Translate

Sunday, August 20, 2023

Pembantu kanan PBT songlap RM200,000 diberkas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu hari ini bagi membantu siasatan menyalahguna kuasa.

Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 50-an itu disyaki meluluskan pengeluaran dana kebajikan kesatuan kakitangan PBT itu untuk kegunaan peribadi melibatkan amaun keseluruhan hampir berjumlah RM200,000.

Beliau berkata, suspek yang juga bendahari kesatuan terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu dalam dari tahun 2017 hingga 2020 melibatkan lebih 30 transaksi.

“Dia ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu pada pukul 12.30 tengah hari tadi,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM itu berkata, suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

Istiadat pengisytiharan Menteri Besar Terengganu petang ini

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – lstiadat pengisytiharan dan pelantikan Menteri Besar Terengganu bakal berlangsung di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini petang ini.

Dalam istiadat pada pukul 2.30 petang itu, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Terengganu juga akan turut mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka terus diberi kepercayaan sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua.

Seramai 10 ADUN termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga bakal dilantik sebagai Exco.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu iaitu 27 dari Pas dan lima (Bersatu).

Kesemua Exco kerajaan negeri Terengganu memenangi kerusi DUN masing-masing kecuali Datuk Dr. Alias Razak dan Tengku Datuk Hassan Tengku Omar yang digugurkan untuk memberi laluan muka baharu. – KOSMO! ONLINE

Ahmad Samsuri angkat sumpah Menteri Besar Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua di Balairong Seri Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Redang dari Pas itu selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang.

Selain Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas, 10 ADUN Perikatan Nasional (PN) juga melafaz sumpah jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco Terengganu buat penggal ke-16.

Mereka terdiri daripada sembilan wakil rakyat Pas dan seorang ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Empat muka baharu yang dilantik sebagai Exco Terengganu Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris yang juga ADUN Kijal serta Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Burok), Hishamuddin Abd. Karim (Tepoh) dan Maliaman Kassim (Ajil) dari Pas.

Enam Exco Terengganu yang dikekalkan Datuk Satiful Bahri Mamat (Paka), Dr. Azman Ibrahim (Jabi) dan Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam).

Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Man (Cukai) dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman (Kota Putera) turut mengangkat sumpah sebagai Exco Terengganu.

Empat Exco Terengganu yang digugurkan pula adalah Datuk Mohd. Nor Hamzah yang merupakan ADUN Bukit Payung dan Dr. Mamad Puteh (Kuala Berang).

Dua lagi iaitu Datuk Dr. Alias Razak dan Tengku Datuk Tengku Hassan Tengku Omar pula tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk memberi laluan kepada muka baharu.

Ahmad Samsuri, 53, yang merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) mula menjawat Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu, PN mencipta sejarah menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu.

Kejayaan 27 calon Pas dan lima calon Bersatu itu menjadikan DUN Terengganu pertama kali tanpa pembangkang sejak kemerdekaan. – KOSMO! ONLINE

Kerajaan negeri Terengganu terus bekerja gear tiga mulai esok

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pembahagian portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco Terengganu akan diumumkan esok.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengumuman itu akan dilakukan pada Mesyuarat Exco Mingguan pertama.

“Saya akan persembahkan cadangan portfolio itu kepada (Sultan Terengganu) Sultan Mizan Zainal Abidin esok sebelum mempengerusikan Mesyuarat Exco Mingguan pertama pada pukul 10 pagi.

“Exco-exco (Terengganu) boleh terus bekerja selepas itu. Kami lakukan dengan pantas kerana jika penggal pertama, kita bergerak dengan gear satu, kali ini terus gear tiga,” katanya di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengangkat sumpah pelantikan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut melafaz sumpah jawatan, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk empat muka baharu yang dilantik Exco kerajaan negeri Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, portfolio dalam MMKN Terengganu kelak akan diselaraskan agar sepadan di peringkat kementerian.

