Translate

Sunday, August 28, 2022

Gadis luah mahu berhenti kerja sebelum rentung

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Keluarga pembantu kedai makan berusia 20 tahun yang rentung dalam kemalangan kelmarin tidak menduga hasrat wanita itu untuk berhenti kerja beberapa hari sebelum nahas bagaikan petanda dia akan pergi selamanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.05 petang itu, Nurul Emylia Natasha Zulkifli maut apabila kereta Perodua Kelisa dinaiki­nya terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja dekat Setiu, Terengganu.

Pemandu kereta Perodua Kelisa terbabit, Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, yang juga kawan Nurul Emylia dan pemandu lori, Mohd. Noridzuan Zainudim, 28, hanya mengalami kecederaan pada bahagian leher selepas berjaya menyelamatkan diri.

Sepupu mangsa, Nor Intan Liana Nordin, 38, berkata, Nurul Emylia atau lebih mesra disapa Yaya bekerja di sebuah kedai nasi ayam di pusat bandar Pasir Puteh untuk membantu me­ringankan bebanan keluarga selepas ayah tirinya menghidap penyakit angin ahmar, manakala ibunya tidak bekerja.

Menurutnya, beberapa hari sebelum insiden berkenaan Yaya ada menyuarakan hasratnya untuk berhenti kerja sebagai pembantu kedai buat selama-lama­nya, namun tidak menyatakan alasan berbuat demikian.

“Dia (Yaya) seorang yang ceria dan sering berkongsi semua perkara kepada keluarga, namun sikapnya mula berubah menjadi pendiam sejak seminggu lalu le­bih-lebih lagi apabila menyatakan hasrat untuk berhenti kerja.


“Yaya juga ada mengajak rakan-rakannya keluar ke pasar malam sehari sebelum kejadian untuk membeli chicken chop ke­rana dia teringin sangat de­ngan hidangan itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Pulau Lima di sini semalam.

Menurut Nor Intan Liana, pada hari kejadian arwah keluar untuk menghadiri taklimat khas pengambilan lesen memandu di sebuah institusi memandu di Bachok bersama seorang kenalan lelakinya dan mereka berdua mungkin ke Kuala Terengganu selepas itu.

Katanya, seluruh ahli keluarga tahu mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 7 malam selepas menerima panggilan telefon daripada pihak polis.

Tambah Nor Intan Liana, jenazah Nurul Emylia disolatkan di Masjid Kampung Pulau Lima di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi selepas solat Asar semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, Nurul Emylia dan Mohammad Ikhwan Hakim dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan dari Kuala Terengganu.

“Pada masa sama, sebuah lori milik sebuah butik pengantin sedang menghala ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian bagi mengutip ranting kayu untuk dijadikan dekorasi pelamin sebuah majlis perkahwinan di Penarik di sini.


“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan telah memberi isyarat membelok ke kanan, namun kereta Perodua Kelisa GX dibelakangnya cuba memotong tetapi gagal,” katanya semalam.

Afandi berkata, impak rempuhan itu, kedua-dua kenderaan terbabit telah mengalami kebakaran.

Jelas beliau, tiga pekerja butik pengantin yang berada di dalam lori jenis Isuzu berkenaan serta Mohammad Ikhwan Hakim berjaya menyelamatkan diri keluar dari kenderaan masing-masing.

“Begitu pun, seorang lagi mang­sa (Nurul Emylia) yang berada di tempat duduk penum­pang belakang gagal menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu,” katanya.

Afandi berkata, dua lagi mang­sa yang cedera iaitu Mohammad Ikhwan Hakim dan Mohd. Noridzuan pula dirawat di unit kecemasan hospital sama dan kes kemalangan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Saturday, August 27, 2022

Henti serta-merta tarah Bukit Buchu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengarahkan supaya aktiviti pencerobohan di Bukit Buchu, Batu Rakit di Kuala Nerus supaya dihentikan serta-merta bagi melindungi khazanah berharga berupa fo­sil purba di situ daripada terus dirosakkan oleh penceroboh.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, beliau terkejut dengan pencerobohan itu seperti yang didedahkan Kosmo! pada Khamis lalu.

