Translate

Monday, November 20, 2023

Calon diterima ramai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KEMAMAN – Barisan Nasional (BN) menganggap parti itu ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, namun telah meletakkan calon terbaik untuk dipilih 141,790 pengundi.

 Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) me rupakan calon yang diterima ramai terutama jentera parti.

 “Kita (BN) sudah letak calon terbaik, beliau telah banyak berjasa terhadap negara dan sebagai Panglima ATM, beliau telah membawa imej ATM ke tahap lebih tinggi. 

 “Masa banjir (besar pada) 2013, jambatan (bailey) dalam Kemaman ini, ATM yang mula-mula buat,” katanya selepas mengiringi Raja Mohamed Affandi pada proses penamaan calon di sini semalam.

 Raja Mohamed Affandi bakal bertembung dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas dalam PRK Parlimen Kemaman. 

 Mohamad berkata, Raja Mohamed Affandi juga diterima dengan baik oleh semua jentera parti BN di setiap pusat daerah mengundi (PDM) di Parlimen itu. 

 Sehubungan itu, beliau meminta jentera parti terus menyusun gerak kerja berfokus dan mendekati seramai mungkin pengundi sehingga tempoh terakhir berkempen pada tengah malam 1 Disember ini.

 “Dekati seramai mungkin ahli-ahli BN dan pengundi-pengundi yang dahulunya atas pagar, bermasalah dan cah keting.

 “Kita ‘underdog’ dalam PRK (Kemaman) ini, senang kita bekerja. Kalau Allah izin menang, kita (BN) dapat empat bintang (pangkat tentera), belah sana (Perikatan Nasional) ada dua bintang (Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd. Nor) and he (Raja Mohamed Affandi) understand simple English (beliau faham bahasa Inggeris mudah),” katanya. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon PRK Kemaman semalam sebelum hari untuk pengundian ditetapkan pada 2 Disember ini. 

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dengan menewaskan tiga calon lain iaitu Datuk Seri Ahmad Said (BN), Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).

No comments:

Post a Comment