Translate

Thursday, February 29, 2024

Pantai lubuk maut

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TOREK SULONG

KUALA TERENGGANU – Kejadian lemas yang kerap dilaporkan berlaku di pantai terutama di negeri-negeri di Pantai Timur seolah-olah tidak dijadikan iktibar oleh orang ramai terutama pelancong luar. 

Tinjauan mendapati pesisir pantai peranginan di negeri ini dan Kelantan penuh dengan pengunjung termasuk kanak-kanak lebih-lebih lagi musim cuti persekolahan sedang berlangsung ketika ini. 

Di Pantai Pandak, Chendering, tinjauan mendapati kebanyakan mereka yang beriadah di lokasi itu merupakan pelancong luar. Ada pengunjung yang bermain pasir dan bersiar-siar di gigi pantai, namun ada juga membiarkan anak masing-masing yang masih kecil mandi laut tanpa pengawasan orang dewasa sewaktu ombak besar. 

Penduduk setempat, Zaini Mohd. Nordin, 52, berkata, Pantai Pandak masih dikunjungi orang ramai untuk beriadah ketika ini seolah-olah tidak peka dengan keselamatan diri dan keluarga masing-masing. 

“Kebanyakan yang datang sini adalah pelancong luar (Terengganu). Mereka sepatutnya lebih berhati-hati apabila melihat ombak besar setinggi hampir empat meter menghempas pantai. 

“Lagipun bendera merah dipasang di Pantai Pandak menandakan pantai ini sudah tidak lagi selamat untuk sebarang aktiviti termasuk berkelah,” katanya ketika ditemui semalam. 

Menurut Zaini, Pantai Pandak sebenarnya kurang selamat untuk aktiviti air termasuk mandi bukan sahaja pada musim tengkujuh, malah bulan-bulan lain terutama sewaktu fenomena air pasang besar. 

Jelasnya, keadaan itu disebabkan pantai peranginan tersebut mempunyai ancaman arus karau yang boleh menghanyutkan mangsa ke tengah laut sekali gus membawa risiko lemas.

 “Kami (penduduk) tidak mandi di Pantai Pandak kerana tahu akan ancaman ini, lagipun sudah banyak kes dilaporkan berlaku di pantai ini,” katanya. 

Tambahnya, penduduk turut menasihatkan pengunjung supaya menghindari Pantai Pandak, namun ada yang tidak mengendahkan perkara itu. 

Di Kelantan, tinjauan Kosmo! di Pantai Irama, Bachok mendapati orang ramai terutama dari luar daerah ini masih kurang cakna dengan ombak kuat terutama pada pasca Monsun Timur Laut (MTL). 

Ada pengunjung yang mandi-manda dan bermain di gigi pantai meskipun lebih 10 bendera merah sudah dinaikkan di pantai berkenaan. 

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bachok, Leftenan Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, kebanyakan kes lemas di Pantai Irama sebelum ini melibatkan pengunjung luar Bachok.

 “Mereka (pengunjung) tidak peka dengan situasi bahaya sekiranya mandi ketika ombak deras. 

Mangsa yang lemas ini rata-ratanya tidak pandai berenang, namun berani mandi ketika air pasang besar pada lewat petang,” katanya ketika ditemui. 

Mohd. Khairi memberitahu, anggota APM sentiasa memantau pergerakan pengunjung di kawasan pantai terutama pasca musim tengkujuh. 

Jelasnya, fokus APM adalah mengawal keselamatan dan memberikan nasihat kepada pengunjung supaya tidak mandi ketika bendera merah dipasang. 

“Perairan Kelantan masih dalam tempoh ‘idah’ MTL dengan ombak masih tinggi dan keadaan dasar pantai juga berbahaya kepada pengunjung untuk aktiviti mandi-manda.

 “Jadi ibu bapa perlu mengawasi anak-anak ketika beriadah di pantai, jangan biarkan mereka ke kawasan gigi air ketika ombak besar,” katanya. 

Sementara itu, pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Effy Helmy Ariffin berkata, secara dasarnya, pesisir pantai di Terengganu tidak selamat untuk aktiviti air ekoran ombak besar dan arus deras disebabkan Monsun Timur Laut. 

Antara lokasi itu adalah Pantai Pandak, Teluk Bidara dan Teluk Lipat, Dungun serta Rhu Sepuluh, Setiu yang mempunyai risiko arus karau. 

Arus karau atau rip current merupakan perangkap maut yang boleh menyebabkan lemas. 

Kebanyakan mereka yang pandai berenang juga terdedah risiko tersebut. Ia terbentuk apabila ombak bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan biasa nya akan menarik mangsa ke tengah laut. 

Kosmo! semalam melaporkan ahli perniagaan, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, hilang selepas ditelan ombak ketika beriadah di Pantai Batu Burok kelmarin. 

Ia merupakan insiden lemas kedua pada musim tengkujuh di Terengganu selepas kematian pelancong China di Pantai Tanjung Jara pada 10 Februari lalu.

Pemilik kolej, pekerja didenda RM85,000 tipu Skim Penjana 2.0

KUALA TERENGGANU – Tindakan dua individu mengemukakan dokumen palsu bagi program Skim Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) tiga tahun lalu berbalas apabila mereka didenda masing-masing RM50,000 dan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap pemilik Nur Ilahi Skills Resources, Arrie Syahiman Mohd. Zain, 34, manakala pengurus kolej kemahiran itu, Nurul Azwani Mohd. Razali, 38, didenda RM30,000 selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. 

 Sebelum ini, kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu berjumlah keseluruhan RM126,100. 

 Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu bagi menuntut insentif skim Penjana berjumlah RM5,300 di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial Kuala Terengganu pada 5 Julai 2021. 

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohd. Azhar yang memutuskan hukuman denda terhadap kedua-dua tertuduh turut mengarahkan dua komputer dibeli dengan insentif Penjana 2.0 dan baki wang RM30,949 di dalam akaun bank Nur Ilahi Skills Resources dilucut hak. 

 Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mariah Omar manakala Arrie Syahiman dan Nurul Azwani pula masing-masing diwakili peguam, Mohd. Fauzi Razali dan Mohd. Hayyatuddin Muhamad.

