Translate

Wednesday, April 30, 2014

Paras empangan bergantung air hujan

SHAH ALAM - Paras  Empangan   Sungai   Selangor  tidak meningkat secara mendadak walaupun hujan lebat sejak sebulan lalu disebabkan taburan hujan berlaku di hilir  sungai  dan kawasan bandar.

Pengarah Lembaga Urus Air  Selangor , Md.  Khairi  Selamat berkata,  empangan  yang terletak di hulu  Sungai   Selangor  itu bergantung sepenuhnya air hujan serta tadahan air bukit di kawasan tersebut.

Katanya,  empangan  itu juga tidak berhubung dengan  sungai - sungai  lain sebaliknya berfungsi membekalkan air ke  Sungai   Selangor  untuk disalurkan ke loji-loji air.

"Adalah mustahil untuk  sungai  mengalirkan air ke  empangan  yang terletak di hulu  sungai  kerana faktor graviti, kos dan ketiadaan infrastruktur," jelasnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai persoalan orang ramai mengapa selepas hampir sebulan hujan lebat turun di Lembah Klang, namun paras  Empangan   Sungai   Selangor  masih tidak melonjak naik.

Katanya, sehingga semalam,  empangan  yang boleh memuatkan 235 juta liter air itu hanya berada di paras 39.71 peratus.

Catuan air dijangka berakhir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@yahoo.com

KLANG – Kerajaan Selangor membayangkan pelan catuan bekalan air kepada penduduk Lembah Klang yang berlarutan hampir dua bulan lalu akan ditamatkan seawal minggu depan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata, ia berikutan projek mengepam air bekas lombong di sekitar Lembangan Sungai Selangor ke Sungai Selangor yang dijalankan sejak Ahad lalu menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, setakat ini, empat mesin pam berkapasiti tinggi telah digunakan untuk mengepam sumber air dari bekas lombong dan lima lagi mesin pam akan tiba hari ini.
“Sembilan pam ini berkeupayaan menyedut air sebanyak 400 juta liter sehari yang kemudian dialirkan ke Sungai Selangor bagi meningkatkan paras sungai itu.
“Langkah ini membolehkan lima loji rawatan air (LRA) yang di Lembangan Sungai Selangor beroperasi sekali gus membekalkan air bersih kepada penduduk Lembah Klang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Lima LRA itu ialah Rasa, Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 yang membekalkan lebih 60 peratus  air  bersih kepada penduduk.
Abdul  Khalid  memberitahu, pelan pemulihan bekalan  air  bersih tahap kedua tersebut disasarkan untuk mengepam sumber  air   lombong  sehingga 900 juta liter sehari.
"Jika usaha ini berjalan lancar, pelan catuan  air  boleh ditamatkan minggu depan," ujarnya.
Kata Abdul  Khalid , pengguna tidak perlu bimbang tentang penggunaan sumber  air  bekas  lombong  kerana pakar termasuk dari Jabatan Kimia dan Jabatan Kesihatan mendapati paras mineral di dalamnya berada pada paras dibenarkan.
Baru-baru ini, kerajaan negeri dilaporkan akan meneruskan catuan bekalan  air  selama 161 hari lagi di Lembah Klang sebagai persediaan menghadapi musim kering yang dijangka bermula Mei hingga September depan.

Tuesday, April 29, 2014

Seorang mati setiap 36 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA SELANGOR – Selangor merupakan negeri kedua tertinggi selepas Sabah yang mencatatkan kes penyakit tibi dengan mencatatkan 4,151 kes pada tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata, ia merupakan peningkatan 16 peratus berbanding tahun 2012.

“Sementara itu, sebanyak 245 kes kematian akibat penyakit tibi atau batuk kering dicatatkan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

“Secara puratanya, seorang rakyat negeri ini meninggal dunia akibat penyakit tersebut dalam tempoh 36 jam,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat Selangor di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dekat sini semalam.
Pada majlis sama, Jabatan Kesihatan  Selangor  turut melancarkan buku Polisi dan Garis Panduan Penyakit  Tibi  dan Kusta: Edisi Pertama 2014 bagi memantapkan langkah kawalan dan pencegahan kedua-dua penyakit berjangkit itu.

Azman berkata, statistik itu agak membimbangkan kerana dianggarkan 500 lagi kes penyakit bawaan udara tersebut masih gagal dikesan dan ia berpotensi menyebabkan perebakan penyakit berkenaan di negeri ini.

Menurut beliau, penyakit tersebut yang telah dikesan sejak zaman Firaun di Mesir itu masih merupakan penyumbang utama kematian bagi penyakit berjangkit di dunia selepas AIDS.

"Penyakit  tibi  ada penawarnya dan ia boleh sembuh sepenuhnya dalam tempoh enam bulan jika mendapat rawatan awal."

Oleh itu masyarakat perlu prihatin dan segera mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai simptom batuk berterusan selama dua minggu, demam sepanjang malam, hilang selera makan dan susut berat badan secara mendadak," katanya.

Azman memberitahu, oleh kerana penyakit  tibi  biasanya menular dalam kalangan warga asing yang menghuni negara ini, kerajaan turut menawarkan rawatan percuma mengubati penyakit itu kepada golongan tersebut.

Air lombong jadi alternatif atasi krisis air

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menolak tawaran bantuan kerajaan Persekutuan dan Negeri Sembilan untuk menyalurkan bekalan  air  mentah ke negeri itu, sebaliknya memilih pendekatan untuk mengepam  air  dari bekas  lombong  bagi mengatasi krisis  air  yang dihadapi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul  Khalid  Ibrahim berkata, kerja-kerja pengepaman  air  itu melibatkan sembilan daripada 26 bekas  lombong  bijih timah yang terdapat di sekitar negeri ini.

"Kerja-kerja mengepam  air  dari bekas  lombong  terbabit telah dimulakan sejak tiga hari (Ahad) lalu menggunakan pam berkapasiti tinggi yang mampu mengepam 50 juta liter  air  sehari (JLH).

"Sumber  air  bekas  lombong  yang dipam tadi akan dialirkan ke Sungai Selangor bagi meningkatkan paras  air  di Empangan Sungai Selangor," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco mingguan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Empangan Sungai Selangor yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor membekalkan 60 peratus daripada keperluan  air  bersih penduduk Lembah Klang.

Abdul  Khalid  berkata, kesemua sembilan bekas  lombong  berkenaan yang berusia lebih 20 tahun terletak berhampiran dengan lembangan Sungai Selangor.
Menurut beliau, kerajaan Selangor telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta bagi membina infrastruktur mengepam  air  dari bekas  lombong  tersebut.

"Kerja-kerja (mengepam  air  bekas  lombong ) itu dilaksanakan Lembaga Urus  Air  Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

"Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr. Yunus Hairi telah diberi tanggungjawab untuk menyelia projek itu," katanya.

Abdul  Khalid  berkata, kerajaan negeri menyasar mengalirkan sekurang-kurangnya 900 JLH  air  dari bekas  lombong  ke Sungai Selangor bagi meningkatkan kapasiti  air  di Empangan Sungai Selangor.

Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan sumber  air  dari bekas  lombong  bijih timah terbabit berkualiti dan tidak memberi kesan kesihatan kepada pengguna.

"Kita telah membuat kajian yang mendapati  air  dari bekas  lombong  terbabit telah melepasi ujian alam sekitar. Malah Jabatan Alam Sekitar turut dibabitkan dalam projek ini," katanya.

Tuesday, April 22, 2014

Timbalan Menteri lawat Kem PLKN Jugra, Kuala Langat

BERMESRA. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri mengadakan lawatan ke Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Jugra, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.

Selain beramah mesra dengan pelatih PLKN, lawatan kerja tersebut bertujuan untuk memastikan fasiliti di kem berkenaan berada pada tahap memuaskan.

Pada kunjungan berkenaan, Abdul Rahim menasihat pelatih Kem PLKN Jugra memanfaat tempoh tiga bulan latihan untuk meningkatkan jati diri, kemahiran komunikasi dan sahsiah.

Turut mengiringi Abdul Rahim ialah Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Azlan Juhar dan Komander Kem PLKN Jugra, Mejar Kamaruslan Che Teh.

Debaran kakak petanda buruk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan ADLAN JAAFAR 
berita@kosmo.com.my

KLANG – Debaran hati seorang kakak menanti ketibaan adiknya yang tidak muncul-muncul di destinasi yang dijanjikan terjawab apabila peniaga itu ditemui terkorban bersama isteri dan bayinya selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Jalan Haji Abdul Manan berhampiran Aman Perdana, Kapar di sini malam kelmarin.
Dalam tragedi pada pukul 9.21 malam itu, Siti Nur Fezrieca Saila Mohd. Yazid, 31, hanya mampu menahan sebak menyaksikan mayat adik keduanya, Ezwan Shah, 27, isteri Farah Natahsya Fadzly, 18, dan bayi mereka yang berusia lapan bulan, Nur Ezzara Lemani terkujur di sisi kereta Proton Satria dinaiki tiga beranak itu.
Anak Siti Nur Fezrieca, Nur Adliana Saiful Adli, 13, yang turut berada di dalam kereta dipandu Ezwan Shah hanya cedera.
Turut cedera, pasangan tunang, Mohd. Nazarul Mohd. Saifolalam, 24, dan Zahriah Ab. Jalil, 23, yang menaiki kereta Honda Accord serta seorang warga emas, Kamil Kalid Ariff, 60, yang menaiki kereta Toyota Camry.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini namun usaha Kosmo! menemu bual seorang mangsa, Zahriah gagal kerana dia enggan ditemui. Difahamkan Zahriah patah tangan kiri.
Sebelum kejadian, Siti Nur Fezrieca, anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia dan Ezwan Shah berjanji untuk menziarah adik bongsu mereka, Fatin Syamimi, 22, di Jalan Kopi, Kapar dekat sini.

