Translate

Sunday, September 30, 2018

Seorang maut dan empat cedera, kereta Proton Waja elak kerbau di LPT2

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Gara-gara mahu mengelak seekor kerbau, seorang anggota tentera maut manakala empat rakan sekerjanya cedera dalam kemalangan di Kilometer 409.7, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Nur Shahrul  Romli, 21, yang bertugas di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa badan.

Empat rakannya iaitu Mohd. Fazrin Mohd. Aini, 23; Muhammad Aiman Abd. Wahab, 21; Wan Muhammad Firdaus Wan Yahya, 21 dan Muhamad Hasnu Nawawi, 23, yang juga anggota tentera pula mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, kesemua lima mangsa yang menaiki kereta Proton Waja dan empat rakan mereka menaiki sebuah Perodua Viva di hadapan dalam perjalanan pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas selepas bercuti di Kota Bahru, Kelantan.

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Waja dipandu Nur Shahrul cuba mengelak seekor kerbau yang berada di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terbabas.


"Kereta itu telah memasuki parit di tepi lebuh raya yang sedalam kira-kira 0.91 meter sehingga  remuk teruk," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

ExxonMobil bantu wanita Terengganu


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.(ExxonMobil Malaysia) mengadakan program tanggungjawab sosial korporat dengan menganjurkan program asas penternakan madu kelulut kepada wanita Terengganu.

Pengurus Besar, Analisa dan Pelaporan Perniagaan Huluan ExxonMobil Malaysia, Nabilah Abdul Mubin berkata, program yang  mendapat kerja­sama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) itu melibatkan 33 wanita yang keba­nyakannya terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis keciciran pelajaran di sekitar negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang kursus selama tiga hari itu, para peserta di­ajar teknik dan asas penternakan madu kelulut bagi tujuan komersial secara kecil-kecilan.

“ExxonMobil Malaysia menjalin kerjasama de­ngan YDSM untuk memberi latihan kepada golo­ngan wanita di Terengganu dalam pena­naman cendawan tiram dan penternakan madu kelulut sejak 10 tahun lalu.

“Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Peluang Ekonomi Wa­nita iaitu program global me­ningkatkan keupayaan dan penglibatan ekonomi wanita­ yang dilaksanakan ExxonMobil di 90 negara termasuk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada  majlis penyampaian Sijil Kursus Program Madu Kelulut di Taman Pertanian Sekayu dekat sini kelmarin.

Sijil tersebut disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Datuk Mohd. Fadzli Yusof.

Nabilah berkata, program yang dilancarkan sejak tahun 2005 dan te­lah menelan belanja lebih RM496.49 juta itu telah membantu wanita mening­katkan peluang ekonomi menerusi pembangunan kemahiran, penyediaan program sokongan dan bantuan kewangan.

Katanya, ia bertujuan untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarga peserta.

Jaguh Muay Thai dunia, Saenchai sertai Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX Terengganu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Peminat sukan Muay Thai tempatan berpeluang untuk menyaksikan kelincahan bekas juara dunia, Saenchai atau nama sebenarnya Suphachai Saenpong, 38, dalam kejohanan Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX Terengganu pada 5 Oktober depan.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Mohd. Azmi Deraman berkata, kejohanan anjuran Kelab Muay Thai Kubang Jela dengan kerjasama Persatuan Muay Thai Terengganu itu bakal diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu dari pukul 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

"Ini kali kedua Saenchai yang kini berada di ranking nombor dua dunia berkunjung ke negara ini selepas kali pertama pada sebuah kejohanan Muay Thai di Kuala Lumpur pada tahun 2015.

"Saenchai yang merupakan anak jati Thailand akan bertarung dengan seorang peninju Muay Thai kelahiran Korea Selatan, Kim yang sedang meningkat naik pada kejohanan Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX tersebut," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu hari ini.

Mohd. Azmi berkata, Kim atau nama sebenarnya Kim Donghwan, 27, yang baru memenangi World Title Super Four Championship di Hong Kong pada minggu lalu pasti memberi saingan sengit Saenchai.

Menurut beliau, kejohanan yang dijangka dihadiri lebih 5,000 peminat Muay Thai di seluruh negara tersebut turut bakal menampilkan dua peninju Muay Thai profesional iaitu Petsangnuan dari Thailand dan Luke dari Wales.

"Tiket kemasukan bagi kejohanan Cabaran Muay Antarabangsa DSPEX tersebut berharga RM70 termasuk baju T dan peluang untuk memenangi cabutan bertuah. 

"Maklumat berhubung kejohanan dan penjualan tiket boleh didapati menerusi laman Facebook, DSPEX International Muay Challenge Terengganu 2018 atau menghubungi talian 019-9965327," katanya. - K! ONLINE


Saturday, September 29, 2018

Perluas fungsi masjid untuk lebih diimarah masyarakat - Sultan Mizan

KEMAMAN - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pengurusan masjid perlu mengambil langkah proaktif memperluaskan fungsi rumah ibadah tersebut bagi memastikannya terus diimarah masyarakat seiring dengan peredaran zaman.

Baginda bertitah, masjid bukan hanya tempat ibadah tetapi turut merupakan pusat pembangunan modal insan yang menjadi jambatan memperkukuhkan persaudaraan, kesefahaman, kesatuan, keharmonian, keadilan dan keilmuan masyarakat terutama dalam kalangan umat Islam.

"Masjid boleh dijadikan pusat penyebaran ilmu. Budaya ilmu ini bukan hanya berbentuk ceramah atau kuliah semata-mata tetapi perlu dalam pelbagai versi lain seperti kelas tambahan akademik, pusat asuhan kanak-kanak dan perpustakaan.

"Ia juga perlu mesra masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya dengan mengadakan program berbentuk kemasyarakat seperti gotong-royong, majlis akad nikah, korban dan aqiqah," titah baginda sewaktu merasmikan Masjid Pengkalan Pandan, Chukai di sini hari ini.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda.

Masjid Pengkalan Pandan boleh memuatkan 1,500 jemaah pada satu-satu masa siap dibina dengan kos RM3.5 juta pada tahun 2009. - K! ONLINE

Maz Frozen Food pasar produk kuih tradisional sejuk beku

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Bermula dengan membantu ibu menjual kuih-muih tradisional Terengganu, kini seorang usahawan muda sudah mempunyai kilang memproses produk sejuk beku di Inkubator Industri Desa Pulau Serai di sini.

Pengarah Urusan Maz Frozen Food, Saiful Nizam Marzuki, berkata, kilangnya yang menghasilkan produk sejuk beku kuih tradisional seperti kuih ropa, pulut lepa, karipap inti serun­ding dan paung goreng ber­operasi sejak tahun 2014.

Beliau berkata, pada asalnya, ibunya mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan menjual kuih-muih berkenaan yang merupakan antara kuih ke­gemaran penduduk Terengganu, terutama untuk sarapan dan minum petang.

“Saya telah membantu ibu membuat dan memasarkan kuih-muih itu selepas menamatkan persekolahan.

“Semakin lama, semakin ba­nyak tempahan yang diterima.
“Bagi mengembangkan perniagaan, saya telah mengumpul modal sedikit demi sedikit untuk menghasilkan kuih-muih tradisional negeri ini,” katanya ketika ditemui di kilang Maz Frozen Food di Inkubator Industri Desa Pulau Serai di sini baru-baru ini.

Saiful Nizam berkata, kilang miliknya kini mampu memasarkan kira-kira 20,000 biji kuih sejuk beku setiap bulan di Terengganu dan sekitarnya.

Menurut beliau, permintaan terhadap produk kuih tradisio­nal tersebut biasanya akan me­ningkat pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Produk sejuk beku keluaran Maz Frozen Food juga ditempah syarikat penyediaan makanan tempatan, terutamanya di Lembah Klang.

“Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi pasarannya agar kuih-muih tradisional Terengganu dapat dikenali ramai,” katanya.

Saiful Nizam menambah, menerusi geran bernilai RM190,000 daripada SME Corporation Malaysia yang diterima Maz Frozen baru-baru ini, pihaknya berharap untuk menggandakan pengeluaran dalam memenuhi permintaan pasaran.

Insan buta gigih mengaji al-Quran Braille

KEKURANGAN diri kerana cacat penglihatan bukan alasan untuk 50 ahli Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Terengganu untuk mendalami ilmu al-Quran.

Setiap minggu, mereka yang datang dari seluruh Terengganu berhimpun di pejabat Pertis Terengganu yang terletak di Seberang Takir, Kuala Nerus untuk belajar bacaan kalam Allah tersebut.

Ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotai golongan cacat penglihatan berkenaan belajar mengaji menggunakan al-Quran bertulisan Braille.

Pengerusi Pertis Terengganu, Mohd. Fauzi Mansor berkata, kelas pengajian al-Quran khas untuk golongan cacat penglihatan itu diadakan tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Selasa dan Ahad.

"Kelas pengajian al-Quran Braille berlangsung selama tiga jam dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada setiap hari terbabit.

"Mereka yang berusia dalam lingkungan 13 tahun hingga 62 tahun diajar oleh tiga guru bertauliah dan empat pembantu guru yang juga terdiri daripada individu golongan orang kelainan upaya cacat penglihatan," katanya ketika ditemui di pejabat Pertis Terengganu, Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.
Mohd. Fauzi berkata, program pengajian al-Quran Braille  anjuran Pertis Terengganu telah berjalan sejak 11 tahun lalu sebagai inisiatif NGO tersebut untuk membantu ahli-ahlinya 'celik' al-Quran biar pun mereka cacat penglihatan.

Menurut beliau, pada mulanya, peserta program mengaji al-Quran Braille itu cuma lima orang namun kini telah berkembang kepada 50 orang.

"Al-Quran Braille tulisan Arab yang mempunyai baris digunakan untuk memudahkan ahli-ahli Pertis Terengganu belajar mengaji.
Enam jilid diperlukan untuk mengaji satu al-Quran lengkap kerana setiap jilid hanya mempunyai lima juzuk," ujarnya.

Mohd. Fauzi memberitahu, kebanyakan peserta program pengajian al-Quran menetap di luar daerah Kuala Nerus termasuk beberapa orang yang menetap di Kemaman.

Ujar beliau, walau pun menetap jauh dan serba kekurangan, demi kecintaan dan kesungguhan mendalami ilmu al-Quran, peserta-peserta terbabit tetap hadir ke kelas pengajian tersebut yang berlangsung tiga hari seminggu.


"Pengangkutan ditanggung sendiri malah ada yang memilih untuk menyewa bilik di sekitar Seberang Takir sebagai penginapan sementara sepanjang tiga hari pengajian tersebut.

"Alhamdulillah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memahami masalah peserta yang kebanyakannya serba kekurangan dengan bermurah hati memberi elaun kehadiran kepada mereka," katanya.

Mohd. Fauzi berkata, MAIDAM memberi elaun RM30 sehari atau RM90 seminggu kepada setiap peserta yang menghadiri program pengajian al-Quran Braille berkenaan sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada usaha Pertis Terengganu berkenaan.

Beliau berkata, ia merupakan kenaikan berbanding pemberian elaun harian RM10 yang diterima peserta sewaktu program pengajian terbabit mula-mula dilaksanakan pada tahun 2007.

"Tenaga pengajar turut menerima elaun daripada MAIDAM iaitu RM100 sehari untuk guru bertauliah manakala RM70 sehari pula untuk pembantu guru.

"Kesemua elaun terbabit dibayar oleh MAIDAM secara tuntutan. Keseluruhan amaun yang bakal dilunaskan pada tahun ini dianggarkan berjumlah RM342,260," jelas beliau.
Mohd. Fauzi berkata, bantuan MAIDAM dari segi moral, kewangan dan ilmu agama banyak membantu kepada perkembangan program pengajian al-Quran Braille sejak 11 tahun lalu.

Menurut beliau,ia turut menarik sebuah maahad tahfiz di Tok Jiring, Kuala Nerus untuk menghantar lima pelajar yang cacat penglihatan ke kelas pengajian al-Quran Braille tersebut.

"Selama ini, pelajar cacat penglihatan yang belajar di maahad tahfiz berkenaan belajar menghafal al-Quran menerusi pendengaran kaset namun pengajaran dengan al-Quran Braille yang dilaksana di Pertis Terengganu dirasakan lebih berkesan.

"Selain itu, kami juga telah menambah cabang program pengajian al-Quran Braille ini dengan mengadakan kelas taranum," katanya.

Friday, September 28, 2018

8,000 penyokong TFC I berebut beli tiket suku akhir Piala Malaysia

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Ribuan penyokong tegar membanjiri perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini seawal pukul 6 pagi demi mendapatkan tiket suku akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu Football Club I (TFC I) dan Felda United yang dijadual berlangsung malam ini.

Kekecohan hampir berlaku apabila kaunter tiket di stadium tersebut hanya dibuka pada pukul 10.30 pagi sehingga menyebabkan ramai penyokong yang telah beratur lama berasak-asak demi mendapatkan tiket perlawanan bola sepak berkenaan.

Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, beliau terpaksa turun padang untuk menenangkan keadaan dan memastikan pembelian tiket perlawanan bola sepak itu berada dalam keadaan teratur.

"Keadaan kembali tenang tidak lama kemudian dan kesemua kira-kira 8,000 tiket habis dijual kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
"Alhamdulillah, berdasarkan maklum balas, hampir kesemua penyokong terlibat dapat membeli tiket masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penyokong tegar TFC 1, Mohd. Jufri Razali, 48, berkata, beliau telah beratur di perkarangan stadium terbabit sejak pukul 6.30 pagi lagi.

"Saya memang peminat setia TFC I. Biarpun terpaksa beratur lama, saya puas hati dapat membeli tiket seterusnya memberi sokongan padu kepada pasukan yang bakal menghadapi Felda United pada malam ini.


"Ini detik yang dinanti-nantikan sebab sudah lama TFC I (dahulu dikenali sebagai Terengganu) tidak melepasi aksi separuh akhir Piala Malaysia. Insya-Allah tahun ini, saya yakin piala berprestij itu akan di bawa pulang ke Terengganu," katanya. - K! ONLINE

Tindakan boleh diambil jika kecam keputusan mahkamah syariah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun yang menjatuhkan hukuman enam sebatan dan penjara enam bulan terhadap seorang wanita yang didapati bersalah melakukan persediaan melacurkan diri hari ini menegaskan tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang mengecam penghakiman dikeluarkan mahkamah syariah.

Beliau berkata, kewujudan institusi mahkamah syariah adalah berdaulat dan kewujudannya atas perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai ketua agama Islam negeri.

"Mahkamah Syariah bukan mahkamah sivil. Sebarang keputusannya berdasarkan hukum syarak dan tidak terikat pada yang berlaku di mahkamah sivil.


"Sekiranya selepas ini terdapat komen dan penulisan yang mencabar atau mengecam (keputusan mahkamah) sehingga mencemar kedaulatan mahkamah syariah, saya tidak ragu-ragu untuk melakukan prosiding menghina mahkamah," katanya sebelum membacakan penghakimannya di sini hari ini. - K! ONLINE

Nasib ibu tungggal cuba melacur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan tidak bermoral seorang ibu tunggal yang cuba melacurkan diri di sebuah bilik hotel di sini dua minggu lalu membawa padah apabila dia dihukum penjara enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini semalam.

Hakim Syarie Rosdi Harun memutuskan demikian selepas pencanting batik sambilan berusia 30 tahun tersebut mengekalkan pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan dan beliau meme­rintahkan hukuman seba­tan dilaksanakan selepas berakhir­nya tempoh rayuan selama 14 hari.

“Pengakuan bersalah tertuduh didapati dilakukan secara sukarela setelah saya telah bertanyakan kepadanya sebanyak tiga kali.

“Alasan terpaksa melacurkan diri kerana diceraikan suami tanpa nafkah tidak dapat diterima. Dua pekerjaan (jurujual pasar raya dan pencanting batik) dilakukannya dan latar belakangnya me­netap di Kota Bahru (Kelantan) dengan kos sara hidup tidak tinggi sudah mencukupi untuk menyara diri dan anak,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Rosdi juga menyuarakan kekecewaannya terhadap tertuduh yang merupakan ibu tunggal kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun kerana tidak menunjukkan keinsafan apabila tidak menyatakan rasa kesal.

Tertuduh yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan kelihatan tenang di kandang pesalah ketika  hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Sya­riah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita tersebut ditahan dalam satu operasi cegah maksiat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu di sebuah bilik hotel bertaraf tiga bintang di sini pada pukul 11.45 malam pada 17 September lalu.

Tertuduh yang berpisah dengan suami sewaktu anak tunggalnya berusia lima bulan ditahan dalam keadaan berpakaian mengghairahkan bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di dalam bilik hotel berkenaan.

Pemeriksaan di dalam premis itu menjumpai 12 barangan bukti antaranya sarung kondom, sehelai coli  merah dan seluar dalam hitam, sebotol cecair pelincir dan wang tunai RM750.

Wang tunai berjumlah RM100 yang didakwa pembayaran diterima tertuduh juga berjaya dirampas dalam serbuan berkenaan.

Berdasarkan soal siasat, tertuduh mengaku melakukan aktiviti pelacuran tersebut dengan kadar bayaran antara RM300 hingga RM1,000 semalam.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd. Khazmizan Abdullah manakala tertuduh yang akan menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan tidak diwakili penguam bela.

TFC III, TFC IV terima insentif kecemerlangan RM200,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUA pasukan pelapis Terengganu Football Club (TFC) iaitu TFC III dan TFC IV menerima ‘durian runtuh’ daripada kerajaan negeri Terengganu berikutan kecemerlangan skuad ma­sing-masing dalam saingan Piala Pre­siden serta Piala Belia musim ini.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, skuad TFC III menerima RM150,000 atas kejayaan menjulang Piala Presiden, manakala TFC IV selaku naib juara Piala Belia pula mendapat RM50,000.

“Setiap pegawai dan pemain TFC III serta TFC IV masing-masing turut diberi bonus RM2,000 dan RM1,000 atas prestasi membanggakan pada musim ini.

“Kejayaan yang dicapai kedua-dua skuad pelapis ini membuktikan pelan pembangunan yang dilaksanakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sejak awal musim ini telah berada pada landasan yang betul,” katanya selepas menghadiri majlis ke­syukuran kejayaan skuad TFC III dan TFC IV di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim.

Ahmad Samsuri yang juga Presiden PBSNT berkata, matlamat badan induk bola sepak Terengganu untuk melahirkan ramai pemain pelapis berkualiti untuk diserapkan ke skuad utama semakin tercapai berikutan pencapaian membanggakan TFC III dan TFC IV berkenaan.

Menurut beliau, tambah menggembirakan PBSNT, sasaran badan induk bola sepak Terengganu tersebut untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini telah tercapai de­ngan kejayaan TFC III menjuarai Piala Presiden.

Thursday, September 27, 2018

Ibu tunggal lakukan persediaan lacurkan diri dipenjara enam bulan, enam sebatan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan tidak bermoral seorang ibu tunggal melakukan persediaan melacurkan diri di sebuah bilik hotel bertaraf tiga bintang di bandar raya ini pada dua minggu lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.

Hakim Syarie Rosdi Harun memutuskan demikian selepas pencanting batik sambilan berusia 30 tahun tersebut mengekalkan pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Beliau memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan terhadap tertuduh di dalam penjara selepas berakhirnya tempoh rayuan selama 14 hari.

Tertuduh mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun yang kini dibawah jagaan salah seorang kakaknya di Klang, Selangor didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan tersebut ditahan dalam satu operasi cegah maksiat dilakukan pasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu di sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada pukul 11.45 malam, 17 September lalu.

Tertuduh yang berpisah dengan suami sewaktu anak tunggalnya berusia lima bulan ditahan dengan berpakaian mengghairahkan bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di dalam bilik hotel berkenaan.


Berdasarkan soal siasat, tertuduh mengaku melakukan aktiviti pelacuran tersebut dengan kadar bayaran antara RM300 hingga RM1,000 semalam. - K! ONLINE

Pelajar cemerlang ACCA kongsi rahsia kejayaan dengan calon Pantai Timur

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua pelajar cemerlang peperiksaan Persatuan Akuantan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang mendapat markah tertinggi bagi kertas Laporan Kewangan (F7) baru-baru ini berkongsi rahsia kejayaan dengan 80 calon persijilan tersebut pada siri jelajah di Terengganu.

Wan Nor Marudah Wan Yusof, 21, dari Besut dan Ahmad Fauzee Mohd. Hassan, 20, dari Ketereh, Kelantan masing-masing memperolehi keputusan membanggakan negara itu bagi sesi peperiksaan Disember 2017 dan Jun lalu yang melibatkan calon dari 179 buah negara.

Ahmad Fauzee berkata, sesi tersebut merupakan ruang terbaik kepada mereka berdua untuk berkongsi tips pembelajaran dan pengalaman menduduki kertas persijilan ACCA terbabit sehingga diiktiraf sebagai terbaik dunia.

Beliau yang juga pelajar Kolej Pendidikan Antarabangsa (INTEC), Shah Alam, Selangor berkata, tidak ramai pelajar di Pantai Timur terutama Terengganu Kelantan mengambil persijilan ACCA kerana kurang pendedahan dan stigma yang menganggapnya terlalu sukar.

"Saya yang berasal dari Kelantan dan Wan Nor Marudah dari Terengganu telah membuktikan sebaliknya. Harap kejayaan kami (pelajar terbaik kertas F7 peringkat dunia) menjadi pendorong kepada lebih ramai pelajar terutama kaum Melayu di negara ini amnya dan Pantai Timur khususnya untuk memberanikan diri mengambil persijilan ACCA.

"Kesedaran ini juga boleh dibantu oleh guru-guru Prinsip Akaun di sekolah untuk menggalakkan anak-anak murid mereka melanjutkan pelajaran dalam persijilan profesional perakaunan sejurus selepas memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia," katanya ketika ditemui pada sesi jelajah ACCA peringkat Terengganu di sini hari ini.


ACCA yang merupakan badan perakaunan profesional global kini memiliki lebih 14,000 ahli dan 32,000 pelajar di seluruh negara. - K! ONLINE

Pencanting batik mengaku salah mahu melacurkan diri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pencanting batik sambilan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam atas kesalahan mahu melacurkan diri pada minggu lalu.

Hakim Syarie Rosdi Harun memutuskan demikian selepas wanita berusia 30 tahun tersebut membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Beliau memberitahu, hukuman terhadap tertuduh bakal dijatuhkan pada prosiding di Mahkamah Tinggi sama pada Khamis ini.

Wanita terbabit yang merupakan ibu tunggal berdepan dengan hukuman sebatan sehingga enam kali, penjara tidak lebih tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita berasal dari Kota Bahru, Kelantan tersebut ditahan dalam satu operasi cegah maksiat dilakukan pasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu di sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada pukul 11.45 malam, 17 September lalu.

Tertuduh yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun ditahan dengan berpakaian mengghairahkan bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di dalam bilik hotel berkenaan.

Pemeriksaan di dalam premis itu juga menjumpai 12 barang bukti antaranya sarung kondom, sehelai coli berwarna merah dan seluar dalam berwarna hitam, sebotol pelincir serta baju tidur.

Turut dirampas, wang tunai RM750 termasuk RM100 daripada dipercayai merupakan pembayaran diterima tertuduh daripada pelanggannya. Berdasarkan soal siasat juga, tertuduh mengaku melakukan aktiviti pelacuran tersebut dengan kadar bayaran antara RM300 hingga RM1,000 semalam.

Sementara itu, sewaktu membuat rayuan, wanita tersebut mendakwa terpaksa melakukan aktiviti persundalan terbabit kerana kesempitan wang termasuk untuk menyara anak tunggalnya yang kini di bawah jagaan salah seorang kakaknya di Klang, Selangor.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Wednesday, September 26, 2018

Rumah pesara musnah terbakar akibat dipanah petir

DUNGUN - Seorang pesara Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami musnah dalam kebakaran dipercayai akibat di panah petir di Kampung Gong Pasir di sini semalam.

Petir yang menyambar kediaman Mat Daik Mohamad, 63, yang sewaktu kejadian tiada di rumah disaksikan oleh salah seorang jirannya, Arifin Abu Bakar, 80,  pada pukul 8.30 malam.

Arifin berkata, kejadian berlaku sewaktu dia dan beberapa jemaah lain sedang berjalan pulang dalam keadaan hujan lebat setelah selesai menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran.

"Sebelum itu, bekalan elektrik di surau yang kami solat mengalami gangguan sebanyak beberapa kali akibat hujan lebat dan petir sambar-menyambar. Tiba-tiba, saya nampak cahaya kilat menyambar ke rumah jiran saya (Mat Daik) sebelum kebakaran berlaku di premis itu beberapa minit kemudian," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Arifin berkata, dia dan beberapa jemaah lain cuba membantu untuk memadamkan kebakaran di rumah Mat Daik terbabit namun gagal kerana api kebakaran cepat marak sebelum mereka kemudiannya menghubungi bomba. - K! ONLINE

Pelancong disyaki mencuri ditahan di Pulau Perhentian

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Gara-gara seorang pelancong yang 'panjang tangan', sebuah resort di Pasir Panjang, Pulau Perhentian dekat sini menjadi kecoh hari ini.

Lelaki berusia 25 tahun tersebut berjaya ditangkap selepas dipercayai memecah masuk kafe resort terbabit pada pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kelibat suspek yang berasal dari Jinjang Utara, Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah barang di kafe berkenaan disedari beberapa kakitangan resort berkenaan.

"Suspek yang menyedari perbuatannya diperhatikan telah bertindak melarikan diri sebelum dikejar kakitangan itu bersama beberapa orang awam lain.

"Dia kemudiannya berjaya ditangkap tidak lama kemudian di dalam kawasan resort terbabit," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.


Mohd. Zamri berkata, hasil soal-siasat, suspek mengaku mencuri barangan peribadi dipercayai milik pelancong-pelancong lain yang menginap resort berkenaan seperti kamera digital, cermin mata hitam pelbagai jenama, pakaian, kipas tangan dan beg. - K! ONLINE

Tuesday, September 25, 2018

Terengganu lulus insentif RM1.1 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KONTINJEN Terengganu terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan sebagai kuasa sukan negara dengan merancang melakukan persediaan awal untuk mempertahankan kejuaraan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung di Johor.

Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persatuan sukan dan barisan atlet negeri itu tidak sepatutnya terlalu dibuai dengan kejayaan merampas kejuaraan keseluruhan pada Sukma 2018 di Perak yang berakhir Sabtu lalu.

“Semua pegawai sukan dan atlet akan diberikan cuti sehari esok (semalam) sebelum kita kembali bekerja membuat perancangan baharu bagi persediaan dalam tempoh dua tahun ini untuk menghadapi Sukma di Johor.

“Lebih 50 peratus atlet yang kita pertaruhkan pada Sukma 2018 baru-baru ini masih boleh beraksi pada edisi akan datang,” katanya selepas hadir pada majlis sambutan meraikan kepulangan Kontinjen Terengganu di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Samiun Salleh.

Terdahulu, Kontinjen Sukma Terengganu yang terdiri daripada 800 atlet dan pegawai diarak dengan menaiki bas sejauh lebih 40 kilometer dari Matang, Hulu Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan sukan bagi melahirkan lebih ramai atlet kelahiran negeri itu yang mencapai taraf kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut beliau, selain pembangunan kemudahan dan penggunaan teknologi, atlet berpotensi bakal dibiayai untuk menjalani latihan di luar negara bagi mempertingkatkan prestasi mereka.

“Kerajaan negeri amat berpuas hati atas kejayaan mencapai misi merampas kembali kejuaraan keseluruhan pada Sukma kali ini, sekali gus mengulangi pencapaian cemerlang pada 2008 hingga 2012.

“Sehubungan itu, insentif RM1.1 juta telah diluluskan sebagai penghargaan dan imbuhan kepada 160 atlet Terengganu yang menyumbang pingat emas, perak dan gangsa pada Sukma 2018,” katanya.

Ahmad Samsuri juga mengumumkan bahawa atlet olahraga, Azreen Nabila Alias yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma 2018 bakal menerima ganjaran tambahan iaitu pakej mengerjakan ibadah umrah.

Tambah beliau, sebagai tanda kesyukuran dan meraikan kejayaan membanggakan berkenaan, kerajaan negeri Terengganu mengumumkan cuti pelepasan khas pada 30 September ini.

Azizulhasni bawa pulang RM20,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JAGUH berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang menerima insentif RM20,000 daripada kerajaan Terenggganu atas kejayaan merangkul tiga pingat termasuk satu emas dalam acara pecut individu pada Sukan Asia 2018 baru-baru ini.

Selain emas itu, Azizulhasni yang juga anak jati Dungun turut meraih pingat perak dalam acara berpasukan dan gangsa bagi acara keirin.

Dia menerima insentif kemenangan itu yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Azizulhasni berkata, dia berterima kasih dan menghargai sokongan padu dan bantuan yang diberikan kerajaan Terengganu terhadap perkembangan kariernya sebagai pelumba basikal.

“Kerajaan negeri Terengganu tidak henti-henti memberi dorongan sejak permulaan karier saya dalam sukan berbasikal ini.

“Kehadiran saya pada majlis ini juga untuk memberi motivasi kepada atlet pelapis negeri yang akan menghadapi Sukma (Sukan Malaysia) Perak tidak lama lagi,” katanya selepas menerima insentif tersebut di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus kelmarin.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut menyerahkan bendera kepada kontinjen Sukma Terengganu yang terdiri daripada 555 atlet.

Azizulhasni berkata, walaupun sedikit terkilan gagal meraih emas dalam acara keirin yang merupakan acara kegemarannya, dia tetap bersyukur dan berbangga meraih tiga pingat dalam Sukan Asia tersebut.

Katanya, kejayaan memperoleh tiga pingat dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia merupakan pencapaian peribadi terbaik yang pernah dicapai sepanjang kariernya.

“Saya akan pulang ke Melbourne, Australia Sabtu ini untuk menyambung latihan selepas menjenguk orang tua di Dungun. Selepas ini saya akan menghadapi enam siri  kejohanan Trek Dunia bermula bulan depan selain Piala Dunia dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia,” katanya.

Selain Azizulhasni, atlet Terengganu lain yang turut mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat pada Sukan Asia 2018 juga menerima insentif iaitu pemain skuasy, Mohd. Nafiizwan Mohd. Adnan dan Illham Wahab serta Nuur Fatin Solehah Abdul Rahman daripada sukan pelayaran.

Empat pemain hoki kebangsaan kelahiran Terengganu yang meraih pingat perak pula ialah Faizal dan Mohd. Fitri Saari, Muhammad Firhan Ashari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi masing-masing turut menerima insentif RM5,000.

Turut menerima insentif ialah tekong skuad sepak takraw kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd. Razak dan jurulatih, Ahmad Mohd. Zain.

Pelajar Madrasah Modem Maidam Besut maut dihempap tiang gol

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Gara-gara dihempap tiang gol, seorang pelajar tingkatan dua Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Besut meninggal dunia di padang sekolahnya yang terletak di Padang Landak, Jerteh dekat sini hari  ini.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Ahmad Muazz Naimullah Mohd. Azhar, 14, dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan dalaam sewaktu dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut di sini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, Ahmad Muazz Naimullah sepatutnya menyertai pertandingan bola sepak lapan sebelah yang berlangsung di padang sekolahnya hari ini.

"Sewaktu kejadian, pelajar terbabit dikatakan telah bergayut pada tiang gol berkenaan bersendirian sebelum ia tiba-tiba jatuh menimpanya.

"Dia berjaya melepaskan diri dengan mengangkat tiang gol yang menimpanya namun tiba-tiba rebah tidak lama kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zamri berkata, guru dan pelajar lain yang menyedari kejadian itu kemudiannya bergegas menghantar Ahmad Muazz Naimullah yang tidak sedarkan ke Hospital Besut di sini sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. - K! ONLINE

Monday, September 24, 2018

Mayat nelayan jatuh laut ditemui

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT -  Mayat seorang nelayan yang terjatuh dari bot  pada Isnin lalu berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat di perairan Tanjung Basi berhampiran Pulau Perhentian dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mayat Mohamad Azmi Adam, 19,  ditemui pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat pada pukul 9 pagi.

"Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pantai Genting, Tumpat, Kelantan dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dari bot nelayannya pada pukul 3.40 pagi, 3 September lalu.

"Bot peronda Maritim Malaysia (APMM) kemudiannya telah menghantar mayat mangsa ke Jeti Kuala Besut untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.


Kosmo! Online 4 September lalu melaporkan Mohamad Azmi dilaporkan terjatuh dari sebuah bot nelayan ketika sedang melakukan kerja-kerja penangkapan ikan di perairan Tanjung Basi berhampiran Pulau Perhentian dekat sini. - K! ONLINE

Nenek bawa tiga cucu maut dirempuh Proton Wira

DUNGUN – Kasih sayang seorang nenek mengambil tiga cucunya pulang dari sekolah berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5, Jalan Dungun-Durian Mentangau di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.15 petang itu, Sarifaf Ali, 58,  (gambar) meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecede­raan pada kepala dan dalaman tubuhnya apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta Proton Wira.

Cucu Sarifaf, Muhammad Dinie Kha­lish Mohd. Shamrizal, 7, yang membonceng motosikal tersebut berada dalam keadaan kritikal manakala Fatin Hanani, 11, dan Awang Kucik Zarkoni, 9, pula cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian, Sarifaf dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Durian Mentangau selepas mengambil tiga cucunya tersebut pulang dari kelas fardu ain di Sekolah Kebangsaan Durian Mentagau di sini.

“Ketika melalui lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dikatakan terbabas selepas melanggar lopak air di laluan berselekoh.

“Kenderaan itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang Sarifaf bersama tiga cucunya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Baharudin, mayat Sarifaf telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Du­ngun di sini untuk dibedah siasat manakala Muhammad Dinie Khalish dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

“Dua lagi cucu mangsa iaitu Fatin Hanani dan Awang Kucik Zarkoni yang cedera ringan mendapat rawatan pesakit luar di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sunday, September 23, 2018

Pencanting batik sambilan mengaku salah melakukan persediaan melacur

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pencanting batik sambilan didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas kesalahan membuat persediaan untuk melacurkan diri pada minggu lalu.

Hakim Syarie Rosdi Harun memutuskan demikian selepas wanita berusia 30 tahun tersebut  membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Beliau memberitahu hukuman terhadap tertuduh bakal dijatuhkan pada prosiding di mahkamah tinggi sama pada Khamis ini.

Wanita terbabit yang merupakan ibu tunggal berdepan dengan hukuman sebatan sehingga enam kali, penjara tidak lebih tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan tersebut ditahan dalam satu operasi cegah maksiat dilakukan pasukan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu di sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada pukul 11.45 malam, 17 September lalu.

Tertuduh yang mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun ditahan dengan berpakaian mengghairahkan bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di dalam bilik hotel berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khasmizan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili penguam bela. - K! ONLINE

TFC I tidak pandang mudah ancaman Felda United

TERENGGANU Football Club I (TFC I) tidak memandang mudah pertemuan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang pada malam ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, impian skuad kendaliannya untuk menjulang Piala Malaysia pada musim ini mungkin musnah sekiranya memandang enteng dengan kemampuan lawan hanya kerana Felda United merupakan pasukan dari Liga Premier.

"Juara Liga Premier dibimbing jurulatih, B. Sathianathan memiliki pasukan yang berkualiti terutama pada barisan serangan dikemudi penyerang import, Thiago Fernandes.

"Bermain di padang sintetik selain tempat penginapan di Jerantut yang agak jauh dengan stadium (Stadium Tun Abdul Razak) juga merupakan cabaran kepada pemain-pemain saya," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Irfan Bakti berkata, walaupun pernah mengemudi skuad The Fighters pada musim 2014 hingga 2016 sebelum berhijrah ke Terengganu (kini dikenali TFC I) namun beliau mengakui pasukan lawan pada masa kini sudah jauh berbeza.

Begitu pun, jurulatih berpengalaman itu menegaskan apa yang penting, TFC I akan sedaya upaya untuk mencari bekalan selesa bagi dibawa pulang pada aksi timbal balik di laman sendiri pada 28 September ini.

"Saya akan atur taktikal dan strategi ampuh untuk kita melepasi ancaman Felda United ini sekali gus mara ke separuh akhir," katanya.

Penunggang Ducati koma rempuh dua ekor lembu

SETIU – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi koma setelah me­rempuh sekawan lembu yang tiba-tiba melintas jalan dalam kemalangan di Jalan Merang berhampiran Stesen Minyak Petronas Merang dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Anuar Abd. Rahim (gambar kecil), 49, menunggang motosikal jenis Ducati Diavel bersama 20 peserta konvoi lain sebelum gagal mengelak dua ekor lembu.
Pelanggaran turut menyebabkan dua ekor haiwan yang dirempuh Anuar itu mati.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian, Anuar yang berasal dari Kuala Lumpur bersama konvoinya dalam perjalanan untuk menikmati makan tengah hari di sebuah restoran di Penarik dekat sini.

“Difahamkan mangsa dan isterinya yang juga menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi lain jenis Ducati Monster berada di bahagian paling belakang dalam konvoi terbabit yang sebelum itu telah berhenti di Batu Rakit, Kuala Nerus.

“Sewaktu melalui lokasi kejadian, sebahagian daripada sekumpulan 30 ekor lembu yang berada di bahagian kiri tepi jalan tiba-tiba melintas menyebabkan mangsa gagal mengelak lalu merempuh dua ekor haiwan terbabit,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Zulkifli berkata, impak rempuhan menyebabkan Anuar tercampak beberapa meter ke tengah jalan dan tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalam kepala manakala isterinya pula cedera ringan pada kaki.

Menurut beliau, Anuar telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan dia kini masih dalam keadaan koma dan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi hospital sama.

“Kita juga sedang mengesan pemilik haiwan terbabit,” katanya.

Saturday, September 22, 2018

Aktifkan semula KRT dan SRS

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Sebahagian daripada 8,000 Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara didapati tidak aktif selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr. Md. Farid Md. Rafik berkata, kekeliruan dalam kalangan akar umbi berikutan perubahan kerajaan Persekutuan pasca PRU-14 dikenalpasti sebagai punca utama kira-kira 15 peratus KRT dan SRS yang terdapat di negara ini tersebut tidak aktif.

"Mereka (ahli KRT dan SRS) masih lagi berasa janggal dan kekok (untuk aktif) walaupun telah beberapa kali diterangkan (berhubung dasar kerajaan) oleh pegawai Perpaduan (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi) negeri dan daerah.

"Sehubungan itu, kami di peringkat kementerian telah mengambil pendekatan menjelajah dari negeri ke negeri untuk memberi kefahaman bahawa dasar penubuhan KRT dan SRS masih diteruskan walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan Persekutuan," katanya selepas merasmikan Pusat Kawalan SRS Kampung Tok Randok, Ajil di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Terengganu, Burhanuddin Daud dan Pengerusi KRT Tok Randok, Mejar (B) Abd. Aziz Mamat.

Md. Farid berkata, KRT dan SRS yang ditubuhkan sejak tahun 1975 merupakan instrumen paling penting bagi Jabatan Perpaduan Nasional dan Integrasi Nasional bagi mencapai matlamat utama agensi kerajaan itu iaitu menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. - K! ONLINE

Usaha sama AIBIM, UniSZA dalam industri perbankan Islam

KUALA NERUS – Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Timbalan Presiden AIBIM, Mohamad Rafe Haneef berkata, ia bakal melibatkan usaha sama dalam bidang penyelidikan, perkongsian kepakaran dan aktiviti berasaskan akademik yang akan diselia oleh  Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (FESP).

“Dalam kesibukan me­nguruskan isu perbankan, ahli-ahli AIBIM juga menitikberatkan  hal berkaitan sumbangan kepada masyarakat yang merupakan pemangkin kepada pembangunan pesat aktiviti perbankan Islam di Malaysia.

“Kerjasama ini membentuk platform untuk meningkatkan rangkaian dengan pakar perbankan Islam dalam kalangan pemain industri dan ahli akademik selaras dengan hasrat pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman untuk jalinan kerjasama antara AIBIM dengan UniSZA yang diwakili Dekan FESP, Prof. Madya Dr. Wan Norhayate Wan Daud di sini semalam.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif.

Sementara itu, Ahmad Zubaidi menjelaskan, usaha sama tersebut mampu memberi manfaat kepada hampir 2,100 pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana FESP bagi me­ningkatkan pengetahuan dan penglibatan mereka dalam industri kewangan serta perbankan Islam.

Pesara tinggal sehelai sepinggang, rumah dipanah petir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

DUNGUN – Seorang pesara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran dipercayai akibat dipanah petir di Kampung Gong Pasir di sini kelmarin.

Petir yang menyambar kediaman Mat Daik Mohamad, 63, yang sewaktu kejadian tiada di rumah disaksikan oleh salah seorang jirannya, Arifin Abu Bakar, 80, pada pukul 8.30 malam.

Menurut Arifin, kejadian berlaku sewaktu dia dan beberapa jemaah lain sedang berjalan pulang dalam keadaan hujan lebat apabila selesai menunaikan solat Isyak di sebuah surau berhampiran.

“Sebelum itu, bekalan elektrik di surau yang kami solat mengalami gangguan sebanyak beberapa kali akibat hujan lebat dan petir.  Tiba-tiba, saya nampak cahaya kilat me­nyambar ke rumah jiran saya (Mat Daik) sebelum kebakaran berlaku beberapa minit kemudian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, dia bersama beberapa jemaah lain cuba membantu untuk memadamkan kebakaran di rumah Mat Daik tetapi gagal kerana api marak dengan cepat sebelum mereka kemudiannya menghubungi pihak bomba.

Sementara itu, Mat Daik yang merupakan bekas Penyelia Hal Ehwal Murid PPD Dungun berkata, sewaktu kejadian, dia dan isterinya, Fauziah Mat, 59, tiada di rumah ke­rana mengerjakan solat Isyak di Masjid Pak Sabah di sini.

“Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, kami bergegas pulang tetapi tidak sempat menyelamatkan apa-apa dan kini hanya tinggal sehelai sepinggang hingga terpaksa menumpang di rumah saudara berhampiran,” ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Saifuddin Muhammad berkata, kebakaran yang memusnahkan hampir 100 peratus rumah terbabit berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh dua jam.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya pula.

Friday, September 21, 2018

33 wanita Terengganu sertai kursus ternak madu kelulut Yayasan Diraja Sultan Mizan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seramai 33 wanita yang kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal dan beliawanis keciciran pelajaran dari seluruh Terengganu menyertai kursus penternakan madu kelulut anjuran Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, program yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan mendapat tajaan 
ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Incoporated (ExxonMobil Malaysia).

Beliau berkata, sepanjang kursus selama tiga hari itu, peserta kursus terbabit diajar dengan teknik dan asas penternakan madu kelulut bagi tujuan komersial secara kecil-kecilan.

"Program ini bertujuan memberi kemahiran kepada peserta yang kebanyakan terdiri daripada ibu tunggal dan golongan berpendapatan rendah untuk mempertingkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

"Ia yang dijalankan sejak 10 tahun lalu dengan kerjasama ExxonMobil Malaysia terbukti telah melahirkan lebih 200 usahawan wanita terutama dalam penanaman cendewan tiran dan penternakan madu kelulut di seluruh Terengganu," katanya selepas menyampaikan Sijil Kursus Program Madu Kelulut di Taman Pertanian Sekayu dekat sini hari ini.


Turut hadir Pengurus Besar, Analisa dan Pelaporan Perniagaan Huluan ExxonMobil Malaysia, Nabilah Abdul Mubin. - K! ONLINE

Kerjasama UMNO-Pas buka ruang PH kuasai Kelantan, Terengganu

KUALA TERENGGANU – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menjangkakan perkembangan hubungan erat antara UMNO dan Pas akan membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk merampas Kelantan dan Terengganu yang kini dikuasai pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau yang juga calon Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti bulan depan berkata, kerjasama parti terbabit bakal mengubah pola pe­ngundian di kedua-dua negeri Pantai Timur tersebut yang selama ini setia mengundi antara satu daripada dua parti pembangkang itu sahaja.

“Saya menjangkakan UMNO dan Pas akan menjadi lebih rapat selepas ini dan mungkin ada kerjasama rasmi. Kedua-dua parti telah bereksperimen pada dua Pilihan Raya Kecil (Sungai Kandis dan Seri Setia) dan tidak pernah ada Presi­den UMNO yang menghadiri Muktamar Pas seperti akan dilakukan Datuk Seri Zahid Hamidi.

“Sudah pasti ada sebahagian ahli UMNO dan Pas termasuk di Kelantan dan Terengganu tidak selesa dengan kerjasama ini, begitu juga pengundi atas pagar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Jelajah Reformasi 20 Tahun peringkat Terengganu di sini kelmarin.

Rafizi yang juga anak jati Terengganu menjelaskan, pengundi-pe­ngundi di Kelantan dan Terengganu yang tidak bersetuju dengan kerjasama Pas dan UMNO berkemungkinan memilih parti lain iaitu PH.

Sehubungan itu kata beliau, ke­sempatan itu perlu dikaji dan diambil oleh PH untuk merampas seberapa banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kedua-dua negeri yang penduduk­nya majoriti Melayu pada PRU-15.

Thursday, September 20, 2018

SPRM tahan Pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu disyaki terima rasuah

KEMAMAN - Seorang pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan menerima rasuah berjumlah RM27,500 pada tiga tahun lalu.

Perintah reman itu dibenarkan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, suspek yang berusia 54 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan menerima suapan berjumlah RM27,500 daripada seorang pemilik syarikat pembekalan perkakasan dan jentera antara bulan Julai hingga Disember 2015.

"Perbuatan itu disyaki sebagai dorongan untuk pemilik syarikat pembekalan perkakasan dan jentera berkenaan meneruskan kerja-kerja pembekalan peralatan kepada Ladang Tabung Tentera Terengganu," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan pemilik syarikat pembekal perkakasan dan jentera berkenaan yang berusia 36 tahun  ditahan reman selama lima hari  bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. - K! ONLINE

Pelancong pecah masuk resort diberkas

BESUT – Gara-gara seorang pelancong yang panjang tangan, sebuah resort di Pasir Panjang, Pulau Perhentian dekat sini kecoh semalam.

Lelaki yang berusia 25 tahun terbabit berjaya ditangkap selepas disyaki memecah masuk kafe resort tersebut pukul 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kelibat suspek yang berasal dari Jinjang Utara, Kuala Lumpur dalam keada­an mencurigakan sedang memunggah barang di kafe berkenaan di­sedari beberapa staf resort tersebut.

“Suspek yang menyedari perbuatannya diperhatikan telah melarikan diri sebelum dikejar kakita­ngan itu bersama beberapa orang awam.

“Dia akhirnya ditangkap tidak lama kemudian di kawasan resort terbabit,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Zamri berkata, lelaki itu telah dibawa oleh kumpulan yang menangkapnya ke Pondok Polis Pulau Perhentian untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, hasil soal siasat, suspek me­ngaku mencuri barangan peribadi dipercayai milik pelancong-pelancong lain yang menginap resort berkenaan seperti kamera digital, cermin mata hitam pelbagai jenama, pakaian, kipas tangan dan beg.

“Dia juga mengaku te­lah memecah masuk kafe tersebut dengan niat untuk mencuri,” katanya.

Wednesday, September 19, 2018

TFC I tetap puas biarpun tersungkur di laman sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JURULATIH Terengganu Football Club I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim tetap ber­puas hati biarpun skuad kendaliannya tewas 2-3 kepada Kuala Kumpur pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata, anak-anak buahnya masih mampu menyaingi skuad The City Boys walaupun terpaksa bermain dengan 10 orang lebih 50 minit pada pertemuan tersebut.

“Saya juga berpuas hati dengan prestasi Dohghyun Do (penyerang import Korea Selatan) yang memanfaatkan kepercayaan saya beri untuknya beraksi dalam kese­belasan utama malam ini (kelmarin).

“Dia bukan sahaja rajin menggerakkan serangan, malah berjaya menamatkan kemarau jaringan sejak lapan aksi sebelum ini dengan meledak satu gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Irfan juga berasa lega apabila TFC I masih muncul juara Kumpulan A biarpun tewas pada aksi berkenaan yang diibarat sekadar pelengkap jadual.

Pengendali berpengalaman tersebut berkata, skuad Penyu bersedia untuk menghadapi Felda United pada aksi suku akhir nanti.

“Saya akui terpaksa merehatkan beberapa pemain tonggak yang sudah mengutip dua kad kuning sebelum ini bagi mengelakkan penggantungan pada aksi suku akhir kelak sekiranya mereka menerima kad pada perlawanan ini.

“Difahamkan Perak dan Felda United juga tidak menurunkan kesebelasan utama sehingga menyebabkan kedua-dua pasukan tewas. Saya tidak tahu apa strategi mereka tetapi yang pastinya kita akan bertemu Felda United pada suku akhir nanti,” katanya.

Ayam tambatan Kuala Lumpur, Guilerme de Paula muncul wira selepas meledak dua gol untuk pelawat pada minit ketiga dan 87, manakala jaringan ketiga pelawat dihasilkan seorang pemain import, Paulo Josue Sturmer pada minit ke-36.

Bagi TFC I pula, selain sepakan lencong Dohghyun yang menerjah gawang skuad The City Boys pada minit ke-34, satu lagi gol tuan rumah disumbang penyerang, Mohd. Shahrul Aizad Zukufli pada minit ke-65.

Mayat nelayan jatuh bot ditemui 
pada hari kelima operasi SAR

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Mayat seorang nelayan yang terjatuh dari bot pada Isnin lalu akhirnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Tanjung Basi berhampiran Pulau Perhentian dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, mayat Mohamad Azmi Adam, 19, ditemui pada hari kelima operasi tersebut pada pukul 9 pagi.

“Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pantai Genting, Tumpat, Kelantan dijumpai tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dari bot nelayan pada pukul 3.40 pagi, 3 September lalu.

“Bot peronda Ma­ritim Malaysia kemudian te­lah menghantar mayat mangsa ke Jeti Kuala Besut untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Zamri membe­ritahu, pengecaman telah dilakukan ahli keluarga Mohamad Azmi sebelum mayat remaja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Kosmo! 4 September lalu melaporkan Mohamad Azmi dilaporkan terjatuh dari sebuah bot nelayan di perairan Tanjung Basi berhampiran Pulau Perhentian dekat sini.

Remaja itu dikatakan terjatuh dari bot nelayan terbabit ketika sedang melakukan kerja-kerja penangkapan ikan di lokasi kejadian.

Tuesday, September 18, 2018

UniSZA dan AIBIM jalin kerjasama kewangan Islam

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjalin kerjasama strategik dengan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berhubung perkongsian kepakaran dalam bidang kewangan serta perbankan Islam.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif berkata, kerjasama tersebut melibatkan penyelidikan, perkongsian kepakaran dan aktiviti berasaskan akademik antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu juga merupakan platform yang menghubungkan secara langsung tenaga pengajar dan pelajar UniSZA terutamanya dari Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan (FESP) dengan pemain industri kewangan serta perbankan Islam negara ini.

"Ahli akademik dan pemain industri boleh berkongsi kepakaran bersama serta melakukan penyelidikan berkaitan kewangan dan perbankan Islam.

"Ia juga bakal manfaat besar kepada hampir 2,100 pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana FESP bagi meningkatkan pengetahuan dan penglibatan mereka dalam industri berkenaan sekali gus diharap dapat peningkatkan kebolehpasaran graduan UniSZA," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniSZA dan AIBIM berhubung kerjasama strategik berkenaan.


MoU berkenaaan ditandatangi Dekan FESP, Prof. Madya Dr. Wan Norhayate Wan Daud dan Timbalan Presiden AIBIM, Mohamad Rafe Haneef. - K! ONLINE