Translate

Friday, June 30, 2017

Pekerja pasar borong maut, kereta jatuh gaung


MARANG - Seorang pekerja pasar borong maut selepas kereta Proton Saga yang dipandunya terbabas lalu terjunam di dalam gaung di Kampung Bukit Khor di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 pagi itu, Mohd. Zulfalah Mat Yusof, 33, yang berasal dari Felda Jerangau Barat, Ajil, Hulu Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Zulfalah dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu selepas menghantar barang di Pasar Marang di sini.
"Sewaktu melalui lokasi kejadian, kereta Proton Saga yang dipandu mangsa bersendirian tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.
"Kereta itu kemudiannya terjunam ke dalam gaung yang sedalam kira-kira tujuh meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Jabatan Kesihatan Terengganu tahan gadis beri perkhidmatan suntikan kecantikan tanpa tauliah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang gadis lepasan Pusat Giat Mara memberi perkhidmatan suntikan kecantikan tanpa tauliah dan menggunakan produk tidak berdaftar terbongkar selepas dia ditahan penguat kuasa Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Terengganu sewaktu merawat pelanggan di sebuah inap desa di Chukai, Kemaman baru-baru ini.

Dalam serbuan pukul 10.30 pagi pada 17 Mei lalu itu, sebanyak 16 produk suntikan terbabit yang dianggarkan bernilai lebih RM13,000 milik suspek berusia awal 20-an turut telah dirampas.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, siasatan awal mendapati gadis terbabit yang berasal dari Perlis telah mengiklankan perkhidmatan suntikan kecantikan tersebut menerusi media sosial seperti Instagram miliknya yang mempunyai pengikut melebihi 10,000 orang.

"Difahamkan suspek yang mengikuti kursus kecantikan di sebuah Pusat Giat Mara mempunyai asas untuk melakukan suntikan dan dia telah menjalankan perkhidmatan suntikan kecantikan tidak berdaftar itu secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

"Modus operandinya ialah meminta bakal pelanggan yang biasanya terdiri daripada individu obses kecantikan membayar wang pendahuluan secara pindahan secara talian sebelum melangsaikan pembayaran penuh secara tunai sewaktu temujanji," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Kosmo! Online

Thursday, June 29, 2017

Pengedar pil kuda dan Eramin 5 diberkas polis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


BESUT - Seorang lelaki yang baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah sejak dua minggu lalu berjaya ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Alor Teratai, Kuala Besut di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 8 pagi itu, bungkusan yang mengandungi 188 biji pil dipercayai dadah jenis Eramin 5 dan pil kuda telah ditemui bersama suspek yang berusia 24 tahun.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, sewaktu serbuan dilakukan, lelaki itu sedang memegang satu bungkusan yang dibalut dengan kertas surat khabar di dalam sebuah bilik di premis terbabit.
"Sebaik pintu bilik dibuka dan anggota polis terlibat memperkenalkan diri, suspek yang menggelabah telah bertindak mencampak bungkusan terbabit ke dinding bilik berkenaan.
"Pemeriksaan pada bungkusan itu kemudiannya mendapati ia mengandungi satu plastik yang berisi 86 biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis pil kuda dan 10 kepingan kertas aluminium yang setiap satunya terdapat 10 biji pil disyaki Eramin 5 dan pil kuda," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Wednesday, June 28, 2017

DSP Zulkifli dilantik Ketua Polis Daerah Setiu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Deputi Superintendan (DSP) Zulkifli Mat Deris memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Setiu yang baharu mulai hari ini.

Beliau yang sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Ketenteraman Awam, Krisis dan Bencana Jabatan Perdana Menteri-Majlis Keselamatan Negara Terengganu menggantikan DSP Elias Abu Bakar yang telah bersara wajib pada dua bulan lalu.

“Saya yang telah berkhidmat selama 26 tahun berterima kasih dengan kepimpinan Polis Diraja Malaysia yang memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu.

“Kerjasama daripada warga IPD Setiu dan penduduk amat saya perlukan bagi memastikan indeks jenayah di daerah ini dapat terus terkawal,” katanya pada majlis serah terima tugas di IPD Setiu di sini hari ini.

Upacara serah tugas antara beliau dan Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintedan Burhanuddin Mustapa itu disaksikan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.- Kosmo! Online


Budaya membaca mahasiswa tempatan masih sederhana

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini termasuk mahasiswa masih berada pada tahap sederhana dengan purata lapan hingga 12 buku bagi setahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, walaupun laporan statistik yang dikemukakan Perpustakaan Negara pada tahun 2015 itu telah menunjukkan peningkatan berbanding dua hingga lapan buku setahun pada tahun 2010 namun ia masih jauh ketinggalan berbanding sebahagian negara-negara Asia Pasifik lain.

"Amalan membaca dalam kalangan mahasiswa tempatan ini amat jauh ketinggalan berbanding Australia dengan 180 buku setahun, India (130), Indonesia (94), Thailand (56) dan Brunei (26).

"Jika ingin menjadi rakyat negara maju, kita perlu mendidik rakyat Malaysia supaya menjadikan budaya membaca sebagai budaya hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Anugerah Mapim-Kementerian Pendidikan Tinggi di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong di sini. - K! ONLINE


Tuesday, June 27, 2017

Polis Terengganu keluarkan 664 kompaun kesalahan trafik kepada pelesit rempit

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


SETIU - Aktiviti pelesit rempit yang mengambil kesempatan berlumba haram di sekitar negeri ini pada setiap malam terutama sewaktu umat Islam sedang bersolat sunat terawih sepanjang bulan Ramadan ini mendapat perhatian serius Polis Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya telah melakukan 29 kali operasi bersepadu untuk menggempur kegiatan pelesit rempit tersebut di kesemua daerah di negeri ini sejak awal Ramadan ini.
"Sebanyak 664 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti memandu dalam keadaan berbahaya, tidak mempunyai lesen memandu dan tiada cukai jalan sepanjang operasi terbabit.
"Selain itu, 12 buah motosikal yang ditunggang untuk kegiatan lumba haram tersebut juga telah disita," katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Setiu antara Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris dan Asisten Superintendan Burhanuddin Mustapa di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di sini hari ini.
Aidi berkata, kompaun kesalahan trafik terhadap pelesit rempit berkenaan paling banyak dikeluarkan di daerah Kuala Terengganu iaitu 401 diikuti Marang (135), Kemaman (45), Dungun (42), Hulu Terengganu (23) dan Setiu (18). - K! ONLINE

Taman Rekreasi Pulau Kerengga terbiar

MARANG – Taman Rekreasi Pulau Kerengga, Merchang di sini merupakan antara lokasi tumpuan penduduk daerah ini untuk bersantai bersama keluarga sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagimanapun, kawasan riadah itu kini semakin sepi ekoran persekitarannya agak tidak terurus selain beberapa kemudahan yang terdapat di taman itu rosak.

Seorang penduduk, Norhayati Hamdan, 37, berkata, sebelum ini, dia se­ring membawa anak-anaknya beriadah di taman rekreasi itu terutama pada hujung minggu.

“Sekarang kami tidak lagi kerap berkunjung ke taman rek­reasi itu kerana keadaannya yang tidak terjaga.

