Translate

Thursday, October 31, 2013

Hasrat ibu jumpa Khairul tercapai

GOPENG - Hasrat seorang ibu untuk bertemu dengan anaknya yang meringkuk di penjara Taiwan selepas menjadi mangsa keldai dadah sejak tujuh tahun lalu akhirnya tercapai baru-baru ini.
Pertemuan mengharukan Halijah Abdul Rashid, 55, dengan anak keduanya, Khairul Azuan Abu Hasan, 33, yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan itu tercapai atas inisiatif Pusat Khidmat dan Aduan MCA Gopeng.
"Saya berada di Taiwan selama enam hari pada 21 Oktober hingga 26 Oktober lalu dengan ditemani tiga pemimpin MCA Gopeng.
"Tanpa bantuan mereka, tak mungkin hajat saya untuk melepaskan rindu terhadap anak tercapai kerana saya bukannya orang senang, malah tidak fasih berbahasa Inggeris mahupun Mandarin," katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua MCA Bahagian Gopeng, Albert Chang Chun Cheun di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Gopeng di sini semalam.

Turut hadir tiga pemimpin MCA yang telah menemani Halijah sepanjang di Taiwan iaitu Setiausaha Kerja MCA Gopeng, Lee Thim Foo, Pengerusi Biro Khidmat dan Aduan MCA Gopeng, Low Leong Sin dan Ketua Pemuda MCA Gopeng, Leow Yen Ling.

Mengimbas kembali pertemuan tersebut, Halijah yang merupakan seorang pekerja am memberitahu pengurusan Pusat Tahanan Taoyuan membenarkan dia bertemu dengan Khairul Azuan sebanyak tiga kali.

Katanya, dia dan anaknya dibenarkan berjumpa secara bersemuka di dalam sebuah bilik khas selama sejam pada pertemuan pertama pada 23 Oktober lalu.

Dalam dua pertemuan selanjutkan iaitu pada 24 Oktober dan 25 Oktober, mereka berbual di sebalik tirai cermin menerusi telefon selama setengah jam bagi setiap sesi.

“Saya sebak dan terharu dapat memeluk Khairul Azuan buat pertama kali sejak dia mula ditahan kira-kira tujuh tahun lalu.

“Syukur saya dapat lihat banyak perubahan positif. Selain fizikalnya semakin berisi, dia juga sudah mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Cina dan Inggeris,” katanya.

Halijah lega dapat membawa hidangan rendang tok dan foto terbaharu dua anak Khairul Azuan berusia 13 tahun dan 10 tahun yang merupakan dua permintaan anak kedua dari empat beradik itu.

Tambahnya, pada pertemuan tersebut, Khairul Azuan menyatakan kekesalannya mengikut kata hati hingga terjebak oleh sindiket dadah antarabangsa sedangkan cuma dijanjikan upah RM3,000 hingga RM4,000 bagi tugas membawa dadah jenis heroin tersebut.

Dia ditahan pihak penguasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Kai Shek, Taiwan pada 14 Jun 2006.

Khairul Azuan ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan, Taiwan setelah didapati bersalah memiliki 1.536 kilogram dadah jenis heroin pada 2008 dan dijangka dibebaskan pada 2036.

Bekas pensyarah ITP didakwa terima rasuah

IPOH - Seorang bekas pensyarah Institut Teknologi Perak (ITP) di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima tuduhan meminta dan menerima suapan daripada pelajarnya kira-kira dua tahun lalu.
Wong Chee Wai, 41, dituduh meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1,130 daripada dua pelajarnya antara 14 September 2011 dan 8 Februari 2012 sebagai dorongan untuk menaikkan penilaian markah berterusan dua pengadu tersebut bagi subjek Matematik 3, Matematik 4 dan Statistik.
Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM27,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan tarikh sebutan semula kes berkenaan pada 4 Disember depan. - KOSMO!

Friday, October 25, 2013

TNB perkemas prosedur lepas air

CAMERON HIGHLANDS - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengemas kini prosedur operasi standard pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar bagi mengelak kejadian banjir lumpur yang mengorbankan empat nyawa di Lembah Bertam di sini berulang.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahadzir Khalid berkata, kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan akan dipertingkatkan bagi memberi maklumat awal kepada penduduk setiap kali aktiviti pelepasan air empangan terpaksa dilakukan.
"Kita akan mengambil maklum titah baginda (Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) terutama waktu siren dibunyikan untuk makluman penduduk.
"Kita akan kaji bersama dengan agensi kerajaan lain supaya perkara ini dapat dilaksanakan pada masa depan," katanya selepas mengiringi Tengku Abdullah melawat lokasi dan mangsa banjir lumpur di Lembah Bertam, Ringlet dekat sini semalam.

Turut hadir  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif /Presiden TNB, Datuk Seri Azman Mohd.

Beliau mengulas saranan Tengku Abdullah bagi memantapkan lagi prosedur operasi standard pelepasan air Empangan Sultan Abu Bakar terutama bagi jadual pelepasan air dan sistem penyebaran maklumat mengenai aktiviti itu kepada penduduk.

Sementara itu, Azman berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepatutnya turut dilibatkan setiap aktiviti pelepasan air empangan dilakukan pada masa depan kerana ia turut melibatkan isu keselamatan empangan.

"Kita akan mantapkan lagi prosedur operasi standard dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga MKN. 

"Namun apa yang lebih penting saya minta penduduk tempatan perlu memberi lebih kerjasama kerana mereka perlu sedar lokasi di sini berisiko tinggi. Siren amaran perlu dipatuhi segera, jangan anggap ia latihan semata-mata," tegasnya.

Terkurung dalam rumah dimasuki air

CAMERON HIGHLANDS - "Kami terkurung di dalam rumah kerana pintu tidak boleh dibuka. Ketika itu air terus melimpah masuk sehingga ke paras dada," kata Shaifa Jamil, seorang daripada 54 penduduk yang dipindahkan apabila rumah mereka di Lembah Bertam musnah dalam kejadian banjir kilat semalam.
Shaifa, 19, yang ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini berkata, ketika kejadian dia dan ibunya berada di dalam rumah manakala ayah dan abangnya berada di luar rumah.
Menceritakan detik cemas itu, dia berkata, siren kecemasan dibunyikan dua kali sebelum dia kemudian ternampak kayu balak dibawa arus Sungai Bertam.

