KEMAMAN – Pas menegaskan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak perlu melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu walaupun bertanding sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden parti itu tidak menyalahi sistem demokrasi yang membolehkan seorang Menteri Besar bertanding di kerusi Parlimen.
Tegas beliau, perlembagaan negara membenarkan seorang Menteri Besar memegang jawatan Ahli Parlimen dalam penggal sama.
“Saya pun pernah jadi Menteri Besar (Terengganu) dan Ahli Parlimen Marang (pada 1999 hingga 2004). Itu tidak salah bagi politik Malaysia.
“Sekarang pun terdapat dua Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen,” katanya ketika mengiringi Ahmad Samsuri pada hari penamaan calon di sini semalam.
Abdul Hadi mengulas cabaran Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said agar Ahmad Samsuri melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar dan memberi fokus kepada kerusi Parlimen Kemaman yang ditandinginya.
Azalina dipetik berkata, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Redang tidak seharusnya bertanding atas tiket Menteri Besar sekiranya benar-benar mahu menabur bakti kepada penduduk Parlimen Kemaman.
Sementara itu, Ahmad Samsuri pula menyifatkan kenyataan Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO tidak berasas.
“Mungkin Azalina tengah pening dan stres ketika memberi kenyataan itu,” katanya
No comments:
Post a Comment