Translate

Tuesday, October 24, 2023

Sindiket pelaburan palsu boleh didakwa di mahkamah syariah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan jenayah sindiket pelaburan palsu kononnya patuh syariah sebenarnya turut boleh didakwa mengikut undang-undang syariah. 

Ketua Unit Muamalat dan Naziran, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Mohd. Syahrizal Syah Zakaria berkata, sebahagian negeri mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendakwa kesalahan perbuatan termasuk melibatkan urus niaga yang memanipulasi agama Islam di mahkamah syariah.

 “Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) misalnya mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. 

“Antaranya Seksyen 4  akta itu berkaitan kesalahan mengemukakan doktrin palsu, Seksyen 6 (mengemukakan dakwaan palsu) dan Seksyen 7 (menghina agama Islam),” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. 

Mohd. Syahrizal Syah berkata, akta tersebut boleh digunakan sebagai langkah penguatkuasaan memelihara kemuliaan agama Islam daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi kegiatan penipuan mereka. 

Begitupun, beliau mengakui bukan mudah untuk mensabitkan dalang penipuan pelaburan palsu dengan perundangan syariah. 

“Tatacara siasatan dan pembuktian kes di mahkamah syariah pada masa ini menyukarkan tindakan diambil. 

“Elemen kerohaniah dan metafizik juga sukar dibuktikan. Ini kerana institusi kehakiman syariah masih menjadikan bukti fizikal sebagai asas utama pembuktian,” katanya. 

Sehubungan itu, Mohd. Syahrizal Syah mencadangkan pindaan dilakukan bagi membolehkan bukti media sosial dijadikan asas pendakwaan di mahkamah.

elas beliau, keseragaman diperlukan memandangkan undang-undang syariah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri. 

“Pindaan diperlukan bagi membolehkan sebarang keputusan mahkamah syariah melibatkan kes penipuan yang memanipulasi agama Islam tidak boleh dicabar,” katanya. 

Mohd. Syahrizal Syah berkata, berdasarkan undang-undang sivil, kes penipuan pelaburan palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 424 dan Seksyen 411 akta sama. 

Tambahnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 18 Akta Perihal Dagangan 2011. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan mengenai pelaburan patuh syriah yang menggunakan nama dan wajah pendakwah terkenal di negara ini.

Ustaz Kazim, Don penat nama sering dipetik sindiket pelaburan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – “Saya sudah penat berdepan isu penggunaan nama serta gambar saya bagi tujuan pengiklanan pelaburan untuk memperdaya orang ramai yang semakin berleluasa di media sosial sejak tiga tahun lalu.” 

Itu luahan penceramah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias yang kecewa apabila nama dan gambarnya kerap dikaitkan dengan skim pelaburan ‘patuh syariah’ yang kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.­ 

Ustaz Kazim yang menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dalam aktiviti haram itu memberitahu, tindakan sindiket penipuan terbabit menyebabkan mangsa-mangsa pelaburan yang terpedaya sering menghubungi beliau.

 “Terpinga-pinga saya apabila mangsa bertanyakan tentang dividen dan keuntungan mereka dalam pelaburan yang disertai. 

 “Saya sememangnya tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Memang sedih kerana kebanyakan mangsa yang menghubungi saya itu terdiri daripada wanita warga emas,” katanya kepada Kos mo! semalam. 

Ustaz Kazim memberitahu, dahulu setiap kali dikaitkan dengan iklan pelaburan palsu, beliau akan membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

“Bagaimanapun, semakin banyak laporan (polis dan MCMC) dibuat, semakin banyak pula iklan berkaitan skim pelaburan menggunakan nama dan gambar saya bertebaran di media sosial,” ujarnya. 

 Tambahnya, pendekatan yang beliau ambil ketika ini adalah dengan membuat penafian di akaun media sosial miliknya setiap kali muncul iklan pelaburan palsu bagi mengelakkan lebih ramai mangsa yang tertipu. 

Sehubungan itu, Ustaz Kazim menasihatkan orang supaya berwaspada sebelum me lakukan sebarang pelaburan terutama di media sosial. 

Sementara itu, penceramah selebriti, Ustaz Don atau nama sebenarnya, Don Daniyal Don Biyajid, 39, turut mengakui dirinya sudah penat berdepan dengan isu yang sama. 

“Sudah banyak kali saya melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa termasuk MCMC. Saya juga acap kali terpaksa membuat penafian berhubung penglibatan dalam pelaburan yang kononnya ‘patuh syariah’ menerusi akaun media sosial.