Katanya, langkah awal ialah mengarahkan agensi bertanggungjawab memastikan sebarang pencerobohan di tapak warisan geologi itu dihentikan serta-merta.

“Siasatan akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung kerosakan yang telah berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, hasil siasatan penting untuk menentukan tindakan yang patut diambil kelak.

“Bukit Buchu merupakan khazanah alam semulajadi yang tidak ternilai buat Terengganu,” katanya.

Khamis lalu, Kosmo! me­laporkan khazanah fosil hidupan marin kuno yang dianggarkan berusia 350 juta tahun di Bukit Buchu sedang terancam disebabkan hakisan teruk ekoran aktiviti pencerobohan manusia dan luluhawa.

Kawasan tersebut menyimpan 1,001 fosil hidupan marin kuno seperti brakiopoda, bryozoa, karang, trilobit dan krinoid yang begitu bernilai.

‘Segera selamatkan Bukit Buchu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu digesa agar tidak berdiam diri sebalik­nya mengambil tindakan segera menyelamatkan Bukit Buchu, Kuala Nerus yang kini sedang diancam kemusnahan.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd. Rahman berkata, aktiviti pencerobohan yang sedang berlaku di bukit yang menyimpan fosil prasejarah bernilai tinggi tersebut perlu dihentikan segera.

“Kerja-kerja konservasi bagi memulihkan struktur Bukit Buchu mesti dimulakan secepat mungkin.

“Bukit Buchu mengandungi banyak khazanah berharga sebagai sumber rujukan penting ahli geologi bagi mengkaji zaman prasejarah di negara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin Kosmo! melaporkan, khazanah fosil hidupan marin kuno dianggarkan berusia 350 juta tahun di Bukit Buchu sedang terancam disebabkan hakisan teruk ekoran aktiviti pencerobohan manusia dan luluhawa.

Kawasan tersebut adalah tapak warisan geologi yang mempunyai 1,001 khazanah saintifik bernilai tinggi susulan penemuan fosil hidupan marin kuno seperti brakiopoda, bryozoa, karang, trilobit dan krinoid.

Bazlan berkata, beliau akan terus memperjuangkan kelesta­rian Bukit Buchu termasuk menyuarakannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak lama lagi.

Katanya, selain menghentikan aktiviti manusia secara serta-merta, kerajaan negeri juga perlu menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) kerja-kerja eksplorasi yang lebih terperinci di Bukit Buchu.

“Kita mahu kelestarian Bukit Buchu terus terjaga. Saya juga berharap cadangan pakar geologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) agar galeri dibina di kawasan itu turut mendapat pertimbangan kerajaan negeri.

“Ia pendekatan terbaik untuk memberi kesedaran kepentingan memulihara tapak warisan geologi negara kepada masyarakat khususnya generasi muda,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Bertindak tegas halang pencerobohan Bukit Buchu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan disaran untuk segera mengarahkan pihak terlibat supaya menghentikan aktiviti menarah bukit bagi mengambil tanah dan batuan bagi memelihara khazanah fosil bernilai di Bukit Buchu, Batu Rakit di sini. 

Pensyarah Geosains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu, Dr. Muhd. Nur Ismail Abdul Rahman berkata, ia bertujuan bagi memastikan kelestarian khazanah fosil yang dianggarkan berusia 350 juta tahun itu. 

Beliau berkata, selain itu,…

Fosil purba 350 juta tahun musnah selepas bukit ditarah

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Penerokaan rakus manusia untuk mengangkut tanah dan batu di Bukit Buchu, Batu Rakit di sini, bagi kerja-kerja pembinaan mengundang risiko apabila telah mengakibatkan sebahagian besar khazanah fosil hidupan marin kuno berusia 350 juta tahun musnah. 

