Translate

Monday, November 6, 2023

Dibunuh rakan kongsi bisnes

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN, TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF dan NOOR HAYATI MAMAT 

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha tudung tergamak membunuh rakan perniagaannya sendiri hanya kerana tidak berpuas hati dengan agihan keuntungan bisnes jualan pakaian yang dijalankan mereka dalam kejadian di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu semalam. 

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, suspek wanita berusia 35 tahun terbabit bukan sahaja melanggar mangsa sehingga tercampak ke dalam longkang, malah bertindak kejam menikam tubuh wanita warga emas tersebut sebanyak 15 kali sehingga mati.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan awal percaya suspek dan rakan bisnesnya berusia 65 tahun telah bertengkar di dalam kereta berkaitan perniagaan mereka ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Wakaf Tapai, Marang.

 “Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta Honda Jazz yang dinaiki sebelum suspek yang memandu nekad melanggarnya. 

 “Impak perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang di tepi jalan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam. 

 Mazli memberitahu, suspek juga bertindak kejam menikam mangsa bertubi-tubi yang sedang tertiarap di dalam longkang itu berdasarkan kesan tikaman pada tubuh wanita tersebut. 

 Katanya, suspek kemudiannya meninggalkan mangsa yang juga pesara kerajaan dan juga kereta Honda Jazz di lokasi kejadian sebelum menumpang sebuah kenderaan lain yang kebetulan melalui lokasi tersebut. 

 “Pemandu kenderaan tersebut pula telah menumpangkan suspek tanpa menyedari perbuatan jenayah yang berlaku di situ. 

 “Difahamkan, suspek hanya mendakwa dia mengalami kemalangan jalan raya,” ujarnya. Mazli berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai pada pukul 11 pagi semalam.

 Turut ditemui sebilah pisau yang digunakan suspek dalam pembunuhan tersebut yang telah dibuang berhampiran kawasan rumahnya. 

 “Siasatan awal mendapati, kereta Honda Jazz yang dipandunya merupakan milik suami suspek,” ujarnya. 

 Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan perintah reman akan dipohon di mahkamah hari ini

No comments:

Post a Comment