Translate

Showing posts with label online. Show all posts
Showing posts with label online. Show all posts

Saturday, October 31, 2026

Pembantu kedai maut rempuh Toyota Vios masuk simpang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai maut selepas motosikal Yamaha Lagenda ditunggangnya merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang dikatakan tiba-tiba membelok untuk memasuki simpang di Jalan Pusara, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 5.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Khairul Anuar, 19, yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Aiman dikatakan dalam perjalanan ke Gong Kapas dari Jalan Ladang, di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda ditungganginya gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang dikatakan tiba-tiba membelok untuk memasuki persimpangan.

“Peniaga kedai runcit wanita berusia 51 tahun yang memandu kereta Toyota Vious berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Alamanda 4 dari Jalan Sungai Rengas di sini,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, impak rempuhan itu menyebabkan Muhammad Aiman tercampak ke atas jalan.

Beliau berkata, mayat remaja lelaki berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Cubaan seleweng 939 liter diesel digagalkan KPDN

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya mematahkan aktiviti penyelewengan 939 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM35,360.73 di Kampung Bukit Tunggal, di sini, semalam.

Serbuan pada pukul 5.45 petang itu juga berjaya memberkas dua lelaki berusia 30-an yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan tersebut.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, kegiatan memindahkan minyak diesel tanpa kebenaran itu terbongkar berikutan risikan yang dilakukan selama dua minggu.

“Modus operandi digunakan ialah memindahkan minyak diesel berkenaan menggunakan hos paip.

“Minyak diesel yang merupakan barangan kawalan tersebut dipercayai dipindahkan dari tong drum dan tong jerikin ke dalam tangki lori,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Mufsi berkata, serbuan berjaya menangkap dua lelaki yang masing-masing mengaku penjaga premis dan pemandu lori.

Beliau berkata, kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan minyak diesel berkenaan.

“Sehubungan itu, 939 liter minyak diesel, sebuah lori tiga tan dan hos paip telah disita. Dua suspek juga telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Jual barang kemas, pinjam kawan RM72,467 diperdaya ‘scammer’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang pekerja kedai serbaneka mahu meraih pendapatan sampingan bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM72,467 diperdaya skim pekerjaan tidak wujud.

Tambah parah, wang yang lesap tersebut merupakan hasil jualan barangan kemasnya dan pinjaman daripada kawan-kawan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, wanita berusia 33 tahun terbabit telah menerima set pisau kelengkapan dapur kononnya daripada platform dagangan dalam talian yang dipos ke rumahnya di Kampung Telok Tok Adis, di sini, pada 11 Oktober lalu.

“Seorang individu tidak dikenali mengaku kononnya wakil platform dagangan dalam talian kemudiannya telah menghubungi mangsa pada 18 Oktober lalu.

“Suspek mendakwa kononnya set pisau kelengkapan dapur itu merupakan hadiah cabutan bertuah sebelum meminta mangsa menekan pautan yang diberinya menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya di sini, hari ini.

Azli berkata, sebaik menekan puatan terbabit, nombor telefom bimbit pekerja kedai serbaneka berkenaan terus dimasukkan ke dalam kumpulan aplikasi Telegram yang kononnya menawarkan pekerjaan sambilan.

Beliau berkata, wanita terbabit teruja dijanjikan komisyen RM1,200 selepas menyelesaikan 30 tugasan.

“Begitupun, mangsa diminta membuat pembayaran sebagai syarat untuk menerima komisyen terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kosmo! raih dua anugerah Media Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Media Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya, Kosmo! dan Utusan Malaysia meraih empat anugerah dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu 2026 yang berlangsung malam tadi.

Jurugambar Media Mulia, Puqtra Hairry Rosli merangkul tempat pertama Foto Terbaik Media Cetak bagi kategori Ekonomi menerusi gambar, Proses Pembuatan Arang yang disiarkan di Mingguan Malaysia pada 21 September 2025.