Bukit yang diwartakan sebagai tapak warisan geologi bernilai tinggi itu kini sedang mengalami kepupusan dan kemusnahan teruk ekoran tangan-tangan manusia yang sewenang-wenangnya mengambil tanah dan batuan di situ tanpa pengawasan daripada pihak berkuasa. 

Beginilah keadaan Bukit Buchu, Batu Rakit yang hampir gondol…

Pembantu kedai makan rentung, kereta terbakar akibat kemalangan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pembantu kedai makan wanita maut selepas kereta Perodua Kelisa GX dinaikinya terbakar setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 85 Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja berhampiran Kampung Gong Batu di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.05 petang itu, mangsa, Nurul Emylia Natasha Zulkifli, 20, ditemui dalam keadaan rentung setelah terperangkap di dalam kereta yang terbakar terbabit.

Pemandu kereta Perodua Kelisa GX terbabit, Mohammad Ikhwan Hakim Daud, 21, yang juga kawan Nurul Emylia dan pemandu lori, Mohd. Noridzuan Zainudim, 28, turut mengalami kecederan pada bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, Nurul Emylia dan Mohammad Ikhwan dikatakan dalam perjalanan pulang ke Pasir Puteh, Kelantan dari Kuala Terengganu.

“Pada masa sama, sebuah lori milik sebuah butik pengantin sedang menghala ke kawasan hutan berhampiran lokasi kejadian bagi mengutip ranting kayu untuk dijadikan dekorasi pelamin sebuah majlis perkahwinan di Penarik di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori itu dikatakan telah memberi isyarat membelok ke kanan namun kereta Perodua Kelisa GX dibelakangnya cuba memotong tetapi gagal,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, impak rempuhan itu, kedua-dua kenderaan terbabit telah mengalami kebakaran. – KOSMO! ONLINE

Friday, August 26, 2022

Dua Exco Terengganu terima gelaran Datuk

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 91 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-60.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan pingat berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut berlangsung di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Mohd. Zamruni Khalid yang dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai 18 individu termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Satiful Bahari Mamat dan Dr. Alias Razak pula dikurnia Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T).

Selain itu, darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk itu juga dikurnia kepada Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Muhammad Idham Nawawi; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. dan Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Wan Rukman Wan Hassan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Terengganu, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan Pengarah Pertanian negeri, Zulkepli Mat Jusoh @ Yusof turut dikurnia darjah kebesaran D.P.M.T. berkenaan.

Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.M.Z) kepada 25 individu termasuk empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terenganu iaitu Hanafiah Mat, Ariffin Deraman, Dr. Mamad Puteh dan Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Seramai 17 individu termasuk dua ahli akademik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) iaitu Prof. Dr. Tengku Sifizul Tengku Muhammad dan Prof. Dr. Mohd. Shaladdin Muda pula dikurnia pingat Darjah Ahli Setia Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (S.M.T).

Pingat Darjah Kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (A.M.Z) dan Darjah Ahli Mahkota Terengganu Yang Amat Terhormat (A.M.T) pula masing-masing dikurniakan kepada empat dan 26 orang.

Antaranya penerimanya ialah Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah. – KOSMO! ONLINE

Bukan 230, cuma dua motosikal Yamaha RXZ dicuri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Polis Terengganu menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya 230 kecurian melibatkan motosikal milik peserta program Yamaha RXZ Members 4.0 pada hujung minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, setakat ini, pihakmya hanya menerima dua laporan kehilangan motosikal Yamaha RXZ pada kelmarin.

“Hanya dua motosikal Yamaha RXZ yang dilaporkan hilang. Kedua-duanya telah dicuri di sebuah inap desa di daerah ini pada Ahad lalu,” katanya di sini semalam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.


Dalam pada itu, Rohaimi memberitahu kontijen Terengganu juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kompaun trafik terhadap mana-mana penunggang motosikal Yamaha RXZ sepanjang penganjuran program berkenaan.

