Translate

Tuesday, February 28, 2023

Hotel bayar cukai, homestay haram kaut untung

Oleh MOHD AZLI ADLAN, KAMALIZA KAMARUDDIN dan NUR HUDA MUSA

KUALA TERENGGANU – Lambakan inap desa terutamanya yang beroperasi secara haram di seluruh negara bagaikan ‘membunuh’ industri perhotelan dan resort apabila pelancong kini lebih suka menetap di homestay sewaktu percutian mereka. 

Realitinya sejak kebelakangan ini, kebanyakan bilik hotel dan resort hanya menjadi pilihan terakhir pelancong sekiranya rumah dan apartmen yang dijadikan inap desa di sesuatu lokasi pelancongan habis ditempah. 

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun berkata, pemain industri hotel dan resort sememangnya tidak mampu bersaing dengan pengusaha a inap desa khususnya dari segi caj penginapan. 

Menurutnya, kadar yang ditawarkan kebanyakan pengusaha homestay adalah jauh lebih rendah berbanding caj yang dikenakan pihak hotel atau resort.

 “Tidak seperti pengusaha inap desa terutama yang tidak berdaftar, kami perlu membayar pelbagai cukai kepada kerajaan seperti lesen Persembahan Awam Malaysia (PPM).

“Kami umpama bersaing di ‘padang yang tidak sama rata’ dan dikhuatiri lambat-laun akan memberi kesan negatif kepada industri pelancongan domestik sekiranya tidak ditangani segera,” katanya kepada Kosmo!. 

Suaibah menegaskan, pihaknya tidak menyalahkan pengusaha inap desa kerana percaya mereka juga penting dalam menyuburkan industri pelancongan tempatan.

 Begitupun, beliau yang juga Pengurus Besar Hotel Primula mengharapkan kerajaan dapat menyediakan mekanisme bagi mengawal selia inap desa dan juga beberapa aplikasi lain yang turut menawarkan perkhidmatan sama pada harga rendah.

 “Kita perlu ambil pengajaran daripada konflik yang pernah berlaku antara pemandu teksi dan e-hailing suatu masa dahulu. 

“Langkah awal dan proaktif perlu diambil bagi mengharmonikan industri pelancongan negara sebelum keadaan bertambah buruk,” ujarnya. 

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman pula mahu kerajaan menyediakan mekanisme yang memberi situasi menang-menang kepada semua pemain industri itu. 

Beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data bagi memastikan inap desa beroperasi secara sistematik, berdaftar dan tersusun seperti industri perhotelan serta resort. 

“Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan kadar lingkungan harga munasabah dengan kemudahan yang disediakan pengusaha inap desa,” katanya. 

Noralizan berkata, kawal selia kerajaan itu juga bagi memastikan semua pengusaha inap desa mematuhi aspek keselamatan, kebersihan dan tatacara pengurusan untuk mengelak sebarang unsur penipuan kepada pelancong.

 Jelas beliau, banyak inap desa kini dipercayai tidak pernah berdaftar dengan kerajaan dan ia sangat berisiko kepada penginap jika berlaku penipuan.

Sementara itu, Presiden Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia, Dr. Sri Ganesh  Michael  berkata , lambakan homestay ‘haram’ menyebabkan pengusaha hotel terpaksa menanggung kerugian sehingga ada yang terpaksa gulung tikar. 

Katanya, isu itu sudah dibangkitkan sejak sekian lama, tetapi sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian. 

Pengusaha-pengusaha hotel berdepan kesukaran apabila penginapan kediaman jangka masa pendek ini semakin berleluasa.

 “Ia tidak adil buat pengusaha hotel kerana perniagaan itu bukan sahaja tidak mempunyai lesen, malah tidak perlu membayar cukai dan tiada peraturan yang perlu mereka patuhi, sedangkan hotel-hotel berdaftar perlu akur semua peraturan,” ujarnya. 

K e t u a  P e g a w a i  E k s e k u t i f  P e r s a t u a n Hotel Malaysia, Isaac Raj pula berkata, masalah yang dicetuskan oleh pengendali penginapan menerusi platform dalam talian juga perlu diberi perhatian. 

Menurutnya, tawaran harga lebih murah serta pelbagai jenis promosi, menyukarkan pihak pengurusan hotel untuk memperoleh keuntungan.

 “Harga rumah atau bilik penginapan tidak berdaftar ditawarkan kadangkala lebih rendah berbanding hotel berdaftar walaupun kemudahan ditawarkan hampir sama. 

“Bagaimanapun, mereka tidak terbeban dengan pelbagai kos operasi seperti membayar gaji kakitangan, cukai pelancongan serta bermacam jenis lesen,” ujarnya.

Apa Kata Mereka Bajet 2023

 

“SAYA harap dana besar diperuntukkan kerajaan untuk membaiki kerosakan jalan dapat meningkatkan kualiti jalan raya negara ini yang mudah berlubang,” 

OMAR ABD. AZIZ 

Pengurus restoran



“ALHAMDULILLAH isu sekolah daif akhirnya didengar kerajaan. Semoga ia akan mendorong kecemerlangan pelajar di pedalaman.” 

MUHAMMAD SOFHI ZAINUDDIN 

Imam Masjid



Elaun Kemas naik jadi RM800 bulan depan

DUNGUN – Seramai 9,400 pembantu tabika Kemas di seluruh negara bakal menerima kenaikan elaun kepada RM800 sebulan berkuat kuasa bulan depan. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan kenaikan RM300 berbanding RM500 sebulan sebelum ini. 

“Kenaikan elaun ini melibatkan tambahan peruntukan RM30 juta kepada Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat). “Ia merupakan sebahagian peruntukan RM86.6 juta kepada Kemas yang telah diluluskan pada pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan (oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar) semalam (kelmarin),” katanya di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini semalam. 

