Translate

Saturday, April 1, 2023

Mahkamah: Abdul Hadi tampil beri keterangan petisyen Parlimen Marang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil sebagai saksi ketiga perbicaraan petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Marang di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang tersebut memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Beliau yang ditemui selepas prosiding di luar mahkamah berkata, telah memberi kerjasama baik dengan memberi keterangan selama hampir sejam.

“Tiada apa apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden), peguam dia (pempestiyen).

“Insya-Allah tidak melibatkan kesalahan undang-undang pilihan raya,” katanya di sini hari ini.

Abdul Hadi mendakwa, petisyen yang dikemukakan BN terengganu itu sekadar perang saraf setelah gagal memenangi kerusi Parlimen Marang pada PRU15 lalu.

Kosmo! 12 Februari lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang difailkan calon BN.

Sebelum itu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – KOSMO! ONLINE

UniSZA, SMK Seri Nilam terima kemudahan perpustakaan Digital YBR

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan ruang khas perpustakaan digital, Serambi Ilmu Rakyat (SIR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Kuala Terengganu.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pemilihan UNISZA dan SK Seri Nilam bertujuan memudahkan pelajar universiti dan sekolah di Pantai Timur tersebut mengakses maklumat secara digital.

Beliau berkata, universiti dan sekolah terbabit masing-masing menerima set komputer, meja dan 50 kad akses keahlian e-perpustakaan.

“Projek ruang SIR telah bermula pada tahun lalu melibatkan peruntukan RM350,000 setahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital daripada pembekal.

“SMK Seri Nilam merupakan sekolah pertama terlibat dalam projek SIR,” katanya sewaktu menghadiri perasmian ruang SIR UNISZA yang disempurnakan Naib Canselornya, Prof. Dr. Fadzli Adam di sini hari ini.

Syaiful Rizal berkata, sebelum ini. YBR lebih memfokuskan penyediaan ruang SIR tersebut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, YBR berharap ruang tersebut dimanfaatkan pelajar universiti dan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan tugasan diberi pensyarah dan guru masing-masing.

“Ruang SIR adalah platform untuk mencari bahan-bahan digital dan informasi terkini untuk pembelajaran mereka.

“Ia menggalakkan pelajar terbabit kerap ke perpustakaan kerana ruang SIR menyediakan hab pendidikan tanpa sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terengganu benarkan imam luar negara tarawih asalkan bertauliah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai halangan sekiranya pengurusan masjid dan surau di negeri ini menjemput imam luar negara pada bulan Ramadan ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, imam luar negara terbabit dibenarkan untuk mengimamkan solat tarawih di rumah-rumah ibadat Islam di negeri ini asalkan memiliki tauliah yang sah.

“Permohonan (imam solat tarawih) perlu dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Badan itu akan melakukan tapisan (untuk memperolehi tauliah). Kerajaan negeri Terengganu secara dasarnya tiada halangan,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui ketika menyampaikan bantuan sekali bayar kepada 141 imam dan bilal skim Mubaligh seluruh Terengganu.

Kosmo! 20 Mac lalu melaporkan kerajaan negeri Selangor menyekat imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau seluruh negeri itu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pendekatan itu bagi memberi laluan sepenuhnya kepada graduan tahfiz tempatan.

Begitupun di Terengganu sudah menjadi kelaziman menjemput imam luar negara khususnya dari Timur Tengah untuk mengimarahkan masjid dan surau di negeri ini sepanjang bulan Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Orang Terengganu gelisah tak cukup telur ayam

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu mula menghadapi masalah kekurangan bekalan telur ayam pada minggu pertama bulan Ramadan ini dengan hanya 400,000 biji berada di pasaran pada setiap hari.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, bekalan telur ayam tersebut tidak memadai dengan permintaan harian penduduk negeri ini iaitu kira-kira satu juta.

Beliau berkata, bekalan sebanyak 400,000 biji telur ayam itu juga jauh lebih rendah berbanding 600,000 biji sehari yang dibekalkan di negeri ini sebelum ketibaan bulan Ramadan.

“Terengganu tidak mempunyai industri ayam penelur dan terpaksa membawa masuk telur daripada negeri-negeri lain se­perti Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, dan Pe­rak.