Sebelum ini, tular dakwaan kononnya 230 buah motosikal Yamaha milik peserta program dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan telah dicuri.

Selain itu, gambar kononnya ramai peserta program Yamaha RXZ Members 4.0 ditahan polis dalam sekatan jalan raya yang sengaja diadakan di Terengganu juga tular di media sosial.

Kosmo! semalam melaporkan dua peserta program berkenaan berputih mata selepas motosikal Yamaha RXZ mereka yang diletakkan di kawasan inap desa disewa di Pak Tijah di sini telah dicuri. – KOSMO! ONLINE

Tiada lagi layanan kelas kedua ‘kaki RXZ’

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HUJUNG minggu lalu, bandar raya Kuala Terengganu dan daerah bersebelahan, Kuala Nerus meriah dengan kehadiran lebih 40,000 peminat motosikal dari seluruh negara.

Mereka menyertai program RXZ 4.0 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Litar Permotoran Gong Badak.

Ia merupakan perhimpunan peminat motosikal Yamaha RXZ terbesar di Terengganu sejak fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Di sebalik beberapa hal kecil kurang enak seperti lambakan sampah-sarap yang ditinggalkan, kecurian dua motosikal dan satu kemalangan maut melibatkan seorang peserta, program tersebut dilihat telah mencapai matlamatnya.

Program RXZ Members 4.0 tersebut telah membuka mata kerajaan untuk mendengar keluhan golongan peminat motosikal yang telah diluahkan sekian lama.

Kejayaan terbesar apabila kerajaan bersetuju untuk membina litar lumba drag di setiap negeri seluruh negara.

Cadangan pembinaan litar lumba yang boleh menjadi solusi gejala perlumbaan haram di negara ini itu dijanjikan akan dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2023 pada Oktober ini.

Ismail Sabri juga secara jelas berharap pesepsi umum masyarakat yang melabelkan peminat motosikal secara keseluruhan dengan pelbagai gelaran negatif seperti mat rempit supaya diperbetulkan.

Ujar beliau, kelab berasaskan permotoran juga telah banyak menggerakkan pelbagai aktiviti sihat dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Seorang pengasas kelab RX-Z Terengganu, Mohamad Faiza Ali berkata, dua perkara tersebut merupakan mesej penting yang berjaya disampaikan sepanjang penganjuran program tersebut.

“Saya tidak menyangka idea program ini yang dicambah menerusi ‘sesi mengopi’ (minum kopi) bersama lima sahabat baik pada tahun 2017 boleh memberi impak yang luar biasa.

“Sewaktu program sulung yang diadakan pada tahun itu, seramai 10,000 pemilik motosikal Yahama RXZ menyertainya dan kini ia te­lah berkembang pesat kepada lebih 40,000 peserta berdaftar pada penganjuran kali keempat,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Mohamad Faiza memberitahu, sokongan terhadap program RXZ Members semakin padu dengan banyak permintaan diterima untuk meneruskannya pada tahun-tahun akan datang.

Jelas lelaki itu, kebanyakan peserta mahukan negeri Terengganu dikekalkan bagi membo­lehkan mereka menyelam sambil minum air dengan melawat destinasi menarik di negeri Pantai Timur tersebut.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui negeri tersebut menerima lebih banyak impak positif daripada perhimpunan motosikal berskala besar berkenaan.

Beliau berkata, walaupun ia berlangsung selama dua hari, program tersebut telah menjana jutaan ringgit untuk ekonomi Terengganu.

“Saya mendapat laporan bahawa bilik penginapan hotel dan inap desa di sekitar Kuala Terengganu penuh berikutan program RXZ Members 4.0.

“Begitu juga dengan restoran dan kedai makan yang mendapat limpahan pelanggan. Peserta juga banyak berbelanja untuk membawa pulang cenderahati dan makanan tradisional Terengganu,” katanya.

Difahamkan kejayaan program RXZ 4.0 telah mendorong banyak kelab permotoran bagi motosikal jenis lain merancang untuk me­ngadakan perhimpunan di Litar Permotoran Gong Badak dalam masa terdekat.

309 Waris Sultan Zainal Abidin III tuntut hak tanah faraid

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Tengku Sri Paduka Raja Terengganu, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah memfailkan permohonan semakan keputusan rayuan berhubung status pemilikan tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang, Kemaman di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu di sini hari ini.

Permohonan bagi pihak lebih 309 waris Sultan Terengganu ke-12, Sultan Zainal Abidin III itu berhubung status tanah yang sudah menjadi pertikaian sejak 99 tahun lalu itu difailkan menerusi peguam syarie, Musa Awang daripada Tetuan MA & Associates.

Musa berkata, permohonan semakan keputusan rayuan terhadap status tanah seluas kira-kira 5,463 hektar tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang, Kemaman tersebut telah menamakan kerajaan negeri Terengganu secara responden.

“Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dipohon agar mengeluarkan perintah membenarkan semakan semula berhubung keputusan tanah cap zuriat berkenaan yang diputuskan pada 1 Julai 2007 lalu,” katanya di sini hari ini.

Musa berkata, tanah cap zuriat di Sungai Mengkuang yang berpindah milik kepada kerajaan negeri Terengganu sejak tahun 1923 berkenaan telah dibangunkan sebagai tanah rancangan Felda.

Sehubungan itu, waris Sultan Zainal Abidin III menuntut Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memerintahkan supaya tanah tersebut digantikan ke lokasi lain yang telah dikenalpasti mengikut kaedah istibdal.

Jelas beliau, dokumen tanah cap zuriat Sungai Mengkuang itu hanya diterokai dan diperolehi oleh waris-waris Sultan Zainal III pada tahun 1988 sebelum perakuan faraid diperolehi dari Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 24 Ogos 2000.

“Plaintif (Tengku Ibrahim) kemudiannya berjaya dalam tuntutannya berhubung pembahagian dan perwarisan pusaka bagi pihak waris Sultan Zainal Abidin III pada 25 Oktober 2005 sebelum kerajaan negeri Terengganu berjaya dalam rayuan untuk membatalkan keputusan itu pada dua tahun kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, August 25, 2022

Suspek sindiket ah long, rokok seludup direman hingga Selasa

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Empat lelaki yang disyaki anggota sindiket rokok seludup dan pinjaman tidak berlesen ditahan reman selama tiga hari lagi.

Timbalan Ketua Polis, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, tambahan tahanan reman sehingga lusa itu telah diterima dari Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Siasatan lanjut terhadap keempat-empat suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 34 tahun itu akan diteruskan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan polis berjaya menumpaskan kegiatan sebuah sindiket rokok seludup yang juga bergelar ah long pada Rabu minggu lalu.

Wan Rukman berkata, siasatan awal mendapati anggota sindiket itu yang berasal dari Selangor baru aktif di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket tersebut ialah memasarkan bekalan rokok disyaki tanpa cukai kepada pengusaha kedai runcit dan peniaga kecil di sekitar bandar raya ini. – KOSMO! ONLINE

Sindiket ah long, seludup rokok tumpas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kegiatan sebuah sindiket rokok seludup bergelar ah long yang aktif di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu berjaya ditumpaskan polis pada Rabu lalu.

Serbuan berasingan di dua pangsapuri di bandar raya berkenaan berjaya menahan empat lelaki berusia  lingkungan 26 hingga 34 tahun yang disyaki anggota sindiket berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, modus operandi sindiket ini ialah memasarkan bekalan rokok disyaki tanpa cukai tersebut kepada pengusaha kedai runcit dan peniaga kecil di sekitar bandar raya ini.

“Sewaktu melakukan urus niaga rokok seludup berkenaan, mereka juga akan menawarkan kemudahan pinjaman wang tanpa lesen kepada peniaga terbabit.

