Translate

Tuesday, December 31, 2024

Ibu bapa sambut baik SPM bukan musim banjir

PETALING JAYA – Rata-rata ibu bapa menyambung baik syor untuk menukar waktu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar musim tengkujuh kerana ia tidak memberi tekanan kepada pelajar.

Seorang suri rumah dari Kampung Lechar di Raub, Pahang Salina Mohamed Jamil, 51, berkata, cadangan berkenaan dilihat mampu mengurangkan tekanan calon SPM khususnya di negeri yang terlibat dengan banjir setiap tahun.

“Hampir setiap tahun kejadian banjir berlaku dalam bulan November, Disember dan Januari. Pada masa sama, para pelajar tingkatan lima akan menghadapi peperiksaan SPM. 

“Jadi baguslah kalau ada syor untuk anjakkan tarikh peperiksaan SPM di luar musim banjir sebab kasihan pada calon yang mungkin terjejas emosi kerana perlu menghadapi banjir,” katanya di sini semalam. 

Tambahnya, kesukaran yang dialami anaknya yang mula mengambil peperiksaan SPM hari ini ketika rumah dilanda banjir tidak harus berulang kepada calon lain pada masa hadapan. 

Katanya, anaknya yang menumpang di rumah saudara terpaksa berjauhan dengannya yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara. 

Dalam pada itu, di Kuala Terengganu, seorang ibu, Siti Sakinah Md. Yaakob, 41, berharap cadangan untuk menukar jadual peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh dapat direalisasikan Kementerian Pendidikan. 

 Dia yang mempunyai dua anak yang kini berada di tingkatan tiga dan dua berkata, peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh memberi keadilan terutama dari segi mental dan emosi kepada calon khususnya yang berada di negeri-negeri sering terjejas banjir di Pantai Timur. 

“Tidak salah untuk lewatkan sedikit jadual peperiksaan SPM selepas Monsun Timur Laut semakin reda sesuai dengan ramalan cuaca semasa. 

“Ia tidak akan mengganggu fasa seterusnya anak-anak melangkah ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana sesi kemasukan pada masa ini telah ditetapkan pada bulan Ogos atau September,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Di Machang, Kelantan pula, seorang tukang jahit, Norliza Abdullah, 45, menyokong sekiranya KPM membuat pertimbangan menukar waktu peperiksaan SPM di luar musim tengkujuh. 

Dia berpendapat, peperiksaan SPM sesuai diadakan pada September atau Oktober.

“Kedua-dua bulan tersebut merupakan peringkat awal musim tengkujuh malah hujan juga tidak lebat dan berterusan seperti hujung November hingga Disember. 

“Ibu bapa juga tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka semasa menjalankan persiapan SPM,” ujarnya.

Mangsa banjir makin berkurangan di empat negeri

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di empat negeri semakin pulih dengan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara hanya tinggal 524 orang melibatkan 143 keluarga berada di pusat pemindahan sementara (PPS). 

 Situasi banjir di Terengganu semalam semakin pulih apabila hanya tinggal 230 mangsa di Kemaman.

 Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun telah pulih daripada banjir dengan 36 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 4 petang. 

“Kesemua 230 mangsa daripada 58 keluarga tersebut masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman. 

 “Mereka berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, Balai Raya Beris Nenas, Balai Raya Meraga Beris dan Balai Raya Padang Kemunting,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. 

 Banjir gelombang ketiga kembali melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu dengan menjejaskan lebih 5,000 penduduk di daerah Kemaman dan Dungun. 

Dalam pada itu, di Kelantan banjir yang melanda beberapa kawasan di Gua Musang yang bermula kelmarin pulih apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang sebelum ini menempatkan 41 mangsa ditutup petang kelmarin. 

Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi itu ditutup kira-kira 5.30 petang 

Menurutnya, seramai 41 mangsa yang terlibat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas banjir di daerah tersebut mulai surut. 

Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, air Sungai Golok ketika ini melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.15 meter, manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai berada pada tahap amaran.

 Menurutnya, Sungai Kusial di Tanah Merah dan Sungai Golok di Kuala Jambu mencatatkan bacaan berjaga-jaga.

Monday, December 30, 2024

SPM dalam banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA, NORLIDA AKMAR IDROS dan JAMLIAH ABDULLAH

PETALING JAYA – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di tiga buah negeri tetap bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut meskipun berdepan kesukaran dan ketidakstabilan emosi ketika menetap di pusat pemindahan sementara (PPS). 

Kelam kabut, alat tulis dan buku rujukan hilang selain me­ngulang kaji dalam keadaan bi­sing tidak mematahkan sema­ngat mereka untuk menduduki SPM yang bermula hari ini. 

Di Setiu, Muhammad Aidil Adwa Irfan Zulkifli, 17, berkata, dia mengulang kaji pelajaran di PPS SK Telaga Papan menggunakan telefon  pintar kerana tidak sempat membawa buku rujukan ketika berpindah dari rumah nya di Perumahan Tabung Haji yang ditenggelami air kelmarin.

 “Tak sangka air masuk rumah kerana tahun lepas kami tak kena banjir. Risau juga esok (hari ini) SPM tetapi saya tetap ulang kaji di kelas kosong di PPS ini. 

“Buku rujukan dan nota peperiksaan disimpan di tempat tinggi di rumah. Sekolah ada tawarkan kemudahan asrama untuk calon SPM tetapi saya tidak mahu tinggalkan ibu selepas ayah meninggal dunia,” katanya. 

Menurut Muhammad Aidil Adwa, dia berharap banjir cepat surut supaya dapat pulang untuk menduduki kertas peperiksaan yang bermula bulan depan. 

Dia merupakan antara 5,377 calon SPM di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang terjejas akibat banjir kali ini. 

Di Rantau Panjang, Nur Arina Mohd. Rozizi, 17, berkata, emosinya terjejas selepas dia bersama ibu bapa dan tiga adik beradiknya terperangkap selama lima hari tanpa menerima bantuan di dalam rumah di Kampung Gual Machang. 

Katanya, kali terakhir dia mengulangkaji ialah Sabtu lalu sebelum gajetnya kehabisan bateri manakala bekalan elektrik terputus. 

“Kami berhempas pulas menaiki bot melawan arus ke PPS SK Gual Tinggi sebelum naik trak tentera untuk dibawa ke asrama pusat peperiksaan. 

Saya tidak bersedia kerana tidak banyak ulang kaji dan emosi terganggu,” katanya. 

Menurut Nur Arina, seorang rakan baiknya di Lubok Stil yang juga calon SPM tidak dapat dihubungi. 

“Saya tidak nampak dia di sini untuk naik trak. Saya tidak tahu nasibnya dan mungkin tidak ambil SPM. Saya harap dia muncul di saat akhir,” katanya. 

Remaja itu merupakan salah seorang daripada 189 calon SPM dari SMK Rantau Panjang terjejas banjir yang dipindahkan ke tiga buah sekolah iaitu SMK Pasir Mas, SMK Sultan Ibrahim 1 dan SMK Sultan Ibrahim 2 untuk menduduki peperiksaan hari ini. 

Di Alor Setar, Muhammad Hazwan Norizan, 17, berkata, dia tidak sempat mengambil semua buku dan nota ulang kaji selepas rumahnya di Kampung Alor Ganu di Kepala Batas dimasuki air Khamis lalu. 

“Saya hanya sempat ambil satu fail nota ulangkaji dan satu baju seragam sebelum berpindah ke rumah saudara di Lepai.  Saya tidak dapat balik semula kerana air sangat dalam. 

“Bagaimanapun, saya bersedia untuk SPM tetapi sedih kerana tidak cukup ulangkaji,” katanya ketika ditemui di asrama SMK Agama Kedah di sini. 

Dalam pada itu, Muhammad Zairil Bahanordin, 17, dari Alor Gonchar mengakui kurang selesa apabila perlu mengulangkaji di PPS. 

"Semua buku basah dan terpaksa pinjam dengan kawan. Walaupun kurang selesa, saya tiada pilihan. Gelisah hendak hadapi ujian bertutur esok (hari ini) tetapi saya akan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Seri Gunong. 

Nur Intan Aliesya Zamri dan Nur Hasmira Najwa Hasan turut mengulangkaji di PPS itu bersama rakan-rakannya. 

“PPS bising kerana orang terlalu ramai tetapi apa boleh buat. Nanti kami akan dipindahkan ke asrama SMK Alor Janggus untuk lebih selesa dan dapat mengulangkaji dengan lebih teratur,” katanya.

9 korban bah gelombang pertama

KOTA BHARU – Lima nyawa menjadi korban dalam gelombang pertama banjir yang melanda Kelantan bermula sejak 27 November lalu. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian pertama berlaku pada Rabu lalu melibatkan seorang pemandu trak tunda berusia 33 tahun yang maut terkena renjatan elektrik semasa menutup suis mesin basuh di Kampung Banir Belikong, Pasir Puteh. 

Menurutnya, kejadian kedua melibatkan seorang warga emas berusia 64 tahun meninggal dunia ketika mengalihkan tiang gol di Machang sehari kemudian. 

“Seorang bayi lelaki menjadi korban banjir yang ketiga di Kelantan apabila ditemukan lemas selepas rumah keluarganya di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat di Tumpat dinaiki air pada Jumaat lalu. 

“Bayi yang berusia satu tahun sebulan itu dipercayai terjatuh ke dalam air banjir di tingkat bawah rumah keluarganya selepas bangun daripada tidur di tingkat atas kediaman tersebut kira-kira pukul 10.30 malam,” katanya. 

Ujar beliau, kematian keempat dan kelima pula melibatkan dua warga emas dijumpai lemas semasa dalam perjalanan untuk memantau lembu dan kambing ternakan mereka dalam dua kejadian berasingan di Machang dekat sini, pada Ahad lalu. 

“Mangsa pertama, Shokarno Mahmood, 72, ditemukan lemas di dalam parit di Kampung Kuala Sat kira-kira pukul 8 pagi. 

“Mangsa kedua, Mat Salleh Yaacob, 78, pula dijumpai lemas rumah rakit bersebelahan kediamannya di Kampung Gelung Gajah pada 1 tengah hari,” katanya. 

Di Kuala Nerus, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 28 November lalu telah mengorbankan empat nyawa setakat ini 

Katanya, dua daripada mangsa maut akibat terjatuh dan dihanyutkan arus deras banjir, manakala dua lagi menjadi korban runtuhan tanah akibat pergerakan air hujan.

 “Mangsa terbaharu merupakan seorang anggota polis yang ditemui lemas di dalam ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun semalam (kelmarin). 

 “Mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Polapol) Dungun telah dihanyutkan arus deras sewaktu melalui laluan ditengelami banjir di ladang kelapa sawit tersebut dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu. 

“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya yang memasuki ladang kepala sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya tertinggal di dalam raga motosikal telah terkandas semalaman akibat banjir,” katanya di Pondok Polis Tepoh, Kuala Nerus semalam.

 Beliau ditemui sewaktu menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia Kontinjen Terengganu. 

 Mohd. Khairi berkata, mangsa banjir pertama di Terengganu ialah Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang lemas di Kampung Pinang, Besut pada 28 November lalu. 

 Ujarnya, pesara Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu terjatuh dari sampan sewaktu memukat ikan bersama dua rakan di kawasan sawah padi yang ditenggelami banjir sedalam tiga meter. 

 “Dua lagi mangsa merupakan adik-beradik, Puteri Sajidah Azman, 16, dan Fatihah, 13, yang terkorban pada 29 November lalu. 

 “Mereka terperangkap di dalam rumah yang dihempap runtuhan tanah di Kampung Bukit Apil, Hulu Terengganu pada pukul 4.50 petang. 

“Saya berharap jumlah mangsa korban banjir di Terengganu ini tidak bertambah walaupun tempoh Monsun Timur Laut masih panjang,” katanya.

Sunday, December 29, 2024

RM50j untuk Terengganu, Kelantan

SETIU – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan tambahan keseluruhan RM50 juta untuk Terengganu dan Kelantan yang kini sedang terjejas teruk ekoran banjir gelombang pertama. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan segera masing-masing RM25 juta kepada kedua-dua negeri itu ekoran peningkatan mangsa terjejas sudah melebihi jangkaan diunjurkan sebelum ini. 

Beliau berkata, sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM50 juta kepada Terengganu dan Kelantan bagi pengurusan bencana banjir pada musim tengkujuh.

“Bantuan penuh untuk Kelantan dan Terengganu RM50 juta telah disalurkan, kemudian saya dapat maklumat lagi terdapat keperluan-keperluan mutakhir. 

“Kita sudah lulus tambah kerana kita nampak keperluan terkesan itu jauh lebih jangkaan awal. Kita tambah lagi RM25 juta,” katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah ini semalam. 

Beliau menyantuni mangsa-mangsa banjir yang sedang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Papan dan SK Mangkok, di sini. 