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye-Syria berjumlah RM101,900 daripada Ketengah kepada wakil Kementerian Luar Negeri. 

Kosmo! pada 26 Jun 2022 melaporkan keluhan beberapa pembantu tabika Kemas yang cuma memperoleh elaun bulanan RM500 dan dianggap tidak berbaloi dengan tugas mereka. 

Mereka merayu keprihatinan kerajaan untuk menaikkan elaun tersebut sejajar dengan situasi ekonomi semasa. 

Rata-rata gaji guru taska sekitar RM700 dan tidak setimpal dalam keadaan sara hidup sekarang ini sehingga mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja bagi menampung kehidupan harian.

Tiada kad UNHCR punca Rohingya nikah koboi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lambakan kes warga Rohingya memilih untuk berkahwin secara nikah koboi atau lebih dikenali sebagai nikah ekspres di negara ini berpunca daripada masalah kewarganegaraan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Moktar Salleh berkata, situasi itu berlaku apabila pasangan tersebut bukan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Malah, nikah koboi itu di­pilih apabila warga Rohingya mahu berkahwin dengan orang tempatan atau warga Indonesia kerana lebih mudah berbanding cara sah yang rumit dan memakan masa yang lama.

Katanya, ketiadaan status kewarganegaraan yang sah menyukarkan pihak berkuasa agama negeri untuk mengeluarkan sijil nikah rasmi terhadap pasangan Rohingya berkenaan.

Beliau berkata, risiko masalah tersebut lebih tinggi sekiranya melibatkan perkahwinan campur antara lelaki Rohingya de­ngan wanita tempatan mahupun warga negara lain.

“Ketiadaan sijil pernikahan rasmi memberi impak besar ­kerana perkahwinan mereka tidak didaftarkan.

“Tanpa bukti tersebut, mereka berisiko untuk ditangkap atas kesalahan syariah jika didapati berdua-duaan oleh pegawai penguat kuasa,” katanya.

Jelasnya, ketiadaan surat nikah rasmi menyebabkan anak-anak yang dilahirkan sukar disahtarafkan sehingga terpaksa dinasabkan dengan bin atau binti Abdullah atau mana-mana nama Asmaul Husna.

Tambahnya, sekiranya berlaku penceraian, bekas isteri turut hilang hak menuntut nafkah kerana perkahwinan tersebut tidak didaftarkan dengan undang-undang syariah negara ini.

“Warga Rohingya bertaraf pelarian diberi perlindu­ngan sementara di negara ini.

“Sekiranya ditempatkan di mana-mana negara ketiga suatu hari nanti, seluruh keluarganya wajib berpindah termasuk isteri walaupun warga tempatan,” ujarnya.

Terengganu tangguh agih bantuan banjir

KUALA TERENGGANU – Ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak membuat tuntutan palsu, bantuan banjir berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas di Terengganu masih tidak dapat diagihkan. 

Dianggarkan daripada 29,000 permohonan oleh mangsa terjejas banjir yang diterima, hampir 3,000 meragukan dan perlu disemak kesahihannya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan sementara pengagihan bantuan tersebut yang sepatutnya dilunaskan awal bulan ini. 

Katanya, ia bagi membolehkan proses pemutihan dilakukan Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) demi menjamin ketelusan. 

“Masalah timbul kerana sikap masyarakat kita juga dengan membuat tuntutan bertindih.

 “Suami dan isteri buat tuntutan berasingan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan,” katanya di sini semalam.

 Ahmad Samsuri berkata, tambah mengecewakan, segelintir pihak cuba mengambil kesempatan membuat tuntutan walaupun kediaman mereka langsung tidak terjejas banjir.

 Ujar beliau, proses pemutihan permohonan tuntutan sedang dilakukan dan ia dijangka selesai dalam masa terdekat. 

“Buat masa ini, hanya dua daerah masih belum menghantar senarai (penerima) yang masih tidak diputihkan. 

“Saya telah mengarahkan ia diselesaikan segera. InsyaAllah, agihan bantuan banjir akan dilakukan pada Mac ini,” katanya. 

Terdahulu, sesetengah mangsa banjir di Terengganu merungut kerana masih belum menerima bantuan banjir berjumlah RM1,000 yang dijanjikan kerajaan negeri sebelum ini. 

Setiap ketua isi rumah yang terjejas turut menerima bantuan banjir dengan amaun sama daripada Kerajaan Persekutuan.

Elaun pembantu tabika Kemas naik RM800 bulan depan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seramai 9,400 pembantu tabika Kemas di seluruh negara bakal menerima kenaikan elaun kepada RM800 sebulan berkuatkuasa Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan kenaikan RM300 berbanding RM500 sebulan sebelum ini.

“Kenaikan elaun ini melibatkan tambahan peruntukan RM30 juta kepada Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat).

“Ia merupakan sebahagian peruntukan RM86.6 juta kepada Kemas yang diluluskan pada pembentangan Bajet 2023 dibentangkan (oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar) semalam (kelmarin),” katanya di Pejabat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan penyerahan Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye – Syria berjumlah RM101,900 daripada Ketengah kepada wakil Kementerian Luar Negeri.

Kosmo! pada 26 Jun 2022 melaporkan keluhan beberapa pembantu tabika Kemas yang cuma memperoleh elaun bulanan RM500 dan dianggap tidak berbaloi dengan tugas mereka.

Mereka merayu keprihatinan kerajaan untuk menaikkan elaun tersebut sejajar dengan situasi ekonomi semasa. – KOSMO! ONLINE

Monday, February 27, 2023

Belanjawan 2023: Cuepacs perlu rasional kemampuan kerajaan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu rasional tentang keupayaan kerajaan dalam memenuhi semua tuntutan penjawat awam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun tidak dapat menaikkan gaji 1.7 penjawat awam pada masa ini, ia tidak bermakna kerajaan mengenepikan kebajikan golongan berkenaan.

