Translate

Monday, September 30, 2019

TFC IV julang Piala Belia 2019

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU FC IV (TFC IV) muncul juara Piala Belia selepas menewaskan juara bertahan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor FC (PKNS FC) dengan keputusan agregat 1-0 kelmarin.

Pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, TFC IV menang 1-0 hasil jaringan penyerang, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ke-62.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan pelapis berkenaan terikat 0-0 pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 21 September lalu.

Kejayaan itu sebagai menebus kekecewaan TFC IV yang tumbang 1-2 kepada lawan sama, PKNS FC pada aksi final Piala Belia musim lalu.

Ia juga penawar kepada kekecewaan peminat bola sepak Terengganu selepas tiga pasukan senior, TFC I terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia manakala TFC II dan TFC III pula masing-masing kecundang pada aksi separuh akhir Piala Cabaran dan Piala Presiden musim ini.

Terdahulu, TFC IV hampir memperoleh gol awal, namun sepakan gunting penjaring terbanyak kejohanan, Muhammad Isa Raman terkena palang gol pada minit ke-10.

Tuan rumah terus berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-36 tetapi sepakan lambung Nur Muhammad Alamin Mohd. Zahid tersasar ke sebelah kanan pintu gol PKNS FC.

Pasukan pelawat pula memperoleh peluang terbaik pada minit ke-61, namun rembatan kencang Muhammad Hadi Mohamad gagal menembusi gawang TFC IV.

Selaku juara Piala Belia, TFC IV kendalian Subri Sulong meraih ganjaran wang tunai RM80,000, piala dan medal yang disampaikan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

PKNS pula sebagai naib juara menerima hadiah wang tunai RM60,000 dan medal yang disampaikan Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd. Firdaus Mohamed.

Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusuf Mahadi.

Tuntut RM2j, dapat RM616,634

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penderitaan seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), Kuala Nerus yang hilang pendengaran dan menghadapi tekanan perasaan akibat dibuli lima pelajar senior empat tahun lalu terbela apabila menerima pampasan RM616,634.20.

Ini berikutan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz memerintahkan sembilan defendan termasuk lima remaja yang kini berusia 21 tahun yang membuli plaintif pada 26 April 2015 membayar wang pampasan tersebut.

Empat defendan lain yang turut dinamakan plaintif ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sesma, Sulaiman Ngarif; bekas pengetua Sesma, Meriam Jusoh; Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju perbuatan buli yang dilakukan defendan pertama hingga kelima telah menyebabkan mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan tekanan perasaan berterusan.

Selain itu, pembelajaran plaintif juga terjejas sehingga terpaksa berpindah ke sekolah lain,  tiga bulan selepas kejadian.

Menurut Zainal Azman, kejadian buli yang berlaku di bilik asrama ketua pengawas itu seolah-olah telah dirancang defendan pertama hingga kelima yang ketika itu merupakan pelajar tingkatan lima Sesma.

“Pihak sekolah dilihat begitu cuai tidak membuat kawalan sedangkan kejadian (buli) itu (berlaku) di bilik asrama ketua pengawas.

“Jadual warden bertugas telah disusun begitu cantik, tetapi tiada guna kalau tidak menjalankan tugas yang diamanahkan,” kata­nya ketika membacakan penghakimannya.
Zainal Azman juga berpendapat, defendan keenam, Sulaiman dan ketujuh, Meriam pula dilihat cuai menjalankan tanggungjawab menjaga kebajikan pelajar termasuk keselamatan mereka.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang difailkan pada 2017 oleh bapa plaintif, Ahmad Fauzi Abdullah, 48, pelajar itu mendakwa dia dipukul, ditampar dan diten­dang oleh lima pelajar senior le­bih tiga jam di dalam bilik asrama ketua pengawas sekolah.

Perbuatan buli yang berlaku ketika mangsa dalam tingkatan dua itu telah menyebabkan dia mengalami kecederaan dengan koyak pada selaput telinga kanan dan kehilangan pendengaran (jenis konduktif) sehingga tidak boleh melakukan aktiviti air ­seumur hidup.

Plaintif diwakili peguam, Wan Azliana Wan Adnan dan Hisyam Yusof.
Sementara itu, ibu plaintif, Rusaila Abdullah, 43, ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia bersyukur apabila kejadian yang menimpa anak keduanya itu mendapat pembelaan.

“Tuntutan ini bukan semata-mata kerana wang tetapi pem­belaan buat anak saya yang hilang pendengaran. Dia masih trauma sehingga ke hari ini akibat perbuatan buli itu,” katanya.

Kosmo! pada 3 April 2017 melaporkan plaintif yang menjadi mangsa buli ketika menuntut di Sesma dua tahun lalu memfailkan saman RM2 juta terhadap sembilan pihak di Mahkamah Tinggi

Melayu kurang berfikir kritis punca mudah dieksploitasi

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Kekurangan orang Melayu berfikir secara kritis menyebabkan kaum itu terus mudah terdedah sebagai mangsa eksploitasi walaupun merupakan majoriti di negara ini.
Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin berkata, ketidaksedaran komuniti Melayu tentang kelemahan mereka menyebabkan golongan itu mudah diambil kesempatan oleh pihak lain sejak zaman dahulu.

"Mula-mula (orang Melayu) dieksploitasi oleh golongan aristokrat kemudian penjajah. Semua penjajah kecuali Portugis menjajah kita tanpa melepaskan sebutir peluru pun. 

"British umpamanya licik menjajah hanya dengan mendampingi golongan raja kerana sedar orang Melayu taat kepada raja asalkan jangan sentuh Islam, adat-istiadat dan tanah Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Falasi Kuasa: Maladi Melayu dan Bumiputera kepada pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

A. Kadir berkata, bagi situasi semasa pula, pasaran produk halal yang semakin berkembang berikutan kesedaran orang Melayu untuk patuh syariah dimanfaatkan lebih awal oleh usahawan bukan Islam dahulu.

Beliau berkata, ia menyebabkan orang Melayu antara teramai tergolong dalam kategori berpendapatan rendah (B40) walaupun penggerak ekonomi negara kerana merupakan kaum majoriti.

"Sehubungan itu, orang Melayu perlu belajar daripada sejarah agar tidak ulangi kesilapan sama, kuasai dan dalami ilmu, bekerja kuat dan bijaksana, jangan terlalu taksub dengan politik serta buang rasa rendah diri.


"Orang Melayu juga perlu menguasai bahasa sebanyak mungkin. Kelemahan bahasa Melayu sekarang tidak ramai penuturnya menguasai bahasa lain bagi menyebarkan ilmu," katanya. - K! ONLINE

TFC I azam ulangi kebangkitan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PEMAIN Terengganu Football Club I (TFC I) berazam untuk mengulangi pencapaian pernah dilakukan pada musim lalu dengan menyingkirkan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Pengendali sementara TFC I, Nafuzi Mohd. Zain berkata, semangat anak buahnya sangat membara dan mereka dalam tahap terbaik untuk melakukan kebangkitan semula biar pun bakal berhadapan dengan sorakan hampir 15,000 peminat tegar JDT.

"Memang diakui JDT bukan calang-calang pasukan dan hanya tewas sekali di laman sendiri sepanjang musim ini, malah kita pula ketinggalan satu gol tetapi perjuangan masih belum selesai.

"Saya masih berkeyakinan dengan kualiti dimiliki pemain-pemain saya dan mereka nampaknya telah bersedia untuk bermain habis-habisan untuk bangkit semula di Larkin," katanya kepada Kosmo! di Kuala Nerus, Terengganu semalam.

Nafuzi berkata, kebangkitan tersebut boleh direalisasikan sekiranya barisan pemain TFC I yang bakal diturunkan pada aksi hidup mati tersebut berdisiplin tinggi, mengikut strategi dan taktikal yang diterapkannya.

Tambah bekas penyerang Terengganu era 2000-an tersebut, anak buahnya juga telah meningkatkan stamina masing-masing dan bersedia untuk terus bermain dalam tempoh panjang sekiranya perlawanan malam ini berlarutan sehingga ke masa tambahan.

"Kami juga telah berlatih melakukan tendangan penalti sekiranya perlawanan esok (malam ini) perlu ditentukan dengan cara itu kerana dalam persaingan kalah mati seperti ini apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.

"Apa pun, saya telah mengingatkan anak buah saya walaupun kita perlu memburu gol awal bagi menghidupkan semula peluang, jangan sesekali terlalu ghairah sehingga pintu gawang pula dibolosi," katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 21 September lalu, JDT berjaya memperoleh bekalan berharga dengan menewaskan TFC I 1-0.

Kedua-dua kelab juga pernah bertembung di peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada musim lalu yang berakhir TFC I mencipta kejutan mengatasi JDT yang juga juara Liga Super dengan agregat 3-2.

Tapir terjatuh dalam parit diselamatkan

KUALA TERENGGANU – Seekor tapir dewasa yang  terjatuh ke dalam parit selepas tersesat masuk ke dalam Kampung Kubang Tepak, Manir dekat sini berjaya diselamatkan.

Pengerusi Majlis Pe­ngurusan Komuniti Kampung Kubang Tepak, Yusof Umar berkata, kelibat tapir yang mengerang ke­sakitan di dalam parit berkenaan di­sedari beberapa penduduk kampung pada pukul 10.45 malam kelmarin.

Menurut Yusof, pihak­nya kemudiannya meng­hubungi pihak bomba untuk memohon bantuan  menyelamatkan haiwan terancam itu.

“Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian berjaya menaikkan tapir tersebut dari parit terbabit pada pukul 1 pagi tadi (semalam).

“Begitu pun, haiwan tersebut telah bertindak agresif dan melarikan diri sebaik diselamatkan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Yusof berkata, tapir ber­kenaan bagaimanapun berjaya ditangkap semula ketika ditemui dalam kea­daan lemah tidak jauh dari lokasi dia terjatuh kira-kira sejam kemudian.

“Tapir terbabit telah di­serahkan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara) Terengganu untuk tindakan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, haiwan yang dianggarkan seberat lebih 100 kilogram itu dipercayai tersesat mema­suki perkampungan mereka dari hutan belukar berhampiran.

Mendaki Bukit Besar bersama SPRM

SERAMPANG DUA MATA. Seramai 100 peserta memeriahkan program Gohek dan Khabak (Kayuh dan Daki) Merdeka 2019 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, program yang turut disertai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya itu bertujuan golongan muda untuk menyuntik kebencian terhadap budaya rasuah menerusi aktiviti riadah.

“Kami bersama-sama peserta yang terdiri daripada golongan muda mengayuh basikal dan mendaki sehingga ke puncak Bukit Besar setinggi 156 meter dari paras laut sebelum memacak papan tanda SPRM,” katanya.

Sunday, September 29, 2019

Budak lelaki disyaki didera bapa diselamatkan JKM

KUALA TERENGGANU – Seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang disyaki didera bapa kandung berjaya diselamatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu di sebuah rumah di Bukit Payung, Marang kelmarin.

Mangsa diselamatkan kira-kira pukul 1 tengah hari dalam keadaan mukanya lebam dan mulut bengkak.

Sumber berkata, tiga pegawai JKM negeri telah menyerbu rumah didiami mangsa untuk melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat berhubung dakwaan mangsa telah didera oleh bapanya.

“Bapa kanak-kanak itu pada mulanya enggan memberi kerjasama kepada pegawai JKM negeri terbabit apabila tidak mahu membuka pintu rumahnya.

“Bagaimanapun, lelaki berusia 39 tahun itu akhirnya beralah dengan pujukan pegawai JKM Terengganu sebelum membenarkan mereka masuk,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam rumah ber­kenaan menjumpai seorang budak lelaki sedang duduk di atas tilam dalam keadaan mukanya lebam dan mulutnya bengkak.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke pejabat JKM Marang untuk tindakan lanjut sebelum laporan berhubung penemuan mangsa dibuat di Balai Polis Bukit Payung di sini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Amran @ Muhammad Zaki Omar  (gambar) yang mengesahkan kejadian  itu berkata, suspek telah ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Tayang video pendek jenayah syariah

KUALA TERENGGANU – Semua panggung wayang di Lotus Five Star Cinemas (LFS ­Cinemas) Kuala Terengganu di sini akan menayangkan video pendek kempen kesedaran ­kesalahan jenayah syariah Terengganu berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, video berdurasi 51 saat yang akan ditayangkan sebelum tayangan sesebuah filem tersebut merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan LFS Ci­nema Sdn. Bhd., yang merupakan pengendali panggung wayang berkenaan.

“Penayangan video pendek itu merupakan inisiatif kerajaan negeri Terengganu untuk mendidik masyarakat tentang etika berkelakuan sopan dan mencegah perbuatan maksiat sewaktu menonton wayang.

“Penumpuan akan diberikan kepada dua kesalahan utama dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu perbuatan tidak sopan di tempat awam dan mendedahkan tubuh di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan tayangan video pendek Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di LFS Cinemas Kuala Terengganu di Paya Bunga Sentral sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Mohd. Azam Alwi dan Pengurus LFS Cinema Kuala Terengganu, Mohd. Zumajdi Razali.

Mohd. Nor berkata, perbuatan tidak sopan di tempat awam se­perti berpelukan dan bercium di khalayak ramai merupakan ke­salahan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara selama dua tahun atau ke­dua-duanya jika sabit kesalahan.

Buka restoran pada usia 21 tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Usia muda 21 tahun dan baru menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Kewangan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini bukan halangan buat Mohamad Hanis Hazman Azizan bertindak memberanikan diri mengusahakan sebuah restoran.

