Translate

Monday, September 30, 2013

Brightness tawar pakej mengurut

IPOH - Pusat kecantikan dan spa, Brightness Beauty  Saloon di sini menawarkan pakej istimewa urutan khusus  untuk ibu mengandung di Jalan Merak off Jalan Jelapang,  Silibin di sini.

Pengusahanya, Rodziah Mohd. Zainudin berkata, pakej  penjagaan diri dan kesihatan tersebut bukan sahaja dapat  melancarkan pengedaran darah malah memberi kelegaan  kepada wanita yang sedang hamil.

“Biasanya akibat perubahan hormon sewaktu hamil, wak tu tidur dan selera makan wanita akan terganggu sehingga  menyebabkan tekanan.

“Di Brightness Beauty Saloon, mereka akan di urut dengan  teknik khas menggunakan minyak aroma terapi yang mam pu memberi kelegaan kepada ibu mengandung,” katanya  kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rodziah berkata, setelah diperkenal hampir setahun lalu,  pakej yang turut merangkumi rawatan muka tersebut mam pu memberi kesan positif kepada bayi di dalam kandungan.

“Pakej Momma Mia Relaxation bernilai RM300 yang  memakan masa dua jam setengah bagi setiap sesi ini sesuai  untuk wanita yang hamil empat bulan ke atas," katanya.

Rodziah yang sudah 14 tahun berkecimpung dalam in dustri penjagaan diri dan kecantikan memberitahu pusat  spanya turut menyediakan pakej urutan tradisional selepas  bersalin.

Selain itu, tambah beliau, Brightness Beauty Saloon turut  menawarkan sesi urutan batin khusus untuk memper betulkan urat-urat peranakan wanita dan mampu me ngeratkan lagi hubungan suami isteri selepas melahirkan  anak.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh dihubungi di  talian 05-5278696 dan 016-5578696.

Bayaran BR1M 3.0 terus masuk akaun

IPOH – Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 bakal menerima bayaran melalui dua peringkat mulai tahun hadapan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, wang bantuan itu pula akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima dan bukannya secara tunai atau baucar seperti yang dilakukan sejak tahun lepas.
Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan penerima menggunakan wang bantuan secara berhemah dan berbelanja mengikut keperluan.

"Kerajaan bercadang untuk membuat dua kali pembayaran BR1M dengan wang bantuan dimasukkan terus ke dalam akaun bank masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan Dua, Gugusan Manjoi di sini semalam.

Di bawah BR1M 2.0, kerajaan menyalurkan dana sebanyak RM3 bilion kepada 6.1 juta penerima.

Ahmad Husni bagaimanapun tidak menjelaskan bila pembayaran BRIM sebanyak dua kali itu akan dilaksanakan.

“Kita juga tidak boleh maklumkan lagi berapa jumlah yang mahu diberikan dalam BR1M 3.0 tetapi yang pasti lebih daripada RM500,” katanya.

Menurutnya, bantuan kepada isi rumah yang berpendapatan sederhana berskala RM4,000 hingga RM5,000 akan turut diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

Katanya, kerajaan sedang melihat keperluan membantu isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 berikutan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol baru-baru ini.

“Kita akan bantu mereka dalam bentuk lain dan jenis bantuan itu akan diumumkan pada pembentangan Bajet 2014 nanti,” katanya.

Mekanik gila seks diberkas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


BATU GAJAH – Seorang mekanik yang menggunakan helah membantu mangsa kemalangan dan menyamar polis sebagai modus operandi untuk merogol memakan diri apabila dia diberkas di rumahnya di Taman Batu Gajah Perdana di sini kelmarin.
Perogol bersiri berusia 27 tahun yang masih bujang itu diberkas pada pukul 3.45 petang bagi membantu siasatan berhubung dua kes rogol dan dua kes cubaan merogol yang dilaporkan berlaku di sekitar pekan itu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, dua gadis berusia 13 tahun dan 17 tahun felah diperkosa oleh suspek manakala seorang gadis bawah umur dan wanita berusia 30 tahun nyaris menjadi mangsanya.

Katanya, selain berpura-pura membantu mangsa kemalangan dan menyamar polis, suspek turut membuat helah menolong wanita yang mengalami masalah tayar motosikal pancit.

"Wanita yang terperdaya akan dibawa membonceng motosikal jenis Yamaha Lagenda dinaiki suspek kononnya untuk ke balai polis atau mengambil peralatan membaiki kenderaan.

"Namun mangsa dibawa ke tempat sunyi berhampiran Tanah Adat Mandailing di sini untuk diperkosa.

"Suspek turut mencabut sebahagian nombor pendaftaran untuk mengelirukan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, polis turut merampas motosikal, jaket keselamaan polis dan telefon bimbit.

Menurut Shaharon, dalam kejadian pertama pada 9.50 malam, 11 September lalu, seorang pekerja kedai kasut berusia 14 tahun yang mengalami masalah tayar motosikal pancit nyaris dirogol.

"Gadis itu sempat terjun daripada motosikal suspek selepas mengesyaki sesuatu apabila lelaki itu menunggang ke kawasan tanah adat itu," katanya.

Ujar Shaharon Anuar, pada 22 September lalu, seorang pelajar perempuna berusia 13 tahun pula mendakwa diliwat oleh suspek.

"Suspek juga disyaki telah merogol seorang pelajar tingkatan lima pada Rabu lalu.

"Sebelum itu, suspek yang menyamar polis telah menahan motosikal yang dinaiki mangsa dan teman lelaki di Lahad dekat sini," katanya.

Tambahnya, polis juga ada menerima laporan seorang wanita berusia 30 tahun cuba dirogol suspek kelmarin.

Suspek berpura-pura membantu mangsa membaiki kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan kecil di Jalan Simpang Pulai- Ipoh sehari sebelum itu.

Sunday, September 29, 2013

Syor francais jadi teras MPEB

TAIPING – Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO menyarankan kerajaan agar menjadikan industri francais sebagai teras dalam agenda membangunkan usahawan baharu bagi program Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (MPEB).
Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, penglibatan dalam industri francais terbukti menjadi cara paling mudah dan kurang berisiko bagi usahawan yang baharu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Bagi membantu lebih ramai Bumiputera memulakan langkah pertama mencebur diri dalam bidang perniagaan, kita perlu sistem yang betul-betul terjamin dan terbukti.

“Pilihan yang ada ialah francais kerana industri itu terbukti mempunyai sistem, prosedur operasi standard dan manual yang mudah diikut dan risiko kegagalannya kurang lima peratus,”, katanya selepas merasmikan Jelajah Francais 1Malaysia peringkat Perak di sini semalam.