“Perahu yang menghiasi taman itu kini dibiarkan mereput dan mendatangkan risiko ke­selamatan kepada anak-anak,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Monday, June 26, 2017

Pasar raya Sabasun buka cawangan ketiga di Cheneh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. (Sabasun), pasar raya milik penuh bumiputera me­lebarkan operasinya dengan pembukaan cawangan ketiga di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Cheneh dekat sini.

Sabasun yang mula beroperasi sejak tahun 2015 itu berkonsepkan pasar raya menjual produk halal dan ia  memasarkan lebih 2,000 produk daripada IKS.

Pengarah Urusan Sabasun, Che Salmi Che Ibrahim berkata, pembukaan cawangan yang  melibatkan kos sebanyak RM500,000 itu akan dapat memenuhi permintaan penduduk di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Kete­ngah) yang merangkumi sebahagian daerah ini dan Dungun.

“Sambutan yang diterima daripada penduduk setempat amat memberangsangkan sejak Sabasun Cheneh dibuka kira-kira tiga minggu lalu.

“Walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar kini, kami mendapati kuasa membeli penduduk Wilayah Ketengah agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan perasmian Sabasun Cheneh yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini semalam.

Che Salmi menjelaskan, Sabasun Cheneh kini beroperasi dengan 30 pekerja di tiga lot premis perniagaan bangunan Kawasan IKS Cheneh yang disewa daripada Ketengah.

Menurut beliau, syarikat turut menyasarkan untuk membuka cawangan keempat di Kemasik dekat sini menjelang penghujung tahun ini.

Sunday, June 25, 2017

Ajar budaya tempatan di sekolah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pendidikan Terengganu bakal memperkenal program memperkasa budaya tempatan kepada kira-kira 227,000 murid dan pelajar dari 503 sekolah rendah dan menengah di seluruh ne­geri ini mulai tahun hadapan.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, program berbentuk kokurikulum itu bakal memberi pendedahan tentang tarian, lagu rakyat, makanan dan pakaian tradisional yang menjadi kebanggaan negeri ini kepada golongan muda tersebut.

“Terengganu merupakan negeri yang kaya dengan budaya dan kita tidak mahu ia hilang ditelan zaman tanpa diwarisi oleh anak-anak kita.

“Justeru, kita mengadakan program perintis memperkasa budaya tempatan bagi memastikan budaya ini terus terpelihara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Shafruddin berkata, antara pendekatan yang bakal diambil bagi menjayakan agenda terbabit termasuk mewajibkan pihak sekolah memilih salah satu tarian tradi­sional Terengganu untuk diajar.

Menurut beliau, antaranya seperti tarian rodat, saba, ba­lai, ulik mayang, menora, anak udang, anak tedung dan anak burung baniong.

“Kita juga mahu anak-anak kita pandai menyanyi sebahagian lagu-lagu rakyat negeri ini seperti watimang landok, anak udang, anak burung baniong, ya dondang, ayun buai kokek dan yabani yabadang.

“Selain itu, beberapa pendekatan santai dan interaktif akan dilaksanakan bagi memper­kenalkan makanan dan pakaian tradisional negeri kepada pelajar sekolah,” katanya.

Saturday, June 24, 2017

40,000 pelita raya bakal menerangi empat daerah di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Empat daerah iaitu daerah ini, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Besut bakal meriah dengan pemasangan sekurang-kurangnya 40,000 pelita raya sempena penganjuran pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu yang bakal bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, empat buah kampung iaitu Kampung Air Putih, Kemaman; Kampung Beris Lampu, Besut; Kampung Sekati, Kuala Terengganu dan Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus bakal mewakili daerah masing-masing dalam pertandingan tersebut.

"Pertandingan pelita raya ini telah dianjurkan sejak tahun 2009 dan kali ini ia kaan melibatkan empat daerah berbanding cuma satu daerah sahaja yang dipilih setiap tahun sebelum ini.

"Kita menyasar sekurang-kurangnya 100 rumah menyertai pertandingan itu di setiap kampung terlibat. Setiap rumah pula disyaratkan memasang minimum 100 sumbu pelita raya," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing di sini semalam. - K Online!

Beritahu ibu bapa mahu solat tarawih, rupa-rupanya pergi lumba haram

SETIU – Aktiviti pelesit rempit yang mengambil kesempatan berlumba haram di sekitar negeri ini pada setiap malam terutama sewaktu umat Islam sedang bersolat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan ini mendapat perhatian serius polis Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, sebanyak 29 operasi bersepadu telah dilakukan untuk menggempur kegiatan pelesit rempit tersebut di kesemua daerah di negeri ini sejak awal Ramadan lalu.

“Sebanyak 664 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti memandu dalam keadaan berbahaya, tidak mempunyai lesen memandu dan tiada cukai jalan sepanjang operasi terbabit.

“Selain itu, 12 buah motosikal yang ditunggang untuk kegiatan lumba haram tersebut juga telah disita,” katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Setiu antara Deputi Superintendan (DSP) Zulkifli Mat Deris dan Asisten Superintendan Burhanuddin Mustapa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini semalam.

Zulkifli merupakan Ketua Polis Daerah Setiu yang baharu menggantikan DSP Elias Abu Bakar yang bersara wajib dua bulan lalu.

Burhanuddin merupakan Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu sepanjang tempoh berkenaan.

Aidi berkata, antara lokasi panas pelesit rempit terbabit berlumba haram sepanjang bulan Ramadan ini ialah Jalan Padang Midin, Jambatan Pulau Sekati dan Jalan Sultan Mohamad di Kuala Terengganu; Jalan Paka-Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun; Jalan Kuala Terengganu- Kuala Berang, Marang; dan Jalan Ajil-Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Kebanyakan modus operandi mereka ialah memberitahu ibu bapa kononnya mahu bersolat sunat tarawih di masjid atau surau tetapi sebenarnya berlumba haram bersama rakan-rakan,” katanya.

Friday, June 23, 2017

Pegawai TUDM terkorban sempat buat isyarat pertolongan sebelum terjatuh

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

KEMAMAN - Salah seorang daripada dua pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam tragedi pesawat pejuang jenis Hawk 108 dilihat sempat membuat isyarat meminta pertolongan kepada penduduk kampung sebelum terjatuh di kawasan berpaya di Kampung Pondok Pasir, Ibok dekat sini hari ini.

Seorang penduduk, Siti Zamilah Mohd. Hussin, 27, berkata, kelibat dua pegawai TUDM itu dalam keadaan berpayung terjun tersebut dilihat sewaktu dia sedang menyapu sampah di halaman rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari.
"Sewaktu sedang menyapu di halaman rumah tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum kelihatan kelibat dua lelaki berpakaian hitam yang memakai payung terjun.
"Salah seorang daripada mereka dilihat membuat isyarat tangan pangkah kepada saya sambil menarik-narik tali payung terjun," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Siti Zamilah berkata, dia yang tidak mengetahui perbuatan membuat tangan pangkah terbabit merupakan isyarat meminta pertolongan.
Menurutnya, dia sekadar membalas dengan melambai-lambaikan tangannya kerana menyangka kedua-dua pegawai TUDM sedang menjalani latihan payung terjun. - K! ONLINE

Budi Forward sumbang Kotak Ramadan kepada asnaf

AMAL JARIAH. Persatuan Pertubuhan Sukarelawan Sebaran Budi (Budi Forward) menyampaikan bantuan Kotak Ramadan kepada 80 golongan asnaf di Masjid Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Setiausaha Persatuan Pertubuhan Sukarelawan Sebaran Budi, Rashid Ramli berkata, pemberian Kotak Ramadan yang mengandungi barangan keperluan dan makanan bertujuan untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan sempena bulan Ramadan.

Thursday, June 22, 2017

Gadis buat suntikan tanpa tauliah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tindakan berani seorang gadis lepasan Pusat Giat Mara memberi perkhidmatan suntikan kecantikan tanpa tau­liah dan menggunakan produk tidak berdaftar terbongkar selepas dia ditahan penguat kuasa Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Terengganu sewaktu merawat seorang pelanggan di sebuah inap desa di Chukai, Kemaman baru-baru ini.

Dalam serbuan pukul 10.30 pagi pada 17 Mei lalu itu, seba­nyak 16 produk suntikan terbabit yang dianggarkan bernilai lebih RM13,000 milik suspek berusia awal 20-an turut telah dirampas.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar berkata, siasatan awal mendapati gadis terbabit yang berasal dari Perlis telah mengiklankan perkhidmatan suntikan kecantikan tersebut menerusi media sosial seperti Instagram miliknya yang mempunyai pengikut me­lebihi 10,000 orang.

“Difahamkan suspek yang mengikuti kursus kecantikan di sebuah Pusat Giat Mara mempunyai asas untuk melakukan suntikan dan dia telah menjalankan perkhidmatan suntikan kecantikan tidak berdaftar itu secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat seperti Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Johor dan Kuantan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Modus operandinya ialah meminta bakal pelanggan yang biasanya terdiri daripada individu obses kecantikan membayar wang pendahuluan secara pindahan secara talian sebelum melangsaikan pembayaran penuh secara tunai sewaktu temujanji,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamad berkata, antara pakej suntikan kecantikan yang ditawarkan suspek ialah Vitamin C, Putih Pinky, Advance, Extreme dan Highway yang berharga dari RM200 hingga RM400 setiap satu.
Menurut beliau, kesemua pakej suntikan kecantikan itu adalah campuran beberapa bahan seperti kolagen, glutathione, vitamin C, cell stem dan L-Carnitine yang dibancuh sendiri gadis tersebut mengikut resepinya sendiri yang dipelajari di internet.

“Kesemua bahan tersebut mempunyai fungsi memutih, mencerahkan dan menganjalkan kulit serta antipenuaan dan mempunyai kesan sampingan yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang jika diambil secara berlebihan dan berterusan.

“Rawatan suntikan kecantikan menggunakan produk tidak berdaftar menerusi individu tidak bertauliah akan meningkatkan risiko bengkak dan jangkitan kuman selain boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengaku membeli kesemua bahan terbabit secara dalam talian dari luar negara dan kes disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Kampung Jambu Bongkok bakal dapat masjid baharu

MARANG – Hampir 2,000 penduduk Kampung Jambu Bongkok di sini menarik nafas lega apabila mereka bakal menerima sebuah masjid baharu tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, A. Latiff Awang berkata, masjid baharu tersebut bagi menggantikan masjid lama yang diperbuat daripada kayu berusia hampir 60 tahun dan hanya memuatkan kira-kira 300 jemaah pada satu-satu masa.

Beliau berkata, masjid baharu yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM7.13 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan.
“Masjid baharu Kampung Jambu Bongkok bakal dibina di kawasan seluas 0.8 hektar berhampiran tapak masjid sedia ada.

“Masjid seluas 1,300 meter persegi itu mampu memuatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara pecah tanah projek Masjid Kampung Jambu Bongkok yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini semalam.
A. Latiff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri berkata, masjid terbabit juga bakal mempunyai bangunan khusus yang boleh memuatkan lima kelas bagi pengajaran kelas al-Quran dan fardu ain kepada penduduk setempat.

Menurut beliau, bangunan kelas tersebut juga boleh diubah suai menjadi dewan untuk penganjuran program kemasyarakatan.

“Saya harap Masjid Kampung Jambu Bongkok dapat menjadi mercu tanda baharu kepada daerah Marang.

“Ia bersesuaian dengan kedudukan kampung ini yang bersebelahan dengan daerah Dungun dan menjadi pintu masuk utama ke daerah ini oleh pengguna yang menggunakan jalan pantai dari selatan termasuk Kuantan, Pahang,” katanya.

Wednesday, June 21, 2017

Pesawat terbenam dalam paya

KEMAMAN – Bangkai pesawat pejuang jenis Hawk 108 yang terhempas sehingga mengorbankan dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelmarin dijumpai di kawasan berpaya berhampiran Kampung Yak Yah, Chukai dekat sini semalam.

Rangka pesawat malang itu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat TUDM dengan menggunakan helikopter jenis EC725 pada pukul 10.27 pagi.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, enam pegawai dan anggota TUDM yang menyertai operasi dan menyelamat tersebut sejak pukul 7 pagi telah turun ke lokasi tersebut selepas berjaya mengesan bangkai berkenaan.

Menurut kenyataan itu, mereka kemudian membuat pengesahan bangkai yang dijumpai itu ialah pesawat pejuang jenis Hawk 108.

“Pasukan dari Nombor 10 Skuadron Kuantan dianggotai Kapten Nazir Mohd. Nor, Kapten Muhammad Yunus Mat Nor, Sarjan Udara Azrin Mohamad@Johor, Koperal Udara Sharizal Bakhtiar Jamali dan Koperal Udara Zulbakrin Masuda telah diturunkan ke lokasi dan mengesahkan pesawat malang tersebut,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.
Kosmo! difahamkan bangkai pesawat pejuang itu dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi mayat Mejar  Yasmi Mohd. Yusof, 39, dan Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31, ditemui pada pukul 2.30 petang kelmarin.
Kosmo! semalam melaporkan dua juruterbang TUDM terbunuh walaupun berjaya melentingkan diri keluar dari pesawat pejuang jenis Hawk 108 yang dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Kemaman.

Pesawat buatan Britain itu dilaporkan hilang dan terputus hubungan pada 11.30 pagi selepas berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan, Pahang.  

Menurut kenyataan TUDM, sejurus pengesahan dilakukan, kerja-kerja pemasangan perime­ter keselamatan sepanjang kira-kira 200 meter telah dilakukan bagi tujuan keselamatan dan penyiasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, bangkai pesawat tersebut ditemui dalam keadaan terbenam di dalam kawasan berpaya.

“Keadaannya yang terbenam di dalam kawasan berpaya menyukarkan kerja-kerja untuk mengeluarkan bangkai pesawat tersebut,” tambahnya.

Mohd. Said berkata, setakat ini, kotak hitam pesawat pejuang itu masih belum ditemui.

Tuesday, June 20, 2017

Kes ingkar perintah nafkah anak meningkat di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kes ingkar perintah nafkah anak yang dikeluarkan Mahkamah Syariah semakin menunjukkan peningkatan di Terengganu dengan 172 kes dilaporkan pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud berkata, ia merupakan peningkatan kira-kira 65.4 peratus berbanding 104 kes yang telah dicatatkan pada tahun 2010.
"Sebanyak 874 kes ingkar perintah nafkah yang diadukan kepada Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dari tahun 2010 hingga 2016.
"Ini jelas menunjukkan masalah ingkar perintah pembayaran nafkah ini telah menjadi semakin berat. Saya sebagai Exco yang bertanggungjawab mengambil berat dan memandang serius isu keingkaran bapa terhadap pembayaran nafkah anak ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Pendahuluan Nafkah Siri 1/2017 kepada 78 ibu tunggal pada majlis yang turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. - K! ONLINE

Dua juruterbang Hawk maut nahas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, ZULKIFLI MANZOR, GHAZALI ALIAS dan EZZUAN AHMAD

KUANTAN – Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditemui terbunuh walaupun berjaya melentingkan diri keluar dari pesawat pejuang jenis Hawk 108 yang dipercayai terhempas di kawasan hutan berpaya di Chukai, Terengganu semalam.

Mayat mangsa, Mejar Yazmi Mohd. Yusuf, 39 dan Mejer Mohd. Hasri Zahari, 31, dari No. 6 Skuadron Pangkalan Tentera Udara Labuan ditemui maut pada jarak 20 meter antara satu sama lain dalam keadaan ma­sing-masing memakai payung terjun.

Jarak lokasi kejadian dengan Pang­kalan TUDM Kuantan ialah 57.4 kilometer.
Yazmi yang berasal dari Titi­wangsa, Kuala Lumpur, manakala Mohd. Hasri dari Jempol, Negeri Sembilan dipercayai telah berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan pada pukul 11 pagi semalam sebelum terputus hubungan 30 minit kemudian.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, kedua-dua mangsa telah berjaya melenting diri keluar dari pesawat sebelum terhempas.

“Bagaimanapun, pesawat yang di­pandu kedua-dua mangsa masih belum ditemui buat masa ini.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk dibedah siasat dan TUDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan untuk mengenal pasti punca nahas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Difahamkan walaupun kedua-kedua mangsa berjaya melenting diri keluar dari pesawat, namun mereka mungkin mengalami kecederaan kerana terjatuh di kawasan hutan dan berpokok.

Bagaimanapun ujar Affendi, pihak TUDM masih menyiasat punca sebenar kematian mangsa.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang berpangkalan di Labuan telah ke Kuantan untuk melakukan Functional Check Flight dan dijadualkan kembali ke pangkalan semula petang semalam.

Yazmi merupakan seorang juruterbang penerbangan Hawk 108 telah berkhidmat selama 19 tahun, manakala Mohd. Hasri juruterbang operasi merupakan juru­terbang berpengalaman selama 13 tahun bersama TUDM.
Allahyarham Yazmi difahamkan mempunyai enam orang anak, manakala Mohd. Hasri merupakan bapa kepada seorang cahaya mata.

Affendi turut memberitahu, susulan kejadian berkenaan pihaknya kini menghentikan serta-merta operasi Hawk 108 sehingga laporan penuh siasatan nahas berkenaan diperoleh.

Sementara itu, di Kemaman, beberapa orang saksi mendakwa melihat salah seorang mangsa sempat membuat isyarat meminta pertolongan sebelum terjatuh di kawasan berpaya di Kampung Pondok Pasir, Ibol dekat sini.

Seorang penduduk, Siti Zamilah Mohd. Hussin, 27, berkata, kelibat dua pegawai TUDM itu dalam keadaan berpayung terjun dilihat sewaktu dia sedang me­nyapu sampah di halaman rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari.

“Sewaktu sedang menyapu di halaman rumah tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum kelihatan kelibat dua lelaki berpakaian hitam yang memakai payung terjun.

“Salah seorang daripada mereka di­lihat membuat isyarat tangan pangkah kepada saya sambil menarik tali payung terjun,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Siti Zamilah berkata, dia yang tidak mengetahui perbuatan membuat tangan pangkah terbabit merupakan isyarat meminta pertolongan sekadar membalas dengan lambaian tangan.
“Mereka yang masih berada di atas kerusi pesawat kemudiannya terjatuh tidak jauh di kawasan di belakang rumah saya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Hafizuddin Yunus, 32, berkata, pesawat pejuang TUDM malang tersebut dilihat terbang rendah dalam keadaan berasap di kawasan Kampung Yak Yah, Ibok dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi mencari menyelamat telah digerakkan dalam radius 40 kilometer sekitar Kampung Yak Yah dengan kekuatan 57 anggota.

Serbuan bangsal bongkar kegiatan pengedaran dadah dan mercun

KEMAMAN - Serbuan yang dilakukan di sebuah bangsal di Kampung Gong Pauh, Chukai di sini hari ini bukan sahaja membongkar kegiatan seorang penganggur dalam penjualan mercun secara haram malah penglibatannya dalam pegedaran dadah.
Dalam serbuan pada pukul 1 pagi itu turut menjumpai enam biji straw yang setiap satunya berisi enam biji pil kuda dipercayai milik suspek berusia 34 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, ribuan mercun pelbagai jenis seperti mercun bola, Happy Boom, Sakura Rose, Billion Time dan Yap Shots yang dianggarkan bernilai RM30,000 ditemui anggota polis sewaktu melakukan serbuan di dalam bangsal tersebut.
"Mercun-mercun terbabit dijumpai disimpan di dalam 17 guni dan 129 kotak yang diletakkan di dalam bangsal berkenaan. Pemeriksaan yang dilakukan pada badan suspek yang merupakan seorang pengganggur pula menemui straw yang mengandungi pil kuda terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, June 19, 2017

Beraya dengan songket RM30,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI dan EDDY AQMAL

KUALA LUMPUR – Jika golongan wanita sanggup berhabis wang untuk koleksi tudung eksklusif berharga sehingga RM21,600 sehelai, kaum lelaki juga tidak ketinggalan dalam berbelanja untuk aksesori pakaian terutamanya pada musim perayaan.

Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini mendapati samping yang berharga ribuan ringgit tidak kurang  mendapat sam­butan daripada pembeli.

Menurut pereka fesyen Bak Tailor, Zamzam Mohd. Salim, 51, samping daripada kain songket berharga RM30,000 pernah dijual di kedainya tahun lalu kepada dua ahli perniagaan dari Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan me­re­ka yang membeli samping songket Terengganu ini terdiri daripada golongan kerabat diraja, menteri dan ahli perniagaan.

“Tahun ini samping paling mahal yang telah dijual ialah songket Terengganu berharga RM15,000 kepada seorang individu dari Brunei.
“Songket yang mahal bia­sanya dibuat atas tempahan,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini semalam.

Bagaimanapun, kata Zam­zam, pada tahun ini Bak Tailor turut menawarkan songket Terengganu yang berharga RM20,000 di kedainya.

Sebagai perbandingan, harga songket tersebut hampir menyamai harga sebuah kereta Perodua Axia yang dijual bermula RM24,000 seunit.

Tambah Zamzam, faktor yang mempengaruhi harga samping ialah jenis benang dan kain yang digunakan, corak yang ditempah serta upah tenunan.

“Songket yang menjadi pilihan ramai ialah warna yang cerah dan corak bermotif bu­nga,” katanya yang sudah 23 tahun bekerja di Bak Tailor.