Restoran The Nelang Cafe yang diusahakannya di Jalan Gong Badak di sini sejak lebih sebulan lalu semakin mendapat sambutan dan menjadi sebutan dalam kalangan penduduk setempat serta pelancong.

Dia yang berasal dari Sungai Rengas, Kuala Terengganu berkata, minatnya untuk terlibat dalam perusahaan makanan mula bercambah sewaktu bekerja sambilan di beberapa restoran ketika masih bergelar penuntut.

“Pengalaman menguruskan restoran dan memasak yang dipelajari semasa bekerja membuatkan saya nekad untuk menjadi usahawan sebaik menamatkan pengajian tanpa menunggu majlis konvokesyen dijangka berlangsung hujung tahun ini.

“Alhamdulillah, hasrat saya direstui keluarga dan membiayai kos membuka restoran tersebut yang terletak berhampiran kampus UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu di sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Hanis Hazman berkata, nasi ayam penyet, nasi tilapia penyet dan ayam goreng istimewa menjadi menu utama The Nelang Cafe.
Ujarnya, ketiga-tiga hidangan itu diolah sendiri selepas mempelajarinya menerusi laman sosial seperti Youtube dan Facebook.

“Saya berlatih memasaknya sendiri dan mengolahnya agar menepati cita rasa pelanggan dan penduduk tempatan.

“Saya juga belajar menghasilkan sendiri air boba yang menjadi trend masa kini agar ia dapat dijual pada harga mampu milik,” katanya.

Mohamad Hanis Hazman berkata, kebanyakan menu makanan di restorannya ditawarkan pada harga berpatutan iaitu antara RM5.50 dan RM8 manakala pakej berserta air buah berharga RM10.

Tambahnya, air boba pula dijual pada harga RM5.90. Namun, katanya, ia boleh dinikmati pada harga RM1 jika dibeli bersama pakej makanan menu utama. Tambahnya, golongan pelajar diberi tawaran istimewa untuk pakej menu utama bersama air teh ais pada harga RM5.80 sekiranya menunjukkan kad pelajar.

Anak lembu jantan berkaki lima

BESUT – Seekor anak lembu jantan berusia lima bulan menarik perhatian ramai kerana mempunyai lima kaki berbanding empat pada kebia­saannya.

Penternaknya, Muhamad Samad, 57, berkata, anak lembu yang dilahirkan pada bulan April lalu itu mempunyai tambahan kaki pada bahagian dada.

“Berdasarkan maklumat pegawai veterinar, kaki kelima yang terbentuk pada dada anak lembu peliharaan saya disebabkan simptom polimedia iaitu berpunca daripada pembahagian berulang kali kromosom lembu tersebut di dalam uterus atau rahim induknya sewaktu proses persenyawaan.

“Saya difahamkan simptom polimedia ini boleh berlaku kepada haiwan dan manusia. Ini kali pertama lembu peliharaan saya dilahirkan dalam keadaan istimewa selama lebih 20 tahun menternak lembu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bukit Payung di sini semalam.

Muhammad memberitahu, anak lembu itu memerlukan penjagaan rapi memandang­kan kaki kelimanya mudah mendapat komplikasi sejak dilahirkan.

Menurutnya, sebelum ini, dia menyembunyikan anak lembu itu darpada menjadi tumpuan ramai kerana bimbang akan memberi tekanan kepada haiwan berkenaan.

“Saya pernah ditawarkan individu untuk membeli anak lembu ini pada harga lumayan namun setakat ini tiada niat untuk menjual kerana ia terlalu istimewa,” jelasnya.

Saturday, September 28, 2019

Penduduk terkejut buaya tembaga berjemur di kawasan sawah padi


BESUT – Penduduk Kampung Padang Baloh, Jerteh di sini kelmarin gempar de­ngan penemuan seekor buaya tembaga seberat hampir 80 kilogram yang berjemur di tepi sawah padi.

Penemuan buaya tembaga sepanjang kira-kira dua meter itu di­sedari beberapa pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja  pemasangan paip pembetung di kawasan parit di kampung itu pada pukul 10 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malik Mohd. Yusof berkata, lima pekerja terbabit telah ternampak kelibat seekor buaya tembaga merangkak keluar dari parit berkenaan.

“Buaya tembaga itu kemudian berjemur di tepi kawasan sawah tidak jauh dari loka­sinya ditemui sehingga menarik perhatian penduduk kampung.

“Pekerja itu kemudian memberanikan diri menangkap buaya tembaga berkenaan kerana bimbang haiwan reptilia itu boleh memberi ancaman kepada penduduk sekiranya dibiarkan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Katanya, walaupun agak agresif pada mulanya, buaya itu akhirnya berjaya ditangkap apabila lehernya dijerut dengan menggunakan seutas tali.

“Buaya tembaga itu dipercayai memasuki sawah padi itu setelah tersesat dari habitat asalnya. Haiwan itu dilepaskan semula ke sungai berhampiran semalam," jelasnya.

Ditetak kerana senyum sinis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur tidak pasal-pasal ditetak dengan sebilah parang hanya kerana melemparkan senyuman sinis kepada individu tidak dikenalinya di Kampung Alur Tembusu, Du­ngun kelmarin.

Kejadian pada pukul 4 petang itu menyebabkan lelaki berusia 33 tahun itu cedera pada lengan kiri sehingga menerima empat jahitan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superinten­dan Baharudin Abdullah berkata, sebelum kejadian, mangsa yang sedang berehat di atas buaian di belakang rumah rakannya telah didatangi suspek.

“Suspek memberitahu dia sedang mencari rakan mangsa untuk me­nuntut hutang RM20. Kemudian, mangsa dan isteri kepada rakannya memberi­tahu bahawa individu dicari tiada.

“Suspek yang tiba-tiba berang kerana tidak ber­puas hati selepas mangsa tersenyum kepadanya telah bertindak agresif melibas sebilah parang dipegangnya sehingga terkena lengan kiri lelaki itu sebelum  beredar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, mangsa dan individu yang dicari suspek merupakan rakan sekampung.
Baharudin berkata, mangsa telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Dungun selepas mene­rima rawatan.

“Gerakan mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Ke­seksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecede­raan menggunakan senjata,” jelasnya.

Jika didakwa seseorang yang didapati sabit kesalahan itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Piala Malaysia: JDT lega miliki kelebihan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) lega berjaya membawa pulang bekalan berharga selepas menewaskan Terengganu Football Club I (TFC I) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini itu merupakan hasil kerjasama berpasukan anak buahnya.

"Saya berpuas hati dengan pemain-pemain (JDT) yang telah memberi persembahan mengagumkan pada aksi malam ini (tadi).

"Benteng pertahanan telah berjaya mempertahankan gawang pasukan dengan cemerlang manakala barisan serangan pula telah menjalankan tugas dengan baik membolosi pintu gol lawan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Pada aksi berkenaan, JDT memperolehi bekalan berharga apabila menumbangkan TFC I 1-0 di gelanggang lawan menerusi jaringan penyerang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-21.


