Translate

Saturday, November 11, 2023

Bapa meninggal 15 minit sebelum terima skrol ijazah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hati seorang graduan luluh apabila dimaklumkan berita kematian bapanya yang berada di Tawau, Sabah meninggal dunia kira-kira 15 minit sebelum menerima skrol ijazah sarjana muda pada Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-25 hari ini.

Haslina Kalang, 23, berkata, dia menguatkan diri juga menaiki pentas untuk menerima skrol Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (Dengan Kepujian) tersebut daripada Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Yusof Noor biarpun dengan linangan air mata.

“Sewaktu menunggu giliran nama diumumkan (untuk menerima skrol ijazah), saya tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada salah seorang jiran pada pukul 10.30 pagi.

“Luluh hati saya apabila dimaklumkan ayah (Kalang Tona, 56) yang menderita strok baru meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen UniSZA ke-15 di sini hari ini.

Haslina yang berasal dari Tawau mengakui pada mulanya berat untuk menghadiri majlis konvokesyen terbabit kerana terlalu risaukan tahap kesihatan bapanya.

Dia bagaimanapun akur apabila bapanya bersungguh-sungguh meminta hadir ke majlis konvokesyen bagi menerima sendiri skrol ijazah sarjana mudanya itu.

“Saya dengan berat hati hadir ke majlis konvokesyen ini dengan ditemani kakak sulung, Kasnia, 24, yang kini menetap di Johor.

“Memang sebaik tamat pengajian dahulu, saya terus pulang ke kampung halaman dan tidak memohon apa-apa pekerjaan semata-mata menjaga ayah yang terlantar akibat strok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment