupakan ahli perniagaan dan anak kedua Yang Dipertua Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab membuat keputusan itu selepas mendapati wanita itu layak menerima bayaran mutaah berdasarkan kemampuan kewangan bekas suaminya.
Muhamad Abdul Karim berkata, Shahnaz layak menerima tuntutan itu ekoran kesedihan serta keaiban yang dialami wanita itu akibat perceraian yang telah di­sahkan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 10 Mac 2011.
Menurutnya, tuntutan mutaah yang dibuat sebelum ini iaitu RM100 juta adalah keterlaluan.
“Tindakan defendan (Mahmud Abu Bekir) meninggalkan plaintif (Shahnaz) secara gantung tidak bertali selama 10 tahun sebelum bercerai merupakan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan. Semoga perintah mutaah ini dapat menghapus duka di hati seorang wanita,” kata Hakim Muhamad Abdul Karim ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.
Difahamkan perintah pemberiaan mutaah RM30 juta itu merupakan yang tertinggi pernah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di negara ini.
Shahnaz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader manakala peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mewakili Mahmud Abu Bekir dalam kes tuntutan tersebut yang bermula sejak 23 Mei 2013.

Prosiding satu lagi tuntutan nafkah sepencarian seba­nyak RM300 juta yang difailkan Shahnaz terhadap Mahmud Abu Bekir masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Muhamad Abdul Karim berkata, berdasarkan pegangan mazhab Syafie, setiap isteri yang diceraikan wajib menerima mutaah kecuali dia belum pernah di­setubuhi dan kemusnahan rumah tangga tersebut berpunca daripada keaiban wanita itu sendiri.

Beliau berkata, mahkamah juga menerima sebahagian besar ke­terangan saksi pendakwaan iaitu seorang akauntan bertauliah yang menganggarkan defendan memiliki aset sebanyak RM1.33 bilion.
“Plaintif (Shahnaz) yang merupakan graduan ekonomi dari universiti di Amerika Syarikat telah memainkan peranan penting dalam syarikat Sarawak Security yang ditubuh bersama defendan,” katanya.

Muhamad Abdul Karim memerintahkan Mahmud Abu Bekir agar melunaskan tuntutan mutaah itu secara ansuran iaitu sebanyak tiga kali bayaran pada 31 Mac, 30 Jun dan 30 September depan dengan amaun RM10 juta bagi setiap pembayaran.

Shahnaz dan Mahmud Abu Bekir berkahwin pada 9 Januari 1992 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud yang kini berusia 23 tahun.

Sementara itu Shahnaz ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah syariah yang mengiktiraf haknya sebagai muslimah.

“Saya juga bercadang untuk mendermakan sebahagian daripada wang mutaah tersebut kepada golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir serta miskin,” katanya.

Zainur Rijal yang mewakili Mahmud Abu Bekir pula berkata, pihaknya akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah berhubung keputusan tersebut dalam tempoh terdekat.

Blogger Papagomo mencederakan buruh warga asing didenda RM4,300

KUALA LUMPUR - Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, 33, dijatuhi hukuman denda RM4,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan menyerang seorang buruh warga Pakistan akhir Januari lalu.
Majistret Husna Dzulkifly memerintahkan demikian selepas Wan Muhammad Azri membuat pengakuan bersalah setelah kesemua pertuduhan terbabit dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, didakwa tiga pertuduhan berasingan menampar dan menumbuk pipi kiri serta menendang alat sulit Khuram Shazad, 33, di Setapak Point, Wangsa Maju di sini pada pukul 1.30 petang, 29 Januari lalu.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Keputusan permohonan poligami Adenan-Adira 28 Mac depan

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan pernikahan poligami penyanyi, Adira dan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu akan diketahui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 28 Mac depan.