Bagaimanapun, Mora mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu terbuai dengan kemenangan terbabit kerana masih ada baki 90 minit aksi suku akhir kedua yang perlu dihadapi di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin pada 28 September ini. - K! ONLINE

DPUKM tingkat motivasi calon SPM SMK Tengku Bariah

KUALA TERENGGANU – Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) mengambil inisiatif meraikan 115 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah di sini pada Majlis Graduasi SPM kelmarin.

Setiausaha Kehormat DPUKM, Datin Seri Norliah Che Muhammad berkata, maj­lis tersebut bertujuan mening­katkan motivasi calon SPM sekolah tersebut yang bakal menduduki peperiksaan bermula 5 November depan.

“Ini sebahagian sumba­ngan saya sebagai alumni SMK Tengku Bariah yang pernah menuntut ilmu di sekolah ini pada tahun 1973 hingga 1978. Semoga Majlis Graduasi SPM dapat mendorong mereka berusaha lebih gigih bagi memperolehi kejayaan di pe­ringkat lebih tinggi.

“Saya juga berharap calon SPM tersebut bijak memanfaatkan peluang dan maklumat serta mencabar diri bagi mencipta banyak lagi kecemerlangan sekali gus mengharumkan lagi nama SMK Tengku Bariah selepas melangkah keluar daripada alam persekolahan kelak,” katanya selepas merasmikan Maj­lis Graduasi SPM di SMK Tengku Bariah di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengetua SMK Tengku Bariah, Mohamad A. Ghani dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Wan Mohd. Ariffin Wang Long.

Norliah berkata, selain me­nyampaikan sijil kepada semua calon SPM SMK Tengku Bariah, DPUKM turut memberi ganjaran wang tunai kepada enam pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan baru-baru ini.

Ambifia Qber'

DEMONSTRASI. AMFIBIA QBER' melakukan demonstrasi penyelamatan di darat dan air pada majlis pelancaran Persiapan Bencana Banjir di Hulu Terengganu semalam.

Umpan Kedah mengena

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

STRATEGI mengekang pemain-pemain utama Terengganu Football Club I (TFC I) merupakan kunci kejayaan Kedah menumpaskan Terengganu Football Club I (TFC) pada aksi kelima Kumpulan A Piala Malaysia kelmarin.

Pengendali Kedah, Aidil Shahrin Sahak berkata, kekuatan sebenar skuad Penyu tidak dapat terserlah seperti biasa dalam pertemuan tersebut selepas anak buahnya berjaya mengikat pergerakan dua tonggak import lawan iaitu Kipre Tchetche dan Sanjar Shaakmedov.

“TFC I merupakan pasukan yang sukar dan ia terbukti apabila kamu tewas 0-2 di gelanggang sendiri pada pusingan pertama sebelum ini walaupun mereka bermain dengan 10 orang pada aksi tersebut.

“Sehubungan itu, saya telah mengatur strategi pada perlawanan ini agar pemain-pemain utama TFC I dikawal pergerakannya dan ia terbukti berhasil,” katanya ketika selepas perlawanan kelmarin.

Aidil Shahrin berkata, kemenangan dramatik berkenaan memberi kepuasan besar kepada skuad Kedah bukan sahaja membolehkan skuad Lang Merah me-nempah tiket ke suku akhir Piala Malaysia malah membalas dendam kekalahan tempoh hari.

Beliau juga gembira anak buahnya akhirnya dapat menewaskan TFC I di hadapan lebih 10,000 penyokong tegar skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

“Saya perlu puji pemain-pemain saya yang bermatian-matian dan tidak berputus asa untuk melakar kemenangan walaupun telah diikat dua kali oleh tuan rumah sepanjang perlawanan ini,” katanya.

Friday, September 27, 2019

Pawagam Terengganu tayang video kesedaran kesalahan jenayah syariah

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Semua panggung wayang di Lotus Five Star Cinemas (LFS Cinemas) di sini akan menayangkan video pendek kempen kesedaran kesalahan jenayah syariah Terengganu berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, video berdurasi 51 saat yang akan ditayangkan sebelum tayangan sesebuah filem tersebut merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan LFS Cinema Sdn. Bhd. yang merupakan pengendali panggung wayang tersebut.

"Penayangan video pendek tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri Terengganu untuk mendidik masyarakat tentang etika berkelakuan sopan dan mencegah perbuatan maksiat sewaktu menonton wayang.

"Penumpuan akan diberikan kepada dua kesalahan utama dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu perbuatan tidak sopan di tempat awam dan mendedahkan tubuh di tempat awam," katanya selepas melancarkan tayangan video pendek Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di LFS Cinemas Kuala Terengganu di Paya Bunga Sentral sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Mohd. Azam Alwi dan Pengurus LFS Cinema Kuala Terengganu, Mohd. Zumajdi Razali.

Mohd. Nor berkata, perbuatan tidak sopan di tempat awam seperti berpelukan dan bercium di khalayak ramai merupakan kesalahan di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Tambahnya, hukuman denda RM1,000 atau penjara selama enam bulan atau kedua-dua boleh dikenakan kepada individu yang mendedahkan tubuh sehingga menimbulkan ghairah di tempat awam mengikut Seksyen 35 akta sama. - K! ONLINE

Gabungan UMT, UniSZA bentuk universiti berteras keilmuan Islam, sains kelautan

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Universiti baharu yang bakal dibentuk menerusi penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal memberi penekanan kepada limatujahan berteraskan keilmuan Islam dan sains kelautan.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, empat tujahan tersebut merupakan fokus utama UMT dan UniSZA sebelum ini iaitu sains kelautan, pendidikan Islam, perubatan, peniagaan dan undang-undang.

"Sebanyak 16 fakulti yang kini terdapat di UMT dan UniSZA akan diperkemaskan menjadi sembilan fakulti sahaja. Penggabungan ini tidak melibatkan penutupan atau pengguguran mana-mana jurusan ditawarkan tetapi fakulti yang hampir sama di kedua-dua universiti akan disatukan.

"Penggabungan ini juga tidak akan memberi kesan kepada kebajikan hampir 3,000 kakitangan akademik dan bukan akademik di kedua-dua universiti tersebut termasuk berstatus kontrak," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Bengkel Penyelarasan Penggabungan UMT dan UniSZA di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar, Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan, Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dan  Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dr. Halim Mohammad.

Siti Hamisah berkata, sepanjang bengkel tersebut, pengurusan UMT dan UniSZA secara prinsip akur untuk memberi ruang kepada penggabungan tersebut bagi membentuk sebuah universiti baharu yang berupaya melonjak sebagai peneraju kepada integrasi keilmuan Islam dan sains di peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, pengurusan UMT dan UniSZA juga telah membentangkan pandangan masing-masing berhubung isu-isu berbangkit seperti tadbir urus, pembangunan dan kebajikan mahasiswa, penyelidikan dan akademik bagi memenuhi keperluan penggabungan kedua-dua universiti terbabit.

"Berdasarkan perbincangan awal, pengurusan UMT dan UniSA telah bersetuju untuk menggunakan peluang penggabungan ini bagi memperkasa lagi kebitaraan bidang fokus kedua-dua universiti, mempertingkat kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada mahasiswa, fakulti serta komuniti setempat.


"Dapatan ini akan dibentangkan kepada jawatankuasa khas yang telah ditubuhkan berikutan keputusan Jemaah Menteri untuk menggabungkan UMT dan UniSZA pada awal bulan ini. Beberapa bengkel kerja penyelarasan lain juga akan diadakan selepas ini," katanya. - K! ONLINE

Piala Malaysia: Tempo permainan TFC I terganggu

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Pengendali sementara Terengganu Football Club I (TFC I), Nafuzi Mohd. Zain mengakui anak buahnya agak terganggu dengan 'lakonan' pemain Johor Darul Ta'zim yang kerap merebahkan badan sewaktu aksi suku akhir pertama malam tadi.

Beliau berkata, gangguan tersebut yang menyebabkan pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim sering memberhentikan perlawanan seketika.

"Kita mengharapkan kedua-dua pasukan (TFC I dan JDT) mempamerkan permainan menarik untuk ditonton tetapi perjalanan permainan terganggu kerana terlalu kerap diberhentikan.

"Walaupun tewas, saya tiada masalah dengan prestasi yang telah ditunjukkan anak buah saya sepanjang perlawanan ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Pada aksi tersebut, TFC I menempah laluan berliku apabila tewas 0-1 kepada JDT menerusi jaringan penyerang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-21.


Nafuzi berkata, anak buahnya telah memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Selatan walaupun juara Liga Super itu bukan calang-calang pasukan. - K! ONLINE

Piala Malaysia: JDT peroleh bekalan berharga

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Johor Darul Ta'zim (JDT) pulang dengan bekalan berharga apabila menewaskan Terengganu Football Club I (TFC I) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Jaringan pada minit ke-21 menerusi rembatan kencang penyerang import JDT, Diogo Luis Santo menjadi pemisah kepada kedua pasukan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Tuan rumah yang juga naib juara Piala Malaysia edisi tahun lalu berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi ayam tambatannya, Kipre Tchetche namun rembatan pemain berasal dari Ivory Coast tersebut tersasar sedikit ke penjuru kiri gawang.

Rembatan kencang pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-64 pula berjaya ditepis keluar penjaga gol skuad Harimau Selatan, Mohd. Farizal Marlias.

Sebelum itu, JDT pula hampir melebarkan kedudukan menerusi penyerang, Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-54.

Begitu pun percubaan gagal melepasi garisan gol kerana diselamatkan pemain pertahanan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan biar pun pejaga gawang, Muhammad Azraie Wan Teh sudah tertewas.

Nasrullah Haniff sekali lagi penghalang Muhammad Safawi untuk mencetak gol apabila menguis keluar percubaan penyerang Harimau Malaya itu di garisan gol pada minit ke-72.


Kedua-dua pasukan bakal bertembung semula pada aksi suku akhir kedua di Larkin, Johor pada 28 September ini. - K! ONLINE

TFC I sudah sedia gempur JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu Football Club I (TFC I) tidak gentar menyambut kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Penyerang TFC I, Abdul Malik Mat Arif berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan sudah bersedia mengekang JDT yang juga juara Liga Super dalam usaha mendapat bekalan selesa untuk dibawa sewaktu bertandang ke Larkin minggu depan.

“JDT memang pasukan handalan tetapi pada pusingan kalah mati seperti ini, tiada apa yang mustahil apatah lagi kami pernah melakukannya pada saingan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Apa yang penting kita harus mengelak daripada dibolosi walaupun satu gol malam esok (ini) sebagai bekalan berharga untuk bertandang di laman lawan bagi suku akhir kedua kelak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Abdul Malik yang meledak gol kemenangan sewaktu menewaskan JDT 1-0 pada saingan separuh akhir pertama musim lalu berkata, fokus sepanjang 90 minit merupakan kunci utama untuk mengekang Harimau Selatan.

Ujar pemain yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali ketika bersama Pahang pada tahun 2013 dan 2014 itu berkata, sebarang kealpaan mampu menghukum TFC I kerana JDT terlalu ampuh di setiap posisi.

“Sesiapa pun yang akan diturunkan perlu mengikut strategi dan taktikal ketua jurulatih (Nafuzi Mohd. Zain).

“Jika saya diberi kepercayaan sama ada dalam kesebelasan utama atau super-sub, saya akan berikan yang terbaik,” katanya.

Kanak-kanak terlantar lumpuh akibat kemalangan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Hati ibu mana yang tidak gundah melihat anak lelaki yang aktif sebelum ini terlantar lumpuh akibat kemalangan sejak hampir sebulan lalu.

Normazni Mohd. Nawi, 49, berkata, Muhammad Rasydan Sufi Othman, 9, yang merupakan anak kesembilan daripada 10 beradik mengalami kecederaan parah di bahagian kepala menyebabkannya mengalami masalah saraf akibat kemalangan berlaku pada 23 Ogos lalu.

Dia berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Rasydan Sufi telah dilanggar sebuah kereta ketika menunggang basikal masing-masing dengan dua abangnya yang berusia 13 dan 15 tahun ke pekan Kuala Berang dari rumah mereka di Kampung Paya Besar di sini.

"Dia yang tidak sedarkan diri sebaik dilanggar telah menerima rawatan selama 16 hari termasuk 11 hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Hulu Terengganu di sini sebelum dibenarkan pulang baru-baru ini.

"Kesan kemalangan itu menyebabkan anak saya mengalami gangguan saraf yang menyebabkannya lumpuh, tidak mampu bercakap seperti biasa dan sering mengalami kekejangan otot dan sawan," katanya ketika ditemui Kosmo! Online di rumah mereka di Kampung Paya Besar, Kuala Berang di sini hari ini.

Normazni berkata, Muhammad Rasydan Sufi memerlukan penjagaan rapi hampir 24 jam kerana kekejangan otot dan sawan boleh menyerang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang di sini tersebut pada bila-bila masa menyebabkan terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan.


Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Normazni 11500-41-00001409-0 atau menghubunginya di talian 0189078545. - K! ONLINE

Lelaki tumbuk anak saudara kerana berang ditegur

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menegur bapa saudara yang mengherdik neneknya, seorang pekerja swasta cedera akibat ditumbuk lelaki itu di Kampung Tukang, Gelugor Kedai di sini baru-baru ini.