Pada 14 September llau, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan MPEB bagi membela serta meningkatkan taraf kehidupan Bumiputera. 

MPEB merangkumi lima fokus utama iaitu mendaya modal insan Bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan Bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Program anjuran Biro Ekonomi, Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Francais kementerian tersebut, Afkhar Razi Ariffin.

Sohaimi yang juga Pengerusi Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Muda Malaysia (Perdasama Muda) berkata, industri francais perlu diperkasa bagi merancakkan lagi pertumbuhannya bagi menjadi salah satu saluran perniagaan pilihan kepada usahawan baharu termasuk siswazah institusi pengajian tinggi (IPT).

Polis berjaya memberkas perogol bersiri

BATU GAJAH - Seorang mekanik berusia 27 tahun ditahan polis di rumah keluarganya di Taman Batu Gajah Perdana pukul 3.45 petang semalam bagi membantu siasatan dua kes rogol di daerah ini.
Suspek turut dikehendaki atas dua tuduhan cubaan merogol.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, suspek yang masih bujang disyaki merogol dua pelajar perempuan termasuk seorang yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Katanya, modus operandi suspek berpura-pura mahu membantu mangsa yang mengalami masalah seperti kemalangan dan kebocoran tayar motosikal. - KOSMO

Saturday, September 28, 2013

Dihempuk kerusi lipat, besi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Sepasang kekasih tidak menyangka tindakan mereka menjual aksesori telefon bimbit dengan harga murah mengundang rasa tidak puas hati peniaga lain yang kemudian bertindak membelasah mereka menggunakan besi, kayu dan kerusi lipat Selasa lalu.
Kejadian di tapak Pasar Malam Medan Ipoh di sini pada pukul 10 malam itu mengakibatkan pasangan dikenali sebagai Foo, 29, dan Liew, 26, masing-masing terpaksa menerima 10 dan lima jahitan di kepala selepas dibelasah tiga peniaga aksesori telefon bimbit lain di situ.
Foo mengesyaki kejadian itu berlaku akibat persaingan dalam perniagaan kerana mereka menjual barangan aksesori tersebut lebih murah antara RM1 hingga RM2 bagi setiap barangan selain mempunyai pelanggan setia hingga menyebabkan kedai peniaga lain kurang mendapat sambutan.

Mengimbau semula kejadian itu, Foo memberitahu, sebelum kejadian, mereka sedang bersiap-siap mengemas barang jualan di gerai sebelum didatangi tiga lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Katanya tanpa sepatah kata, ketiga-tiga suspek memukulnya dengan kayu dan besi.

"Saya cuba mengelak dan berlari menyelamatkan diri ke sebuah lagi gerai yang dijaga kekasih saya tidak jauh dari tempat kejadian.

"Tanpa diduga, mereka turut membelasah kekasih saya dan menghentaknya dengan kerusi lipat. Mereka hanya berhenti selepas dileraikan oleh beberapa peniaga lain dan pengunjung pasar malam," dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, ekoran kejadian itu, pasangan kekasih yang telah berniaga sejak dua tahun lalu di kawasan tersebut cedera di kepala selain lembam di paha, lengan dan lutut.

Menurut Foo, mereka hampir pengsan dikerjakan peniaga samseng tersebut sebelum dihantar oleh orang ramai ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Saya syak serangan itu berpunca daripada persaingan dalam perniagaan. Kami dicemburui kerana menjual barang dengan harga lebih murah dan sentiasa menjadi tumpuan pelanggan," dakwanya.

Ekoran itu, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini kelmarin.

Sementara itu, Liew memberitahu, dua dan kekasihnya kini hidup dalam ketakutan dan trauma akibat dibelasah kerana suspek mengugut tidak akan melepaskan mereka jika perkara itu diadukan kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan kejadian tersebut dan masih belum membuat sebarang tangkapan setakat ini.

Wednesday, September 25, 2013

12 pemain Perak hadir beri keterangan

SERAMAI 12 pemain Perak tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah bola sepak di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam, lapor MOHD. AZLI ADLAN.
Mereka ialah Khairul Amri Salahuddin, Farizal Marlias, Mohd. Nasir Baharuddin, Mohd. Syazwan Mohd. Roslan, Ahmad Shukri Ahmad Hamid, Khairul Asyraf Sahizah, Nurhakim Isa, Mohd. Nazri Mohd. Kamal, Mohd. Failee Mohd. Ghazali dan Mohd Haizal Faquan Sadarudin.
Turut hadir dua pemain import skuad Seladang iaitu Paulo Rangel dan Rafael Souza serta penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan.
Haizal dilihat pemain pertama muncul di pekarangan pejabat SPRM Perak pada pukul 2 petang diikuti pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat sehingga 2.40 petang.
Yee Fatt pula dilihat melangkah tenang memasuki pejabat agensi pencegahan rasuah itu bagi memberi keterangan pada pukul 3 petang.
Sementara itu, Nurhakim berkata, mereka hadir untuk membantu siasatan kes dakwaan menjual perlawanan pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia yang berakhir Perak tewas 1-6 kepada Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.
“Proses keterangan bagi setiap pemain memakan masa antara sejam setengah sehingga tiga jam. Kami ditemu bual di dalam bilik yang berasingan,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan.
Difahamkan, baki 12 lagi pemain termasuk kapten, Shahrulnizam Mustapha dan pegawai pasukan serta ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah akan tampil memberi keterangan kepada SPRM hari ini dan esok.
Kosmo! semalam melaporkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa kelmarin.
Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, langkah itu terpaksa diambil setelah pihaknya mengesyaki wujudnya unsur sabotaj dan rasuah membabitkan skuad Kejor Yob Kejor berikutan kekalahan besar kepada Sarawak.

Monday, September 23, 2013

Damara Care & Herb sasar pasaran Brunei

IPOH - Pengusaha produk kesihatan, Damara Care &  Herbs Sdn. Bhd. (Damara Care & Herb) menyasarkan untuk  menembusi pasaran Brunei pada tahun hadapan.

Pengarah Operasinya, Nurul Nadiah Nazaruddin berkata,  selepas setahun diperkenalkan, produk Damara Care iaitu  Manna Emulsion dan Manna Coffee Prebiotic telah berjaya  bertapak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Damara Care & Herb kini mempunyai cawangan di semua  negeri di negara ini dan bercadang untuk memasuki pasaran  negara jiran, Brunei pada tahun hadapan.

“Selepas itu, kami menyasar untuk mengintai peluang  untuk mengeksport produk kesihatan kami di pasaran China  dan Timur Tengah pula,” katanya ketika di temui Kosmo! di  sini semalam.

Nurul Nadiah berkata, kesemua produk kesihatan ke luaran syarikatnya berasaskan ramuan resin pokok akasia  atau 'manna' yang berasal dari Sudan.

Beliau menjelaskan, kajian saintifik telah membuktikan  manna mengandungi kandungan prebiotik yang hampir  menyamai khasiat susu ibu.

“Manna merupakan manisan berkhasiat yang turut di sebut di dalam al-Quran. Ramuan berkhasiat lain yang  terkandung dalam produk kami ialah madu, cuka kurma, air  zam-zam, delima, kismis, badan, buah tin dan goji,” ka tanya.

Nurul Nadiah berkata, Manna Emulsion yang dijual  RM69.90 sebotol manakala Manna Coffee Prebiotic pula  berharga RM20 sekotak.

Tambahnya, Manna Emulsion berkhasiat membuang tok sik dalam badan, melancarkan peredaran darah, mening katkan kecerdasan minda dan mencantikkan kulit.

Budak lemas di sungai


Oleh MOHD. AZLI ADLAN  dan AINSAFRE BIDIN 
berita@kosmo.com.my

TELUK INTAN - Kelekaan seorang remaja menyaksikan rakan-rakan mandi di Sungai Bidor berakhir dengan tragedi apabila dia mati lemas selepas tergelincir ke dalam sungai itu di Kampung Ayer Hitam, Changkat Jong dekat sini semalam.
Mayat Abdul Rahman Abdul Aziz, 13, ditemui anggota bomba dan penyelamat di tengah-tengah Sungai Bidor selepas lebih dua jam mangsa tergelincir dari tebing sungai itu pada pukul 2.15 petang.
Ketua Bomba dan Penyelamat Perak Selatan, Abd. Samat Hashim berkata, sebelum kejadian mangsa keluar bersama lima rakan sekampungnya untuk mandi-manda di Sungai Bidor yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
"Bagaimanapun, sampai di sungai itu, Abdul Rahman yang tidak pandai berenang cuma duduk di tebing sambil melihat rakan-rakannya mandi.

"Namun tiba-tiba dia tergelincir apabila terpijak tanah tebing yang agak licin lalu dihanyutkan arus deras itu dan beberapa rakannya cuba menyelamat tetapi gagal," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, rakan-rakannya yang panik terus pulang dan memberitahu keluarga masing-masing mengenai kejadian menimpa mangsa.

Abd. Samat memberitahu, anggota bomba yang menerima maklumat itu terus melancarkan gerakan mencari dan menyelamat Abdul Rahman tetapi dia kemudian ditemui terapung di tengah-tengah sungai kira-kira 400 meter dari lokasi dia dilaporkan terjauth.

Mayat Abdul Rahman kemudian dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan di sini untuk di bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Fatimah Sidi, 56, berkata, Abd. Rahman telah keluar dari rumah pada pukul 12 tengah hari dan memberitahu dia mahu ke rumah rakannya untuk menyiapkan kerja sekolah.

"Saya pesan agar dia pulang awal kerana kami bercadang untuk keluar ke pekan Bidor bagi membeli kasut dan seluar sukan untuk dia pada sebelah petang," kata Fatimah memberitahu Abdul Rahman merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Fatimah memberitau, anaknya itu berjanji dia akan pulang ke rumah pada pukul 2 petang tetapi tahu-tahu sahaja jiran memberitahu dia lemas di sungai.

Sunday, September 22, 2013

Dijel kerana buat tuntutan palsu

IPOH - Perbuatan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Tinggi, Trong, Taiping membuat tuntutan palsu berhubung pembelian baju korporat berbalas apabila dia dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Madihah Harullah memerintahkan Mohamed Ismail Habib Mohamed, 50, menjalani hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh.

Ekoran itu, Mohamed Ismail bukansa sahaja kehilangan pekerjaan malah ganjaran dan faedah termasuk pencen selepas 30 tahun berkhidmat turut ditarik balik.

Mengikut pertuduhan,tertuduh telah mengarahkan juruwang PPK Sungai Tinggi mengeluarkan baucar berjumlah RM1,360 berupa wang pendahuluan pembayaran baju korporat agensi itu pada 23 Julai 2010.

Pembelian baju korporat itu telah dipersetujui Ahli Jemaah Pengarah PPK berkenaan untuk dipakai oleh kakitangan agensi itu pada Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) peringkat Perak yang diadakan pada 6 Oktober 2010.

Begitupun baju korporat itu sebenarnya tidak wujud dan tidak dibekalkan kepada peserta PPK Sungai Tinggi yang menghadiri KIK tersebut sebagai wakil zon Perak Utara seperti dikehendaki.

Mohamed Ismail yang kini menetap di Lebuh Macullum, Pulau Pinang kemudian ditahan SPRM untuk membantu siasatan pada 9 April lalu mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau tidak kurang lima kali ganda nilai suapan mana yang lebih tinggi.

Friday, September 20, 2013

Pencuri Bentley Datuk Seri didakwa

IPOH – Seorang pemotong kayu balak dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini semalam atas empat dakwaan termasuk memecah masuk sebuah banglo milik seorang pemaju hartanah dan melarikan sebuah kereta mewah jenis Bentley milik mangsa di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada 6 September lalu.
Tertuduh, Voon Kok Chuan, 30, turut didakwa memandu kereta Bentley tersebut dengan cara merbahaya dengan niat menyebabkan kematian mangsa selain menghadapi satu pertuduhan pilihan iaitu menyimpan kereta curi berkenaan.
Di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab, tertuduh didakwa memecah masuk banglo mangsa yang bergelar Datuk Seri dan mencuri kunci kereta Bentley, serangkai kunci rumah dan kunci sebuah kereta Honda milik mangsa dengan nilai keseluruhan RM800,000.

Dia yang berasal dari Taman Seri Berjaya di sini dituduh melakukan kesalahan tersebut pada kira-kira pukul 4 pagi, 6 September lalu.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemuka Timbalan Pendakwa Raya, S. Kavita mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A dan Seksyen 411 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan yang didengar di hadapan Majistret Suhaima Mohd. Nor pula, tertuduh didakwa memandu kereta mewah itu secara berbahaya dengan niat mahu menyebabkan kematian mangsa.

Pertuduhan yang dikemuka Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan tersebut pula memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kok Chuan membuat pengakuan tidak bersalah atas kesemua pertuduhan sebaik kertas pendakwaan selesai dibacakan dalam bahasa Kantonis oleh jurubahasa mahkamah.

Nur Melati Diana dan Suhaima membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM16,000 dan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Oktober dan 31 Oktober depan.