“Begitupun permintaan tinggi di negeri pengusaha telur ayam terbabit pada masa ini menyebabkan mereka terpaksa menumpukan pasaran tempatan menyebabkan bekalan di Terengganu telah berkurangan secara drastik,” katanya di sini semalam.

Saharuddin berkata, penurunan bekalan sehingga 33 peratus tersebut telah memberi kesan lebih besar kepada pengguna.

Jelas beliau, ia disebabkan permintaan telur ayam turut meningkat mendadak dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dan pengusaha biskut raya tempatan.

“Begitupun, pemeriksaan mendapati telur ayam masih boleh diperolehi pengguna de­ngan hanya masing-masing satu pemborong dan peruncit di ne­geri ini yang benar-benar sudah kehabisan stok.

“Kebanyakan pemborong juga telah mengambil inisiatif me­nempah daripada pengusaha dengan bayaran tunai agar bekalan telur ayam kekal stabil di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, Saharuddin menasihatkan pengguna terutama golongan peniaga tempatan tidak melakukan pembelian panik yang akan memburukkan lagi keadaan.

Beliau juga bertegas agar pemborong dan peniaga agar tidak ambil kesempatan menaikkan harga kerana telur ayam merupakan barangan kawalan.

“Kita akan sentiasa pantau pembekal dan pemborong di negeri ini,” jelasnya.

Majlis agama pantau aktiviti amil palsu kutip zakat fitrah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menasihatkan umat Islam di negeri ini berhati-hati agar tidak terperdaya menunaikan zakat fitrah kepada amil tidak bertauliah.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Prof Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, pihaknya pernah menerima aduan berhubung kewujudan amil palsu pada bulan Ramadan tahun lalu.

Beliau memberitahu, siasatan telah dilakukan namun malangnya tindakan penguatkuasaan tidak dapat diambil berikutan kekurangan bukti.

“Begitupun, saya ingin ingatkan perbuatan mengutip dan membayar zakat termasuk zakat fitrah merupakan satu kesalahan.

“Hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 boleh dikenakan mengikut Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Adnan berkata, Maidam hanya mengiktiraf 954 amil yang telah melepasi saringan ketat Maidam.

Dalam pada itu, Ahmad Azrin memberitahu, kaunter zakat Maidam termasuk pandu lalu akan beroperasi setiap hari mulai 2 April hingga 21 April depan.

“Tiga kadar ditetapkan bagi zakat fitrah pada tahun ini mengikut jenis beras yang dimakan iaitu RM8, RM10 dan RM24 seorang,” katanya.

Pembayaran zakat fitrah di Terengganu boleh dilakukan secara online melalui portal ezakat.maidam.gov.my bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat fitrah pada bil-bila masa.- KOSMO! ONLINE

Wednesday, March 15, 2023

Penduduk Kampung Pulau Bahagia diserang ribuan ulat bulu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Pulau Bahagia, Manir di sini ‘diserang’ ribuan ulat bulu yang tiba-tiba muncul dari dua batang pokok mangga bersebelahan Masjid Pulau Bahagia di sini sejak Isnin lalu.

Seorang penduduk, Wan Mohd. Zulhilmi Wan Mohd. Zaidan, 32, berkata, pada mulanya ulat bulu itu cuma memakan daun-daun pokok mangga tersebut sehingga hampir gondol.

Katanya, mereka hanya pe­rasan apabila ulat-ulat bulu tersebut mula merayap ke beberapa rumah penduduk berhampiran termasuk rumah ibu mentua, Zaroni Salleh, 58, berhampiran.

“Tambah membimbangkan, serangga perosak itu kemudiannya memenuhi kawasan pekarangan masjid bersebelahan,” katanya di Kampung Pulau Bahagia, Manir di sini semalam.

Menurutnya, serangan ulat bulu itu menyebabkan tingkap dan pintu masjid kini terpaksa ditutup sentiasa bagi mengelakkan serangga tersebut memasuki ruangan solat.

“Kami risau ulat bulu boleh menyebabkan penyakit kulit se­perti gatal-gatal dalam kalangan penduduk.

“Apatah lagi pada waktu kehadiran lebih ramai jemaah termasuk dalam kalangan kanak-kanak pada solat Jumaat hari ini (semalam),” katanya.