Bersedia cuaca panas dijangka hingga Jun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Rakyat negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas yang lebih panjang sehingga Jun depan disebabkan feno­mena El Nino. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan cerapan dilakukan Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC) Amerika Syarikat, impak El Nino yang melanda kawasan khatulistiwa dan Pasifik Selatan termasuk negara ini pada waktu sekarang boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun ini. 

“CRC mendapati kebarangkalian fenomena El Nino akan ber­akhir antara  bulan April hingga Jun depan adalah 79 peratus. 

“Sebenarnya sukar untuk kita mendapat kepastian 100 peratus. Yang penting kita harus bersedia dan sentiasa memantau dapatan fenomena El Nino terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam. 

Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramal suhu bandar-bandar utama di negara ini akan melebihi 35 darjah Celsius sehingga bulan Mac depan ekoran impak fenomena El Nino. 

Menjelaskan senario itu, Jing Xiang memberitahu, suhu tinggi tersebut disebabkan kelembapan yang terdapat daratan dan perairan negara ini akan dibawa keluar oleh El Nino ke Lautan Pasifik.

 Beliau berkata, ia sekali gus mengurangkan taburan hujan dan mencetuskan cuaca kering dan panas di kebanyakan kawasan ini di negara ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas El Nino berakhir pada pertengahan tahun ini, negara dijangka bakal merasai pula impak fenomena La Nina. 

“Berdasarkan cerapan oleh CPC, kebarangkalian fenomena La Nina berlaku di Asia Tenggara termasuk negara kita adalah 55 peratus.

 “Fenomena La Nina diramal berlaku antara bulan Jun hingga Ogos depan,” katanya. 

Katanya, fenomena La Nina berkenaan akan menyebabkan Asia Tenggara lebih basah kerana kelembapan akan terbawa pula dari Lautan Pasifik ke rantau ini. 

Jelas beliau, La Nina dengan kekuatan sederhana turut dijangka mempertingkatkan taburan hujan di negara ini. 

“Kedua fenomena ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada cuaca negara ini yang banyak dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya dan Timur Laut,” katanya.

Wednesday, February 28, 2024

‘Hanya jenazah yang pulang bersama kami'

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – “Sepatutnya kami balik berempat, namun takdir menentukan apabila jenazah suami yang saya bawa pulang ke rumah”. 

Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata, mereka sekeluarga sepatutnya pulang ke Kota Damansara kelmarin namun tidak kesampaian apabila suaminya, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, yang juga ahli perniagaan lemas di Pantai Batu Burok di sini pada Ahad lalu.

 Mayat Zulkarnain yang ditarik ombak sewaktu beriadah di pantai peranginan tersebut dijumpai terapung di perairan Pulau Gemia, Marang pada pukul 4 petang, kelmarin. 

Nora Elina berkata, dia tidak menyangka kunjungan pertama bersama suami dan dua anak ke Terengganu berakhir dengan tragedi menyayat hati dengan kehilangan ketua keluarga. 

Menurutnya, mereka mempunyai urusan perniagaan dan mengambil kesempatan membawa dua anak mereka berusia sembilan dan 11 tahun untuk bercuti sejak Jumaat lalu.

 “Kami mempunyai taklimat perniagaan di Kampung Tokku di sini, Sabtu lalu sebelum menyambung cuti ke beberapa lokasi menarik di Terengganu. 

“Sepatutnya kami pulang semalam (kelmarin) namun kepulangan ke Kota Damansara (Petaling Jaya) hari ini (semalam) bersama jenazah suami (Zulkarnain),” katanya di sini semalam. 

Kosmo! kelmarin melaporkan Nora Elina yang sedang bermain pasir bersama dua anaknya menyaksikan suaminya ditarik ombak sewaktu berada di tepi Pantai Batu Burok di sini. 

Mayat Zulkarnain ditemui nelayan pada kedudukan kira-kira 16 kilometer dari lokasi dia dihanyutkan arus laut. 

Nora Elina memberitahu, suaminya amat teruja untuk mengunjungi Terengganu buat kali pertama dan amat mengagumi keindahan pantai negeri ini. 

Namun dia tidak menyangka kunjungan sulung itu berakhir dengan suaminya menemui ajal di pantai peranginan itu. 

“Apa pun saya bersyukur jasad nya (Zulkarnain) berjaya ditemui untuk kami kebumikan. 

“Arwah suami merupakan seorang yang amat mementingkan keluarga dan sentiasa bersama saya sejak kami berkahwin pada tahun 2010,” katanya. 

Jenazah Zukarnain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Selesaikan segera isu kekurangan bekalan beras tempatan

HULU TERENGGANU – Pengguna di daerah ini berharap agar kerajaan segera memuktamadkan solusi bagi mengatasi kesukaran mendapatkan bekalan beras tempatan pada masa ini. 

Seorang pengguna, Zainab Abdullah, 54, berkata, beras tempatan pada harga mampu milik begitu sukar didapati di pasaran sejak lebih lima bulan lalu.

 Suri rumah yang berasal dari Kampung Teris itu berkata, mahu tidak mahu dia sekeluarga terpaksa membeli beras import yang harganya melonjak antara RM40 hingga RM60 bagi sekampit seberat 10 kilogram.

 “Kalau ikutkan memang membebankan apatah lagi musim cuti sekolah ini, sekampit beras 10 kilogram tahan dua minggu sahaja buat kami sekeluarga. 

“Saya harap bekalan dan harga beras akan kembali stabil sebelum menjelangnya bulan Ramadan pada bulan depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini semalam.

Zainab berkata, cadangan harga beras diselaraskan kepada RM30 bagi 10kg yang diutarakan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini mungkin boleh menjadi penyelesaian baik. 

“Walaupun harga cadangannya itu sedikit mahal berbanding purata RM26 bagi 10kg untuk beras tempatan sebelum ini, ia jauh lebih rendah berbanding harga beras import sekarang. 

“Cepat-cepatlah kerajaan muktamadkan. Utamakan kepentingan rakyat biasa yang merupakan kelompok pengguna terbesar,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi pengguna, Siti Hajar Muhammad, 56, juga mengakui beras tempatan sangat sukar ditemui di pasaran pada masa ini. 

Dia mendakwa terpaksa mengunjungi tapak program Jualan Rahmah di sekitar daerah ini setiap hujung minggu semata-mata untuk mendapatkan beras tempatan. 

“Pada masa ini, beras tempatan hanya boleh didapati program Jualan Rahmah, itupun kena berebut.

 “Sehubungan itu, saya harap penyelesaian yang bakal diambil kerajaan nanti dapat mengembalikan beras tempatan dengan lebih mudah di pasaran,” katanya.

Tarif air Terengganu tidak lebih 20 sen

MARANG – Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan kenaikan tarif air buat pengguna domestik negeri ini yang akan berkuat kuasa bulan depan tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap meter padu.

 Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan tersebut dirasakan tidak membebankan pengguna dengan purata tambahan bil air yang perlu dibayar antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan bergantung kepada penggunaan.

 “Pelarasan tarif air Terengganu yang sudah lebih 20 tahun tidak disemak ini membantu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) menyediakan keperluan lebih baik kepada pengguna seperti penggantian paip.

 “Ia bersifat menang-menang untuk syarikat air (Satu) dan pengguna supaya perkhidmatan menjadi lebih baik,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, beliau ditemui pada majlis penyerahan notis borang 5A bagi hak milik tanah kepada 350 penduduk terpilih di dalam Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. 

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memberi jaminan pemberian subsidi 20 meter padu air kepada keluarga kurang berkemampuan atau B40 masih diteruskan.

Tuesday, February 27, 2024

Kos naik, Kuskop terus bantu usahawan mikro

KUALA TERENGGANU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) komited untuk terus membantu usahawan mikro tempatan dalam mendepani peningkatan kos ekoran kenaikan harga barang mentah pada masa ini. 

 Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, beliau telah mengarahkan semua agensi di bawah kementeriannya untuk memudah cara urusan pembiayaan kepada usahawan mikro yang terkesan. 

 “Saya sudah meminta semua agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tekun Nasional dan SME Corporation Malaysia untuk memudah cara urusan pinjaman usahawan. 

 “Inilah peranan kami untuk membantu perusahaan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

 Terdahulu, beliau melancarkan produk Sambal Mek Ngoh keluaran seorang usahawan Sahabat AIM Terengganu. 

 Ewon berkata, pembiayaan yang akan diluluskan agensi terlibat bergantung kepada keperluan skala operasi usahawan mikro terlibat. 

 Beliau mengakui landskap perusahaaan mikro pasca pandemik Covid-19 sudah berubah dan semakin mencabar. 

 “Ramai usahawan mikro tidak mampu bertahan ekoran impak Covid-19 seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang kini hanya mempunyai 23,000 keahlian berbanding lebih 30,000 sebelum penularan pandemik tersebut.

 “Begitupun pada masa sama, ramai juga golongan profesional yang kehilangan kerja sewaktu pandemik menyertai perniagaan demi kelangsungan hidup,” katanya. 

 Sehubungan itu, Ewon berkata, Kuskop akan memberi fokus membantu setiap segmen usahawan mikro berkenaan untuk kembali bangkit dan mengukuhkan perniagaan mereka

Kebakaran meningkat ketika cuaca panas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca panas disebabkan fenomena El Nino yang sedang melanda negara pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) ini dibimbangi bakal meningkatkan risiko kebakaran melibatkan hutan, ladang, kebun dan belukar di seluruh negara termasuk Terengganu. 

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang dikeluarkan 13 Februari lalu, cuaca panas dengan suhu maksimum lebih 35 darjah Celsius tersebut diramal berlangsung sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan Mac depan. 

Begitupun, Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC), Amerika Syarikat menjangkakan impak cuaca terik dibawa oleh feno­mena El Nino berkenaan berkemungkinan melanda kawasan Khatulistiwa termasuk negara ini sekurang-kurangnya bulan Jun depan. 

 Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes kebakaran berikutan cuaca panas tersebut. 

 Jelas beliau, persediaan itu sebagai mengambil pengajaran lonjakan kes kebakaran terutama melibatkan hutan, kebun, ladang dan belukar di negeri ini ekoran fenomena sama pada tahun lalu.

 “Kes kebakaran di Terengganu pada tahun lalu meningkat 70 peratus iaitu 1,738 kes berbanding 1,024 kes pada tahun 2022. 

“Ia disebabkan lonjakan kes kebakaran melibatkan ladang, kebun, hutan dan belukar sehingga 450 peratus kebanyakannya berlaku sewaktu musim panas antara bulan Mac hingga Mei pada tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Hassan ‘As’ari berkata, sebanyak 11 kes kebakaran melibatkan ladang dan kebun dilaporkan di Terengganu pada tahun lalu iaitu peningkatan 450 peratus. 

 Tambah beliau, kebakaran hutan juga naik 283 peratus dengan 92 kes dilaporkan pada tahun lalu.

 “Sebanyak 832 kes kebakaran belukar dan lalang diterima iaitu peningkatan 165 peratus dalam tempoh sama. 

 “Kebakaran melibatkan bangunan, kenderaan dan perkakasan juga naik antara lima hingga 53 peratus pada tahun lalu,” katanya. 

 Hassan ‘As’ari berkata, fenomena El Nino yang bukan sahaja menyebabkan cuaca panas malah udara kering dan taburan hujan rendah juga antara pemangkin bertambahnya risiko kebakaran.

Tarif air Terengganu naik minimum 16 sen

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 342,346 pemilik akaun bagi kategori domestik dan bukan domestik di negeri ini akan dikenakan caj elektrik sebanyak lapan sen bermula 1 Februari depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu), Abdul Karim Endut berkata, sebelum ini caj berkenaan diserap ke dalam operasi Satu, namun bagi penyelarasan tarif air kali ini ia tidak dimasukkan sebagai kos operasi.

 Jelasnya, pengguna domestik yang merangkumi 73.8 peratus pemegang akaun Satu akan mengalami pelarasan tarif baru air antara lapan sen hingga 10 sen setiap meter padu.

 “Pengguna domestik yang mengguna maksimum 20 meter padu air akan dikenakan caj 58 sen termasuk caj elektrik bagi setiap meter padu berbanding RM42 sen sebelum ini. 

“Bagi penggunaan antara 20 hingga 35 meter padu pula, kadar baharu ialah 83 sen serta RM1.08 bagi penggunaan melebihi 35 meter padu,” katanya. 