Kosmo! 7 September lalu melaporkan sebuah kereta mewah Bentley ditemui semula selepas lapan jam dilarikan penjenayah dari sebuah banglo di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini.

Thursday, September 19, 2013

Mayat Sherul Aizam dikebumi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Setelah 60 hari tersimpan di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, jenazah Sherul Aizam Mohd. Damanhuri, 27, akhirnya dikebumi oleh keluarganya semalam.
Jenazah pemuda yang mati tersepit di celah palang tingkap rumah jirannya pada 20 Julai lalu itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini pada pukul 12 tengah hari.
Ibunya, Zaitun Hassan, 45, berkata, hatinya kini lega dan tenteram selepas jenazah anak sulung daripada empat beradik itu akhirnya disemadikan juga.

“Sejak hari kematiannya, tidur saya tidak pernah lena setiap malam mengenangkan nasib yang menimpa anak saya.

“Saya selalu terbayang betapa seksanya dia (Sherul Azam) dan tahu rohnya tidak tenteram selama berada di rumah mayat hospital (HRPB),” katanya ketika ditemui selepas upacara pengkebumian anaknya itu yang dihadiri hampir 50 orang sanak-saudara dan sahabat handai mereka di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Zaitun memberitahu, sebagai seorang ibu, dia memang mahu jenazah Sherul Aizam dikebumikan segera tidak lama selepas meninggal dunia.

Bagaimanapun, wanita itu menjelaskan dia perlu akur dan menghormati hasrat suaminya yang mahu mendapatkan kepastian punca sebenar kematian anak mereka.

Jenazah Sherul Aizam dituntut bapanya, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, Zaitun di Rumah Mayat HPRB pada pukul 11 pagi sebelum disembahyangkan di rumah mereka di Taman Saz, Silibin di sini.

Suasana pilu menyelubungi apabila mereka suami isteri dilihat sebak dan menitiskan air mata sebaik sahaja dibenarkan pengurusan HPRB mengambil jenazah Sherul Aizam.

Sementara itu, Mohd. Damanhuri menegaskan, perjuangannya untuk mendapatkan keadilan kematian Sherul Aizam tidak pernah berhenti biarpun jenazah anaknya tersebut sudah dikebumikan.

Dia berkata walaupun telah menarik balik rayuan permohonan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya, dia tetap akan menggunakan saluran undang-undang termasuk mempertimbangkan permohonan perintah inkues bagi mencari punca sebenar kematian anak sulung itu.

“Saya akan bincang dengan peguam untuk tindakan seterusnya. Saya bukan tidak reda ketentuan tuhan, bukan kematian tetapi cara kematiannya itu yang saya tidak boleh terima.

Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan lembam terutama pada leher dan dada.

Laporan bedah siasat yang dilakukan pihak HRPB pada 20 Julai lalu mendapati, punca kematian Sherul Aizam adalah akibat postural asphyxia (sesak nafas) dan kesan tiga jenis dadah dalam badannya.

Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam yang didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap  dapur kediaman itu kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

PTPTN lanjut waktu urusan pejabat

IPOH - Semua pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara akan melanjutkan operasi sehingga pukul 6 petang pada minggu depan bagi memudahkan peminjam melunaskan bayaran balik pembiayaan sekali gus berpeluang menikmati insentif pengurangan pinjaman sebanyak 20 peratus yang akan berakhir 30 September ini.
Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, perkhidmatan kaunter pejabat agensi tersebut turut dibuka hari Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 6 petang sepanjang tempoh berkenaan.
"Kami harap seramai mungkin peminjam mengambil peluang ini memandangkan PTPTN tidak berhasrat untuk memanjangkan tempoh pemberian insentif 20 peratus itu selepas hujung bulan ini," katanya selepas membuat lawatan kerja di pejabat PTPTN Perak di sini hari ini. - KOSMO!

Aplikasi Perak Travel bantu pelancong

TAPAH - Kerajaan negeri Perak melalui agensi penggalakan perlancongan, Tourism Perak melancarkan aplikasi telefon pintar, Perak Travel untuk kemudahan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, aplikasi yang dihasilkan dengan kerjasama KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) tersebut bertujuan memudahkan pelancong dalam dan luar negara melawat tempat menarik di negeri ini.
“Aplikasi Perak Travel boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna telefon pintar yang menggunakan peranti Android dan juga Iphone.

“Maklumat pelancongan Perak kini boleh diakses di hujung jari sahaja,” katanya selepas pelancaran aplikasi tersebut yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Malaysia ke-50 peringkat Perak di Stadium Mini Tapah di sini semalam.

Ia dilancar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Nolee Ashilin berkata, semua maklumat lokasi dan informasi am mengenai produk pelancongan yang terdapat di Perak seperti Taman Negeri Royal Belum, Pulau Pangkor, Gua Tempurung, Kuala Kangsar dan Taiping dimuatkan di dalam aplikasi tersebut.

Tambahnya, Perak Travel juga menyertakan aplikasi Peta Google sebagai panduan kepada pelancong untuk ke tempat tarikan pelancongan.

“Setakat ini Perak Travel versi 1.0 dalam bahasa Melayu dan kita bercadang untuk menaiktaraf aplikasi tersebut dalam bahasa-bahasa lain tidak lama lagi,” katanya.

Perak mahu rebut peluang pertambahan pelajar ke UiTM

IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang menyusun program bersepadu bagi memastikan anak-anak negeri tersebut tidak ketinggalan mengisi enrolmen ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang bakal dipertingkatkan kepada 250,000 orang menjelang tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, untuk tujuan itu, Yayasan Perak telah mengatur program bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar di negeri tersebut terutama di luar bandar.

“Kita mahu pastikan seramai mungkin pelajar di negeri ini cemerlang dalam akademik sekali gus memenuhi syarat kelayakan untuk memasuki IPT termasuk UiTM.

“Kebetulan Perak juga terlibat dalam pembinaan kampus baharu UiTM iaitu di Tapah yang fasa kedua dan ketiga sedang dalam pembinaan, kita perlu rebut peluang ini,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Beliau mengulas agenda meningkatkan enrolmen pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada 250,000 orang menjelang tahun 2020 serta menubuhkan kampus baharu dalam program Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (MPEB) yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Sabtu lalu.

Muhammad Amin berkata, program pengukuhan akademik yang akan diadakan dengan kerjasama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bakal dilancarkan pada masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau menganggap pelan meningkatkan enrolmen pelajar di UiTM berkenaan merupakan pendekatan transformasi pendidikan yang memberi manfaat kepada Bumiputera.

“Lebih ramai Bumiputera bakal disediakan untuk bidang profesional dan berkemahiran tinggi seiring permintaan pasaran kerja masa kini dan hadapan.

“Ia juga merupakan pendekatan berkesan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial pada jangka panjang sekali gus membolehkan lebih ramai Bumiputera turut serta mendapat limpahan status negara berpendapatan tinggi yang bakal dicapai menjelang tahun 2020,” katanya.

Wednesday, September 18, 2013

Perak akui tidak rela berputih mata

PERAK akan bermain bermati-matian membenam cabaran Kedah pada saingan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh hari ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemenangan sangat penting dalam usaha memastikan laluan ke suku akhir semakin selesa.

Jurulatih Perak, Mohd. Azraai Khor Abdullah berkata, kekalahan 1-2 kepada Lion XII di Stadium Jalan Besar sebelum ini menyebabkan skuad Seladang tiada pilihan lain selain memastikan tiga mata penuh dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan tersebut.

“Walaupun berkongsi tujuh mata dengan pasukan Sarawak di kedudukan teratas kumpulan D, ia bukan jaminan Lion XII dan Kedah tidak mampu memintas pada saat-saat akhir.

“Kita tidak ada pilihan ada selain menewaskan Kedah kalau tak mahu berputih mata,” katanya kepada Kosmo! di Ipoh semalam.

Mohd. Azraai berkata, pemain-pemain sudah melupakan kontroversi kekalahan dengan Lion XII dan akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih kemenangan.

Tambah beliau, skuad Kejor Yop Kejor juga mahu memastikan rekod bersih dua kemenangan terhadap Sarawak dan Lion XII di Stadium Perak dipertahankan.

“Lagipun kita mahu menebus kembali kehampaan pada perlawanan terdahulu di Stadium Darul Aman (Alor Setar) yang kita dinafikan kemenangan berikutan gol penyamaan Kedah pada minit-minit akhir perlawanan,” katanya.

Begitupun, Mohd. Azraai menegaskan, beliau tidak pernah memandang rendah kemampuan Kedah biarpun pasukan negeri jiran tersebut beraksi di Liga Perdana.

Menurut beliau, saingan Piala Malaysia adalah kancah pertandingan yang berbeza dan ia dibuktikan skuad Kenari setakat ini berjaya mengutip tiga mata dan masih berpeluang mencuri slot suku akhir.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Azraai membayangkan akan menurunkan pemain tengah, Mohd. Nasir Basharuddin yang baru membantu skuad Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka.

“Saya bangga dengan dia (Mohd. Nasir), pertama kali dipanggil menyertai Harimau Muda tetapi turut menjaringkan gol pada perlawanan antarabangsa pertamanya (ketika Harimau Muda menewaskan Thailand 3-0).

“Insya-Allah dia akan diturunkan menentang Kedah esok (hari ini),” katanya.

Jenazah pemuda mati tersepit dikebumikan

IPOH - Jenazah pemuda yang mati tersepit di celah palang tingkap rumah jirannya 20 Julai lalu akhirnya dikebumikan oleh keluarganya selepas 60 hari berada di Rumah Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Mayat Sherul Aizam, 27, dituntut bapanya, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuad, 50, pada 11 pagi sebelum di solat jenazah di rumah keluarganya di Manjoi di sini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap di sini pada pukul 12 tengah hari ini.
"Naluri kebapaan saya tetap mengatakan sesuatu tidak kena dengan punca kematian anak saya.
"Saya tetap akan berjuang mendapatkan keadilan untuk dia ( Sherul Aizam) menerusi lunas undang-undang," kata Mohd. Damanhuri ketika ditemui di sini hari ini. - KOSMO!

Monday, September 16, 2013

Perak terima pelaburan RM1.7 bilion

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Perak dijangka menerima pelaburan asing me nerusi pengembangan operasi syarikat luar yang sedia ada  bertapak di negeri tersebut berjumlah RM1.7 bilion men jelang akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pem bangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khaled berkata, penambahan pelaburan dari firma  asing dalam sektor berasaskan getah, elektronik dan sumber  asli tersebut merupakan perkembangan yang positif.

“Ia membuktikan kepimpinan dan kestabilan politik negeri  dan negara diyakini pelabur luar,” katanya selepas me rasmikan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)  Nihon Superior (M) Sdn. Bhd. di Zon Perdagangan Bebas  Jelapang Dua, Silibin di sini semalam.

Turut hadir Presiden Nihon Superior Co. Ltd., Tetsuro  Nishimura, Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Toshiro Nis himura dan Ketua Eksekutif Invest Perak, Datuk Mu hammad Hafni Ibrahim.

Mohamad Zahir berkata, pembukaan Pusat R&D oleh  Nihon Superior yang merupakan  syarikat pengeluar produk  berasaskan logam yang berasal dari Osaka, Jepun itu adalah  satu contoh pengembangan pelaburan firma asing ke Pe rak.

Tambah beliau, pusat yang dilengkapi kelengkapan cang gih seperti mikroskop pemgimbas elekron (SEM), penguji  keteguhan, relau elektrik dan ketuhar udara bernilai lebih  RM1 juta tersebut dibina berikutan peningkatan permintaan  pelanggan syarikat berkenaan di pasaran Asia Tenggara.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Zahir membe ritahu setakat enam bulan pertama tahun ini kerajaan negeri  Perak melalui Invest Perak telah meluluskan pelaburan baru  asing berjumlah RM650 juta.

Tambah beliau, antara sektor yang terlibat dalam pe laburan yang baru diterima itu ialah pengangkutan, getah  dan elektronik.

“Antara faktor menarik firma asing melabur di Perak ialah  kemampuan kita menyedia modal insan berkemahiran tinggi  mengikut permintaan industri mereka.

“Ia berikutan kerjasama stragetik kerajaan negeri Perak  bersama beberapa institusi pengajian tinggi dan institusi  kemahiran seperti Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec)  Kamunting, Taiping sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Sunday, September 15, 2013

Damanhuri tetap enggan kebumikan mayat anak

IPOH - Bapa kepada Sherul Aizam, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat tetap dengan pendirian untuk tidak mengkebumikan jenazah anaknya selagi prosedur undang-undang berkaitan punca kematian pemuda itu tidak diselesaikan.

"Saya sudah berbincang dengab penguam, Mohd. Fitri (Asmuni) tadi (semalam). Kami sepakat untuk memfailkan rayuan (tentang keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bedah siasat kedua) di Mahkamah Rayuan (Putrajaya) esok (hari ini).

"Biarlah selesai (prosedur perundangan) dulu, baru kebumikan anak saya," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Ekoran keputusan itu, mayat Sherul Aizam, 27, yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz, Silibin di sini 20 Julai lalu dijangka terus berada di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk tempoh lebih lama.

Sehingga hari ini, jenazah Sherul Aizam telah disimpan di bilik mayat HRPB selama 52 hari.

Mohd. Damanhuri, 50, berkata, usaha untuk memfailkan rayuan bukan bermaksud tidak menghormati keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani tetapi bagi mendapatkan keadilan buat anaknya.

"Itu hak beliau (menolak permohonan bedah siasat kedua), namun saya tetap memperjuangkan hak saya sebagai bapa bagi mendapatkan keadilan untuk anak saya," katanya.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.

Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan lembam terutama pada leher dan dada.

Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherul Aizam yang didakwa cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap  dapur kediaman itu kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Ops Cantas bukan operasi rasis

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa pasukan itu bersifat perkauman dengan menyasarkan kaum-kaum tertentu ketika membuat tangkapan dalam operasi Ops Cantas Khas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana statistik menunjukkan tangkapan tertinggi terdiri daripada mereka dalam kalangan kaum Melayu.
“Kita tangkap paling ramai Melayu iaitu 15,000 orang berbanding kaum India iaitu 3,000 orang. Adakah itu rasis? Jangan membuat tuduhan (perkauman) kerana ia tuduhan yang jahat.
“Kami menjalankan tanggung jawab mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif National Blue Ocean Strategy : Go Safety Points di Stesen Minyak Petron dekat Jalan Khucai Lama di sini semalam.

Menurut Khalid, bagi kes tembak di Cheng, Melaka pada Rabu lalu misalnya, pihaknya melepaskan tembakan ke atas dua lelaki disyaki ahli Geng 06 apabila mereka bertindak agresif melepaskan tembakan ke arah polis.

"Suspek bertindak ganas. tidak mungkin kita akan berpantun dahulu sebelum bertindak," katanya.

Jelas beliau, sejak Ops. Cantas Khas dilancarkan pada 17 Ogos lalu, seramai 155,980 individu telah diperiksa manakala 6,515 ditahan di seluruh negara.

Khalid memberitahu, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 130 individu akan dituduh di mahkamah mengikut Akta Pertubuhan 1960 iaitu terlibat dalam kumpulan yang telah diharamkan kerajaan manakala 50 orang akan didakwa mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

"Kita masih belum berpuas hati selagi jenayah masih ada..pelbagai lagi inisiatif dalam memerangi jenayah akan dilaksanakan secara berterusan termasuk mengesan kepala gangster," kata beliau.

Sementara itu di Pulau Pinang, polis menahan empat lelaki disyaki ahli Geng 04 dalam operasi di lima buah premis hiburan di sekitar bandar itu semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Komisioner Mazlan Kesah, pemeriksaan mendapat keempat-empat suspek yang berusia 20 tahun hingga 30 tahun itu memiliki tatu pada badan.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tiga batang rotan, cota dan sejumlah dadah.

Di Perak pula, seramai 23orang termasuk 15 lelaki dipercayaiu anggota kumpulan kongsi gelap ditahan di empat daerah di negeri itu semalam.

Kesemua suspek diberkas menerusi Ops. Cantas Khas itu disiasat mengikut Seksyen 43, Akta Pertubuhan 1960.

Thursday, September 12, 2013

Malakoff anjur program sosial korporat di sekolah

KERJA SOSIAL. Syarikat penjana tenaga bebas, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) telah menganjurkan Program Melentur Buluh di Sekolah Kebangsaan (SK) Segari, Lumut, Perak baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Zainal Abidin Jalil berkata, program tanggungjawab sosial korporat tersebut melibatkan seramai 96 pelajar sekolah.
Beliau berkata, kakitangan Malakoff bergotong-royong menaik taraf dan menceriakan perpustakaan di sekolah tersebut bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan murid-murid.
"Sebagai salah sebuah daripada 10 sekolah angkat Malakoff, pengurusan SK Segari turut menerima bantuan kewangan tahunan sebanyak RM200,000 bagi menjalankan aktiviti peningkatan pencapaian akademik," katanya.

Perpustakaan Perak dapat 708 komputer riba

AGIH. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Perak menyumbang 708 komputer riba 1Malaysia kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak di Dewan Bandaran, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua Pejabat SKMM Perak, Mohd. Faizal Azizan berkata, pemberian komputer riba bernilai RM778,800 itu merupakan inisiatif bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.
Beliau berkata, kemudahan terbabit akan diagih-agihkan kepada individu dan 56 buah perpustakaan desa di seluruh negeri tersebut menerusi program Gerbang Ilmu.
"Ia antara strategi untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah Perak yang kini pada kadar 56.7 peratus," katanya.

Permohonan bedah siasat ditolak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan seorang peniaga, Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya, Sherul Aizam yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz, Silibin pada 20 Julai lalu.
Hakim Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian selepas mendapati permohonan afidavit yang dihantar menerusi peguam, Mohd. Fitri Asmuni tersebut tidak berasas.
“Adakah keputusan bedah siasat kedua boleh memenuhi kehendak pemohon? Jika tidak, kenapa hendak diteruskan?
“Laporan perubatan (keputusan bedah siasat) pertama direkod dengan teliti kawasan-kawasan lebam. Punca kematian disahkan akibat postural asphyxia (sesak nafas akibat tersepit) dan kesan tiga jenis dadah yang terdapat dalam badan si mati.
“Lebam itu tidak menyebabkan kematian,” jelas beliau ketika membacakan penghakiman di sini semalam.

Zainal Adzam menjelaskan, prosedur bedah siasat kedua tersebut jika diteruskan adalah perbuatan sia-sia kerana ia tidak mampu untuk memenuhi kehendak keluarga yang mahu mendapatkan kepastian terdapat unsur jenayah pada kesan lebam pada badan si mati.

Dalam pada itu, Zainal Adzam juga berkali-kali menegur Mohd. Fitri agar memberi nasihat yang betul dan jelas kepada anak guamnya serta tidak mengemukakan hujahan hanya berdasarkan cakap-cakap semata-mata.

Beliau berkata, institusi kehakiman terikat dengan Akta Keterangan 1950 yang hanya mengiktiraf fakta keterangan dan hujahan berdasarkan cakap-cakap tidak diambil kira.

"Mahkamah tidak boleh arahkan sewenang-wenang doktor hospital kerajaan mahupun swasta lakukan bedah siasat tanpa bukti kukuh.