Dalam pada itu, ADUN Ru Redang itu berkata, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 merupakan fasa penting bagi Terengganu kerana projek Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada tahun 2017. – KOSMO! ONLINE.

Kerajaan Terengganu beradaptasi suburkan amalan semak imbang tanpa pembangkang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu akan beradaptasi dengan senario ketiadaan wakil pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, adaptasi itu penting bagi memastikan amalan semak dan imbang
terus subur dalam kerajaan pimpinannya.

Beliau berkata, antara cadangan yang akan dipertimbangkan ialah melantik Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lantikan bagi mewakili suara kelompok tertentu yang masih tiada dalam DUN Terengganu.

“Kita tidak boleh salahkan rakyat (yang memilih dalam PRN), kerajaan negeri (Terengganu) akan lakukan adaptasi untuk memastikan semak dan imbang terus berlaku.

“Ini mungkin perkara baharu sekarang tetapi dahulu ada kerajaan negeri di negara ini, 20 tahun tiada pembangkang namun pentadbiran masih berjalan dengan baik,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Samsuri berkata, wakil rakyat kerajaan yang tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga akan digalakkan untuk melakukan kritikan di dalam persidangan DUN demi kebaikan pentadbiran.

Jelas itu, dalam amalam demoraksi moden kini, kerajaan negeri pimpinannya terbuka menerima sebarang kritikan dan teguran walaupun oleh wakil rakyat parti sendiri. – KOSMO! ONLINE.

Gaji sektor awam tetap naik, ketepi persepsi sinis netizen

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin kerajaan akan menepati janji menaikkan gaji sektor awam menjelang pembentangan Bajet 2024 pada Oktober depan.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat percaya kata-kata sinis netizen yang mencadangkan inisiatif tersebut dibatalkan ekoran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu tidak akan mempengaruhi keputusan kerajaan.

“Ini pandangan yang serong dan tidak berpelembagaan kerana anggota Perkhidmatan Awam telah melakukan tugas dan kerajaan ini majikan kami.

“Kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan gaji, kami amat yakin kerajaan mampu untuk melaksanakannya. Keputusan PRN dilihat positif atau negatif itu tajuk lain,” katanya pada program Perhimpunan bersama Penjawat Awam Terengganu di sini hari ini.

Adnan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini jelas kekal komited dalam merealisasikan inisiatif meningkatkan gaji penjawat awam terbabit.

Jelas beliau, komitmen berterusan menunjukkan Anwar amat prihatin dan memahami kesukaran pejawat awam khususnya yang berada dalam kumpulan gaji terendah.

“Sistem saraan baharu sedang giat dijalankan (Jabatan Perkhidmatan Awam) dengan sesi libat urus melibatkan enam kluster telah selesai.

“Harapan kami agar permintaan seperi gaji minimum RM1,800, penstrukturan tangga gaji dan kenaikan pangkat dapat dipenuhi dalam sistem saraan baharu itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Saturday, August 19, 2023

Kereta peminjam wang ditembak ketika jumpa pelanggan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Tiga pekerja syarikat peminjam wang cemas apabila kereta Perodua Bezza dinaiki mereka tiba-tiba diserang individu tidak dikenali di Rhu Sepuluh di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.55 tengah hari itu, salah seorang mangsa yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 36 tahun cedera terkena tembakan pada bahagian belakang bahu kanan.

Difahamkan sewaktu kejadian, mereka sepatutnya menemui bakal pelanggan di belakang sebuah pasar di Rhu Sepuluh.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza mereka telah dikejar dua kenderaan lain jenis Proton Persona dan Perodua Myvi dipandu individu tidak dikenali.

Beliau berkata, dua das tembakan dipercayai menggunakan pistol buatan sendiri telah dilepaskan ke arah kereta dinaiki yang mangsa naiki.

“Kereta mangsa kemudiannya terbabas lalu terbalik berhampiran sebuah kedai serbaneka.

“Siasatan awal mendapati dua kereta dinaiki suspek yang memakai cermin gelap dan ditanggalkan nombor pendaftaran memecut laju ke arah utara (Besut),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mazli berkata, kes disiasat mengikut Sekyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971.

Sementara itu, seorang pekerja kedai serbaneka, Umi Suhairah Mohd. Zaidu, 31, terkejut dua daripada mangsa yang berlumuran darah tiba-tiba meluru masuk ke premis perniagaan sebaik ditimpa kemalangan.

Thursday, August 17, 2023

Penularan influenza masih terkawal

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan untuk menawarkan suntikan vaksin influenza kepada individu tempatan yang berisiko dijangkiti penyakit tersebut.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, walaupun penularan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) tempatan setakat ini masih terkawal, gejala itu perlu dipandang serius kerana turut membawa risiko kematian.

“Begitupun buat masa ini, vaksin influenza tersebut akan diberikan kepada pekerja-pekerja kesihatan terlebih dahulu.

“Kalau ada bajet (lebih), kita akan beri (suntikan vaksin influenza) kepada rakyat yang berisiko,” katanya selepas merasmikan Klinik Kesihatan Manir di sini hari ini.

Kosmo! 2 Ogos lalu melaporkan, seramai kira-kira 150,000 pekerja kesihatan seluruh negara akan menerima suntikan vaksin inflluenza bagi melindungi kesihatan petugas barisan hadapan terbabit.

Zaliha berkata, vaksin influenza terbabit masih dalam proses perolehan yang dijangka selesai dalam tempoh kurang dua bulan lagi.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu klinik kesihatan seluruh negara telah diarahkan untuk mengaktifkan pusat demam bagi melakukan saringan terhadap individu bergejala.

“Berdasarkan Minggu Epidemiologi ke-30 iaitu dari 23 Julai hingga 30 Julai lalu, secara purata, enam daripada 100 pesakit yang dirujuk ke pusat kesihatan seluruh negara disahkan menghidap ILI,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, August 16, 2023

6,957 anggota keselamatan Terengganu mengundi awal

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 6,957 anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka di Terengganu menunaikan tanggungjawab mengundi awal untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu hari ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, ia merangkumi 4,395 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (1,884) dan ahli keluarga PDRM dan ATM (678).

“Sebanyak 35 saluran mengundi awal telah dibuka di seluruh Terengganu termasuk lima di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu di sini.

“Perjalanan pengundian awal sejak pukul 8 pagi tadi (semalam) berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar di IPK Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan memberitahu, seramai 4,668 anggota dan pegawai polis akan bertugas di seluruh negeri ini pada hari pengundian, Sabtu ini.

Tambah beliau, seramai 1,273 anggota dan pegawai polis pula akan terlibat dalam pasca PRN bagi mengawal keselamatan seluruh negeri ini.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pengundi yang layak tidak perlu bimbang untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada 12 Ogos ini.

“Saya juga mengingatkan calon dan wakil parti bertanding agar sentiasa mematuhi peraturan pilihan raya ditetapkan dan jangan melakukan sebarang provokasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kerajaan Perpaduan tidak pernah pinggir Islam, Melayu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tuduhan kononnya kerajaan Perpaduan pimpinannya membelakangkan Islam dan Melayu.

Beliau berkata, dakwaan itu merupakan gerakan fitnah bagi menjatuhkan kerajaan pimpinannya.

“Kerajaan Perpaduan yang saya pimpin tidak izinkan orang curi duit, tidak izinkan hukum orang sewenang-wenang, masih tetap islam, jaga kepentingan Melayu dan Bumiputera.

“Jadi tidak adil fitnah kita tinggalkan Islam dan agama dan kelompok tertentu saja jaga Islam dan agama,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Timur.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan Perpaduan meletak harapan tinggi terhadap Sahabat AIM untuk menjaga integriti agensi berkenaan.

Jelas beliau, AIM sangat penting bagi menjaya usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup rakyat dan menoktahkan kemiskinan. – KOSMO! ONLINE

Kerajaan akan perkenal mekanisme tingkat gaji sektor swasta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik bagi merangsang kenaikan kadar gaji dan upah pekerja sektor swasta di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara cadangan yang sedang difikirkan secara serius ialah sebahagian kenaikan gaji sektor swasta itu ditampung oleh kerajaan.

“Kita ada kaedah mekanisme untuk memastikan dengan apa cara gaji pekerja swasta ditingkatkan.

” Kita hendak paksa (majikan sektor swasta) tidak boleh, kerajaan hendak cari jalan untuk tampung bayaran langsung kepada sektor swasta. Tidak banyak negara yang buat begini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama Usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Anwar berkata, penelitian kaedah pelaksanaan inisiatif meningkatkan kadar upah pekerja swasta itu sedang berjalan sebelum dibentangkan tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi jaminan limpahan pelaburan besar yang memasuki negara sejak kebelakangan ini akan turut dinikmati pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Kita akan memastikan pelaburan besar ini turut turun ke bawah agar pengusaha
kecil dan sederhana boleh menerima manfaat.

“Negara tidak boleh berbangga dengan pelaburan besar tetapi bergantung dengan usahawan kecil. Ini yang kita tekankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Motif pembunuhan pemandu kereta sewa belum diketahui, suspek tidak stabil

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Siasatan terhadap kes bunuh seorang pemandu kereta sewa pada Khamis lalu masih belum dapat dijalankan ekoran keadaan kesihatan suspek yang masih tidak stabil.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan parah dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa, Mohd. Latif Idrus, 51.

“Suspek mengalami pendarahan dalaman akibat kesan tikaman yang hampir mengenai paru-parunya.

“Dia masih dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan keadaannya masih tidak stabil bagi membolehkan soal-siasat dijalankan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mazli memberitahu, motif kejadian yang meragut nyawa Mohd. Latif tersebut masih belum diketahui.

Kosmo! hari ini melaporkan mayat Mohd. Latif ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan kesan kecederaan pada bahagian leher di tempat duduk belakang kereta sewa miliknya.

Sewaktu kejadian pada pukul 10.56 malam itu, kereta sewa itu dipandu secara melawan arus oleh suspek sehingga melanggar beberapa kenderaan pengguna lain.

Kes pembunuhan itu terbongkar apabila kereta sewa terbabit dikejar orang ramai sebelum terbabas berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini. – KOSMO! ONLINE

Sempat hubungi isteri sebelum dibunuh

 Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF


KUALA TERENGGANU – Seorang isteri tidak menyangka panggilan telefon daripada suami­nya malam kelmarin me­rupakan kali terakhir mereka berhubung sebelum pemandu kereta sewa itu ditemui mati dipercayai dibunuh di dalam kenderaan berkenaan dalam kejadian di Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus di sini.

Noor Azlina Ramli, 41, berkata, suaminya, Mohd. Latif Idris, 51, membuat panggilan telefon itu pada pukul 8 malam untuk memberitahu dia dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan.

Suri rumah itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian me­nimpa suaminya selepas keja­dian itu tular di media sosial.

“Pada hari kejadian, suami keluar pukul 9 pagi untuk mencari penumpang sebelum balik sebentar ke rumah pada pukul 1 tengah hari untuk mengambil anak bongsu, Eliy Syazwani, 16, dari sekolah.

“Arwah kemudian keluar semula pada pukul 2.30 petang untuk menghantar barang ke Kota Bharu,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Parit di sini semalam.

Noor Azlina berkata, sewaktu berhubung dengan Mohd. Latif menerusi panggilan telefon, dia tidak sempat bertanyakan lokasi suaminya ketika itu.

Katanya, sudah menjadi rutin suaminya balik lewat malam sekiranya menghantar penumpang atau barang ke luar Terengganu.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Muhammad Nasha Fikri, 20, menyifatkan bapanya sebagai seorang bapa yang pe­nyayang dan bertanggungjawab.

Katanya, arwah bapanya akan mengambil adiknya, Eliy Syaz­wani dari sekolah setiap hari selain membawa mereka seke­lu­ar­ga­ bercuti pada hujung minggu.

“Tiada perubahan sikap ditunjukkan ayah cuma dia sempat memberitahu ‘nak pergi dah ni’ selepas menghantar adik pulang ke rumah semalam (kelmarin).

“Arwah tidak pernah berpesan begitu sebelum ini tetapi kami tidak syak apa-apa,” katanya.

Sementara itu, kejadian yang menimpa Mohd. Latif itu mula disedari selepas orang ramai curiga mengenai sebuah kereta sewa yang dipandu melawan arus di Seberang Takir di sini.

Dalam kejadian pada pukul 10.56 malam itu, mangsa, Mohd. Latif Idris, 51, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di tempat duduk penumpang belakang.

Sebelum itu, kereta sewa yang dipandu suspek berusia 29 tahun telah dipandu secara melawan arus sehingga melanggar bebe­rapa kenderaan lain berhampiran bulatan Kampung Seberang Takir di sini.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya mengejar kereta sewa terbabit sebelum kenderaan itu dikatakan terbabas di tepi jalan berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini.

Mereka yang menahan suspek dalam keadaan berlumuran darah terkejut menemui mayat mangsa di tempat duduk belakang sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abduo Rahim Md. Din berkata, pemeriksaan awal menjumpai kesan kecederaan parah pada leher Mohd. Latif.

Tambah beliau, suspek juga mengalami kecederaan pada bahagian jari dipercayai akibat pergelutan dengan mangsa.

“Pemeriksaan dalam kereta sewa itu telah menemui sebilah pisau pada pelapik kaki tempat duduk pemandu.

“Setakat ini, motif pembunuhan tersebut masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, suspek yang sedang dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri Terenganu umum cuti Ahad sempena PRN

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengisytiharkan lusa ini sebagai hari kelepasan am, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian cuti bagi memudahkan pengundi yang bekerja di negeri ini pulang mengundi di lima negeri lain yang turut mengadakan PRN esok.

“Keputusan ini dibuat bagi memudahkan pengundi luar yang bekerja di Terengganu untuk pulang mengundi ke Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Ia juga bagi keselesaan kakitangan kerajaan negeri yang akan bertugas sehingga lewat malam membantu SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) di seluruh negeri pada hari pengundian (esok),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, pengumuman cuti itu diharapkan amat memudahkan kepada semua pihak terlibat dalam PRN berkenaan.

Seramai 931,6534 orang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, August 15, 2023

UMT bantu PTPTN tingkat kesedaran bayaran balik

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meningkatkan kesedaran menunaikan pembayaran balik pinjaman dalam kalangan pelajarnya.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, pihaknya juga berhasrat membudayakan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam kalangan pelajar dan kakitangannya.

“Kami komited membantu PTPTN meningkatkan kefahaman dalam kalangan pelajar dan staf terhadap perkhidmatan yang ditawarkan agensi tersebut.

“Kita juga akan mencambah beberapa idea baharu bersama-sama PTPTN untuk membantu masyarakat mencatur masa depan mereka,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama berkenaan bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Mazlan berkata, berdasarkan perjanjian tersebut, UMT akan membantu PTPTN meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan khususnya berkaitan kebajikan pelajar.

Tambah beliau, UMT dan PTPTN juga akan berganding bahu dalam menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) .

“Program CSR itu memberi manfaat kepada pelajar universiti dan masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

PRK Kuala Terengganu: Ahmad Amzad dan Azan selesai membuang undi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi Parlimen Kuala Terengganu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Burung di sini sebentar tadi.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi selesai membuang undi pada pukul 8.27 pagi.

Sementara itu, pencabarnya, Azan Ismail dari Pakatan Harapan (PH) pula mengundi di SK Bukit Besar di sini.

Beliau tiba di sekolah tersebut pada pukul 9 pagi dan selesai membuang undi pada kira-kira 10 minit kemudian.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu terpaksa diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 27 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril membenarkan petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zubir Embong.

Beliau memutuskan demikian selepas bersetuju wujudnya unsur rasuah dalam kempen Pas di kerusi tersebut pada PRU15.

Ahmad Amzad menjadi Ahli Parlimen Kuala Terengganu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018. – KOSMO! ONLINE

PRN: Abdul Hadi selesai membuang undi di SK Rusila

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini sebentar tadi.

Ahli Parlimen Marang itu tiba di pusat mengundi itu pada pukul 8.17 pagi dan selesai membuang undi kira-kira sembilan minit kemudian.

Sebanyak lapan saluran telah dibuka di pusat mengundi tersebut bagi memudahkan proses pengundian 4,651 pengundi berdaftar.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan calon Pakatan Harapan, Suhaimi Sulaiman.

Ahmad Samsuri yang merupakan Naib Presiden Pas merupakan Menteri Besar Terengganu. – KOSMO! ONLINE

Ahmad, Mohd. Amar terlalu lama mentadbir, Kelantan perlu semangat baharu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN






MARANG – Datuk Ahmad Yakob dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah terlalu lama memimpin kerajaan negeri Kelantan alasan Pas bercadang menukar Menteri Besar dan timbalannya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pertukaran kepimpinan tersebut juga bertujuan mewujudkan semangat baharu dalam kerajaan negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, Ahmad sendiri pernah beberapa kali berhasrat untuk mengundur diri berikutan masalah kesihatan sebelum ini.

“Menteri Besar (Ahmad) mengundurkan diri kerana uzur, bahkan dulu pun beliau merayu supaya tidak dilantik (tetapi) kita minta lagi, desak.

“Masa tengah-tengah bertugas pun dia minta (mengundur diri), (beliau) memang keuzuran, berapa kali masuk hospital kena rawatan,” katanya ketika ditemui selepas membuang undi PRN Terengganu di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, permintaan Ahmad akhirnya dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat baru-baru ini.

Tambah beliau, sumbangan Ahmad bagaimanapun masih didambakan Pas sebagai wakil rakyat biasa selepas ini.

“Timbalannya (Mohd. Amar) juga diubah, tidak ada (apa-apa isu) memanglah lama sangat memerintah 30 tahun.

“Letihlah orang yang jalan tugas itu, mesti kena buat giliran (tukar Menteri Besar Kelantan dan timbalan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRN: 4 individu gagal mengundi dakwa maklumat peribadi disalah guna

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU – Polis menerima empat laporan individu mendakwa tidak mendapat membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini kerana maklumat peribadi mereka digunakan pihak lain.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, tiga kes itu dilaporkan di daerah ini manakala satu lagi di Marang.

“Empat individu terbabit mendakwa tidak dibenarkan mengundi sebaik tiba di pusat pengundian kerana kad pengenalan mereka digunakan orang lain.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mazli berkata, secara keseluruhannya, perjalanan proses pengundian PRN di seluruh Terengganu berjalan lancar dan tenang.

Beliau juga menasihatkan orang ramai terutama penyokong parti politik tidak melakukan provokasi pada pengumuman keputusan PRN pada malam ini.

“Jangan juga mengadakan konvoi meraikan kemenangan yang dikhuatiri menganggu lalu-lintas pada malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRN: Idris Jusoh desak Ahmad Zahid berundur

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Veteran UMNO, Tan Sri Idris Jusoh mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur berikutan kekalahan besar dialami parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO wajib memikul bertanggungjawab atas prestasi teruk BN di enam negeri terbabit termasuk Terengganu.

“UMNO kalah teruk di PRN semalam. UMNO kalah 100 peratus di Terengganu. Zahid Hamidi perlu letak jawatan,” katanya menerusi akaun Facebook peribadinya hari ini.

dris merupakan Pengerusi UMNO Terengganu yang menggerakkan Gelombang Biru bagi membolehkan BN kembali merampas kerajaan negeri Terengganu daripada Pas pada 2004.

BN mencapai prestasi buruk dalam PRN-15 apabila memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingi di enam negeri.

Sebanyak 14 kerusi DUN itu dimenangi di Negeri Sembilan manakala BN tewas dalam semua kawasan ditandingi di Terengganu dan Kedah.

Di Terengganu, BN gagal mempertahankan semua 10 kerusi DUN yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ia termasuk di kubu kuat dan tradisi UMNO di Terengganu termasuk Telemung, Kijal, Kuala Besut Hulu Besut, Seberang Takir dan Jertih.

Dua bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Abdul Razif Abd. Rahman juga tumbang mengejut di kawasan masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Monday, August 14, 2023

PRN: Tidak Rasmi – Pas sapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 hari ini.

Kesemua 27 calon Pas dan lima calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang bergaya di kawasan masing-masing.

Kesemua 10 kerusi DUN yang sebelum ini dikuasai Barisan Nasional (BN) berjaya dirampas PN.

Antara pemimpin kanan UMNO Terengganu yang tumbang ialah dua bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman masing-masing di DUN Kijal dan Seberang Takir.

Empat bekas Exco kerajaan negeri Terengganu daripada BN juga kecundang di kubu kuat masing-masing.

Datuk Rozi Mamat tewas di DUN Telemung, Datuk Mohammad Pehimi Yusof (Kota Putera), Datuk Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Datuk Din Adam (Bukit Besi).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pula menang besar di DUN Ru Redang dengan majoriti 17,295 undi. – KOSMO! ONLINE

PRN: Tiada pembangkang di Terengganu

 


Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pas memberi jaminan peranan semak dan imbang tetap akan berlaku walaupun kerajaan negeri Terengganu tanpa pembangkang selepas kejayaan parti itu menyapu bersih 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) biasa akan memainkan peranan menasihati ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Kita akan galakkan budaya nasihat termasuk daripada rakyat sendiri boleh mengkritik kerajaan.

“Suka dimaklumkan bahawa dalam Islam ini walaupun tidak ada pembangkang, ahli-ahli dewan (DUN) boleh mengkritik dan memberi teguran,” katanya di Rusila di sini hari ini.

Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencipta sejarah menyapu bersih semua 32 DUN Terengganu pada PRN-15.

Ia menamatkan badi kerajaan sepenggal yang pernah dialami Pas sewaktu diberi mandat mentadbir pada tahun 1959 dan 1999 sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

PRN: Pas persembah cadangan MB kepada Sultan Terengganu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini bagi mempersembahkan cadangan pembentukan kerajaan negeri Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Redang, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, majlis angkat sumpah Menteri Besar akan dilaksanakan segera setelah menerima perkenan baginda.

Naib Presiden Pas itu berkata, pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) Terengganu yang baharu pula dijangka diselesaikan dalam tempoh seminggu.

“Kita kini menjadi parti muafakat politik dalam Perikatan Nasional (PN), jadi tentulah ada pertimbangan terhadap portfolio (AMMKN) yang perlu diharmonikan,” katanya di Rusila di sini hari ini.

Ahmad Samsuri menjelaskan kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam AMMKN juga akan diteliti dalam masa terdekat.

Tambah beliau, perbincangan antara Pas dan Bersatu itu juga akan melibatkan pelantikan Speaker DUN Terengganu yang baharu.

PN mencipta sejarah menyapu bersih semua 32 kerusi DUN Terengganu pada PRN-15 kelmarin.

Kejayaan 27 calon Pas dan lima calon Bersatu itu menjadikan DUN Terengganu pertama kali tanpa pembangkang sejak kemerdekaan.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat mencadangkan Ahmad Samsuri kekal dinamakan sebagai Menteri Besar Terengganu. – KOSMO! ONLINE