Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH ZULKIFLI
BESUT – Jeritan meminta tolong dua pekerja pembinaan selepas terperangkap berjaya menyelamatkan mereka dalam kejadian runtuhan bangunan restoran sebuah resort di Pantai Alunan, Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini awal pagi semalam.
Nyawa mangsa warga Indonesia dikenali sebagai Jamil, 33, dan Ramli, 48, itu ternyata masih panjang biarpun mereka berada di bawah runtuhan setinggi sembilan meter selama lebih lapan jam sebelum dikeluarkan anggota penyelamat tengah hari semalam.
Seorang lagi mangsa yang juga warga Indonesia dikenali sebagai Suparno bagaimanapun masih tertimbus. Setakat pukul 5 petang semalam, usaha mencari lelaki itu masih giat dijalankan.
Jamil dibawa keluar pada pukul 12.53 tengah hari, manakala Ramli pula dikeluarkan 15 minit kemudian.
Kedua-dua mereka yang hanya berkain pelekat cedera parah di kepala dan badan.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, terdapat tujuh mangsa terdiri tiga warga Indonesia, tiga warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan sedang tidur di bangunan tiga tingkat tersebut, namun empat daripada mereka sempat selamatkan diri.
Mereka ialah Mohd. Eunuh Hamid Husson, Shamsul Alam Abdul Sukur dan Mohd. Rafiq yang merupakan warga Myanmar serta lelaki tempatan, Leong.
Mangsa yang masih tertimbus tidur di tingkat bawah, manakala rakan-rakannya berada di tingkat dua dan tiga.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, insiden runtuhan di tapak pembinaan restoran tersebut disedari oleh penyelia resort berkenaan.
“Sewaktu kejadian, dia (penyelia) sedang tidur di premis berdekatan kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
“Dia terjaga selepas terdengar bunyi dentuman,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian semalam.
Menurut Abdul Rozak, penyelia resort tersebut yang panik segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan pelbagai agensi bagaimanapun tiba di lokasi kejadian pada pukul 10.15 pagi ekoran kesukaran untuk ke Pulau Perhentian disebabkan keadaan laut yang bergelora berikutan peralihan Monsun Timur Laut.
“Sebaik pasukan penyelamat tiba, dua mangsa iaitu Jamil dan Rahim menyahut panggilan anggota SAR.
“Tindakan itu membolehkan pasukan SAR mengenal pasti kedudukan seterusnya menyelamatkan mereka yang berada di bawah runtuhan bangunan tersebut,” katanya.
Beliau memberitahu, operasi SAR masih diteruskan untuk mengesan seorang lagi mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan itu.
Enam mangsa yang selamat dihantar ke Jeti Kuala Besut di sini dengan menggunakan bot ambulans sebelum dipindahkan ke Unit Kecemasan, Hospital Besut di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Seramai 49 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi SAR tersebut.
No comments:
Post a Comment