"Peguam patut beri nasihat yang jelas kepada anak guam anda. Pohon perintah inkues di Mahkamah Majistret mengikut Sesyen 337, Kanun Acara Jenayah, itu cara undang-undang sebenar,"katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amri Johari dalam hujahan balasnya sebelum itu berkata, pihak pendakwaan tidak ada halangan untuk membenarkan proses bedah siasat kedua terhadap jenazah si mati.

Bagaimanapun kebenaran itu ditawarkan dengan syarat bedah siasat itu tidak boleh dilakukan oleh oleh doktor hospital kerajaan dengan kos bedah siasat ditanggung pihak keluarga dan jenazah dikebumikan segera setelah prosedur tersebut selesai.

Angkara pemandu kereta cilik

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila jasadnya ditemui dalam keadaan terduduk secara melutut dihimpit ke dinding rumah teres manakala kedua-dua belah tangan memegang selipar di Taman Kerian, Parit Buntar di sini semalam.
Lebih menyedihkan apabila tragedi pada pukul 12.30 tengah hari itu berlaku selepas abang mangsa yang berusia empat tahun menghidupkan enjin kereta bapanya sebelum kanak-kanak itu memasukkan gear undur.
Tindakan si abang itu menyebabkan kereta jenis Mazda tersebut bergerak secara mengundur lalu merempuh si adik yang berada di belakang kereta untuk memakai selipar.

Mangsa yang terbunuh Mohd. Adam Mohd. Ali manakala abang mangsa, Mohd. Aiman tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Fauzi Mat Nayan berkata, sewaktu kejadian kenderaan yang diletakkan di dalam kawasan rumah itu tanpa berkunci dari luar oleh bapa kanak-kanak berkenaan, Mohd. Ali Hussin, 53.

"Bapa mangsa baru pulang menghantar isterinya berniaga di Alor Pungsu, Bagan Serai dan masuk sebentar ke dalam rumah untuk mengambil barang sebelum bercadang menghantar pula seorang anak perempuannya ke sekolah.

"Mohd. Aiman yang sebelum itu bermain di luar kereta kemudian masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat duduk pemandu lalu menghidupkan enjinnya.

"Mohd. Aiman kemudian dipercayai termasuk gear undur yang kemudian menyebabkan kenderaan itu bergerak lalu merempuh Mohd. Adam yang berada di belakang kereta itu," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, Mohd. Ali yang menyedari enjin keretanya dihidupkan bergegas keluar dari rumah namun terlambat apabila kereta tersebut sudah merempuh Mohd. Adam yang dikatakan sedang mengambil selipar untuk dipakai.

"Kanak-kanak itu ditemui mati di tempat kejadian dengan badannya dihimpit ke dinding rumah. Mangsa terbunuh akibat kecederaan parah di kepala," kata beliau.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Difahamkan Mohd. Adam merupakan anak bongsu daripada lima beradik manakala Mohd. Aiman anak keempat.

Semasa kejadian kereta itu diletakkan dalam posisi bahagian depan kenderaan menghala ke luar rumah.

Wednesday, September 11, 2013

Dua penyamun kempunan samun ATM

IPOH - Dua penjenayah terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila cubaan mereka untuk meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank gagal dalam kejadian di Persiaran Greenhill di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kejadian itu disedari oleh kakitangan bank pada pukul 8.05 pagi apabila dia melihat mesin ATM tersebut mempunyai kesan terbakar selain kamera televisyen litar tertutup (CCTV) disembur dengan cat biru.

Katanya, penelitian pada CCTV mendapati dua perompak yang menutup kepala dengan baju T cuba meletupkan mesin ATM dengan gas oxy-acetylene dan menyembur CCTV dengan cat pada pukul 3.30 pagi.

"Suspek bagaimanapun melarikan diri dengan sebuah kereta selepas mesin ATM tersebut gagal dipecahkan. Kita sedang mengenal pasti identiti mereka," katanya.

Anuar juga menasihatkan pihak bank agar tidak melekatkan sebarang poster pada cermin bilik ang menempatkan mesin ATM kerana ia memudahkan penjenayah melakukan rompakan tanpa disedari sesiapa.

Permohonan bedah siasat kedua Sherul Aizam ditolak

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Mohd. Damansuri Mohd. Fuat, 50, untuk melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat anaknya, Allahyarham Sherul Aizam yang mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur sebuah rumah di Taman Saz di sini 20 Julai lalu.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan demikian selepas mendapati permohonan yang difail melalui peguam Mohd. Fitri Asmuni itu tidak berasas.
"Mahkamah tidak boleh benarkan kerana tujuan bedah siasat untuk mengetahui sama ada kesan lembam mempunyai unsur jenayah adalah kerja sia-sia.
"Bukan kepakaran doktor (pakar patologi) untuk mengesahkan unsur jenayah. Berdasar peruntukan undang-undang, prosedur sepatutnya memohon perintah inkues di Mahkamah Majistret," jelas beliau di sini hari ini. - KOSMO!

Tuesday, September 10, 2013

Empat individu disyaki pengikut Syiah ditahan

IPOH - Sekeping potret Saidina Hussein dan batu karbala menjadi bukti yang membawa kepada penangkapan empat individu termasuk seorang wanita yang dipercayai pengikut ajaran Syiah di Bagan Serai dekat sini semalam.

Dalam serbuan di tiga lokasi berasingan antara pukul 7 pagi hingga 8 pagi itu, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 41 tahun hingga 49 tahun itu ditahan di rumah masing-masing.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ahmad Nizam Amiruddin berkata, serbuan pertama di Sungai Bogak, Bagan Serai dekat sini melibatkan penahanan sepasang suami isteri yang disyaki pengikut ajaran Syiah.

“Dua lagi lelaki turut ditahan di rumah masing-masing di Kampung Sungai Rapoh dan Sungai Rawa, Bagan Serai dekat sini tidak lama selepas itu.

“Pemeriksaan di dalam rumah keempat-empat suspek menjumpai buku, cakera padat, gambar dan baju T berkaitan Syiah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasa JAIPk di sini hari ini. - KOSMO!

Asir pelari dahulu, kini dan selamanya

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

MELIHAT kelibat warga emas ini masih gigih berlatih berlari di sekitar bandar raya Ipoh, Perak hampir setiap petang biarpun sudah dimamah usia 73 tahun mengagumkan ramai orang.
Di sebalik pekerjaan sekarang sebagai peniaga sayur di Pasar Buntong, Ipoh, individu yang bernama Datuk Asir Victor ini sebenarnya adalah Raja Pecut bagi kategori acara 400 meter pada era 1960-an.

Sepanjang 14 tahun menjadi sandaran negara dalam sukan olahraga terutama acara 400 meter dan 4 x 400 meter lari berganti-ganti, Asik telah merangkul 11 pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa di peringkat Sukan Sea, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Malah bekas pemegang rekod kebangsaan bagi acara 400 meter dengan catatan 47.3 saat sebelum dipecahkan Nordin Jadi pada tahun 1987 pernah beraksi tiga kali di kancah Sukan Olimpik iaitu Tokyo (1964), Mexico (1968) dan Munich (1972).

Mengimbas kembali penglibatannya dalam olahraga, Asir memberitahu beliau mula serius untuk menjadi atlet ketika berusia 16 tahun.

“Waktu itu saya yang mewakili Sekolah St. Micheal, Ipoh sering memenangi acara lari 400 meter di peringkat daerah dan negeri.

“Ia meningkatkan keyakinan saya untuk atlet negara. Masa itu mana ada jurulatih, jadi hampir setiap hari selepas pulang dari sekolah, saya berlatih sendirian di padang Taman Coronation, Ipoh (sekarang dikenali sebagai Taman DR Seenivasagam) ,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Buntong, Ipoh baru-baru ini.

Usaha gigih Asir itu tidak sia-sia apabila kelibatnya mula menjadi perhatian pegawai dan jurulatih olahraga negara setelah menyerlah dalam satu kejohanan peringkat kebangsaan yang diadakan di Padang Ipoh pada 1958.

Beliau mengejutkan ramai pihak apabila muncul pemenang pingat emas bagi acara 400 meter biarpun terpaksa berlari berkaki ayam ekoran ketidakmampuan membeli kasut sukan.

“Sejak itu saya terpilih atlet kebangsaan dan mula mewakili negara dalam Sukan Seap (sekarang dikenali Sukan Sea) di Rangoon, Myanmar pada 1961 ketika berusia 21 tahun.

“Dalam penyertaan sulung itu, saya menggondol dua pingat emas dalam acara kegemaran 400 meter dan 4 x 400 meter,” jelas pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) tersebut.
Berikutan sumbangan cemerlang Asir dalam perkembangan sukan negara, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah berkenan mengurnia pingat Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada beliau pada tahun 2010.

Asir berkata, biarpun mengundurkan diri sebagai atlet kebangsaan pada usia 34 tahun selepas Sukan Asia di Tehran, Iran (1974) kerana masalah kecederaan, kecintaannya kepada sukan olahraga tidak pernah pudar.

Ujarnya, sejak 37 tahun lalu bermula tahun 1976, beliau tidak pernah ketinggalan menyertai kejohanan olahraga bagi kategori veteran di peringkat antarabangsa hampir setiap tahun.

Antara kejohanan veteran yang disertainya ialah Kejohanan Olahraga Veteran Dunia, Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia dan Sukan Olahraga Veteran Asia.
“Terbaru saya menyertai Kejohanan Olahraga Veteran Dunia di Porto Alegre, Brazil pada Oktober tahun lalu.

“Kebanyakan kos penyertaan saya di kejohanan peringkat veteran itu dibiayai sendiri dengan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan gratuiti. Semuanya demi kebanggaan mengibarkan bendera negara,” kata bapa kepada dua anak lelaki tersebut.

Asir memberitahu, kenangan paling manis sepanjang penyertaannya dalam kejohanan olahraga peringkat veteran ialah berjaya mencipta rekod dunia bagi acara 400 meter bagi kategori tersebut dengan catatan 51.9 saat.
Kejayaan yang dicipta beliau pada Kejohanan Olahraga Veteran Dunia di Durban, Afrika Selatan pada tahun 1997 itu telah membakar lagi semangatnya untuk terus bergiat dalam sukan olahraga sehingga ke akhir hayat.

Beliau berkata, kecintaan mendalam pada sukan olahraga, disiplin yang tinggi dan dorongan kuat daripada ibunya, V. Syriapuspan, 80-an, merupakan resipi kejayaan beliau selama ini.

“Pesan saya kepada atlet muda, anda tidak akan berjaya tanpa disiplin dan dedikasi. Kita juga perlu persatuan olahraga yang kuat untuk mengembalikan kegemilangan silam,” ujarnya.

Saturday, September 7, 2013

Bentley Datuk Seri hilang 8 jam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Sebuah kereta mewah Bentley bernilai RM1.2 juta ditemui semula selepas lapan jam dilarikan penjenayah dari sebuah banglo di Jalan Watson berhampiran Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, kereta berwarna kelabu kebiruan milik pemaju hartanah bergelar Datuk Seri itu dijumpai di sebuah bengkel membaiki kereta di Menglembu pada pukul 12 tengah hari hari sama.
“Seorang lelaki berusia 20-an yang berada di dalam bengkel tersebut ditahan untuk membantu siasatan mengenai kecurian kereta mewah itu.
“Polis percaya perbuatan melarikan kereta Bentley itu dilakukan satu sindiket yang membabitkan lebih daripada seorang anggota. Baki suspek lain sedang diburu,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, kereta mewah yang diletak di kawasan banglo pemiliknya dipercayai dilarikan seorang lelaki pada pukul 4 pagi.

Pemilik kereta tersebut terjaga daripada tidur selepas dia mendengar bunyi bising di luar kediamannya.

"Sewaktu membuka pintu rumah, tuan rumah nampak seorang lelaki yang memakai topeng muka sedang  menghidupkan kereta Bantley miliknya.

"Pemilik kereta itu kemudian masuk ke dalam rumah dan mengambil pistol miliknya sebelum melepaskan tiga das tembakan ke udara sebagai amaran kepada penjenayah tersebut," kata beliau.

Anuar memberitahu, suspek yang terkejut dengan bunyi tembakan itu telah mengundur kereta Bentley itu secara panik dan hampir merempuh pemiliknya.

"Pemilik kereta yang sempat mengelak daripada dirempuh melepaskan enam das lagi tembakan ke udara namun suspek bertindak nekad dengan merempuh pintu pagar banglo itu sebelum memecut laju melarikan kereta mewah berkenaan," kata beliau.

Pemeriksaan polis di hadapan banglo itu menjumpai sebuah kereta Honda CRV yang menggunakan nombor plat palsu dipercayai milik suspek.

"Honda CRV itu didapati kereta curi yang dilaporkan hilang semalam (kelmarin) di Kampung Rapat di sini," katanya.
Anuar berkata, pemeriksaan di dalam kereta Honda CRV itu menemui kad pengenalan milik Wong Kai Yew berumur 31 tahun di dalam sehelai seluar.

Sehubungan itu, beliau meminta lelaki tersebut tampil untuk membantu siasatan polis mengenai penemuan pengelaan dirinya.