Namun begitu, kedainya masih menawarkan samping untuk pasaran umum pada harga RM195 sehelai.
Sementara itu, menurut pemilik Teh Collection, Mohd. Siswadi Abdul Hamid (gambar kecil), samping yang diperbuat daripada kain songket Terengganu berharga RM20,000 pernah dijualnya kepada seorang individu.

“Selain itu, kami juga pernah menjual dua helai samping berharga RM16,000 sehelai kepada seorang individu sebelum bulan puasa baru-baru ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kedainya di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Tambah Siswadi, upah tenunan untuk songket Terengganu sahaja mencecah RM1,000 tidak termasuk kos benang dan kain.

Dalam pada itu, tinjauan di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, mendapati rata-rata peniaga samping songket asli Terengganu menjualnya pada harga maksimum RM7,000.

Seorang peniaga, Wan Mohd. Shukri Wan Awang berkata, trend masa kini kebanyakan pengguna lebih berminat membeli samping songket asli Terengganu yang berharga sederhana, bercorak variasi bunga dan berwarna terang.

“Dulu kami boleh menjual songket asli Terengganu yang berharga sehingga RM50,000 sehelai tetapi sejak akhir-akhir ini tidak lagi kerana permintaan sudah semakin menurun.

“Selain kuasa beli pelanggan yang semakin kurang, ia juga disebabkan oleh persai­ngan daripada samping songket tiruan buatan India dan Indonesia yang jauh lebih murah,” katanya ketika ditemui di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

Menurut beliau, samping songket yang diperbuat daripada kain sutera sepenuhnya lebih mahal berbanding kain kapas.

Mangsa penipuan umrah tunggu pembelaan

LIMA bulan lalu, seorang bekas guru, Muhammad Abd. Ghani, 61, sepatutnya menunaikan ibadah umrah bersama isteri dan seorang anaknya menerusi pakej kendalian sebuah  pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Bina Negara Terengganu (YBNT).

Begitupun, hajat guru tersebut sekeluarga tidak kesampaian sehingga hari ini. Mereka sekeluarga merupakan sebahagian daripada 4,800 mangsa kes penipuan pakej umrah yang kebanyakannya terdiri daripada warga pendidik Terengganu yang melibatkan kerugian RM14.2 juta.

Majoriti guru terbabit terpedaya selepas janji-janji manis yayasan tersebut yang menawarkan pakej menarik apabila mereka hanya perlu membayar RM3,000 daripada pakej penuh RM6,990. Bayaran selebihnya ditaja oleh YBNT.

Mereka sangat yakin terhadap tawaran yayasan yang berpangkalan di Jertih, Besut, Terengganu itu berdasarkan surat sokongan kononnya dari Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu yang sehingga kini tidak dipastikan kebenarannya.

Muhammad yang menetap di Kampung Banggol Muda, Manir, Kuala Terengganu berkata, mereka sekeluarga dijadualkan ke tanah suci pada 6 Disember tahun lalu selepas melunaskan bayaran RM9,000.

“Kami sedar tertipu beberapa hari sebelum sepatutnya berlepas. Paling menyedihkan ada rakan saya yang kerugian RM21,000. Lima bulan sudah berlalu dan kami mahukan pembelaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tiga suspek yang merupakan pengurusan YBNT telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 28 Disember lalu. Penyiasatan kes berprofil tinggi itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Begitupun, sehingga kini, tiada seorang pun daripada pihak yang dikatakan bertanggungjawab telah dihadapkan ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan. Keadaan itu meresahkan mangsa terlibat termasuk Muhammad.

Mengulas perkara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail menjelaskan siasatan berhubung kes berkenaan telah diselesaikan beberapa bulan lalu dan kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Saya tidak boleh ulas panjang dan kita perlu tunggu keputusan pihak pendakwa raya yang dijangka boleh diketahui tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, perkembangan kes tersebut yang sedikit sebanyak menjejaskan moral warga pendidik negeri itu sentiasa dipantau oleh beliau.

Jelas beliau, sebagai seorang yang pernah menyertai profesion perguruan sebelum menyertai politik secara aktif, beliau amat prihatin dengan nasib malang yang menimpa mangsa-mangsa penipuan umrah tersebut.

“Saya kesal ada segelintir pihak cuba memburuk-burukkan kerajaan negeri Terengganu kononnya mahu lepas tangan berhubung kes terbabit.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan kes tersebut namun pada waktu ini, kerajaan negeri Terengganu tidak boleh campur tangan kerana bimbang boleh dianggap mengganggu kes tersebut yang kini masih dalam peringkat penyiasatan,” katanya.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri Terengganu berjanji untuk membantu mangsa kes penipuan pakej umrah terbabit mengikut mekanisme yang akan ditentukan kelak sebaik tiba masanya.

“Apapun, tuntutan segelintir pihak agar kerajaan negeri Terengganu membayar ganti rugi kepada mangsa tidak boleh ditunaikan kerana tidak boleh dilakukan oleh sesebuah kerajaan.

“Saya juga tegaskan kerajaan negeri Terengganu tidak berkaitan langsung dengan kes ini dan tidak pernah mengadakan sebarang hubungan dengan YBNT," katanya.

Apa yang berlaku ini sepatutnya menjadi iktibar bukan sahaja kepada mangsa malah masyarakat agar tiada sesiapa lagi akan terjebak dengan penipuan pakej umrah yang sebenarnya bukanlah kes baharu di negara ini.

Sejak tahun 2012, dianggarkan lebih 3,700 umat Islam negara ini telah berputih mata kerana menjadi mangsa penipuan pakej umah. Lazimnya, pakej yang lebih murah daripada harga lantai RM4,900 merupakan perangkap.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan polis dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, kerugian yang dialami berikutan kes penipuan itu telah mencecah lebih RM30 juta sejak empat tahun lalu.

Apapun, bagi kes melibatkan pakej mengerjakan umrah kendalian YBNT ini, mungkin wang ringgit yang telah dilaburkan tidak akan diperoleh semula namun individu bertanggungjawab perlu menerima hukuman di muka pengadilan.

Semoga berkat Ramadan yang masuk hari ketiga pada hari ini memberi sinar keadilan kepada mangsa tersebut.

Sunday, June 18, 2017

Deklamasi sajak oleh 2,536 pelajar cipta rekod MBOR

MARANG – Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf acara deklamasi sajak melibatkan 2,536 pelajar sekolah me­rupakan program yang disertai paling ramai pe­nyajak di negara ini.

Acara yang diadakan di Padang Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa di sini itu melibatkan penyertaan daripada 12 buah sekolah rendah dan 15 sekolah menengah dari tiga daerah iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Dungun.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri Terengganu, Bazlan Abdul Rahman berkata, kesemua peserta mendeklamasikan sajak bertajuk Lantera Penyuluh Transformasi selama 10 minit karya warga pengurusan SMK Bukit Sawa.

“Ia dideklamasikan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab dengan iringan muzik,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengetua SMK Bukit Sawa, Abu Hasmadi A. Bakar. Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Penolong Pengurus MBOR, Ayman Izzaz.

Bazlan berkata, acara tersebut yang mendapat kerjasama 2,536 pelajar termasuk 1,200 warga SMK Bukit Sawa itu didedikasikan sempena sam­butan Hari Guru pada 16 Mei lalu.

Menurut beliau, acara tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mencipta rekod tetapi mendidik pelajar terbabit agar mengenang jasa guru berdasarkan penghayatan sajak berkenaan.

Saturday, June 17, 2017

Rumah sewa pelajar RETI musnah terbakar

KEMAMAN - Empat pelajar Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) tinggal sehelai sepinggang selepas rumah sewa yang mereka duduki musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Anak Dara, Ibok dekat sini lewat malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10.23 malam itu, kesemua mangsa yang berusia 20 tahun tersebut tidak berada di dalam premis berkenaan kerana mereka sedang mengulangkaji pelajaran di rumah kawan masing-masing.
Salah seorang mangsa, Zarif Haikal Zainal, 20, berkata, dia dan tiga rakan serumahnya yang kesemuanya merupakan pelajar tahun akhir Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerja RETI telah menyewa sejak setahun lalu.
"Saya mengetahui kebakaran melibatkan rumah sewa kami selepas dihubungi oleh salah seorang jiran berhubung kejadian ini pada pukul 11.20 malam tadi.
"Sememangnya rumah sewa ini sering berlaku litar pintas sejak kami memasukinya dan kali terakhir ia terjadi pada dua bulan lalu," katanya kepada Kosmo! di lokasi kejadian di Ibok dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Tiga siswa UniSZA terima Anugerah Tokoh Siswa

ANUGERAH. Tiga penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu dinobat sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Prof. Dr. Nik Wan Omar berkata, penuntut tersebut ialah Muhammad Nursyazwan Zainuddin, Nuuh Muhammad Idris dan Mohammad Farid Abdul Talib.

“Kesemua mereka menerima ganjaran wang tunai RM1,000, trofi, sijil penghargaan dan tajaan penuh untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana. Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh,” katanya.

Friday, June 16, 2017

Pelajar tercicir dalam pelajaran akan dibantu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berhasrat memastikan semua lepasan sekolah di negeri itu dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat kemahiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, setiap tahun dianggarkan 20,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri tersebut ditawarkan melanjutkan pengajian ke IPT manakala 4,000 hingga 5,000 pula keciciran.

“Saya minta Yayasan Terengganu untuk bantu anak-anak yang tercicir daripada melanjutkan pelajaran ini dapat disalurkan sekurang-kurangnya ke pusat pe­ngajian milik kerajaan negeri seperti Kolej Universiti Tati dan Tesdec (Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu).

“Mereka tidak perlu mohon tetapi akan ditawarkan secara automatik ke pusat pengajian ini jika melepasi kelayakan minimum,” katanya selepas menyampaikan bantuan persediaan ke matrikulasi dan diploma peringkat Parlimen Kuala Nerus di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Yayasan Terengganu, Isamuddin Hashim.

Menurut Ahmad Razif, pihak­nya juga akan berunding dengan institusi-institusi kemahiran se­perti GiatMara dan Institusi Latihan Perindustrian bagi membolehkan golongan keciciran tersebut meminati kursus latihan teknikal serta vokasional.

Thursday, June 15, 2017

Gulai kawah hidangan berbuka di Resorts World Kijal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN – Resort World Kijal menawarkan 111 menu makanan berbuka puasa berkonsepkan selera Malaysia yang menjadi kegemaran rakyat di negara ini.

Ketua Chef Resort World Kijal, Abu Bakar Jaafar berkata, antara hidangan istimewa yang disajikan ialah tiga jenis gulai kawah iaitu daging rusa, ayam kampung dan kambing mamak.

“Kesemua gulai kawah itu enak dimakan dengan nasi bukhari kambing yang disediakan dengan ramuan khas.

“Pelbagai jenis sup seperti tulang rawan, ekor, kambing, perut, daging, ayam dan gear box turut disediakan kepada pelanggan kami sepanjang bulan Ramadan ini," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Abu Bakar menjelaskan, bagi menepati selera orang ramai, bufet Ramadan hotel ini juga menyajikan kambing bakar dan shell out yang berasaskan makanan laut.

Tambah beliau, selain itu, sebanyak 30 jenis kuih-muih tradisional dan moden seperti akok, bingka ubi, seri ayu, koci, lepat pisang dan kuih lapis disediakan sebagai pencuci mulut kepada pelanggan.

Pakej bufet ditawarkan pada harga RM88 seorang dewasa, RM44 untuk kanak-kanak dan RM70 bagi warga emas," katanya.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 09-864 1188.

Wednesday, June 14, 2017

Pengerusi Felda akan bertemu PM berhubung penyelesaian isu FGV pada Rabu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abd. Samad akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kemelut Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) pada lusa.
Beliau berkata, pertemuan tersebut akan menjadi medan untuk mencari penyelesaian bagi isu yang sedang melanda FGV kini.
"Saya mewakili Felda sebagai pemegang saham terbesar FGV akan membentangkan laporan, pandangan dan berunding dengan Perdana Menteri berhubung kemelut tersebut.
"Insya-Allah jalan penyelesaian akan dapat dicari selepas pertemuan itu," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Ihya Ramadan peringkat Parlimen Kemaman di Felda Kerteh 6 dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Krisis Qatar tidak jejas ibadat haji

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) memberi jaminan urusan pelaksanaan ibadah haji 33,000 jemaah negara ini tidak akan terjejas biarpun rantau Asia Barat kini dilanda krisis selepas enam negara rantau itu termasuk Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dan kerjasama ketenteraan dengan Qatar pada Isnin lalu.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan terbaharu tersebut dan telah membuat persiapan rapi bagi memastikan kelancaran penghantaran jemaah terbabit tidak terganggu.

“Kita tidak nampak isu Asia Barat ini akan memberi masalah mahupun gangguan kepada jemaah haji kita. Penerbangan pertama dijangka berlepas pada 24 Julai depan diikuti penerbangan terakhir pada 24 Ogos depan.

“Tabung Haji mempunyai pengalaman luas dalam melaksanakan tanggungjawab. Kita akan memastikan kelancaran dan keselamatan setiap jemaah sepanjang musim haji,” katanya ketika ditemui selepas program Ziarah Kasih Ramadan Parlimen Kuala Nerus di sini malam kelmarin.

Majlis penyampaian bantuan zakat kepada 1,000 asnaf anjuran Yayasan Tabung Haji tersebut turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Sehubungan itu, Abdul Azeez menasihatkan bakal jemaah haji negara ini agar tidak perlu gusar dan bimbang dengan pergolakan yang sedang berlaku di rantau Asia Barat  terbabit.

Menurut beliau, bakal jemaah tersebut hanya perlu mematuhi arahan yang bakal ditetapkan oleh petugas Tabung Haji sewaktu berada di Tanah Suci kelak.

“Apa yang lebih mustahak jemaah haji kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah sepanjang di Tanah Suci nanti,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan enam buah negara Asia Barat iaitu Arab Saudi, Mesir, Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu, Yemen dan Libya sebulat suara memutuskan hubungan diplomatik dan kerjasama ketenteraan dengan Qatar yang didakwa menaja aktiviti keganasan dan ekstremisme.

Tuesday, June 13, 2017

Ternakan diserang hawar berdarah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perkhidmatan Vete­rinar (JPV) Terengganu mengesahkan 259 ekor lembu dan kerbau ternakan di beberapa kawasan di daerah ini dan Marang mati akibat wabak heamoragic septicaemia atau hawar berdarah sejak akhir bulan lalu.

Ketua Bahagian Kesihatan JPV negeri, Dr. Wan A’aidah Wan Hashim berkata, kes hawar berdarah tersebut merupakan yang pertama dilaporkan di negeri ini dalam tempoh 10 tahun. Ia melibatkan kawasan Pengadang Buloh dan Atas Tol di sini selain Felda Rantau Abang 1 dan 2, Marang.

“Antara tanda ternakan diserang wabak itu ialah lembu dan kerbau terbabit berada dalam keada­an murung serta lesu, buih keluar dari bahagian mulut dan hidung selain bengkak pada leher, bahu dan badan.

“Jangkitan merebak dengan cepat dan biasanya ternakan yang ter­kena wabak itu akan mati dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Wan A’aidah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor cuaca tidak menentu iaitu hujan dan panas bersilih ganti menyebabkan penularan wabak hawar berdarah tersebut.

Menurut beliau, orang ramai tidak perlu panik kerana hawar berdarah tidak boleh merebak secara langsung terhadap manusia manakala daging lembu dan kerbau yang tidak tercemar dengan penyakit tersebut sahaja dibenarkan dijual di pasaran.

“JPV Terengganu telah mengambil langkah memberi vaksin kepada semua ternakan lembu dan kerbau yang berada dalam lingkungan lima kilo­meter dari kawasan wabak.

“Setakat ini, lebih 1,000 ternakan lembu dan kerbau di Kuala Terengganu dan Marang telah menerima vaksin sejak wabak hawar berdarah itu mula dikesan pada 26 Mei lalu,” katanya.

Wan A’aidah berkata, JPV negeri menyasarkan dapat menyuntik vaksin tersebut ke atas 300 ekor ternakan lembu dan kerbau setiap hari sehingga wabak hawar berdarah terbabit dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.

Monday, June 12, 2017

Terengganu lamar empat pemain baharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu semakin bersemangat apabila menambah empat lagi pemain menjelang tarikh akhir jendela perpindahan pemain Liga Malaysia esok.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Gabriel Davis Dos Santos, 28, dari kelab Clube Esportivo Lajeadense, Brazil menjadi pemain import kedua yang ditandatangani skuad Penyu.

“Dia bakal memainkan berperanan membantu barisan serangan termasuk Tchetche Kipre yang juga baharu ditandatangani baru-baru ini untuk menggempur gawang pasukan lawan.

“Tiga pemain tempatan yang turut menyertai kita ialah Azi Shahril Azmi, Mohamad Ridzuan Abdunloh dan Mohamad Faizal Mohamad Yusoff,” kata Irfan kepada Kosmo! Di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, Azi Shahril, 32, dan Mohamad Ridzuan, 23, merupakan pemain tengah yang masing-ma­sing sebelum ini beraksi dengan pasukan Felcra FC dan Felda United manakala Mohamad Faizal, 30, pula merupakan penjaga gol pasukan Sungai Ara FC.

Bekas pengendali Felda United tersebut berkata, kemasukan Dos Santos, Azi Shahril dan Mohamad Ridzuan bertujuan untuk memperkuatkan lagi jentera tengah Terengganu.

“Kehadiran mereka juga membolehkan saya mempunyai ba­nyak pilihan untuk dikete­ngahkan selain pemain berpe­ngalaman sedia ada seperti Abdul Latiff Suhaimi, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Shukur Jusoh dan Mohd. Faiz Nasir.

“Saya mengambil Mohamad Faizal pula sebagai persediaan mengisi kekosongan bakal di­tinggalkan sementara Amierul Hakimi Awang di posisi penjaga gol utama pasukan bagi mewakili negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini, skuad Terengganu berjaya mengikat Kipre, 29, yang merupakan bekas penyerang kebal Al-Suwaiq daripada Liga Profesional Oman.

Tiga pemain tempatan perkuat jentera tengah T-Team

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMASUKAN tiga pemain baharu iaitu Mohd. Asrol Ibrahim, Ooi Shee Keong dan Syed Sobri Syed Mohamad dijangka dapat memperkuatkan lagi jentera tengah T-Team bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Pengurus T-Team, Datuk Mohamad Kamil Othman berkata, ketiga-tiga pemain yang berusia dalam lingkungan 23 hingga 30 itu diyakini dapat memberi variasi terhadap corak permainan pasukan berstatus kelab itu.

“Saya percaya ketiga-tiga pemain baharu ini akan memberi suntikan semangat kepada pasukan dalam mengharungi saingan Liga Super dan Piala Malaysia yang akan bersambung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

“Kehadiran mereka juga bagi mengisi kekosongan di bahagian tengah yang sebelum ini dibarisi pemain Piala Presiden dan ia pasti dapat memberi kelebihan kepada ketua jurulatih (Rahmad Darmawan) dalam mengatur taktikal pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani kontrak ketiga-tiga pemain itu di pejabat T-Team, Kuala Terengganu semalam.

Sebelum ini Mohd. Asrol dan Syed Sobri masing-masing bermain untuk Terengganu dan Me­laka United, manakala Shee Keong pula merupakan kapten MISC-MIFA.

Sunday, June 11, 2017

Sindiket jual mercun makin menjadi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan YATIMIN ABDULLAH

TUMPAT – Aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api import dari negara jiran seolah-olah tidak bernoktah di negeri ini, malah sebaliknya semakin menjadi-jadi sepanjang Ramadan.

Pun begitu, taktik mereka tidak cukup bijak apabila jenayah yang dirancang berjaya dihidu pihak berkuasa.

Selepas mematahkan cubaan menyembunyikan bahan letupan itu di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh, Ahad lalu, pihak berkuasa sekali lagi berjaya menghalang penjualan 1,260 buah kotak mercun roket dan 102 buah kotak pelbagai jenis mercun di Kampung Derdap, Pengkalan Kubor di sini semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd. Rahman berkata, pihaknya yang membuat intipan sempat memantau pergerakan anggota sindiket memunggah barangan dari bot ke dalam sebuah kenderaan di tebing sungai.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, suspek terus melarikan diri ke negara jiran menggunakan bot,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan mercun yang dipercayai dibawa masuk dari sempadan yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Kita tidak menolak kemungkinan mercun ini dibawa masuk bagi memenuhi pasaran tempatan menjelang sambutan hari raya,” ujarnya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Terengganu, polis merampas ribuan mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000 dalam tiga serbuan di bandar ini dan Kuala Nerus bermula pada Sabtu hingga semalam.

Antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas ialah mercun bola, mercun papan, mercun mancis, Magic Boom, Sky Thunder dan Magical Shot.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abdul Rafar berkata, serbuan pertama melibatkan penahanan dua lelaki berusia 17 dan 24 tahun di Bazar Ramadan Pekan Batu Enam, Kuala Nerus pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 6.35 petang itu, bungkusan hitam yang dibawa didapati mengandungi mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM600.

“Dalam serbuan kedua, kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang, Gong Tok Nasek di sini pada pukul 2.28 pagi semalam (kelmarin).

“Pemeriksaan di dalam sebuah bilik di dalam rumah tersebut menjumpai sebuah kotak yang mengandungi bermacam-macam jenis mercun dan bunga api bernilai hampir RM4,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam.

Idris berkata, seorang lagi suspek berusia 46 tahun pula ditahan sewaktu sedang memandu sebuah van jenis Toyota Hiece dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Tok Mohor di sini pada pukul 4.15 pagi semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam van tersebut menjumpai 15 guni dan enam kotak yang mengandungi mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM8,000.

“Lelaki yang berasal dari Kampung Banggol Air Lileh, Kuala Nerus tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

Saturday, June 10, 2017

Kipre tambah sengat jentera serangan Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMBURUAN skuad Terengganu untuk mencari pengganti Federico Falcone sebagai penyerang berakhir apabila Tchetche Kipre, 29, berjaya memikat pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Kipre yang berasal dari Ivory Coast merupakan bekas penyerang kelab Al-Suwaiq daripada Liga Profesional Oman.

Katanya, penyerang itu memulakan kariernya di kelab JC Abidjan di negara kelahirannya pada tahun 2010 sebelum beraksi dengan Azam FC dari Tanzania selama enam musim.

“Kipre telah memainkan peranan penting membantu Al-Suwaiq menjulang Piala Sultan Oman sewaktu kelab tersebut menewaskan Dhofar 2-0 pada aksi akhir kejuaraan ber­kenaan pada 25 Mei lalu.

“Kemampuannya meledak kedua-dua gol pada perlawanan itu telah memikat kami untuk menjadikan dia sebagai pilihan utama mengisi posisi penggempur utama skuad Terengganu yang baharu,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Dalam perkembangan sama, Irfan mengesahkan bahawa skuad Penyu turut bakal menandatangani pemain import kedua sebelum jendela perpindahan pemain Liga Malaysia berakhir pada 11 Jun ini.

Beliau berkata, setakat ini pilihan yang telah dikenal pasti ialah Gabriel Davis Dos Santos, 28, yang kini beraksi dengan kelab Clube Esportivo Lajeadense, Brazil.

“Pemain tengah kelahiran Brazil itu dijangka tiba untuk memperkuatkan pasukan dalam masa terdekat selepas semua dokumen yang diperlukan bagi urusan perpindahan selesai,” katanya.

Sebelum ini, Terengganu menggugurkan Falcone dan Lutfulla Turaev daripada skuad Penyu dan bakal digantikan tidak lama lagi pada jendela perpindahan pemain yang bermula 15 Mei lalu.

Skuad Penyu masih mengekalkan dua pemain import iaitu Issey Farran Nakajima dan Lazaro yang ma­sing-masing bermain di posisi sera­ngan dan pertahanan.

Penagih dadah mengamuk minta wang BR1M

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Kampung Gong Duek, Jertih gempar semalam selepas seorang lelaki yang dipercayai berada dalam pengaruh dadah mengamuk selepas permintaannya untuk mendapat wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak dipenuhi pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung itu.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an telah bertindak merosakkan kereta Proton Wira milik pengerusi JKKK tersebut dengan sebilah golok selain mahu mengugut mahu mencederakan pemimpin kampung berkenaan.
Drama amukan itu telah berlarutan sehingga pukul 11 malam sebelum dia bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran bagi melepaskan diri daripada kepungan polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, insiden bermula apabila suspek yang dipercayai berada dalam pengaruh dadah telah pergi ke rumah pengerusi JKKK tersebut untuk menuntut wang BR1M.
"Pengerusi JKKK terbabit terpinga-pinga kerana bukan beliau yang bertanggungjawab mengagihkan wang BR1M sebaliknya bantuan itu didebitkan terus ke akaun bank penerima.
"Suspek tidak dapat menerima alasan mangsa telah naik marah sebelum datang semula ke rumah pengerusi JKKK tersebut dengan membawa sebilah golok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, June 9, 2017

Budak sembilan tahun cedera tangan bermain mercun bola

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara bermain mercun bola, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera pada tangan kirinya di Wakaf Beruas di sini kelmarin.

Dalam kelmarin kira-kira pukul 5 petang itu, tangan kiri Muhammad Afiq Hamdi Mohd. Rozi berlumuran darah dan sedikit melecur selepas terkena serpihan dua biji mercun bola yang dinyalakan.

Difahamkan, murid tahun tiga sebuah sekolah di bandar raya ini merupakan mangsa mercun pertama di negara ini pada bulan Ramadan tahun ini.

Mengimbas kejadian itu, Muhammad Afiq Hamdi memberitahu, sewaktu kejadian, dia yang bermain secara bersendirian telah menanam kedua-dua biji mercun bola terbabit di dalam tanah yang digali.

Menurutnya, dia bertindak demikian bagi mendapatkan hasil letupan yang lebih kuat daripada dua biji mercun bola yang digabungkan berkenaan.

“Dua mercun bola yang berada di dalam lubang itu meletup sebelum saya sempat selesai melakukan kerja-kerja menimbus tanah berkenaan. Tangan kiri saya berasa kebas dan berlumuran darah. Saya segera pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd. Muzzammil Mazlan, 27, berkata, Muhammad Afiq Hamdi segera dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk mendapatkan rawatan.

Dia berkata, sebelum kejadian, dia telah menegah anak saudaranya itu daripada bermain mercun sewaktu terserempak dengan mangsa ketika mahu keluar ke bazar Ramadan berhampiran.

“Saya tak sangka dia tetap bermain mercun walaupun telah dilarang sebelum ini. Mujur kecederaan tidak berapa serius, jarinya tidak hancur atau meragut nyawa. Anak saudara saya dijadual untuk menjalani pembedahan bagi merawat tangan kirinya di HSNZ di sini petang ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, kes tersebut akan disiasat walaupun sehingga kini laporan berhubung insiden kecederaan akibat mercun tersebut masih belum diterima.

“Saya juga sudah arahkan Ketua Polis Daerah di negeri ini untuk menguatkuasakan peruntukan undang-undang berhubung penjualan dan aktiviti bermain mercun secara haram,” katanya.

Remaja lelaki cedera bermain mercun bola

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera pada kedua-dua belah tangannya akibat bermain mercun bola di Kampung Rusila, Marang hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, Ahmad Zaquan Saidi melecur pada enam jari tangannya akibat terkena serpihan mercun terbabit.
Bapanya, Saidi Sabwey, 55, berkata, sewaktu kejadian, Ahmad Zaquan sedang bermain dengan tiga lagi rakannya sebelum sebiji mercun bola yang dinyalakan meletup di tangan anaknya itu.
"Saya perasan sesuatu tidak kena apabila anak saya tiba-tiba meluru masuk ke rumah dan terus membuka peti ais sebelum melumurkan kedua-dua belah tangannya dengan ais.
"Dia memberitahu saya, tangannya kebas selepas akibat terkena serpihan mercun bola yang tiba-tiba meletup," katanya.
Remaja lelaki terbabit merupakan mangsa kedua yang cedera akibat bermain mercun bola di Terengganu selepas Muhammad Afiq Hamdi Mohd. Rozi, 9, yang bermain mercun jenis sama pada pukul 5 petang semalam. - K! ONLINE