Pemberita sambilan Utusan Malaysia, Erma Yusnida Jusoh turut meraih tempat pertama bagi Berita Terbaik Media Cetak kategori Sosial menerusi hasil rencana, Menenun dengan jiwa, songket warisan yang mengangkat perjuangan seorang penenun songket di Pasir Panjang, Kuala Terengganu yang disiarkan pada 16 Oktober 2025.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Wakil Negeri Kosmo! Terengganu, Mohd. Azli Adlan pula mendapat tempat kedua bagi Berita Terbaik Media Cetak kategori Ekonomi menerusi berita, KMIKT tawar gabungan rawatan moden, spiritual yang disiarkan pada 3 Oktober 2025.

Pemberita sambilan Kosmo!, Nursyasya Nadhirah Zabidi memperolehi tempat keempat bagi Berita Terbaik Media Cetak kategori Sosial hasil wawancara Penyu merajuk, Pantai Rantau Abang kekal sepi tersiar dalam Kosmo! Ahad pada 5 Oktober 2025.

Mereka masing-masing meraih hadiah wang tunai RM300 dan RM200 selain trofi serta sijil penghargaan.

Penyampaian keempat-empat anugerah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Saturday, October 24, 2026

Takut digertak ‘scammer’, suri rumah melopong rugi setengah juga ringgit

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dikenakan tindakan perundangan selepas didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram, seorang suri rumah kerugian RM472,000 selepas diperdaya sindiket penipuan atau ‘scammer’.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 46 tahun itu dihubungi individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai sebuah kementerian pada 5 Ogos lalu.

“Mangsa panik apabila didakwa terlibat dalam aktiviti penyebaran saham pelaburan, bantuan kerajaan dan peluang pekerjaan.

“Panggilan telefon kemudian disambung kepada individu didakwa anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang,” katanya hari ini.

Azli berkata, mangsa diarahkan supaya memberitahu nombor Mykad sebelum didakwa terlibat pula dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Katanya, keadaan menjadi semakin panik apabila mangsa digertak kononnya waran tangkap sudah dikeluarkan sebelum panggilan telefon disambung kepada individu lain didakwa timbalan pendakwa raya.

“Seorang wanita yang menyamar sebagai timbalan pendakwa raya menawarkan penyelesaian kes dengan syarat mangsa perlu membuat pembayaran.

“Suspek berjanji akan memulangkan semula wang mangsa setelah siasatan selesai sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE


Friday, October 23, 2026

Kemasukan sukarela ke Puspen meningkat 3 kali ganda

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Kemasukan klien secara sukarela untuk menerima rawatan ke pusat pemulihan pusat pemulihan penagihan dadah (Puspen) kendalian Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara telah meningkat tiga kali ganda sejak pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 berkuatkuasa, Ogos tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tempoh itu, setiap bulan, purata 232 penagih dadah tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan berbanding cuma 75 orang sebelum ini.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan itu berkaitan pemansuhan status jenayah atau nyahjenayah terhadap individu terjebak dengan penyalahgunaan dadah dalam pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Sehingga September lalu, Puspen kendalian AADK seluruh negara mempunyai 45,999 klien dengan 2,333 orang daripadanya tampil sukarela.

“Ini satu anjakan baharu dalam rawatan dan pemulihan dadah. Masih belum lonjakan saujana tetapi ia merupakan peningkatan luar biasa berbanding sebelum ini,” katanya di Felda Tenang, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas meluncurkan program Kampung Angkat Madani Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Saifuddin Nasution berkata, ia selaras dengan harapan kerajaan yang mahu lebih ramai tampil mendapatkan rawatan pemulihan dadah secara sukarela tanpa perlu risau mempunyai rekod jenayah sewaktu melakukan pindaan akta itu.

Beliau percaya klien yang tampil secara sukarela mempunyai kesedaran tinggi sekali gus lebih mudah untuk dipulihkan berbanding mereka yang memasuki Puspen atas arahan mandatori mahkamah.

“Kebanyakan mereka yang tampil sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan di Puspen (sejak Ogos tahun lalu) merupakan golongan muda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Tahun depan agak mencabar, BAP RM800 sangat membantu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NORLIA RAMLI

KUALA TERENGGANU – Kenaikan insentif Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM200 bagi seorang pelajar yang diumumkan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2027 semalam rahmat besar buat ibu bapa terutama mereka yang mempunyai anak  ramai.

Seorang ibu, Siti Jamilah Hanim Jamil, 42, berkata, BAP tersebut amat bererti bagi persiapan empat anak yang bakal berada dalam darjah dua hingga tingkatan empat pada sesi persekolahan tahun hadapan.