Tidak cukup dengan menumbuk mangsa, suspek berusia 37 tahun turut mengugut mahu membelasah ahli keluarganya dalam kejadian pada pukul 8 malam, Isnin lalu.

Suspek juga dipercayai cuba membakar rumah yang didiami mereka pada keesokan hari.

Satu sumber memberitahu, kejadian itu bermula selepas mangsa yang berusia 21 tahun menegur perbuatan biadap suspek menengking neneknya.

"Suspek yang berang menumbuk kepala mangsa hingga bengkak. Dia turut membuat ugutan mahu mencederakan ahli keluarga lain sebelum beredar.

"Pada keesokan harinya, suspek dipercayai cuba membakar rumah berikutan penemuan longgokan tayar dan cebisan kain yang terbakar," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd. Gunnos mengesahkan perkara itu dan berkata, suspek telah ditahan Rabu lalu bagi membantu siasatan.

Thursday, September 26, 2019

Jangan beri ruang buat TFC I bangkit – Mora

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) lega berjaya membawa pulang bekalan berharga selepas menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala­ Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasi­ruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil kerjasama berpasukan anak-anak buahnya.

“Saya berpuas hati dengan pemain-pemain (JDT) yang telah memberi persembahan mengagumkan pada aksi malam ini (kelmarin).

“Benteng pertahanan berjaya mempertahankan gawang pasukan dengan cemerlang manakala barisan sera­ngan pula menjalankan tugas dengan baik untuk merobek gawang lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi berkenaan, JDT mempe­roleh bekalan berharga menerusi ja­ringan penyerang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-21.

Begitu pun, Mora mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu terbuai dengan kemenangan itu kerana masih ada baki 90 minit aksi suku akhir kedua yang perlu dihadapi di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada 28 September ini.

Mora berkata, persiapan untuk pertembungan itu perlu dilakukan segera bagi memastikan kelebihan yang diperoleh di Kuala Terengganu dapat dipertahankan.

“Kita perlu mengekalkan aksi cemerlang pada pertemuan berkenaan dan jangan beri sebarang ruang kepada pemain TFC I untuk bangkit,” katanya.

Suri rumah meroyan didakwa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah yang disyaki me­ngalami gangguan emosi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya ber­usia tiga bulan, dua minggu lalu.

Tertuduh Nur Najihah Zulkiflee, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, Nur Najihah didakwa menyebabkan kematian bayinya, Medina Sandra Mohd. Saddly di sebuah rumah di Felda Neram 2, Chukai, Kemaman pada pukul 11.30 pagi, 11 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendali­kan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan hanya ibu kandungnya boleh menjadi penjamin.

Mahkamah mengenakan syarat tambahan kepada Nur Najihah supaya tidak menganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan dan menetapkan sebutan semula kes pada 16 Oktober depan.

Kosmo! 12 September lalu me­laporkan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia akibat lemas dipercayai ditekup dengan sesuatu objek oleh ibunya yang dipercayai gila meroyan.

Kejadian tersebut disedari suami wanita itu yang berusia 27 tahun sewaktu pulang sebentar ke rumah.

Nur Najihah ketika itu memberitahu suaminya, bahawa dia telah menghantar bayi sulungnya ke syurga.

JDT II sebelah kaki ke final Piala Cabaran

NAIB juara Liga Premier, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) sudah sebelah kaki ke final Piala Cabaran selepas menewaskan Terengganu FC II (TFC II) 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasirud­din Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Pengendali JDT II, Ervin Boban berkata, pujian harus diberikan kepada anak-anak buahnya yang berjaya menewaskan TFC II sekali gus memperoleh bekalan selesa bagi aksi separuh akhir kedua nanti.

“Cabaran yang diberikan pemain TFC II amat hebat dengan aksi berlangsung sengit, namun anak-anak buah saya berjaya mengatasinya dengan menunjukkan prestasi menakjubkan ter­utama pada babak kedua.

“Mereka dapat kembali bangkit selepas ketinggalan pada minit ke-60 dengan meledak dua gol penting selepas itu,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Boban berkata, kemasukan penyerang gantian, Darren Yee Deng Lok pada babak kedua telah mempertajamkan serangan JDT II.

Katanya, Darren turut me­nunjukkan kecemerlangannya de­ngan meledak gol penyamaan pada minit ke-64 yang menjadi pencetus kebangkitan skuad kendaliannya pada aksi kelmarin.

“Perjuangan masih belum selesai kerana masih ada tempoh 90 minit lagi yang perlu diharungi.

“Walaupun akan beraksi di laman sendiri, ia bukan kelebihan besar buat kami kerana saya percaya pemain TFC II pasti tidak akan putus asa,” k

Kanak-kanak derita lumpuh selepas dilanggar kereta

HULU TERENGGANU – Hati seorang ibu luluh apabila melihat anak lelakinya hanya mampu terlantar di atas tilam selepas lumpuh akibat kemalangan sejak hampir sebulan lalu.

Normazni Mohd. Nawi, 49, berkata, Muhammad Rasydan Sufi Othman, 9, merupakan anak ke­sembilan daripada 10 beradik itu mengalami kecederaan parah pada kepala sehingga menyebabkan masalah saraf.

Dalam kejadian pada 23 Ogos lalu, Muhammad Rasydan dilanggar sebuah kereta ketika me­nunggang basikal bersama dua abangnya yang ingin ke pekan Kuala Berang di sini.

“Dia yang tidak sedarkan diri sebaik dilanggar telah menerima rawatan selama 16 hari termasuk 11 hari di Unit Rawatan Rapi Hospital Hulu Terengganu.

“Kesan kemalangan itu menyebabkan anak saya mengalami gangguan saraf sehingga dia lumpuh, tidak mampu bercakap, se­ring mengalami kekejangan otot dan sawan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Besar, Kuala Berang di sini semalam.

Katanya, Muhammad Rasydan memerlukan penjagaan rapi ke­rana kekejangan otot dan sawan boleh menyerangnya pada bila-bila masa.

“Keadaan kesihatan Muhammad Rasydan menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan manakala suami pula merupakan pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan Binjai Kertas, Kuala Berang.

“Kos lampin pakai buang dan susu mencecah lebih RM500 se­bulan. Kalau ikutkan memang tidak mampu kerana saya bergantung hidup dengan pendapatan suami,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Normazni 11500-41-00001409-0 atau menghubungi talian 018-907 8545 dan 011-218 9142.

Bomba selamatkan tapir jatuh longkang

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seekor tapir dewasa yang terjatuh ke dalam parit selepas tersesat masuk ke dalam Kampung Kubang Tepak, Manir dekat sini semalam sebelum diselamatkan bomba.

Kelibat tapir yang mengerang kesakitan di dalam parit berkenaan telah disedari beberapa penduduk kampung pada pukul 10.45 malam kelmarin.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubang Tepak, Yusof Umar berkata, pihaknya telah menghubungi bomba untuk memohon bantuan sebaik dimaklumkan tentang   penemuan haiwan terancam terbabit.

"Anggota bomba yang tiba tidak lama kemudian berjaya menaikkan tapir tersebut dari parit terbabit pada pukul 1 pagi tadi.

"Begitupun, haiwan tersebut telah bertindak agresif dan melarikan diri sebaik diselamatkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yusof berkata, tapir berkenaan akhirnya berjaya ditangkap semula ketika ditemui dalam keadaan lemah tidak jauh dari lokasi dia terjatuh pada kira-kira sejam kemudian.

Menurut beliau, pihaknya percaya haiwan dilindungi yang beratnya dianggarkan melebihi 100 kilogram itu dipercayai tersesat memasuki perkampungan mereka dari hutan belukar berhampiran.


"Tapir terbabit telah diserahkan kepada Perhilitan (Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara) Terengganu untuk tindakan susulan," katanya. - K! ONLINE

Wednesday, September 25, 2019

Gajah berenang di Tasik Kenyir tarik perhatian

KUALA TERENGGANU – Aksi se­ekor gajah sedang berenang di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu baru-baru ini menjadi tular di media sosial sejak Sabtu lalu selepas vi­deonya dikongsi seorang pemancing di laman Facebook.

Mohd. Suwardi Muhamad Azmi, 37, yang merupakan Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sin berkata, video itu dirakam salah seorang rakannya sewaktu menyertai aktiviti memancing di Tasik Kenyir baru-baru ini.

“Saya tidak menyangka vi­deo itu telah menarik perhatian orang ramai. Mungkin ramai tidak tahu bahawa gajah yang juga mamalia terbesar di dunia mempunyai kemampuan untuk berenang.

“Sebenarnya ini bukan kali pertama saya melihat gajah be­renang. Kalau ikutkan ini kali keempat sejak saya mula aktif dalam aktiviti memancing te­rutama di sekitar Tasik Kenyir,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Setakat pukul 3.30 petang semalam, video gajah berenang di Tasik Kenyir itu  telah dikongsi  oleh 1,000 pemilik akaun Facebook lain selain menerima 888 tanda suka dan 34 komen.
Mohd. Suwardi berkata, sepanjang memancing di Tasik Kenyir, dia pernah melihat beberapa haiwan liar lain yang berenang di tasik sedalam lebih 10 meter itu seperti rusa, kera, kancil, harimau, beruk, kijang dan babi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, gajah sememangnya haiwan liar yang terdapat di dalam hutan belantara negeri ini termasuk Tasik Kenyir.

“Sebagai maklumat, gajah mempunyai kemampuan be­renang selama enam jam tanpa henti pada kelajuan kira-kira 2.1 kilometer sejam,” katanya.

TFC I yakin mampu mara

PENGENDALI sementara Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Nafuzi Zain memohon maaf secara terbuka kepada peminat ke atas kekalahan 2-3 skuad kendaliannya kepada Kedah pada aksi kelima Kumpulan A Piala Malaysia kelmarin.

Beliau berkata, kekalahan dramatik di laman sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu sekali gus telah menangguhkan hasrat menggunung penyokong tegar untuk melihat skuad Penyu menempah tiket lebih awal ke peringkat suku akhir.

“Begitu pun, kekalahan ini tidak menutup ruang TFC I untuk mara ke suku akhir (Piala Malaysia). Saya tetap yakin kita akan melangkah ke peringkat sete-rusnya.

“Selain mempunyai kelebihan gol yang ketara dengan Negeri Sembilan yang berada di tangga ketiga, saya optimis anak buah saya mampu mencuri mata pada aksi terakhir menentang PKNS FC nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Nafuzi berkata, biar pun tewas, beliau tetap berpuas hati dengan pemain TFC I yang telah mempamerkan prestasi baik dan memberi tentangan sengit kepada skuad Lang Merah.

Menurutnya, kedua-dua pasukan telah menunjukkan persembahan menghiburkan dengan tempo permainan laju sepanjang 90 minit beraksi namun nasib lebih menyebelahi Kedah.

“Bagi saya keputusan seri lebih adil buat kedua-dua pasukan tetapi kita akur rezeki lebih berpihak kepada skuad lawan.

“Apa pun saya akui kita tewas dalam pertarungan fizikal dengan pemain Kedah terutama melibatkan barisan import. Ini terbukti dua daripada tiga gol dihasilkan mereka menerusi permainan bola mati,” katanya.

JDT peroleh bekalan berharga

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JUARA Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pulang dengan bekalan berharga apabila menewaskan Terengganu FC I (TFC I) 1-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia malam tadi.

Jaringan tunggal pada minit ke-21 menerusi rembatan kencang penyerang import JDT, Diogo Luis Santo menjadi pemisah kepada kedua-dua pasukan pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.

Tuan rumah berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi ayam tambatannya, Kipre Tchetche, namun rembatan pemain berasal dari Ivory Coast tersebut tersasar sedikit ke penjuru kiri gawang.

Rembatan kencang pemain tengah import, Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-64 pula berjaya ditepis keluar penjaga gol skuad Harimau Selatan, Mohd. Farizal Marlias.

Sebelum itu, JDT hampir melebarkan kedudukan menerusi penyerang, Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-54.

Begitu pun percubaan gagal melepasi garisan gol kerana diselamatkan pemain pertahanan tuan rumah, Nasrullah Haniff Johan biar pun penjaga gawang, Muhammad Azraie Wan Teh sudah tertewas.

Kedua-dua pasukan bakal bertembung semula pada aksi suku akhir kedua di Larkin, ­Johor Bahru pada 28 September ini.

Bapa perkosa anak hingga hamil

KUALA TERENGGANU – Seorang bapa kepada empat anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memperkosa anak perempuan sulung­nya berusia 12 tahun sehingga hamil.

Tertuduh berusia 41 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol anak perempuannya di sebuah rumah di Chabang Tiga di sini antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi pada Julai hingga Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu di lokasi dan waktu sama pada 17 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa me­ngikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, ma­nakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh selain menetapkan sebutan semula kes pada 25 Oktober depan.

Difahamkan, anak sulung tertuduh disahkan hamil tujuh minggu selepas mengalami muntah-muntah ketika sedang menjalani peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah di sebuah sekolah rendah di bandar raya ini baru-baru ini.

TFC I terganggu ‘lakonan’ JDT

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PENGENDALI sementara Terengganu FC I (TFC I), Nafuzi Mohd. Zain me­ngakui rentak permainan anak-anak buah­nya agak terganggu de­ngan ‘lakonan’ pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ke­rap merebahkan badan sewaktu aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau ber­kata, gang­guan tersebut menyebabkan pe­ngadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim sering menghentikan perlawanan seketika sekali gus meng­ganggu tempo permainan.

“Kita harap kedua-dua pasukan (TFC I dan JDT) mempamerkan permainan menarik untuk ditonton tetapi perjalanan permainan­ se­ring terganggu kerana terlalu kerap dihentikan.

“Walaupun tewas, saya tiada masalah dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buah saya sepanjang perlawanan ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi tersebut, TFC I menempah laluan berliku apabila tewas 0-1 kepada JDT menerusi jaringan penyerang import, Diogo Luis Santo pada minit ke-21.
Nafuzi berkata, anak-anak buahnya te­lah memberi tentangan sengit kepada­ skuad Harimau Selatan walaupun juara Liga Super itu bukan calang-calang pasukan.

Bekas penyerang Terengganu era 2000-an tersebut juga percaya peluang skuad Penyu untuk mara ke pe­ringkat separuh akhir masih belum ter­tutup.

“Peluang masih terbuka dan saya memberi kepercayaan penuh kepada anak-anak buah saya untuk mencipta kejutan di Larkin sewaktu aksi suku akhir kedua pada 28 September ini.

“Memang sukar untuk menang di ge­langgang ke­ramat JDT tetapi ia bukan mustahil,” katanya.

UTM, PDRM kerjasama komersial bot amfibia

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan kepakaran kejuruteraan bagi menambah baik produk bot ambifia ciptaan Kumpulan Inovatif Kreatif Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Aeronatik dan Samudera Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM, Prof. Pakharuddin Mohd. Samin berkata, bot ambifia, Amfibia Qber' yang mula digunakan untuk operasi penyelamatan musim banjir pada tahun lalu berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

"Berdasarkan perbincangan dengan pihak polis sejak Disember tahun lalu, UTM bersetuju untuk bekerjasama bagi menghasilkan kenderaan ambifia yang lebih moden dan cekap dalam melakukan operasi bantuan pada musim banjir.

"Ambifia Qber' ini terbukti berupaya mengharungi arus deras banjir. Kita akan memperbaiki lagi sistem pengawalan kenderaannya agar lebih efisien pada masa akan datang," katanya selepas menandatangani memorandum persefahaman berhubung kerjasama itu dengan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Perjanjian tersebut ditandatangani pada majlis pelancaran Persiapan Bencana Banjir Negeri Terengganu di Dataran Kampung Dusun, Kuala Berang di sini hari ini.


Pakharuddin berkata, Ambifia Qber' yang boleh beroperasi di darat dan air dengan memuatkan lapan penumpang pada satu-satu masa tersebut didapati mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi. - K! ONLINE

Tuesday, September 24, 2019

Budak ditemui mati lemas di muara Sungai Ibai

KUALA TERENGGANU – Keria­ng­an tiga kanak-kanak mandi-manda di muara Sungai Ibai berhampiran Taman Lagun Kuala Ibai, di sini petang kelmarin berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas.

Mayat Fakih Abd. Rahman Mohd. Amran, 7, ditemui pasukan mencari dan menyelamat di dasar sungai tersebut pada pukul 6.33 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sebelum kejadian, Fakih Abd. Rahman bersama dua rakannya yang kesemuanya murid Sekolah Kebangsaan Pusat Kuala Ibai telah mandi di muara sungai berkenaan pada pukul 5.30 petang.

“Tidak lama kemudian, mangsa bersama seorang lagi rakannya tiba-tiba dibawa arus deras.

“Seorang lagi rakan mangsa yang terselamat sempat berenang ke tebing sungai sebelum meminta pertolongan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rozizah berkata, seorang tukang masak sebuah restoran berhampiran yang menyedari kejadian itu kemudiannya bergegas terjun ke dalam sungai, tetapi hanya sempat menyelamatkan salah seorang daripada mangsa.

Bagaimanapun katanya, Fakih Abd. Rahman tidak sempat diselamatkan dan kali terakhir mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam ke dasar sungai.

“Sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.55 petang, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan melakukan operasi mencari dan menyelamat sebelum menjumpai mayat murid tahun satu berkenaan pada kedudukan kira-kira 20 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk dibedah siasat,” katanya.
Jenazah Fakih Abd. Rahman telah selamat dikebumikan di kampung halaman bapanya di Kampung Sungai Bari, Setiu semalam.

Tertuduh tetak Ketua Polis Daerah Besut jalani pemeriksaan mental

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Mahkamah Sesyen di sini hari  ini memerintahkan tertuduh yang didakwa menetak Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi sehingga  putus ibu jari pada pertengahan bulan lalu agar menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Wan Azimah Yaacob mengarahkan tertuduh, Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 33, menjalani pemeriksaan mental berkenaan di Hospital Permai Tampoi, Johor dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, peguam, Ahmad Fairus Jusoh yang mewakili tertuduh membuat permohonan terbabit
kerana  bekas pengurus sebuah syarikat itu mempunyai rekod menghidap penyakit tersebut sebelum ini.

Beliau berkata, Mohd. Nasli pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan pada tahun 2012 namun tidak pernah mendapatkan rawatan lanjutan selepas itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan ibu jari kanan Mohd. Zamri sehingga kudung dengan menggunakan sebilah parang panjang.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut pada pukul 12.30 tengah hari, 15 Ogos lalu. - K! ONLINE

Monday, September 23, 2019

Bengkel jahitan PDK Kuala Besut terbakar

MOHD. AZLI ADLAN

BESUT - Sebuah bengkel jahitan yang terdapat di dalam Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Baharu, Kuala Besut dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.10 pagi itu, kesemua peralatan pembelajaran termasuk mesin jahit untuk kegunaan pelatih orang kelainan upaya (OKU) hangus dalam kebakaran terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, kebakaran tersebut disedari oleh salah seorang penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan PDK berkenaan.

Beliau berkata, kebakaran itu kemudiannya telah dimaklumkan kepada pihak bomba yang menghantar 17 anggota ke lokasi kejadian pada pukul 4.20 pagi.

"Sewaktu tiba ke lokasi kejadian, api kebakaran sedang marak dan telah memusnahkan hampir 90 peratus premis terbabit yang diperbuat daripada kayu berkenaaan.


"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh hampir sejam iaitu pada pukul 5.25 pagi," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, September 22, 2019

Penoreh getah maut kemalangan

MOHD. AZLI ADLAN

SETIU - Seorang penoreh getah maut selepas motosikal Honda C70 yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Isuzu Demak di Kilometer 51, Jalan Kuala Terengganu - Kota Bahru berhampiran Chalok Barat di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Abdul Rahman Jusoh, 66, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sewaktu kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Isuzu Demak yang merupakan kakitangan Stesen Janakuasa Sultan Ismail Petra, Jeli, Kelantan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandunya didakwa dihimpit oleh motosikal Honda C70 ditunggangi mangsa sebelum bergesel antara satu sama lain.

"Pertembungan itu menyebabkan lelaki warga emas tercampak daripada motosikalnya ke tepi jalan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.


Zulkifli berkata, mayat Abdul Rahman telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. - K! ONLINE