“Pada hemat saya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga memberikan keprihatinan tinggi kepada permintaan penjawat awam.

“Ia termasuk pemberian wang khusus (imbuhan) sebanyak RM700 untuk Aidilfitri dan RM350 bagi pesara,” katanya di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Terdahulu Presiden Cuepac, Datuk Adnan Mat dipetik kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2023 yang dilihat beliau tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup.

Ahmad Zahid berkata, pengumuman imbuhan raya tersebut adalah langkah baik bagi peringkat permulaan terhadap memenuhi permintaan Cuepacs berkenaan.

Tambah beliau, Cuepacs sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan penjawat awam susah pasti memahami kekangan kewangan sedang dihadapi kerajaan pada masa ini.

“Sebanyak RM46 bilion daripada RM388.1 bilion peruntukan dibentang dalam Belanjawan 2023 adalah untuk membayar faedah hutang.

“Itu belum termasuk pembayaran wang pencen (yang perlu ditanggung kerajaan),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pesta seludup ‘barang’ ketika musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Terdapat sindiket dikesan mengambil kesempatan menjadikan musim tengkujuh untuk menggiatkan aktiviti penyeludupan menggunakan jalan laut kerana mengandaikan pihak berkuasa sedang sibuk membantu mangsa bencana.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, berdasarkan rekod, pasti ada kes cubaan penyeludupan di perairan daerah ini pada setiap musim tengkujuh.

Katanya, pihak polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok menerusi jalan laut pada musim tengkujuh dua tahun berturut-turut.

“Tahun lalu, cubaan untuk membawa masuk rokok seludup menerusi bot berjaya dipatahkan di perairan Besut.

“Tahun ini pula, kita berjaya merampas 9,900 karton rokok disyaki seludup dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.69 juta di pesisir Pantai Air Tawar di sini pada 8 November lalu,” katanya.

Abdul Rozak berkata, sewaktu serbuan dilakukan, bekalan rokok disyaki seludup berkenaan sedang dipunggah masuk ke dalam sebuah lori.

Begitupun, jelas beliau, beberapa lelaki yang disyaki anggota sindiket sempat melarikan diri apabila lokasi kejadian diser­bu anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM).

“Mungkin mereka merasakan pemantauan pihak berkuasa akan berkurangan pada musim tengkujuh.

“Ini kerana, mereka mengandaikan pihak berkuasa negara ini memberi fokus membantu mangsa banjir selain masalah logistik akibat laut bergelora pada Monsun Timur Laut,” ujarnya.

Abdul Rozak menegaskan, andaian sindiket tersebut silap ke­ra­na pihak berkuasa tidak pernah leka kerana pemantauan bagi membanteras jenayah di perairan negara tetap dilakukan walaupun pada musim tengkujuh.


Air pasang besar, ombak ‘telan’ pantai Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIAP kali monsun Timur Laut menjelma dari Oktober hingga Mac saban tahun, Terengganu pasti dibelenggu dengan ancaman bukan sahaja banjir, malah hakisan pantai.

Berdasarkan laporan hakisan pantai negara (NCES), 48 lokasi pesisir pantai di Terengganu be­risiko menghadapi hakisan.

Sepanjang musim tengkujuh, kawasan pesisir pantai seperti Pantai Penarik dan Bari Kecil, Setiu; Pantai Kampung Tanjung dan Seberang Takir, Kuala Nerus dan Pantai Geliga, Kemaman menga­lami hakisan teruk.

Hakisan pantai disebabkan fenomena air pasang besar dan ombak tinggi telah memusnahkan banyak harta benda rakyat.

Benar kerajaan tidak berdiam diri, namun inisiatif pembinaan benteng penahan dan pemecah ombak yang dibina melibatkan kos beratus juta ringgit selama ini nampak bukanlah penyelesaian jitu.

Infrastruktur itu seakan tidak mampu menyelesaikan isu hakisan pantai yang terus membadai penempatan mereka saban tahun.

Mengulas isu itu, Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, sudah tiba masanya agensi kerajaan mengubah pendekatan dalam menangani masalah ha­kisan pantai di negeri ini.

Pakar Oseanografi itu berkata, pesisir pantai di Terengganu yang terjejas teruk dengan hakisan terbahagi kepada dua kawasan utama iaitu utara melibatkan daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut serta selatan (Dungun dan Kemaman).

“Kajian mendapati, kedua-dua kawasan ini memerlukan ‘rawatan’ yang berbeza bagi mengurangkan impak hakisan pantai yang sedang berlaku.

“Secara dasarkan kawasan utara lebih kritikal daripada selatan. Oleh itu, pembinaan benteng penahan dan pemecah ombak sudah tidak mampu lagi mengalami masalah (hakisan pantai),” katanya kepada Kosmo! .

Effi Helmy berkata, tenaga ombak yang menjadi punca ha­kisan sukar lagi diuraikan dengan benteng tersebut menyebabkan ia semakin merebak ke kawasan lain.

Jelas beliau, benteng ber­kenaan akan mengalihkan ombak besar ke kawasan berhampiran, sekali gus mencetuskan hakisan pantai.

“Sebagai contohnya, pembinaan benteng penahan ombak di Pantai Tok Jembal dipercayai te­lah menjejaskan Batu Rakit, Kuala Nerus; Merang, Bari dan Penarik, Setiu.

“Lokasi-lokasi itu kini mula merasai impak hakisan pantai pula sejak beberapa tahun kebe­lakangan ini,” ujarnnya.

