Translate

Friday, July 31, 2020

TDM bakal tawar produk baharu berkaitan rawatan Covid-19

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Bhd. yang memiliki empat rangkaian hospital di negara ini sedang membuat persiapan untuk menawarkan perkhidmatan baharu berkaitan rawatan dan pencegahan Covid-19.

Pengerusinya, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, strategi itu bertujuan untuk mengembangkan lagi pertumbuhan pendapatan kumpulan selain mempelbagaikan lagi punca pendapatan bagi menghadapi cabaran dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini.

“Perkhidmatan baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-55 TDM di sini semalam.
TDM memiliki empat rangkaian hospital di Kuala Terengganu; Kuantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.

Selain itu, Raja Idris menjelaskan, prestasi anak syarikat kerajaan negeri Terengganu bagi suku pertama tahun ini agak memberangsangkan apabila masih mencatatkan pertumbuhan sebanyak tiga peratus.
“Sektor peladangan dan kesihatan yang diterajui TDM telah berjaya menyumbang pendapatan sebanyak RM107.8 juta pada suku pertama tahun ini.

“Ia peningkatan tiga peratus berbanding RM104.7 juta yang diperolehi pada suku tahunan sebelumnya,” jelas beliau.
Sementara itu, bagi sektor perladangan, TDM akan memberi tumpuan meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran yang disokong asas-asas jangka panjang,” katanya.

Ladang kelapa sawit TDM aplikasi teknologi GIS dan UAV

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Kumpulan TDM Berhad menerusi anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. mengaplikasi teknologi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV) dalam penanaman semula di semua ladang kelapa sawit milik syarikat itu.

Pengerusi TDM, Raja Datuk Idris Raja Kamarudin berkata, pelaksanaan teknologi tersebut dimulakan dengan Ladang Pelung, Sungai Tong di sini.

“Penggunaan teknologi GIS dan UAV dengan dron dan imej satelit merupakan konsep baru yang telah digunapakai dalam industri perladangan.

“Ia bertujuan memaksimumkan potensi hasil melalui kepadatan tanaman yang optimum, ” katanya menyaksikan proses penanaman semula pokok kelapa sawit di Ladang Pelung, Sungai Tong di sini hari ini.

Idris berkata, penggunaan teknologi GIS dan UAV juga bertujuan untuk meningkatkan teknik penyediaan tanah dengan mereka bentuk ladang daripada segi infrastruktur, teres dan tempat penanaman.

Beliau berkata, inovasi tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif TDM Plantation untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan serta prosedur pertanian baik.

“Ia sebagai inisiatif untuk menangani cabaran industro semasa seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

“Program penanaman semula menggunakan teknologi GIS dan UAV ini akan diperluas di ladang-lain milik TDM di seluruh Terengganu seperti Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan keluasan keseluruhan kira-kira 1,440 hektar,” katanya. – K! ONLINE.

Thursday, July 30, 2020

Buruh pindah lembu tanpa kebenaran didenda RM2,500

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memindahkan haiwan ternakan lembu tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), seorang buruh didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noradila Ab. Latif memerintahkan demikian terhadap Roslan Said, 32, selepas lelaki yang berasal dari Kampung Darat Batu Rakit, Kuala Nerus itu membuat pengakuan bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memindahkan empat lembu dari kandang di Kampung Mengabang Panjang ke arah Kampung Pecah Rotan, Kuala Nerus.

Perbuatan yang didakwa dilakukan tertuduh dengan menggunakan sebuah lori jenis Isuzu berlaku pada pukul 10.25 pagi, 8 Mac lalu.

Roslan didakwa mengikut Para (i) (b) Perintah di bawah Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Terengganu).

Ia boleh dihukum mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Terengganu sedia program khusus bantu bekas atlet

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu yang cakna dengan kebajikan atlet sedang merangka program khas untuk membantu kelangsungan hidup golongan itu selepas bersara.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program khusus itu bertujuan untuk membantu bekas atlet mendapat pekerjaan baru selain terlibat dalam bidang kejurulatihan.

“Rata-rata atlet dalam disiplin sukan apa pun hanya akan nampak bidang kejurulatihan sebagai kerjaya baru selepas bersara sedangkan posisi itu sebenarnya agak terhad.