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga sedang memantau keperluan peruntukan tambahan di negeri-negeri lain yang turut terjejas banjir ketika ini. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan segera yang bakal disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelasanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri tersebut akan digunakan untuk pengurusan banjir termasuk membaiki infrastruktur asas seperti jalan raya dan pembentung. 

“Untuk negeri-negeri lain, kita sedang pantau dan akan memenuhi keperluan. Saya jangka jumlah keseluruhan (peruntukan) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya. 

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat bencana walaupun mangsa banjir di seluruh negara setakat ini sudah mencecah lebih 150,000 orang. 

“Pengurusan banjir di 10 negeri terjejas berkenaan telah ditangani dengan baik oleh agensi kerajaan terlibat. Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak memikirkan keperluan (darurat bencana) itu.

 “Seluruh jentera keselamatan (seperti) Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seluruh jentera Kerajaan Persekutuan, negeri dan daerah nampak menangani masalah dengan baik,” katanya.

Saya letak jawatan untuk kukuhkan PN – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dengan niat untuk memperkuatkan lagi gabungan tersebut. 

 Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakannya bagi memperkukuhkan lagi PN agar menjadi gabungan politik yang lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi. 

 “Tulisan penganalisis politik di pelbagai ruangan sosial media, media cetak (berkaitan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN) beri perspektif masing-masing.

 “Saya rangkumkan semua (tindakannya) adalah usaha untuk memperkuat dan memperkukuh PN supaya menjadi kuasa baharu menghadap pilihan raya (PRU16) yang lebih kuat dan mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” katanya di Taman Tamadun Islam di sini semalam. 

 Terdahulu beliau ditemui pada majlis Imaratul Ilmi kelima Kolej Al-Quran Terengganu. 

 Ahmad Samsuri begitu pun masih belum bersedia untuk mendedahkan peletakan jawatannya dalam PN tersebut adalah keputusannya sendiri atau arahan dan strategi parti Pas. 

 Beliau memberitahu, kepimpinan Pas sedang berusaha mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

 “Saya tak nak beri komen lagi (alasan meletakkan jawatan). Peringkat ini kepimpinan (Pas) sedang menguruskan perkara ini,” katanya. 

 Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri menafikan tindakannya menyebabkan keretakan dalam PN khususnya di Semenanjung. 

 Jelas beliau, tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada PN pada semalam adalah isu berasingan. 

 Sebelum ini, Ahmad Samsuri bertindak drastik melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN hanya selepas dua hari dilantik yang dikatakan sebagai protes Pas terhadap monopoli kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Majlis Tertinggi PN.

Saturday, December 28, 2024

Peniaga kedai makan ditipu, rugi RM50,450

 KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpengaruh dengan tawaran keuntungan tidak masuk akal, seorang peniaga kedai makan berputih mata kerugian RM50,450 diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud. 

Lelaki berusia 53 tahun tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada pukul 5.09 petang kelmarin setelah menyedari dirinya tertipu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa tertarik dengan satu skim pelaburan yang dilihatnya pada pukul 10 pagi, 30 November lalu.

 “Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi Telegram sebelum dijanjikan keuntungan RM23,000 kononnya bagi setiap RM1,000 pelaburan dibuat. 

 “Dia yang tertarik telah mengisi butiran peribadinya secara dalam talian seperti diarahkan suspek,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, peniaga kedai makan tersebut kemudiannya memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM50,450 sebagai modal pelaburannya. 

 Beliau berkata, pembayaran itu dilakukan menerusi lapan transaksi ke empat akaun bank berasingan antara 30 November hingga 5 Disember lalu.

Friday, December 27, 2024

Pesalah khalwat tetap kena sebat

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu baru baru ini bakal dilaksanakan pada 27 Disember ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, itu juga kekal berlangsung selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini. 

Beliau berkata, panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu sebulat suara bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. 

“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa permohonan semakan dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. 

“Hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dikekalkan,” katanya di sini semalam. 

Muhammad Khalil berkata, panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu tersebut turut memutuskan untuk mengekalkan keputusan Hakim Kanan Syarie, Kamalruazmi Ismail agar hukuman enam sebatan terhadap duda anak lima tersebut dilaksanakan Masjid Al-Muktafi Billah Shah. 

 Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tidak lama lagi. 

 “Saya ingin menegaskan bahawa hukuman sebatan dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir ini sebagai pengajaran agar individu lain agar tidak mengulangi kesalahan sama. 

“Pelaksanaan hukuman sebatan takzir ini juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah,” katanya.

 Sehubungan itu, Muhammad Khalil berharap masyarakat dapat sama-sama mendoakan agar proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah takzir berkenaan berjalan dengan lancar.

Kosmo! 21 November lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memerintahkan Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga duda anak lima dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga

Thursday, December 26, 2024

PdPR buat pelajar terjejas banjir diteruskan

 DUNGUN – Kementerian Pendidikan akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk murid dan pelajar terjejas banjir gelombang seterusnya sepanjang musim tengkujuh ini yang masih berbaki hingga bulan Mac tahun hadapan. 

 Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek berkata, PdPR tersebut bertujuan memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan walaupun murid dan pelajar terbabit berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

 “PdPR masih relevan. Anak anak (murid dan pelajar) bersedia, sekolah pun bersedia. 

 “Kalau ada gangguan internet sekali pun, persiapan material berbentuk handout (bahan pembelajaran) boleh diberikan terus oleh guru-guru,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengal, Hulu Dungun di sini semalam. 

 Terdahulu beliau meninjau perjalanan ujian lisan Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) calon sekolah terbabit yang sebelum ini terjejas dengan banjir baru-baru ini ,

Fadlina berkata, kementerian juga telah menggerakkan Pasukan Sokongan Akademik (AST) dan Pasukan Sokongan Pintar (SST) bagi membantu murid dan pelajar sepanjang berada di PPS . 

Beliau berkata, selain membantu kelancaran pembelajaran akademik, kedua-dua pasukan tersebut juga berperanan menyokong emosi murid dan pelajar terjejas banjir.

 “Kita akan menggunakan pendekatan didik hibur. Pendidikan tidak akan terganggu walaupun (murid dan pelajar) ditempatkan di PPS,” katanya. 

 Dalam perkembangan sama, Fadlina memberi jaminan semua kerosakan aset sekolah yang terjejas banjir sebelum ini akan dibaiki sepenuhnya sebelum pembukaan sesi persekolahan baharu tahun hadapan pada pertengahan Februari depan.

Beliau berkata, penggantian perabot seperti meja dan kerusi yang rosak akibat banjir akan diuruskan oleh jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD). 

 “Setakat igian sekolah) daripada JPN. Saya yakin setiap negeri khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah sedang menyiapkannya,” ujarnya

Wednesday, December 25, 2024

Rugi besar akibat banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN, NORLIDA AKMAR IDROS, ROSALWANI CHE SOH dan AIMUNI TUAN LAH

PASIR PUTEH – Hampir ke­semua penduduk di daerah ini pasrah apabila kerugian lebih RM10,000 walaupun sudah bersiap siaga berdepan banjir bagi menge­lakkan harta benda dan kediaman mereka rosak. 

Norhasram Mohamad, 57, berkata, dia mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila kediamannya dinaiki air selepas Kampung Bharu di sini dilanda hujan lebat pada 27 November lalu. 

Katanya, melihat kea­daan itu, dia dan ahli keluarganya segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan membawa dokumen pen­ting selepas air naik mencecah 0.5 meter. 

“Semua barangan hanyut manakala perabot dan peralatan elektrik pula tenggelam. Tiga gitar elektrik dan amplifier terkena air tetapi masih boleh dibaiki. Saya anggarkan kerugian lebih RM10,000 kali ini.

 “Kami penat dan perit untuk menghadapi situasi sebegini walaupun sudah lali dengan bencana yang berlaku saban tahun sejak 2014. Banjir kali ini lebih teruk berbanding 2022,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Menurut Norhasram, suka atau tidak dia perlu menghadap situasi berkenaan dan menyental selut yang ada di dalam rumah secepat mungkin walaupun tahu gelombang kedua akan melanda dalam tempoh terdekat. 

Sementara itu, Abdullah Idris, 56, berkata, dia sudah hilang kata-kata apabila mengalami kerugian berjumlah lebih RM10,000 setiap kali musim tengkujuh.

“Barangan elektrik mudah rosak ketika banjir. Jika boleh baiki, saya hantar ke kedai dan kalau tak boleh maknanya kena beli baharu. 

“Walaupun telah bersedia, kami tidak boleh lari daripada kerugian akibat banjir,” katanya. 

Sementara itu Gua Musang, seorang warga emas di Kampung Limau Kasturi, Azizah Othman, 60, berkata, dia sudah berdepan dengan 30 kali banjir dan 2014 disifatkan paling buruk apabila seluruh rumahnya berdekatan Sungai Galas tenggelam. 

“Saya rugi RM10,000 setiap kali banjir. Saya sudah lali kerana kawasan kampung terletak di kawasan rendah,” katanya. 

Di Jitra, rata-rata penduduk di Taman Tabung Haji di Kepala Batas rugi besar apabila barangan dan rumah rosak selepas dinaiki air melebihi 1.5 meter pada Jumaat lalu. 

Seorang mekanik, Azlan Shah Zakaria, 37, berkata, banyak barang dalam rumah terbalik apabila dia pulang dari PPS kelmarin. 

“Ini banjir paling teruk yang mana banyak barang seperti almari kayu terpaksa dibuang kerana rosak. Saya rugi lebih RM15,000,” katanya. 

Seorang lagi penduduk, Mohd. Aswad Azizan, 37, berkata, dia kerugian lebih RM20,000. 

“Saya dan penduduk mula mencuci rumah dan membuang semua barang yang tidak boleh digunakan lagi,” katanya. 

Di Kuala Nerus, rata-rata keluarga di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak kerugian lebih RM5,000 apabila rumah mereka tenggelam sejak Isnin lalu. 

Abdul Malik Muhammad, 48, berkata, dia tidak sempat mengalihkan peti sejuk, mesin basuh dan perabot kerana air naik mendadak. 

“Saya risau akan rugi lebih besar ketika gelombang yang bakal berlaku Ahad ini. Taman perumahan itu telah banjir sebanyak sembilan kali,” katanya ketika ditemui di PPS SK Komples Gong Badak, Kuala Nerus.

Tuesday, December 24, 2024

Hukuman sebat pesalah khalwat berulang ditangguh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menangguhkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap seorang pesalah kes khalwat berulang yang sepatutnya dijalankan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini esok. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penangguhan itu disebabkan permohonan semakan hukuman tersebut yang difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu kelmarin.

 “Perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah. 

“Permohonan semakan tersebut merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman (syariah),” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Iman, di sini semalam. 

Kosmo! pada 21 November lalu melaporkan, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu memerintahkan Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga duda anak lima dihukum enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga. 

Hukuman sebatan tersebut pertama kali akan dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai di Terengganu kerana sebelum ini ia dilakukan secara tertutup. 

Ujar Muhammad Khalil, permohonan semakan hukuman itu bukan dilakukan tertuduh terbabit tetapi pihak lain. 

 Begitupun beliau tidak menjelaskan pihak yang mengemukakan permohonan semakan itu. 

 Muhammad Khalil menegaskan, penangguhan hukuman sebat terbabit merupakan prosedur biasa dan bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak masuk badan bukan kerajaan (NGO). 

 Beliau juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penangguhan hukuman sebatan terbabit sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada institusi mahkamah syariah.

 “Saya percaya hukuman (sebatan di luar penjara terhadap Mohd. Affendi) akan tetap dilaksanakan pada bulan ini selepas semakan rayuan tersebut selesai sepenuhnya.

 “Hukuman sebatan ini merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir yang bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan masyarakat,” katanya.

Monday, December 23, 2024

Jualan rahmah untuk mangsa musim bah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperbanyakkan program Jualan Rahmah Madani (PJRM) bagi meringankan beban mangsa yang terjejas banjir di seluruh negara. 

 Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tumpuan akan diberikan di kawasan yang baru pulih daripada banjir gelombang pertama baru-baru ini. 

 Beliau berkata, penganjuran PJRM tersebut tersebut bertujuan membantu mangsa banjir terkesan memperolehi barangan keperluan dan makanan pada harga lebih murah daripada pasaran. 

“Kita tahu mereka yang menghadapi bencana (banjir) ini terkesan, menanggung kerugian.

 “Sekurang-kurangnya PJRM dengan harga subsidi antara 10 hingga 30 peratus tersebut sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh di sini semalam. 

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan Bank Makanan kepada 83 calon Sijil Pelajaran Malaysia yang menghuni asrama sekolah terbabit. 

Armizan berkata, pelan kontingensi penganjuran PJRM tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama pejabat cawangan KPDN dan jawatankuasa pengurusan bencana di kawasan terjejas banjir. 

 Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu sebanyak 1,369 peruncit terpilih daerah dan 160 pemborong terpilih daerah di seluruh negara bagi mengelakkan keputusan bekalan barangan keperluan sepanjang musim tengkujuh ini. 

 “Setiap unit akan dibenarkan untuk menyimpan bekalan stok tambahan sehingga kadar 30 peratus daripada had simpanan ditetapkan dalam lesen.

Sunday, December 22, 2024

Penjawat awam Terengganu rugi RM148,000 ditipu pelaburan palsu

 KUALA TERENGGANU – Gara-gara ghairah mahu menjana keuntungan berganda daripada skim pelaburan dalam talian, seorang penjawat awam kerajaan Terengganu kerugian RM148,000 apabila diperdaya sindiket penipuan atau scammer. 

 Lelaki berusia 46 tahun itu yang menyedari tertipu dengan skim pelaburan tidak wujud tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.09 petang kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terenggani, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa menerima tawaran pelaburan dalam talian itu pada 20 Ogos lalu sebelum mula berkomunikasi dengan suspek menerusi WhatsApp pada 4 September lalu. 

 “Mangsa yang tertarik dengan tawaran skim pelaburan dalam talian berkenaan mula mengikuti kelas pelaburan sebelum memuat naik aplikasi diarahkan pada 16 September lalu. 

 “Dia kemudian melunaskan modal pelaburan berjumlah keseluruhan RM138,000 antara 19 September hingga 24 Oktober lalu,” katanya di sini semalam.

 Azli berkata, pembayaran tersebut dilakukan penjawat awam berkenaan menerusi 28 transaksi di dalam tiga akaun bank berasingan diarahkan suspek. 

 Beliau berkata, lelaki itu yang teruja apabila ‘pelaburannya’ berjaya menjana lebih RM1.33 juta cuba mengeluarkan keuntungannya, namun sekadar menerima RM3,400. 

 “Sudahlah begitu, akaun pelaburannya pula kononnya tiba-tiba dibekukan dan dikenakan penalti RM25,000 pada 13 November lalu. 

 “Mangsa sekadar mampu melunaskan RM10,000 sebagai penalti sebelum merasa tertipu dan membuat laporan polis,” jelas beliau.

Saturday, December 21, 2024

Untung Besar

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, NORLIDA AKMAR IDROS dan ROHANA MOHD. NAWI

PETALING JAYA – Pemilik trak tunda di Kelantan, Terengganu dan Kedah meraih pendapatan sehingga RM3,000 sehari pada musim banjir apabila banyak kenderaan yang ditenggelami air perlu ditarik untuk dihantar ke bengkel. 

Dalam tempoh seminggu lalu ketika gelombang pertama banjir, ramai pemilik trak tunda tidak putus-putus menerima panggilan pelanggan yang terkandas di tengah jalan apabila kenderaan mereka rosak akibat meredah banjir. 

Di Kota Bharu, Kelantan, seorang pemilik syarikat trak tunda, Hilimi Mat, 44, berkata, sebelum ini, dia hanya mempe­roleh purata pendapatan RM300 hingga RM500 sehari dengan menarik sebanyak sebuah atau dua buah kenderaan. 

Kata Hilimi, pendapatannya melonjak sehingga ke RM3,000 sehari apabila menunda lebih tujuh buah kenderaan di dua daerah iaitu Kota Bharu dan Tumpat. 

“Upah yang diperoleh untuk menarik sebuah kereta dianggarkan RM300 hingga RM350 bergantung kepada jarak dan saiz kenderaan.

“Bayaran dicaj mengikut jarak ke bengkel. Buat masa ini, saya tidak menang tangan melayan panggilan telefon daripada pemilik kereta yang memerlukan khidmat trak tunda apabila kenderaan mereka tenggelam banjir. 

“Beberapa buah trak tunda saya boleh menarik dan membawa pelbagai jenis kenderaan tidak kira kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna (MPV) atau kereta sedan,” katanya kepada Kosmo! semalam. 

Hilimi memberitahu, dia difahamkan bengkel di kebanyakan kawasan di Tumpat dan Kota Bharu tidak menerima kereta terjejas banjir untuk membuat tuntutan insurans kerana tempat mereka sudah penuh. 

Keadaan itu menyebabkan kenderaan yang rosak terpaksa ditunda ke tempat lebih jauh. 

“Banjir tahun ini te ruk apabila banyak kenderaan terutamanya di Tumpat yang tenggelam kerana air Sungai Golok cepat melimpah minggu lalu,” ujarnya. 

Di Setiu, Terengganu, seorang pengusaha trak tunda, Mohd. Faizal Anwar Abdullah, 24, berkata, dia membuat perkhidmatan menunda kira-kira 100 kenderaan sepanjang tempoh lebih seminggu negeri itu dilanda banjir. 

 Katanya, kebanyakan pelanggannya terkandas apabila tidak dapat melalui Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Permaisuri yang ketika itu ditenggelami air sedalam lebih semeter. 

 “Sebahagian kereta mengalami kerosakan akibat cuba mengharung banjir, manakala selebihnya mahu menggunakan lori trak penunda untuk melepasi laluan ditenggelami air,” ujarnya.

 Menurutnya, bagi perkhidmatan mengharung banjir, dia me ngenakan caj antara RM100 hingga RM150 bagi sebuah kenderaan bergantung pada jarak dan kedalaman air. 

Tambahnya, caj RM250 pula dikenakan bagi kenderaan yang mengalami kerosakan untuk dihantar ke bengkel berhampiran. 

“Ramai juga mahu perkhidmatan meredah banjir kerana jalan alternatif agak jauh selain turut berisiko terjejas banjir juga,” ujarnya.

Di Alor Setar, Kedah, pemandu trak tunda, Muhammad Ayman Joshua, 38, berkata, dia bersama lima lagi pemandu pernah menunda kira-kira 15 kenderaan yang terkandas akibat banjir dalam masa sehari, baru-baru ini. 

“Kami memang sibuk menunda kenderaan sejak bermula banjir pada hujung bulan lalu hingga 2 Disember lepas. 

Kebanyakan kenderaan rosak akibat meredah air yang agak dalam.

 “Boleh dikatakan setiap daripada kami akan menunda antara dua hingga tiga kenderaan tersangkut banjir sehari sepanjang tempoh itu,” katanya. 

Ujarnya, kumpulan trak tundanya hanya mengenakan caj sebanyak RM50 bagi setiap kenderaan terkandas banjir yang dihantar ke bengkel di kawasan berhampiran. 

“Kami mengenakan harga yang lebih rendah berbanding harga biasa iaitu antara RM70 hingga RM80 bagi setiap kenderaan untuk jarak perjalanan sama bagi kes lain sebelum ini. 