"Tidak samapi dua minit, air terus melimpah masuk ke dalam rumah dan saya tidak sempat hendak menyelamatkan harta benda," kata pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata itu.

Shaifa berkata, ayahnya terpaksa memecahkan tingkap untuk mengeluarkan dia dan ibunya yang terperangkap di dalam rumah.

Sementara itu, Mohd. Eswandy Zubir, 21, berkata, hampir semua rumah di kawasan itu musnah akiba limpahan air dari Empangan Sultan Abu Bakar.

"Banyak barang rosak kecuali dokumen pengenalan diri," kata Eswandy.

Dalam pada itu, Bakaruddin Makmun, 28, suami keapda Jarwati yang masih hilang berkata, sebelum kejadian dia tidur dan hanya tersedar selepas dia dan isteri terhumban ke Sungai Bertam secara tiba-tiba.

"Saya sempat berpaut pada paip air di tebing sungai tetapi saya sangat sedih kerana tidak sempat memaut isteri yang kemudian hilang di depan mata saya," katanya yang mendoakan isterinya segera ditemui.

Seorang warga Bangladesh, Jahangir, 22, pula terkilan kerana dia gagal menyelamatkan rakan senegaranya itu yang terkorban dalam kejadian itu.

Katanya, dia bergegas ke rumah Md. Jahangir Alam, 30, sebaik melihat air sungai naik tetapi dia tidak mampu sampai ke rumah rakannya itu kerana arus terlalu deras.

"Saya hanya dapat menyaksikan bagaimana rumah Mohd. Jahangir ditenggelami air sehingga paras bumbung," jelasnya.

Dalam kejadian itu tiba terbunuh iaitu Md. Jahangir Alam, Kesmat dan Tam Tuck Choi. 

3 mati dalam gulungan lumpur

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


CAMERON HIGHLANDS - Tiga terbunuh dengan dua daripada mereka mati lemas selepas terperangkap dalam rumah yang ditenggelami banjir lumpur manakala seorang lagi diserang sakit jantung kerana terkejut dengan kejadian bencana alam yang tiba-tiba melanda Lembah Bertam, Ringlet dekat sini semalam.
Kejadian pukul 1 pagi yang menenggelamkan hampir keseluruhan perkampungan milik pekebun sayur yang tinggal di tebing Sungai Bertam berpunca daripada limpahan air Empangan Sultan Abu Bakar yang terletak 1.3 kilometer dari kawasan yang dilanda banjir.
Dua mangsa yang mati lemas ialah lelaki Bangladesh, Md. Zahangi Alam, 30, dan seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Kesmat, 46.

Seorang lagi mangsa, Tam Tuck Choi, 51, mati akibat diserang sakit jantung kerana terkejut melihat rumahnya dimasuki air melebihi satu meter dalam sekelip mata.

Dalam kejadian sama, seorang lagi wanita Indonesia dikenali sebagai Jarwati, 24, hilang dihanyut air Sungai Bertam sehingga lewat malam tadi nasib mangsa belum diketahui.

Seorang lagi penduduk, Ho Kin Wang, 38, luka di kaki kanan akibat terpijak kaca sewaktu menyelamatkan diri dariapada dihanyutkan banjir lumpur.

Air di kampung itu surut sepenuhnya pada pukul 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian banjir lumpur itu berpunca daripda air di Empangan Sultan Abu Bakar yang dilepaskan selepas melebihi paras bahaya.

"Hujan lebat luar biasa selama enam jam mulai pukul 7 malam semalam (kelmarin) meningkat paras air empangan ke paras bahaya sehingga 3,510 meter dari paras laut. Bagi mengelak empangan pecah, pihak pengurusan melepaskan lebihan air tiga kali iaitu pada pukul 12.30 tengah malam. 1 pagi dan 2.45 pagi.

"Air yang dilepaskan itu melimpah memasuki Sungai Bertam dan menjadi punca kepada banjir lumpur yang menenggelamkan perkampungan di Lembah Bertam," kata beliau.

Menurut beliau, siren amaran dan anggota polis bertugas telah membuat pengumumna kepada penduduk setempat kira-kira 15 minit sebelum pintu empangan dibuka tetapi paras air yang meningkat terlalu cepat menyebabkan kebanyakan 300 penduduk tidak sempat menyelamatkan diri.

Akibat banjir lumpur itu, dianggarkan 80 buah rumah rosak termasuk 10 ranap sepenuhnya manakala 100 kenderaan pelbagai jenis musnah.

Turut terjejas Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley.

Wan Mohd. Zahari memberitahu, mayat Md. Zahangi ditemui terperangkap di dalam rumahnya pada pukul 8 pagi manakala mayat Kesmat ditemyui dalam runtuhan di dalam rumahnya yang ranap 15 minit kemudian.

Seramai 38 mangsa banjir lumpur telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Seorang penduduk, Maimunah Din, 64, berkata, dia mengakui terdengar bunyi siren amaran ketika tidur pada pukul 12.30 tengah malam sebagai tanda air di empangan akan dilepaskan.

"Pada mulanya saya cuba tidak menghiraukan amaran itu kerana sebelum ini pelepasan air empangan itu jarang menyebabkan banjir.

"Tetapi saya yang tidak sedap hati cuba menjenguk ke luar rumah sebelum terkejut melihat aurs deras datang mengulung-gulung dari hulu Sungai Bertam," kata wanita itu,

Maimunah memberitahu, dia kemudian mengendong dua cucunya yang berumur lima da setahun menyelamatkan diri.

Kali terakhir banjir besar melanda Lembah Bertam ialah pada tahun 1988 namun ia tidak seteruk semalam.

