Translate

Thursday, November 23, 2023

UMT bantu orang buta tanam melon

KUALA NERUS – Cacat penglihatan bukan halangan buat 10 ahli Persatuan Cacat Penglihatan Terengganu (SBM) untuk menceburi pertanian tanaman Melon Manis Terengganu (MMT). 

 Pengerusi SBM, Mohd. Imranfaisal Zulkifli berkata, mereka menanam buah tersebut dengan tunjuk ajar pakar sains tanaman dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). 

“Sebelum mula bertani, kami menyertai kursus jangka pendek bagi mempelajari teori penanaman MMT pada bulan Ogos lalu. 

 “Modul kaedah penanaman MMT telah diterjemahkan dalam tulisan braille bagi memudahkan lagi pemahaman kami,” katanya di kebun MMT di Teluk Ketapang, di sini semalam. 

 Beliau memberitahu, penanaman dan penjagaan kebun MMT itu dilakukan peserta program Petani Buta sendiri dengan bantuan ahli keluarga masing-masing. 

 Katanya, projek perintis tersebut yang telah berjalan kira-kira tiga bulan lalu sudah boleh dituai semalam.

 “Alhamdulillah tuaian sulung mengeluarkan 150 biji buah yang purata berat setiap biji 1.3 kilogram. Jualan kesemua buah MMT hasil tuaian itu dijangka mencecah RM1,500,” ujarnya. 

 Penyelidik Sains Tanaman Fakulti Perikanan dan Sains Tanaman UMT, Dr. Wan Zaliha Wan Sembok berkata, projek Petani Buta adalah pemindahan ilmu bagi membantu golongan orang kelainan upaya dalam menjaja pendapatan sampingan. 

 Beliau berkata, ia merupakan inisiatif berterusan UMT membantu golongan memerlukan meningkatkan pendapatan masing-masing.

No comments:

Post a Comment