“Alhamdulillah, tahun hadapan, anak-anak saya akan mendapat keseluruhan RM800 berbanding RM600 pada tahun ini.

“Kenaikan kadar BAP ini tanda keprihatinan kerajaan Madani yang mengurangkan beban rakyat berikutan  kos pembelian pakaian seragam dan peralatan sekolah yang kian meningkat tahun demi tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Siti Jamilah Hanim berkata, persiapan sesi persekolahan tahun hadapan yang bakal bermula 4 Januari depan sebenarnya agak mencabar kerana terlalu dekat dengan bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.

Penjawat awam itu berkata, sebahagian besar pemberian BAP tersebut akan digunakan untuk membeli pakaian seragam, kasut dan beg sekolah sekiranya perlu diganti serta buku rampaian anak-anaknya.

“Jika ada lebih, ia akan di simpan untuk melunaskan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secepat mungkin.

“Harap peniaga tidak ambil kesempatan menaikkan harga peralatan sekolah. Kalau boleh juga, agihlah BAP awal. Saya tiada halangan hadir ke sekolah untuk menerimanya,” katanya. 

Sementara itu di Baling, penoreh getah, Mohd Asri Bakar, 44, berkata, dia sememangnya menantikan pengumuman Belanjawan 2027 dengan harapan lebih banyak berita baik untuk golongan B40 sepertinya.

“Anak saya empat orang dan tiga daripadanya masih bersekolah, seorang di sekolah menengah dan dua lagi di sekolah rendah. Jadi, bantuan awal persekolahan ini amat menarik kerana ada kenaikan. Elok sangatlah sebab harga barang keperluan sekolah pun tinggi,” katanya.

Menurutnya, kenaikan sebanyak RM50 itu sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban kewangan keluarganya, terutama dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak bagi tahun hadapan.

“Pendapatan saya tidak tetap, jadi bantuan seperti ini memang membantu kami membuat persiapan awal persekolahan anak-anak,” katanya.

Dua peniaga wanita maut kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Dua peniaga wanita maut selepas kereta Proton Waja dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Selamat, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 3.45 petang itu, kedua-dua mangsa iaitu Nur Fauziah Ismail, 38, dan Zawiah Halias, 41, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Waja dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kereta mereka kemudian bertembung dengan sebuah treler yang dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan,” katanya di sini, hari ini.

Zahril Asri berkata, treler terbabit kemudiannya bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz, kereta Perodua Myvi dan sebuah lori.

Beliau berkata, mayat Nur Fauziah yang memandu kereta Proton Waja dan Zawiah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu, di sini, untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

460 kawasan berisiko banjir di pantau bomba Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengaktifkan operasi Monsun Timur Laut (MTL) hari ini menjelang ketibaan musim tengkujuh tersebut yang dijangka bermula pada awal bulan depan.

Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhamad berkata, kesemua lebih 70 aset logistik di semua 17 balai bomba di negeri ini telah diperiksa agar bersedia digunakan bagi tujuan penyelamatan mangsa banjir kelak.

Beliau berkata, sebarang kerosakan aset terbabit akan segera dibaiki dan diganti segera menjelang ketibaan MTL.

“Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kita kini sudah berada pada tempoh peralihan Monsun Barat Daya bermula sejak 9 Oktober (Jumaat) lalu.

“Ia akan berlarutan sehingga hujung bulan ini sebelum masuk MTL yang akan berlarutan sehingga Mac tahun hadapan,” katanya selepas memeriksa aset logistik JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini hari ini.

Nor Mahathir berkata, JBPM Terengganu telah bersiap siaga memantau sebanyak 460 kawasan berisiko banjir telah dikenalpasti di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, ia merangkumi 97 lokasi di Kuala Terengganu, Setiu (59), Dungun (72), Hulu Terengganu (63), Kemaman (55), Kuala Nerus (47), Marang (35) dan Besut (32).

“Kita akan mengaktifkan bilik gerakan bencana dan pasukan gerak cepat sebaik banjir bermula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

36 Rohingya ditahan memandu secara haram di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 69 warga asing termasuk 36 etnik Rohingya ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops Pewa) sejak 28 September lalu.