 Tambahnya, berikutan itu caj minimum bulanan pengguna domestik meningkat daripada RM4 kepada RM5.80 yang menyaksikan bil air yang perlu dibayar naik antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan bergantung kepada penggunaan. 

“Kadar tarif pengguna bukan domestik iaitu perusahaan komersial dan bangunan bukan komersial juga naik RM1.08 bagi maksimum 35 meter padu manakala RM1.48 untuk penggunaan melebihinya.

 “Masjid, surau, rumah ibadat, institusi kebajikan dan perkapalan turut dikenakan caj elektrik lapan sen,” katanya.

 Jelasnya, Satu diunjur bakal memperolehi pendapatan tambahan RM9.6 juta berikutan pelarasan tarif air tersebut dan tambahan itu digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air (RM11 juta), penggantian paip penyaluran (RM10 juta) dan Air Tidak Terhasil (RM16.6 juta) dalam tempoh sehingga tahun 2026. 

“Walaupun berlaku pelarasan buat kali pertama sejak tahun 1997, tarif air di Terengganu masih antara terendah di negara ini.

 “Pemberian subsidi air 20 meter padu kepada 11,927 keluarga B40 (kurang berkemampuan) serta 1,883 masjid dan surau turut masih diteruskan kerajaan negeri Terengganu,” katanya.

Ketua sayap parti politik disyaki kemuka dokumen palsu ditahan SPRM

KUALA TERENGGANU – Seorang pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan yang juga ketua sayap sebuah parti politik di Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen palsu berkaitan program Kembali ke Sekolah.

 Sumber berkata, wanita berusia awal 40-an itu disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu kepada sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

 “Siasatan awal mengesyaki suspek mengemukakan tuntutan RM5,000 bagi program bantuan Back to School (Kembali ke Sekolah) yang dikatakan untuk agihan 100 pelajar asnaf. 

 “Semakan awal mendapati, senarai penerima yang diberikan itu sebenarnya tidak mendapat bantuan berkenaan,” katanya kepada di sini semalam. 

 Sumber itu juga memberitahu, siasatan awal mendapati program Kembali ke Sekolah yang didakwa juga tidak pernah dianjurkan. 

Tambah beliau, individu itu ditahan sebaik tampil memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 12 tengah hari. 

 Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Monday, February 26, 2024

Baiki alatan elektrik kena banjir percuma

DUNGUN – Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu semalam mengambil inisiatif membaiki peralatan elektrik penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor, Hulu Dungun yang terjejas banjir pada hujung bulan lalu secara percuma. 

Pengarah ILP Kuala Terengganu, Kamaludin Tomiran berkata, peralatan elektrik itu dibaiki 60 sukalewan terdiri daripada pelajar dan pengajar. 

 “Kami terpanggil untuk menawarkan kepakaran membaiki peralatan elektrik penduduk kampung yang rata-rata terendam dalam banjir lumpur. 

 “Ia juga pendedahan untuk pelajar kami sebagai persediaan menghadapi alam kerjaya sebelum menamatkan pengajian kelak,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Ujarnya, setakat ini, skuad sukarelawan menerima lebih 250 peralatan elektrik milik penduduk untuk dibaiki. 

Beliau berkata, antara peralatan elektrik diterima ialah mesin basuh, peti sejuk, mesin pengisar, periuk nasi, mesin jahit, kipas angin, mesin rumput dan televisyen.

 “Alhamdulillah lebih 90 peratus daripada peralatan elektrik itu boleh dibaiki dan digunakan semula walaupun rata-ratanya disaluti selut. 

 “Bakinya pula memerlukan penggantian komponen utama peralatan elektrik tersebut yang kami cadangkan untuk dibeli penduduk terlibat,” katanya. 

Sementara itu, menurut seorang penduduk, Mohd. Dollah, 68, dia menghantar lapan peralatan elektriknya untuk dibaiki sukarelawan ILP Kuala Terengganu berkenaan. 

 “Rata-rata peralatan elektrik rumah saya rosak setelah rumah ditenggelami banjir lumpur hampir lima meter pada 25 Januari lalu. 

 “Syukur skuad ini sudi membaikinya secara percuma. Tidak mampu saya ganti peralatan elektrik rosak itu yang mencecah ribuan ringgit,” katanya. 

Menurut Tengku Noor Suriati T. A. Rahman, 40, pula, dia berterima kasih kepada pihak ILP Kuala Terengganu kerana membantu meringankan beban mereka yang terjejas teruk akibat banjir lumpur.

Buruh binaan dihukum sebat kerana khalwat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebatan atas pertuduhan melakukan kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini semalam.

 Hakim Syarie Hamidi Shafie menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 ke atas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, yang membuat pengakuan bersalah. 

Beliau memerintahkan hukuman sebat tersebut dilaksanakan dalam tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan selain hukuman tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda. 

"Kesalahan (khalwat) ini diulangi tertuduh (Mohd. Affendi) tidak sampai setahun selepas menjalani hukuman atas perbuatan sama. 

 “Harap hukuman (sebat) ini dapat memberi keinsafan terhadap tertuduh dan pengingatan kepada masyarakat,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini semalam. 

 Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Affendi didakwa bersama seorang wanita yang bukan isteri dan mahramnya yang boleh menimbulkan syak melakukan khalwat pada 25 Januari lalu. 

 Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis kosong yang sedang dalam proses ubah suai di Jalan Penghiburan, Kemaman antara pukul 1.10 pagi hingga 2.15 pagi. 

 Mengikut fakta kes, sepasukan penguatkuasa Jabatan Hal Agama Islam Terengganu telah menyerbu premis itu setelah mendapat aduan awam. 

 Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022. 

 Enakmen yang baru berkuatkuasa 1 Januari lalu itu memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara tiga tahun dan denda RM5,000 jika sabit kesalahan. 

 Affendi yang tidak diwakili peguam syarie dalam rayuannya memberitahu baru sebulan bekerja sebagai buruh binaan dengan purata RM2,000 sebulan selain berhasrat mengahwini pasangan khalwatnya tersebut. 

 Dia pernah dihukum denda RM2,700 atas kesalahan sama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 11 Julai tahun lalu. 

 Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohamad Khasmizan Abdullah.

Bos resort Pulau Perhentian runtuh didenda RM150,000

BESUT – Pengarah kepada sebuah resort yang runtuh sehingga meragut dua nyawa dalam kejadian di Pulau Perhentian dekat sini dua bulan lalu didenda RM150,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

 Hakim Ahmad Fadhli Mahmud memerintahkan demikian setelah Orang Kena Saman (OKS), Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. 

 Berdasarkan pertuduhan, Boon Han didakwa melanggar kewajiban memastikan keselamatan projek dengan membina premis Malee Beach Resort itu menggunakan lukisan konsep disediakan pelukis bebas yang tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah. 

 Dia juga didakwa membina bangunan dewan makan resort berkenaan tanpa kelulusan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut (MDB). 

 OKS didakwa tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak binaan dan tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar (EIA). Boon Han turut didakwa menggaji penyelia tapak dan pekerja yang tidak mahir dan tidak memiliki perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). 

 Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa CIDB, Abdul Razak Husin manakala OKS pula diwakili peguam, Hayder Yazid.

Cuaca panas dijangka hingga Jun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Rakyat negara ini perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan cuaca panas yang lebih panjang sehingga Jun depan disebabkan feno­mena El Nino. 

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan cerapan dilakukan Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC) Amerika Syarikat, impak El Nino yang melanda kawasan khatulistiwa dan Pasifik Selatan termasuk negara ini pada waktu sekarang boleh berlarutan sehingga pertengahan tahun ini. 

“CRC mendapati kebarangkalian fenomena El Nino akan ber­akhir antara  bulan April hingga Jun depan adalah 79 peratus. 

“Sebenarnya sukar untuk kita mendapat kepastian 100 peratus. Yang penting kita harus bersedia dan sentiasa memantau dapatan fenomena El Nino terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam. 

Baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramal suhu bandar-bandar utama di negara ini akan melebihi 35 darjah Celsius sehingga bulan Mac depan ekoran impak fenomena El Nino. 

Menjelaskan senario itu, Jing Xiang memberitahu, suhu tinggi tersebut disebabkan kelembapan yang terdapat daratan dan perairan negara ini akan dibawa keluar oleh El Nino ke Lautan Pasifik.

 Beliau berkata, ia sekali gus mengurangkan taburan hujan dan mencetuskan cuaca kering dan panas di kebanyakan kawasan ini di negara ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas El Nino berakhir pada pertengahan tahun ini, negara dijangka bakal merasai pula impak fenomena La Nina. 

“Berdasarkan cerapan oleh CPC, kebarangkalian fenomena La Nina berlaku di Asia Tenggara termasuk negara kita adalah 55 peratus.

 “Fenomena La Nina diramal berlaku antara bulan Jun hingga Ogos depan,” katanya. 

Katanya, fenomena La Nina berkenaan akan menyebabkan Asia Tenggara lebih basah kerana kelembapan akan terbawa pula dari Lautan Pasifik ke rantau ini. 

Jelas beliau, La Nina dengan kekuatan sederhana turut dijangka mempertingkatkan taburan hujan di negara ini. 

“Kedua fenomena ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada cuaca negara ini yang banyak dipengaruhi oleh Monsun Barat Daya dan Timur Laut,” katanya.

Sunday, February 25, 2024

Pantai ‘pembunuh’

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TOREK SULONG

KUALA TERENGGANU – Kejadian lemas yang kerap dilaporkan berlaku di pantai terutama di negeri-negeri di Pantai Timur seolah-olah tidak dijadikan iktibar oleh orang ramai terutama pelancong luar. 

Tinjauan mendapati pesisir pantai peranginan di negeri ini dan Kelantan penuh dengan pengunjung termasuk kanak-kanak lebih-lebih lagi musim cuti persekolahan sedang berlangsung ketika ini. 

Di Pantai Pandak, Chendering, tinjauan mendapati kebanyakan mereka yang beriadah di lokasi itu merupakan pelancong luar. Ada pengunjung yang bermain pasir dan bersiar-siar di gigi pantai, namun ada juga membiarkan anak masing-masing yang masih kecil mandi laut tanpa pengawasan orang dewasa sewaktu ombak besar. 

Penduduk setempat, Zaini Mohd. Nordin, 52, berkata, Pantai Pandak masih dikunjungi orang ramai untuk beriadah ketika ini seolah-olah tidak peka dengan keselamatan diri dan keluarga masing-masing. 

“Kebanyakan yang datang sini adalah pelancong luar (Terengganu). Mereka sepatutnya lebih berhati-hati apabila melihat ombak besar setinggi hampir empat meter menghempas pantai. 

“Lagipun bendera merah dipasang di Pantai Pandak menandakan pantai ini sudah tidak lagi selamat untuk sebarang aktiviti termasuk berkelah,” katanya ketika ditemui semalam. 

Menurut Zaini, Pantai Pandak sebenarnya kurang selamat untuk aktiviti air termasuk mandi bukan sahaja pada musim tengkujuh, malah bulan-bulan lain terutama sewaktu fenomena air pasang besar. 

Jelasnya, keadaan itu disebabkan pantai peranginan tersebut mempunyai ancaman arus karau yang boleh menghanyutkan mangsa ke tengah laut sekali gus membawa risiko lemas.

 “Kami (penduduk) tidak mandi di Pantai Pandak kerana tahu akan ancaman ini, lagipun sudah banyak kes dilaporkan berlaku di pantai ini,” katanya. 

Tambahnya, penduduk turut menasihatkan pengunjung supaya menghindari Pantai Pandak, namun ada yang tidak mengendahkan perkara itu. 

Di Kelantan, tinjauan Kosmo! di Pantai Irama, Bachok mendapati orang ramai terutama dari luar daerah ini masih kurang cakna dengan ombak kuat terutama pada pasca Monsun Timur Laut (MTL). 

Ada pengunjung yang mandi-manda dan bermain di gigi pantai meskipun lebih 10 bendera merah sudah dinaikkan di pantai berkenaan. 

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bachok, Leftenan Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, kebanyakan kes lemas di Pantai Irama sebelum ini melibatkan pengunjung luar Bachok.