 “Bagaimanapun, perkara ini masih tidak selesai, malah semakin banyak pula gambar saya digunakan bagi iklan pelaburan palsu di media sosial tanpa kebenaran,” ujarnya. 

 Ustaz Don memberitahu, beliau bernasib baik apabila masih belum pernah diganggu oleh mangsa-mangsa pelaburan palsu yang menuntut janji-janji manis yang ditabur pihak penganjur. 

“Tetapi saya sedih dan kasihan kerana mereka menjadi mangsa penipuan. Saya juga menjadi mangsa apabila nama dan gambar digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak lain dengan cara menipu orang ramai,” katanya. 

Ustaz Don memohon pihak berkuasa sentiasa meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai modus operandi yang digunakan sindiket penipuan terutama pelaburan palsu yang menggunakan hadis dan ayat-ayat al-Quran untuk menjerat mangsa. 

 Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pihak yang menunggang agama menjanjikan keuntungan pantas 50 kali ganda nilai pelaburan dalam tempoh seawal tiga jam. 

 Kosmo! semalam melaporkan sindiket penipuan pelaburan semakin licik memperdaya orang ramai apabila menggunakan nama golongan agamawan popular dan dihormati kononnya sebagai duta mereka. 

 Bagi ‘memikat’ mangsa, sindiket terbabit mendakwa mereka menawarkan skim pelaburan kononnya patuh syariah dan menjanjikan pulangan 50 kali ganda dalam tempoh yang singkat. 

 Selain itu, penganjur skim pelaburan palsu itu turut menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang telah dimanipulasi ketika menjawab pertanyaan daripada mangsa mereka. 

 Siasatan mendapati, sindiket terbabit aktif mempromosikan aktiviti mereka kepada orang ramai dalam media sosial seperti Facebook selain aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Tanggung hutang RM200,000 sampai 2029 terjerat skim pelaburan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang guru berputih mata apabila wang berjumlah lebih RM200,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan didakwa patuh syariah empat tahun lalu.

Lebih malang lagi, mangsa yang mahu dikenali sebagai Hashim, 51, berkata, sehingga kini dia masih menanggung pinjaman peribadi yang dibuat semata-mata untuk menyertai skim tersebut pada 2019. 

Menceritakan semula kejadian itu, Hashim berkata, pada mula­nya, dia menyertai skim pelaburan itu selepas tertarik dengan keuntungan sehingga 20 peratus yang dijanjikan menerusi Facebook. 

“Tambah menyakinkan saya, pelaburan itu dikatakan patuh syariah dan diuruskan organisasi yang diterajui orang alim,” katanya di sini baru-baru ini.

Hashim seterusnya menghubungi dan bertemu dengan penganjur. Keyakinan untuk menyertai skim itu bertambah selepas melihat pesona yang dimiliki individu terbabit.

 “Penampilannya begitu meyakinkan seperti orang beragama dan penerangan tentang skim pelaburan tersebut juga dise lang-seli dengan ayat-ayat al-Quran dan kisah-kisah nabi. 

 “Tanpa berfikir panjang, saya mengeluarkan sebahagian wang simpanan untuk menyertai skim pelaburan itu kononnya sebagai jihad ke arah ekonomi Islam,” katanya. 

 Hashim berkata, pada mulanya, dia mendapat keuntungan pada bulan pertama menyebabkan dia membuat keputusan membuat pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 bagi menggandakan nilai pelaburan. 

 “Begitupun, dividen yang saya terima makin lama makin berkurangan dan selepas itu tiada. Kebetulan tidak lama selepas itu, dunia dilanda Covid-19. Puas saya hubungi penganjur, mula-mula dia berdalih sebelum menghilangkan diri. Nombor telefon dan akaun media sosial saya juga disekat,” katanya. 

 Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Umar, 62, berkata, dia kerugian hampir RM20,000 selepas terjebak dengan skim pelaburan palsu pada 2021 kerana tertarik dengan tawaran patuh syariah.

 “Saya menggunakan sebahagian wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur. Tujuan asal untuk menggandakan wang selepas bersara,” katanya. 

 Umar berkata, pada mulanya, dia menerima pulangan sebanyak RM500 setiap bulan dalam tempoh setahun. 

Keuntungan yang diperoleh itu bagaimanapun terhenti secara tiba-tiba tanpa sebarang penjelasan. 

