Translate

Wednesday, November 22, 2023

Redah hujan demi pengundi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Hujan lebat yang membasahi bumi daerah ini sejak malam kelmarin tidak menjadi halangan buat calon Barisan Nasional (BN), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor membuka langkah menemui bakal pengundinya. 

 Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu tidak membuang masa terus menyantuni penduduk di Gugusan Felda Kerteh, Felda Neram serta Kijal, Kertih dan Kemasik bermula sejurus selesai diumumkan calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman kelmarin. 

 Raja Mohamed Affandi berkata, masa baginya amat berharga seperti emas dan beliau mahu menggunakan tempoh singkat berkempen selama 14 hari ini untuk menemui seramai mungkin bakal pengundi. 

 “Walaupun cuaca tidak menyebelahi kita, hujan tidak menjadi halangan buat saya terus menyantuni rakyat. 

“Lagipun saya (bekas) askar. Kadangkala di sebahagian tempat, hujan ini menjadi kelebihan memudahkan saya kerana ramai (penduduk) berkumpul setempat,” katanya ketika berkempen di Kampung Chabang, Kerteh, di sini semalam. 

 Raja Mohamed Affandi berkata, pertemuan dengan penduduk bukan sekadar untuk meraih undi, malah menjadi medan kepadanya untuk mendengar keluh-kesah dan cadangan penduduk kawasan Parlimen ini. 

 Jelas beliau, antara cadangan diterimanya ialah pembinaan maktab tentera dan cawangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang merupakan input berharga untuk disuarakan sekiranya ditakdirkan terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman.

 “Tiada cadangan yang tidak baik. Ia akan menjadi panduan kepada saya untuk merencana perancangan untuk kemajuan Kemaman. 

 “Walaupun berlatarkan belakang tentera, saya (berjanji) akan mewakili bukan golongan itu sahaja malah semua orang Kemaman,” katanya. 

 Dalam perkembangan sama, Raja Mohamed Affandi berkata, sepanjang kempen yang masuk hari kedua semalam, sambutan diterima daripada pengundi amat memberangsangkan. 

 Ujarnya, beliau mahu meraih kepercayaan agar dapat berkhidmat untuk rakyat kemaman. 

 “Saya nampak daripada air muka dan raut wajah, mereka bersama Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment