Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi rock popular, Awie memfailkan bantahan awal terhadap permohonan perintah interim (kekal) nafkah dua anak mereka yang dikemukakan isterinya, Rozana Misbun, 37, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Peguam syarie Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 47, Mohd. Syafiq Norizan berkata, pihaknya mendapati, afidavit permohonan yang dikemukakan Rozana mempunyai kecacatan dan tidak mengikut aturan ditetapkan mengikut prosedur undang-undang dan hukum perundangan syariah negara ini.
Menurutnya, kegagalan Rozana memperincikan nama dan butiran diri anak-anak yang terlibat dalam tuntutan tersebut adalah satu kecacatan mengikut Seksyen 13(2) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1998.
“Permohonan yang tidak terperinci boleh mendatangkan kesulitan kepada mahkamah di kemudian hari dalam membuat keputusan memandangkan sebarang perintah yang dikeluarkan adalah berpandukan butiran yang dipohon oleh pihak responden (Rozana),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sebutan kes perintah interim nafkah anak pasangan berkenaan di sini semalam.
Awie yang juga vokalis Wings tidak menghadiri prosiding tersebut dengan kebenaran mahkamah manakala Rozana hadir bersama peguam syarienya, Mohd. Nor Afandi Dahari.
Difahamkan Awie sedang sibuk dengan persiapan Konsert Wings 30 Tahun yang dijadualkan berlangsung di Dataran Bandaraya, Johor Bahru pada bulan depan.
Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Nor Faiz Afsal Abu Bakar menetapkan 22 Disember depan untuk pengurusan kes bantahan awal yang dikemukakan Awie tersebut.
Sementara itu, Rozana ketika ditemui pemberita di luar mahkamah sekali lagi mendakwa, dia bukan lagi isteri kepada Awie sejak hampir setahun lalu setelah permohonan fasakh secara taklik yang dikemukakannya dibenarkan oleh Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand pada 1 Disember 2014.
“Jangan kaitkan saya lagi sebagai isteri dia (Awie). Bukan saya hendak sangat (nafkah), saya sendiri mampu menyara anak-anak saya, namun dari segi agama (Islam), dia kena bagi nafkah kerana itu tanggungjawabnya sebagai bapa,” katanya.
Rozana telah memfailkan tuntutan nafkah anak pada 21 Oktober diikuti saman nafkah anak pada 5 November lalu selepas mendakwa Awie tidak pernah memberi apa-apa nafkah anak sepanjang di bawah penjagaannya dengan perintah mahkamah sejak Februari lalu.
Dia menuntut nafkah bulanan sebanyak RM3,000 untuk perbelanjaan makan minum, kelengkapan diri dan lain-lain, RM2,000 untuk menyediakan pakaian setiap tiga bulan, RM1,500 untuk persiapan persekolahan dan RM3,000 untuk persiapan menyambut perayaan setahun sekali serta kos tempat tinggal sebanyak RM1,500 dan kos pembantu rumah sebanyak RM800 sebulan.
Namun begitu, tuntutan nafkah itu hanya melibatkan dua anak pasangan berkenaan sahaja iaitu Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, memandangkan Putra Ahmad Merrah, 8, kini berada di bawah jagaan Awie walaupun mahkamah telah mengarahkan anak sulung mereka itu diserahkan kepada Rozana.
Awie dan Rozana berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005 tetapi tidak mendaftarkannya di Malaysia sehingga hari ini.