Sehubungan itu, Effi Helmy mencadangkan sebahagian kawasan pesisir pantai di Kuala Nerus ‘dikorbankan’ menjadi tanjung secara semula jadi.

Jelas beliau, kewujudan tanjung secara semula jadi dalam tempoh beberapa tahun itu akan mengurangkan impak ha­kisan di daerah itu, sekali gus menyelamatkan juga kawasan lain.

Begitupun, Effi Helmy berkata, pembinaan benteng pemecah ombak masih efektif untuk me­ngurangkan impak hakisan pantai di kawasan selatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS Terengganu, Osman Abdullah berkata, cadangan penyelesaian jangka panjang isu hakisan pantai di negeri ini akan dikemukakan untuk perhatian kerajaan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau mengakui morfologi pantai Terengganu banyak berubah sejak tahun 2017 dengan beberapa kawasan yang stabil sebelum ini mulai terjejas dengan hakisan atas pelbagai faktor.

Sunday, February 26, 2023

Penyeludup sangka polis ‘buta’, kena cekup bila leka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bukan sahaja menjarah hasil laut negara sehingga menyebabkan kerugian RM6 bilion, malah ada nelayan Vietnam menjadi dalang dalam kegiatan penyeludupan rokok, dadah dan haiwan eksotik sejak dua tahun lalu. 

Kegiatan makin menjadi-jadi semasa musim tengkujuh kerana ketika itu mereka menyangka pasukan keselamatan sedang memberi fokus untuk membantu mangsa banjir di Malaysia. 

Malah, ada pula nelayan tempatan yang berkomplot dengan nelayan asing terbabit dalam kegiatan haram itu. 

Sumber memberitahu, berdasarkan modus operandi, nelayan Vietnam akan membantu sindiket penyeludupan antarabangsa dengan membawa barangan seludup terutama rokok dan dadah sambil mereka turun ke laut kononnya untuk menangkap ikan.

MENURUTNYA, ketika berada di tengah-tengah laut, nelayan Vietnam terbabit akan memunggah barangan seludup di atas bot nelayan tempatan atau bot yang dipandu sendiri oleh sindiket. 

“Nelayan Vietnam juga ada memunggah barangan seludup di beberapa buah pulau yang tidak berpenghuni di Laut Cina Selatan berdekatan perairan Pantai Timur bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

 “Barangan ini kemudian akan diambil oleh nelayan tempatan atau ahli sindiket sendiri untuk dibawa ke pesisir pantai sebelum diedarkan menggunakan pengangkutan darat seperti van, kereta atau lori,” katanya kepada Kosmo!. 

Sumber berkata, setakat ini pesisir pantai Besut, Setiu dan Marang di Terengganu serta beberapa kawasan lain di negeri Pantai Timur lain dikenal pasti sebagai lokasi panas kegiatan penyeludupan terbabit.

 “Penyeludupan tersebut melibatkan nilai jutaan ringgit. Antara kes terbaharu ialah penemuan 9,900 karton rokok disyaki seludup bernilai keseluruhan RM1.69 juta di Pantai Air Tawar, Besut pada awal November tahun lalu,” ujarnya. 

Sumber berkata, penglibatan nelayan Vietnam dalam aktiviti penyeludupan makin terserlah dengan penangkapan dua lelaki warga negara berkenaan di Pasir Puteh, Kelantan pada 1 Disember tahun lalu. 

Beliau berkata, mereka disyaki mahu menyeludup keluar musang pandan menerusi penemuan 59 ekor haiwan eksotik tersebut di dalam sebuah bot nelayan oleh pihak berkuasa. 

“Kejadian semakin menjadi-jadi ketika musim tengkujuh kerana ketika itu mereka m e n y a n g ka pasukan kes e l a m a t a n   m e m b e r i fokus untuk m e m b a n t u mangsa banjir di negara kita,” ujarnya. 

Katanya, setiap tahun dianggarkan ribuan bot nelayan Vietnam memasuki perairan negara di Pantai Timur termasuk Terengganu yang mengakibatkan negara kerugian hampir RM6 bilion.

 “Trend penyeludupan menerusi jalan laut di negeri-negeri Pantai Timur dilihat semakin popular sejak dua tahun lalu. 

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan nelayan asing menjadi orang tengah yang membantu sindiket bagi memperoleh bekalan terutama rokok dan dadah dari jalan laut,” katanya.

Harga sayur dijangka stabil bulan Ramadan

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Harga sayur-sayuran di Terengganu yang melonjak sehingga 100 peratus pada masa ini dijangka stabil semula menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi. 

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Nukman Hashim berkata, peningkatan harga itu akan diimbangkan dengan pengeluaran daripada pekebun tempatan yang dijangka akan dapat mula dituai pada akhir bulan hadapan. 

“Kenaikan (harga sayur) ini senario lazim di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu setiap kali musim tengkujuh kerana kebanyakan kebun sayur dinaiki air banjir. 

“Begitupun, pekebun tempatan kini sudah mula melakukan penanaman semula sejak banjir besar reda pada awal bulan lalu,” katanya pada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Masjid Al-Ikhwan di Kampung Gelong Bilal di sini semalam. 

Nukman berkata, berdasarkan maklum balas pekebun tempatan, hasil pertanian mereka dijangka akan mula dapat dituai menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba pada akhir bulan depan. 

Tambah beliau, buat masa ini, FAMA Terengganu mengambil pendekatan untuk memastikan bekalan sayur untuk kegunaan pengguna negeri ini. 

“Sebanyak 10 tan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang akan dibawa masuk ke pasaran negeri ini pada masa terdekat.

 “Kita akui harga sayur agak tinggi pada masa ini, namun bagi jangka pendek ini, biarlah keberadaannya di pasaran negeri ini terjamin,” katanya. 

Nukman berkata, kenaikan sayuran pada masa ini disebabkan situasi banjir di beberapa negeri pembekal dan ketiadaan bekalan daripada pekebun tempatan.

Saturday, February 25, 2023

Perarakan replika senjata: Polis rakam 12 keterangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah merakam 12 keterangan individu berhubung siasatan kes perarakan membawa replika senjata oleh Pemuda Pas Terengganu di Setiu pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keterangan itu termasuk daripada penganjur dan ahli jawatan kuasa program berkenaan.

Beliau berkata, beberapa individu lain termasuk peserta perarakan tersebut akan dipanggil bagi turut memberi keterangan pada masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.

“Setakat ini, kita juga telah menerima tiga laporan polis berhubung perarakan berkenaan.

“Ia termasuk daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah pada hari ini,” katanya di sini hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan Rohaimi berkata, siasatan awal telah dilakukan bagi mengenal pasti kesalahan yang dilakukan sepanjang program anjuran Pemuda Pas negeri berkenaan.

Terdahulu, gambar perarakan tersebut tular di media sosial sehinggu mencetuskan kebimbangan dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana memiliki dan membawa senjata tajam walaupun palsu merupakan kesalahan jenayah. – KOSMO! ONLINE

Ramai selesa sewa homestay berbanding hotel

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ruang penginapan lebih selesa, caj berbaloi dengan bajet dan pelbagai kemudahan disediakan terma­suk dapur menjadi punca ramai pelancong kini lebih selesa menyewa inap desa untuk percutian mereka.

Juruteknik, Fawwaz Salahudin, 29, mengakui dia lebih gemar menempah inap desa berban­ding bilik hotel dan resort setiap kali bercuti bersama keluarga atau kawan-kawan.

“Saya tidak gemar bercuti bersendirian, lebih meriah bersama ahli keluarga atau rakan-rakan.

“Keluarga saya sendiri agak besar iaitu sembilan beradik. Kalau bercuti dengan rakan-rakan juga biasanya lebih daripada lima orang.

“Jadi menginap di inap desa lebih selesa berbanding di hotel atau resort yang juga mempunyai pelbagai peraturan,” katanya kepada Kosmo!.

Dia yang berasal dari Machang, Kelantan itu memberitahu, kadar penginapan di inap desa juga berbaloi berbanding menyewa banyak bilik di hotel mahupun resort.

“Kita boleh menetap di inap desa yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air semurah RM250 sehari berbanding caj mungkin dua kali ganda atau lebih jika menempah bilik hotel.

“Jadual percutian juga lebih mudah diatur kerana menetap serumah berbanding duduk di bilik-bilik berasingan di hotel,” ujar­nya.

Sementara itu, Azammuddin Yusof, 31, pula berkata, penginapan di inap desa lebih ideal untuk percutian keluarga besar sepertinya, malah mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti.

Katanya, lebih selesa bagi ibu bapanya yang sudah berusia dan sedikit uzur untuk bercuti bersama di inap desa yang merupakan rumah semi-D atau banglo berbanding perlu menaiki lif ke bilik hotel.

“Kemudahan dapur untuk memasak sendiri juga disediakan di inap desa. Bukan sahaja dapat menjimatkan duit, malah kami dapat masak menu kegemaran bersama-sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mahkamah: 45 nelayan Vietnam ceroboh perairan negara didenda RM3.92 juta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 45 nelayan Vietnam dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM3.92 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencerobohi perairan negara pada tahun lalu.

Hakim Noriah Osman memerintahkan demikian selepas lima tekong dan 40 awak-awak berkenaan membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Beliau juga memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan empat daripada lima bot nelayan Vietnam berkenaan bersama bekalan dieselnya dilucut hak kepada kerajaan.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua 45 tertuduh itu didakwa mencerobohi perairan negara pada tahun lalu.

Perbuatan dilakukan mereka bagi menangkap ikan secara haram tersebut didakwa dilakukan pada kedudukan kira-kira antara 59 dan 135 batu nautika tenggara Kuala Terengganu.

Lima bot dinaiki nelayan-nelayan Vietnam berkenaan berjaya ditahan Kapal Maritim (KM) Gemia dan KM Pekan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM6 juta membabitkan tekong dan RM600,000 bagi awak-awak jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tambah 5,000 papan telur setiap minggu di bulan puasa

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang untuk meningkatkan lagi bekalan telur ayam kepada 5,000 papan seminggu menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba akhir April ini. 

Pengarah FAMA Terengganu, Nukman Hashim berkata, inisiatif tersebut bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan yang sudah pasti bakal meningkat pada bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

 “Buat masa ini, FAMA Terengganu membekalkan 3,000 papan atau 90,000 biji seminggu bagi mengatasi kekurangan telur ayam yang pernah berlaku sebelum ini. 

“Begitupun, kami akan memohon untuk meningkatkan bekalan kepada 5,000 papan lagi atau 150,000 biji seminggu pada bulan Ramadan ini,” katanya. 

Nukman berkata, bekalan te lur ayam tersebut diperolehi daripada pembekal dari Melaka.

 Jelas beliau, ia disebabkan Terengganu masih belum memiliki industri penternakan ayam penelur.

 FAMA Terengganu telah mengambil inisiatif membekalkan telur ayam secara konsisten kepada rakyat melalui outlet-outlet peruncitan agensi itu di seluruh negeri ini mulai bulan lalu. 

Ia merupakan antara inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menjamin sekuriti makanan di negara ini

Dua maut, kereta Honda Civic rempuh tiang lampu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta Honda Civic dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Jambu Bongkok di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 2.40 petang itu, mangsa, Nursyazwani Shamsudin Satin, 17, dan Muhammad Rafizan Rozlan, 23, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Pemandu kereta Honda Civic, Muhammad Sahrul, 24, yang juga abang Nursyazwani dan
Muhammad Suhaimi, 18, iaitu adik kepada Muhammad Rafizan pula cedera parah.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, sewaktu kejadian, kereta dinaiki keempat-empat mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Paka, Dungun dari bandar raya Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi jalan.