 “Penganjur skim pelaburan itu memberi pelbagai alasan termasuk hujah agama dengan meminta saya supaya bersabar. Sekarang mereka menyepikan diri dan wang KWSP saya juga lebur begitu sahaja,” katanya.

Sakau duit guna nama agamawan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sindiket penipuan pelaburan palsu semakin licik memperdaya orang ramai apabila menggunakan nama golongan agamawan popular dan dihormati sebagai duta mereka. 

Bagi memikat mangsa, penganjur mendakwa skim pelaburan yang ditawarkan itu adalah patuh syariah dengan menjanjikan pulangan sebanyak 50 kali ganda dalam tempoh hanya tiga jam. 

Sindiket berkenaan aktif mempromosikan aktiviti mereka di media sosial seperti Facebook selain aplikasi WhatsApp dan Telegram. 

Ketua Unit Muamalat dan Naziran, Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara, Mohd. Syahrizal Syah  Zakaria berkata, siasatan mendapati sindiket mendakwa mereka berkolaborasi atau melantik tokoh agama tersebut sebagai duta skim pelaburan berkenaan.

 “Mereka menggunakan taktik untuk meyakinkan orang ramai bahawa skim pelaburan tersebut benar-benar patuh syariah, sedangkan agamawan terbabit tidak tahu-menahu nama serta gambar mereka digunakan oleh sindiket,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

 Menurut Mohd. Syahrizal Syah, selain menggunakan gambar golongan agamawan, penganjur skim pelaburan palsu tersebut biasanya akan mempotretkan diri mereka sebagai orang alim bagi meraih kepercayaan orang ramai. 

 Beliau berkata, sebarang pertanyaan yang dibuat oleh mangsa berkaitan skim pelaburan akan dijawab berserta dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang telah dimanipulasi. 

 “Agama sering digunakan sebagai hujah kononnya mereka mahu membantu meningkatkan ekonomi orang Islam. 

 “Penyertaan dalam skim pelaburan yang didakwa patuh syariah terbabit kononnya adalah ‘jihad’ bagi memerangi sistem kapitalis sekali gus menegakkan ekonomi Islam,” katanya.

Jelas Mohd. Syahrizal Syah, anggota sindiket penipuan yang menganjurkan skim pelaburan palsu itu juga biasanya akan menjual air liur dengan mendakwa beliau merupakan anak murid kepada ulama terkenal. 

 “Mereka sanggup bersumpah dengan nama Allah demi untuk menjerat mangsa. Pelaburan yang ditawarkan juga nampak menarik kerana menjanjikan keuntungan sehingga 50 kali ganda nilai wang dilaburkan. 

 “Mereka juga menjanjikan keuntungan itu akan diperoleh seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat,” kata beliau. 

 Mohd. Syahrizal Syah memberitahu, pada awalnya, mangsa akan memperoleh keuntungan seperti dijanjikan, namun itu merupakan strategi awal bagi mengaburi mata mereka.

 “Taktik itu juga bagi menaikkan semangat mangsa untuk menambah nilai pelaburan. 

 “Mangsa akhirnya menyedari mereka ditipu apabila tidak lagi menerima dividen atau keuntungan seperti yang dijanjikan. 

“Selain itu, sindiket tersebut juga tidak memberikan lagi maklum balas selain nombor telefon dan akaun media sosial mereka (mangsa) disekat oleh sindiket terbabit,” katanya. 

Difahamkan, kerugian yang dialami oleh mangsa sindiket penipuan bertopengkan agama itu mencecah jutaan ringgit. 

 Sehubungan itu, Mohd. Syahrizal Syah menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa meneliti prospektus sebelum bersetuju membuat sebarang pelaburan.

Monday, October 23, 2023

Semak dan imbang DUN Terengganu sudah mencukupi – Ahmad Samsuri

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu membayangkan tiada keperluan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan bagi memainkan peranan semak dan imbang walaupun tiada wakil pembangkang di dalam DUN negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang DUN negeri ke-15 yang berakhir hari ini berjalan sempurna dan mampu menjadikan elemen semak dan imbang kepada kerajaan walaupun tanpa pembangkang.

“Tidak dinafikan awal penggal (Sidang DUN Terengganu) ramai skeptik dan tertunggu pelaksanaan semak dan imbang tanpa kehadiran pembangkang.

“Ada yang lebih nakal mempersalahkan keberadaan DUN ini tanpa pembangkang. Mana kita tahu pilihan yang akan dibuat pengundi seramai hampir 950,000 di seluruh Terengganu,” katanya padang pengulungan Sidang DUN negeri di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga ADUN Ru Rendang berkata, pada zaman ini, peranan semak dan imbang boleh dimainkan semua rakyat untuk sentiasa memberi cadangan, ulasan dan kritikan menerusi medium media baharu kepada kerajaan negeri.

Tambah beliau, sistem semak dan imbang telah lama wujud menerusi pengasingan kuasa eksklusif, legislatif dan kehakiman sedia ada.

“Semak dan imbang akan memberi kesan lebih mendalam sekiranya kita berpegang teguh melihat tugas sebagai satu amanah dan menegur antara sesama anggota pentadbiran (kerajaan negeri) tanpa ‘mudah koyak’,” katanya.

Kosmo! kelmarin melaporkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan pentadbiran kerajaan negeri agar mencari kaedah terbaik bagi memastikan ketelusan sistem pentadbiran ekoran ketiadaan wakil pembangkang di DUN.

Baginda bertitah, kaedah perlu dicari bagi memastikan sistem pentadbiran kerajaan negeri Terengganu lebih efisien dan telus sebelum sebarang keputusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat diputuskan. – KOSMO! ONLINE

Perarakan bot berhias Jubli Perak Sultan Terengganu meriah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ribuan penduduk bandar raya ini teruja menyaksikan 16 bot berhias berarak menyelusuri muara Sungai Terengganu sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.

Mereka menunggu di tebing sungai dari Pulau Kambing sehingga Payang Walk di sini bagi menyaksikan perarakan bot berhias terbabit.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar turut bersama menyaksikan perarakan berkenaan.

Pertandingan bot berhias itu disertai 16 pasukan terdiri daripada lapan pejabat tanah dan daerah (PTD) serta badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu.

Antara badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri ialah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan TDM Berhad.

Syarikat utiliti, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) juga memeriahkan perarakan berkenaan.

Bot-bot berhias terbabit menyelusuri muara Sungai Terengganu bermula dari Pulau Kambing sebelum melalui Pulau Kambing, Pulau Warisan, Duyong Marina and Resor, Jeti Penambang Seberang Takir, Jeti Shah Bandar dan Payang Walk di sini. – KOSMO! ONLINE

Sultan Mizan titah cari model terbaik mentadbir tanpa pembangkang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan pentadbiran kerajaan negeri agar mencari kaedah terbaik bagi memastikan ketelusan sistem pentadbiran ekoran ketiadaan wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Baginda bertitah, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah menyaksikan rakyat Terengganu telah memilih kerajaan tanpa pembangkang di dalam DUN.

Sehubungan itu, Sultan Mizan bertitah, kaedah perlu dicari bagi memastikan sistem pentadbiran kerajaan negeri Terengganu lebih efisien dan telus sebelum sebarang keputusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat diputuskan.

“Disiplin serta cabang ilmu pentadbiran teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan kerajaan yang berkepentingan.

“(Ia) agar keputusan dibuat secara cekap dan tepat,” titah baginda sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.

Sultan Mizan bertitah amalan demoraksi iaitu kuasa eksekutif, legislatif dan judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif kepada kerajaan walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

Baginda turut yakin kedaulatan undang-undang dapat berjalan dengan baik, adil dan saksama terhadap semua strata sosial dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Sultan Mizan menitahkan kerajaan negeri Terengganu agar menggiatkan lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar.

Baginda bertitah, seramai 6,330 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Sunday, October 22, 2023

Tanam 3,000 pokok sempena sambutan Jubli Perak Sultan Mizan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 3,000 pokok ditanam di sepanjang Pantai Batu Burok hingga Pantai Pandak, Chendering di sini hari ini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dengan kerjasama Yayasan Sultan Mizan itu sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-25 tahun.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, empat spesies pokok teduhan iaitu ketapang, rhu pantai, kelapa dan ambang-ambang ditanam di sepanjang pantai peranginan terbabit sepanjang 11.3 kilometer.

“Program penanaman pokok ini yang dibahagikan kepada tujuh zon ini sebagai tanda sokongan terhadap agenda nasional yang menyasar penanaman 100 juta pokok menjelang tahun 2025.

“Penanaman pokok-pokok tersebut diharap agar dipulihara dengan baik bagi dinikmati generasi akan datang,” katanya di Dataran Batu Burok di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.

Sultan Mizan mencemar duli menyempurnakan program tersebut dengan turut menanam sebatang pokok rhu pantai di Pantai Batu Burok.

Ahmad Samsuri berkata, penanaman 3,000 pokok itu bakal mewujudkan keseimbangan kawasan hijau dan pembangunan fizikal di bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE.


4 sekeluarga dikhuatiri hilang ketika bercuti di Pulau Perhentian

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Empat sekeluarga iaitu dua wanita, anak lelaki dan cucunya dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di sini pada hujung minggu lalu.

Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang, Johor dan ahli keluarga yang sepatutnya keluar dari pulau peranginan tersebut semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan tersebut.

“Kami sedang melakukan pengesahan (dakwaan kehilangan) dan siasatan sudah dilakukan.

“Butiran lanjut akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu tular di media sosial tentang kerisauan ahli keluarga Suraidah setelah tiada berita tentang wanita itu, anaknya, Mohamad Aiman Mohd. Rafee, 21 serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani, Mohd. Saiful, 4, sejak Sabtu lalu.

Mereka dikatakan tiba di daerah ini dari Kluang dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna biru pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Hilang Pulau Perhentian: Telefon bimbit Suraidah, anak rosak terkena air

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di sini sejak Sabtu lalu didapati telah keluar dari pulau peranginan pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, siasatan awal mendapati Suraidah Abdul Ghani, 52, anak lelaki dan dua cucunya telah mendaftar keluar dari sebuah resort di Pulau Perhentian Kecil pada pukul 8 pagi, Ahad lalu.

“Semakan televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan Proton Saga yang dinaiki keluarga itu dikesan telah bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke Jambatan Seberang Kastam di sini pada pukul 10.06 pagi, 1 Oktober lalu.

“Berdasarkan makluman daripada pengendali bot yang membawa mereka, keluarga tersebut dikatakan merancang untuk menyambung percutian di Batu Burok, Kuala Terengganu selepas itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, pengendali bot memberitahu, telefon bimbit milik Suraidah dan anak lelakinya, Mohamad Aiman Mohd. Rafee, 21, tidak berfungsi akibat terkena air sewaktu bercuti di Pulau Perhentian.

Beliau memberitahu bot dinaiki Suraida dan tiga ahli sekeluarganya didapati telah tiba di Jeti Kuala Besut pada pukul 9 pagi, Ahad lalu.

“Begitupun, mereka masih gagal dihubungi dan dikesan setakat ini. Siasatan masih diteruskan untuk mengesan kesemua mangsa,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial tentang kerisauan ahli keluarga Suraidah setelah tiada berita tentang wanita itu, anaknya, Mohamad Aiman serta dua cucunya, Sasa Alesha, 7, dan Ahmad Dhani, Mohd. Saiful, 4, sejak Sabtu lalu.

Mereka dikatakan tiba di daerah ini dari Kluang dengan menaiki kereta Proton Saga berwarna biru pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE

Ramai pelancong wanita Muslim berpakaian seksi di Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu digesa agar mengetatkan lagi penguatkuasaan Garis Panduan Pelancongan Terengganu yang dilihat kurang dipatuhi pada masa ini.

Zuraida Md. Noor (Pas-Ladang) berkata, pemerhatiannya mendapati sebahagian pelancong Muslim khususnya wanita berpakaian mencolok mata sewaktu bercuti terutama di pulau-pulau peranginan di negeri ini.

“Saya menyaksikan sendiri pelancong wanita Muslim tanpa segan silu memakai seluar pendek, bersinglet, tidak bertudung malah semakin ramai yang berani memakai pakaian mencolok mata bersiar-siar di tempat pelancongan kita.

“Garis Panduan Pelancongan Terengganu jelas menetapkan pelancong Muslim hendaklah berpakaian menutup aurat,” katanya dalam sesi perbahasan pada Sidang Dewan Undangan (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Zuraida berkata, beliau tidak pasti sama ada pelancong Muslim terbabit masih tidak mengetahui garis panduan tersebut atau sengaja memandang remeh terhadap penguatkuasaannya.

Sebubungan itu, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita Terengganu itu berharap agensi terlibat agar lebih tegas menguatkuasa peraturan terbabit.

“Harapan saya agar pemantauan (Garis Panduan Pelancongan) dilakukan secara menyeluruh.

“Pemantauan meliputi semua premis berkaitan pelancongan dan hiburan di negeri ini seperti hotel, rumah peranginan, pulau, pantai, pusat hiburan dan pawagam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dulu 600,000, kini cuma 200,000 pelancong ke Tasik Kenyir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang telah menerima penarafan Taman Geopark Kebangsaan kesembilan baru-baru ini mengalami kemerosotan pengunjung lebih 60 peratus sejak tahun 2020.