Katanya lagi, dia telah mengambil inisiatif menyembur racun serangga perosak bagi mengurangkan populasi ulat bulu tersebut pada Selasa lalu.

“Walaupun sedikit berkurangan, ulat bulu itu tidak terhapus sepenuhnya kerana cepat membiak. Seingat saya, ini kali pertama kampung ini diserang ulat bulu sejak saya lahir lebih 30 tahun lalu.

“Saya sedang berbincang dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung untuk menebang dua pokok mangga yang menjadi sarang ulat bulu ini sebagai ikhtiar menghapuskan sepenuhnya serangan ulat bulu ini,” ujarnya.

Tuesday, March 14, 2023

Menu eksotik cicak tokek goreng masuk pasaran negara

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebih 10 tahun dahulu, cicak tokek pernah menjadi buruan sehingga harganya melonjak kepada jutaan ringgit seekor gara-gara dakwaan kononnya mampu me­ngubati penyakit AIDS.

Kegilaan itu terhenti beberapa tahun lalu selepas dakwaan me­ngenai khasiat haiwan tersebut disahkan palsu oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Begitupun, cicak tokek atau nama saintifiknya gekko gecko kini dikeringkan dan dijadikan pula snek makanan.

Produk makanan berasal dari Indonesia berkenaan mula di­promosi di pasaran negara ini secara dalam talian dan dijual menerusi platform-platform e-dagang baru-baru ini.

Daging cicak tokek goreng yang berharga kira-kira RM38 sebungkus itu digambarkan bukan sahaja lazat malah didakwa berkhasiat.


Berdasarkan ketera­ngan produk, peniaga terbabit mendakwa amalan memakan cicak tokek mampu mengubati penyakit seperti asma, diabetes, kanser dan kulit serta bersifat antitumor.

Seorang ibu, Nur Farahdiba Mansor, 35, berkata, dia serba-salah apabila anak kecilnya berusia lapan tahun terliur mahu merasai cicak tokek goreng ber­kenaan.

“Anak saya ternampak iklan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan sebayanya berselera menikmati cicak tokek goreng bersama nasi.

“Sudah pasti saya tidak sanggup memberi makan haiwan itu kepada keluarga. Jenuh saya menerangkan kepada anak ia tidak boleh dimakan dan haram di sisi agama,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Abdul Raof Mamat, 47, pula berkata, produk cicak tokek kering dari Indonesia tersebut menggunakan jenama mesra Muslim.

Sehubungan itu, dia bimbang ramai pengguna Islam tempatan terutama generasi muda boleh terkeliru membelinya.


“Kita sedia maklum, biasanya orang muda gemar mencuba menu makanan baharu apatah lagi yang tular.

“Begitupun setahu saya, terdapat fatwa yang mengharamkan pemakanan cicak tokek walaupun untuk perubatan,” katanya.

Abdul Raof berkata, dia juga difahamkan pengambilan cicak tokek yang hanya terdapat di Asia Tenggara dan timur laut India serta Bangladesh boleh menjejaskan kesihatan kerana beracun. -KOSMO! ONLINE

Monday, March 13, 2023

Tasik Kenyir bakal jadi Taman Geo Kebangsaan ke-9

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara semakin hampir untuk menerima pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan kesembilan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, cadangan yang telah dikemukakan sejak 2018 itu kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Pasukan Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan baru selesai melakukan penilaian terhadap potensi Tasik Kenyir sebagai Taman Geo Kebangsaan.

“Saya difahamkan penilaian itu akan dibentang di Putrajaya sebelum keputusannya dijangka diumumkan seawal September depan,” katanya pada hari ter­akhir penilaian tersebut di Kuala Berang, di sini semalam.

Setakat ini, lapan kawasan yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan ialah Langkawi dan Jerai, Kedah; Lembah Kinta dan Lenggong, Perak; Mersing, Johor; Kinabalu, Sabah; Labuan dan Gombak-Hulu Langat, Se­langor.

Ujar Tun Ahmad Faisal, status Taman Geo Kebangsaan tersebut bakal melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir.

Katanya, ia secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli.

“Pengurusan Taman Geopark Tasik Kenyir nanti akan dilaksanakan secara bersama oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Majlis Daerah Hulu Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah.

“Selain itu, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu dan Jabatan Pelancongan negeri turut terlibat secara langsung dalam pengurusan Taman Geo berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, cadangan untuk memohon status Taman Geo Kebangsaan telah bermula pada 2010, namun permohonan rasmi hanya dibuat lapan tahun kemudian.

Jelas beliau, ia disebabkan beberapa isu teknikal seperti keluasan Tasik Kenyir yang terlalu besar iaitu 209,000 hektar dan bakal melibatkan terlalu banyak agensi pelaksana. -KOSMO! ONLINE

Sunday, March 12, 2023

Tasik Kenyir semakin hampir diisytihar Taman Geo Kebangsaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara semakin hampir untuk menerima pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan kesembilan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, cadangan yang telah dikemukakan sejak tahun 2018 tersebut kini dalam peringkat akhir untuk diluluskan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

“Pasukan Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan baru selesai melakukan penilaian terhadap potensi Tasik Kenyir sebagai Taman Geo Kebangsaan.

“Saya difahamkan penilaian itu akan dibentang di Putrajaya sebelum keputusannya dijangka diumumkan seawal bulan September depan,” katanya pada hari terakhir penilaian tersebut di Kuala Berang di sini hari ini.

Setakat ini, lapan kawasan yang sudah mendapat pengiktirafan sebagai Taman Geo Kebangsaan ialah Langkawi dan Jerai, Kedah; Lembah Kinta dan Lenggong, Perak;
Mersing, Johor; Kinabalu, Sabah; Labuan dan Gombak-Hulu Langat, Selangor.

Tun Ahmad Faisal berkata, status Taman Geo Kebangsaan tersebut bakal melonjakkan lagi nilai pelancongan dan ekonomi Tasik Kenyir.

Tambah beliau, ia secara tidak langsung akan meningkatkan sosio-ekonomi komuniti setempat yang terdiri daripada masyarakat luar bandar dan Orang Asli. – KOSMO! ONLINE

Tangan pencari ikan darat cedera digigit buaya

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga ikan darat berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor anak buaya di kawasan paya di Padang Papan, Manir di sini pada kelmarin.

Kejadian pada pukul 7.25 malam itu menyebabkan tangan mangsa, Che Man Zakaria, 61, yang digigit haiwan reptilia tersebut menerima 12 jahitan.

Menceritakan detik cemas tersebut, Che Man memberitahu, sewaktu kejadian, dia yang melakukan rutin menangkap ikan di paya berkenaan sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat maghrib.

“Sewaktu saya mencangkung untuk mengambil wuduk tiba-tiba seekor buaya dipercayai spesies tembaga seberat lebih 50 kilogram menyambar tangan kanan saya.

“Ia menyebabkan saya turut terjatuh ke dalam paya berkenaan yang sedalam kira-kira 1.7 meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir di sini hari ini.

Che Man berkata, dia bernasib baik buaya sepanjang dua meter itu melonggarkan gigitannya yang membolehkan dirinya kembali berenang naik ke tebing paya untuk menyelamatkan diri.

“Saya kemudiannya menggagahkan diri dalam keadaan tangan kanan berlumuran darah untuk menunggang motosikal pulang ke rumah.

“Salah seorang anak selepas itu telah membawa saya ke Klinik Kesihatan Manir di sini sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Saturday, March 11, 2023

Ujian berganda jari kena potong, diserang strok

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ujian menimpa seorang suri rumah apabila suami yang menjadi tulang belakang keluarga diuji de­ngan masalah kesihatan berterusan sejak setahun lalu.

Nor Afida Akma Mohamad, 44, berkata, suaminya, Mohd. Nor Aziz, 46, yang membuat kerja pe­rangkap burung atau jebak untuk menyara keluarga diserang strok di rumah mereka di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu pada Jumaat lalu.

“Serangan (strok) itu berlaku tiba-tiba pada waktu maghrib (Jumaat lalu) menyebabkan pergerakan suami menjadi lemah dengan bahagian muka kirinya herot. Saya panik terus meminta pertolongan jiran dan ahli keluarga terdekat,” katanya di sini semalam.

Nor Afida memberitahu, suaminya, Mohd. Nor yang merupakan bekas graduan Universiti Islam Antarangsa Malaysia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dengan ambulans.

Ibu kepada tiga anak berusia lapan hingga 14 tahun itu memaklumkan sebelum ini, dua jari kaki suaminya telah dipotong akibat komplikasi diabetes kronik pada Mac tahun lalu.

“Saya tidak menyangka kami diuji lagi dengan kesihatan suami dalam tempoh hampir setahun selepas dua jari kakinya dipotong, walau bagaimanapun kami reda dengan ujian ini.

“Walaupun masih lemah dan pertuturannya tidak lancar, suami masih sempat mengingatkan saya tentang tempahan jebak yang masih belum dihantar kepada pelanggan,” kata wanita itu.


Nor Afida menambah, suaminya rungsing kerana perlu berehat lama daripada membuat jebak kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan mereka sekeluarga.

Wanita itu cuba menenangkan suaminya dan berjanji akan mengambil alih tanggungjawab menghasilkan jebak sehingga kesihatan pasangannya kembali pulih.

“Kehidupan perlu diteruskan apatah lagi kelengkapan persekolahan dan persiapan raya anak-anak perlu disediakan.

“Saya tidak pernah berhenti berdoa agar suami yang sedang menerima rawatan di HSNZ kembali sihat seperti sediakala,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan menerusi akaun Agrobank Mohd. Noor bernombor 2-00-6561-00013992-8 atau menghubungi Nor Afida Akma di talian 011-36599550.

Projek RTB akan guna kaedah reka dan bina

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pembinaan projek rancangan tebatan banjir (RTB) bagi mengurangkan impak banjir di lokasi dikenal pasti di seluruh negara termasuk di Johor bakal dibangunkan dengan kaedah reka dan bina.

Ketua Pengarah JPS. Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, kaedah tersebut digunakan kerana ia lebih cepat dan berkesan dalam pembinaan seesuatu projek berbanding konvensional.

“Kita perlu guna kaedah reka dan bina kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu cepat (projek disegerakan).

“(Projek RTB) memang sudah ada dalam senarai (pelaksanaan),” katanya ketika ditemui pada majlis Makan Malam Institut Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Terengganu di sini malam tadi.

Md. Nasir berkata, kaedah reka dan bina juga boleh menjimatkan lagi kos pembinaan RTB berkenaan.

Jelas beliau, proses tender RTB akan disegerakan pada masa terdekat sebelum projek-projek tersebut dimulakan dalam tempoh dua minggu selepas kelulusan diterima.

“RTB tersebut perlu disiapkan segera memandang masalah banjir terutama di Johor sering berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, March 10, 2023

Lesen motosikal percuma buat belia Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu meneruskan program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) secara percuma kepada golongan belia negeri buat kali ketiga bermula bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, LMTS siri ketiga tersebut menyasarkan 15,000 belia berusia 18 hingga 40 di seluruh negeri terbabit.

“Kita telah menyediakan peruntukan RM4.56 juta bagi pelaksanaan program berkenaan yang dijangka akan berlarutan hingga akhir tahun.

“Belia Terengganu berdaftar yang layak akan dibiayai kos mendapatkan lesen menunggang motosikal iaitu B2 bernilai RM310 seorang termasuk insurans,” katanya ketika ditemui pada pertandingan boling, Golek Santai bersama media di sini malam tadi.

Wan Sukairi berkata, kos yang dibiayai kerajaan negeri Terengganu tersebut merangkumi bayaran pendaftaran, ujian berkomputer, latihan sehingga ujian praktikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, belia Terengganu yang berpendapatan maksimum RM1,500 sebulan boleh memohon program LMTS menerusi portal, https://ibantuan.terengganu.gov.my.

“Pendaftaran bagi program itu dibuka dari 6 Mac sehingga 20 Mac ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Kerjasama MISA, Ranaco Marine perkasa TVET

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Ranaco Marine Sdn. Bhd. (Ranaco Marine) menjalin kerjasama strategik dengan Akademi Kemahiran Perindustrian Malaysia (MISA) dalam pengambilan pelajar dalam bidang maritim, minyak dan gas.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Marine, Ahmad Firdhaus Ramlan berkata, MISA bertanggungjawab menyebar luas lima kursus berkaitan maritim, minyak dan gas ditawarkan pihaknya.

“MISA merupakan rakan strategik yang terlibat secara langsung dalam hebahan iklan tawaran kursus, sesi penerangan dan temuduga calon pelajar Ranaco Marine.

“Kami menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 550 pelajar bagi kesemua lima kursus ditawarkan sepanjang tahun ini,” katanya di kampus Ranaco Marine di Jakar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Pegawai Eksekutif MISA, Siti Fatimah Hussin di kampus Ranaco Marine.

Ahmad Firdhaus berkata, Ranaco Marine merupakan pusat latihan maritim, minyak dan gas swasta yang menawarkan kursus peringkat sijil dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Walaupun cuma peringkat sijil dan singkat, modul latihan kami amat komprehensif dan diperakui pemain industri tempatan. Kita sentiasa membuka ruang generasi muda selaras dengan saranan kerajaan untuk memperkasa latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET),” katanya. – KOSMO! ONLINE

PDRM digesa siasat kenyataan Abdul Hadi sanggah Sultan Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah menyanggah titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang melarang aktiviti bersifat politik kepartian di masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sepatutnya akur dengan ketetapan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkuatkuasa Jumaat lalu tersebut.

“Arahan (Maidam) jelas melarang ahli politik menyampaikan kuliah di masjid dan surau demi mengelakkan institusi suci umat Islam itu dicemari unsur politik kepartian.

“Begitupun, Abdul Hadi menyanggah (titah Sultan Terengganu) dan menyatakan akan terus berkuliah (di masjid),” katanya selepas
membuat laporan polis berhubung kenyataan Abdul Hadi tersebut di Ibu Pejabat Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! Sabtu lalu melaporkan Maidam melarang semua ahli politik menyampaikan ceramah, kuliah atau pengajaran agama dan menjadi imam serta khatib solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh Terengganu.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ketetapan itu diambil sebagai menzahirkan rasa dukacita Sultan Mizan terhadap tindakan segelintir ahli politik tersebut yang terus berbuat demikian tanpa kebenaran.

Abdul Hadi kemudiannya dilaporkan bertegas mahu meneruskan ceramah di masjid dan surau di negeri ini kerana beranggapan politik dan agama tidak boleh dipisahkan. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, March 7, 2023

Restoran, hotel bersaing tawar bufet Ramadan

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD SHARKAWI LONDING, MOHD AZLI ADLAN dan SITI A'ISYAH SUKAIMI

PETALING JAYA – Tinggal kira-kira tiga minggu lagi sebelum umat Islam berpuasa, kebanyakan pengusaha restoran dan hotel di seluruh negara semakin rancak mengatur strategi termasuk ‘berperang’ promosi bufet Ramadan bagi menarik lebih ramai pelanggan. 

Ada pengusaha restoran yang menawarkan bufet serendah RM40 seorang pada tahun ini selain memberi lebih tumpuan kepada bilangan pelanggan yang datang secara berkumpulan terutama membabitkan agensi dan syarikat korporat. 

Bagi pengusaha hotel pula, mereka mempertaruhkan air tangan cef-cef terkenal dalam menyediakan pelbagai hidangan menarik yang pastinya…

Monday, March 6, 2023

Turun sewa tapak bazar Ramadan Rahmah, harga makanan lebih murah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menawarkan pengurangan kadar sewa tapak premis di Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara pada bulan puasa ini.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pendekatan itu membolehkan peniaga di bazar tersebut menjual makanan dan minuman dengan harga lebih murah.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPDN akan mengadakan perbincangan dengan KPKT bagi tujuan itu pada masa terdekat.

“Buat masa ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal menawarkan tapak Bazar Ramadan Rahmah.

“Cadangan kita agar harga sewa tapak premis (Bazar Ramadan Rahmah) dikurangkan agar peniaga dapat menurunkan harga jualan makanan,” katanya selepas merasmikan program Jualan Rahmah peringkat Terengganu di pasar raya Sabasun HyperRuncit di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin memberitahu, KPDN juga akan mengadakan pertemuan dengan tiga kementerian lain bagi menjayakan Bazar Ramadan Rahmah berkenaan.

Beliau berkata, tiga kementerian itu adalah Kementerian Komunikasi dan Digital dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Kita akan mengadakan mesyuarat peringkat Ketua Setiausaha setiap kementerian terbabit bagi membincangkan Bazar Ramadan Rahmah itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Bukan hari-hari dapat berbuka puasa di hotel’

Oleh NOOR HASLIZA NUSI, MOHD AZLI ADLAN, MOHD SHARKAWI LONDING dan SITI A'ISYAH SUKAIMI

PETALING JAYA – Tempahan pelanggan untuk bufet berbuka puasa di hotel-hotel pada Ramadan tahun ini dijangka tidak terjejas walaupun kos sara hidup rakyat semakin meningkat sehingga ada yang mengambil pendekatan berjimat cermat. 

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datin Christina Toh berkata, tempahan bufet berbuka puasa dijangka meningkat pada minggu kedua dan ketiga Ramadan berbanding minggu pertama. 

“Umat Islam dijangka berpuasa tahun ini bermula 23 Mac (berdasarkan kalendar Hijrah), jadi kebanyakannya pada hujung minggu itu mungkin ramai yang balik kampung untuk…

Kerajaan lulus peruntukan RM192 juta pulih Pelabuhan LKIM Chendering

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM192 juta bagi menaik taraf Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, muara pelabuhan tersebut yang cetek akan didalamkan bagi merangsang kembali kemasukan bot nelayan laut dalam.

Beliau berkata, peruntukan tersebut juga merangkumi kerja-kerja membaiki kemudahan untuk menghidupkan semula Pelabuhan LKIM Chendering.

“Pelabuhan LKIM Chendering akan dikorek (pasir) dan dibalikkan peranannya seperti dahulu. Insya-Allah Pelabuhan LKIM akan kembali aktif dan menjadi pilihan pendaratan ikan oleh bot-bot lebih besar pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau bot nelayan laut dalam pertama negara diperbuat daripada besi dibangunkan Amir Vision Sdn. Bhd.

Mohamad seterusnya berkata, dua benteng pemecah ombak yang terdapat di muara pelabuhan berkenaan juga akan dipanjangkan.

Tambah beliau, kerja-kerja awal menaik taraf Pelabuhan LKIM Chendering berkenaan bakal bermula pada bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Kosmo! pada 8 Ogos 2020 melaporkan isu mendapan pasir antara punca utama kemerosotan Pelabuhan LKIM Chendering sehingga menjejaskan pendaratan ikan iaitu hanya 1,334.47 metrik tan setahun. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, February 28, 2023

Hotel bayar cukai, homestay haram kaut untung

Oleh MOHD AZLI ADLAN, KAMALIZA KAMARUDDIN dan NUR HUDA MUSA

KUALA TERENGGANU – Lambakan inap desa terutamanya yang beroperasi secara haram di seluruh negara bagaikan ‘membunuh’ industri perhotelan dan resort apabila pelancong kini lebih suka menetap di homestay sewaktu percutian mereka. 

Realitinya sejak kebelakangan ini, kebanyakan bilik hotel dan resort hanya menjadi pilihan terakhir pelancong sekiranya rumah dan apartmen yang dijadikan inap desa di sesuatu lokasi pelancongan habis ditempah. 

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, pemain industri hotel dan resort sememangnya tidak mampu bersaing dengan pengusaha a inap desa khususnya dari segi caj penginapan. 

Menurutnya, kadar yang ditawarkan kebanyakan pengusaha homestay adalah jauh lebih rendah berbanding caj yang dikenakan pihak hotel atau resort.

 “Tidak seperti pengusaha inap desa terutama yang tidak berdaftar, kami perlu membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti lesen Persembahan Awam Malaysia (PPM).

“Kami umpama bersaing di ‘padang yang tidak sama rata’ dan dikhuatiri lambat-laun akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan domestik sekiranya tidak ditangani segera,” katanya kepada Kosmo!. 

Suaibah menegaskan, pihaknya tidak menyalahkan pengusaha inap desa kerana percaya mereka juga penting dalam menyuburkan industri pelancongan tempatan.

 Begitupun, beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Primula mengharapkan kerajaan dapat menyediakan mekanisme bagi mengawal selia inap desa dan juga beberapa aplikasi lain yang turut menawarkan perkhidmatan sama pada harga rendah.

 “Kita perlu ambil pengajaran daripada konflik yang pernah berlaku antara pemandu teksi dan e-hailing suatu masa dahulu. 

“Langkah awal dan proaktif perlu diambil bagi mengharmonikan industri pelancongan negara sebelum keadaan bertambah buruk,” ujarnya. 

