Translate

Sunday, November 12, 2023

Pengunjung Tasik Kenyir merosot

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Kebimbangan orang ramai mengenai pandemik Covid-19 telah mengakibatkan pengunjung Tasik Kenyir, Hulu Terengganu merosot lebih 60 peratus sehingga ke hari ini sejak tahun 2020. 

Sehubungan itu, kerajaan negeri telah merangka pelbagai acara dan program seperti pertandingan memancing dan basikal lasak bagi menarik sehingga 300,000 pengunjung ke tasik yang menerima penarafan Taman Geopark Kebangsaan itu menjelang akhir tahun ini. 

Datuk Razali Idris (Bersatu-Kijal) berkata, seramai 208,097 pelancong mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2020, 2021 (277,969) dan 2022 (246,846). 

“Kehadiran pelancong bagi tahun ini setakat Julai lalu pula ialah 141,487. 

 “Sebagai perbandingan, seramai 607,398 pelancong telah direkodkan telah mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2019,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini semalam. 

 Terdahulu, Mohd. Zawawi Ismail (Bersatu-Telemung) ingin tahu tentang usaha dilakukan kerajaan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir. 

 Razali berkata, Covid-19 yang berlaku pada awal tahun 2020 hingga 2022 telah memberi kesan besar terhadap kehadiran pelancong Tasik Kenyir. 

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu tersebut berkata, kemerosotan tersebut didorong oleh penutupan sektor ekonomi dan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu penularan pandemik. 

“Kehadiran pelancong pada fasa peralihan epidemik juga tidak meningkat disebabkan kebimbangan mereka terhadap jangkitan penyakit pada masa itu ekoran kebanyakan aktiviti di Tasik Kenyir dilaksanakan secara berkumpulan di dalam rumah bot,” katanya. 

 Tambah beliau, kerajaan negeri juga komited mengatur pelbagai program bagi memeriahkan kembali Tasik Kenyir dengan sasaran 1 juta pelancong pada tahun depan. 

 Selain aktiviti memancing, Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara popular dengan aktiviti riadah, sukan dan sejarah alam semula jadi.

No comments:

Post a Comment