“Sehubungan itu, kita akan sediakan program untuk golongan itu untuk membantu mereka merancang pelan kehidupan selepas persaraan,” katanya selepas hadir majlis meraikan kejayaan pasukan Ragbi Terengganu menjuarai Piala Agong dan kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan di Kuala Terengganu malam tadi.

Pada majlis itu, Wan Sukairi menyerahkan wang insentif berjumlah RM150,000 kepada Yang Dipertua Persatuan Ragbi Terengganu, Amir Amri Muhammad atas pencapaian cemerlang tersebut.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk merangka program membantu bekas atlet berkenaan baru-baru ini.  – K! ONLINE

Wednesday, July 29, 2020

28 lelaki kena denda RM560,000

KEMAMAN – Seramai 28 lelaki didenda RM20,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan terlibat dalam aktiviti sabung ayam pada Jumaat lalu.

Hakim Azman Mustaffa menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh yang berusia 20 hingga 57 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Empat tertuduh iaitu Suwarno Katono, 56; Muhamad Rizuandi Jusoh, 33; Kamarudin Che Soh, 34; dan Mohd. Yuszy Mohd. Yusof, 40, didakwa atas pertuduhan melaga ayam.

Bagi kesalahan itu, keempat-empatnya didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Baki 24 tertuduh lain termasuk dua lelaki warga Indonesia didakwa atas pertuduhan hadir menonton aktitviti melaga ayam yang dibuat mengikut Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara selama enam bulan ke atas Suwarno, Muhamad Rizuandi, Kamarudin dan Mohd. Yuszy sekiranya mereka gagal membayar denda.

Azman turut memerintahkan 24 tertuduh yang lain dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua tertuduh gagal membayar denda dan dihantar ke Penjara Marang.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok tidak bernombor di Jalan Ibok, Ayer Jerneh di sini pada pukul 12 tengah hari, 3 Julai lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Santuari Kelah Tasik Kenyir tambah empat pelantar ikan baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Santuari Kelah yang merupakan antara tarikan utama di Tasik Kenyir dekat sini dijangka mampu menarik kehadiran 500 pengunjung sehari pada tahun hadapan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, pada masa ini kedatangan pengunjung telah dihadkan kepada hanya 100 orang sehari berikutan penularan pandemik Covid-19 dan kekangan infrastruktur.

“Sebelum ini, Santuari Kelah mampu menampung kehadiran 300 pengunjung sehari namun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, ia dihadkan kepada 100 sahaja bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu.

“Walaupun dihadkan, sambutan pengunjung amat luar biasa dengan 8,000 orang telah melawat Santuari Kelah dalam tempoh sebulan sejak PKPP dilaksanakan pada 10 Jun lalu,” katanya kepada pemberita di Tasik Kenyir dekat sini semalam.

Razali berkata, kebanyakan pengunjung tersebut terpaksa menunggu giliran untuk ‘bermain’ dengan kumpulan ikan kelah di Lubuk Kejar, Sungai Pertang memandangkan cuma satu pelantar disediakan setakat ini.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, sehubungan itu, Ketengah sebagai agensi bertanggungjawab mengawal selia Tasik Kenyir bercadang mahu menambah empat lagi pelantar di Santuari Kelah demi keselesaan pengguna.

“Penambahan pelantar ini bukan sahaja membolehkan Santuari Kelah menerima lebih ramai lagi pengunjung malah bertujuan mengurangkan risiko ikan-ikan kelah di lubuk terbabit mengalami keletihan dan tekanan.

“Ketengah juga bercadang untuk menyediakan kemudahan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) bagi golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai pengangkutan ke lubuk dari terminal bot agar turut sama dapat menikmati keseronokan ‘bermain’ dengan ikan kelah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Razali berkata, Ketengah turut akan menyediakan SOP khusus yang lebih ketat kepada pengunjung agar lebih berhemah sewaktu bermandi-mandi bersama ikan-ikan kelah terbabit supaya tidak memberi kemudaratan kepada haiwan tersebut.