Datuk Razali Idris (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) – Kijal) berkata, seramai 208,097 pelancong mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2020, 277,969 orang (2021) dan 246, 846 orang (2022).

“Kehadiran pelancong bagi tahun ini setakat bulan Julai lalu pula ialah 141,487 orang. Sebagai perbandingan, seramai 607,398 pelancong telah direkodkan telah mengunjungi Tasik Kenyir pada tahun 2019,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Mohd. Zawawi Ismail (Bersatu -Telemung) tentang usaha dilakukan kerajaan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Tasik Kenyir.

Razali berkata, pandemik Covid-19 yang berlaku pada awal tahun 2020 hingga awal 2022 telah memberi kesan besar terhadap kehadiran pelancong Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu tersebut berkata, kemerosotan tersebut didorong oleh penutupan sektor ekonomi dan sosial berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sewaktu penularan pandemik Covid-19.

“Kehadiran pelancong pada fasa peralihan epidemik juga tidak meningkat disebabkan kebimbangan mereka terhadap jangkitan penyakit pada masa itu ekoran kebanyakan aktiviti di Tasik Kenyir dilaksanakan secara berkumpulan di dalam rumah bot.

“Begitupun kita optimis keyakinan tersebut kini semakin meningkat dan kita telah merangka pelbagai acara dan program bagi menarik sehingga 300,000 pelancong ke Tasik Kenyir menjelang akhir tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRK Parlimen Kemaman: Pas nafi mahu calonkan Mahathir

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pas menafikan desas-desus kononnya akan mempertaruhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak lama lagi.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, parti tersebut belum lagi melakukan sebarang perbincangan berhubung PRK tersebut termasuk penentuan calon.

Beliau berkata, Pas baharu sahaja memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah yang membatalkan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu pada semalam.

“Kami pimpinan tertinggi (Pas) sebenarnya belum lagi berbincang persiapan menghadapi pilihan raya (PRK Parlimen Kemaman) terutama penentuan calon.

“Tarikh hendak berbincang pun belum ada lagi,” katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa PAS berkemungkinan meletakkan Mahathir, 98, sebagai calonnya pada PRK Kemaman.

Sumber rapat bekas perdana menteri itu mendakwa rundingan tentang cadangan tersebut telah dimulakan dengan Pas.

Kosmo! 27 September lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU15.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian selepas mendapati wujud unsur sogokan dilakukan Pas terhadap pengundi di kawasan Parlimen terbabit
sewaktu kempen PRU15. – KOSMO! ONLINE

Saturday, October 21, 2023

PRK Kemaman: Bersatu saran BN tidak bertanding

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan Barisan Nasional (BN) tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang dijadual berlangsung pada 2 Disember depan bagi mengelak parti itu menghadapi kekalahan lebih memalukan.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, BN sendiri sedar peluang untuk kembali merampas kerusi Parlimen Kemaman adalah amat tipis.

Beliau berkata, pengundi Terengganu termasuk Kemaman telah memberi signal jelas menolak BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu dan PRK Kuala Terengganu pada 12 Ogos lalu.

“Alasan penghakiman pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman adalah sama.

“Pas berjaya memperolehi majoriti yang lebih tinggi pada PRK Kuala Terengganu baru-baru ini walaupun meletakkan calon sama. Tidak mustahil, senario sama akan berlaku pada PRK Kemaman,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pada PRU15 November tahun lalu, Che Alias Hamid dari Pas mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman buat penggal kedua dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu selain Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) dan Rosli Ab. Ghani (Parti Pejuang Tanah Air).

Sehubungan itu, Razali berkata, BN masih belum terlambat untuk memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Pas pada PRK Kemaman kelak sebelum hari penamaan calon pada 18 November depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata, sebagai sebahagian parti komponen kerajaan Perpaduan, sebaiknya BN memberi lebih tumpuan untuk persediaan banjir musim tengkujuh yang dijangka berlaku pada tempoh kempen PRK Kemaman terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tinggal rokok seludup RM1.28 juta, elak sekatan jalan raya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Gara-gara terserempak dengan sekatan jalan raya, anggota sindiket nekad meninggalkan sebuah lori padat dengan rokok disyaki diseludup bernilai keseluruhan lebih RM1.28 juta di tepi jalan berhampiran Kampung Pachakan, Kuala Besut pada Ahad lalu.

Pemeriksaan terhadap lori tersebut pada pukul 12 tengah hari menjumpai 760,000 batang rokok jenama terkenal yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, anggota polis bertugas telah menjumpai lori mencurigakan itu yang disyaki sengaja ditinggalkan di tepi jalan tidak jauh dari lokasi sekatan jalan raya dilakukan di sempadan daerah ini dan Pasir Puteh, Kelantan pada pukul 9 pagi.

“Intipan dan pemerhatian telah dilakukan selama tiga jam sebelum pemeriksaan dilakukan terhadap lori terbabit.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan berat tersebut mengandungi 76 peti berisi 50 karton rokok putih dipercayai diseludup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut di sini hari ini.

Mazli berkata, siasatan awal percaya anggota sindiket sengaja meninggalkan lori tersebut di tepi jalan bagi mengelak terperangkap dalam sekatan jalan raya.

Tambah beliau, pihaknya percaya rokok jenama terkenal yang diseludup masuk dari negara jiran tersebut sedang dibawa untuk pasaran Lembah Klang atau selatan tanah air.

“Kita memang sentiasa memantau aktiviti penyeludupan termasuk rokok kerana daerah ini sering dijadikan transit setelah barangan seludup terbabit dibawa masuk dari negara jiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Polis siasat peniaga kibar bendera Israel di Marang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang peniaga mengibarkan bendera Israel di premis perniagaannya di Bukit Payung, Marang di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Terenggganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 30-an tersebut telah tampil memberi keterangan berhubung kes tersebut.

“Berdasarkan maklum balas ahli keluarganya, mereka mendakwa lelaki tersebut memiliki masalah kesihatan mental selain rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Siasatan terperinci dan menyeluruh sedang dilakukan termasuk melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu gambar bendera Israel dikibarkan di premis perniagaan terbabit tular di media sosial sejak Khamis lalu.

Perbuatan lelaki tersebut menimbulkan kemarahan netizen kerana seolah-olah menyokong Israel dan tidak sensitif dengan kekejaman yang sedang dialami rakyat Palestin pada masa ini.

Mazli berkata, perbuatan menaikkan bendera di premis perniagaan tanpa kebenaran merupakan kesalahan di bawah bidang kuasa PBT.

Jelas beliau, tindakan boleh diambil atas peruntukan mengikut kesalahan jenayah sekiranya ia didapati mampu mencetuskan huru-hara dan ketegangan awam. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, October 17, 2023

Kemahiran hadapi banjir elak tragedi

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MONSUN Timur Laut (MTL) yang membawa risiko bencana alam terutama banjir bakal kembali melanda negara dalam tempoh kurang sebulan lagi.

Persiapan meliputi mesyuarat dan latihan simulasi operasi menyelamat serta agihan barang keperluan mangsa banjir telah mula giat dilaksanakan agensi terlibat mengikut rutin sejak bulan lalu.

Persediaan terhadap musim tengkujuh kali ini haruslah lebih rapi memandangkan senario banjir sejak kebelakangan ini semakin sukar dijangka.

Corak banjir sudah berubah dengan semakin banyak lokasi yang sebelum ini selamat tiba-tiba terjejas bah terutama dalam tempoh dua tahun kebelaka­ngan ini.

Tanpa persediaan rapi untuk menghadapi situasi luar jangka itu, keadaan kelam-kabut operasi penyelamatan terutama pada fasa awal bah seperti berlaku sebelum ini pasti berulang.

Ancaman itu bukan mustahil kerana berdasarkan hebahan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) kelmarin, berlaku pertembungan antara MTL dan fenomena El Nino yang boleh memberi impak signifikan terhadap corak cuaca negara.

Met Malaysia meramalkan berlakunya empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh membawa risiko banjir sepanjang musim tengkujuh kelak.

Tiga negeri Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dijangka menerima taburan hujan lebat pada bulan depan dan Disember.

Episod hujan lebat itu pula beralih ke Johor, Sabah dan Sarawak pada bulan Disember ini dan Januari tahun depan.

Negeri-negeri di Pantai Barat juga tidak terkecuali daripada mengalami hujan berterusan sekiranya berlakunya luruan monsun kuat yang membawa tekanan rendah sewaktu tempoh MTL berkenaan.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, fenomena El Nino sememang­nya berpotensi mempengaruhi taburan hujan sewaktu MTL.

Beliau berkata, berdasarkan kajian sebelum ini, fenomena El Nino boleh mengurangkan taburan hujan di utara Sabah dan Sarawak serta utara
dan tengah Semenanjung Malaysia.

“Sebaliknya fenomena sama pula akan meningkatkan taburan hujan di selatan Semenanjung dan Kuching, Sarawak.

“Ia disebabkan kecende­rungan pergerakan ‘pusaran luruhan sejuk’ dari kawasan Pantai Barat Kepulauan Borneo berhampiran Kuching ke arah selatan Semenanjung Malaysia semasa fenomena El Nino,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Jing Xiang menerangkan pusaran-pusaran luruhan sejuk yang boleh menyebabkan hujan lebat biasa terbentuk di Kepulauan Borneo sepanjang tempoh MTL.

Beliau berkata, walaupun perubahan cuaca disebabkan pertembungan fenomena El Nino yang membawa cuaca kering dan MTL agak rumit untuk di­jangka, ia tidak boleh dipandang mudah.

“Persiapan rapi perlu dilakukan agensi bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran dan ancaman yang mungkin berlaku.

“Masyarakat juga perlu sentiasa waspada dan peka dengan sebarang sebaran disalurkan kerajaan sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Aminurrahim Mohamed pula berkata, persiapan operasi penyelamatan pada musim tengkujuh kali ini tidak terhad kepada banjir sahaja malah bencana alam lain seperti tanah runtuh dan kepala air.

“Kita bersiap sedia semua kemungkinan dan sentiasa berhubung rapat dengan MetMalaysia kerana pertembu­ngan MTL dan fenomena El Nino kali ini mungkin akan memberi cabaran berbeza buat pasukan penyelamat dalam operasi cari dan menyelamat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Monday, October 16, 2023

SPRM tahan anggota polis disyaki terima rasuah suspek kes dadah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberkas seorang anggota polis bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 30-an tersebut disyaki meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM2,000 daripada dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Siasatan awal mendapati dua lelaki terbabit yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah berkenaan telah ditahan polis dalam serbuan pada bulan lalu.

“Suspek didakwa telah meminta dan menerima wang tunai RM2,000 sebagai dorongan tidak menahan mereka,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, anggota polis tersebut telah ditahan di bandar raya ini pada tengah hari tadi.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan reman pasa esok.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Projek akuakultur LKIM stabil bekalan ikan tempatan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membantu nelayan tempatan melibatkan diri dalam industri hiliran penternakan ikan dalam sangkar bagi meningkatkan bekalan hasil laut tempatan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan malah memastikan bekalan ikan dan hasil laut terus mencukupi untuk memenuhi permintaan terutama pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Beliau berkata, ia selaras dengan sasaran kerajaan memastikan industri akuakultur tempatan menyumbang 60 peratus daripada bekalan ikan nasional menjelang tahun 2030.

“Kita telah melakukan projek perintis dengan penglibatan nelayan termasuk di Kuala Besut di sini.

“Projek perintis penternakan ikan merah dan jenahak dalam sangkar diusahakan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Besut tersebut telah mula menampakkan hasil dengan pengeluaran 700 kilogram pada fasa pertama baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks LKIM Kuala Besut di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan program Jualan MyAquaBest yang menjual pelbagai ikan termasuk merah dan jenahak sangkar berkenaan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

Muhammad Faiz berkata, selain PNK Kuala Besut, tujuh PNK lain turut terlibat dalam perusahaan akuakultur itu seperti Kijal; Satang Biru, Sarawak; Jasin, Melaka; Sedili, Johor dan Kerian, Perak.

Beliau berkata, projek perintis akuakultur LKIM turut memberi memberi tumpuan terhadap penternakan kupang, udang putih dan harimau serta ikan tilipia merah dan keli. – KOSMO! ONLINE

Kakitangan universiti disyaki terima rasuah motosikal ditahan SPRM

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan sebuah universiti di Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan menerima rasuah bernilai keseluruhan RM30,000 daripada sebuah syarikat pengubahsuaian.

Sumber SPRM berkata, suspek yang merupakan juruukur bahan dipercayai menerima sebuah motosikal Yamaha jenis Y15Z dan wang tunai daripada wakil syarikat berkenaan.

“Siasatan awal mengesyaki ia sebagai balasan selepas suspek mengesyorkan kerja-kerja pengubahsuaian bernilai RM3 juta terbabit.

“Suapan itu dipercayai sebagai dorongan mempercepatkan tuntutan bayaran kemajuan kerja syarikat terbabit,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 50-an tersebut ditahan sewaktu memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 1 tengah hari tadi.

Tambah beliau, motosikal Yamaha jenis Y15Z milik suspek turut disita bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, yang dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE