Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
BESUT – Seorang pekerja kilang keropok keping sempat singgah di rumah keluarganya di Kampung Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan sebelum maut akibat lemas di Sungai Tok Gong, Jerteh di sini kelmarin.
Hussin Jusoh, 46, terjatuh ke dalam Sungai Tok Gong, Jerteh di sini, selepas bot gentian kaca dinaiki bersama rakannya terbalik di sungai itu pukul 2.45 pagi.
Mayat lelaki yang masih bujang itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 7.45 pagi semalam.
Kakak mangsa, Naimah Jusoh, 55, berkata, adiknya, Husin yang bekerja di Kuala Besut di sini, singgah menemui mereka di selepas solat Jumaat.
“Arwah adik (Husin) cuma singgah sebentar dan memberitahu mahu keluar memancing udang bersama rakan-rakannya selepas solat asar hari itu (Jumaat).
“Memang dia biasanya keluar memancing udang di kawasan itu bersama rakan-rakannya pada waktu lapang,” katanya semalam.
Naimah berkata, mereka sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa kerama Husin tidak menunjukkan sebarang perubahan drastik.
“Husin seorang yang mahir berenang dan kami percaya arus deras sungai sewaktu kejadian menyebabkan adik gagal menyelamatkan diri lalu lemas,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, sewaktu kejadian, Husin menaiki bot gentian kaca terbabit bersama seorang rakan lelakinya berusia 35 tahun.
Beliau berkata, bot dinaiki kedua-dua mangsa itu dikatakan secara tiba-tiba dihanyutkan arus deras sungai sebelum terlanggar sebatang kayu mati menyebabkan bot itu hilang keseimbangan lalu mereka tercampak ke dalam sungai.
“Mangsa dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam ke dalam sungai, manakala rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing,” katanya.
Abdul Rozak berkata, mayat Husin yang ditemui kira-kira 250 meter dari lokasi kejadian telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.
No comments:
Post a Comment