Dia yang menetap di Setia Alam dekat sini memberitahu berasa tidak sedap hati apabila kereta yang dinaiki keluarga adik dan anak sulungnya tidak sampai ke rumah Fatin Syamimi walaupun sudah pukul 10.30 malam.

"Selepas mereka gagal dihubungi, saya mengambil keputusan untuk mencari mereka. 

"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, hati saya berdebar-debar kerana ternampak kereta adik lelaki saya terlibat dalam kemalangan. 

"Mayat Ezwan Shah, Farah Natahsya dan Nur Ezzara Lemani sudah dikeluarkan dari kereta," ceritanya ketika ditemui di perkarangan Rumah Mayat HTAR di sini semalam.

Jarak lokasi kejadian di persimpangan lampu isyarat Aman Perdana dengan rumah Fatin Syamimi kira-kira enam kilometer.

Bercerita lanjut, Siti Nur Fezrieca memberitahu, dia perasan, Ezwan Shah sejak kebelakangan ini berubah sikap apabila sering bercerita tentang kematian.

"Ezwan Shah pernah berpesan agar disemadikan di sebelah kubur allahyarham bapa yang meninggal dunia 22 Januari lalu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budiman, Meru dekat sini," katanya.

Jenazah Ezwan Shah dan anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budiman, Meru di sini manakala jenazah isterinya dituntut oleh keluarga untuk dikebumikan di kampungnya di Chenor, Pahang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kemalangan melibatkan empat kenderaan itu berpunca selepas kereta Proton Satria dipandu Ezwan Shah dan Honda Accord dipandu Mohd. Nazarul bergesel semasa sendiri sewaktu melalui Jalan Haji Manan dari Klang Sentral.

Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, kereta Honda Accord terbabas ke dalam belukar bersebelahan manakala kereta dipandu Ezwan Shah terbabas ke laluan bertentangan.

"Kemudiannya, kereta Proton Satria tersebut merempuh dua kereta lain iaitu Toyota Camry yang dipandu Kamil Kalid dan Proton Saga BLM," kata beliau. 

Pemandu Proton Saga BLM yang tidak dikenal pasti tidak cedera.

Polis cekup GRO leka layan pelanggan

KLANG - Keasyikan 19 gadis pelayan pelanggan (GRO) yang sedang melayan pelanggan masing-masing terbantut apabila pusat hiburan tersebut diserbu polis dalam satu operasi di Jalan Pasar, Bandar Baru Klang di sini semalam.

Pengawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Rohan Shah Ahmah, operasi diberi nama Ops. Noda semalam dua jam bermula pukul 12 tengah malam itu disertai lima pegawai dan 18 anggota.

Menurutnya, ketika diserbu, kesemua GRO dalam pusat hiburan tersebut sedang leka melayan pelanggan masing-masing dan bergamam apabila melihat kehadiran anggota polis.

"Kami berjaya menahan sejumlah 19 GRO berusia antara 19 dan 38 tahun terdiri daripada 10 wanita Thailand, lapan warga Vietnam dan seorang warga Indonesia.

"Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen selain GRO tersebut menyalah guna pas lawatan sosial untuk bekerja di negara ini," katanya kepada Kosmo! Ahad di sin semalam.

Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai penjaga pusat hiburan itu selain merampas peralatan sistem audio premis berkenaan.

Monday, April 21, 2014

Dua pekerja parah bumbung rumah runtuh

SHAH ALAM - Sebahagian struktur tingkat atas sebuah rumah teres dua tingkat yang sedang dalam proses pengubahsuaian runtuh sehingga mengakibatkan dua pekerja binaan warga Indonesia cedera parah di Jalan Sulam Satu 19/14A, Seksyen 19, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu melibatkan dua pekerja binaan terbabit yang dikenali sebagai Sugi, 33, dan Marasak, 40, yang sedang melakukan kerja-kerja membuka kayu penyokong bumbung kediaman berkenaan.

Seorang rakan sekerja mangsa yang mahu dikenali sebagai Mahrus, 25, memberitahu, kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian membesarkan ruang tingkat atas rumah teres dua tingkat itu yang sebelum ini merupakan bumbung tempat letak kereta sejak beberapa minggu lalu.

“Sewaktu kejadian, dua rakan saya itu sedang melakukan kerja-kerja membuka kayu penyokong bumbung rumah teres dua tingkat itu sementara saya yang baru sampai sedang berdiri di hadapan rumah.

“Tiba-tiba sebahagian struktur bumbung runtuh lalu menghempap kedua-dua mereka sehingga menyebabkan mereka terjatuh ke tingkat bawah bersama-sama timbunan binaan terbabit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.

Kerajaan Selangor sedia disaman isu catuan air

SHAH ALAM  -  Kerajaan negeri Selangor bersedia untuk  menghadapi tindakan saman daripada mana-mana peng guna yang tidak berpuas hati dengan pelan catuan air yang  sedang dilaksanakan di negeri itu sejak hampir dua bulan  lalu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,  pihak berkenaan boleh melakukan tindakan undang-undang  itu sekiranya merasakan keperluan untuk berbuat demi kian.

"Tidak apa kalau mereka (pengguna air) hendak saman,  terpulang," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Un dangan Negeri (DUN) Selangor di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan se gelintir pihak yang mahu mengambil tindakan undang-un dang kepada kerajaan negeri Selangor kerana didakwa gagal  menyediakan perkhidmatan air bersih yang cekap kepada  pengguna di Lembah Klang ekoran pelaksanaan pelan  catuan air sejak akhir Februari lalu.

Di anggarkan kira-kira dua juta pengguna air di Lembah  Klang telah terjejas dengan pelan catuan air yang kini  memasuki fasa keempat.

Abdul Khalid menegaskan, pelaksanaan pelan  catuan air dilakukan bukan bertujuan untuk menyusahkan  pengguna sebaliknya bagi memastikan perkhidmatan air secara  berterusan kepada rakyat lebih terjamin.

Katanya, langkah itu diambil berasaskan jumlah  rizab air yang terdapat di dalam empangan-empangan di  negeri itu pada waktu ini dan telah diluluskan jawatankuasa  yang dianggotai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Berhad dan pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor bersedia untuk  memberi penerangan mengenai pelan catuan air ini kepada  rakyat," katanya.

Wang hantaran, gelang emas bakal pengantin dirompak

KUALA LANGAT - Seorang bakal pengantin perempuan yang akan melangsungkan perkahwinan minggu depan berputih mata apabila wang hantaran berjumlah RM12,000 dan seutas gelang emas yang mahu digunakan dalam upacara membatal air sembahyang dilarikan penjenayah.
Turut lesap ialah barangan berharga lain milik ahli keluarga Afiza Johardi, 36, seperti wang tunai RM11,000, sembilan telefon bimbit dan sejumlah lagi barangan kemas yang dianggar bernilai RM30,000.
Kejadian pada pukul 4 pagi kelmarin itu berlaku apabila rumah keluarga bakal pengantin di Batu 7, Sijangkang dekat sini dipecah masuk enam penyamun dipercayai rakyat Indonesia.
Mengimbas kejadian tersebut, Afiza yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 April ini memberitahu, dia yang tidur di sebuah bilik di tingkat atas rumah kampung keluarganya dikejutkan seorang penjenayah yang memasuki rumahnya.
"Sambil meletakkan pisau pemotong daging ke leher saya, lelaki itu meminta saya menunjukkan tempat menyimpan wang tunai dan barangan kemas jika tidak mahu diapa-apakan.
"Kemudia, kedua-dua tangan saya dan adik saya, Mohd. Hafiz, 28, yang tidur di ruang tamu di hadapan bilik diikat sebelum kami berdua diarah untuk menunjukkan bilik tidur ibu dan ayah kami," ceritanya ketika diziarah Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd. Karli di rumahnya semalam.
Ibu bapa Afiza, Johardi Samadi, 61, dan Siti Salamiah Sahlan, 54, semasa kejadian tidur di sebuah bilik yang terletak di tingkat bawah rumah.
Bakal pengantin itu memberitahu, kesemua mereka kecuali ibunya telah diikat pada kedua-dua belah tangan oleh kumpulan penjenayah yang menutup kepala dan mulut masing-masing.
"Penjenayah itu memberi ibu minum air setelah kami merayu agar ibu tidak diapa-apakan," cerita Afiza.
Menurut Afiza, penjenayah itu mengambil masa 20 minit menggeledah seluruh rumahnya sebelum melarikan barangan berharga milik dia sekeluarga.
Bagaimanapun, majlis perkahwinannya akan tetap berlangsung seperti ditetapkan.
Sejam sebelum kejadian di rumah Afiza, kumpulan sama dikatakan merompak pula rumahnya jirannya yang terletak kira-kira 100 meter dari situ.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azman Abdul Razak mengesahkan dua kejadian tersebut.

Wednesday, April 16, 2014

Galeri Drive 7 ketengah produk Mutiara Motors

SHAH ALAM - Sebuah Galeri Drive 7 yang menjual produk syarikat automotif, Kumpulan Mutiara Motors di buka di pusat beli-belah, Plaza Alam Sentral di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Superfly Power Resources, Ruzaimah Miskam berkata, antara produk jenama Drive yang terdapat di dalam galeri tersebut ialah pakaian, minyak pelincir, pelekat kenderaan, rantai kunci dan minuman tenaga, Drive M7.

“Superfly Power Resources diberi hak untuk memasarkan kesemua produk berjenama Drive 7 keluaran Kumpulan Mutiara Motors terutama barangan cenderamata dan minuman Drive M7.

“Galeri Drive 7 ini bukan sahaja pertama di dalam sebuah pusat membeli-belah malah ia julung-julung kali dikendalikan sendiri oleh syarikat lain selain pengurusan Mutiara Motors,” katanya selepas menyaksikan perasmian Galeri Drive 7 di Plaza Alam Sentral di sini baru-baru ini.

Terdahulu majlis perasmian galeri seluas 76.2 meter itu disempurnakan Duta Drive M7, Mohd. Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai pelawak Jepp Sepahtu.

Buat masa ini, Kumpulan Mutiara Motors telah membuka dua galeri jualan produk keluarannya di Bangsar, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor.

Ruzaimah yang turut aktif dalam sukan permotoran berkuasa tinggi menyasar Galeri Drive 7 berkenaan mencapai jualan sebanyak RM60,000 sebulan.

Menurut beliau, sebahagian besar hasil jualan itu bakal dijana oleh minuman Drive 7 berikutan permintaan tinggi terhadap produk itu terutama dalam kalangan peminat sukan pemotoran.

“Selain boleh didapati di galeri tersebut dengan harga RM3.50 setin atau RM10 untuk tiga tin, saya merancang untuk memasarkan produk minuman tenaga yang semakin popular itu menerusi beberapa mesin layan diri yang akan diletakkan di beberapa lokasi strategik di pusat membeli-belah ini,” katanya.

Tuesday, April 15, 2014

Siasat penjualan tanah di Canal City

SHAH ALAM - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perjanjian penjualan tanah seluas 474 hektar di Kuala Langat antara  Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan syarikat Tropicana Corporation Berhad yang didakwa mempunyai unsur-unsur penyelewengan.

Ketuanya, Zainuri Zainal mendakwa, pihaknya mengesyaki berlaku beberapa ketirisan terhadap penjualan tanah di Canal City pada 15 April 2013 berkenaan.

“Antara isu yang diragui kenapa harga tanah itu dijual tidak menjual harga pasaran iaitu hanya RM17 bagi setiap 0.3048 meter.

“Sedangkan syarikat swasta terbabit boleh menjual  pula sebahagian tanah terbabit kepada firma hartanah lain dengan harga RM35 bagi setiap 0.3048 meter setahun kemudian," dakwanya ketika ditemui selepas membuat aduan berhubung aduan berhubung isu itu di pejabat SPRM Selangor di sini semalam.

Katanya, selain itu, timbul juga persoalan bagaimana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Pengerusi PNSB boleh membenarkan jual tanah berlaku ketika berperanan sebagai kerajaan sementara berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 April 2013.

"Siasatan juga mendapati penjualan tanah terbabit sepatutnya berjumlah RM1.7 bilion bukannya RM844 juta seperti dimaklumkan sebelum ini," katanya.

Pada 15 April 2013, kerajaan negeri Selangor menerusi PNSB dan MBI telah menjual tanah paya di Canal City, Kuala Langat kepada Tropicana dan syarikat itu kemudiannya menjual sati perempat daripada jumlah tanah terbabit kepada pihak lain dengan nilai lebih tinggi.

Monday, April 14, 2014

Tidak puas hati tiga usul penting ditolak

SHAH ALAM - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional ( BN )  Selangor  melahirkan rasa tidak puas hati apabila tiga daripada empat  usul  yang dikemukakan untuk dibahaskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Ke-13 bagi penggal kedua bermula semalam telah ditolak.
Ketua Pembangkang  Selangor , Datuk Mohd. Shamsudin Lias (gambar) yang mewakili  BN -Sungai Burong berkata, tiga  usul  tersebut ialah penamatan kontrak kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri  Selangor  ( PKNS ) dan pelantikan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah perbadanan itu serta sokongan terhadap tindakan Jabatan Agama Islam  Selangor  (JAIS) menyita kitab Bible berbahasa Melayu.

Menurut beliau, satu lagi  usul  yang ditolak Speaker  DUN   Selangor , Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) ialah mempertahankan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

"Sepatutnya  usul - usul  tersebut tidak ditolak kerana ia merupakan perkara yang penting dan notis mengenai  usul  itu telah diberikan dalam tempoh mengikut peraturan.

"Ia juga melibatkan kepentingan awam kerana isu-isu tersebut ( PKNS  dan JAIS) telah menimbulkan banyak polemik dalam kalangan rakyat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan  DUN   Selangor  Ke-13 di sini semalam.

Sementara itu Mohd. Shamsudin berkata,  usul  mempertahankan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Bukan Islam) 1988 pula adalah sebagai maklum balas terhadap kenyataan beberapa ADUN pakatan pembangkang  Selangor  sebelum ini yang mahu enakmen tersebut dipinda.

Beliau berkata, satu-satunya  usul   BN   Selangor  yang diterima untuk dibahaskan ialah bantahan terhadap tuntutan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango).

Tumpukan kebajikan rakyat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM -  Sultan   Selangor ,  Sultan  Sharafuddin Idris Shah menitahkan kerajaan negeri  Selangor  agar memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat negeri ini yang berjumlah kira-kira 5.5 juta orang.

Sehubungan itu, baginda mahu semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), penjawat awam dan para pemimpin masyarakat supaya bekerjasama dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 Sultan  Shafaruddin turut menitahkan seluruh wakil rakyat di negeri ini agar tidak merosakkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Wakil-wakil rakyat janganlah bercanggah dan berbalah mengenai perkara tidak berfaedah, sebaliknya hendaklah menjalankan tugas mereka untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri  Selangor .

"Pada hemat beta adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana- mana wakil rakyat atau kakitangan awam yang cuba merosakkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri  Selangor ," titah baginda ketika berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua, Persidangan  DUN   Selangor  Ke-13 di sini semalam.

 Sultan   Selangor  bertitah, Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 26 Februari lepas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri berhubung penstrukturan semula industri air di  Selangor  akan menguntungkan rakyat negeri ini.

"Ini kerana, rakyat  Selangor  bukan sahaja akan terus mendapat air percuma 20 meter padu setiap bulan, malah akan mendapat bekalan air berterusan dengan kadar tarif yang munasabah," titah baginda.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang di hadapan Speaker  DUN , Hannah Yeoh.

Isteri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memenangi pilihan raya kecil  DUN  Kajang pada 23 Mac lepas dengan majoriti 5,379 undi apabila memperoleh 16,741 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun yang mendapat 11,362 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan setelah peletakan jawatan secara mengejut penyandang kerusi  DUN  berkenaan, Lee Chin Cheh daripada PKR pada 27 Januari lepas.

Perubahan sub modul JLKN tangani penyebaran berita palsu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KLANG - Kementerian Belia dan Sukan menyokong langkah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) melakukan penambahbaikan dalam sub modul Klik Bijak@ PLKN  yang memberi latihan khas pengurusan  media  sosial  kepada pelatih.
Timbalan Menterinya, Datuk M. Saravanan berkata, (gambar) usaha JLKN memberi pendedahan kepada pelatih yang merupakan golongan muda tentang cara untuk mendapatkan kesahihan mengenai sesuatu maklumat sebagai langkah yang tepat pada masanya.

"Langkah ini mampu menangani masalah penyebaran maklumat tidak tepat dan tidak berasas terutama menerusi  media   sosial ," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Yoga ketujuh di sini semalam.

Saravanan memberitahu, antara masalah besar yang perlu dihadapi pada waktu ini ialah kegagalan segelintir belia membezakan antara fakta dengan persepsi setiap kali mengakses maklumat mengenai sesuatu isu yang diutarakan di  media sosial .

Sehubungan itu, beliau percaya penambahbaikan sub modul tersebut dapat memberi panduan kepada golongan sasaran bagi membezakan antara maklumat sahih atau sebaliknya.

Sunday, April 13, 2014

Bapa Puspanathan tidak berhasrat ke Australia

KUALA   LANGAT  - Bapa kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS)  MH370 , G. Supramaniam tidak berhasrat untuk pergi ke Australia selagi anaknya itu belum ditemui.

Supramaniam, 60, merupakan bapa kepada, S. Puspanathan, 34.

Menurutnya, walaupun sedih sebaik mengetahui mengenai pesawat  MH370  yang dilaporkan terhempas di Lautan Hindi, dia menerima apa jua nasib anak sulung daripada dua beradik itu.

"Saya bagaimanapun tidak berhasrat ke Australia. Tidak guna saya pergi ke Australia, kecuali mereka jumpa anak saya baru saya mahu pergi," katanya.

Sementara itu, ibu kepada penumpang, Muzi Yusop, 50, Saimah Sidek, 70, pula memberitahu, dia mengetahui mengenai berita itu ketika menonton sidang akhbar khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang disiarkan secara langsung di televisyen malam kelmarin.

"Sudah jadi macam ini, saya terima dan reda saja. Kami akan teruskan bacaan surah Yasin yang dibaca sejak hari pertama kami mendapat berita tersebut," katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan berbincang dengan adik-beradik bagi tindakan seterusnya sama ada untuk mengadakan tahlil ataupun solat jenazah ghaib.

Sementara itu, suaminya, Yusop Tahir, 76, yang dilihat tenang dan sempat melemparkan senyuman ketika melihat kelibat pemberita tiba-tiba berubah menangis teresak-esak.

Difahamkan, Yusop yang mempunyai masalah pendengaran sebelum itu tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku, namun sebaik diberitahu oleh abang iparnya perkara yang sebenar, dia dilihat mengalirkan airmata.

Tele Dynamics lancar dua pencetak Toshiba baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Tele Dynamics Sdn. Bhd. (Tele Dynamics), syarikat mengedar dan memasar produk perkakasan pejabat jenama  Toshiba  melancarkan produk  mesin  pencetak pelbagai guna terbaharu, e-Studio 306LP yang berupaya memadam tulisan dan imej pada kertas terpakai bagi kegunaan semula.
Ketua Pegawai Eksekutif Tele Dynamics, Paul Ting berkata,  mesin  pencetak yang didatangkan dengan  mesin   penyalin , e-Studio RD30 tersebut mesra alam dan mampu menjimatkan penggunaan kertas sehingga 80 peratus.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, hampir 90 peratus daripada kertas yang digunakan untuk kegunaan pejabat dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah dalam tempoh seminggu.

"Kertas terpakai terbabit dapat digunakan semula sehingga lima kali dengan penggunaan  mesin  pencetak pelbagai guna e-Studio 306LP.

"Ia bukan sahaja menjimatkan kos, malah menjadikan pengurusan organisasi lebih teratur dan menyumbang kepada kelestarian alam," katanya pada pelancaran  mesin  pencetak e-Studio 306LP dan e-Studio RD30 di Taman Perindustrian Hicom Glenmarie dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau, Ahmad Hadri Haris dan Pengurus Pengurusan Produk  Toshiba , Ahmad Ikram.

Paul berkata, e-Studio 306LP dan e-Studio RD30 bukan sahaja mampu memadam, malah boleh menyalin semula tulisan dan imej pada kertas terpakai dalam bentuk salinan digital.

Menurut beliau, produk  mesin  pencetak pelbagai guna yang berasal dari Jepun itu turut menerima pengiktirafan produk teknologi hijau oleh Perbadanan Teknologi Hijau.

Syabas bantu tiga keluarga susah

BANTUAN. Tiga keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan Tabung Budi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.
Pengurus Seksyen Tabung Budi Syabas, Hasimah Che Mat Din berkata, mereka ialah Embun Jaafar, 77, Che Liah Mohammad Ariff, 74 dan Salmiah Mat Isa, 39.
Katanya, sebelum ini, bekalan air bersih di kediaman ketiga-tiga penerima itu telah dipotong pada sekitar bulan Februari lalu apabila masing-masing gagal menjelaskan tunggakan sekitar RM111.60 hingga RM411.52.
"Selain menerima penyambungan semula bekalan air bersih, tunggakan bil air, caj penyambungan semula dan bil air bulanan mereka dalam tempoh enam bulan juga akan dilunaskan oleh Tabung Budi," ujarnya.

Mangsa mati sebab kurang oksigen

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SHAH ALAM - Pakar Perunding Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurliza Abdullah tidak menolak kemungkinan kematian pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena dan bapanya, Omar Peter Abdullah kira-kira dua tahun lalu berpunca daripada kekurangan oksigen.
Nurliza, 49, saksi pendakwaan ke-13 dalam keterangannya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman berkata, faktor itu tidak boleh dikecualikan sebagai antara punca kematian berdasarkan proses bedah siasat yang dilakukannya ke atas kedua-dua mayat itu pada 12 Mac 2012.
"Berdasarkan bedah siasat, tiada kesan kecederaan nyata ke atas mayat Zara Elena, 23, dan Omar Peter, 57. Oleh itu, saya telah mengecualikan luka tembakan, tikaman, tetakan dan hirisan sebagai punca kematian.
"Begitupun, saya tidak boleh mengecualikan kesan kecederaan kurang jelas seperti kesan lebam, lecet, kekurangan oksigen dan seumpamanya," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin dalam perbicaraan kem pembunuhan itu semalam.
Saksi itu yang dipanggil memberi keterangan pada hari kelapan berkata, kesan lebam, lecet dan kekurangan oksigen tidak dapat dikesan secara fizikal sewaktu dibedah siasat dilakukan kerana mayat kedua-dua mangsa telah bertukar kepada warna hijau kehitaman akibat proses pembusukan dan pereputan.
Pakar itu merumuskan punca kematian  Zara   Elena  dan bapanya yang dianggarkan telah meninggal dunia antara tiga hingga empat hari sebelum dibedah siasat tidak boleh ditentukan secara konklusif.
Seramai empat tertuduh, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, didakwa membunuh  Zara  Eleena dan Omar Peter.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah nombor 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.
Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh pesara syarikat kewangan, Omar Peter di tempat sama, antara pukul 11.30 malam 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.
Perbicaraan hari kesembilan bersambung hari ini.

Saturday, April 12, 2014

Cabaran Golf Sukma Perlis meriah

PROMOSI. Urus setia Sukan Malaysia (Sukma) 2014 telah menganjurkan Cabaran  Golf  Sukma  Perlis  di  Kota   Permai   Golf  and Country Club,  Kota  Kemuning, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan  Perlis , Abdul Jamil Saad berkata, penganjuran kejohanan  golf  tersebut bertujuan untuk mempromosi Sukma 2014 yang bakal berlangsung di negeri itu dari 26 Mei hingga 4 Jun depan.

Beliau berkata, seramai 4,000 pemain  golf  amatur dari 80 kelab di seluruh negara dan Brunei bakal terlibat dalam kejohanan  golf  berkenaan.

Ops Cantas Khas: Polis rampas senapang, 25 butir peluru

KLANG - Polis merampas selaras senapang jenis Shot Gun 12 Bore Semi Auto Browning bersama 25 butir peluru jenis 12 bore dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan serentak di enam buah lokasi di daerah ini malam tadi.
Turut dirampas adalah sebilah kapak, 92 keping DVD lucah dan dadah disyaki jenis heroin 0.22 gram dalam operasi yang dijalankan selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, enam kawasan yang dironda adalah di Jalan Banting-Klang, Jalan Kota Pendamar, Jalan Sungai Jati, Persiaran Raja Muda Musa, Taman Sentosa, Pulau Indah dan Bukit Tinggi. - KOSMO!

JAIS tarik balik buku teks SRA

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menarik balik buku teks subjek khat yang digunakan murid tahun tiga sekolah rendah agama (SRA) di negeri itu kerana didapati berunsurkan Syiah.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, JAIS, Mohammad Amir Danuri berkata, tindakan itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati muka surat satu dan tiga buku teks tersebut mengandungi tulisan khat berunsurkan fahaman Syiah.
“Sehubungan itu, kesemua guru besar SRA di Selangor diarahkan mengumpulkan buku tersebut daripada murid-murid dengan serta-merta.
“Pengarah Tadbir Agama dan Penolong Pegawai Tadbir Agama di setiap daerah telah diminta untuk memastikan tindakan berkenaan dilaksana,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohammad Amir berkata, jabatannya yang membuat semakan sebelum ini akan memperbetulkan semula kesilapan cetakan pada buku teks berkenaan sebelum dihantar kepada pihak penerbitan untuk dicetak semula.

Menurut beliau, pihaknya akan menghantar semula buku teks yang dibetulkan cetakannya kepada SRA terlibat.

"Kita juga sedang menyiasat sama ada kesilapan tersebut disengajakan atau sebaliknya. Jawatankuasa penyemak buku teks SAR Selangor telah diminta agar lebih teliti selepas ini," katanya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Pengerusi Sekreteriat Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Dr. Fathul Bari Mat Jahya menggesa JAIS memperbetulkan segera tulisan berbahasa Arab pada buku teks khat SRA di Selangor yang memaparkan ayat berbahasa Arab bermaksud "setiap hari adalah hari Asyura dan setiap tanah adalah tanah Karbala.

Asyura merujuk kepada hari ke sepuluh bulan Muharram yang dihormati orang Islam kerana banyak peristiwa besar melibatkan nabi-nabi berlaku pada hari tersebut.

Pengikut Syiah pula menyambut hari tersebut untuk memperingati kesyahidan cucu Nabi Muhammad, Saidina Hussain yang terkorban di Karbala, Iraq dalam pertempuran dengan pasukan Bani Umayyah diketuai Ubaidullah Ibu Ziyad pada tahun 61 Hijrah.