Hakim Muhammad Abdul Karim Wahab menetapkan demikian selepas mendengar keterangan secara lisan Adira yang juga bintang Akademi Fantasia 7 dan suaminya berhubung pernikahan mereka yang telah dilangsungkan di Songkhla, Thailand pada 3 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, mereka telah memfailkan permohonan pendaftaran pernikahan poligami tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 28 Januari lalu. - K! Online

Thursday, March 10, 2016

Ustaz Kasanova dipenjara setahun

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual produk penapis air kesihatan yang turut digelar 'ustaz kasanova' dijatuhi hukuman penjara setahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah dengan bekas isterinya pada empat tahun lalu.

Hakim Nassor Abdul Aziz memerintahkan Mohd. Razis Ismail, 34, menjalani hukuman demikian setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh yang dibuat pada 29 Februari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Razis didakwa melakukan persetubuhan luar nikah dengan wanita berumur 40 tahun terbabit di sebuah hotel di sini antara Mac hingga Mei 2012.

Perbuatan tersebut telah menyebabkan wanita itu hamil dan melahirkan seorang kanak-kanak perempuan yang kini berusia hampir tiga tahun.

Sebelum itu, perkahwinan mereka telah diputuskan sebagai tidak sah oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 28 Jun 2011.

Mohd. Razis yang telah mengahwini 13 orang isteri didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. - K! Online

Ejen hartanah baling bayi baru dilahirkan didakwa

KUALA LUMPUR - Seorang ejen hartanah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya pada akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan Norazwani Mohd. Noh, 39, sekadar mengaku faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Berdasarkan pertuduhan, Norazwani didakwa membunuh bayi perempuan itu dengan membalingnya dari tingkat 18, Blok C, Flat Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 8.11 pagi, 29 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - K! Online

Pencuri komputer riba bekas menteri dijel

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Tan Sri Zulhasnan Rafique dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mencuri komputer riba milik bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada awal bulan lalu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Mohd. Effendy Jainuddin, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Beliau turut mengenakan hukuman penjara tambahan selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal melunaskan denda.

 Mohd. Effendy yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi bekas Ahli Parlimen Setiawangsa tersebut selama tiga bulan dari Oktober 2015 membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norakmal Farhan Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Zaidi Othman.

 Mengikut pertuduhan, Mohd. Effendy didakwa mencuri sebuah komputer riba jenama Asus berwarna hitam bernilai RM4,500 di kediaman Zulhasnan di Beringin Residence, Damansara Height di sini pada pukul 2 pagi, 8 Januari lalu.

 Mengikut fakta kes, Zulhasnan telah mengarah­ kan Penasihat Undang-Undangnya, Datuk Ahmad Jais Raduan membuat laporan polis selepas mendapati beberapa barang berharga seperti beg tangan berjenama dan kipas angin yang dianggarkan bernilai RM300,000 hilang dari rumahnya pada 21 Januari lalu.

Mohd. Effendy kemudian ditahan di hadapan sebuah kopitiam di Jalan Rampai Niaga 5, Medan Niaga Setapak di sini pada pukul 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Hasil soal-siasat, tertuduh mengaku mengambil komputer riba terbabit sebelum memajaknya ke­ pada seorang lelaki pada harga RM300

Adira kemuka bukti nikah di Songkla

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga bintang Akademi Fantasia (AF), Adira dan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu mengemukakan gambar, salinan video dan pasport masing-masing sebagai bukti pernikahan poligami mereka kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Adenan, 38, yang merupakan ahli perniagaan memberitahu mahkamah, dia telah menikahi Adira di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand pada 3 Disember tahun lalu.

“Akad nikah dilafazkan sekali dengan mas kahwin RM1,000. Pernikahan dilaksanakan secara wali hakim,” katanya ketika memberi keterangan permohonan pendaftaran pernikahan poligaminya dengan Adira di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab di sini semalam.

Adenan memberitahu, jurunikah dan dua saksi dalam pernikahan tersebut merupakan individu warga negara Thailand.

Sementara itu, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 25, berkata, sewaktu pernikahan dilangsungkan, bapa kandungnya, Suhaimi Rajiman berada di Johor Bahru, Johor.

Muhammad Abdul Karim kemudiannya memerintahkan pasangan suami isteri itu mengemukakan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum memberitahu keputusan terhadap permohonan pernikahan secara poligami yang dikemukakan itu pada 28 Mac depan.

Kosmo! 29 Januari lalu melaporkan Adira yang juga bintang AF7 memulakan proses untuk mendaf­tarkan pernikahan poligami dengan Adenan selepas berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla.

Adira pada 22 Disember 2015 mengaku menjadi isteri kedua kepada Adenan selepas bernikah di negara jiran.

Wednesday, March 9, 2016

Ibu campak bayi dari flat didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang ejen hartanah berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam di atas pertuduhan membaling bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 18 sebuah pangsapuri.

Norazwani Mohd. Noh, 39, yang kelihatan tenang di dalam mahkamah sekadar menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Nor Azwa.

Berdasarkan pertuduhan, Norazwani didakwa membunuh seorang bayi perempuan yang baru lahir dengan memba­lingnya dari tingkat 18, Flat Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 8.11 pagi 29 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Norazwani yang berpa­kaian baju T berlengan panjang berwarna merah dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat anggota polis dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Difahamkan dia yang me­nerima rawatan di HKL sejak ditahan seminggu lalu akan terus direman di hospital tersebut sehingga disahkan pulih oleh pegawai perubatan.

Tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan hadir di galeri mahkamah sewaktu prosiding dijalankan.
Siti Radziah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Mei 2015 bagi menunggu laporan kimia dan keputusan bedah siasat.

Kosmo! pada 1 Mac lalu me­laporkan penduduk Flat Danau Kota gempar selepas menemui mayat bayi perempuan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan parah pada kepala di kawasan lapang flat tersebut pada pukul 8.30 pagi.

Hasil pemeriksaan polis dari rumah ke rumah telah mengesan tertuduh yang menyewa salah sebuah bilik di sebuah rumah di tingkat 18 flat ber­kenaan selain menjumpai kesan darah dari bahagian tandas hingga balkoni di premis terbabit yang dipercayai tempat bayi malang itu dicampakkan.

Norazwani yang berasal dari Taman Senawang Jaya, Seremban, Negeri Sembilan dikatakan dalam proses perceraian dengan suaminya serta dipe rcayai mengalami masalah kemurungan.

Dia turut mempunyai seorang anak berusia lima tahun hasil perkahwinan dengan suaminya yang difahamkan berlangsung di negara jiran tetapi mereka tidak pernah mendaf­tarkan perkahwinan tersebut di negara ini.

Ustaz Kasanova dipenjara setahun, disebat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Seorang penjual air kesihatan yang mendapat jolokan sebagai Ustaz Kasanova dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar nikah dengan bekas iste­rinya sehingga melahirkan seorang anak  empat tahun lalu.

Hakim Syarie Nassir Abdul Aziz memerintahkan Mohd. Razis Ismail, 34, menjalani hukuman penjara tersebut selepas mendengar rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Zainor Rashid Hassin.

“Kesalahan yang dilakukan Mohd. Razis adalah berat kerana melibatkan persetubuhan luar nikah yang mencemarkan agama dan institusi kekeluargaan serta merosakkan masyarakat di sebalik imej tertuduh yang mempamerkan diri sebagai seorang ustaz.

“Perbuatan tersebut yang menyebabkan tertuduh digelar dengan panggilan jelik sehingga menjadi viral di media sosial juga telah mendatangkan keaiban kepada golongan ustaz,” kata beliau ketika membacakan penghakimannya di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Razis yang menjadi buruan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan selama tiga bulan membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan tersebut di hadapan Nassir dan Hakim Syarie Mohd. Saifullah Hamzah sewaktu dia pertama kali dihadapkan ke dua mahkamah syariah berasingan pada 29 Februari lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Razis didakwa melakukan persetubuhan luar nikah dengan wanita berusia 40 tahun di  sebuah hotel di Jalan Haji Hussein di sini antara bulan Mac dan Mei 2012 sehingga melahirkan seorang anak perempuan pada 6 Disember tahun sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan enam kali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, perkahwinan Mohd. Razis dan wanita itu juga diputuskan sebagai tidak sah dan diperintahkan untuk difaraqkan (berpisah) oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 28 Jun 2011.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang mempunyai lapan orang anak dikesan pernah mengahwini 13 orang isteri dari tahun 2003 hingga tahun lalu.