“Kereta tersebut kemudiannya merempuh sebatang tiang lampu yang berada di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, mayat Nursyazwani dan Muhammad Suhaimi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, Muhammad Sahrul, 24, dan Muhammad Suhaimi, 18, yang cedera parah pula dikejarkan di unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

Friday, February 24, 2023

Jual sayur murah pun masih boleh untung

KUALA TERENGGANU – Peniaga di negeri mula menyahut cabaran pihak kerajaan untuk menurunkan harga sayur-sayuran dengan masih mendapat keuntungan. 

Penurunan harga itu bagi menyahut idea kerajaan berkenaan program Menu Rahmah. 

Seorang peniaga sayur di Pasar Chabang Tiga, Mamat Embong, 70, berkata, kesemua 40 jenis sayur yang dijual di gerainya dijual pada harga sehingga RM1 lebih murah daripada pasaran.

 “Kobis RM3.50 sekilogram, saya turunkan sebanyak RM1 kepada RM2.50 sahaja mulai hari ini (semalam). 

“Sawi pula kini RM5 sekilogram berbanding harga pasarannya RM6,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga di sini semalam. 

Mamat berkata, dia menyedari ramai pelanggannya terkesan dengan kenaikan harga sayur di negeri ini yang mencecah 100 peratus sejak dua bulan lalu. 

Tambahnya yang sudah berniaga sayur sejak 35 tahun, dia cuba mengurangkan beban pelanggannya tersebut dengan mengambil inspirasi daripada Menu Rahmah yang diperkenal kerajaan baru-baru ini.

 “Tidak boleh terlalu murah kerana kos modal pun sudah semakin tinggi pada masa ini. Pendekatan saya ialah memberi diskaun RM1 setiap kilogram,” ujarnya.

Thursday, February 23, 2023

Pemuda jual daging burung puyuh semurah RM1.50 seekor

 

KUALA TERENGGANU – Seorang penternak burung puyuh menyahut seruan kerajaan menurunkan harga dengan menjual daging unggas itu pada harga semurah RM1.50 seekor.

 Syed Fariz Syed Azman, 22, berkata, sebelum ini, seekor burung puyuh mentah dijual pada harga RM3 hingga RM3.50 mengikut saiz. 

“Sebaik kerajaan memperkenal Menu Rahmah bagi meringankan beban sara hidup rakyat, saya terpanggil untuk turut serta dengan pendekatan tersendiri. 

“Harga seekor burung puyuh diturunkan kepada RM1.50 hingga RM2 mengikut saiz selain menawarkan pakej 10 ekor dengan harga hanya RM15,” katanya ketika ditemui di Chendering di sini semalam. 

Syed Fariz berkata, tawaran istimewa itu juga bertujuan menggalakkan lebih ramai orang merasai kelazatan daging puyuh sebagai salah sumber protein bagi keluarga mereka. 

Tambah beliau, sambutan yang diterima sejak jualan murah burung puyuh itu bermula sejak hampir seminggu lalu amat memberangsangkan.

 “Secara purata hampir 600 ekor burung puyuh mentah berjaya dijual setiap hari sepanjang tempoh tersebut. 

“Kami menjual daging burung puyuh di pasar pagi, pasar tani dan pasar malam sekitar bandar raya ini dan Marang pada setiap hari,” katanya. 

Syed Fariz berkata, bekalan burung puyuh tersebut dibela sendiri di Kampung Kuala Bekah di sini. Jelasnya, burung puyuh sudah matang dan sedia disembelih untuk dipasarkan apabila berusia 30 hari.

 “Selain daging, kami juga menjual telur puyuh dengan harga RM10 bagi 40 biji. Walaupun menjual pada harga RM1.50 seekor, keuntungan masih diperolehi,” katanya.

Wednesday, February 22, 2023

1.6 tan sampah dikutip di Pantai Pandak

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 1.6 tan sampah dikutip dalam tempoh tiga jam sahaja dalam program gotong-royong membersihkan Pantai Pandak di Kuala Ibai di sini semalam. 

Ia melibatkan seramai 140 sukarelawan terdiri daripada kakitangan syarikat kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Geng Plastik Ija (GPI), pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). 

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Keselamatan EPIC, Rusdi Ngah berkata, program gotong-royong berkenaan dilakukan di sepanjang kira-kira 200 meter pesisir pantai berkenaan. 

“Sepanjang tempoh itu, kami berjaya mengutip kira-kira 1.6 tan sampah,” katanya semalam.

 Rusdi berkata, kebanyakan sampah dikutip adalah botol minuman, pembungkus plastik makanan, pukat nelayan, tali dan cebisan gabus. 

Tambahnya, sampah sarap yang dikutip akan dilupuskan, manakala botol plastik dikitar semula. 

“Bagi menghargai sumbangan inisiatif diambil GPI, EPIC memberi sumbangan RM4,000 kepada kumpulan sukarelawan berkenaan,” ujarnya.

Tuesday, February 21, 2023

Pelajar UMT kutip 600kg sampah pantai

KUALA TERENGGANU – Seramai 20 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bergotong-royong membersihkan kawasan pengkalan nelayan di Chendering di sini, baru-baru ini. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin UMT, Dr. Chuah Lai Fatt berkata, program itu bertujuan mengindahkan kawasan pengkalan nelayan dan pesisir pantai sekitarnya daripada sampah.

 “Sebanyak 600 kilogram sampah berjaya dikutip oleh pelajar-pelajar terbabit sepanjang program gotong-royong berkenaan. 

“Kebanyakan sampah yang dikutip merupakan produk diperbuat daripada plastik seperti beg, botol dan bekas makanan plastik, lampin pakai buang dan pemetik api,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Lai Fatt berkata, selain itu, sampah berupa baju, tin makanan, span sofa, serpihan kaca dan puntung rokok juga banyak ditemui di pesisir pantai berkenaan. 

Tambah beliau, pihaknya percaya sebahagian besar sampah-sarap berkenaan memasuki laut setelah dibuang di sistem saliran sebelum terdampar semula ke pantai. 

“Lambakan sampah termasuk plastik ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah memberi ancaman kepada nyawa hidupan laut dan kesihatan manusia. 

“Selain mengutip sampah, pelajar tahun satu dan dua terbabit turut diberi peranan untuk memberi kesedaran tentang keburukan membuang sampah ke laut kepada golongan nelayan dan masyarakat setempat,” kata nya. 

Lai Fatt menambah, program itu juga memberi pendedahan kepada pelajarnya tentang situasi maritim semasa dengan pendekatan turun padang. 

Beliau berkata, besar harapannya, pelajar program maritim UMT akan terus memainkan peranan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Guru bersyukur terima manfaat banjir daripada YGMB

KUALA NERUS – Seramai 50 guru di Terengganu yang terjejas dengan banjir besar pada akhir tahun lalu bersyukur menerima manfaat daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). 

Setiap mereka menerima wang tunai RM500 yang merupakan sebahagian daripada manfaat bencana di bawah Skim Keahlian YGMB dengan yuran bulanan semurah RM10.

 Seorang penerima, Wan Manzura Wan Kamal, 59, berkata, rumahnya di Kampung Losong Haji Long, Kuala Terengganu dilanda banjir sebanyak tiga kali sewaktu gelombang banjir pertama dan kedua tersebut. 

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar, Kuala Terengganu itu memberitahu, banyak perabot dan peralatan elektrik rumahnya rosak akibat ditenggelami air. 

“Alhamdulillah, pemberian manfaat ini sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli semula sebahagian barangan elektrik yang telah rosak. 

“Saya telah menyertai Skim Keahlian YGMB sejak 20 tahun lalu dan banyak manfaat telah diperoleh daripadanya,” katanya selepas menerima manfaat tersebut daripada Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam. 

Skim Keahlian YGMB menawarkan 25 manfaat disertai lebih 130,000 warga pendidik di seluruh negara. 

Seorang lagi penerima, Ismarul Wardi Abdullah, 48, yang merupakan guru SK Felda Tenang, Besut pula berkata, ini kali kedua dia menerima manfaat daripada Skim Keahlian YGMB sejak menyertainya pada tahun 2018.

Monday, February 20, 2023

Harga bahan mentah diramal menurun akhir bulan Mac

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan kos bahan mentah kini melonjak bakal kembali stabil menjelang hujung bulan depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, pada masa ini inflasi makanan domestik berada pada kadar 6.8 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan penganalisis ekonomi, kadar inflasi makanan itu akan menurun kepada lima peratus pada akhir bulan Mac nanti.

“Kita akui inflasi makanan agak tinggi pada masa ini dengan paras paling tinggi iaitu tujuh peratus pada bulan November lalu.

“Begitupun ia kini semakin menurun dan dijangka mencapai lima peratus pada hujung bulan Mac,” katanya selepas menghadiri Jelajah Menu Rahmah peringkat Terengganu di Restoran Cahaya Mesra Seafood, Kijal di sini hari ini.

Fuziah berkata, penurunan inflasi makanan itu bakal menstabilkan semula harga bahan mentah seperti sayur-sayuran, ayam dan daging.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu berdasarkan maklum balas pekebun Cameron Highlands, harga sayur-sayuran juga semakin menunjukkan trend penurunan.

“Mereka memberitahu tidak semua sayur mahal, ada juga yang turun (harga) seperti pak choy.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan pengguna khususnya suri rumah memanfaatkan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Kerajaan Terengganu sedia dengar rayuan penerbit filem Pulau

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu bersedia untuk bertemu dengan penerbit filem Pulau bagi membincangkan isu pengharamannya di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri bersedia mendengar penjelasan dan rayuan yang bakal dikemukakan penerbit filem tersebut.

“Kita tunggu apa bentuk rayuan, apa justifikasi yang diberikan (penerbit filem pulau). Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus diberi ruang untuk menilai.

“Sebelum ini, kita buat keputusan (mengharamkan tayangan di pawagam) berdasarkan trailer (filem Pulau),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutup Karnival Orang Kurang Upaya Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem Pulau di semua pawagam di negeri ini.

Penerbit filem Pulau, Fred Chong pula dipetik sebagai berkata, pihaknya mahu mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri Terengganu bagi membolehkan tayangannya yang dijadual mulai 9 Mac depan diteruskan.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan negeri Terengganu bertanggungjawab menjaga moral rakyatnya bagi menjamin keberkatan.

“Sepatutnya prosedur (filem) harus melihat budaya dan sensitiviti masyarakat keseluruhan negeri di Malaysia. Barulah lahir sebuah filem yang menetapi kehendak dan tidak menimbulkan masalah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ramai tipu tuntutan, Terengganu tangguh agih bantuan banjir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir membuat tuntutan palsu, bantuan banjir berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas di Terengganu masih tidak dapat diagihkan.

Dianggarkan daripada kira-kira 29,000 permohonan diterima daripada keluarga terjejas banjir tersebut, hampir 3,000 meragukan dan perlu disemak kesahihannya.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan sementara pengagihan bantuan tersebut yang sepatutnya dilunaskan awal bulan ini.

Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan proses pemutihan dilakukan jabatan pembangunan dan kemajuan kampung (JPKK) demi menjamin ketelusan.

“Masalah timbul kerana sikap anggota masyarakat kita juga dengan membuat tuntutan bertindih.

“Suami dan isteri masing-masing buat tuntutan berasingan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan,” katanya di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, tambah mengecewakan, segelintir pihak turut cuba mengambil kesempatan membuat tuntutan walaupun kediaman mereka sebenarnya langsung tidak terjejas banjir pada musim tengkujuh ini. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat perarakan bersenjata Pemuda Pas Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu bakal mengambil tindakan terhadap sekumpulan Pemuda Pas Terengganu yang melakukan perarakan membawa replika senjata tajam di sebuah resort di Setiu pada kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan itu dilakukan berikutan penyebaran gambar-gambar perarakan tersebut di media sosial pada hari ini.

“Hasil siasatan mendapati perarakan tersebut merupakan pertandingan mereka cipta bertemakan pakaian, senjata dan warisan Islam.

“Ia merupakan salah satu acara yang dianjurkan dalam program tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu perarakan sekumpulan Pemuda Pas negeri memakai pakaian beragam sambil memegang replika senjata seperti pedang dan tombak pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tular di media sosial.

Ia menimbulkan kegusaran dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat kerana perbuatan mempamerkan dan memiliki senjata walaupun palsu kepada khalayak merupakan kesalahan jenayah mengikut Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Rohaimi memberitahu walaupun mengetahui penganjuran program oleh Pemuda Pas Terengganu itu, pihaknya tidak dimaklumkan tentang acara perarakan membawa senjata terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan awal telah diambil bagi mengenalpasti kesalahan yang dilakukan sepanjang program berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Kahwin separuh jalan di Siam

 Oleh NORLIDA AKMAR IDROS dan MOHD. AZLI ADLAN

ALOR SETAR – Ramai pasangan bernikah di Thailand menjadi mangsa penipuan sindiket apabila perkahwinan yang dianggap selesai sebenarnya hanya dilakukan separuh jalan hingga mendatangkan masalah sekiranya hendak membuat pendaftaran di Malaysia.

Sindiket nikah Siam yang menerima bayaran antara RM3,000 hingga RM6,000 itu memerangkap pasangan pengantin dengan cara tidak membawa mereka ke pejabat Konsulat Malaysia untuk proses seterusnya sebaik ijab kabul dijalankan. 

Natijahnya, pasangan terpaksa pergi semula ke Thailand untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan pernikahan di Malaysia dan perlu membayar kos tambahan. 

Terdapat enam dokumen yang diperlukan untuk mendaftarkan perkahwinan termasuk surat nikah, pengesahan dan resit bayaran dari Konsulat Malaysia, tauliah jurunikah serta gambar bersama tok kadi dan saksi. 

Peguam syarie, Farah Diyana Azhar mendedahkan, bertambah malang apabila ada pasangan dinikahkan di satu lokasi dalam negara dekat sempadan Malaysia-Thailand menggunakan jurunikah Siam.

 Katanya, pernikahan itu dikhuatiri tidak sah kerana menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah selain lokasi pernikahan tidak diiktiraf dan dokumennya diragui.

“Jika didapati pernikahan tak sah, perkahwinan itu perlu dibubarkan seperti diperintahkan oleh Mahkamah Syariah dan bernikah semula. 

 “Kebanyakan sindiket mengiklankan khidmat mereka di media sosial dan mudah mempengaruhi pasangan cinta terlarang yang kebanyakkannya terdedah kepada risiko ditipu,” katanya kepada Kosmo!. 

Menurut Farah Diyana, antara modus operandi sindiket ialah mengambil bayaran penuh tetapi hanya bawa bernikah di Majlis Agama Islam Songkhla tetapi tidak pergi ke pejabat Konsulat Malaysia untuk urusan seterusnya. 

Tambahnya, ada juga pasangan yang bernikah dengan warga asing dibawa ke Thailand menggunakan lorong tikus dan ia menyukarkan proses dokumentasi dengan imigresen. 

“Ada pasangan terdesak hanya dinikahkan oleh jurunikah Siam berdekatan sempadan dengan diberikan surat nikah palsu dan ia banyak melibatkan mereka yang berkahwin ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. 

 Ujar Farah Diyana, pernikahan banyak dilakukan di dalam rumah dan ia berlaku di Kelantan dan segelintir kes terjadi di Kedah serta Perlis,” katanya. 

“Jika tidak keluar Malaysia, dikhuatiri jarak tidak lebih dua marhalah dan tidak boleh menggunakan wali hakim. Kebanyakan pasangan ditipu kerana tidak ada ilmu mengenai syarat dan peraturan jika bernikah di Thailand dan percaya bulat-bulat kepada ejen,” katanya. 

Menurut Farah Diyana, perkahwinan yang tidak didaftarkan bakal berdepan masalah dan kesukaran seperti dokumentasi anak, faraid, nafkah dan wali pernikahan zuriat kelak.

"Ada kes isteri ditindas apabila dia sahaja yang daftar, manakala suami enggan kononnya untuk mengelakkan isteri pertama tahu dan tidak mahu terikat dengan tanggungjawab,” katanya.   

Ujar Farah Diyana, ada juga kes isteri memohon mendaftarkan pernikahan selepas suami meninggal dunia dan anak sudah berusia 24 tahun. 

“Pernikahan tidak diiktiraf akan menyebabkan anak tidak dapat dinasabkan kepada bapa kandung, manakala proses faraid gagal dilakukan. 

Ia juga menyukarkan proses permohonan cerai,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan agar berkahwin dalam negara dengan mengikut saluran dan undang-undang yang betul bagi mengelak masalah di kemudian hari.