Translate

Monday, November 13, 2023

‘Pengusaha resort tak peduli notis arahan’

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

 BESUT – Majlis Daerah Besut (MDB) tidak pernah menutup mata isu runtuhan resort yang sedang dalam pembinaan di Pulau Perhentian, sebaliknya akan mengambil undang-undang kepada pengusaha yang terlibat. 

Yang Dipertua MDB, Mohd. Sukeri Ibrahim berkata, tindakan perundangan terhadap pihak terbabit sedang diteliti bersama pegawai undang-undang. 

 “Bukan kita sengaja ‘tutup mata’ sebelum ini, malah dua notis arahan pemberhentian kerja pembinaan telah dikeluarkan MDB. 

 “Notis itu telah dikeluarkan pada tahun 2020 dan 2022 setelah mendapati kewujudan projek pembinaan bangunan restoran di resort yang dilakukan tanpa kebenaran,” katanya semalam. 

 Mohd. Sukeri berkata, apa yang dikesalkan pengusaha resort berkenaan didakwa tidak mengendahkan arahan MDB sehinggalah berlaku runtuhan pada Khamis lalu. 

 Tegas beliau, walaupun ia dibina di tanah persendirian, sebarang pembinaan struktur masih memperlukan kelulusan pelan bangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 

 Kosmo! kelmarin melaporkan, MDB telah menolak permohonan kebenaran merancang dan kelulusan pembangunan projek daripada pengusaha resort berkenaan pada 12 September 2021. 

Mohd. Sukeri berkata, antara alasan penolakan ialah projek pembinaan tidak mendapat kelulusan dasar daripada Unit Perancang Ekonomi (Upen) kerajaan negeri dan tiada kebenaran merancang daripada Perancang Bandar Berdaftar. 

 Bangunan restoran tiga tingkat setinggi kira-kira sembilan meter itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi Khamis lalu. 

 Runtuhan tersebut menimbus tujuh buruh binaan iaitu enam warga asing dan seorang lelaki tempatan yang sedang nyenyak tidur di dalam tapak pembinaan yang hampir siap berkenaan. 

 Mayat pertama dikenali sebagai Suparno, 48, berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.15 petang, Jumaat lalu setelah hampir 35 jam tertimbus.

 Ketua Polis Daerah Besut, Superindentan Abdul Rozak Mohamad berkata, mangsa kedua dikenali sebagai Bahul Jamil, 42, pula menghembuskan nafas terakhir sewaktu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan pada pukul 2.14 pagi semalam.

No comments:

Post a Comment