Tertuduh masih mempunyai lima pertuduhan lain iaitu tiga pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran dan dua pertuduhan melakukan akad nikah tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd. Razis telah mengaku salah atas pendakwaan  berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan tiga wanita  menggunakan status masih bujang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 133 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, Mohd. Razis turut membuat pengakuan bersalah atas pendakwaan melakukan akad nikah tanpa kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah seperti dikehendaki oleh Seksyen 16(2) akta sama dengan dua wanita berbeza iaitu di Golok, Thailand dan Flat Hang Tuah, Jalan Loke Yew di sini masing-masing pada 26 Mei 2012 dan 4 Oktober 2010.

Mohd. Saifullah telah menangguhkan keputusan kelima-lima kes tersebut pada 14 Mac depan bagi membolehkan beliau meneliti hujahan pihak pendakwaan yang baru diterimanya pada Jumaat lalu.

Mahkamah tetapkan perbicaraan pengikut ajaran Milah Abraham 30 Mei depan

KUALA LUMPUR – Seba­nyak 58 individu me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini terhadap pertuduhan cuba menjelaskan kepercayaan agama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ajaran Millah Ibrahim @ Abraham dan mengajar ajaran itu tanpa tauliah.

 Mereka terdiri daripada 12 wanita dan 46 lelaki termasuk pelajar dan penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di bacakan di hadapan Hakim Syarie Abdul Karim Wahab.

 Mahkamah membenarkan ke­semua tertuduh, masing-masing diikat jamin antara RM4,000 dengan seorang penjamin dan RM5,000 dengan dua penjamin selain perlu melapor diri di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dua minggu sekali serta perlu mendapat kebenaran sekiranya mahu ke luar negara.

 Mahkamah menetapkan perbicaraan lima hari bermula pada 30 Mei ini terhadap kesemua tertuduh yang berusia di antara 19 hingga 59 tahun.

 Pada 2 Februari lalu, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada mereka yang diwa­kili peguam Zaini Zainol.

 Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Farzlie Rahmat, 40, Hamatun Mezi Wahab, 49, dan Sehadle Sa’aamah, 35, didakwa cuba menjelaskan doktrin atau kepercayaan agama selain agama Islam, yang berlawanan dengan hukum syarak dengan mencampuradukkan kefahaman kandu­ngan ayat Al-Quran dengan kitab Bible yang didapati antara ciri-ciri di dalam ajaran Millah Ibrahim @ Abraham.

 Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik Sakura International Youth Centre di No. 1, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada 8.32 malam, 1 Februari lepas.

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau disebat sehingga enam sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

 Bagi pertuduhan kedua, ketiga-tiga mereka didakwa cuba mengajar agama Islam tanpa tauliah pada masa, tarikh dan tempat sama mengikut Seksyen 11, akta sama dan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Sembilan lagi tertuduh ialah Zaitullailati Taslim, 31; Adly Azman, 24; Aszrul Nizam Zainal Badol Nizam, 22; Mohd Nazari Buang, 39; Mohd Saad Ghazali, 35; Muhamad Arif Afrison, 24; Muhammad Hasif Che Kemarudin, 27; Muhammad Razeeq Iskandar Ruslanno, 20, dan Muhammad Shawaluddin Shafar, 27.

 Mereka didakwa bersubahat mengambil bahagian bersama-sama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle untuk me­lakukan kesalahan sama iaitu cuba menjelaskan ajaran itu di tempat, masa dan tarikh sama yang membawa hukuman denda dan penjara yang sama.

 Sementara itu, 43 lagi tertuduh didakwa terhadap pertuduhan sama iaitu bersubahat mengambil bahagian bersama-sama dalam satu majlis yang dikendalikan Farzlie, Hamatun Mezi dan Sehadle.

 Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin.