Translate

Monday, November 20, 2023

Vaksin influenza mungkin ditawar kepada individu berisiko

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk menawarkan suntikan vaksin influenza kepada individu tempatan yang berisiko dijangkiti. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun penularan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) tempatan setakat ini masih terkawal, gejala itu perlu dipandang serius kerana turut membawa risiko kematian. 

“Begitupun buat masa ini, vaksin influenza tersebut akan diberikan kepada pekerja-pekerja kesihatan terlebih dahulu. 

“Kalau ada bajet (lebih), kita akan beri (suntikan vaksin influenza) kepada rakyat yang berisiko,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir, di sini semalam. 

Kosmo! pada 2 Ogos lalu melaporkan, kira-kira 150,000 pekerja kesihatan seluruh negara akan menerima suntikan vaksin influenza bagi melindungi kesihatan petugas barisan hadapan. 

Ujar beliau, vaksin influenza terbabit masih dalam proses perolehan yang dijangka selesai dalam tempoh kurang dua bulan. 

Beliau memberitahu, klinik kesihatan seluruh negara telah diarahkan untuk mengaktifkan pusat demam bagi melakukan saringan terhadap individu bergejala. 

“Pengesanan awal gejala seperti demam, sakit badan, kerap bersin, hidung berair, sakit tekak, batuk dan sakit kepala itu penting bagi mengawal penularan ILI. 

“Berdasarkan Minggu Epidemiologi ke-30 iaitu dari 23 hingga 30 Julai lalu, secara purata enam daripada 100 pesakit yang dirujuk ke pusat kesihatan seluruh negara disahkan menghidap ILI. 

“Kadar kemasukan ke hospital akibat gejala ILI pula 7.1 peratus. Ia menunjukkan sedikit penurunan berbanding minggu epidemiologi sebelum itu,” katanya. 

Tambahnya, kerajaan terus komited untuk menghasilkan sendiri pelbagai jenis vaksin menerusi Pusat Penyelidikan Pembangunan Vaksin Negara (PPPVN).

No comments:

Post a Comment