Oleh MOHD AZLI ADLANTAHUN 2021 mungkin memori yang mahu dilupakan oleh pengiat pelancongan tempatan termasuk di Pantai Timur.
Pemulihan daripada impak negatif penularan pandemik Covid-19 yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya kes positif Covid-19 meningkat mendadak sehingga memaksa operasi sektor pelancongan dihentikan ekoran penutupan sempadan negeri seawal bulan Februari lagi.
Pembukaan semula rentas negeri pada bulan Oktober lalu bukanlah berita terlalu menggembirakan, memandangkan ia terlalu hampir dengan ketibaan musim tengkujuh.
Ramai penggiat pelancongan khususnya di rangkaian pulau peranginan di Terengganu tiada pilihan, selain mengambil risiko beroperasi pada monsun Timur Laut yang sudah bermula pada awal November lalu demi kelangsungan perniagaan.
Malangnya, baru hendak ‘bernafas’, sektor pelancongan khususnya diuji lagi dengan bencana banjir besar yang melanda negara termasuk sebahagian Pahang pada 18 Disember lalu.
Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin mengakui, bencana banjir tersebut memberi tamparan buat sektor pelancongan di Pantai Timur.
Beliau berkata, banyak produk pelancongan khususnya di Janda Baik, Bentong, Lanchang, Temerloh, Gambang dan Kuantan di Pahang serta Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan yang mengalami kerosakan akibat banjir.
“Kemusnahan itu mengakibatkan kerugian besar mencecah puluhan juta ringgit,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hafiz berkata, penggiat pelancongan Terengganu juga tetap menerima tempias secara tidak langsung walaupun situasi banjirnya pada masa ini tidak kronik seperti negeri-negeri lain.
Ujar beliau, impak jangka pendek ialah ramai pengunjung sukar ke Terengganu berikutan akses terhadap disebabkan penutupan banyak jalan utama yang ditenggelami banjir.
“Bencana banjir ini juga dikhuatiri akan memberi kesan jangka sederhana berhubung kemasukan pelancong ke Pantai Timur termasuk Terengganu.
“Kita boleh jangka ramai yang merancang untuk melancong terpaksa membatalkannya. Sebaliknya tumpuan kewangan akan diberikan untuk membaiki dan mengganti aset yang rosak akibat bencana itu,” katanya.
Hafiz berkata, kemungkinan itu secara tidak langsung memberi cabaran besar sektor pelancongan pada tahun 2022 kerana kebergantungan terhadap pengunjung domestik amat tinggi dalam tempoh dua tahun ini.
Selain itu, beliau menambah sukar untuk menarik pelancong asing pada masa terdekat ekoran peningkatan kes varian baharu, Omicron di peringkat global.
“Sehubungan itu, inisiatif pakej rangsangan dicadang untuk membantu penggiat agar dapat bangkit secepat mungkin.
“Harapan tahun 2022 sepatutnya cerah kerana berdasarkan kaji selidik dalam pelancong asing dan domestik yang telah melawat Pulau Langkawi baru-baru ini, destinasi pilihan untuk program gelembung pelancongan kedua ialah Pantai Timur khususnya Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, semua pihak perlu berganding bahu bagi menghidupkan semula sektor pelancongan.
Beliau berkata, kerosakan yang dialami penggiat pelancongan akibat bencana banjir perlu dibaiki dan dipulihkan segera.
“Kita perlu bangkit untuk menghidupkan semula sektor pelancongan. Ini harus dilakukan bersama oleh semua pemegang taruh berkepentingan,” katanya. -K! ONLINE