Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
BESUT – Mayat buruh binaan yang tertimbus dalam runtuhan bangunan restoran tiga tingkat sebuah resort di Pantai Alunan, Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini selama dua hari ditemui dalam keadaan sempurna.
Lelaki dikenali Suparno, 48, itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 3.15 petang semalam.
Keadaan mayat buruh binaan
itu sempurna dengan hanya kesan kecederaan pada kepala dan
beberapa anggota badan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mayat mangsa ditemui anggota SAR di dalam sisa runtuhan dalam kedalaman lebih 8 meter pada pukul 2.08 petang.
“Usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa agak sukar dan mengambil masa lebih sejam.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jeti Kuala Besut di sini dengan bot ambulans sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pulau Perhentian dekat sini semalam.
Mazli berkata, penemuan mayat Suparno melengkapkan operasi SAR melibatkan tujuh buruh binaan yang tertimbus dalam runtuhan bangunan setinggi tiga tingkat berkenaan kelmarin.
Sehubungan itu, pusat kawalan operasi SAR berkenaan yang dibuka pada pukul 10.15 pagi kelmarin ditutup sepenuhnya.
Dalam pada itu, Penyelia Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hambali Wahab berkata, kejayaan mengesan mangsa ter akhir runtuhan bangunan sebuah restoran banyak disumbang oleh bantuan anjing pengesan Lady dan Grouse.
Dua anjing tersebut sebelum ini pernah terlibat dalam operasi berskala besar di tragedi tanah runtuh Batang Kali, Selangor dan insiden kepala air Jeram Mawar, Kemaman masing-masing pada hujung tahun lalu dan Julai lalu.
Katanya, Lady dan Grouse mempunyai kepakaran menjejak mangsa sama ada masih bernyawa atau sebaliknya.
“Kedua-dua ekor anjing pengesan ini sekali lagi menunjukkan prestasi cemerlang.
“Lady berjaya menemui lokasi mangsa terakhir tertimbus dengan isyarat menyalak yang memberi petunjuk penting terhadap pasukan mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB), Mohd. Sukeri Ibrahim berkata, bangunan restoran tiga tingkat itu didapati dibina tanpa kelulusan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya, semakan mendapati permohonan pembinaan premis itu telah ditolak pada 12 September 2021.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MDB pada masa itu telah menolak permohonan kebenaran merancang dan kelulusan pembangunan projek daripada pengusaha resort.
“Antara faktor penolakan ialah projek pembinaan tidak mendapat kelulusan dasar daripada Unit Perancang Ekonomi (Upen) kerajaan negeri Terengganu dan tiada kebenaran merancang daripada Perancang Bandar Berdaftar,” katanya di sini semalam.
Mohd. Sukeri berkata, selain itu, JBPM dalam ulasan teknikalnya juga tidak memperakui kelulusan pelan arkitektural banunan restoran resort berkenaan.
Tambah beliau, MDB juga menolak projek tersebut kerana berdasarkan siasatan kerja-kerja pembinaan premis telah dimulakan lebih awal iaitu pada tahun 2020 iaitu kira-kira setahun selepas permohonan dilakukan pada Ogos 2021.
“Saya difahamkan kerja-kerja pembinaan dilakukan sewaktu tempoh PKP. Walaupun gagal mendapat kelulusan, apa dikesalkan kerja-kerja pembinaan diteruskan tanpa pengetahuan sehingga berlakunya runtuhan semalam (kelmarin),” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan bangunan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pantai Alunan, Pulau Perhentian, Kuala Besut di sini itu tiba-tiba runtuh pada pukul 4.30 pagi kelmarin
No comments:
Post a Comment