Translate

Saturday, July 30, 2011

UTP juara debat perpaduan antara IPT

SERI ISKANDAR - Universiti Teknologi Petronas (UTP) selaku tuan rumah muncul johan pertandingan akhir Debat Perpaduan antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ketujuh di UTP di sini semalam.

Pasukan debat terbabit yang diwakili Junnyaruin anak Barat, Muhammad Imran Muiz Abidin, Muhammad Shafiq Samsuddin dan Rahmat Bee Abdul Aleem (simpanan) yang bertindak sebagai kerajaan menewaskan Universiti Tek nologi Mara (UiTM).

Pasukan UiTM pula diwakili Siti Nor Zamzafila Mohd. Nor, Mastura Arbin, Muhammad Syafiq Musa dan Aftal Mariz Mohamed (simpanan).

Dengan kemenangan tersebut, UTP menggondol piala pusingan dan wang tunai RM7,000 manakala UiTM selaku naib johan menerima wang tunai RM5,000.

Sementara itu, pembahas kedua UiTM, Mastura, 24, turut diumumkan sebagai pendebat terbaik sekali gus membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM1,000.

Hadiah-hadiah disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Rektor UTP, Datuk Dr. Zainal Abidin Kasim.

Sebanyak 34 pasukan melibatkan 17 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lapan Institusi Pengajian Tinggi Swas ta (IPTS) dan sembilan Institut Pendidikan Guru (IPG) menyertai pertandingan anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dengan kerjasama Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum).

Tuesday, July 26, 2011

100 guru sertai program belajar jawi

JAWI. Seramai 100 guru Pendidikan Islam dari 14 sekolah sekitar Kamunting, Taiping menghadiri program Pengajaran dan Pembelajaran Jawi Baca Dengan Nombor (BDN) di Sekolah Kebangsaan (SK) Klian Pauh, Taiping baru-baru ini.

Penyelaras Kursus Jawi BDN Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Larut, Matang dan Selama, Abd. Aziz Abd. Rashid berkata, bengkel tersebut dikendali oleh pengasas Jawi BDN, Wan Mohd. Azhar Wan Mohamod.

Beliau berkata, program terbabit memberi pendedahan kepada guru Pendidikan Islam terbabit dengan teknik mu dah mempelajari tulisan jawi menerusi sistem nombor.

“Jawi BDN berasaskan sifir jawi melalui penggunaan suku kata. Ia memberi tambah nilai kepada guru berkenaan dalam kaedah mudah pengajaran jawi kepada murid-murid,” ka tanya.

Broker peguam mati dibelasah

IPOH – Seorang bekas polis mati apabila dia dipukul sekumpulan enam lelaki bersenjatakan besi dan batu-bata dalam kejadian di sebuah restoran berhampiran Pasar Pengkalan di sini kelmarin.

S. Sunther, 50, yang kini merupakan broker peguam di tiga buah mahkamah iaitu Mahkamah Sesyen, Majistret dan Tinggi Ipoh disahkan mati pada pukul 8.10 malam selepas 20 jam dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Difahamkan, lelaki itu dibelasah ketika sedang membeli rokok pada pukul 12 tengah malam Ahad lalu.

Anak sulung mangsa, S. Yoges, 21, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakannya dan sebaik tiba, dia mendapati bapanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Saya dimaklumkan oleh beberapa saksi, orang yang memukul bapa tinggal dekat dengan rumah di Taman Desa Pinji di sini namun saya tidak tahu motif kejadian.

“Kejadian itu ibarat luka lama berdarah kembali kerana ibu saya, K. Sumapahy sebelum ini mati dibunuh seorang lelaki tidak siuman ketika suspek memecah masuk rumah kami lebih 10 tahun lalu,” ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki berusia 18 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian itu di sekitar Taman Lapangan di sini awal pagi semalam.

Suspek direman tujuh hari bermula semalam dan polis sedang memburu baki tiga atau empat lagi lelaki yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Monday, July 25, 2011

Empat termasuk wanita disyaki edar, proses dadah direman

IPOH - Empat individu termasuk seorang wanita yang ditahan kelmarin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah di sebuah rumah teres di Gunung Rapat di sini kelmarin direman selama tujuh hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Eiap Eng Kian berkata, perintah reman terbabit terhadap semua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu dibenarkan Mahkamah Majistret di sini.

“Kesemua direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk membantu siasatan polis berhubung kes pengedaran dadah," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Tiga lelaki dan seorang perempuan itu telah ditahan dalam satu serbuan di dalam sebuah rumah teres setingkat di Taman Hillview, Gunung Rapat di sini selepas mereka disyaki menjadikan rumah itu sebagai makmal pemprosesan dadah.

Eng Kian berkata, siasatan awal polis mempercayai pre mis terbabit telah digunakan sebagai makmal memproses dadah jenis heroin dan syabu.

“Serbuan menjumpai sejumlah heroin dan syabu yang belum diketahui jumlahnya.Namun kita percaya serbuan itu merupakan rampasan terbesar di Perak pada tahun ini," kata beliau.

Turut dirampas ialah beberapa peralatan dan cecair yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah selain dua buah kereta milik suspek.

Saturday, July 23, 2011

Dua anggota polis didakwa makan rasuah

IPOH - Dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada November tahun lalu.

Lans Koperal Mohd. Fauzi Embong, 31 dan Koperal Zulkifli Mohamed, 51, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh meminta suapan sebanyak RM1,000 daripada pengadu yang didakwa memilik dadah jenis syabu.

Perbuatan itu dilakukan Mohd. Fauzi dan Zulkifli yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Manjung ketika mereka terserempak dengan lelaki itu di Taman Setia Jaya, Setiawan pada pukul 12.15 pagi, 17 November 2010.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh yang menetap di kuarters IPD Manjung, Seri Manjung didakwa menerima suapan RM300 daripada pengadu di hadapan Pejabat Pos Laju Setiawan kira-kira 35 minit kemudian.

Bagi pertuduhan meminta rasuah, mereka didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan meminta rasuah pula, Mohd. Fauzi dan Zulkifli di dakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Mohd. Fauzi dan Zulkifli yang diwakili peguam Ranjit Singh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sementara pihak pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Mohd. Fauzi dan Zulkiflee masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebuatan semula.

Friday, July 22, 2011

Suami, anak pensyarah maut nahas mula sedar

IPOH - Dua beranak mangsa kemalangan maut yang mengorbankan seorang pensyarah Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Kampar pada Ahad lalu lalu mula sedar dan semakin stabil.

Timbalan Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr Rahimi Goon berkata, walaupun telah sedar, Dr. Ananjit Singh, 36, dan anak lelakinya, Jarjit Singh, 4, masih belum dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Jarjit yang mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan semakin stabil sementara bapanya, Ananjit telah selamat menjalani pembedahan memasukkan besi pada kaki kanannya yang patah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan beberapa Exco kerajaan negeri Perak seperti Datuk Hamidah Osman, Datuk Mah Hang Soon dan Datuk Saarani Mohamad melawat Ananjit dan Jarjit di HRPB di sini semalam.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau mewakili kerajaan negeri simpati dan sedih dengan tragedi yang menimpa keluarga Baljit Kaur, 35, yang merupakan adik perempuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Kesh winder Singh.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Baljit maut selepas en deraan jenis Hyundai Matrix dipandu Ananjit terbabas lalu merempuh pembahagi jalan.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mereka dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kampar untuk menghadiri program sukan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jarjit yang dijadualkan pagi tersebut.

Wednesday, July 20, 2011

185 graduan terima diploma Kisdar

KONVOKESYEN. Seramai 185 graduan menerima diploma masing-masing dalam majlis Konvokesyen kelima Kolej Islam Darul Ridzuan (Kisdar) di Bukit Chandan, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berkenan untuk menyempurnakan majlis penyampaian skrol diploma kepada graduan terbabit.

Graduan lulusan Diploma Syariah Islamiyyah, Mohammad Nor Afifi Putra Shamsul Arifin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Diraja berikutan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, beliau bercadang melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Mu'tah, Jordan.

Tuesday, July 19, 2011

Tempoh pengecualian duti dipanjangkan

IPOH - UMW Toyota Motor Sdn. Bhd (UMW Toyota Motor) berharap kerajaan bersedia melanjutkan insentif pengecualian duti import dan duti eksais ke atas kereta hibrid siap pasang (CBU) baharu yang akan berakhir pada 31 Disember tahun ini.

Presiden UMW Toyota Motor, Ismet Suki berkata, tempoh setahun pengecualian duti tersebut tidak memadai memandangkan segmen kereta hibrid mesra alam masih baharu di kalangan pengguna di negara ini.

“Pada waktu ini, kami sedang meningkatkan kefahaman pengguna tentang segmen kereta hibrid dan ia memerlukan masa. Saya bimbang setelah kesedaran pengguna timbul kelak, insentif itu telah pun tamat.

“Saya harap kerajaan dapat mempertimbang agar insentif tersebut dilanjutkan dalam pembentangan Bajet 2012 kelak,” katanya selepas merasmikan pusat jualan, servis dan alat ganti UMW Toyota Motor di Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Toyo Tire labur RM1.2 bilion di Perak

POH - Toyo Tire & Rubber Co Ltd (Toyo Tire), sebuah firma pembuat tayar terkemuka Jepun, bakal melabur RM1.2 bilion yang turut merangkumi pembinaan sebuah kilang baharu di Perak bagi mengembangkan operasinya di pasaran Asia Tenggara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Toyo Tire telah membeli syarikat pembuat tayar tempatan, Silverstone Bhd. (Silverstone) pada tahun lalu dengan nilai RM470 juta.

Pembelian tersebut adalah sebahagian besar daripada perancangan Toyo Tire untuk berkembang di rantau ini dengan mengambil kesempatan daripada rangkaian penguasaan yang besar dikuasai oleh Silverstone selama ini.

“Semasa mengambil alih 100 peratus saham Silverstone yang berpangkalan di kawasan perindustrian Kamunting, Taiping itu, kilang berkenaan menghasilkan tiga juta tayar setahun.

“Selepas pengambilalihan ini, Toyo Tire menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran tayar sehingga 15 juta setahun pada 2015. Perkembangan itu menawarkan sekurang-kurangnya 1,000 peluang pekerjaan baru,” katanya selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat dengan pelabur Perak di sini semalam.

Mustapa berkata, selaras dengan strategi pengembangan operasinya, Toyo Tire juga bercadang untuk membina sebuah kilang tayar baharu di tapak seluas 20.25 hektar di Perak.

Friday, July 15, 2011

Baiti Jannati

TNB baiki rumah rakyat susah

DI SEBALIK tanggungjawab hakiki memastikan kelestarian bekalan elektrik di seluruh negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetap komited menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporatnya kepada golongan memerlukan di negara ini.

Selaras dengan saranan kerajaan, syarikat utiliti terbesar negara itu mengambil inisiatif membaiki rumah golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan miskin di luar bandar menerusi projek Baiti Jannati.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, projek amal tersebut semakin berkembang sejak dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang pada 2007.

"Sejak lima tahun lalu, sebanyak 86 rumah golongan sasaran di seluruh negara telah diperbaiki TNB menerusi program Baiti Jannati dengan peruntukan lebih RM1 juta.

"Ia turut merangkumi 21 buah rumah termasuk lima di Perak pada tahun ini. Pelaksanaan projek ini merupakan platform kepada TNB selaku Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menzahirkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan," katanya dalam majlis pelancaran projek Baiti Jannati TNB peringkat kebangsaan di Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi, Ipoh baru-baru ini.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu diadakan di rumah salah seorang penerima, Abdul Rani Abdullah Sani, 83.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Naib Presiden Hal Ehwal Korporat TNB, Adelina Iskandar dan Ahli Lembaga TNB, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Che Khalib berkata, secara purata, TNB akan memilih 20 rumah usang dan uzur yang dihuni warga berkelayakan seluruh negara untuk diperbaiki setiap tahun.

Ujarnya, selain data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), percalonan untuk program Baiti Jannati turut dilakukan pembaca meter TNB seluruh negara.

"Tugasan pembaca meter yang menjelajah setiap ceruk di negara ini untuk menghantar bil elektrik bulanan umpama mata dan telinga kepada TNB.

"Pendekatan ini efektif kerana melihat dan mengetahui sendiri kesusahan golongan sasaran yang layak dicalonkan menerima bantuan ini," katanya.

Che Khalib memberitahu, selain membiayai kos membaiki rumah, TNB turut menyumbang barangan keperluan dan alatan kelengkapan rumah kepada penerima terpilih terbabit.

Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah hasil derma beberapa persatuan kakitangan TNB seperti Pelitawanis, Kelab Kilat, kesatuan sekerja dan PKPI.

"Tabung Projek Baiti Jannati TNB juga telah diletakkan di 135 Kedai Tenaga di seluruh Semenanjung Malaysia sejak April 2010.

"Sumbangan ikhlas warga kerja TNB dan pelanggan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan penerima projek Baiti Jannati berkenaan," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Abdul Rani memanjatkan kesyukuran ke atas keprihatinan TNB membina semula rumahnya yang sebelum ini hampir menyembah bumi dengan kos kira-kira RM30,000.

Beliau yang menetap di rumah tersebut bersama isteri dan dua orang anak termasuk seorang anak perempuan OKU berusia 41 tahun berkata, mengganggap projek amal TNB itu merupakan hadiah paling berharga sempena kehadiran Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

"Saya terharu dan macam tak percaya diberitahu Ketua Kampung Dato' Ahmad Said (Zainal Mohamad) tiga bulan lalu bahawa rumah uzur saya yang telah berusia lebih 60 tahun ini terpilih diperbaiki dalam program Baiti Jannati," katanya.