“Paling tinggi adalah kira-kira RM500 bagi sebuah kenderaan rosak akibat banjir yang ditunda dari Changlun ke Pulau Pinang,” tambahnya. 

Menurutnya, lokasi paling banyak kenderaan terkandas adalah di sekitar Anak Bukit, di sini apabila jalan utama di situ ditenggelami air. 

“Rata-rata pemandu cuba untuk meredah banjir, namun gagal apabila kenderaan ‘mati’ di tengah jalan,” jelasnya. 

Tambahnya, ada pemandu trak tunda yang mengenakan harga lebih tinggi iaitu sehingga RM300, namun ia berdasarkan jarak ke lokasi bengkel, keadaan banjir di sesebuah lokasi serta jenis trak tunda yang digunakan. 

“Bagi pengusaha trak tunda, kami juga terpaksa menanggung kos untuk servis kenderaan terutama selepas meredah banjir,” jelasnya. 

Pada 30 November lalu, Kosmo! melaporkan hampir kesemua negeri terjejas banjir melibatkan lebih 90,000 mangsa dengan Kelantan paling teruk terjejas. 

Jumlah mangsa banjir terus meningkat melebihi 150,000 orang yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum bilangannya menurun. 

Sehingga pukul 4.30 petang semalam, jumlah mangsa tinggal 758 orang di lima negeri, namun langkah berjaga-jaga terus diambil ekoran gelombang seterusnya dijanka berlaku pada masa terdekat.

Friday, December 20, 2024

Pelajar kolej, bapa didakwa berkhalwat

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

 KUALA TERENGGANU – Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam, atas pertuduhan berasingan melakukan persediaan persetubuhan haram dan berkhalwat bersama pasangan masing-masing. 

Mat Husin Sulaiman, 53, yang merupakan tukang urut dan pasangannya, Aslina Razali, 37, didenda RM4,500 atas kesalahan melakukan persediaan persetubuhan luar nikah oleh Hakim Syarie Mohd. Nazri Yusof. 

Anak perempuannya, Nurul Hadhari, 20, dan pasangannya, Che Mohammad Aidil Hakim Rozali, 20, didenda masing-masing RM3,000 dan RM4,000 oleh Hakim Syarie Hamidi Syafie atas kesalahan berkhalwat buat kali kedua. 

Berdasarkan pertuduhan, Mat Husin dan Aslina didakwa melakukan persediaan persetubuhan luar nikah di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Daud di sini pukul 5.25 petang, 19 Mei lalu. 

Mengikut fakta kes, Mat Husin berkain batik, manakala pasangannya yang masih isteri orang didapati bertuala sewaktu diserbu pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022). 

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil Hakim pula didakwa berkhalwat buat kali kedua di sebuah rumah pangsapuri di Jalan Batas Baru di sini, pukul 4.14 pagi, 18 Mac lalu.

 Mengikut fakta kes, Che Mohammad Aidil Hakim bertindak melarikan diri dengan keluar dari tingkap bilik air sebelum terjun dari tingkat tiga rumah pangsapuri tersebut. 

 Mereka yang kini sudah bergelar suami isteri sejak Julai lalu didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (Pindaan 2022). 

Sebelum ini, Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil ditangkap berkhalwat buat kali pertama di lokasi sama pada 1 Februari lalu. 

Mereka yang masih bergelar pelajar kolej masing-masing didenda RM1,900 dan RM2,000 bagi kesalahan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 21 Oktober lalu.

 Pendakwaan kes Mat Husin dan Aslina dikendalikan Pendakwa Syarie, Nurul Taqwa Hasbu, manakala Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Nik Mohd. Shahril Irwan Mat Yusof pula mengendalikan kes Nurul Hadhari dan Che Mohammad Aidil Hakim.

Thursday, December 19, 2024

5 stesen pemancar telekomunikasi masih belum beroperasi

 

KUALA NERUS – Banjir yang melanda sejak pertengahan bulan lalu menjejaskan 323 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara. 

 Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, masih terdapat lima stesen pemancar telekomunikasi berkenaaan yang masih belum dapat beroperasi. 

 “Setakat semalam (kelmarin), 323 stesen pemancar telekomunikasi telah terkesan (banjir). 

(Sebanyak) 264 di Kelantan, Terengganu (49), Pahang (sembilan) dan Johor (satu).

 “Sebanyak 318 (stesen pemancar telekomunikasi) telah beroperasi semula (manakala) lima masih belum,” katanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini semalam. 

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) Bersama Siswa. 

 Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, banjir terbabit turut menjejaskan 97 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di seluruh negara.

 Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, sembilan Nadi berkenaan masih belum dapat beroperasi. 

 Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih belum menerima sebarang aduan penularan berita palsu berhubung banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut. 

Beliau berkata, biasanya MCMC akan bertindak proaktif memadamkan kandungan berita palsu atau tidak tepat secara automatik. 

“Kita risau dengan ledakan informasi dan maklumat di media sosial. Pengguna media sosial mungkin terlalu mudah percaya maklumat yang disampaikan kepada mereka. 

 “Saya mohon supaya buat pengesahan berdasarkan laporan rasmi daripada media arus perdana,” katany

Wednesday, December 18, 2024

Saya letak jawatan untuk kukuhkan PN – Ahmad Samsuri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini dengan niat untuk memperkuatkan lagi gabungan tersebut.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, tindakannya bagi memperkukuhkan lagi PN agar menjadi gabungan politik yang lebih kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi.

“Tulisan penganalisis politik di pelbagai ruangan sosial media, media cetak (berkaitan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN) beri perspektif masing-masing.

“Saya rangkumkan semua (tindakannya) adalah usaha untuk memperkuat dan memperkukuh PN supaya menjadi kuasa baharu menghadap pilihan raya (PRU16) yang lebih kuat dan mampu menjadi alternatif yang jauh lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” katanya di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Terdahulu beliau meletakkan jawatan pada Rabu lalu selepas dua hari dilantik sebagai Bendahari Agung PN yang dikatakan sebagai protes Pas terhadap monopoli kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Majlis Tertinggi PN.

Ahmad Samsuri begitupun masih belum bersedia untuk mendedahkan peletakan jawatannya dalam PN tersebut sama ada keputusannya sendiri atau arahan dan strategi parti Pas.

Beliau memberitahu kepimpinan Pas sedang berusaha mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

“Saya tak nak beri komen lagi (alasan meletakkan jawatan). Peringkat ini kepimpinan (Pas) sedang menguruskan perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

TFC mahu terus kekal momentum

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

TERENGGANU FC mahu meneruskan momentum kemenangan yang dilakar sebelum ini dengan menjinakkan Kelantan Darul Naim FC (KDN) dalam derbi Pantai Timur pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbadaran Selayang hari ini. 

Pemangku jurulatih TFC, Badrul Afzan Razali berkata, skuad kendalian wajib untuk mengutip tiga mata penuh dalam pertemuan tersebut bagi kembali bersaing merebut kedudukan tiga teratas liga. 

 “Kita telah berjaya menamatkan kemarau kemenangan selama ini dengan tiga perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super dan Piala Malaysia terakhir. 

 “Sehubungan itu, kita kena kutip tiga mata penuh (kemenangan) dengan KDN bagi mengejar kembali kedudukan liga, “ katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam. 

 Badrul Afzan berkata, skuad kendaliannya juga telah membuat persiapan beraksi dalam hujan lebat memandangkan cuaca tidak menentu ketika ini. 

 Tambah beliau, mereka telah mengambil pengajaran daripada aksi kedua pusingan pertama Pia la Malaysia menentang Melaka FC Jumaat lalu yang menyaksikan rentak permainan terjejas teruk akibat padang lecak dan basah. 

 Selain itu Badrul Afzan berkata, penggiliran pemain yang diamalkan skuad Sang Penyu pada masa ini banyak memainkan peranan dalam membantu meningkatkan tahap kecergasan anak-anak buahnya.

 Beliau percaya rangkaian pemain TFC seperti Safawi Rasid. Akhyar Rashid, Nelson Wilfredo Bonilla dan Nurillo Tukhtasinov akan menjadi tonggak penting bagi untuk menjinakkan pasukan jiran di laman lawan.

PdPR buat pelajar terjejas banjir diteruskan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

 DUNGUN – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk murid dan pelajar terjejas banjir gelombang seterusnya sepanjang musim tengkujuh ini yang masih berbaki hingga bulan Mac tahun hadapan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, PdPR tersebut bertujuan memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan walaupun murid dan pelajar terbabit berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

“PdPR masih relevan. Anak-anak (murid dan pelajar) bersedia, sekolah pun bersedia.

“Kalau ada gangguan Internet sekalipun, persiapan material berbentuk handout (bahan pembelajaran) boleh diberikan terus oleh guru-guru,” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengal, Hulu Dungun di sini hari ini.

Menurutnya, KPM juga telah menggerakkan Pasukan Sokongan Akademik (AST) dan Pasukan Sokongan Pintar (SST) bagi membantu murid dan pelajar sepanjang mereka berada di PPS .

Beliau berkata, selain membantu kelancaran pembelajaran akademik, kedua-dua pasukan tersebut juga berperanan menyokong psikosial dan emosi murid dan pelajar terjejas banjir berkenaan.

“Kita akan menggunakan pendekatan didik hibur. Pendidikan tidak akan terganggu walaupun (murid dan pelajar) ditempatkan di PPS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina memberi jaminan semua kerosakan aset sekolah yang terjejas banjir sebelum ini akan dibaiki sepenuhnya sebelum pembukaan sesi persekolahan baharu tahun hadapan pada pertengahan Februari depan. – KOSMO! ONLINE


Tuesday, December 17, 2024

Pesalah khalwat Terengganu tetap kena sebat 27 Disember ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hukuman sebat di khalayak ramai terhadap pesalah khalwat berulang yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu baru-baru ini bakal dilaksanakan pada 27 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, itu juga kekal dilangsung selepas solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini.

Beliau berkata, panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu sebulat suara bersetuju keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pesalah menetapi Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa permohonan semakan dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

“Hukuman enam kali sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya denda gagal dibayar, sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dikekalkan,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! 21 November lalu melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu  memerintahkan Mohd. Affendi Awang, 42, yang juga duda anak lima dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.

Hukuman sebatan tersebut pertama kali akan dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai di Terengganu kerana sebelum ini ia dilakukan secara tertutup.

Begitupun hukuman yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember lalu terpaksa ditangguhkan sementara ekoran semakan pelaksanaan hukuman yang dipohon terhadap Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu beberapa hari sebelum itu. – KOSMO! ONLINE

Peniaga kedai makan terpedaya pelaburan palsu rugi RM50,450

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpengaruh dengan tawaran keuntungan tidak masuk akal, seorang peniaga kedai makan berputih mata kerugian RM50,450 diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 53 tahun tersebut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 5.09 petang kelmarin setelah menyedari dirinya tertipu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa tertarik dengan satu skim pelaburan yang dilihatnya pada pukul 10 pagi, 30 November lalu.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi Telegram sebelum dijanjikan keuntungan RM23,000 kononnya bagi setiap RM1,000 pelaburan dibuat.

“Dia yang tertarik telah mengisi butiran peribadinya secara dalam talian seperti diarahkan suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, peniaga kedai makan tersebut kemudiannya memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM50,450 sebagai modal pelaburannya.

Beliau berkata, pembayaran itu dilakukan menerusi lapan transaksi di dalam empat akaun bank berasingan antara 30 November hingga 5 Disember lalu.

“Mangsa akhirnya sedar dirinya tertipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Komisen RM44,995 tak dapat, peniaga rugi RM55,204 ditipu scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu ghairah untuk mengaut komisen lumayan, seorang peniaga kerugian RM55,204 diperdaya sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud minggu lalu.

Wanita berusia 32 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 10.19 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang menetap di Manir di sini tertarik dengan peluang kerja sambilan apabila melayari sebuah laman web pada pukul 9.30 pagi, 9 Disember lalu.

“Dia kemudiannya menekan pautan diberikan setelah mengisi butiran peribadi sebelum berkomunikasi dengan suspek menerusi aplikasi Telegram.

“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membayar RM30 kononnya sebagai yuran pendaftaran selain butiran akaun bank,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azli berkata, peniaga wanita tersebut yang teruja menerima komisen RM50 telah berjaya melakukan tugasan pertama telah membayar pelaburan tambahan RM200 untuk tugasan kedua bagi memperolehi komisen RM270.

Tambah beliau, mangsa yang semakin ghairah telah menambah pelaburan RM7,500 dengan janji kononnya bakal memperolehi keuntungan komisen RM13,250.

“Walaupun tidak memperolehi komisen dijanjikan, mangsa tetap menekan pautan dalam aplikasi diberikan suspek sebelum didakwa bakal memperolehi bonus dan komisen keseluruhan RM44,995.