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman pula mahu kerajaan menyediakan mekanisme yang memberi situasi menang-menang kepada semua pemain industri itu. 

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data bagi memastikan inap desa beroperasi secara sistematik, berdaftar dan tersusun seperti industri perhotelan serta resort. 

“Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan kadar lingkungan harga munasabah dengan kemudahan yang disediakan pengusaha inap desa,” katanya. 

Noralizan berkata, kawal selia kerajaan itu juga bagi memastikan semua pengusaha inap desa mematuhi aspek keselamatan, kebersihan dan tatacara pengurusan untuk mengelak sebarang unsur penipuan kepada pelancong.

 Jelas beliau, banyak inap desa kini dipercayai tidak pernah berdaftar dengan kerajaan dan ia sangat berisiko kepada penginap jika berlaku penipuan.

Sementara itu, Presiden Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Dr. Sri Ganesh  Michael  berkata , lambakan homestay ‘haram’ menyebabkan pengusaha hotel terpaksa menanggung kerugian sehingga ada yang terpaksa gulung tikar. 

Katanya, isu itu sudah dibangkitkan sejak sekian lama, tetapi sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian. 

Pengusaha-pengusaha hotel berdepan kesukaran apabila penginapan kediaman jangka masa pendek ini semakin berleluasa.

 “Ia tidak adil buat pengusaha hotel kerana perniagaan itu bukan sahaja tidak mempunyai lesen, malah tidak perlu membayar cukai dan tiada peraturan yang perlu mereka patuhi, sedangkan hotel-hotel berdaftar perlu akur semua peraturan,” ujarnya. 

K e t u a  P e g a w a i  E k s e k u t i f  P e r s a t u a n Hotel Malaysia, Isaac Raj pula berkata, masalah yang dicetuskan oleh pengendali penginapan menerusi platform dalam talian juga perlu diberi perhatian. 

Menurutnya, tawaran harga lebih murah serta pelbagai jenis promosi, menyukarkan pihak pengurusan hotel untuk memperoleh keuntungan.

 “Harga rumah atau bilik penginapan tidak berdaftar ditawarkan kadangkala lebih rendah berbanding hotel berdaftar walaupun kemudahan ditawarkan hampir sama. 

“Bagaimanapun, mereka tidak terbeban dengan pelbagai kos operasi seperti membayar gaji kakitangan, cukai pelancongan serta bermacam jenis lesen,” ujarnya.

Apa Kata Mereka Bajet 2023

 

“SAYA harap dana besar diperuntukkan kerajaan untuk membaiki kerosakan jalan dapat meningkatkan kualiti jalan raya negara ini yang mudah berlubang,” 

OMAR ABD. AZIZ 

Pengurus restoran



“ALHAMDULILLAH isu sekolah daif akhirnya didengar kerajaan. Semoga ia akan mendorong kecemerlangan pelajar di pedalaman.” 

MUHAMMAD SOFHI ZAINUDDIN 

Imam Masjid



Elaun Kemas naik jadi RM800 bulan depan

DUNGUN – Seramai 9,400 pembantu tabika Kemas di seluruh negara bakal menerima kenaikan elaun kepada RM800 sebulan berkuat kuasa bulan depan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan kenaikan RM300 berbanding RM500 sebulan sebelum ini. 

“Kenaikan elaun ini melibatkan tambahan peruntukan RM30 juta kepada Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat). “Ia merupakan sebahagian peruntukan RM86.6 juta kepada Kemas yang telah diluluskan pada pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan (oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar) semalam (kelmarin),” katanya di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini semalam. 

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye-Syria berjumlah RM101,900 daripada Ketengah kepada wakil Kementerian Luar Negeri. 

Kosmo! pada 26 Jun 2022 melaporkan keluhan beberapa pembantu tabika Kemas yang cuma memperoleh elaun bulanan RM500 dan dianggap tidak berbaloi dengan tugas mereka. 

Mereka merayu keprihatinan kerajaan untuk menaikkan elaun tersebut sejajar dengan situasi ekonomi semasa. 

Rata-rata gaji guru taska sekitar RM700 dan tidak setimpal dalam keadaan sara hidup sekarang ini sehingga mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menampung kehidupan harian.