“Berdasarkan semakan awal, seramai antara 10 hingga 15 individu telah mendapatkan perkhidmatan pinjaman wang daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, serbuan di sebuah pangsapuri dekat Pulau Kambing turut menemui wang tunai kira-kira RM86,000 yang disimpan di dalam sebuah peti simpanan.

Tambah beliau, polis juga menjumpai 200 karton rokok disyaki tanpa cukai manakala 26 karton rokok seludup lain pula ditemui dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri berasingan di pusat bandar raya ini pada pukul 11 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE

KPDNHEP kesal peniaga makanan enggan turun harga

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sikap sebahagian peniaga makanan yang masih tidak menurunkan harga amat dikesali walaupun bahan mentah pada waktu ini rata-ratanya sudah semakin murah dan mudah didapati.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dal Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan secara rawak mendapati harga makanan di restoran dan kedai makan di seluruh negara masih lagi tinggi.

Beliau berkata, tidak ramai peniaga makanan mengambil inisiatif menurunkan semula harga jualan mereka walau pun isu kenaikan bahan mentah kini sudah semakin reda.

“Harga barang mentah turun, harga makanan tak turun tetapi apabila harga ayam naik, esok terus naik harga (makanan).

“Harga nasi ayam naik sehingga RM12 sepinggan. Hari ini harga ayam sudah turun antara RM6.40 dan RM7 sekilogram tapi harga sepinggan nasi ayam masih lagi RM12,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pegawai Syariah Terengganu di sini semalam.

Sehubungan itu, Rosol merayu golongan peniaga menggunakan budi bicara untuk menurunkan semula harga makanan pada masa terdekat.

Jelas beliau, sikap terpuji itu pasti membantu meringankan beban pengguna yang masih terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup masa ini.

“Jangan sampai KPDNHEP terpaksa mengambil tindakan drastik menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemandu lori maut di tapak pembinaan ECRL

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang pemandu lori maut akibat digilis kenderaan dipandunya sendiri setelah terlibat dalam kemalangan di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Merchang di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa, Nasaruddin Nasir, 37, yang berasal dari Taman Sri Tanjung, Dungun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, mangsa dikatakan sedang memandu lori terbabit menuju ke bengkel dari tapak pembinaan.

“Sewaktu menuruni kawasan berbukit, lori yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam kawasan curam pada ketinggian kira-kira tiga meter.

“Impaknya, mangsa telah tercampak keluar dari lori dipandu menerusi cermin hadapan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kepala Nasaruddin kemudiannya telah digilis salah sebuah tayar belakang lori berkenaan.

Tambah beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Sunday, August 14, 2022

Majikan perlu proaktif sedia fasiliti ibu menyusu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Majikan diseru agar lebih proaktif menyediakan fasiliti di tempat kerja bagi menyokong penyusuan ibu dalam kalangan wanita bekerja.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, suasana kondusif di tempat kerja amat penting bagi membantu ibu muda berkerjaya menyusukan bayi mereka secara eksklusif sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan.

“Sekiranya bilik khas penyusuan agak berat (dari segi kos) bagi majikan, saya syorkan sekurang-kurangnya menyediakan ruang khas dalam peti sejuk (di pantri) bagi penyimpanan susu ibu (pekerja wanita).

“Stok susu ibu yang diperah boleh bertahan sehingga enam bulan untuk keperluan bayi masing-masing,” katanya selepas merasmikan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia peringkat Terengganu di sini hari ini.

Kasemani berkata, sebaiknya majikan menggunakan budi bicara memberi tempoh rehat secukupnya bagi membolehkan kakitangan wanita menyediakan stok susu untuk bayi masing-masing.

Tambah beliau, setakat ini, enam hospital awam, sebuah hospital swasta dan 46 klinik kesihatan di Terengganu yang menyediakan bilik khas untuk penyusuan ibu. – KOSMO! ONLINE

Maut dalam perjalanan sertai perhimpunan Yamaha RXZ

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Hasrat seorang buruh untuk menyertai program bermotosikal Yamaha RXZ di Kuala Nerus esok tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 397.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 berhampiran Ajil di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Nazli Dasuki, 40, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mad Daud berkata, sewaktu kejadian, penunggang motosikal Yamaha RXZ itu sedang berkonvoi bersama 18 rakannya yang turut menunggang motosikal jenis sama.