“Begitupun dia gagal melakukan pengeluaran komisen dan bonus dijanjikan walaupun menyelesaikan semua tugasan kerja sambilannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, suspek memberi alasan kononnya peniaga wanita tersebut telah menyelesaikan tugasnya di luar tempoh masa ditetapkan.

Beliau berkata, sepanjang melakukan kerja sambilan tersebut, mangsa telah melakukan sembilan transaksi berjumlah keseluruhan RM55,204 di dalam empat akaun bank berbeza diarah suspek antara 9 hingga 12 Disember lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir semakin pulih, mangsa di empat negeri menurun

 PETALING JAYA – Situasi banjir di empat negeri semakin pulih dengan jumlah mangsa bah di pusat pemindahan sementara (PPS) hanya tinggal 322 mangsa daripada 97 keluarga. 

Di Terengganu, banjir gelombang seterusnya yang melanda negeri berkenaan sejak Isnin lalu hampir pulih sepenuhnya dengan mangsa yang menghuni PPS hanya tinggal empat orang. 

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 2 petang, empat sekeluarga tersebut berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kerteh, Kemaman. 

“Baki 76 mangsa lain telah pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat setelah banjir surut sepenuhnya,” katanya. 

Terdahulu, seramai lebih 5,000 penduduk di daerah Kemaman dan Dungun terjejas dengan banjir gelombang seterusnya yang melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu.

 Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perak mencatatkan bilangan mangsa banjir terbanyak iaitu seramai 220 orang daripada 68 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di dua PPS iaitu masing-masing di daerah Manjung dan Perak Tengah.

 Sementara di Johor pula, seramai 40 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di dua PPS dengan daerah terlibat, Segamat. 

Mangsa banjir di Pahang, seramai 58 orang daripada 16 keluarga dengan kesemuanya ditempatkan di empat PPS.

 Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang bermula Isnin hingga Khamis ini. 

Menurutnya, amaran itu susulan taburan hujan yang dijangka tinggi, berpotensi mengakibatkan banjir kilat, tanah runtuh, dan risiko lain di kawasan rendah serta berhampiran sungai.

3,951 mangsa banjir di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu menurun sedikit kepada 3,951 orang daripada 907 keluarga di dua daerah iaitu Kemaman dan Dungun.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 907 keluarga tersebut berada di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah berkenaan.

“Mangsa teramai di Kemaman iaitu 3,761 orang daripada 862 keluarga yang berada di lapan PPS.

“Dungun pula masih mempunyai 190 mangsa daripada 45 keluarga yang masih berlindung di empat PPS,” katanya di sini hari ini.

“Dungun pula masih mempunyai 190 mangsa daripada 45 keluarga yang masih berlindung di empat PPS,” katanya di sini hari ini.

Banjir gelombang ketiga kembali melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE

Monday, December 16, 2024

Hospital Bersalin Razif bukan saya punya – Ahmad Razif

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abd. Rahman terkejut diserang netizen dengan mengaitkan beliau dengan Hospital Bersalin Razif (HBR) yang didakwa menyimpan mayat bayi selama 16 hari dipercayai disebabkan bapanya tidak dapat menuntut ekoran kesempitan wang.

Beliau menjelaskan hospital swasta yang terletak di Klang, Selangor tersebut bukan miliknya walaupun mempunyai persamaan nama dengannya.

“Mohon bertenang semua. Bertalu-talu saya terima mesej dan komen di media sosial, ramai pakat marah saya.

“Saya bukan pemilik Hospital Bersalin Razif. Salah orang itu, saya cuma ada Pusat Rehabilitasi Kuala Nerus,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya hari ini.

Ahmad Razif juga menegaskan beliau tidak memiliki sebarang kepentingan mahupun pemilikan saham dalam mana-mana hospital bersalin setakat ini.

Terdahulu tular kisah satu mayat bayi lelaki didakwa ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk menuntut jenazah tersebut.

Kisah pilu itu dimuat naik pada Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang mengambil tanggungjawab untuk menguruskan jenazah bayi berkenaan.

HBR dalam kenyataannya pula menyangkal dakwaan tersebut dengan menjelaskan bapa bayi lelaki berkenaan telah dimaklumkan oleh doktor untuk menguruskan pengebumian anaknya keesokan hari selepas kematiannya. – KOSMO! ONLINE

Lima stesen pemancar telekomunikasi masih ditenggelami banjir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Banjir musim tengkujuh yang melanda sejak pertengahan bulan lalu telah menjejaskan 323 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, masih terdapat lima stesen pemancar telekomunikasi berkenaaan yang masih belum dapat beroperasi.

“Setakat semalam, 323 stesen pemancar telekomukasi telah terkesan (banjir). (Sebanyak) 264 di Kelantan, Terengganu (49), Pahang (sembilan) dan Johor (satu).

“Sebanyak 318 (stesen pemancar telekomunikasi) telah beroperasi semula (manakala) lima masih belum,” katanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (Hawana) Bersama Siswa.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, banjir terbabit turut menjejaskan 97 pusat sebaran maklumat nasional (Nadi) seluruh negara.

Beliau berkata, sembilan Nadi berkenaan masih belum dapat beroperasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) masih belum menerima sebarang aduan penularan berita palsu berhubung banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini. – KOSMO! ONLINE

Mangsa banjir Terengganu tinggal 290 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin memulih dengan tinggal 290 mangsa di Kemaman dan Dungun.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa daripada 72 keluarga tersebut masih berlindung di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua daerah tersebut.

“Seramai 254 mangsa daripada 64 keluarga masih berada di empat PPS di Kemaman.

“Dungun pula masih mempunyai 36 mangsa daripada lapan keluarga,” katanya di sini hari ini.

Banjir gelombang ketiga kembali melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu dengan lebih 5,000 penduduk terjejas di daerah Kemaman dan Dungun. – KOSMO! ONLINE

Dungun pulih, mangsa banjir Terengganu tinggal 230 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semalam semakin memulih dengan tinggal 230 mangsa di Kemaman.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun telah pulih daripada banjir dengan 36 mangsa daripada lapan keluarga yang terjejas sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 4 petang tadi.

“Kesemua 230 mangsa daripada 58 keluarga tersebut masih berlindung di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.

“Mereka berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Kerteh, Balai Raya Beris Nenas, Balai Raya Meraga Beris dan Balai Raya Padang Kemunting,” katanya di sini hari ini.

Banjir gelombang ketiga kembali melanda Terengganu bermula lewat malam Isnin lalu dengan menjejaskan lebih 5,000 penduduk di daerah Kemaman dan Dungun. – KOSMO! ONLINE