Wednesday, October 23, 2013

Banjir lumpur: Dua maut, seorang hilang

CAMERON HIGHLANDS - Dua pekebun warga asing maut manakala seorang lagi hilang selepas dihanyutkan banjir lumpur di Lembah Bertam dekat sini pagi tadi.
Kejadian pada pukul 1 pagi itu mengorbankan lelaki warga Bangladesh yang dikenali sebagai Jahangir, 30-an dan wanita warga Indonesia, Kesmat, 46.
Kedua-dua mangsa ditemui tertimbus dalam lumpur berhampiran rumah masing-masing pada pukul 8 pagi dan 8.15 pagi.
Gerakan mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Jarwati, 17, sedang giat dijalankan. - KOSMO!

Cabaran Gunung Korbu tarik penyertaan luar negara


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Peminat sukan lasak dijemput memeriahkan Cabaran Gunung Korbu 2013 iaitu pertandingan mendaki Gunung Korbu dekat sini yang merupakan tertinggi di negeri ini pada 23 November depan.

Pengarah projek, Khairul Fitri Roslan berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan Pemuzik dan Sukan Lasak Perak dan Real Dynasty Sdn. Bhd.
“Peserta Cabaran Gunung Korbu akan di uji keupayaan fizikal dan mental masing-masing untuk bersaing mendaki gunung setinggi 2,187 meter itu.

“Mereka perlu melalui trek sejauh 37.3 kilometer (km) termasuk melakukan pendakian sejauh 21.6 km sebelum  sampai ke puncak Gunung Korbu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Khairul Fitri berkata, kejohanan tersebut terbuka kepada invidu berusia 18 tahun ke atas dan terbahagi kepada dua kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita.

Tambah beliau, Cabaran Gunung Korbu hanya akan melibatkan 200 peserta sahaja atas faktor keselamatan dan menjamin kualiti kejohanan.

“Penyertaan masih dibuka sehingga 10 November depan dan yuran penyertaan sebanyak RM100 dikenakan.

"Selain peserta tempatan, setakat ini beberapa peminat sukan lasak antarabangsa termasuk dari Kenya, Austria, Thailand dan Senegal telah mengesahkan penyertaan,” katanya.

Khairul Fitri berkata, pemenang pertama hingga kesepuluh kejohanan tersebut bagi setiap kategori akan menerima ganjaran wang tunai antara RM100 hingga RM5,000, pingat dan sijil penyertaan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Nurdayana Mohd. Khalid di talian 019-5288505 atau layari laman sosial Facebook di facebook/Korbu Challenge.

Markas buat DVD cetak rompak diserbu

IPOH - Sebuah sindiket yang dipercayai telah mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit menerusi pengedaran cakera video digital (DVD) cetak rompak di sekitar bandar raya ini sejak tiga tahun lalu berjaya dilumpuhkan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas, Bercham di sini pada 18 Oktober lalu.

Serbuan di premis yang dipercayai markas pencetakan DVD tersebut pada pukul 10.30 pagi itu turut mendapati sindiket berkenaan turut terlibat dalam penjualan mercun dan bunga api secara haram untuk pasaran tempatan.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sewaktu serbuan dilakukan, dua lelaki yang disyaki anggota sindiket berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menyalin DVD haram berkenaan di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat tersebut.

“Pemeriksaan di dalam bilik tersebut menjumpai tiga kotak yang mengandungi 552 DVD haram pelbagai judul termasuk lucah.

“Lapan unit mesin penyalin, tiga komputer riba, pemain DVD, pemacu DVD, sebuah televisyen, pemacu perakam DVD (DVD-RW), dua tetikus komputer dan dua wayar sambungan yang disyaki digunakan bagi melakukan kegiatan menyalin DVD cetak rompak terbabit turut dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Paramasivam memberitahu polis turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM7,300, kertas bersaiz A4, buku bil, sekotak DVD kosong, tiga beg plasatik hitam dan sarung serta pelekat DVD.

Tambah beliau, pemeriksaan turut menjumpai 21 kotak mengandungi mercun dan bunga api pelbagai jenis yang dipercayai mahu diedarkan di sekitar bandar raya ini sempena perayaan Deepavali minggu depan.

PAFA, Azraai capai kata sepakat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 
azli.adlan@kosmo.com.my

KEMELUT antara Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan Mohd. Azraai Khor Abdullah berhubung pelepasan kontraknya sebagai ketua jurulatih Perak dijangka berakhir hari ini.
Azraai berkata, rundingan antara beliau dan PAFA mengenai terma dan syarat pelepasan kontraknya telah diselesaikan oleh kedua-dua belah pihak semalam.
"Kedua-dua pihak secara bersama sudah bersetuju dengan beberapa terma dan syarat pelepasan kontrak saya yang sepatutnya berakhir Oktober tahun depan.
"Alhamdulillah, segalanya sudah selesai. Jadi, sekarang habis cerita," kata Azraai kepada Kosmo! semalam.
Azraai memberitahu, beliau difahamkan PAFA sedang menyiapkan surat persetujuan pelepasan kontrak yang bakal ditandatangani kedua-dua pihak hari ini.
Sebelum ini, niat Azraai untuk meninggalkan skuad Seladang yang disampaikan jurulatih berusia 61 tahun itu secara lisan kepada Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun pada Ahad lalu, kurang dipersetujui Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Zainol Fadzi berkata, Azraai masih perlu berkhidmat dengan PAFA biarpun bukan sebagai ketua jurulatih selagi tiada 'hitam putih' pembatalan kontrak.
Polemik antara Azraai dan PAFA dikatakan mula tercetus apabila khidmatnya dibekukan sementara pada penghujung bulan lalu selepas persatuan itu mengesyaki wujud unsur sabotaj dan rasuah dalam skuad Seladang.
Drama membabitkan kedua-dua pihak tidak terhenti di situ selepas Azraai tidak kembali mengendalikan sesi latihan meskipun PAFA menarik balik tempoh penggantungan itu minggu lalu.
Isu itu bertambah hangat apabila PAFA melantik jurulatih skuad Piala Presiden Perak, Abu Bakar Fadzim bagi menggantikan tempat Azraai musim depan.
"Saya percaya ia dapat diselesaikan secara baik dan memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.
"Jadi, saya harap ia dapat diselesaikan segera dalam tempoh sehari dua ini," katanya.

Sarjan disiasat atas tiga kesalahan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Anggota polis berpangkat sarjan yang terlepas tembakan sehingga mencederakan seorang budak, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, di Kampung Belanja Kiri, Parit berkemungkinan didakwa di mahkamah atas tiga pertuduhan berunsur jenayah.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, sarjan berusia 30-an itu kini disiasat di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 338 Kanun Keseksaan.
"Seskyen 37 Akta Senjata Api 1960 ialah melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan manakala Seksyen 39 akta sama pula ialah melepaskan tembakan di kawasan tidak dibenarkan.
"Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan iaitu membuat perlakuan yang membahayakan nyawa awam," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.
Seksyen 37 Akta Senjata Senjata Api 1960 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali manakala Seksyen 39 memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 338 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, menurut Paramasivam, penolong pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping itu turut disiasat oleh Unit Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran tindakannya membawa senjata api di luar waktu tugas.
Berdasarkan prosedur operasi standard, setiap anggota polis perlu menyerahkan semula senjata api ke balai masing-masing sebelum bercuti.
"Pihak kami sedang menyiasat kenapa sarjan itu dibenarkan membawa senjata api sewaktu bercuti.
"Sebagai anggota polis yang bertugas di Daerah Taiping, anggota itu perlu mendapatkan pas berek untuk meninggalkan daerah itu untuk ke daerah lain iaitu daerah Perak Tengah dalam kes ini," kata beliau.

Sejak kejadian pada 14 Oktober itu, Paramasivam memberitahu, sarjan itu masih dibenarkan bertugas seperti biasa memandangkan siasatan kes berkenaan masih belum selesai.

"Tindakan tatatertib selanjutnya seperti pengantungan tugas atau penukaran bidang tugas hanya akan ditentukan selepas siasatan selesai sepenuhnya," katanya.

Menurut beliau, siasatan mengenai insiden itu hampir selesai kecuali polis menunggu masa sesuai untuk mengambil keterangan daripada Mohd. Amar.

"Keterangan Mohd. Amar hanya akan diambil selepas emosi kanak-kanak itu benar-benar stabil," kata beliau.

Paramasivam memberitahu setakat ini seramai 14 hingga 15 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kes tersebut.

Sementara itu, bapa Mohd. Amar, Mohd. Azizi Abdullah Halim, 48, yang dihubungi memberitahu tahap kesihatan dan emosi anaknya telah selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang tersekat pada kerongkongnya pada Ahad lalu beransur pulih.

“Dia juga berselera makan bihun goreng yang dimasak ibunya pagi tadi. Saya harap anak bongsu saya ini dibenarkan keluar hospital esok (hari ini) atau lusa (esok),” katanya.

Kosmo! pada 16 Oktober lalu melaporkan, Mohd. Amar cedera parah selepas terkena satu das tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis P99 milik seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika anggota polis tersebut sedang mengosongkan peluru di hadapan rumah mertuanya sebelum satu das tembakan terlepas dan mengenai Mohd. Amar yang sedang bermain.

Tuesday, October 22, 2013

Perak sudah ada pengganti Azraai


SEHARI selepas Mohd. Azraai Khor Abdullah mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya, semalam Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengumumkan Abu Bakar Fadzim sebagai ketua jurulatih baharu skuad Perak.
Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, bekas pemain pertahanan Perak tersebut dinaikkan pangkat untuk mengemudi skuad Seladang bagi menghadapi cabaran Liga Super musim depan berikutan prestasi cemerlangnya sebagai jurulatih skuad Piala Presiden Perak.

“Abu Bakar telah berada di barisan kejurulatihan skuad Piala Presiden sejak lapan tahun lalu bermula sebagai penolong jurulatih sebelum dinaikkan pangkat sebagai jurulatih pada 2009.

“Di bawah kendalian Abu Bakar sejak lima tahun lalu, prestasi skuad Piala Presiden Perak cemerlang dengan sentiasa di kelompok empat terbaik termasuk muncul juara dan naib juara piala itu pada tahun 2012 dan tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Zainol Fadzi menegaskan keputusan melantik Abu Bakar tiada kena-mengena dengan keputusan Mohd. Azraai untuk berpisah dengan skuad Perak.

Sebaliknya, beliau memberitahu ia sebagai menyahut saranan kebanyakan penyokong tegar skuad Seladang yang mahupun pegawai dan pemain skuad Piala Presiden diberi lebih ruang dan peluang untuk ditonjolkan.

“Prestasi skuad Piala Presiden sentiasa konsisten dan jauh lebih baik berbanding skuad utama yang mengecewakan sekadar menduduki tempat ketujuh pada saingan Liga Super,” katanya.

Zainol Fadzi turut membayangkan sekurang-kurangnya 10 pemain muda dari skuad Piala Presiden akan diserap ke skuad utama musim depan.

Pada masa sama, beliau berkata, sekurang-kurangnya lima pemain pengalaman termasuk ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha bakal berhijrah ke pasukan lain setelah kontrak mereka masing-masing berakhir hujung bulan ini.

“Kita juga sedang berusaha menarik masuk pemain-pemain baharu termasuk pemain import untuk memperkuat pasukan Perak musim hadapan,” katanya.

Mengenai masa depan Mohd. Azraai, Zainol Fadzi berkata, masih terdapat beberapa terma dan syarat pemisahan masih belum dipersetujui dan memerlukan perbincangan lanjut melibatkan kedua-dua pihak.

“Bagi saya, selagi tiada hitam putih pembatalan kontrak, Mohd. Azraai masih perlu berkhidmat dengan Pafa. Dia mungkin bukan lagi ketua jurulatih tetapi kontrak sebagai pegawai Pafa yang hanya akan berakhir Oktober 2014 perlu dipatuhi,” katanya.

Sebagai contoh, Zainol Fadzi berkata, bekas jurulatih  Perak pada musim 2010, Raja Azlan Shah Raja Soib masih berkhidmat dengan Pafa biarpun jawatannya sebagai ketua jurulatih pada masa itu telah digantikan dengan Norizan Bakar.


"Disebabkan perbincangan pelepasan gagal mencapai kata sepakat, Raja Azlan Shah terus berkhidmat sebagai Pengerusi Teknikal dan Pembangunan Pafa sehingga kontraknya tamat setahun kemudian," jelasnya.

Amar pulih dalam tempoh 3 bulan


IPOH - Kecederaan budak lelaki yang terkena tembakan peluru sesat yang terlepas daripada pistol seorang anggota polis di Kampung Belanja Kiri, Parit dekat sini pada minggu lalu dijangka sembuh sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, yang selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru yang tersekat di kerongkongnya kelmarin dijangka dibenarkan keluar dari hospital pada lusa atau Khamis ini.
"Keadaan Mohd. Amar stabil dan bebas daripada apa-apa risiko. Begitupun pemeriksaan mendapati tembusan peluru di bahagian kerongkong berkenaan telah menyebabkan tulang lehernya retak sedikit.
"Mohd. Amar perlu memakai pelindung leher sekurang-kurangnya bagi tempoh dua bulan," kata beliau pada sidang akhbar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah sebahagian besar pegawai perubatan HRPB yang terlibat dalam pembedahan mengeluarkan peluru di kerongkong yang julung kali dilakukan ialah Pakar Perunding Neorosurgeri, Dr. Cheang Chee Keong; Pakar Perunding Otorinolaryngiology, Dr. Rosalind Simon; Pakar Kanak-Kanak, Dr. Alex Khoo; Ketua Jabatan Pediatrik, Datuk Dr. Amar Singh dan dua pakar Otorinolaryngiology, Dr. Harvinder Singh dan Dr. M. Somasudran.
Nolee berkata, keretakan pada leher Mohd. Amar akan terus dipantau dan keputusan sama ada pembedahan susulan perlu diadakan akan dibuat pada Disember ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, pembedahan merupakan pilihan terakhir kerana kebiasaannya keretakan leher pada kanak-kanak tersebut akan sembuh dengan sendiri dalam tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Chee Keong berkata, pembedahan mengeluarkan peluru pada kerongkong Mohd. Amar menggunakan tiub yang dimasukkan melalui mulut kanak-kanak itu berlangsung selama dua jam setengah bermula pukul 9.30 pagi kelmarin.

"Pembedahan ini berisiko tinggi dan kami menggunakan peralatan pembedahan canggih iaitu Sistem Bantuan Imej dan Monitor Pengoperasian Intra. Kedua-dua mesin itu membolehkan kami melihat imej di dalam kerongkong dan dapat memberi amaran awal sekiranya kamera tiub tersentuh saraf sensitif yang boleh menyebabkan komplikasi selepas pembedahan,” kata beliau yang mengetuai pasukan pembedahan itu.

Dalam pada itu bapa mangsa, Mohd. Azizi Abdullah Halim, 48, berkata, beliau sekeluarga lega anak bongsunya mulai sedar pada lewat petang kelmarin dan kanak-kanak itu juga sudag boleh bercakap dan minum.

Kosmo! pada 16 Oktober lalu melaporkan, Mohd. Amar parah terkena satu das tembakan yang dilepaskan daripada pistol jenis P99 milik seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Kejadian pukul 4.30 petang, 13 Oktober lalu itu berlaku ketika anggota polis tersebut sedang mengosongkan peluru di hadapan rumah mertuanya lalu mengenai Mohd. Amar yang sedang bermain.

Monday, October 21, 2013

Malakoff anjur program Kenali Penyu, Sayangi Penyu

CINTAI HAIWAN. Syarikat penjana tenaga bebas, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menganjurkan program 'Kenali Penyu, Sayangi Penyu 2013' di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Pasir Panjang, Segari, Perak baru-baru ini.
Pengurus Loji Janakuasa Malakoff Lumut, Abdul Rahman Hussin berkata, program melibatkan 30 murid sekolah rendah dari sekitar daerah Manjung itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan melindungi penyu yang semakin terancam.
Beliau berkata, Malakoff turut menyumbang sebanyak RM10,000 bagi membantu Jabatan Perikanan Perak melakukan aktiviti pemuliharaan spesies tersebut.
Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood.

Friday, October 18, 2013

Pelajar UiTM Arau anjur program Khidmat Bakti untuk Orang Asli

BERMESRA. Seramai 34 pelajar Fakulti Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis menganjurkan program Khidmat Bakti di perkampungan Orang Asli Kampung Chadak, Ulu Kinta, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengerusi program, Abdul Razak Mohd. Nordin berkata, program tiga hari dua malam melibatkan 516 orang masyarakat Orang Asli itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah.
Beliau berkata, selain sesi penerangan tentang program pengajian di UiTM kepada anak-anak Orang Asli di kampung itu, pelbagai aktiviti seperti sukaneka, gotong-royong dan ceramah agama turut dianjurkan.
"Kami juga turut menanam sebanyak 100 pokok buluh madu sebagai usaha untuk membantu masyarakat Orang Asli di sini memperoleh pendapatan sampingan," katanya.

Thursday, October 17, 2013

Niat baik bertukar tragedi

BAGAN SERAI - Niat baik tiga lelaki membantu seorang pemandu bas ekspres yang tersepit dalam kemalangan bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan lain semalam.
Kejadian yang berlaku pada pukul 5.15 pagi di Kilometer 190.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Bukit Merah itu mengorbankan Mat Dan Mat, 61.
Mangsa merupakan pemandu bas ekspres lain yang berhenti untuk membantu Habdul Ghani Jantan, 46, yang patah kaki kiri.
Dua lagi lelaki yang cuba membantu Habdul Ghani pula cedera parah. Mereka ialah Abdul Manaf Zainal Abidin, 47, yang bekerja sebagai pemandu bas ekspres dan Rajamuniandy, 37, seorang pemandu lori.

Seorang saksi, M. Kunalan, 52, berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila bas ekspres yang dipandu Habdul Ghani merempuh belakang sebuah lori membawa serbuk kapur menyebabkan ia terbabas dan melintang di laluan tengah lebuh raya berkenaan.

"Saya lihat bahagian depan bas ekspres itu remuk. Ada beberapa orang awam cuba membantu pemandu bas ekpres yang tersepit.

"Tiba-tiba sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina yang dipandu seorang wanita merempuh orang awam tersebut menyebabkan seorang daripada mereka terpelanting ke laluan bertentangan," katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan memberitahu, Mat Dan dari Pokok Sena, Kedah yang tercampak turut digilis oleh beberapa kenderaan lain.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

"Rajamudiandy dirawat di hospital sama manakala Abdul Manaf dan Habdul Ghani dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan," katanya.

Tujuh penumpang bas ekpsres yang dipandu Habdul Ghani mengalami kecederaan ringan.

Jelas Mat Fauzi, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pemandu Grand Livina yang berusia 23 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

'Saya sangka bunyi mercun'


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH - Seorang budak lelaki yang cedera terkena tembakan di leher dekat Kampung Belanja Kiri, Parit di sini pada Isnin lalu menyangka bunyi yang terlepas daripada pistol seorang anggota polis adalah letupan mercun.
Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, berkata, ketika kejadian pukul 4.30 petang itu, dia sedang bermain bersama beberapa rakan di atas jalan tar mini kira-kira 40 meter dari lokasi sarjan itu sedang mengosongkan peluru.
"Kami nampak percikan api dan bunyi letupan kuat. Selepas itu, saya berasa hidung saya panas dan berdarah.
"Pada mulanya, saya sangka ia bunyi mercun," cerita mangsa ketika ditemui oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Turut hadir, Pakar Perunding Neurosergeri  HRPB, Dr. Cheang Chee Keong.

Menurut mangsa, dia yang rebah selepas kejadian itu hanya menyedari menjadi mangsa tembak selepas dimaklumkan oleh doktor yang merawatnya di HRPB/.

"Doktor beritahu, saya terkena tembakan. Ada sebutir peluru di dalam kerongkong saya," katanya.

Akhbar semalam melaporkan, seorang anggota polis yang sedang mengosongkan peluru daripada senjata api jeni PP99 di hadapan rumah mertuanya di Parit terlepas tembakan menyebabkan seorang budak lelaki cedera parah.

Susulan kejadian itu, polis menahan anggota polis tersebut yang bertuhas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping selepas dia menyerah diri. Turut dirampas ialah sepucuk pistol beserta 14 butir peluru.

Sementara itu, Nolee Ashilin memberitahu, pemeriksaan awal mendapati peluru itu mengenai hidung mangsa dan tersekat di kerongkong selepas melalui rongga hidung.

Katanya, Mohd. Amar bernasib baik kerana peluru tersebut tidak mengenai saraf tunjang yang boleh menyebabkan kanak-kanak itu mengalami lumpuh atau maut.

"Saya difahamkan, peluru itu berada lima milimeter dari saraf tunjang dan tersangkut antara tulang kepala dan tulang leher.

"Keadaan mangsa setakat ini stabil, dia boleh bercakap dan makan," katanya.

Dalam pada itu, Chee Keong memberitahu, pembedahan untuk mengeluarkan peluru di kerongkong Mohd. Amar yangdijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan ke hari ini atau esok kerana ia berisiko tinggi.

"Ia harus dilakukan dengan teliti bagi mengelak sebarang komplikasi pada saraf tunjang dan salur darah mangsa," katanya.

Menurut Che Keong, sekiranya tidak melakukan pembedahan, pihaknya bimbang peluru tersebut akan bergerak memasuki saraf tunjang mangsa.

"Ini kali pertama pembedahan mengeluarkan peluru dari kerongkong dilakukan di negara ini. Kami sedang mendapatkan pandangan daripada pakar-pakar perubatan di seluruh negara untuk menjayakan misi ini," katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Wednesday, October 16, 2013

Peluru dalam kerongkong budak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PARIT - Seorang anggota polis tidak menyangka kepulangannya untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga mertua di Kampung Belanja Kiri dekat sini berakhir dengan tragedi kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, suspek yang berpangkat sarjan dipercayai terlepas tembakan menyebabkan seorang budak lelaki cedera parah.
Mohd. Amar Mohd. Azizi, 10, yang cedera di leher dikejarkan ke sebuah klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi menjalani pembedahan membuang peluru di dalam kerongkongnya.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota itu yang duduk di atas tangga di hadapan rumah mertuanya sedang mengosongkan peluru daripada pistol jenis P99.
"Tiba-tiba satu das tembakan terlepas mengenai leher seorang budak lelaki yang kebetulan lalu di hadapan rumah mertua anggota tersebut.
"Mangsa yang cedera rebah di atas jalan tar mini mini dan dikejarkan ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan " katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohamad Fakri, tembakan tersebut dilepaskan dari jarak 40 meter dengan menggunakan senjata milik pasukan polis.

Pemeriksaan awal mendapati anggota itu bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan pulang ke kampung berkenaan untuk menyambut raya bersama keluarga mertuanya.

"Mangsa dijangka akan menjalani pembedahan mengeluarkan peluru esok (hari ini) dan keadaannya dilaporkan stabil," kata beliau.

Jelas Mohamad Fakri, susulan kejadian itu, pihaknya menahan anggota polis tersebut yang berusia 50-an bagi membantu siasatan dan merampas sepucuk pistol bersama magazine yang mengandungi 14 butir peluru.

Difahamkan, lelaki itu telah menyerah diri di IPD Taiping semalam.

Berdasarkan keterangan anggota tersebut, dia mendakwa senjata api itu dibekalkan oleh bahagian pengurusan IPD Taiping secara mingguan.

Sementara itu, usaha Kosmo! untuk menemubual ahli keluarga mangsa di Unit Rawatan Rapi HRPB gagal apabila dihalang pengurusan hospital.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau didenda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Monday, October 14, 2013

Keputusan pemilihan ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri

PERAK
---------

GERIK
Ketua Wanita
Salmiah Sutan Taharuddin

Ketua Pemuda
Mohd. Rizairi Jamaluddin

Ketua Puteri
Salbiah Mohamed

LENGGONG
Ketua Wanita
Rosmaizar Mat Ali

Ketua Pemuda
Mohanad Iruan Zulkefli

Ketua Puteri
Nur Farah Diba Mohammad Sadri

KUALA KANGSAR
Ketua Wanita
Aishah Halid

Ketua Pemuda
Mustafa Shah Abdul Hamid

Ketua Puteri
Nurul Azni Bani Ami

PADANG RENGAS
Ketua Wanita
Siti Salmah Mat Jusak

Ketua Pemuda
Mohd. Arrif Abdul Majid

Ketua Puteri
Suzmaniza Sulaiman

TAIPING
Ketua Wanita
Datin Yatimah Khalid

Ketua Pemuda
Shahril Azmir Ahmad Shaffie

Ketua Puteri
Rosnita Kadir Maidin

BUKIT GANTANG
Ketua Wanita
Selabiah Awang

Ketua Pemuda
Ahmad Kamel Mat Arshad

Ketua Puteri
Jamilah Zakaria

SUNGAI SIPUT
Ketua Wanita
Sharifah Mohd. Tamin

Naib Ketua Wanita
Zaliha Zulkanain

Ketua Pemuda
Mohd. Husnuz Zaim Mohd. Padil

Ketua Puteri
Ramfizah Ramli

BAGAN SERAI
Ketua Wanita
Zarina Abdul Majid

Ketua Pemuda
Nazirul Jamaluddin

Ketua Puteri
Norhasimah Samsuri

LARUT
Ketua Wanita
Saliza Ahmad

Ketua Pemuda
Mohd. Amran Abdul Rahman

Ketua Puteri
Juraidah Ismail

PARIT BUNTAR
Ketua Wanita
Norsalewati Mat Norwani

Ketua Pemuda
Muaamar Ghadafi Jamal Jamaludin

Ketua Puteri
Mohana Haslinda Muhamad Darus

TAMBUN
Ketua Wanita
Datuk Puizah Abu Kassim

Ketua Pemuda
Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin

Ketua Puteri
Iylia Ainudddin

IPOH BARAT
Ketua Wanita
Sharifah Nor Hashimah Syed Kamaruddin

Ketua Pemuda
Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi

Ketua Puteri
Isfarina Mohd. Bali

IPOH TIMUR
Ketua Wanita
Masarah Abdullah

Ketua Pemuda
Hairul Anwar Mohamed Nor

Ketua Puteri
Murysidah Jaeszan

GOPENG
Ketua Wanita
Juliliyana Mohd. Junid

Ketua Pemuda
Mohamad Adli Mohd. Akhiruddin

Ketua Puteri
Suzana Osman

BATU GAJAH
Ketua Wanita
Hafsah @Puteh Idris

Ketua Pemuda
Mohd. Hakim Mohd. Yusoff

Ketua Puteri
Nor Fazila Saaidun Razali


LUMUT
Ketua Wanita
Dr. Azizah Johor

Ketua Pemuda
MOhd. Shahril Yahaya


Ketua Puteri
Rafidah Mat Shafie


PARIT
Ketua Wanita
Asmah Laily Abd. Rahman

Ketua Pemuda
Khairul Shahril Muhamed

Ketua Puteri
Suriyana Saari

BERUAS
Ketua Wanita
Salmah Sojak

Ketua Pemuda
Mohd. Sharizal Abdul Alibu

Ketua Puteri
Nurdiyana Musfirah

KAMPAR
Ketua Wanita
Nolee Ashlin Mohammed

Ketua Pemuda
Rafidi Mohd. Razali

Ketua Puteri
Emillia Abd. Rahim

TAPAH
Ketua Wanita
Rohana Yaacob

Ketua Pemuda
Safri Mohamad Salih

Ketua Puteri
Nurul Huda Nordin Ahmad

TELUK INTAN
Ketua Wanita
Zainun Ahmad

Ketua Pemuda
Zamanhuri Yaakob

Ketua Puteri
Nor Azryna Mohd. Jainuri


PASIR SALAK
Ketua Wanita
Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Nordin

Ketua Pemuda
Faizal Tajuddin

Ketua Puteri
Suhaili Suib


BAGAN DATOH
Ketua Wanita
Aminah Abdul Manaf

Ketua Pemuda
Nik Mohammad Azli Nik Ariffin

Ketua Puteri
Rohana Tarmizi

TANJUNG MALIM
Ketua Wanita
Datuk Rusnah Kassim

Ketua Pemuda
Mohamad Amin Othman

Ketua Puteri
Zuzaiti Nd Zakaria

Sunday, October 13, 2013

Pemilihan UMNO 2013: Hamidah tewas mengejut kepada Juliliyana

GOPENG - Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman tewas mengejut kepada Juliliyana Mohd. Junid dengan majoriti 20 undi pada pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Gopeng di Dewan Kemas di sini hari ini.
Dalam pertembungan tiga penjuru, Juliliyana, 36, yang juga bekas Ketua Puteri bahagian tersebut memperolehi 163 undi, Hamidah, 52, (143 undi) dan Wan Razita Wan Razak (20 undi).
Hamidah yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Usaha Niaga Nasional (Tekun) telah memegang jawatan Ketua Wanita Bahagian Gopeng selama 18 tahun sejak 1996. - KOSMO!

Wednesday, October 9, 2013

Gempar bom mortar lama ditemui

IPOH - Seorang pekerja yang sedang mengorek pasir dengan menggunakan jentolak di tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) gempar dengan penemuan sebutir bom mortar di tebing Sungai Kinta berhampiran Gunung Cheroh di sini semalam.

Pekerja Perusahaan Pasir MFZ Bina Enterprise, Mohd. Amir Asyraf Abdul Aziz, 20, tersebut menjumpai bom mortar yang dipercayai tinggalan Perang Dunia itu pada pukul 1.30 petang.

Mengimbas kejadian, menurutnya, dia perasan satu objek mencurigakan terjatuh daripada pasir yang sedang dikautnya menggunakan sebuah jentolak sewaktu melakukan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan tersebut.

"Saya turun dari jentolak untuk mengenalpasti objek tersebut. Terperanjat saya apabila mendapati rupa-rupanya ia merupakan sebuah bom lama.

"Saya terus memaklumkan penemuan bom tersebut kepada penyelia, Azizi Othman sebelum melaporkannya kepada pihak polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sepasukan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

Beliau berkata, tempoh dua jam diambil untuk memusnahkan bom lama yang dianggar berusia lebih 70 tahun itu.

IPD Manjung juara bola jaring Piala Ketua Polis Perak

JOHAN. Pasukan bola jaring Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung menjuarai Piala Ketua Polis Perak dalam kejohanan peringkat negeri yang diadakan di Mes Pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pasukan tersebut menewaskan IPD Taiping dengan keputusan 26-14 pada perlawanan akhir.
Kejohanan disertai oleh kesemua 15 IPD di seluruh negeri tersebut.
"Pasukan bola jaring IPD Manjung akan mewakili Perak dalam kejohanan Piala Ketua Polis Negara yang akan diadakan di Pulau Pinang tidak lama lagi," katanya.


Monday, October 7, 2013

Had pinjaman mikro kredit dinaikkan tahun depan

GOPENG - Had minimum pinjaman skim mikro kredit untuk golongan penjaja dan peniaga kecil yang sebelum ini sebanyak RM3,000 akan dinaikkan pada tahun hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, maklum balas daripada golongan tersebut rata-rata mengatakan pinjaman permulaan sebanyak RM3,000 tersebut tidak mencukupi sebagai modal untuk membesarkan perniagaan mereka.
"Kita bersimpati dengan rintihan penjaja dan peniaga kecil tersebut. Pinjaman RM3,000 memang terlalu kecil, ada yang cadang perlu dinaikkan hingga RM10,000.
"Kita bersetuju untuk bincang semula. Perinciannya akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini," katanya selepas merasmikan Taklimat Isu Semasa dan Kempen Kesedaran Pengguna bersama Penjaja dan Peniaga Kecil Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa  Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu negeri, Datuk Omar Ahmad.

Hasan berkata, walaupun had maksimum skim mikro kredit penjaja dan peniaga kecil yang diumumkan kerajaan mulai awal tahun itu sebanyak RM50,000, rata-rata kelulusan diberi pada masa kini hanya pada had RM3,000 sahaja ekoran kekangan dana.

Tambah beliau, ia kerana terlalu banyak permohonan diterima sedangkan peruntukan yang diperolehi untuk skim tanpa faedah dan cagaran tersebut cuma RM10 juta.

“Pada tahun hadapan, kita telah memohon peruntukan sebanyak RM50 juta untuk skim mikro kredit tersebut, tunggulah pengumuman Bajet 2014 nanti,” katanya.

Sunday, October 6, 2013

Mayat dua lelaki dalam but mangsa culik

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dua lelaki yang mati dibunuh sebelum mayat mereka ditinggalkan di dalam but sebuah kereta Proton Waja di Hentian Rehat dan Rawat Alor Pongsu, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala selatan dekat Bagan Serai kelmarin disyaki mangsa culik.
Ting Liong Chin, 28, dan Seu Hong Chee, 19, dilaporkan hilang pada Rabu lalu selepas rakan Hong Chee membuat laporan polis di Pulau Pinang apabila remaja itu gagal dihubungi.
Hong Chee yang bekerja sebagai pemungut hutang di sebuah syarikat membekal alat gantian kenderaan di Pulau Pinang dan Liong Chin dari Sabah disyaki diculik di kawasan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan tiga lelaki berusia 20 dan 30-an bagi membantu siasatan.
"Tiga lelaki terbabit ditahan di Pulau Pinang semalam (kelmarin) dan pagi tadi (semalam). Polis percaya dua lelaki yang dibunuh itu adalah mangsa culik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, mayat dua lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di dalam but sebuah Proton Waja yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan Hentian Alor Pongsu.
Perkara itu terbongkar apabila seorang pekerja pembersihan terhidu bau busuk berhampiran kereta tersebut yang dalam keadaan berkunci lalu menghubungi polis pada pukul 4.05 petang untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, Dzuraidi memberitahu, laporan bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini menunjukkan Liong Chin yang ditekup dengan plastik dan Hong Chee yang dijerut pada leher mati akibat sesak nafas.

Kedua-dua mangsa itu dipercayai dibunuh dalam tempoh satu hingga empat hari sebelum mayat mereka dijumpai di hentian berkenaan.

"Terdapat beberapa bahagian badan mangsa lembam dipercayai dipukul dengan ojek tumpul," kata beliau.

Tiada sebarang pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kereta Proton Waja tersebut adalah kenderaan syarikat Hong Chee bekerja.

Sementara itu, abang Hong Chee, Seu Pang Chee, 30-an, memberitahu adik bongsunya itu baru sahaja berpindah ke Pulau Pinang sejak beberapa bulan lalu selepas majikannya membuka operasi baharu di negeri itu.

"Sebelum ini, dia bekerja di Kuala Lumpur. Dia kerap menelefon keluarga kami di Johor, namun tidak berbuat demikian sejak dua hari lepas," katanya ketiak ditemui di sini.

Jelas lelaki itu, keluarganya juga tidak menerima sebarang panggilan daripada individu yang tidak dikenali bagi meminta wang tebusan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh dan Seksyen 365 kanun yang sama iaitu kesalahan menculik.