Translate

Thursday, November 24, 2011

Sahsiah Shera pikat Zahiril

 AIR MATA yang bercucuran di pipinya menjadi simbol betapa pelakon dan pengacara Wanita Hari Ini di TV3, Shera Aiyob cukup terharu dan bersyukur kerana akhirnya dia selamat dan sempurna bergelar isteri pelakon Zahiril Adzim atau nama penuhnya, Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar.

Pemilik nama sebenar Nur Syahira Aiyob itu turut berkongsi emosi tersebut bersama ibunya, Nor Asmah Mohd. Ali, 50, yang turut menyaksikan anak sulungnya itu anggun duduk di pelamin rekaan Zaha Wedding Planner.

Mengenakan busana putih suci rekaan Hatta Dolmat, Zahiril, 27, dan Shera, 25, tidak dapat menyembunyi keterujaan bergelar suami isteri.

Pasangan pengantin yang sama padan itu selamat diijabkabulkan di kediaman keluarga pengantin perempuan di Taman Tasek Indra, Ipoh, Perak Ahad lalu, sejurus ketibaan rombongan pengantin lelaki seramai 50 orang terdiri daripada sanak saudara dan kenalan kesemuanya sepakat menyarung kostum berwarna merah hati tiba di kediaman pengantin perempuan.

Majlis akad nikah disempurnakan dengan pasangan dinikahkan oleh bapa Shera, Aiyob Shaharuddin, 53, dengan sekali lafaz sambil disaksikan oleh Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Ipoh, Yusri Abdul Rani pada pukul 10.10 pagi.

Pada majlis perkahwinan itu, Shera menerima wang hantaran sebanyak RM18,000 berserta mas kahwin RM1,001 dan 13 dulang barangan hantaran dan membalas 11 dulang barangan hantaran.
Antara hantaran yang diterima pengantin lelaki termasuklah telefon pintar BlackBerry, al-Quran, set pewangi badan, kasut, buku bimbingan agama dan kek cawan. Barangan hantaran yang diterima pengantin perempuan pula termasuklah sepasang kasut, seunit i-Pad 2, seutas rantai mutiara, beg tangan, alat solek, coklat dan al-Quran digital.

Tegas tetapi manja

Usai menyarung cincin emas putih ke jari manis Shera, Zahiril yang tak lekang mengukir senyum secara spontan menyeka air mata yang masih tersisa di anak mata isterinya seraya mengucup dahi wanita yang bertakhta di sanubarinya itu.

"Syukur hasrat saya untuk memperisterikan Shera tertunai sudah. Selama ini saya mendambakan seorang wanita yang tidak berpura-pura dan sentiasa menjadi diri sendiri walaupun dalam apa keadaan sekalipun.
"Sebagaimana ketika dia masih anak dara, itulah juga peribadi yang bakal dibawanya selepas berumah tangga. Alhamdulillah, saya yakin ciri-ciri itu ada pada isteri saya," tuturnya.

Mula berkenalan ketika sama-sama membintangi drama Ada Sesuatu Yang Tertinggal awal tahun lalu sebelum hubungan mereka menjadi lebih rapat sejak hujung tahun lalu, ternyata sahsiah Shera yang berdikari, tegas tetapi manja benar-benar memikat hati Zahiril Adzim.

"Shera seorang yang manja tetapi dalam masa yang sama dia tegas dan berdikari, inilah antara ciri-ciri yang membuatkan hati saya sangat terpaut kepada Shera," luah Zahiril.

Dalam pada itu bagi Shera pula, Zahiril Adzim pada matanya adalah seorang lelaki yang mementingkan hubungan kekeluargaan dan yakin suaminya itu mampu membimbingnya ke arah membina keluarga yang direstui keluarga kedua-dua pihak dan dibekati Illahi.

"Dia seorang yang penyayang, kelakar dan sentiasa manis di mata saya. Paling membuatkan saya 'cair' kepadanya ialah sifat romantisnya. Malah, menurut Shera sikap suaminya yang juga berbakat dalam bidang penulisan terserlah dalam karya buku pertamanya yang berjudul, Bogel Menuju Tuhan.

"Puitisnya dia dalam nukilan buku pertamanya, Bogel Menuju Tuhan, begitulah juga dia meluahkan rasa cinta dan bahagianya ketika bersama saya," luah anak sulung daripada tiga beradik itu.

11 orang anak 

Diusik dengan bilangan anak diidamkan, Shera yang pernah membintangi filem genre seram Karak menegaskan dia tidak merancang dan menyerahkan urusan itu kepada Tuhan.

"Bagi saya, kalau satu pasukan bola sepak (11 orang) tak jadi hal, jika Allah kurnia seorang zuriat pun saya sudah bersyukur," seloroh Shera.

Zahiril yang mengukir senyum di samping Shera memberitahu ekoran jadual karier yang agak padat, mereka belum memikirkan destinasi bulan madu.

"Rasanya tak perlu tergesa-gesa berbulan madu, Allahamdulillah yang penting iaitu upacara akad nikah sudah selesai. Bila mempunyai cuti panjang, barulah kami berbulan madu," katanya.

Menyentuh soal karier, pemenang anugerah Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem ke-23 pada tahun 2003 menerusi filem Kami The Movie itu menegaskan tidak pernah menghalang penglibatan Shera dalam industri hiburan biarpun sudah bergelar isteri.
 Tambahnya, disebabkan dia dan Shera sama-sama pelakon, dia menyedari berlakon bukan sekadar lubuk mencari rezeki tetapi lebih kepada ruang untuk mencari kepuasan diri bagi pencinta seni.

"Saya beritahu Shera, kalau dia perlu berlakon sebagai pasangan kekasih dengan pelakon lelaki lain, hayati watak itu betul-betul. Tapi setakat di set penggambaran sahajalah, selepas itu Shera tetap hak saya," pesannya ringkas tetapi penuh makna.

Sementara itu tiga jam usai majlis akad nikah pasangan mempelai itu bernikah, mereka berangkat ke Dewan Perdana Kinding Hill, Bercham Height yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah keluarga Shera bagi majlis persandingan.

Majlis yang bertemakan perkahwinan ala Inggeris bermotifkan warna krim, putih dan hijau itu dimeriahkan hampir 3,000 tetamu termasuk rakan artis yang hadir menyerikan majlis persandingan antaranya Bront Palarae, Beto Khusairy, Azhan Rani, Intan Nor Saina, Zain dan penyampai radio Hot FM, Ikhwan.

Dalam pada itu, majlis resepsi pengantin lelaki pula akan berlangsung di Kelab Shah Alam, Selangor pada 27 November ini.


Wednesday, November 23, 2011

Kisdar dinaik taraf kolej universiti September 2012

IPOH - Sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam diberitahu  Kolej  Islam Darul Ridzuan ( Kisdar ) bakal dinaik taraf menjadi  kolej   universiti  pada September tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, jawatankuasa teknikal yang diketuai bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Wan Zahir Wan Nordin telah menghantar dokumen menaik taraf  Kisdar  kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 24 Oktober lalu.

"Secara prinsipnya, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, permohonan  Kisdar  untuk menjadi  kolej   universiti  akan diluluskan selewat-lewatnya Mac 2012.

"Oleh itu,  Kisdar  dijangka memulakan operasi sebagai  kolej   universiti  mulai sesi kemasukan pelajar 2012/13 pada September tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Bukit Chandan) pada persidangan Dewan di sini semalam.

Mohammad Zahir berkata, sebagai persediaan pengurusan  Kisdar  telah mengambil beberapa inisiatif seperti menjalin kerjasama dengan  Universiti  Utara Malaysia.

Menurut beliau,  Kisdar  yang diterajui Rektornya, Prof. Madya Dr. Jamil Hashim kini mempunyai 300 kakitangan termasuk 99 pensyarah tempatan dan antarabangsa.

Perut jururawat terburai digilis treler

IPOH – Seorang suami tidak dapat menahan kesedihan apabila isterinya yang membonceng motosikal yang ditungganginya untuk dihantar bekerja di sebuah klinik di sini maut digilis sebuah treler di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.

Dalam tragedi menyayat hati pada pukul 8.50 pagi itu, Liew Suet Foong, 50, mati dalam keadaan mengerikan dengan sebahagian perut sebelah kiri badannya terburai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, semasa kejadian, mangsa yang membonceng motosikal suaminya, Cheow Seng Yee, 62, dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah klinik swasta di Jalan Raja Ekram di sini dari rumah mereka di Silibin di sini.

"Sewaktu membelok masuk ke Jalan Raja Musa Aziz dari Jalan Tun Abdul Razak di sini apabila lampu isyarat hijau, motosikal ditunggangi pasangan itu bergesel dengan salah satu tayar treler tersebut.

"Suet Foong terjatuh dari motosikal sebelum badannya digilis treler berkenaan dan menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurut beliau, suami mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, manakala mayat Suet Foong dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat.

Seng Yee yang tidak dapat menahan sedih, menangis sehingga terpaksa ditenteramkan oleh orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu.

Pemandu treler terbabit yang berusia 46 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan

Keluarga tragedi Kuala Dipang terima ex-gratia



 IPOH - Bapa kepada tiga pelajar yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di Kampar dua tahun lalu menerima pembayaran ex-gratia daripada kerajaan semalam.


K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan yang merupakan bapa kepada mendiang Devatharshi, 11; DiVyashree, 12; dan Dina Deve, 11, menerima ex-gratia yang tidak dinyatakan jumlah sebagai penyelesaian tuntutan saman yang dikemukakan mereka pada 20 November 2009.

Peguam ketiga-tiga plantif, A. Sivanesan memberitahu, kata sepakat itu dipersetujui Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim menerusi keputusan penghakiman yang dibuat di dalam kamar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Cubaan untuk menemu bual keluarga mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka bergegas keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi sejurus penghakiman diputuskan.

Sebelum ini, ketiga-tiga plaintif telah memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan berhubung kematian tiga murid sekolah rendah itu di Mahkamah Tinggi.

Defendan yang disaman ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai PPD Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia  Kuala   Dipang .

Pihak lain yang turut disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Dalam tragedi 26 Oktober 2009, Devatharshi, Divyashree, dan Dina Deve terkorban setelah jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh sewaktu mereka menyertai Perkhemahan 1Malaysia.

Perkhemahan selama empat hari itu disertai 298 murid tahun empat hingga enam dari sekolah seluruh daerah Kampar.

Tuesday, November 22, 2011

Perak asing akaun kutipan haram

IPOH - Kerajaan negeri Perak buat julung kalinya mengambil inisiatif mengasingkan akaun hasil yang tidak menetapi prinsip syariah  mulai tahun depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr.  Zambry Abd. Kadir (BN - Pangkor) memberitahu satu akaun  khusus akan dibuka bagi tujuan kemasukan hasil tersebut yang dianggarkan sebanyak RM16 juta.

Katanya, antara hasil yang tidak menetapi prinsip syariah itu ialah cukai,  lesen dan bayaran pendaftaran kelab malam, lumba kuda,  snuker, permit hiburan dan tiket pawagam.

“Selain itu, keuntungan yang diterima melalui pembiayaan  pinjaman dan pelaburan secara konvensional turut di masukkan ke dalam akaun khusus berkenaan,” katanya ketika membentangkan Bajet  2012 di Bangunan Perak  Darul Ridzuan di sini semalam.

Beliau menjelaskan akaun khusus berkenaan tetap menjadi sebahagian daripada Akaun Hasil Disatukan dan bakal digunakan untuk tujuan membiayai projek pembangunan.

Zambry turut mengumumkan penjawat awam daripada Kumpulan Sokongan yang bakal bersara mulai tahun depan akan menerima skim pemberian khas dalam bentuk sijil Amanah Saham Wawasan daripada kerajaan negeri Perak berjumlah RM3,000 seorang.

Monday, November 21, 2011

Lima suspek kes campak mayat ditahan

IPOH - Polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh dua lelaki  Pakistan  yang ditemui mati di dalam gaung sedalam kira-kira 50 meter di bawah jambatan di Kilometer 8.9 Jalan  Gerik -Kupang 17 Oktober lalu berikutan tertangkapnya lima lelaki baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahalan berkata, kelima-lima lelaki berusia 30-an dan terdiri daripada tiga tempatan dan dua rakyat asing itu ditahan di Kulim, Kedah, minggu lalu.
Sehubungan itu, polis kini ingin mengesan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu iaitu Shahid@Shahim (rakyat Bangladesh), 40-an, yang beralamat terakhir di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah; Mohamad Shukri Shake Husin, 28, alamat terakhir di No, 1005 Lorong Anggsana 28, Taman Keladi, Sungai Petani; dan Najili Pakker Mohamad @ Zali, 38, alamat akhir di 26A Jalan 2 Taman Cengal Jaya, Sungai Petani.
Kesemua suspek yang merupakan ejen pencari pekerja asing. Suspek dikatakan telah membunuh dan memukul mangsa di tempat lain sebelum dicampak ke dalam gaung tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah  Gerik  di talian 05-7912222 untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati motif kejadian itu berpunca daripada balas dendam.

Kosmo! 18 Oktober lalu melaporkan ketiga-tiga mangsa warga  Pakistan  itu ditemui pada pukul 12 tengah hari oleh orang awam yang sedang mencari sayur pucuk paku di bawah jambatan itu, kira-kira 190 kilometer dari sini.

Mayat dua lelaki itu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri hampir busuk manakala seorang lagi lelaki dikenali Amjad Rehman cedera parah di badan dan kepala.

Saturday, November 19, 2011

Singa lahir 5 anak di Zoo Taiping

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 TAIPING – Zoo Taiping dan Safari Malam di sini menerima anggota baharu dengan kelahiran lima ekor anak singa Afrika dan seekor anak gajah baru-baru ini.

Pengarah Zoo Taiping, Dr. Kelvin Lazarus berkata, empat ekor anak singa jantan dan seekor anak singa betina itu dilahirkan pada 26 Oktober lalu.

“Kelima-lima anak singa Afrika itu adalah baka daripada induk singa betina, Nyanga, 5, yang dilahirkan di Zoo Taiping dan Safari Malam pada 3 September 2006.

“Nyanga merupakan singa kedua yang berjaya dilahirkan di zoo ini dan merupakan singa tempatan pertama berjaya membiak di zoo ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kelvin berkata, semasa dilahirkan keempat-empat anak  singa  terbabit yang masih belum mempunyai nama seberat antara lima hingga enam kilogram (kg).

Beliau memberitahu, kelahiran lima anak  singa  Afrika itu merupakan kali keempat buat  zoo  berkenaan setelah seekor anak  singa  jantan pada 2005, Nyanga (2006) dan dua ekor  singa  jantan serta dua ekor  singa  betina pada Oktober tahun lalu.

"Setakat ini berat semua anak  singa  Afrika berkenaan yang kini sudah berusia tiga minggu telah meningkat sehingga satu kilogram dan masih di kuarantin bersama ibunya," katanya.

Kelvin berkata, kelahiran lima anak  singa  tersebut menjadikan  Zoo   Taiping  dan Safari Malam kini mempunyai 16 ekor  singa , semuanya daripada spesies  singa  Afrika.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengumumkan kelahiran seekor anak gajah dari spesies Gajah Malaysia seberat 60kg pada 30 Oktober lalu.

"Anak gajah itu diberi nama Mas kerana dilahirkan semasa sambutan Jubli Emas  Zoo   Taiping  dan Safari Malam baru-baru ini.

"Mas dilahirkan gajah betina, Matang yang berusia lapan tahun yang bersenyawa dengan Setia, 22, satu-satunya gajah induk jantan yang menghuni  zoo  ini," katanya.

Friday, November 18, 2011

Bakal samseng tak tahu ada upacara angkat sumpah

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kebanyakan anggota Genki Seven Malaysia (Ge  nerasi Kini Tujuh Malaysia) terutama pelajar sekolah yang   ditahan  di sebuah resort di Teluk Batik, Lumut Sabtu lalu   mendakwa menyertai perhimpunan haram pertubuhan tersebut tanpa mengetahui wujudnya upacara angkat sumpah kesetiaan ala kongsi gelap.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata,  kebanyakan mereka menerima jemputan daripada penganjur Genki Seven Malaysia menerusi laman rangkaian sosial, Facebook.

“Selain dari Perak, sebahagian daripada 180 individu   termasuk 39 pelajar sekolah yang ditahan itu datang dari Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang; Kulim, Kedah; Terengganu dan Pulau Pinang.

“Biarpun berselindung di sebalik program hari keluarga, risikan polis mengesyaki sesuatu tidak kena di sebalik perhimpunan tersebut termasuk beberapa elemen berkait rapat dengan kongsi gelap,” katanya dalam sidang akhbar di   Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri memberitahu siasatan awal polis juga mendapati Genki Seven Malaysia merupakan pertubuhan haram yang tidak pernah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Malah menurut beliau, penganjur perhimpunan tersebut iaitu seorang lelaki berusia 40-an juga tidak pernah memohon permit polis.

“Semasa serbuan pada Sabtu lalu, polis turut merampas sijil pelantikan dan sijil angkat sumpah ahli Genki Seven Malaysia dan wang tunai RM2,053.

“Sebenarnya polis sudah lama memantau kegiatan Genki Seven Malaysia. Sebelum ini mereka pernah menganjurkan perhimpunan hampir serupa dengan kehadiran 107 ahli di Tapah pada bulan lalu," kata beliau.

Katanya, seramai 33 pelajar tingkatan lima yang dibebaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan mereka  menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ber  mula Isnin lalu akan dipanggil semula untuk memberi   keterangan selepas peperiksaan mereka tamat.

Kosmo! 14 November lalu melaporkan sekumpulan 180   individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka   sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi   menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, ahli yang   bernaung di bawaah Genki Seven Malaysia termasuk tujuh   wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam   sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Thursday, November 17, 2011

68 pasangan kahwin serentak


 JODOH. Seramai 68 pasangan bukan Islam mendaftarkan perkahwinan mereka sempena tarikh istimewa 11 November 2011 (11.11.11) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Ipoh baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Pendaftaran Negara cawangan Perak itu disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata, pasangan pengantin terbabit merupakan sebahagian daripada 723 mempelai bukan Islam yang melangsung perkahwinan sempena tarikh istimewa terbabit di seluruh negara.

Wednesday, November 16, 2011

Mara Perak bimbing 50 usahawan muda

 IPOH - Karnival Usahawan Muda Perak berjaya mencapai objektifnya untuk mencari usahawan-usahawan baharu khususnya daripada golongan belia untuk dibimbing agar lebih berjaya dalam bidang perniagaan industri kecil dan sederhana.

Pengarah MARA Perak, Rusnah Yusoff berkata, sempena karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga semalam, seramai 100 belia dari seluruh negeri ini telah mendaftar untuk program kempen Pencarian Usahawan Muda Perak.

Menurutnya, selepas pemilihan dibuat, sebanyak 50 peserta telah berjaya dipilih dan ia dibuat berdasarkan kepada kecenderungan, potensi dan kesungguhan mereka yang benar-benar layak menyertai program berkenaan.

“Calon yang terpilih akan menghadiri kursus untuk Program Usahawan Muda MARA selama 10 hari merangkumi bimbingan berhubungan penyediaan kertas kerja, perakaunan, pengurusan, jaringan niaga dan aspek pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Karnival Usahawan Muda Perak yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syamsul Baharin Ahmad Shibi di Bazar D’Mara di sini semalam.

Jelas Rusnah, pihaknya juga akan menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM250,000 kepada mana-mana calon usahawan tersebut yang berpotensi.

Terang beliau, lima syarikat yang terdiri daripada Intergrated Electrical & Electronic Sdn. Bhd. (IEE), Akademi Iyanis Green Beauty, Dpor Rue Sdn. Bhd dan Celcom Axiata Berhad telah dipilih sebagai mentor kepada usahawan muda tersebut.

Tuesday, November 15, 2011

FAMA import cili imbangi harga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan @kosmo.com.my

IPOH - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membawa masuk  cili   merah  dari Vietnam, China dan Indonesia untuk mengimbangi kenaikan harga hasil pertanian itu sejak sebulan lalu.

Ketua Pengarah FAMA, Ahmad Ishak berkata, kenaikan harga  cili merah sehingga 30 peratus berkait rapat dengan kekurangan pengeluaran petani tempatan akibat masalah cuaca.

"Faktor hujan menyebabkan pengeluaran  cili   merah tempatan merosot. Biasanya sebelum ini kita tampung dengan mengimport hasil pertanian itu dari Thailand tetapi pengeluaran di negara itu pula menurun pada masa ini akibat banjir.

"Sehubungan itu, FAMA mencari alternatif lain mengimport  cili   merah  dari negara lain seperti Vietnam, China dan Indonesia," katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli hasil pertanian ladang kontrak jagung dengan Suria Security Services Sdn. Bhd. di Pengkalan Pegoh di sini semalam.

Ahmad mengulas mengenai harga cili merah  yang terus meningkat sejak sebulan lalu dengan dijual sehingga RM12 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini.

Pasangan suami isteri antara tiga maut kemalangan

KUALA KANGSAR - Tiga orang termasuk sepasanga suami isteri maut setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kuala Kangsar - Manong dekat sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 10.30 pagi itu, Hasan Basri Hitam Saidin, 57, dan isterinya Siti Ainon Sahing, 45, maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan kereta Proton Saga.

Turut terbunuh ialah penumpang kereta Proton Saga, Salmah Din, 55.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supritendan Abdul Gaffar Muhamad berkata, Hasan dan Salmah mati di tempat kejadian manakala Siti Ainon meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar pada pukul 12.54 tengah hari semalam.

Menurut beliau, anak saudara Salmah, Mohd. Kheran Mohamad Mokhtar, 18, yang memandu kereta Proton Saga cedera di mata.

Abdul Gaffar memberitahu, semasa kemalangan Mohd. Kherani dan Salmah dalam perjalanan pulang ke rumah di Pulai Ketior, Manong dekat sini dari Kuala Kangsar.

"Tetapi apabila melalui satu sekolah di situ kereta tersebut terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggangi Hasan dan Siti Ainon," kata beliau.

Akibat pertembungan itu kereta tersebut terbalik manakala pasangan suami isteri yang berasal dari Ulu Kenas dekat sini tercampak ke dalam semak.

Mayat ketiga-tiga mangsa yang cedera parah pada beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk dibedah siasat.

MBI lawat Majlis Perbandaran Songkhla

 MUHIBAH. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Songkhla, Thailand baru-baru ini.

Delegasi MBI yang diketuai Timbalan Setiausaha Bandar raya (Teknikal), Azizuddin Alias disambut oleh Datuk Bandar Songkhla, Peera Tantisaenee.

Azizuddin berkata, lawatan ke Songkhla bertujuan mengkaji konsep riadah Walking Street Songkhla sebelum diaplikasikan di Ipoh dan dijadikan sebagai salah satu tarikan pelancongan terbaharu di Perak pada tahun hadapan.

Monday, November 14, 2011

180 bakal gengster Melayu dicekup

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 LUMUT – Sekumpulan 180 individu termasuk 39 pelajar sekolah ditahan ketika mereka sedang mengadakan upacara angkat sumpah kesetiaan bagi menyertai sebuah pertubuhan ala kongsi gelap di sebuah resort di Teluk Batik di sini kelmarin.

Semasa serbuan pada pukul 9 malam itu, semua ahli kumpulan yang bernaung di bawah nama Genki Seven Malaysia (Generasi Kini Tujuh Malaysia) termasuk tujuh wanita yang berusia 13 hingga 30-an itu berada di dalam sebuah dewan yang ditempah khas di resort berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu melakukan serbuan di resort tersebut.

“Semasa serbuan dilakukan, mereka sedang membaca ikrar dipercayai berkaitan dengan kegiatan ala kongsi gelap.

“Kumpulan berkenaan dipercayai mendaftar masuk ke resort itu pada petang semalam (kelmarin) dengan berselindung di sebalik program hari keluarga,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, ikrar yang dibacakan oleh kumpulan itu adalah ikrar sumpah untuk taat setia kepada ketua kumpulan dan akan saling melindungi ahli-ahlinya.

Menurut beliau, antara yang ditahan ialah 39 pelajar termasuk 33 orang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini.

Turut ditahan tiga kakitangan yang bekerja dengan agensi kerajaan. Mereka datang dari seluruh pelosok negeri Perak.

Genki Seven Malaysia yang hampir keseluruhannya dianggotai orang Melayu dipercayai baru ditubuhkan pada 2006 dan didakwa berpusat di Ipoh.

Kumpulan itu kini memperluaskan sayapnya dengan membuka cawangan di Taiping. Genki Seven Malaysia juga sedang mencari ahli-ahlinya dalam kalangan orang muda dan mereka yang masih bersekolah.

“Siasatan polis mendapati perhimpunan haram yang dipercayai menjurus aktiviti kongsi gelap itu didalangi seorang kakitangan agensi kerajaan yang bekerja di Ipoh.

"Kebanyakan suspek terutamanya remaja yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan," kata beliau.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri memberitahu, selepas proses dokumentasi selesai semua yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Sementara itu, sumber dalaman resort itu yang enggan dikenali mendakwa, pihak pengurusan tidak mengetahui perhimpunan membabitkan 180 individu itu merupakan peserta daripada pertubuhan haram.

"Mereka membuat tempahan untuk mengadakan program hari keluarga sebuah pertubuhan belia selama dua hari bermula semalam (kelmarin).

"Serbuan yang dilakukan pihak polis mengejutkan pengurusan resort ini namun kami sedia memberi kerjasama kepada polis untuk membantu siasatan," katanya.

Sunday, November 13, 2011

Lima mangsa masih di hospital

 IPOH - Lima mangsa yang cedera parah akibat nahas bas membawa rombongan pelajar sekolah yang dirempih sebuah treler di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Behrang kelmarin kini berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supri tendan Md. Tahir Kasim berkata, tiga daripada mereka sedang dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) sementara dua lagi di Hospital Slim River (HSR).

"Rosilawati Mat Rifin, 40, Abdul Rahman Danial Abdul  Ghani, 15 dan Idzni Haikal Khairul Shah, 5, dirawat di HTI  sementara Mohammad Sariffuddin dan Mohd. Azim yang kedua-duanya berusia 15 tahun di HSR.

"Mohd. Faizal Anuar, 15, dab Azriah Hani Ahmad, 31, dibenarkan keluar dari HSR masing-masing pada pukul 10 pagi dan 11.30 pagi tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Md. Tahir memberitahu, kedua-dua pemandu bas dan treler yang ditahan kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam setelah keterangan mereka dirakam.

Beliau berkata, polis juga telah mengambil sampel air kencing dan darah kedua-dua pemand bas dan treler terbabit untuk dianalisis bagi kegunaan ujian dadah dan alkohol.

"Berdasarkan semakan polis, pemandu treler terbabit mempunyai beberapa tunggakan kompaun kesalahan trafik sementara pemandu beas berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lalu," katanya.

Saturday, November 12, 2011

Pusat budaya dan warisan


Walking Street Songkhla merupakan ilham  Datuk Bandar Songkhla, Peera Tantisaenee sendiri. Idea  itu dikemukakan Peera sebagai salah satu manifestonya  ketika menghadapi pilihanraya Majlis Perbandaran Song khla pada September 2009.

Peera memberitahu, Walking Street Songkhla dibentuk  untuk menjadi pusat memperkenal budaya dan warisan tempatan.

Identiti Songkhla sebagai kaya kebudayaan dan sejarah  sesuai dengan tarafnya sebagai kota yang sudah berumur  lebih 1,000 tahun diekspoitasi untuk merancakkan industri  pelancongan wilayah terbabit.

Selain menarik pengunjung luar, aktiviti Walking Street  Songkhla juga disesuaikan dengan selera generasi muda  khususnya ribuan pelajar yang melanjutkan pengajian di tiga  IPT yang terdapat di bandar tersebut.
“Sebelum ini biarpun bertaraf ibu negeri, Songkhla jauh  ketinggalan dari segi kehadiran pelancong berbanding Hat  Yai yang terletak di selatan.

“Mereka biasanya akan segera meninggalkan Songkhla  untuk ke Hat Yai yang terletak kira-kira 10 km dari sini
selepas bersantai di Pantai Samila dan bergambar dengan  Patung Emas Duyung,” jelas Peera.

Namun senario itu berubah selepas kewujudan Walking  Street Songkhla yang mula dibuka selepas enam bulan beliau  menjadi Datuk Bandar.

Selepas setahun setengah beroperasi, Walking Street  Songkhla berjaya menarik kehadiran hampir 10,000 pengunjung dengan jualansebanyak menjangkau 500,000 Bath (RM50,000) sehari.

“Kejayaan projek ini membuat ramai peniaga tempatan  memohon untuk menjadi sebahagian daripada warga Wal king Street Songkhla namun terpaksa dibataskan kepada  390 sahaja bagi memudahkan pemantauan dan pentad biran.
“Bagi menjaga standard, SMC menetapkan penjaja yang  gagal hadir berniaga dua kali berturut-berturut akan di singkirkan secara serta-merta dan diganti dengan peniaga  lain yang berada d dalam senarai menunggu,” beritahu  Peera.

Sejurus dilantik Datuk Bandar, Peera terus menjemput  beberapa agensi seperti Lembaga Perlancongan Thailand,  persatuan penjaja dan agensi pelancongan untuk merangka  konsep Walking Street.

Pegawai Majlis Perbandaran Songkhla turut melawat  beberapa pasar lambak di Pulau Pinang. Konsep pasar  lambak di Pulau Mutiara itu diguna pakai sebelum di sesuaikan dengan persekitaran dan budaya tempatan.

Kemeriahan Walking Street Songkhla

Dibanjiri pengunjung pada hujung minggu

SUASANA Jalan Chana, Songkhla, Thailand yang agak lenggang pada hari bekerja bertukar wajah setiap Jumaat dan Sabtu.

Seawal pukul 4 petang, jalan sepanjang dua kilometer (km) itu dikunjungi ribuan manusia yang terdiri daripada warga tempatan dan pelancong asing.

Sejak dibuka pada bulan April tahun lalu, lazimnya semakin ramai yang membanjiri Walking Street Songkhla atau dalam bahasa Thailand dikenali sebagai Tae Rak selepas matahari mula terbenam sekitar pukul 6 petang.

Dipisahkan dengan persimpangan Jalan Wichianchom, satu km sebelah kiri Jalan Chana dipenuhi deretan gerai makanan. Variasi makanan tradisional dan moden yang berwarna-warni dan mampu membuat tunas rasa terliur untuk menjamahnya.

Boleh dikatakan hampir semua makanan warisan Selatan Thailand yang didiami masyarakat majmuk, Thai, Melayu Siam dan Cina boleh didapati di Walking Street Songkhla.

Biarpun mempunyai hampir 195 gerai, semua penjaja menjual sajian yang berbeza pada harga yang berpatutan.

Namun tidak semua makanan yang dijual boleh dimakan oleh penganut yang beragama Islam kerana status halalnya agak diragui. Seorang rakyat Malaysia yang sudah tujuh bulan menetap di Songkhla, Mohd. Khairul Nizam memberi tip dalam pencarian makanan halal.

Ujar kakitangan Pejabat Konsulat General Malaysia di Songkhla itu, setiap gerai penjaja Muslim di seluruh wilayah tersebut mempunyai kain pemidang yang menunjukkan lambang bulan dan bintang.
 "Selain perwatakan dan pemakaian peniaga yang menutup aurat seperti mengenakan tudung kepala, sebahagian gerai Muslim juga mempamerkan sijil pengesahan halal yang dikeluar Majlis Agama Islam Songkhla," beritahunya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Delegasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diketuai Timbalan Setiausaha Bandaraya (Teknikal), Azizuddin Alias melakukan kunjung hormat ke Majlis Perbandaran Songkhla (SMC) bagi mengkaji Walking Street Songkhla.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim sebelum ini bercadang untuk mengadaptasi konsep Walking Street Songkhla sebagai tarikan pelancongan terbaharu bandar raya yang pernah terkenal dengan perlombongan bijih timah pada tahun depan sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Di penghujung Jalan Chana, terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang diubah suai menjadi bar mini. Diletakkan berhampiran replika pintu gerbang Tembok Kota Purba Songkhla, sebahagian pengunjung gemar menjamu selera di dalam bar mini itu kerana keunikannya.

Tarikan

Sebanyak 194 gerai makanan lain dengan saiz dua meter persegi mengamalkan konsep beli dan bawa pulang.

Begitupun, ia tidak menyebabkan pengunjung terus beredar dari Walking Street Songkhla selepas membeli makanan kerana lokasi berkenaan mempunyai banyak tarikan lain.

Di sebelah kanan Jalan Chana pula terdapat 195 gerai menjual barangan antik, cenderamata dan kraftangan buatan tangan masyarakat setempat Songkhla.

Bahagian kedua Walking Street Songkhla yang berkonsepkan gabungan pasar lambak dan pasar larut malam itu membolehkan pengunjung membeli pakaian, aksesori lelaki dan wanita serta kasut pada harga yang lebih rendah di pasaran.
 Terdapat juga ruang permainan santai ala pesta ria yang menjadi tarikan kanak-kanak dan remaja berhibur sambil mengharap untuk mendapat beberapa hadiah seperti patung beruang dan minuman dalam tin.

Selain itu, budaya penghibur jalanan subur di kawasan tersebut. Beberapa pengunjung Walking Street Songkhla terpaku melihat seorang kanak-kanak perempuan yang berumur tujuh tahun menggesek biola.

Di satu sudut lain, sekumpulan remaja lelaki belasan tahun berjaya memikat orang ramai dengan persembahan wayang kulit atau Nang Talung dalam bahasa Thai biarpun cuma berbekalkan set yang ringkas.

Seorang pelajar Politeknik Wachira pula cara tersendiri mengatasi perasaan gemuruh dengan meniup seruling di khalayak ramai.

Beberapa kumpulan indie memperkenalkan lagu-lagu ciptaan terbaharu mereka untuk santapan telinga pengunjung Walking Street Songkhla.

Sekumpulan pelajar Universiti Teknologi Rajamangala Songkhla pula mengambil inisiatif membuat kerja amal mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di Bangkok.

Mereka tidak sekadar menghulur tabung derma tetapi turut membuat persembahan tarian yang menghiburkan bagi menarik perhatian orang ramai.

"Kebanyakan penghibur jalanan ini terdiri daripada remaja terutama pelajar beberapa institusi pengajian tinggi yang terdapat di Songkhla.

"Bagi mereka, motivasi utama bukan wang tapi bakat seni yang ditonjolkan dihargai," jelas Penasihat Datuk Bandar Songkhla, Kartipas Ruangsong.

Biarpun terletak di jalan yang agak sibuk, kehadiran beberapa penguatkuasa SMC membantu melancarkan aliran trafik dan memudahkan pengangkutan awam seperti teksi yang dikenali sebagai tuk-tuk menurunkan penumpang.

Warisan
 Kemudahan tempat letak kereta juga mencukupi menambahkan keselesaan orang ramai mengunjungi lokasi terbabit.

Kartipas berkata, Walking Street Songkhla adalah pusat yang menyatukan elemen budaya, warisan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan hiburan masyarakat wilayah tersebut
.
"Sambil membeli-belah dan menjamah makanan, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan seperti tarian di pentas khas yang disediakan di tengah-tengah kawasan ini.

"Jika bernasib baik, mereka juga boleh menonton filem popular yang ditayangkan pada layar gergasi. Walking Street Songkhla juga memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar universiti setempat menonjolkan penyelidikan mereka di sini," ujarnya.

Di Jalan Chana terdapat tiga lokasi bersejarah. Tiga tarikan sejarah itu ialah Rumah Kelahiran Perdana Menteri Thailand ke-16, Jeneral Prem Tinsulanonda yang menerajui negara Gajah Putih itu dari tahun 1980 hingga 1988.

Galeri yang banyak menyimpan barangan peribadi dan pengkisahan riwayat hidup negarawan Thailand yang kini berumur 91 tahun itu dibuka sehingga pukul 10 malam.

Tuesday, November 8, 2011

Pengunjung Gua Tempurung wajib pakai topi keselamatan

GOPENG - Pemakaian topi keledar keselamatan akan diwajibkan kepada semua pengunjung yang ingin menerokai Gua Tempurung mulai tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangu nan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak,  Datuk Hamidah Osman berkata, cadangan itu bertujuan  meningkatkan tahap keselamatan pengunjung selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Sebelum ini hanya pengunjung pakej Top of the World and  Short River Adventure dan Grand Tour sahaja diwajibkan  memakai topi keledar keselamatan.

“Namun mulai tahun depan sempena Tahun Melawat  Perak (TMP), kerajaan negeri Perak arahkan pengendali Gua  Tempurung APT Consortium wajibkan peraturan tersebut  kepada semua pengunjung selaras standard antarabangsa,”  katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Gua Tem purung di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak,  Ahmad Fathil Abdul Ghani dan Pengarah APT Consortium,  Norzita Rabaai.

Dalam perkembangan sama, beliau menyarankan lebih  ramai pemandu pelancong yang mahir berbahasa Inggeris  dilantik bagi meningkatkan kehadiran pelancong asing.

“Berdasarkan maklum balas, biarpun Gua Tempurung  menerima lebih 70,000 pengunjung pada tahun lalu namun  cuma 15 peratus sahaja pelancong asing.

“Walaupun keunikan gua batu kapur ini mampu menarik pelancong asing namun sambutan kurang memberangsakangkan mungkin berpunca daripada masalah komunikasi,” katanya.

Gua Tempurung merupakan gua batu kapur yang terkenal dengan  beribu bentuk stalakmit dan stalaktit yang membentuk  pelbagai ukiran batu unik dan menakjubkan.


Empat jenis ekspedisi ditawarkan kepada pengunjung  iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top of the World  (tempat kering), Top of the World and Short River Adven ture (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah)  dengan kadar bayaran sekitar RM6 hingga RM22 bagi  dewasa dan RM2.50 hingga RM11 bagi kanak-kanak.

Sunday, November 6, 2011

KPDNKK rampas bebola kristal


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tindakan seorang pengedar cuba menyembunyikan stok bebola kristal daripada pengetahuan pihak berkuasa gagal apabila gudangnya diserbu sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak di Chemor di sini kelmarin.


Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, pasukan penguat kuasa KPNKK negeri yang diketuai Ketua Unit Operasinya, Akram Karim Mohamad Arip berjaya merampas 2,000 papan bebola kristal yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000.

Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Rosli Ahmad berkata, pemilik syarikat pengedar berkenaan yang berusia 62 tahun dan 10 orang pekerjanya berada dalam gudang itu ketika diserbu.

"Biarpun pada mulanya lelaki itu tidak mengaku kewujudan stok bebola kristal dalam gudangnya namun hasil pemeriksaan menjumpai barangan terlarang itu di celah-celah timbunan stok permainan kanak-kanak dan makanan ringan," katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Rosli memberitahu, pemilik syarikat pengedar itu akhirnya mengaku mengambil stok bebola kristal itu dari China untuk diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, stok bebola kristal yang sudah dipek itu disorok sementara sebelum dipasarkan semula kepada pemborong dan peniaga pokok hiasan apabila isu pengharamannya reda.

"Setiap papan yang mempunyai 24 peket bebola kristal itu dijual RM4.80 secara borong," ujarnya.

Tambahnya, pengedar produk itu boleh diambil tindakan di bawah Akta Perintah Perlindungan Pengguna (Larangan Terhadap Barang Tidak Selamat) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM250,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 bagi kesalahan kali kedua.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ismail Sabri mengarahkan operasi membanteras kegiatan menjual bebola kristal yang sudah diharamkan sejak Ogos lalu.

Ia berikutan insiden seorang kanak-kanak, Ifti Ilya Farhana Mohd. Khairuddin yang berusia satu tahun tujuh bulan dari Kuantan terpaksa dibedah pada 1 November lalu selepas bebola kristal yang ditelannya membesar sehingga sebesar bola ping pong dalam usus.

Ifti Ilya Farhana dipercayai menelan beberapa butir objek yang disangkanya gula-gula di hadapan rumahnya di Perkampungan Sri Mahkota Jaya, Kuantan pada 26 Oktober lalu.

Info Ekspo Saintis Muda Perak


 JOHAN KESELURUHAN

Sekolah Menengah

Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata), Ipoh

Nama Projek : Nutty-Notty


Sekolah Rendah
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manjung, Manjung

Nama Projek : Hidrotech

KATEGORI SAINS

Johan : Serata

Naib Johan : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung

Ketiga : Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK)

Saturday, November 5, 2011

Nutty-Notty jek mudah alih

Ekspo Saintis Muda Perak menjadi medan untuk para pelajar negeri Perak mempamerkan daya kreativiti dan inovasi sains mereka.
Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IDEA tidak sampai lima minit membawa tuah kepada tiga pelajar perempuan bertudung labuh dari Sekolah Raja Taayah (Serata), Ipoh, Perak.

Projek  Nutty-Notty  iaitu set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih berjaya memikat hati juri sekali gus dinobatkan juara keseluruhan pertandingan Peperangan Minda sempena Ekspo Saintis Muda Perak baru-baru ini.

Menggelarkan diri sebagai pasukan Al-Farabi tiga pelajar terbabit Nor Ameerah Nawi, Nur Syuhadah Shahirah Junaidi dan Afifah Hussain menewaskan 79 ciptaan lain yang turut dipertandingkan.

Selain juara keseluruhan,  Nutty-Notty  ciptaan tiga gadis berusia 16 tahun berkenaan turut memenangi kategori Sains dengan mengenepikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Samudera, Manjung dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di tempat kedua dan ketiga.

Kejayaan terbabit membolehkan pelajar tingkatan empat Serata berkenaan menggondol piala Raja Dr. Nazrin Shah, trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Bagi kategori Sains pula, Al-Farabi menerima ganjaran trofi, wang tunai RM400 dan sijil penghargaan. Semua hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi.