Seorang lagi penerima, Supiah Hassan, 71, dari Kampung Chepor Dalam, Ipoh pula berkata, inisiatif TNB tersebut sedikit sebanyak meringankan beban beliau sekeluarga.

Beliau yang menderita penyakit batu karang dalam hempedu menetap bersama anak bongsu yang mempunyai tujuh anak berusia setahun hingga 20 tahun dan cuma berpendapatan RM700 sebulan.

"Selama ini rumah yang uzur itulah 'syurga' kami. Terima kasih kepada TNB kerana memperbaikinya demi memberi keselesaan kepada kami anak beranak," katanya.

Wednesday, July 13, 2011

62 kilang pasang CEMS untuk pantau kualiti udara

IPOH - Sebanyak 62 kilang yang berpotensi me nyebabkan pencemaran udara di Perak telah di wajibkan memasang Sistem Penguatkuasaan dan Pemantauan Jarak Jauh (CEMS).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, menerusi CEMS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dapat menerima data pelepasan asap atau gas secara terus daripada corong kilang terbabit.

“Data-data pelepasan asap atau gas itu akan dipantau mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sekiranya melebihi standard ditetapkan, tindakan susulan dan penguatkuasaan boleh diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir Pengarah JAS Perak, Datuk Abu Hasan Mohd. Isa.

Hang Soon berkata, daripada jumlah tersebut, 49 kilang yang melibatkan kilang kelapa sawit, stesen janakuasa elektrik, industri bukan logam dan insinerator buangan telah memasang CEMS.

Menurut beliau, baki 13 kilang lagi akan me masang CEMS yang bernilai antara RM50,000 hingga RM500,000 mengikut industri selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Sejak sistem itu dipasang kira-kira dua bulan lalu, pihak pengurusan kilang memberi kerjasama baik dan kualiti udara berada pada tahap memuaskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hnag Soon memberitahu in deks kualiti udara di Perak berada di tahap sederhana dengan kawasan paling terjejas ialah Tanjung Malim yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) 87.

Amanah Pendidikan Punjabi terima geran

DANA. Amanah Pendidikan Punjabi Malaysia menerima geran tahunan berjumlah RM500,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Institut Guru Nanak, Ipoh baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, geran itu bertujuan membantu Persatuan Khalsa Diwan Malaysia mengembangkan bahasa Punjabi di kalangan generasi muda komuniti tersebut di negara ini.

"Tuntutan kaum Sikh agar bahasa Punjabi dibantu untuk berkembang di kalangan mereka adalah munasabah kerana generasi muda perlu fasih bahasa ibunda masing-masing agar tidak lupa sejarah dan budaya sendiri," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden Khalsa Diwan Malaysia, Santokh Singh Randhana.

Monday, July 11, 2011

Usahawan tani Perak terima motosikal roda tiga

BANTU. Seramai 11 usahawan tani Perak menerima motosikal roda tiga daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Terminal Agribisnes Negara (Teman), Gopeng baru-baru ini.

Motosikal roda tiga yang bertujuan memudahkan usahawan tani mengangkut hasil pertanian disampaikan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin.

Badruddin berharap usahawan tani terbabit mengambil inisiatif menjadi peraih mengutip hasil pertanian yang ditanam secara kecil-kecilan di sekitar kampung mereka.

Saturday, July 9, 2011

Bahan letupan perhimpunan haram dirampas

IPOH - Polis Perak menemui pelbagai bahan bagi membuat bahan letupan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram anjuran Bersih di Tapah dan Manjung dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, dalam kes pertama, seorang pemandu teksi berketurunan Kemboja berusi 41 tahun ditahan di susur masuk Plaza Tol Tapah pada pukul 12 tengah hari.

Bersama lelaki itu, polis menemui sejumlah bahan yang boleh membuat bahan letupan disimpan dalam but kereta.

Antara barang tersebut ialah empat guni simen bercampur kapur, seguni serbuk hitam dipercayai sekam padi, satu guni mengandungi besi paip dan getah paip serta lima biji mangkuk tanah.

Mohd. Shukri memberitahu, turut dijumpai ialah sebuah beg plastik mengandungi pasir dan satu tong plastik berisi cecair disyaki asid.

“Berdasarkan pengalaman lalu, polis percaya bahan-bahan tersebut mampu menghasilkan bahan letupan. Sehubungan itu lelaki tersebut ditahan reman empat bagi siasatan lanjut,"katanya.

Menurut beliau, dalam soal-siasat lelaki yang telah mendapat kerakyatan Malaysia itu mendakwa dia dalam perjalanan pulang ke Ulu Tiram, Johor setelah mengambil barangan untuk dilebur bagi mendapatkan bijih timah di Kampar.

Dalam kes kedua pula, Mohd. Shukri memberitahu polis menjumpai 21 botol mineral kecil berisi minyak petrol dan bersumbu dan lapan helai baju T putih bertulis perkataan ‘Kotor’ pada pukul 10 malam di sebuah kawasan perkuburan Cina di Kampung Sitiawan, Manjung.

Turut ditemui 12 beg plastik merah yang mengandungi butiran hijau dipercayai baja kompas dan empat bateri saiz AA yang dipercayai akan digunakan untuk membuat bahan letupan.

Pemeriksaan di lokasi itu juga menjumpai kertas bertulisan Cina bermaksud ‘Arahan Bos kesemua 21 botol mahu baling Pejabat UMNO. Baju putih ‘Kotor’ adalah simbol dalam perhimpunan Bersih. Hati-hati polis di tempat itu. Habis baca bakar.'

Friday, July 8, 2011

Cabaran hoki remaja di Ipoh

SEBANYAK 144 pasukan remaja dari seluruh negara akan berentap dalam Kejohanan Hoki Remaja Bandaraya Ipoh-Antarabangsa Perak 2011 anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada esok dan Ahad ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, kejohanan yang turut mendapat tajaan Nestle dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak itu bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam sukan hoki di kalangan remaja negara ini.

“Satu fakta yang menarik, kebanyakan pemain hoki yang pernah menyarung jersi kebangsaan adalah produk ke johanan ini.

“Sehubungan itu, penganjuran kejohanan ini diharap me neruskan kesinambungan menggilap bakat baru yang bagi menjadi pelapis kepada skuad hoki negara,” katanya kepada pemberita di Ipoh semalam.

Roshidi berkata, kejohanan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu bawah 18 tahun, bawah 15 tahun dan bawah 12 tahun bagi pasukan lelaki dan perempuan.

Menurut beliau, antara pasukan handalan yang dilihat mampu memberi cabaran dalam pertandingan tersebut ialah pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh.

“Dua lokasi pertandingan telah ditetapkan iaitu Stadium Hoki Sultan Azlan Shah dan Padang Ipoh," katanya.

Pengurus Perak letak jawatan

BENDARI Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Khairul Azwan Harun meletak jawatan sebagai pengurus pasukan skuad Seladang mulai semalam.

Perletakan jawatan Khairul itu berpunca daripada kegagalan Perak menduduki kelompok lima pasukan terbaik dalam Liga Super yang berakhir kelmarin.

Perak mengakhiri musim 2011 ini dengan mencatat keputusan seri 0-0 dengan Selangor di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Skuad Seladang gagal menetapi sasaran apabila menamatkan saingan musim ini di tangga keenam liga dengan mengumpul 40 mata.

Tuesday, July 5, 2011

UniKL-RCMP jalin kerjasama dengan VMU

IPOH - Kolej Perubatan Diraja Perak Universiti Kuala Lumpur (UniKL-RCMP) menjalin kerjasama dengan sebuah universiti perubatan India, Vinayaka Mission University (VMU) bagi program berkembar Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS).

Dekan UniKL-RCMP, Prof. Dr. Hashami Bohari berkata, seramai 50 pelajar telah terpilih sebagai perintis program tersebut bermula pada sesi kemasukan Julai ini.

“Selepas mengikuti pengajian selama tiga tahun di kampus UniKL-RCMP di Greentown di sini, pelajar terbabit akan menjalani latihan klinikal selama dua tahun di sebuah hospital yang terletak di dalam kampus VMU di Salem, Tamil Nadu, India.

“Pengkongsian pintar antara UniKL dan VMU diyakini mampu menghasilkan seorang graduan perubatan yang mempunyai kemahiran klinikal tinggi dan berfikiran kritikal bagi menangani senario dunia kesihatan masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pe lancaran program MBBS UniKL-VMU di kampus UniKL-RCMP, Greentown di sini semalam.

Hashami berkata, 50 pelajar terpilih untuk me nyertai program MBBS UniKL-VMU daripada 1,200 permohonan calon yang diterima.

“Kos pengajian program tersebut selama lima tahun itu kira-kira RM320,000 dan kebanyakan pelajar telah me nerima tajaan daripada pelbagai agensi seperti Mara, Ja batan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.