Antara modus operandi yang dikesan adalah mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan memandangkan ketika itu juruwang sibuk menyebabkan mereka terlepas pandang untuk memeriksa wang palsu yang diberikan pelanggan.
Pekerja kedai serbaneka, Intan Nur Syazlinda Abdullah, 30, berkata, dia pernah melalui pengalaman diperdaya pelanggan yang menggunakan wang palsu sebelum ini.
“Taktik yang mereka (suspek) guna adalah membayar barangan menggunakan wang kertas tulen dan diselit bersama wang palsu. Sekiranya juruwang tidak berhati-hati mereka akan menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Semenyih dekat sini semalam.
Nur Syazlinda memberitahu, premisnya pernah beberapa kali menerima wang palsu RM20, RM50 dan RM100 sejak beberapa tahun lalu.
Menurut wanita itu, selain membeli barang, antara tujuan lain wang palsu digunakan adalah untuk mendapatkan baki.
“Kedai saya pernah berdepan kes seorang lelaki membeli barang berharga RM3.50 menggunakan wang RM100, mujur saya tergerak hati untuk membuat pemeriksaan. Selepas saya maklumkan wang itu palsu dia segera keluar premis,” katanya.
Sementara itu, pekerja kedai runcit, Faizal Faizar, 30, pula berkata, dia pernah menerima wang palsu RM100 dan kejadian tersebut hanya disedari selepas dia mahu menutup operasi kedai.
“Biasanya ciri-ciri wang palsu ini kertasnya lebih licin berbanding wang tulen,” katanya.
Di Kemaman, Terengganu, pengusaha keropok lekor di Kampung Meraga Beris juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa wang palsu.
Nurhaslida Mohamad, 39, memberitahu, dalam kejadian pada 9 Jun 2019, dia kerugian selepas ditipu seorang wanita dan adik lelakinya yang membeli keropok lekor menggunakan wang RM100 palsu.
Selain Nurhaslinda, pasangan adik-beradik itu turut memperdaya peniaga lain di Kampung Meraga Beris dan Kampung Kijal, Kemaman menggunakan taktik sama.
“Mereka kelihatan bergaya dan datang ke tempat saya dengan menaiki kereta jenis Toyota Corolla Altis. Wang RM100 palsu itu dilipat sewaktu membuat pembayaran.
“Jika tidak dimaklumkan oleh peniaga lain yang menjadi mangsa, mungkin saya pun tidak perasan (wang palsu),” katanya kepada Kosmo!.
Norhaslida menjelaskan, pengalaman itu menyebabkan dia lebih berhati-hati dengan memeriksa wang tunai yang diserahkan oleh pelanggan.
Wanita itu bersyukur kes yang dilakukan pasangan adik-beradik itu tular di media sosial dan mereka telah diberkas di Kuala Lumpur tidak lama kemudian.
“Saya difahamkan mereka telah didakwa di mahkamah atas dakwaan menipu menggunakan wang palsu,” katanya.