 “Mereka (pengunjung) tidak peka dengan situasi bahaya sekiranya mandi ketika ombak deras. 

Mangsa yang lemas ini rata-ratanya tidak pandai berenang, namun berani mandi ketika air pasang besar pada lewat petang,” katanya ketika ditemui. 

Mohd. Khairi memberitahu, anggota APM sentiasa memantau pergerakan pengunjung di kawasan pantai terutama pasca musim tengkujuh. 

Jelasnya, fokus APM adalah mengawal keselamatan dan memberikan nasihat kepada pengunjung supaya tidak mandi ketika bendera merah dipasang. 

“Perairan Kelantan masih dalam tempoh ‘idah’ MTL dengan ombak masih tinggi dan keadaan dasar pantai juga berbahaya kepada pengunjung untuk aktiviti mandi-manda.

 “Jadi ibu bapa perlu mengawasi anak-anak ketika beriadah di pantai, jangan biarkan mereka ke kawasan gigi air ketika ombak besar,” katanya. 

Sementara itu, pensyarah Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Effy Helmy Ariffin berkata, secara dasarnya, pesisir pantai di Terengganu tidak selamat untuk aktiviti air ekoran ombak besar dan arus deras disebabkan Monsun Timur Laut. 

Antara lokasi itu adalah Pantai Pandak, Teluk Bidara dan Teluk Lipat, Dungun serta Rhu Sepuluh, Setiu yang mempunyai risiko arus karau. 

Arus karau atau rip current merupakan perangkap maut yang boleh menyebabkan lemas. 

Kebanyakan mereka yang pandai berenang juga terdedah risiko tersebut. Ia terbentuk apabila ombak bergerak pada sudut tegak ke arah pantai dan biasa nya akan menarik mangsa ke tengah laut. 

Kosmo! semalam melaporkan ahli perniagaan, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, hilang selepas ditelan ombak ketika beriadah di Pantai Batu Burok kelmarin. 

Ia merupakan insiden lemas kedua pada musim tengkujuh di Terengganu selepas kematian pelancong China di Pantai Tanjung Jara pada 10 Februari lalu.

Tipu skim Penjana, dua pengurusan kolej kemahiran didenda RM80,000

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara mengemukakan dokumen palsu bagi program Skim Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) pada tiga tahun lalu, pemilik Nur Ilahi Skills Resources dan pengurus kolej kemahiran itu didenda masing-masing RM50,000 dan RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Azhar Othman memerintahkan demikian selepas kedua-dua tertuduh iaitu Arrie Syahiman Mohd. Zain, 34, dan Nurul Azwani Mohd. Razali, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan tersebut, Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan borang pengesahan pekerja palsu bagi menuntut insentif skim Penjana berjumlah RM5,300.

Perbuatan didakwa dilakukan mereka di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kuala Terengganu pada 5 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! Online 31 Oktober lalu melaporkan Arrie Syahiman dan Nurul Azwani didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu skim Penjana 2.0 masing-masing berjumlah RM81,800, RM39,000 dan RM5,300 pada 7 Jun, 29 Jun dan 5 Julai 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 24 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Begitupun ketiga-tiga pertuduhan itu digugurkan Hakim Ahmad Azhar setelah menerima permohonan pihak pendakwaan berikutan permohonan bersalah Arrie Syahiman dan Nurul Azwani pada semalam. – KOSMO! ONLINE

Tiga daerah di Terengganu masih dilanda bah

KUALA TERENGGANU - Tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Setiu masih terjejas akibat banjir gelombang keempat melanda Terengganu sejak kelmarin. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, ia melibatkan 95 mangsa daripada 30 keluarga yang berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS). 

Menurut beliau, Marang pula yang terjejas kelmarin telah pulih sepenuhnya dengan 24 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam. 

"Seramai 53 mangsa daripada 13 keluarga berada di empat PPS di Dungun. 

"Dua PPS pula dibuka di Setiu yang menempatkan 35 mangsa daripada 15 keluarga," katanya di sini semalam. 

Di Kemaman pula membuka dua PPS iaitu Balai Raya Kampung Batu 9, Ibok dan Surau Kampung Ban Ho. Seramai tujuh mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di kedua-dua PPS tersebut. 

Di Petaling Jaya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan  di Terengganu, Kelantan dan Pahang sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, di Kelantan kawasan terlibat adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu dan Pahang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi MyCuaca dan media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Selain itu, maklumat juga boleh diperoleh dengan menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-23-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Buruh binaan pesalah khalwat pertama dihukum sebat

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh binaan menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman sebatan atas kesalahan melakukan kesalahan khalwat berulang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di sini hari ini.

Hakim Syarie Hamidi Shafie menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000 ke atas tertuduh, Mohd. Affendi Awang, 42, yang membuat pengakuan bersalah.

Beliau memerintahkan hukuman sebat tersebut dilaksanakan dalam tempoh 14 hari sekiranya tiada rayuan selain hukuman tambahan enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Affendi didakwa bersama seorang wanita yang bukan isteri dan mahramnya yang boleh menimbulkan syak melakukan khalwat pada 25 Januari lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis kosong yang sedang dalam proses ubahsuai di Jalan Penghiburan, Kemaman antara pukul 1.10 pagi hingga 2.15 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Enakmen yang baru berkuatkuasa 1 Januari lalu itu memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara tiga tahun dan denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Saturday, February 24, 2024

Hutan, ladang mudah terbakar ketika El Nino

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cuaca panas disebabkan fenomena El Nino yang sedang melanda negara pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) ini dibimbangi bakal meningkatkan risiko kebakaran melibatkan hutan, ladang, kebun dan belukar di seluruh negara termasuk Terengganu. 

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang dikeluarkan 13 Februari lalu, cuaca panas dengan suhu maksimum lebih 35 darjah Celsius tersebut diramal berlangsung sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan Mac depan. 

Begitupun, Pusat Ramalan Perubahan Cuaca (CPC), Amerika Syarikat menjangkakan impak cuaca terik dibawa oleh feno­mena El Nino berkenaan berkemungkinan melanda kawasan Khatulistiwa termasuk negara ini sekurang-kurangnya bulan Jun depan. 

 Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, pihaknya sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kes kebakaran berikutan cuaca panas tersebut. 

 Jelas beliau, persediaan itu sebagai mengambil pengajaran lonjakan kes kebakaran terutama melibatkan hutan, kebun, ladang dan belukar di negeri ini ekoran fenomena sama pada tahun lalu.

 “Kes kebakaran di Terengganu pada tahun lalu meningkat 70 peratus iaitu 1,738 kes berbanding 1,024 kes pada tahun 2022. 

“Ia disebabkan lonjakan kes kebakaran melibatkan ladang, kebun, hutan dan belukar sehingga 450 peratus kebanyakannya berlaku sewaktu musim panas antara bulan Mac hingga Mei pada tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. 

Hassan ‘As’ari berkata, sebanyak 11 kes kebakaran melibatkan ladang dan kebun dilaporkan di Terengganu pada tahun lalu iaitu peningkatan 450 peratus. 

 Tambah beliau, kebakaran hutan juga naik 283 peratus dengan 92 kes dilaporkan pada tahun lalu.

 “Sebanyak 832 kes kebakaran belukar dan lalang diterima iaitu peningkatan 165 peratus dalam tempoh sama. 

 “Kebakaran melibatkan bangunan, kenderaan dan perkakasan juga naik antara lima hingga 53 peratus pada tahun lalu,” katanya. 

 Hassan ‘As’ari berkata, fenomena El Nino yang bukan sahaja menyebabkan cuaca panas malah udara kering dan taburan hujan rendah juga antara pemangkin bertambahnya risiko kebakaran.

Mayat dipercayai Zulkarnain ditemui di perairan Marang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mayat lelaki dipercayai ahli perniagaan, Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, yang ditarik ombak sewaktu beriadah di Pantai Batu Burok di sini semalam berjaya ditemui di perairan Pulau Gemia, Marang dekat sini sebentar tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, mayat tersebut dijumpai terdampar di perairan tersebut oleh nelayan pada pukul 4 petang.

“Mayat lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan berseluar pendek berwarna hitam.

“Kedudukan mayat dijumpai dengan lokasi mangsa (Zulkarnain) hilang di Pantai Batu Burok di sini kira-kira 16 kilometer,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Muhammad Basri berkata, mayat lelaki dipercayai Zulkarnain itu telah dibawa dengan menaiki bot ke Jeti Marang dekat sini.

Beliau berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik HSNZ untuk tindakan lanjut.

“Pengecaman akan dilakukan ahli keluarga mangsa sebelum operasi mencari dan menyelamat yang sudah berlarutan kira-kira 30 jam lalu diisytiharkan tamat,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan Zulkarnain yang berasal dari Kuala Lumpur ditarik ombak sewaktu beriadah di Pantai Batu Burok pada pukul 11.20 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

Insya-Allah suami saya mati syahid – Nora Elina

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Identiti mayat lelaki yang dijumpai di perairan Pulau Gemia, Marang pada pukul 4 petang disahkan sebagai Zulkarnain Mohamed Zubir, 44.

Pengesahan dilakukan menerusi pengecaman isterinya, Nora Elina Abdul Khalit, 44, di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 6.30 petang.

Nora Elina berkata, walaupun sedih kehilangan pasangan hidup sekelip mata, dia tetap bersyukur jasad suaminya dapat juga dijumpai setelah kira-kira 30 jam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

“Terima kasih kepada semua pihak terutama pasukan keselamatan yang bertungkus-lumus mencari jasad suami saya.

“Lega berjaya dijumpai (mayat Zulkarnain) untuk kami kebumikan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Nora Elina berdoa semoga pemergian arwah suaminya diangkat sebagai mati syahid disebabkan lemas.

Dia berkata, jenazah Zulkarnain akan dibawa pulang ke Kota Damansara, Petaling Jaya selepas proses forensik selesai.

“Insya-Allah jenazah suami saya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan Zulkarnain yang berasal dari Kuala Lumpur ditarik ombak sewaktu beriadah di Pantai Batu Burok pada pukul 11.20 pagi semalam.

Mayat ahli perniagaan itu dijumpai nelayan di perairan Pulau Gemia kira-kira 16 kilometer dari lokasi dia hilang. – KOSMO! ONLINE

FAMA latih pelajar PSMZA ilmu pemasaran digital

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seramai 150 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menerima latihan keusahawanan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi program New Breed Marketing Enterprenuer (NBME).

Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, program tersebut melatih ilmu keusahawanan terhadap pelajar terbabit sebagai persediaan apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

“Peserta dilatih menjadi ejen pemasar produk usahawan Industri Asas Tani (IAT) yang terdapat dalam portal Agrobazaar Online.

“Program ini bukan sahaja membolehkan peserta menjana pendapatan walaupun masih bergelar pelajar, malah melatih mereka untuk bergelar usahawan apabila tamat pengajian nanti,” katanya ketika merasmikan NBME di PSMZA di sini hari ini.

Muhamad Fadlee berkata, sepanjang program itu, peserta dilatih tentang teknik pemasaran digital.

Jelas beliau, pelajar terbabit didedahkan untuk menjadi ejen pemasar menerusi platform e-dagang sedia ada termasuk Agrobazaar Online.

Enam sekolah Terengganu ditutup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN 

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang keempat yang melanda Terengganu sejak Selasa lalu masih menjejaskan 1,145 mangsa daripada 350 keluarga selain memaksa enam buah sekolah ditutup.

 Setakat pukul 5 petang semalam, sebanyak 16 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di empat daerah iaitu Setiu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Setiu menjadi daerah paling terjejas dengan 693 mangsa berada di tujuh PPS. 

“Seramai 13 mangsa pula berada di PPS di Besut dan 256 mangsa di Dungun,” katanya di sini semalam. 

Menurut JPBN, seramai 183 mangsa berada di PPS Hulu Terengganu. 

Beliau berkata, Kemaman dan Marang yang sebelum ini dilanda banjir telah pulih sepenuhnya dengan empat PPS dibuka sebelum ini ditutup sepenuhnya secara berperingkat pada kelmarin dan semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, sebanyak enam sekolah di seluruh Terengganu terpaksa ditutup akibat dinaiki air dan jalan masuk terhalang. 

Katanya, tiga sekolah yang ditenggelami banjir di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Kuala Jengal dan SK Kampung Shukor. 

“Selain itu, SK Bukit Tadok dan SK Kua, Hulu Terengganu serta SK Kampung Buloh, Setiu juga terjejas banjir,” katanya ketika dihubungi. 

Dalam perkembangan sama, Jelani memberitahu, tiga lagi sekolah di Setiu pula sedang dijadikan PPS.

 Jelas beliau, tiga sekolah terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkap, SK Seri Kasar dan SK Kampung Bukit. 

“Ketiga-tiga sekolah itu masih meneruskan sesi pembelajaran hari ini (semalam) kerana mangsa banjir di tempatkan di bangunan berasingan.

 “Dua PPS yang dibuka di SK Kuala Abang, Dungun dan SK Padang Mengkuang, Marang sebelum ini pula telah ditutup sepenuhnya semalam (kelmarin),” katanya.

Friday, February 23, 2024

Jumlah mangsa banjir tiga negeri semakin meningkat

PETALING JAYA – Mangsa banjir di tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor mencecah 3,301 orang setakat pukul 5 petang semalam. 

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir melonjak kepada 2,166 orang daripada 589 keluarga melibatkan empat daerah di negeri itu. 

Sebanyak 33 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dungun, Besut, Hulu Terengganu dan Setiu.

 Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun merupakan daerah paling terjejas dengan 952 mangsa daripada 267 keluarga berada di enam PPS. 

 “Seramai 732 mangsa daripada 177 keluarga pula berada di 16 PPS di Besut. 

 “Sebanyak lima PPS yang menempatkan 346 mangsa daripada 115 keluarga pula berada di Hulu Terengganu,” katanya di sini semalam. 

 Dalam pada itu, di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 884 orang daripada 840 orang sebelum ini meskipun cuaca panas dan cerah di kebanyakan daerah semalam.

Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu melibatkan 271 keluarga yang berlindung di 16 PPS. 

Menurutnya, setakat ini, empat buah daerah yang terjejas banjir Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Machang. 

“Pasir Puteh mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dengan 350 orang, Kuala Krai (270), Tanah Merah (246), dan Machang (18), “katanya. 

Di Kota Tinggi, Johor pula menyaksikan seramai 251 orang daripada 60 keluarga berlindung di tiga PPS yang dibuka kelmarin berikutan hujan lebat berterusan lebih lima jam menyebabkan empat buah kampung di daerah tersebut dilanda banjir. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggu berkata, Felda Air Tawar 1, merekodkan 162 orang yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Felda Air Tawar 1. 

56 penduduk terjejas dari Kampung Sepak Hulu dan Kampung Sepak Hilir berlindung di PPS SK Bukit Lintang, manakala 33 orang berada di PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas.

Thursday, February 22, 2024

Hanya Dungun masih terjejas pasca bah di Terengganu

 KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu sedikit baik apabila tiga daerah yang sebelum ini terjejas iaitu Besut, Hulu Terengganu dan Setiu telah pulih sepenuhnya semalam. 

 Kesemua hampir 600 mangsa di tiga daerah itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya. 

 Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun kini menjadi satu-satunya daerah yang masih terjejas banjir di negeri ini. 

 “Situasi banjir di Dungun agak meruncing dengan 1,258 orang daripada 372 keluarga masih terjejas.

 “Mereka kini ditempatkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya di sini semalam.

 Sekretariat JPBN Terengganu berkata, antara kawasan di Dungun yang masih terjejas banjir ialah Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja dan Kampung Jongok Batu. 

 Tambah beliau, Kampung Jengai, Rantau Panjang, Kampung Minda, Kampung Dendang dan Kampung Paya Kemudi turut terjejas. 

 “Kampung Tepus, Kampung Padang Ping dan Bukit Merah turut masih dilanda banjir,” katanya.

 Sementara itu di Johor dan Pahang masih berbaki dua PPS yang dibuka dengan masing-masing seramai 235 dan 28 mangsa sahaja di situ setakat 4 petang semalam. 

Sementara di Kelantan hanya satu PPS masih dibuka di Tanah Merah dengan 108 mangsa daripada 26 keluarga yang masih terjejas banjir yang berlaku sejak Khamis lalu.

Wednesday, February 21, 2024

1,000 orang berlindung di PPS

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN  dan MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Banjir gelombang keempat yang melanda daerah ini sejak Selasa lalu menyaksikan lebih 1, 057 mangsa daripada 307 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga semalam. 

 Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, kesemua mangsa itu masih ditempatkan di sembilan PPS yang kebanyakannya terletak di Hulu Dungun sehingga pukul 5 petang semalam. 

“Mangsa banjir paling ramai ditempatkan di Masjid Jamek Kampung Jongok Batu dengan 258 mangsa diikuti Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raya (247),” katanya di sini semalam. 

Sementara itu, di Pahang, seramai 28 mangsa masih berlindung di dua PPS, manakala di Kelantan, banjir gelombang keempat pulih sepenuhnya selepas sebuah PPS yang menempatkan 43 mangsa di Tanah Merah dekat sini ditutup sepenuhnya semalam. 

Sekretariat Pengurusan Bencana Kelantan berkata, bagaimanapun, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi tahap bahaya, manakala Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula melepasi tahap berjaga-jaga. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan membina semua rumah penduduk yang musnah akibat bah di Hulu Dungun termasuk Kampung Shukor di sini. 

“Setakat ini, saya dimaklumkan dua rumah penduduk telah runtuh dihanyutkan arus deras banjir. Kerajaan juga akan membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan seperti dinding tercabut,” katanya di sini semalam 

Banjir besar disebabkan fenomena kepala air yang berlaku pada Khamis lalu turut menjejaskan beberapa perkampungan lain di Hulu Dungun seperti Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu di sini. 

 Hanafiah berkata, kesemua pembinaan baharu dan kos baik pulih kerosakan rumah tersebut akan dibiayai menggunakan Tabung Bencana Negeri.

 Jelas beliau, kerja-kerja membaik pulih itu dijangka bermula selepas Monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada bulan Mac depan dan buat masa ini penduduk terjejas dicadangkan mencari rumah sewa sehingga rumah baharu siap sepenuhnya.

 “Sewa bulanan akan ditanggung Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sepanjang tempoh tersebut," katanya.