BESUT – Sekumpulan lelaki bertempiaran lari meninggalkan lori yang sarat dengan rokok seludup bernilai RM1.28 juta selepas terserempak dengan sekatan jalan berhampiran Kampung Pachakan, Kuala Besut di sini Ahad lalu.
Kejadian pada pukul 12 tengah hari itu berlaku apabila anggota sindiket sedang membawa 760,000 batang rokok jenama terkenal yang diseludup dari negara jiran.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota telah menemui lori yang mencurigakan itu selepas ia ditinggalkan.
“Tiga jam kami membuat intipan sebelum pemeriksaan dilakukan. Kita kemudian menemui 76 peti berisi 50 karton rokok putih seludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini semalam.
Menurut Mazli, siasatan awal mendapati anggota sindiket terbabit sengaja meninggalkan lori tersebut di tepi jalan bagi mengelak ditahan dalam sekatan jalan raya.
Tambahnya, rokok itu hendak dipasarkan di Lembah Klang atau selatan tanah air.
“Kita memang sentiasa memantau aktiviti penyeludupan termasuk rokok kerana daerah ini sering dijadikan transit setelah barangan seludup terbabit dibawa masuk dari negara jiran,” katanya.
No comments:
Post a Comment