Translate

Sunday, April 30, 2023

Gerai Darlene diserbu selepas tarawih

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Peminat air buah D’Flora tidak perlu lagi pergi ke Kampung Saujana, Setiu kerana cawangannya telah dibuka di Jalan Pasir Panjang di bandar raya ini pada Ramadan ini.

Sebelum ini, restoran air buah tersebut menjadi tular setelah salah seorang pelayannya dikenali Darlene Adrienne, 32, mencetus kontroversi apabila video dirinya dipeluk pelanggan lelaki tersebar di media sosial.

Darlene berkata, gerai berke­naan dibuka setelah restoran induk D’Flora di Setiu menutup sementara operasinya sepanjang Ramadan.

“Restoran D’Flora (Kampung Saujana) akan beroperasi semula seperti biasa selepas Hari Raya Aidilfitri.

“Sepanjang Ramadan ini, saya bekerja di gerai ini (Jalan Pasir Panjang),” katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya di sini kelmarin.

Gerai air buah tersebut beroperasi selepas waktu berbuka sehingga pukul 2 pagi setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, gerai berkenaan menjadi tum­puan ramai pelanggan yang rata-ratanya lelaki bagi merasai keenakan air buah seperti tembikai, nanas, naga, jambu batu dan mangga yang dibancuh Darlene.

Kebanyakan pelanggan mula memenuhi gerai itu kira-kira pukul 9.30 malam iaitu selepas menunaikan solat sunat tarawih.

Jarak di antara Restoran D’Flora dengan gerai cawangan di Jalan Pasir Panjang, di sini kira-kira 66 kilometer.

Kosmo! pada 6 Julai 2022 me­laporkan tular sebuah video yang memaparkan Darlene dipeluk oleh dua pelanggan lelaki di restoran di Kampung Saujana, Setiu.

Sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) kemudiannya melakukan serbuan di restoran berkenaan bagi melakukan siasatan lanjut berhubung penularan video terbabit.

Berikutan insiden itu, wanita terbabit insaf dan mengambil pengajaran serta lebih berwas­pada dalam perilakunya.

Bakal jemaah umrah risau dapat cek tendang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat 15 sekeluarga termasuk seorang doktor pakar untuk mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci pada awal tahun ini tidak kesampaian apabila mereka didakwa menjadi mang­sa penipuan sebuah agensi umrah.

Lebih menyedihkan, kesemua mangsa menanggung kerugian wang sebanyak RM118,800 yang sudah dijelaskan kepada agensi umrah berkenaan yang bero­perasi di Alor Setar, Kedah.

Ahmad Kashfi Ab. Rahman, 56, berkata, mereka yang terdiri daripada ahli keluarganya, adik-beradik dan ibunya berusia 10 tahun hingga 70 tahun sepatutnya berlepas ke Tanah Suci pada 28 Februari lalu.

“Walau bagaimanapun, selepas membuat bayaran pakej umrah berharga RM7,920 setiap seorang pada 22 Februari lalu, kami dimaklumkan berita penundaan tarikh penerbangan.

“Wakil agensi memaklumkan pakej umrah selama 12 hari 11 malam terpaksa ditunda kepada 3 Mac lalu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini semalam.

Ahmad Kashfi mendakwa, wakil agensi umrah tersebut memberi pelbagai alasan seperti ketiadaan jadual penerbangan pada tarikh berkenaan.

Jelasnya, syarikat terbabit turut memaklumkan kononnya akaun bank syarikat mereka dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan berhubung peni­puan tiket kapal terbang.

“Mereka memberi jaminan isu-isu berbangkit itu akan di­selesaikan segera, tetapi cubaan untuk menghubungi wakil agensi tidak berjaya.

“Salah seorang abang saya pergi ke pejabat agensi umrah itu di Alor Setar, namun masih tiada penyelesaian,” katanya.

Ahmad Kashfi berkata, mereka sekeluarga kini ibarat digantung tidak bertali selama hampir dua bulan sebelum mengambil tindakan membuat laporan polis semalam.

Beliau yang menetap di Bukit Perpat, Ajil, Hulu Terengganu berharap keadilan dapat ditegakkan selain bertujuan untuk menyedarkan pihak lain agar tidak tidak menjadi mangsa penipuan agensi umrah.

“Hasrat untuk beribadah bersama-sama keluarga, namun apa yang telah berlaku memberi kesan emosi besar terhadap kami.

“Kami tertarik untuk menyertai pakej yang ditawarkan syarikat berkenaan kerana mereka menawarkan perkhidmatan membantu ibu saya yang uzur dan abang yang menjalani ­dialisis sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya menerima sebanyak enam laporan penipuan pakej umrah melibatkan kerugian RM214,350 sejak tahun lalu.

“Polis menjangkakan lebih ramai mangsa akan tampil membuat laporan polis pada masa terdekat,” katanya.

Ramai masih tak dapat wang ihsan banjir

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

TERENGGANU merupakan antara negeri yang paling terkesan akibat banjir musim tengkujuh pada hujung tahun lalu dengan senarionya dianggap terburuk dalam tempoh 36 tahun.

Sewaktu kemuncaknya pada pertengahan bulan Disember lalu, lebih 45,000 penduduk terjejas melibatkan kesemua lapan daerah di negeri ini.

Rata-rata mereka mengalami kerugian besar dengan sebahagian rumah dan struktur premis perniagaan mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami dan dihanyutkan bah.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri masing-masing menjanjikan bantuan wang ihsan bagi meringankan beban mangsa banjir terlibat.

Malangnya walaupun sudah hampir empat bulan banjir surut, agihan bantuan wang ihsan berjumlah sekurang-kurangnya RM1,000 setiap keluarga masih belum selesai.

Pelbagai isu timbul bagaikan rumah siap, pahat masih berbunyi. Bantuan wang ihsan kerajaan Persekutuan sudah mula diagihkan pada bulan Februari lalu, namun ramai mendakwa keciciran.

Agihan wang ihsan kerajaan negeri Terengganu pula telah ditangguhkan banyak kali dan di­jangka hanya mula diagihkan dalam masa terdekat.

Seorang wakil penduduk Taman Permint Perdana, Seberang Takir, Kuala Nerus, Mohd. Yatim Hashim mendakwa lebih 100 penduduk taman perumahan tersebut tercicir daripada me­nerima bantuan wang ihsan terbabit.

Dakwanya, nama mereka tiada dalam senarai penerima walaupun menetapi kriteria iaitu ­mangsa banjir yang mendaftar masuk di pusat pemindahan banjir dan mengisi butiran ketua isi rumah (KIR).

“Kami tidak dapat bantuan wang ihsan Kerajaan Persekutuan, manakala peringkat kerajaan negeri juga masih samar-samar.

“Saya percaya lebih ramai lagi senasib dengan kami di seluruh Terengganu. Sehubungan itu, memorandum telah dihantar agar pembaikan dilakukan segera,” katanya.

Mohd. Yatim berkata, wang ihsan berkenaan diperlukan untuk membaiki dan menggantikan perabot dan peralatan elektrik yang sudah rosak akibat banjir.

Tambah beliau, ia amat bererti pada waktu mencabar ini apatah lagi Hari Raya Aidilfitri pada di­sambut kira-kira dua minggu lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam respons segeranya berjanji menangani isu tersebut sebaiknya.

Sehubungan itu, beliau menyeru KIR terbabit agar tampil bagi membolehkan semakan kelayakan bantuan dapat dilakukan segera.

“Kita akan memastikan mereka yang layak tidak akan tercicir daripada menerima bantuan wang ihsan berkenaan.

“Saya akui berlaku kelewatan (agihan bantuan wang ihsan pe­ringkat negeri) berikutan beberapa isu teknikal seperti pertindihan tuntutan,” katanya.

Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri Terengganu telah menerima 29,000 permohonan daripada keluarga mangsa banjir.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan mengkaji mekanisme terbaik bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada masa depan.

Antara yang dicadangkan ialah penilaian semula terhadap kaedah peruntukan bantuan wang ihsan tersebut yang di­salurkan kepada kerajaan negeri melalui pegawai daerah.

Kita berharap agar mangsa banjir berlaku jujur supaya tidak menjadi punca kelewatan orang lain menerima wang ihsan.

Saturday, April 29, 2023

15 sekeluarga kempunan tunai umrah, rugi RM118,000

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat 15 sekeluarga untuk menunaikan ibadah umrah tidak kesampaian apabila didakwa menjadi mangsa penipuan agensi umrah.

Tambah menyedihkan, mereka terpaksa berputih mata kerugian RM118,800 yang sudah dilunaskan kepada agensi umrah terbabit yang berpengkalan di Alor Setar, Kedah.