Hanya seminit

Ekspo Saintis Muda Perak anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) berlangsung tiga hari dari 9 hingga 11 September lalu di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya, Ipoh.

Ketua pasukan, Nor Ameerah memberitahu  Nutty-Notty  berfungsi sebagai jek dan sepana yang mampu memudahkan proses membuka dan menukar sebiji tayar kenderaan bocor sepantas seminit sahaja.

"Beberapa prinsip Sains seperti pascal dan kimpalan diaplikasi dalam penciptaan  Nutty-Notty  ini.

"Idea mencipta alatan tersebut tercetus daripada kesedaran kesukaran majoriti pemandu wanita melakukan kerja-kerja membuka dan menukar tayar kereta bersendirian," ujar pelajar aliran Sastera itu.

Jelasnya, setelah dibincang secara terperinci dengan Nur Syuhadah Shahirah dan Afifah melalui beberapa sesi lampas otak, idea  Nutty-Notty  diterjemahkan dengan bantuan dua guru pembimbing, Ahmad Rezaudin Hussein dan Syamsul Faiz Mohd. Yusof.

"Persiapan rapi dibuat dalam tempoh dua bulan termasuk terpaksa menyingkatkan cuti Aidilfitri.

"Oleh itu kami bersyukur dengan kemenangan ini dan rasa pengorbanan kami berbaloi. Jauh di sudut hati kami berharap agar  Nutty-Notty  dapat dikomersial suatu hari nanti," katanya.

Hujah Nor Ameerah, alatan terbabit bukan sahaja agak ringan dan mudah dibawa malah, berpotensi tinggi dikomersialkan kerana harga jualannya di pasaran dianggarkan kurang RM50.

Pengiktirafan diraih Al-Farabi menerusi ciptaan  Nutty-Notty  bukan satu-satunya kejayaan yang diraih Serata dalam pertandingan Peperangan Minda terbabit.

Empat pasukan lain yang mewakili sekolah agama ternama Perak itu turut meraih tempat dalam pertandingan terbabit.

Pasukan Ibn Al-Awwam dengan ciptaan Simple Filter muncul naib johan kategori kimia sementara projek Easy Mum dari pasukan Robotik Al-Jazari pula memenangi tempat ketiga kategori Reka cipta dan Teknologi.

Pasukan Ibn Hayyan dan Ibn Baitah menerima hadiah saguhati menerusi ciptaan masing-masing iaitu Smoke Filter dan Farm in a pot.

Dokumentari ala program realiti

Menurut Pengetua Serata, Noor Aini Zainal Abidin, penyertaan lima pasukan sekolahnya itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajarnya dalam bidang sains.

"Kami mahu buktikan pelajar sekolah agama bukan sahaja mampu menguasai bidang keagamaan tetapi juga menjadi saintis," jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains dan Matematik UPSI, Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad memberitahu berikutan sambutan memberangsangkan, pihaknya bercadang untuk menjadikan Ekspo Saintis Muda Perak sebagai acara tahunan.

Menurutnya, penganjuran ekspo yang julung kali diadakan itu adalah buah fikiran Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Semasa melakukan lawatan kerja ke kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu di Tanjung Malim pada awal tahun ini, Zambry secara peribadi telah meminta UPSI membantu kerajaan negeri menarik minat lebih ramai pelajar Perak memilih aliran sains tulen.
Ia bertujuan melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong wawasan kerajaan negeri Perak menjana pertumbuhan negeri tersebut dengan industri berasaskan pengetahuan menjelang 2015 seperti digariskan dalam pelan Perak Aman Jaya.

Justeru itu, Mustaffa menjelaskan, penganjuran Ekspo Saintis Muda Perak yang menonjolkan subjek sains secara interaktif telah dirangka.

"Dengan tema Berseronok Dengan Sains, generasi muda didedahkan dengan teknik mudah dan menyeronokkan mempelajari mata pelajaran sains tulen seperti Kimia, Biologi, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.

"Kebanyakan projek tersebut menyerlahkan daya kreatif pelajar tanpa mengira dari sekolah bandar dan luar bandar mengaplikasi kefahaman dalam Sains dan Matematik.

"Pertandingan Minda sememangnya daya penarik utama ekspo tersebut.

Malah perjalanan pertandingan tersebut juga bakal menjadi sebuah dokumentari berkonsep program realiti yang diarahkan penerbit dokumentari, Jak Othman," ujarnya.

Keluarga daif terharu terima kunjungan MB

IPOH - Gara-gara kemiskinan, M. Amanah, 73, dan 14 ahli keluarga lain terpaksa hidup berhimpit dalam sebuah rumah usang yang terletak di dalam Gunung Lang di sini sejak lebih 40 tahun lalu.

Kehidupan mereka bertambah sukar apabila suami Amanah yang berkhidmat sebagai anggota tentera meninggal dunia 26 tahun lalu.

Dengan wang pencen suami RM300 sebulan, wanita warga emas itu menyara dua anak perempuan yang juga telah kematian suami dan 12 cucu dalam keadaan serba kekurangan.

Namun keadaan berubah pada tahun ini apabila keluarga tersebut dikunjungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli sempena Deepavali baru-baru ini.

Walaupun sekadar menghidangkan segelas air dan muruku kepada Zambry dan isteri, kegembiraan jelas terpancar pada wajah Amanah ketika menyambut kehadiran mereka.

“Saya berterima kasih kerana Menteri Besar (Zambry) turut memberi duit raya kepada semua anak dan cucu-cucu saya serta menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada kami.

“Beliau juga berjanji untuk membantu keluarga kami mendapat kehidupan baru,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.

Sementara itu Zambry berkata, beliau menyedari kedaifan keluarga Amanah setelah melihat profail salah seorang cucu warga emas itu.

“Kebetulan cucunya, M. Sarathkumar,12, merupakan salah seorang anak angkat saya di bawah program Yayasan Bina Upaya (YBU). Justeru, saya dan isteri membuat keputusan untuk melihat sendiri keadaan keluarganya sempena Deepavali ini,” katanya.