Santuari Kelah yang telah dibuka sejak tahun 2008 menawarkan tiket kemasukan RM10 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak manakala bagi bukan warga negara pula, caj RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) dikenakan tidak termasuk perkhidmatan transit bot dan makanan ikan. – K! ONLINE

Penolong Kanan Pendaftar UMT rasuah dipenjara lima tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bahana mengambil suapan sebagai dorongan meluluskan kerja-kerja pembekalan, seorang pegawai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan Fazrul En. Hassan, 41, yang merupakan Penolong Kanan Pendaftar Pusat Pengajian Sains Asas UMT turut di denda RM89,600 selepas didapati bersalah ekoran pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Fazrul didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan daripada sebuah syarikat perabot sebagai dorongan meluluskan kerja-kerja pembekalan 14 set kerusi dan meja simen berjumlah RM17, 920.

Perbuatan tersebut di dakwa dilakukan tertuduh di Pusat Pengajian Sains Asasi UMT, Kuala Nerus pada 12 April 2018.

Dia di dakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Warung sarapan terkenal gagal patuh SOP

KUALA TERENGGANU – Sebuah warung sarapan pagi terkenal yang sering menjadi tumpuan ramai di Jalan Panji Alam di sini diarahkan tutup selama tiga hari sehingga Khamis ini oleh Pejabat Kesihatan Terengganu berikutan kegagalan mematuhi arahan penjarakan sosial.

Tindakan penguatkuasaan tersebut turut dikenakan terhadap sebuah kedai nasi dagang tersohor di Batu Burok di sini yang dikompaun RM1,000.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, dua premis makanan itu merupakan sebahagian daripada 117 restoran dan kedai makan di seluruh negeri ini yang dikenakan tindakan sepanjang penguatkuasaan Ops. Patuh Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) sejak 19 Julai lalu.

“Premis makanan terbabit didapati melakukan kesalahan seperti tidak menjarakkan meja pelanggan sejauh sekurang-kurangnya dua meter dan tidak merekod butiran dan suhu pelanggan serta pekerja.

“Setakat ini, 108 premis makanan telah dikenakan kompaun makala 98 daripadanya pula diarahkan tutup antara tiga hingga tujuh hari mengikut keseriusan ketidakpatuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di sebuah warung sarapan pagi terkenal di Jalan Panji Alam di sini hari ini.

Nor Azimi berkata, setakat ini, pihaknya yang telah melakukan pemeriksaan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 terhadap 3,317 premis makanan di seluruh Terengganu. – K! ONLINE

Penjual jam tangan tiruan ditahan KPDNHEP

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Hasrat seorang peniaga mahu mencari keuntungan mudah dengan menjual jam tangan berjenama tiruan tidak kesampaian apabila premisnya di serbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Serbuan pada pukul 12 tengah hari itu berjaya merampas 125 unit jam tangan berjenama tiruan terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,500.

Ketua Cawangan KPDNHEP Besut, Azani Ismail berkata, operasi serbuan di rumah suspek berusia 29 tahun yang turut dijadikan perniagaan tersebut turut di sertai wakil syarikat jam tangan berjenama terbabit.

“Sebelum itu, syarikat tersebut yang memiliki cap dagang produk itu membuat aduan selepas mengesyaki jam tangan yang dijual suspek berkemungkinan palsu.

“Sehubungan itu, serbuan berkenaan berjaya merampas semua barang tiruan yang disyaki palsu terbabit selain menahan peniaga tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azani berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Menurut beliau, lelaki itu berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -K! ONLINE

Golden Pharos teroka perniagaan cip kayu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU -Golden Pharos Berhad (Golden Pharos) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mengambil pendekatan meneroka peluang perniagaan baru dalam industri hiliran pembalakan sebagai inisiatif untuk mengurangkan impak negatif Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos, Datuk Nadza Abdul berkata, dua cabang industri hiliran pembalakan itu ialah pemprosesan produk cip kayu dan pembinaan stesen janakuasa mini hidro.

“Cip kayu tersebut akan diproses daripada lebihan ranting dan dahan pokok balak yang selama ini tidak dioptimumkan penggunaannya.

“Selain itu, Golden Pharos juga mahu memanfaatkan aliran deras sungai-sungai yang terdapat di dalam kawasan konsesi balak kami dengan membina stesen janakuasa mini hidro,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Golden Pharos di sini hari ini.

Golden Pharos mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.98 juta bagi tahun kewangan 2019 disebabkan pasaran lemah dalam industri kaca, kelewatan aktiviti pembalakan dan penggunaan standard perakaunan baharu.

Nadza berkata, kedua-dua projek bagi menjana pendapatan syarikat berkenaan kini dalam peringkat penyediaan laporan kajian kebolehlaksanaan.

Beliau berkata, Golden Pharos juga mengambil pendekatan memanfaatkan insentif kerajaan dan pembekuan perbelanjaan kos tidak penting bagi menangani impak negatif pandemik Covid-19.

“Biar pun amat terkesan dengan pandemik Covid-19, kebajikan 446 kakitangan kami terjamin kerana Golden Pharos tidak pernah bercadang untuk melaksanakan skim pemberhentian pekerja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Nadza berkata, Golden Pharos juga akan menerbitkan penerbitan saham keutamaan boleh tebus patuh syariah berjumlah 12 juta unit untuk melunaskan semua hutang syarikat itu terhadap pemegang saham terbesar, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd.

Ujar beliau, penyelesaian hutang itu bukan sahaja menjadikan Golden Pharos bebas hutang malah aliran tunainya bakal bertambah baik selain meningkatkan nilai aset syarikat. – K! ONLINE

Monday, July 27, 2020

Polis tumpas sindiket dadah RM1.5 juta didalangi tiga beranak

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Tembelang sebuah keluarga yang tiba-tiba menjadi kaya-raya sejak setahun setengah lalu terbongkar selepas penahanan tiga sekeluarga di Taman Rayhat Makmur, Chukai di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 1.45 pagi itu, seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan bersama isterinya dan anak sulungnya yang masing-masing berusia 48 tahun dan 22 tahun kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, serbuan itu berjaya merampas ketulan kristal dan pil yang disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda, wang tunai dan pelbagai kenderaan yang bernilai keseluruhan kira-kira RM1.5 juta.

“Serbuan tersebut berjaya menemui tujuh paket berisi kristal disyaki syabu dan 51 paket berisi 10,098 biji pil dipercayai pil kuda yang dijumpai di dalam laci gerobok kayu di salah sebuah bilik di rumah mereka.

“Wang tunai RM321,000 yang tersimpan di dalam almari pakaian turut di sita selain 14 kenderaan termasuk kereta mewah seperti Nissan Fairlady, BMW 5 Series dan motosikal Y15,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.

Roslee berkata, serbuan kedua di sebuah rumah berhampiran pada pukul 6 petang hari sama pula telah menemui wang tunai berjumlah RM7,415 namun pemiliknya yang dipercayai rakan sejenayah keluarga itu berjaya melarikan diri. – K! ONLINE

Peniaga roti di tahan disyaki jual tambah nilai judi online


Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kedai roti di Kampung Che Wan, Kijal, Kemaman ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti menjual tambah nilai judi online secara haram,  Ahad lalu.

Dalam serbuan pukul 3.45 petang, wanita berusia 43 tahun itu ditahan ketika disyaki sedang melakukan urus niaga menjual tambah nilai judi online dengan seorang pelanggan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pelanggan tersebut yang merupakan seorang lelaki berusia 28 tahun turut diberkas bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek berselindung di sebalik perniagaan menjual roti dan barangan runcit yang beroperasi di rumahnya bagi aktiviti penjualan tambah nilai judi atas talian terbabit.

“Kebanyakan pelanggan suspek dipercayai terdiri daripada penduduk yang menetap di beberapa kawasan rancangan felda di sekitar Chukai, Kemaman,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan memberitahu, pihaknya merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama yang disyaki digunakan dalam aktiviti menjual tambah nilai judi online itu.

Katanya, wang tunai berjumlah RM55 dipercayai hasil kegiatan haram itu turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4B (a) akta sama.

“Tenaga Nasional Berhad juga telah diarahkan untuk melakukan operasi pemotongan bekalan elektrik di premis suspek mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – K! ONLINE

Qiusha makin laku, dikenali ramai


  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

TEMPAHAN dibatalkan pada saat akhir, perjanjian ulasan berbayar ditunda dan pergerakan terbatas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah antara cabaran yang semakin mendewasakan Nur Asha Nathyrah Hasbie, 25.

Cabaran itu membuatkan gadis yang mempunyai 87,000 pengikut di Instagram tersebut langsung tidak mengalah dan berusaha keras untuk berjaya.

Berkat kesabaran, dia yang lebih dikenali sebagai Qiusha Hasbie semakin mendapat kepercayaan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk melakukan ulasan berbayar.

Ikuti temu bual Kosmo! Ahad dengan anak jati Wakaf Beruas, Kuala Terengganu itu.

Kosmo! Ahad: Bagaimana akaun Instagram Qiusha boleh dikenali dan diikuti ramai?

QUISHA HASBIE: Saya gemar memuat naik foto-foto menarik termasuk swafoto pakaian untuk hari ini (OOTD) di Instagram membuatkan ramai yang tertarik dan mula mengikut saya.

Bagaimana saudari mendapat keyakinan untuk berswafoto OOTD di Instagram?

Saya menerima pendedahan awal dalam dunia peragaan apabila menyertai pertandingan Ikon Hijabista di Kuala Terengganu pada 2012. Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk menjadi usahawan online dan pengulas produk berbayar sepenuh masa.

Mengapa memilih akaun Instagram untuk mengembangkan perniagaan?

Setiap kali saya memuat naik foto-foto OOTD, saya sering ditanya tentang busana dan alat komestik digunakan. Dari situlah saya mendapat idea untuk berkongsi tips penjagaan wajah dan menjual produk-produk tersebut.

Tidak kekok untuk berniaga?

Saya memang suka berniaga sejak kecil kerana mengikut jejak langkah keluarga.


Apakah produk yang dijual?

Saya menghasilkan produk bedak asas jenama sendiri selain pakaian wanita, alat komestik, minyak wangi dan makanan.

Apakah pengalaman berharga yang diperoleh?

Apabila perkhidmatan dan produk jualan kita mendapat kepercayaan pelanggan. Sambutan yang memberangsangkan dan tidak putus-putus meningkatkan motivasi saya untuk terus berniaga online dan melakukan ulasan berbayar. Bagaimanapun, penularan wabak Covid-19 telah membataskan aktiviti perniagaan sehingga beberapa tempahan ulasan berbayar terpaksa ditunda.

Apa pendekatan saudari untuk menambat hati pelanggan?

Saya melayani setiap pelanggan dengan sopan dan mesra. 

Boleh kongsi pengalaman berniaga dalam situasi PKP?

Banyak pendekatan perniagaan terpaksa diubah. Kebanyakan sesi swafoto OOTD dan ulasan berbayar terpaksa dilakukan di dalam rumah sahaja.

Apa perancangan masa depan?

Saya mahu terus belajar menajamkan lagi kemahiran melakukan ulasan produk. Nasihat kepada yang ingin menjadi Instafamous Kita perlu memiliki keyakinan diri yang tinggi dan jangan hirau kutukan orang.

LPT2 jadi ‘litar’ lumba haram

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kegilaan lumba haram dalam ka­langan remaja di negeri ini kembali menjadi-jadi dan tidak terkawal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan beberapa minggu lalu.

Lebih membimbangkan apabila golongan digelar mat rempit ini telah menjadikan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) sebagai litar haram untuk menunjukkan aksi masing-masing.

Masalah rempit sering dikaitkan dengan aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan telah menjadi trend dalam ka­langan golongan muda sejak sekian lama.

Ketua Polis Terengganu, Da­tuk Roslee Chik berkata, pihaknya mendapati berlaku peningkatan kes berkaitan aktiviti merempit sejak kelonggaran diberikan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

“Saya tidak tolak kemungkinan golongan mat rempit ini mungkin mahu melepaskan ‘gian’ selepas hampir tiga bulan ‘terkurung’ di rumah kerana PKP.

“Kita memandang serius me­ngenai peningkatan aktiviti me­rempit ini kerana bukan sahaja membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya malah boleh menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini.

Untuk rekod, budaya merempit yang pernah memberi imej buruk kepada Terengganu berjaya dikurangkan sehingga 95 peratus berikutan strategi jitu dan berterusan oleh kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara tahun 2015 hingga 2018.

Roslee berkata, seramai 62 individu berusia lingkungan 16 hingga 32 tahun telah ditahan di seluruh negeri sepanjang tempoh PKP setakat 23 Jun lalu.

Katanya, berdasarkan pemantauan, LPT2 dikenal pasti menjadi antara lokasi kegemaran kumpulan mat rempit untuk mempamerkan aksi selain me­nguji kemampuan motosikal ma­sing-masing.

“Apa yang kita bimbangkan apabila ramai mat rempit yang ditahan adalah positif dadah.

“Kita juga tidak tolak kemungkinan aktiviti merempit ini turut menyebabkan berlakunya pe­ningkatan kes seperti kecurian motosikal,” katanya.

LPT2 sepanjang 185 kilometer bermula dari Jabur, Terengganu dan berakhir di Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu. Ia merupakan lebuh raya bertaraf tinggi dengan empat lorong dua hala dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti 10 persimpangan bertingkat.

Dalam pada itu, Roslee memaklumkan pihaknya telah me­ngarahkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri agar mengerakkan Unit Risikan Operasi yang juga dikenali sebagai Skuad 42 bagi mengetatkan lagi pemantauan aktiviti merempit.

Ujar beliau, pemantauan tersebut bukan sahaja melibatkan LPT2 malah jalan-jalan ne­geri terutama Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

“Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga mat rempit dalam kalangan bawah umur seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Buruh aniaya lembu didenda RM30,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Perbuatan kejam seorang buruh pada minggu lalu sanggup menetak seekor lembu yang sepatutnya dikorbankan pada Aidiladha tidak lama lagi berbalas apabila dia didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Wan Azimah Yaacob memerintahkan Adnan Muhammad, 37, menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menetak seekor lembu jantan dengan sebilah parang sehingga menyebabkan kecederaan parah pada bahagian ekor, punggung dan kepala haiwan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan demikian di tepi sebuah kandang lembu milik sepupu lelakinya berusia 56 tahun di Kampung Gerai Muda, Jerteh di sini pada pukul 6 pagi, 21 Julai lalu.

Adnan didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Veterinar, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – K! ONLINE

Sunday, July 26, 2020

JBPM sedia laksana semula sanitasi awam

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk melakukan semula sanitasi awam bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 tempatan yang kini dilihat kembali menunjukkan trend peningkatan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, JBPM sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Majlis Keselamatan Negara berhubung perkara tersebut.

“Sebelum ini, kita sudah melakukan sanitasi awam secara menyeluruh tetapi apabila (Perintah Kawalan Pergerakan) dilonggarkan berlaku kelalaian dalam masyarakat sehingga kes (harian) Covid-19 kembali mencatatkan dua digit sejak akhir-akhir ini.

“Kalau sanitasi awam itu boleh membantu mengekang penularan semula Covid-19, kenapa tidak untuk kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2020 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohammad Hamdan Wahid. – K! ONLINE

Dua kakitangan UniSZA didakwa 34 pertuduhan kemuka tuntutan palsu

Oleh MOHD AZLI ADLAN


KUALA TERENGGANU – Dua kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 34 pertuduhan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu berhubung penyelenggaraan kenderaan jabatan yang tidak wujud berjumlah keseluruhan RM37,879 pada sembilan bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd Amir Hafizudin Zakaria, 31, dan Wan Saiful Kudri Che Wan Ahmad, 38, yang masing-masing merupakan pembantu tadbir kewangan dan pembantu akauntan universiti itu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memperdaya Penolong Akauntan UniSZA dengan mengemukakan tuntutan palsu bagi pembekalan, pemasangan dan penyelenggaraan kenderaan-kenderaan jabatan universiti itu.

Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Bendahari UniSZA, Gong Badak, Kuala Nerus dari Oktober hingga Disember 2019 .

Mohd. Amir Hafizudin dan Wan Saiful Kudri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Suri rumah didakwa ugut jiran























































































  • Oleh MOHD AZLI ADLAN




























































































































  • MARANG – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat ugutan jenayah terhadap anak jirannya pada minggu lalu.

    Tertuduh, Noor Aini Mohammad, 35, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nur Ain Engku Muda.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengugut untuk mencederakan seorang wanita berusia 25 tahun yang juga anak jirannya dengan sebilah parang.

    Noor Aini didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan rumah mangsa yang terletak di Taman Sri Payong, Padang Mengkuang di sini pada pukul 6.45 petang 13 Julai lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Difahamkan kejadian berpunca daripada salah faham selepas Noor Ain menyangka mangsa memarahi anak perempuannya selepas kucing peliharaan mereka memasuki rumah jirannya. – K! ONLINE.