Salah seorang mangsa, Ahmad Kashfi Ab. Rahman, 56, berkata, mereka 15 sekeluarga terdiri daripada keluarganya dan adik-beradik serta ibu berusia antara 10 tahun hingga 70 tahun sepatutnya berlepas ke tanah suci pada 28 Februari lalu.

“Begitupun, sebaik melunaskan keseluruhan bayaran pakej umrah berjumlah RM7,920 seorang pada 22 Februari lalu, kami dikejutkan dengan penundaan penerbangan kami.

“Wakil agensi umrah itu memaklumkan pakej umrah kami selama 12 hari 11 malam terpaksa ditunda kepada 3 Mac lalu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Kashfi mendakwa, wakil agensi umrah itu memberi pelbagai alasan seperti kononnya ketiadaan jadual penerbangan pada tarikh berkenaan.

Dia berkata, mereka turut mendakwa kononnya akaun bank syarikat berkenaan telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penipuan harga tambang kapal terbang.

“Pakej umrah kami bagai digantung tidak bertali selama hampir dua bulan sebelum memutuskan membuat laporan polis hari ini kerana menyedari telah tertipu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pembayar zakat harta Maidam dilindungi skim al-Hanan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pembayar zakat harta meliputi dua kategori iaitu perniagaan dan pendapatan di Terengganu secara automatik dilindungi oleh skim khairat kematian, al-Hanan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, skim al-Hanan bertujuan menggalakkan lebih ramai umat Islam negeri ini menunaikan zakat harta dan
menjaga kebajikan waris selepas kematian pembayar zakat.

“Harapan kita agar ganjaran pahala dijanjikan daripada ibadah berwakaf terbabit berterusan diterima pembayar zakat berkenaan biarpun sudah meninggal dunia,” katanya pada majlis Menyantuni Asnaf Maidam, di sini, malam tadi.

Shaikh Harun berkata, skim al-Hanan terbahagi kepada dua kategori iaitu pampasan wang tunai RM3,000 kepada waris bagi zakat pendapatan dan perniagaan melebihi RM1,000.

“Selain itu, masing-masing RM1,000 juga akan dimasukkan ke dalam Tabung Wakaf Tunai Am dan Wakaf Tunai Perkuburan Am atas nama si mati (pembayar zakat).

“Bagi zakat kurang daripada RM1,000 pula, pampasan tunai RM2,000 layak dituntut waris manakala masing-masing RM500 dimasukkan ke dua-dua tabung wakaf tunai berkenaan atas nama si mati,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pantau penjualan mercun, bunga api tanpa permit secara ‘online’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu telah menubuhkan skuad khas untuk memantau kegiatan menjual mercun dan bunga api termasuk secara atas talian (online) di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, skuad pemantau tersebut ditubuhkan di peringkat jabatan siasatan jenayah negeri dan ibu pejabat polis daerah.

“Hanya syarikat yang menerima permit dibenarkan membekal dan menjual bunga api dan mercun, itu pun terhad kepada jenis yang dibenarkan kerajaan.

“Pemantauan dilakukan bagi memastikan tiada penjualan mercun dan bunga api tanpa permit termasuk menggunakan media sosial,” katanya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya sudah menerima 115 permohonan penjualan bunga api dan mercun sempena musim perayaan ini.

“Setakat ini, 42 permohonan sudah diluluskan manakala 26 ditolak. Selebihnya ( 47 permohonan) pula masih diproses manakala setiap permohonan memerlukan dokumen sokongan surat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembekal, katanya. – KOSMO! ONLINE

Bayi arwah Rubiah menangis lapar susu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian mangsa pembunuhan kejam, arwah Rubiah Sabtu selepas ba­yinya yang berusia tiga bulan menangis ketika jenazah disolatkan dipercayai kerana kelaparan.

Ini berikutan, Nur Kaira Damia yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sebelum ini menyusu badan ibunya.

Selepas kematian ibunya, Nur Kaira terpaksa menyesuaikan diri meminum susu formula.

Bekas ibu mentua mangsa, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, arwah Rubiah seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ apabila kerap berpesan kepadanya supaya menjaga enam anaknya ha­sil perkahwinan terdahulu jika dia sudah tiada.

Arwah membuat pesanan itu setiap kali mereka bertemu sejak beberapa bulan lalu.

“Arwah beritahu hanya saya dan suami (Aziz Mustapa) tempat dia bergantung untuk menjaga anak-anaknya jika dia me­ninggal dunia.

“Sekarang baru saya faham pesanan arwah. Saya dan suami sudah sepakat untuk menjaga enam anaknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi di sini semalam.

Jenazah Rubiah dikebumikan pukul 12 tengah hari semalam dan dihadiri 50 ahli keluarga dan sanak-saudara.

Bercerita lanjut, Wan Zaini memberitahu, walaupun arwah Rubiah sudah berpisah dengan anaknya lebih empat tahun lalu, namun dia sudah menganggap pengusaha kedai runcit itu se­perti anaknya sendiri.

Jelasnya, hubungan mereka masih baik walaupun arwah Rubiah sudah berkahwin lain de­ngan suspek kira-kira setahun lalu.

Wanita itu dan suaminya sepakat untuk membawa anak-anak arwah iaitu Nur Daniela Danissya, 11; Muhammad Adam Darwisy, 9; Muhammad Danial Naufal, 7 dan Muhammad Dani Lutfi, 5, untuk menetap bersama mereka di Tangga Batu, Melaka.

“Dua lagi anak arwah yang berusia 18 dan 15 tahun iaitu Muhammad Daniel dan Muhammad Danish Hakim pula kami serahkan kepada mereka sama ada mahu mengikut kami atau bapa mereka,” katanya.

Wan Zaini menambah, dia dan suaminya juga berhasrat mahu menjaga anak bongsu arwah hasil perkahwinan kedua sekiranya tiada ahli keluarga lain yang mahu menjaga bayi tersebut,” ­katanya.

Dalam pada itu, anak arwah, Mohamad Daniel memberitahu, dia tidak menyangka bapa tiri­nya tergamak membunuh ibunya kerana hubungan mereka dilihat amat baik.

“Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya punca ayah (suspek) bertindak sekejam itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek seorang tukang rumah berusia 32 tahun direman tujuh hari bermula semalam. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk bagi mengetahui motif kejadian.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita ditemui mati de­ngan kesan kecederaan di muka di ruang tamu rumahnya di Kampung Besol, Bukit Besi dipercayai dibunuh suaminya.

Lelaki itu turut meracau mahu membunuh diri, namun berjaya ditenteramkan ahli keluarga sebelum serah diri di balai polis.

Dua ‘transporter’ ditangkap ketika punggah mercun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Dua lelaki yang sedang memunggah mercun dipercayai diseludup masuk dari negara jiran tergamam apabila diserbu sepasukan polis di Kampung Beris Cawat, Kuala Besut di sini pada kelmarin.

Dalam serbuan pada 9.30 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 34 tahun berkenaan diberkas bersama sejumlah 14 jenis mercun pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM10,000.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum itu, sepasukan anggota Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 7, Kuantan, Pahang telah mengesan sebuah kenderaan pelbagai guna, Proton Exora mencurigakan di Bandar Baru Tanah Merah, Kelantan.

Beliau berkata, kenderaan Proton Exora tersebut telah diekori sehingga memasuki sempadan daerah ini sejauh kira-kira 59 kilometer dan sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pacuan empat roda, Pajero dinaiki dua suspek telah sedia menunggu di tepi jalan.

“Mereka kemudiannya memunggah mercun terbabit ke dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut dari Proton Exora sebelum anggota polis terlibat memperkenalkan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, dua suspek yang menaiki pacuan empat roda itu berjaya diberkas namun pemandu Proton Exora berjaya melepaskan diri.

Tambah beliau, siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek merupakan ‘transporter’ yang mahu membawa masuk mercun dari negara jiran itu untuk pasaran Kuala Terengganu.

“Kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun yang positif dadah jenis methamphetamine masing-masing mempunyai dua dan tiga rekod jenayah lampau dan ditahan reman sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Friday, April 28, 2023

Dua beradik kerugian RM658,000 ditipu sindiket penipuan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua beradik perempuan berputih mata selepas mengalami kerugian RM658,000 apabila terperdaya dengan sindiket penipuan pada akhir bulan lalu.

Kedua-dua wanita yang merupakan guru dan pesara swasta berusia 56 dan 62 tahun berkenaan telah menerima panggilan telefon daripada suspek pada 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sewaktu dihubungi, suspek telah mengenalkan diri kononnya wakil syarikat insurans dan pegawai polis.

“Suspek mendakwa kononnya maklumat peribadi mereka tela digunakan untuk tujuan jenayah dadah dan penggubahan wang haram.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun bank baharu sebelum memindahkan wang simpanan mereka kononnya bagi menyelesaikan kes mereka,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, adik-beradik tersebut juga telah diarahkan tidak menggunakan akaun bank baharu terbabit.

Tambah beliau, mereka hanya menyedari tertipu apabila membaca berita tentang penipuan telefon di akhbar sebelum menyemak kembali akaun bank berkenaan baru-baru ini.

“Semakan mendapati wang simpanan mereka masing-masing telah berkurangan RM500,000 dan RM158,000 sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

150,000 mohon jadi warganegara

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 150,000 permohonan menjadi warga negara telah diterima Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 5,700 permohonan tersebut telah diproses sejak tahun lalu.

“Saya yakin boleh mencapai sasaran untuk meneliti 10,000 permohonan sehingga akhir tahun ini.

“Sebahagian permohonan yang telah diteliti tersebut telah diluluskan (status warga negara) manakala selebihnya ditolak,” katanya ketika ditemui pada majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, antara faktor penolakan ialah pemohon tidak menetap di negara ini dan dokumentasi yang tidak lengkap.

Jelas beliau, setiap penilaian permohonan berdasarkan syarat ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita tidak akan tidak akan berkompromi dengan keselamatan negara, ketulenan permohonan dan komitmen jelas pemohon untuk menetap di negara ini.

“Pada masa sama, kita juga dalam proses mempersiapkan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk (membolehkan) anak juga boleh beroleh warga negara melalui ibu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Mahkamah: Tukang rumah disyaki bunuh isteri direman tujuh hari

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang tukang rumah direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes membunuh isterinya dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi di sini semalam.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Noradila Ab. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Suspek berusia 32 tahun yang berpakaian lokap dan bergari kelihatan tenang sewaktu tiba dengan kenderaan polis di pekarangan mahkamah pada pukul 8.42 pagi.

Lelaki berusia 32 tahun yang baru setahun mengahwini mangsa, Rubiah Santu, 41, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kosmo! hari ini melaporkan mangsa yang merupakan ibu kepada tujuh orang anak termasuk seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinna dengan suspek ditemui mati di ruang tamu rumahnya pada pukul 8 pagi semalam.

Sebelum kejadian, Rubiah yang baru menghantar anak ke sekolah dikatakan telah bertengkar dengan suaminya.

Suspek kemudiannya ketakutan selepas melakukan pembunuhan tersebut telah memaklumkan perbuatannya kepada ahli keluarga yang menetap berhampiran.

Dia juga mahu membunuh diri namun berjaya ditenteramkan ahli keluarganya sebelum dipujuk untuk menyerah diri di Balai Polis Bukit Besi di sini. – KOSMO! ONLINE

Remaja mangsa pertama cedera main mercun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara bermain mercun yang telah diubahsuai, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun cedera pada mata kanan di Kuala Nerus dekat sini pada kelmarin.

Kejadian pada pukul 8.30 malam itu, tiga lagi rakannya yang berusia antara lapan hingga 13 tahun turut cedera ringan pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikatakan sedang bermain mercun di kawasan berhampiran rumah mereka.

“Siasatan awal mendapati mercun itu dipercayai telah diubahsuai bagi mengeluarkan bunyi yang kuat.

“Kesan letupan kemudiannya telah menyebabkan mangsa (remaja berusia 13 tahun) cedera pada bahagian mata,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, tiga lagi rakannya mengalami kecederaan ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Beliau berkata, remaja berusia 13 tahun itu sedang menerima rawatan lanjut di wad hospital sama.

“Abang mangsa berusia 25 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada pukul 10.58 malam kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Suami lumpuh separuh badan, langsung tak boleh bertutur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas terpaksa reda dengan nasib yang menimpa suaminya selepas di­serang strok sehingga lumpuh separuh badan sejak 10 bulan lalu.

Zaimah Hassan, 72, berkata, suaminya, Mohamad Deraman, 72, kini hanya terlantar di atas katil dan tidak lagi mampu untuk bertutur.

Kata Zaimah, sejak kejadian itu, dia mengambil tanggungjawab untuk mengurus segala hal berkaitan kehidupan suaminya termasuk untuk memandi dan menukar pakaian.

“Serangan strok itu menyebabkan separuh badan suami lumpuh dan paling menyedihkan, dia tidak mampu untuk bertutur.

“Dia hanya boleh minum susu khas yang dimasukkan menerusi tiub dipasang pada hidungnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lorong Kemunting di sini baru-baru ini.

Zaimah berkata, walaupun sudah dimamah usia, kebanyakan urusan seharian suaminya ­seperti mandi, menukar pakaian dan lampin pakai buang serta memberi makan minum dilakukannya sendiri.

Tambah wanita itu, kos rawatan, susu khas dan lampin pakai buang suaminya mencecah lebih RM2,500 sebulan.

“Kami bergantung kepada duit pencen suami sebagai pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebanyak RM1,000 sebulan.

“Bagi menambah pendapatan, saya mengambil upah menenun songket dengan purata pendapatan kira-kira RM500 sebulan,” katanya.

Zaimah berkata, dia ber­syukur kerana Jabatan Pembangunan Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Lorong Kemunting telah membantu menghulurkan sumbangan katil khas untuk keselesaan suaminya.

Katanya, mereka juga mene­rima bantuan Tabung Darul Iman yang disalurkan pada setiap tiga bulan sekali.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank Zaimah bernombor 1110429821227946 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 0146266127.

Cubaan seludup masuk 2 juta rokok digagalkan APMM

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup masuk dua juta batang rokok jenama terkenal berjaya digagalkan Maritim Malaysia (APMM) di muara Sungai Setiu berhampiran Penarik, Setiu semalam.

Dalam operasi pada 5.30 pagi itu, tiga anggota sindiket sanggup meninggalkan bekalan rokok bernilai hampir RM1.2 juta itu
dan terjun ke tengah laut bagi mengelak diri daripada diberkas.

Rokok seludup dalam kuantiti banyak tersebut dipercayai ingin dibawa masuk bagi pasaran Pantai Timur demi memenuhi permintaan yang tinggi pada musim perayaan tidak lama lagi.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dikesan berikutan risikan selama beberapa hari.

“APMM Terengganu telah membentuk dua kru yang masing-masing bersiap sedia di perairan dan daratan.

“Pemantauan mendapati tiga suspek telah memudiki muara Sungai Setiu menggunakan bot pancung sebelum memunggah masuk ke dalam sebuah lori yang diletakkan di tebing sungai itu,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, ketiga suspek tersebut segera melarikan diri ke arah laut dengan menggunakan bot pancung sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.

“Pemeriksaan di dalam bot pancung dan lori kemudiannya menjumpai timbunan kotak dibalut dalam plastik hitam yang mengandungi dua juta batang rokok disyaki diseludup,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Thursday, April 27, 2023

Dua wanita termasuk penjawat awam ditahan SPRM

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua wanita termasuk ketua pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan di Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mengesyaki penjawat awam tersebut menggunakan kedudukannya untuk menyokong syarikat adik iparnya bagi mendapatkan perolehan pembekalan di jabatan kerajaan berkenaan.

“Siasatan setakat ini mengesyaki ia melibatkan lebih 10 perolehan pembekalan bernilai keseluruhan RM30,000 sejak tahun 2019.

“Suspek pertama yang merupakan ketua pembantu tadbir berusia 40-an yang ditahan pada pukul 1.45 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu, di sini.

“Seorang lagi suspek iaitu pemilik syarikat berusia 30-an pula ditahan di lokasi sama pada pukul 2.10 petang,” katanya di sini, hari ini.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhan Raya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

Lelaki putus tangan main mercun buatan sendiri

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Gara-gara bermain mercun buatan sendiri, seorang lelaki berusia 27 tahun putus tangan kiri dan sebahagian jari tangan kanan di Kampung Gong Pak Damat, di sini hari ini.

Kejadian yang turut mencederakan beberapa bahagian badan mangsa itu dikatakan berlaku pada pukul 3.30 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip PVC.

“Mercun buatan sendiri berkenaan telah menyebabkan letupan besar sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.

“Tangan kiri putus hingga ke pergelangan, beberapa jari kanannya hancur manakala beberapa bahagian badan lain turut cedera,” katanya, di sini hari ini.

Rohaimi berkata, lelaki berkenaan telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 manakala pengedar dan penjual mercun bola terbabit sedang dikesan.

“Ini kes kedua kecederaan akibat bermain mercun di negeri ini sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya.

Kosmo! Online 6 April lalu melaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa pertama bermain mercun pada bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE

Mahkamah: Tukang rumah didakwa bunuh isteri

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Amir Hamzah, 32, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab. Latif.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian isterinya, Rubiah Sabtu, 34, di Kampung Besol, Hulu Dungun pada antara pukul 7.30 pagi dan 8 pagi, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Noradila tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan sebutan semula pada 13 Jun depan.

Kosmo! 6 April lalu melaporkan seorang pengusaha kedai runcit, Rubiah Sabtu ditemui mati dengan enam kesan hentakan di bahagian muka di ruang tamu rumahnya.

Sebelum itu, ibu kepada tujuh anak termasuk bayi perempuan berusia tiga bulan dipercayai bertengkar dengan suaminya, Mohd. Amir selepas menghantar anaknya ke sekolah.

Tertuduh kemudiannya memaklumkan pembunuhan tersebut kepada ahli keluarganya sebelum dipujuk untuk menyerah diri di Balai Polis Bukit Besi di sini. – KOSMO! ONLINE

Budaya berwakaf subur sejak PKP

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Budaya berwakaf semakin subur dalam kalangan umat Islam di negara ini dengan peningkatan 52 peratus sejak tiga tahun lalu bermula pada tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Abdul Halim Mat Yusop berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah berjaya mengutip RM262 juta dana wakaf tunai.

Beliau berkata, bilangan pewakaf telah meningkat mendadak sejak penularan Covid-19 melibatkan 25,601 pewakaf di seluruh negara.

“Kesedaran untuk berwakaf itu telah meningkat mungkin keinsafan daripada musibah (Covid-19) berkenaan dan mula merasai impak daripada amalan tersebut kepada masyarakat.

“Ini disebabkan sepanjang tempoh PKP tersebut, YWM kerap turun padang menyumbang membantu barisan hadapan untuk melengkapkan peralatan kritikal di hospital,” katanya ketika ditemui pada majlis Apresiasi Pewakaf di sini malam tadi.

Seramai 120 pewakaf berdaftar di seluruh Terengganu diraikan YWM dan Maidam menerusi Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Abdul Halim berkata, antara pusat perubatan yang menerima sumbangan itu hasil kutipan wakaf tunai ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang; Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Kajang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, YWM sedang melancarkan kempen Wakaf RM1 Sehari bagi memudahkan dan meningkatkan lagi kesedaran umat Islam negara ini untuk berwakaf. – KOSMO! ONLINE

Darlene mohon maaf tutup operasi gerai air buah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Peminat air buah D’Flora yang menjadi pelanggan tetap sejak awal Ramadan lalu kehampaan apabila gerai tersebut telah menutup operasi sejak Sabtu lalu.

Tinjauan Kosmo! pada malam kelmarin mendapati, masih terdapat segelintir pelanggan singgah di tapak perniagaan gerai itu di Jalan Pasir Panjang, di sini yang telah dikosongkan.

Seorang pelayan gerai air buah terkenal itu yang dikenali sebagai Darlene Adrienne, 32, berkata, penutupan tersebut bagi memberi peluang kepadanya dan rakan sekerja untuk membuat persiapan sebelum Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

“Memang dalam perancangan asal, kita hanya mahu berniaga sementara di Jalan Pasir Panjang ini dalam tempoh dua minggu pertama Ramadan.

“Ini pun kita telah lanjutkan operasi perniagaan hingga ming­gu ketiga Ramadan berikutan permintaan ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Sehubungan itu, Darlene memohon maaf tidak dapat menunaikan permintaan untuk meneruskan perniagaan sehingga akhir Ramadan.

Jelasnya, selain memerlukan rehat, dia dan rakan-rakannya yang terlalu sibuk berniaga se­belum ini juga mahu menumpukan pula kepada persiapan 1 Syawal.

“Selepas ini, kami hanya akan memberi tumpuan kepada Restoran D’Flora yang terletak di Kampung Saujana, Setiu.

“Operasi perniagaan air buah kami akan kembali dibuka di restoran itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Kosmo! pada 4 April lalu me­laporkan gerai air buah, D’Flora di Jalan Pasir Panjang pada Ramadan ini dipenuhi ramai pe­langgan terutama golongan lelaki untuk bermoreh selepas selesai solat sunat tarawih.

Sebelum ini, restoran air buah tersebut menjadi tular setelah Darlene mencetuskan kontro­versi apabila video adegan diri­nya dipeluk pelanggan lelaki tersebar di media sosial.

Rentetan isu tersebut, restoran berkenaan diserbu sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) pada Julai tahun lalu.

Insiden itu telah membuatkan Darlene insaf dan mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku serta le­bih berwas­pada dalam perilakunya.

Kampung Budaya Terengganu dihiasi 5,000 pelita raya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Losong di sini bakal dicahayakan dengan lebih 5,000 pelita raya selama lima hari bermula malam ini.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pertandingan Pelita Raya tersebut bakal menampilkan pelbagai jenis pelita raya tradisional hasil kreativiti lapan pejabat tanah dan daerah di negeri ini.

Beliau berkata, pertandingan tersebut diinspirasikan daripada aktiviti masyarakat setempat pada zaman dahulu yang menghias perkampungan mereka dengan pelita raya pada malam tujuh likur.

“Penganjuran kali ketiga pada tahun ini membawa sedikit kelainan dengan turut menyuntik elemen persembahan dan jualan makanan.

“Setiap daerah akan menampilkan kebudayaan dan makanan tradisional yang popular di kawasan masing-masing,” katanya ketika memantau persiapan akhir pertandingan Pelita Raya di Kampung Budaya Terengganu di sini malam tadi.

Fadli Yusof berkata, antara persembahan kebudayaan yang akan ditampilkan ialah pencak silat, wayang kulit, rebab dan dikir barat.

Tambah beliau, pengunjung juga berpeluang untuk merasai makanan tradisional setempat yang semakin sukar ditemui seperti tonyoh ubi, pulut ikan bakar, loklik, lokan bakar dan lemang.

“Setiap pelita raya yang ditampilkan bercirikan tradisional dan diperbuat daripada bahan-bahan terpakai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, April 26, 2023

Anwar singgah Bazar Ramadan Gong Badak

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa kira-kira 15 minit mengunjungi Bazar Ramadan Gong Badak di sini hari ini.

Beliau tiba pada pukul 5.10 petang sebelum melawat gerai jualan makanan dan beramah mesra dengan sebahagian penjual dan pembeli.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut juga dilihat membeli kuih tradisional, akok sebagai juadah berbuka puasa selain mencuba menggoreng martabak.

Mengiringi beliau, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Anwar dijadualkan menghadiri majlis iftar dan solat maghrib bersama rakyat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini.

Beliau kemudiannya meneruskan solat isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) di sini.

Ahli Parlimen Tambun itu juga akan menyempurnakan penyampaian zakat, dermasiswa, geran penyelidikan dan bakul Rahmah kepada warga kedua-dua universiti dan masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE

Perdana Menteri jamin selesai isu runtuhan Tasik Kenyir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA NERUS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah runtuhan tanah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang sudah berlarutan lebih setahun lalu.

Beliau berkata, runtuhan tanah disebabkan fenomena banjir luar biasa pada bulan Februari tahun lalu tersebut memerlukan permerhatian serius kerana ia melibatkan isu keselamatan rakyat dan harta benda.

“Ada hal baru disebut Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) kepada saya iaitu masalah runtuhan (tanah) di Tasik Kenyir.

“Saya akan bincang dengan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd. Zuki Ali) dan kalau benar ia satu hal mendesak, kita akan segerakan untuk jamin keselamatan rakyat Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini malam ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar menjelaskan tindakan kerajaan Perpaduan membatalkan projek tebatan banjir yang dilaksanakan secara runding terus termasuk di Terengganu sebelum ini demi menjamin ketelusan dan mengatasi ketirisan.

Jelas beliau, pelaksanaan semula projek itu secara tender terhad yang dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan telah berjaya memberi penjimatan sehingga RM2 bilion.

“Hasil penjimatan itu, kita berjaya tambah dua lagi projek tebatan banjir iaitu di Sungai Golok, Kelantan dan Johor.

“Tanpa makluman dan fakta tepat, pelbagai tohmahan telah dilemparkan kepada saya dan kadang-kadang ia menyebabkan hubungan Persekutuan dan (kerajaan) negeri menjadi sedikit renggang,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan penambahan peruntukan kepada kerajaan negeri Terengganu iaitu sebanyak RM410 juta selain lebih RM100 juta bagi projek pembangunan desa yang disalurkan kepada Kementerian Desa dan Wilayah. – KOSMO! ONLINE