Operasi yang diadakan di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus turut menyita sebanyak 68 kenderaan meliputi 45 motosikal, kereta (17) dan lain-lain (enam).

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Zamri Samion berkata, operasi yang berakhir hari ini turut menahan enam warga Bangladesh, China (9) Indonesia (7), Pakistan (5), Thailand (1) dan lain-lain (5).

“Sebanyak 315 saman dan dua notis kompaun dikeluarkan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan trafik.

“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Terengganu di sini, hari ini.

Mohd. Zamri berkata, siasatan awal mendapati kebanyakan motosikal yang disita tersebut disewa oleh warga asing terbabit terutamanya etnik Rohingya daripada penduduk tempatan.

Jelas beliau, kereta pula dibeli secara ansuran juga daripada warga tempatan tanpa melakukan penukaran nama.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir penduduk tempatan tersebut menyukarkan penguatkuasaan terhadap perbuatan warga asing terutama dari Myanmar memandu kereta dan menunggang motosikal secara haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, October 22, 2026

Pemandu bas tunggang skuter maut bertembung Proton Wira

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu bas maut selepas skuter ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Teluk Menara, Manir, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Faizal Salleh, 48, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mohd. Faizal dikatakan dalam perjalanan ke depoh bas di Chendering dari rumahnya di Batu Hampar, Manir, di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, skuter Honda Vario ditungganginya mangsa (Mohd. Faizal) yang merupakan pemandu bas Bas.My dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Sebuah kereta Proton Wira dipandu peniaga berusia 39 tahun gagal mengelak lalu merempuh skuter mangsa,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Mohd. Faizal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk tindakan lanjut.

“Pemandu kereta Proton Wira pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama setelah mengadu sakit dada. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Remaja Thailand maut, tiga termasuk bayi kritikal kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pembantu jurujual warga Thailand maut selepas kereta Perodua Axia dinaikinya terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 68, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Apek, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada puku 8.30 pagi tersebut, mangsa, Muhammad Dini Haikal Rosli, 16, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Selain 10 mangsa lain pula mengalami kecederaan dengan tiga dilaporkan kritikal termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan
Zahril Asri Mohd. Zain berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Axia dinaiki Muhammad Dini Haikal bersama dua lelaki lain dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan dari Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna, Toyota Ulser yang dipandu lelaki berusia 43 tahun gagal mengelak lalu merempuh kereta Perodua Axia terbabit,” katanya di sini hari ini.

Zahril Asri berkata, kemderaanToyota Ulser itu kemudiannya merempuh sebuah kereta Perodua Axia lain yang dipandu lelaki berusia 63 tahun.

Beliau berkata, dua rakan Muhammad Dini Haikal dan bayi yang menaiki kenderaan Toyota Ulser dilaporkan kritikal dan sedang merima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Setiu, di sini. – KOSMO! ONLINE

Simpanan RM1.99 juta lesap, kerabat diraja Terengganu saman dua bank

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kerabat diraja Terengganu memfailkan saman sivil terhadap dua institusi kewangan tempatan bagi menuntut semula simpanannya berjumlah keseluruhan kira-kira RM1.99 juta yang didakwa telah lesap daripada akaun simpanan peribadinya pada tahun lalu.

Writ saman tersebut difailkan menerusi dua peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dan Mohd. Hazwan Hamidun dari firma guaman, Rafie & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Plaintif, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, menuntut semua wang simpanannya berjumlah keseluruhan RM1,985,065 yang hilang dipulangkan semula oleh dua institusi kewangan terbabit yang dinamakan sebagai defendan.

Ahli perniagaan tersebut juga menuntut ganti rugi am, kos guaman dan faedah daripada kedua-dua defendan berkenaan.

Berdasarkan penyataan writ saman, plaintif yang mendakwa tidak pernah menggunakan mana-mana aplikasi pembankan dalam talian itu hanya menyedari wang simpanan di dalam dua akaun bank terbabit telah hilang pada bulan Januari lalu.

Kunjungannya di dua cawangan bank berkenaan itu mendapati baki simpanannya masing-masing hanya tinggal RM73 dan RM99.

Semakan kemudiannya mendapati kesemua transaksi pengeluaran wang simpanan mencurigakan tersebut didakwa berlaku antara September hingga Disember tahun lalu.

Laporan polis berhubung kehilangan wang simpanan tersebut telah dibuat Tengku Ismail di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, pada 15 Januari lalu.

Plaintif mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk mengaktifkan kemudahan perbankan dalam talian, memindahkan wang keluar mahupun mengesahkan sebarang transaksi dipertikai berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori maut kemalangan di LPT 2

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berat berkenaan di Kilometer 428.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 11 malam itu, mangsa, A. Divakgar, 26, yang berasal dari Taman Klang Indah, Selangor meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, lori yang dipandu Divakgar dikatakan dalam perjalanan ke sebuah premis perniagaan di Gong Badak, Kuala Nerus dekat sini dari Johor Bahru.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipandu mangsa (Divakgar) dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori lain membawa muatan bahan binaan di hadapannya

“Impak kemalangan itu turut menyebabkan pemandu lori yang dirempuh mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Divakgar yang tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan anggota bomba.

Beliau berkata, mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Percaya ‘ustaz’ mampu ganda wang, simpanan RM42,580 pesara lesap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki mengaku ustaz kononnya mampu menggandakan wang, simpanan RM42,580 seorang wanita warga emas lesap begitu sahaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara berusia 71 tahun itu terlihat iklan daripada seorang ‘ustaz’ kononnya mampu menggandakan wang di laman Facebook pada 1.15 tengah hari, 7 Oktober lalu.

“Mangsa yang tertarik telah meninggalkan nombor telefon bimbitnya di ruangan komen sebelum dihubungi suspek yang menggelarkan dirinya ‘ustaz’.

“Suspek kemudiannya meminta wanita warga itu menghubungi individu lain yang didakwa kononnya tuan gurunya bagi menyertai skim gandaan wang kononnya menawarkan pulangan RM300,000,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, pesara tersebut kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran oleh ‘tuan guru’ terbabit bagi menyertai skim berkenaan.

Beliau berkata, wanita warga emas terbabit akur membuat pembayaran keseluruhan RM42,580 menerusi lima transaksi ke dalam empat akaun bank diberi suspek.

“Begitupun mangsa tidak mendapat pulangan dijanjikan malah sebaliknya diminta agar memindahkan RM50,000 ke dalam salah satu akaun bank peribadinya sendiri.

“Wanita itu mula curiga dan akhirnya menyedari dirinya sudah tertipu. Kali ini, pesara terbabit enggan menuruti arahan tersebut sebaliknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini pada pukul 11.06 malam, kelmarin,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Wednesday, October 21, 2026

Sesat hutan Kampung La: Dua beranak ditemui lemah keletihan

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua beranak yang tersesat di dalam hutan berhampiran Kolam Air Panas La, Hulu Besut di sini sejak Khamis lalu akhirnya berjaya ditemui sebentar tadi.

Adam Adnan, 25, dan bapanya Adnan Mohamad, 57, berjaya keluar dari hutan tersebut dengan bantuan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.40 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mustafa Ismail berkata, terdahulu kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan keletihan di dalam hutan tersebut kira-kira tiga kilometer dari pinggir hutan.

“Mereka ditemukan anggota pasukan SAR di lokasi berkenaan pada pukul 12.40 tengah hari tadi.

“Dua jam diambil untuk membawa kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah keletihan keluar dari hutan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu Adam dan Adnan yang memasuki hutan tersebut untuk mencari akar kayu pada pukul 7 pagi, kelmarin tersesat selama lebih 48 jam kerana gagal mencari jalan pulang.

Adam sempat berkomunikasi dan meninggalkan koordinat lokasi terakhir dia dan bapanya di dalam hutan menerusi aplikasi WhatsApp kepada isterinya sebelum bateri telefon bimbitnya kehabisan pada pukul 3.30 petang, semalam.

Mustafa berkata, Adam dan bapanya, Adnan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Resah suami, bapa mentua sesat dalam hutan sejak Khamis

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Seorang wanita resah suami dan bapa mentuanya dikhuatiri hilang selepas tersesat di kawasan hutan berhampiran kawasan Air Panas La, Hulu Besut, di sini, sejak kelmarin.

Nur Aliah Zamin, 20, berkata,suaminya, Adam Adnan, 25, mengikut bapanya Adnan Mohamad, 57, memasuki kawasan hutan terbabit untuk mencari akar kayu pada pukul 7 pagi, Khamis lalu.

“Mereka mahu mencari akar kayu untuk berubat. Dalam pukul 3 petang, kelmarin, saya dihubungi suami (Adam) memberitahu sudah tersesat.

“Begitupun suami memberitahu dia dan bapa mentua saya tidak berputus asas mencari jalan keluar dari hutan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Kampung La, di sini, hari ini.

Nur Aliah berkata, begitupun suami dan bapa mentua tetap gagal mencari jalan keluar biarpun sudah lebih tujuh jam berjalan kaki di dalam hutan itu.

Katanya, suami sempat menghubungi mahu bermalam di dalam hutan tersebut kerana sudah kepenatan sebelum berhasrat terus cuba mencari jalan keluar pada keesokan harinya.

“Kali terakhir kami dapat berhubung pada pukul 10 pagi semalam, dia (Adam) sempat menghantar kordinat kedudukan semasa mereka di dalam hutan terbabit.

“Begitupun, suami saya mula gagal dihubungi pada pukul 3.30 petang semalam menyebabkan kami sekeluarga panik dan memutuskan untuk memohon bantuan pihak berkuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

125 motosikal kena sita sebab buat bising, tunggang bahaya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan nakal segelintir penunggang motosikal termasuk sebahagiannya peserta sebuah acara permotoran membuat bising dan menunggang secara berbahaya di sekitar bandar raya ini membawa padah apabila mereka ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sebanyak 125 motosikal pelbagai jenis turut disita dalam operasi yang dijalankan di Padang Midin di sini dan pusat bandar raya ini.

“Kita menerima rungutan awam yang kurang senang tindakan segelintir penunggang motosikal yang kebanyakannya remaja menunggang motosikal secara berbahaya dan membuat bising di sekitar kawasan perumahan.

“Bandar raya ini juga menerima limpahan penunggang motosikal yang sebahagiannya menyertai sebuah acara permotoran pada hujung minggu ini,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, sebanyak 125 daripada 237 motosikal yang diperiksa dalam operasi terbabit telah disita Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, operasi sama juga telah mengeluarkan 447 keping notis kompaun trafik atas pelbagai kesalahan.

“Orang ramai terutama golongan remaja dinasihat sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan menjauhi aktiviti samseng jalanan.

“Ibu bapa juga digesa memantau aktiviti anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala menyalahi undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Budak mahu ambil bola maut dirempuh lori

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun yang dikatakan mahu mengambil sebiji bola di tengah jalan maut akibat dirempuh sebuah lori di Kampung Surau Haji Daud, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 4.10 petang itu, mangsa yang merupakan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun dikatakan dalam perjalanan ke Kampung Tok Dir, di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tersebut gagal mengelak lalu merempuh mangsa.

“Kanak-kanak berusia lapan itu dikatakan mahu mengambil sebiji bola yang terdapat di jalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, mayat murid tahun dua terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Liga Super: JDT gah tewaskan TFC 3-0

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan di persada liga manakala skuad Sang Penyu terus tercicir ke tangga kesembilan.

Pada mulanya, tuan rumah bukan sahaja ampuh menyerap serangan JDT malah hampir mendahului menerusi pemain tengah, Ahmad Haziq Kutty Alba pada minit kesembilan.

Dua percubaaan pemain pertahanan JDT, Oscar Aribas masing-masing pada minit 16 dan 18 pula tersasar.

Begitupun, kerja keras barisan serangan skuad Harimau Selatan akhirnya berhasil memecah kebuntuan menerusi jaringan pemain naturalisasi, Bergson da Silva pada ke-25.

Pintu gawang skuad Sang Penyu sekali lagi bocor menerusi jaringan Aribas yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Suhaimi Husin pada minit ke-41.

Mohd. Suhaimi tewas lagi buat kali ketiga selepas gagal menahan rembatan pemain gantian JDT, Zahetabar Shahab pada minit ke-86.

Terdahulu, TFC kempunan untuk merapatkan kedudukan apabila tendangan penalti yang diambil Ahmad Haziq berjaya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-64. – KOSMO! ONLINE