“Sebanyak empat kenderaan pacuan empat roda turut serta dalam konvoi tersebut dari Tanjung Karang, Selangor.

“Mereka dikatakan dalam perjalanan menyertai program Perhimpunan Rakan Motosikal RXZ 4.0 di Gong Badak, Kuala Nerus yang dijadual berlangsung esok (hari ini),” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, konvoi motosikal Yahama RXZ berkenaan dikatakan bergerak dari Tanjung Karang pada pukul 6 petang semalam.

Tambah beliau, sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi Mohd. Nazli dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu,” katanya. – KOSMO!

Setiap negeri bakal miliki litar permotoran

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Kerajaan bercadang untuk membina litar lumba drag di setiap negeri di negara ini bagi menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan peminat sukan permotoran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan untuk membina kesemua litar lumba berkenaan akan dimasukkan di dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober depan.

Katanya, setakat ini, hanya Terengganu dan Melaka sudah mempunyai litar permotoran masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Yahama RXZ Members 4.0 di Litar Permotoran Gong Badak di sini hari ini.

Litar permotoran tersebut dibanjiri lebih 30,000 pemilik motosikal Yamaha RXZ seluruh negara untuk menyertai program tersebut sejak semalam. – KOSMO! ONLINE

Mayat dipercayai nelayan hilang ditemui di perairan Pulau Redang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Satu mayat dipercayai salah seorang nelayan yang hilang dalam insiden bot karam pada Isnin lalu ditemui di perairan Pulau Redang, Kuala Nerus hari ini.

Mayat lelaki itu dijumpai oleh sekumpulan nelayan pada kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada pukul 11 pagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, penemuan objek terapung terbabit kemudiannya telah dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kapal Maritim (KM) Bagahak telah diarahkan untuk melakukan siasatan dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.30 tengah hari.

“Setakat ini pengecaman mayat gagal dilakukan berikutan keadaan fizikal mayat yang sudah lama berada dalam laut,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan iaitu Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, dan Ahmad Zamri Ishak, 66, ditamatkan mulai pukul 7 malam semalam ekoran ketiadaan petunjuk baharu.

Muhammad Suffi berkata, mayat tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.

Kosmo! Rabu lalu melaporkan lima nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut pada kedudukan kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Redang pada pukul 10 malam, Isnin lalu.

Tiga mayat mangsa iaitu Saludin Ismail, 50; Mohd. Nazri Abu Bakar, 48, dan Zulkifli Umar, 48, kemudiannya ditemui tersangkut pada boya unjam berhampiran lokasi bot karam pada keesokan hari. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, August 9, 2022

‘Durian runtuh’ buat pemain Terengganu FC

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU FC yang mara ke pentas akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor kelmarin menerima ‘durian runtuh’ berupa insentif kewangan daripada kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ganjaran kewangan itu merupakan penghargaan buat skuad Sang Penyu yang berjaya ke aksi akhir piala tersebut buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun.

“Saya berbangga dengan persembahan cemerlang TFC dibimbing ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain apabila berjaya menjinakkan Selangor pada aksi separuh akhir Piala FA malam tadi (kelmarin).

“Sebelum perlawanan, saya sudah berjanji kepada barisan kejurulatihan dan pemain (TFC) akan menerima ganjaran kewangan sekiranya mereka mara ke perlawanan akhir,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah ganjaran yang bakal diterima skuad Sang Penyu tersebut.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) percaya TFC cuma tinggal selangkah bagi menjulang Piala FA seperti pernah dilakukan pada tahun 2011.

“Perjuangan belum lagi selesai dan TFC perlu membuktikan kemampuan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas akhir pula.

“Kita mahu mereka (TFC) cipta sejarah dan bawa pulang Piala FA ke bumi Terengganu,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, skuad Sang Penyu dijanjikan ganjaran lain sekiranya mampu merealisasikan misi menjulang Piala FA kelak. – KOSMO! ONLINE

Thursday, August 4, 2022

Penguat kuasa direman, disyaki terima rasuah RM35,000

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGGANU – Seorang penjawat awam yang ditugas di bahagian penguat kuasaan sebuah jabatan kerajaan ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan menerima rasuah sebanyak RM35,000.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Nordiana Abd. Aziz di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek berusia 40-an tersebut ditahan dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, lelaki tersebut diberkas anggota SPRM pada pukul 4.15 petang semalam.

“Dia ditahan kerana disyaki menerima wang tunai RM35,000 daripada seorang pengadu.

“Ia sebagai dorongan untuk membantu pengadu menyelesaikan kes mahkamah yang dikendalikan suspek,” katanya di sini hari ini.

Sumber SPRM berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

Lapan lelaki didakwa bergaduh depan kedai makan

KUALA TERENGGANU – Lapan lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini semalam atas pertuduhan bergaduh di depan kedai makan di Kuala Ibai minggu lalu. 

Lima tertuduh, Lee Soon Li, 24, Muhammad Adam Mikhail, 27, Peter Gumbang a/l Sigai, 25, dan Sia Wei Jun, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

 Tiga lagi tertuduh iaitu Nurul Shahrizal Mohd., 41 dan Mohd. Kazman Ishak, 36, serta adiknya, Mohd. Saddam, 31, pula tidak mengaku bersalah. 

Mereka didakwa melakukan gaduh gempur di hadapan sebuah restoran di Kuala Ibai, di sini pada pukul 8.15 malam, 28 Julai lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan. 

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Noor Mazrinie membenarkan semua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM1,800 dan seorang penjamin selain menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Mohd. Ridhuan Mohina Din.

 Kosmo! kelmarin melaporkan, satu klip video berdurasi 23 saat memaparkan pergaduhan itu tular di media sosial

Wednesday, August 3, 2022

Buruh rasuah polis RM200, didenda RM10,000

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara memberi rasuah wang tunai RM200 kepada anggota polis bagi mengelak pemeriksaan dadah, seorang buruh ladang kelapa sawit didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Dazuki Ali juga memerintahkan tertuduh, Radzali Bahari, 41, menjalani hukuman penjara selama dua minggu setelah mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan berupa wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Air Putih, Kemaman.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak ditangkap bagi melakukan ujian saringan air kencing pemeriksaan dadah pada pukul 4 petang, 12 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Kosmo! 14 Julai melaporkan cubaan seorang lelaki menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan membawa padah apabila dia diberkas di Kampung Air Putih, Kemaman.

Terdahulu, lelaki berasal dari Pekan, Pahang yang menunggang motosikal Honda Dash ditahan anggota polis tersebut sebelum gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan. – KOSMO! ONLINE

Lapan lelaki didakwa bergaduh depan kedai makan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lapan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh di hadapan kedai makan di Kuala Ibai di sini pada minggu lalu.

ADVERTISEMENT

Lima tertuduh iaitu Lee Soon Li, 24; Muhammad Adam Mikhail, 27; Peter Gumbang Sigai, 25, dan Sia Wei Jun, 23, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Tiga lagi tertuduh iaitu Nurul Shahrizal Mohd., 41; Mohd. Kazman Ishak, 36; dan Mohd. Saddam Ishak, 31, pula tidak mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, kelapan-lapan tertuduh didakwa melakukan gaduh gempur di hadapan sebuah restoran di Kuala Ibai di sini pada pukul 8.15 malam, 28 Julai lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kosmo! semalam melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, perselisihan faham berhubung tempat letak kenderaan punca pergaduhan dua kumpulan tersebut.

Terdahulu satu klip video berdurasi 23 saat yang memaparkan pergaduhan di restoran berkenaan tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE.