Translate

Friday, December 27, 2013

Penyamun tinggal di belakang kedai telefon

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


IPOH – Kes pecah masuk sebuah kedai menjual telefon bimbit di Kampung Tengku Hussein, Gugusan Manjoi dekat sini dua minggu lalu rupa-rupanya dilakukan oleh empat sekawan termasuk seorang wanita yang tinggal di sebuah rumah di belakang premis tersebut.
Kesemua suspek iaitu tiga remaja lelaki berusia 18 dan 19 tahun serta wanita berusia 29 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 1.30 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata, dalam kejadian pada 11 Disember lalu, kedai menjual telefon bimbit tersebut telah dipecah masuk melibatkan kerugian hampir RM25,000.

"Antara yang dilaporkan hilang adalah 25  telefon  bimbit baharu, 15  telefon  bimbit pelanggan yang dihantar untuk diperbaiki, sebuah komputer riba dan kad prabayar pelbagai syarikat pengendali telekomunikasi.

"Siasatan yang dijalankan membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kampung Tengku Hussein pada awal pagi tadi (semalam)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini semalam.Turut hadir Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong.

Paramasivam berkata, dalam pemeriksaan badan yang dibuat ke atas dua suspek berusia 18 tahun dan 19 tahun berhampiran rumah mereka di kampung berkenaan, polis menemui tiga  telefon  bimbit dan dua keping kad prabayar yang dipercayai barangan samun.

Menurutnya, polis kemudian memberkas dua lagi suspek iaitu seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun yang berada di dalam rumah tersebut.

"Selepas pemeriksaan dilakukan di rumah berkenaan, polis menemui enam  telefon  bimbit, sebuah beg, dua komputer tablet, tiga fon telinga dan 58 kad prabayar.

"Siasatan awal polis mendapati, kesemua barangan yang dirampas itu dipercayai dicuri dari  kedai  menjual  telefon  bimbit yang dipecah masuk pada 11 Disember lalu," katanya.

Paramasivam memberitahu, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tuesday, December 24, 2013

PPPMP keluar produk sendiri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH -  Persatuan   Penjaja  dan Peniaga Melayu  Perak  (PPPMP) menyasar untuk mengeluarkan  produk  jenama sendiri pada awal tahun depan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat pemprosesan dan pengurusan pemasaran, penjualan serta pengedaran, Sidratul Aduka Sdn. Bhd. (Sidratul Aduka).

Yang Dipertua PPPMP, Datuk Omar Ahmad berkata, buat permulaan, tiga  produk  keluaran ahli  persatuan  tersebut yang berpotensi telah dikenal pasti bagi tujuan pengkomersialan.

"Sidratul Aduka bukan sahaja mempunyai sebuah kilang pemprosesan dan pengeluaran yang memiliki pensijilan Amalan Pengilangan Islam (IMP), malah berpengalaman luas dalam pengurusan pemasaran dan pengedaran.

"Selain itu, kerjasama strategik ini juga membolehkan ahli PPPMP yang kini berjumlah lebih 80,000 orang menerima latihan mengenai pembungkusan, jenama dan sijil pengesahan halal daripada syarikat tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pengurus Divisyen Pemasaran dan Pengedaran Sidratul Aduka, Ramli Abas di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Perjanjian itu ditandatangani pada majlis sambutan Hari  Penjaja  dan Peniaga Kecil peringkat  Perak  yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria.

Sementara itu, Ramli berkata, syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam bidang pemprosesan, pemasaran, penjualan dan pengedaran  produk  halal seperti makanan, minuman dan kosmetik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Tambahnya, kilang Sidratul Aduka yang terletak di Taman Perindustrian IKS MIEL, Kuala Kangsar merupakan satu-satunya premis pengeluar dan pemprosesan yang memperoleh pensijilan IMP.

"Pada ketika ini, sebanyak 100 buah syarikat menggunakkan perkhidmatan memproses dan mengeluarkan  produk  mereka di kilang kami," katanya.

Monday, December 23, 2013

Raja Ahmad Zainuddin dinobat Tokoh Sukan Perak

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BEKAS Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri  Raja   Ahmad  Zainuddin Omar dinobat sebagai  Tokoh  Anugerah  Sukan  Untuk Semua (ASUS) Perak pada majlis ASUS peringkat negeri malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Belia,  Sukan , Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, anugerah tersebut sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan besar  Raja   Ahmad  Zainuddin, 57, terhadap perkembangan  sukan  negeri khususnya bola sepak.

"Kecemerlangan beliau membawa skuad bola sepak Perak menjuarai pelbagai piala sewaktu menjadi pengurus dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dulu tidak boleh diragui.

"Malah beliau juga telah memain peranan membawa infra struktur  sukan  bertaraf dunia untuk masyarakat luar bandar menerusi pembinaan stadium padang tiruan di Kubu Gajah dan stadium mini di Felda Ijok, Selama yang bakal siap tidak lama lagi," katanya selepas menyampaikan anugerah berkenaan pada majlis ASUS di Hotel MH, Ipoh, Perak malam kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan  Sukan  negeri, Mohd.Azhari Mohammad.

Selaku  Tokoh  ASUS Perak,  Raja   Ahmad  juga aktif dalam  sukan  ping pong dan golf menerima ganjaran wang tunai RM2,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Persatuan Boling Padang Perak Darul Ridzuan pula muncul sebagai persatuan terbaik sekali gus merangkul wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Atlet paralimpik negara yang juga Presiden Persatuan  Sukan  Berkerusi Roda Perak, Koh Eng Huat menerima anugerah Pemimpin Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi kategori pemimpin lelaki dan wanita pula masing-masing dirangkul Mustafa Abu Bakar dan Mas Shariffah Mismat.

Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff yang aktif dalam  sukan  kenu pula dipilih menerima anugerah Penggerak dan Sukarelawan.

Manakala jurulatih boling kebangsaan, Khairul Faizi Mohd. Yusop pula menerima anugerah Keluarga Aktif berikutan penglibatan keluarga termasuk isteri dan dua anaknya dalam  sukan  boling.

Sunday, December 22, 2013

Mayat lelaki terapung di Sungai Selinsing

IPOH -  Mayat  seorang lelaki dengan kesan cedera di kepala dan badan dipercayai dilibas senjata tajam ditemui terapung di Sungai Selising dekat kawasan paya bakau di  Kuala   Sepetang , Taiping kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd. Ismon Suratman berkata,  mayat  mangsa dipercayai warga tempatan berusia 50-an itu dijumpai pada pukul 8.15 pagi oleh seorang nelayan.

"Ketika ditemui, mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti itu hanya memakai seluar jean dan tidak berbaju.

"Kita percaya mangsa dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai ini," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati antara 24 hingga 48 jam sebelum mayatnya ditemui dan siasatan kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di talian 05-8291 222 bagi membantu siasatan.

Saturday, December 21, 2013

Dua kakitangan JPJ Perak dituduh godam sistem aplikasi SIKAP

IPOH - Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menggodam sistem aplikasi SIKAP bagi melepaskan sekatan terhadap dua pemilik kenderaan yang telah disenarai hitam lebih setahun lalu.

Pegawai JPJ, Abd. Rahim Kasim, 58, yang bertugas di Unit Pentadbiran JPJ negeri dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Jun dan 19 Julai 2012.

Tertuduh kedua, N. Na Pragaashkumar, 37, yang merupakan seorang kerani JPJ Perak pula dituduh bersubahat dengan
Abd. Rahim yang berasal dari Manjoi Baru Tambahan di sini. Pragaashkumar baru mendapat anak sulung kira-kira enam hari lalu.

Abd. Rahim didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di pejabat JPJ Perak bertujuan untuk membantu pemilik kenderaan tersebut memperbaharui cukai jalan yang luput tempoh melebihi setahun tanpa menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer.

SIKAP ialah sistem penyampaian perkhidmatan JPJ seperti memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan secara dalam talian yang digunakan sejak tahun 1992 dan telah digantikan dengan sistem baharu, mySIKAP mulai 21 Oktober lalu.

Mereka diberkas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada pukul 11.10 pagi dan 11.40 pagi ketika  bertugas.

Abd. Rahim dan  N. Pragaashkumar yang didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Jenayah Komputer 1997 mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Hakim Madihah Harullah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM8,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 22 Januari depan.

Mereka membayar wang tersebut.

18 kedai hangus, rugi RM1.5 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SUNGAI   SIPUT  - Sebanyak 18 rumah  kedai  papan dan berusia puluhan tahun musnah dalam kebakaran di Batu 1, Jalan Lintang di sini semalam.

Kebakaran deretan rumah  kedai  yang mengandungi bengkel membaiki motosikal, restoran,  kedai  runcit,  kedai  gunting rambut dan perabot pada pukul 12.30 tengah malam itu melibatkan kerugian hampir RM1.5 juta.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Perak, Wan Azmi Ahmad berkata, sebanyak enam jentera dengan kekuatan 34 anggota telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai kebakaran itu.

"Siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari sebuah  kedai  gunting rambut yang terletak paling tepi di sebelah kiri deretan rumah  kedai  berkenaan.

"Kami terpaksa mengambil masa hampir tiga jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Wan Azmi berkata, anggota bomba mengalami masalah untuk memadamkan api ekoran tekanan air rendah sehingga mereka terpaksa mengepam air dari  sungai  berhampiran.

Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

"Kerugian akibat kebakaran tersebut dianggarkan RM1.5 juta termasuk lapan motosikal pelbagai jenama yang hangus  terbakar ," katanya
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional negeri, Datuk Rusnah Kassim menyerahkan bantuan wang tunai RM500 dan barangan keperluan serta makanan kepada mangsa kebakaran tersebut semalam.

"Kita akan berbincang dengan pemilik tanah bagi membincangkan kaedah untuk membangunkan semula kawasan itu melalui penglibatan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak secepat mungkin," katanya di sini semalam.

Friday, December 20, 2013

Farawahida sorok Shukur lapan tahun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


RAHSIA identiti kekasih hati Farawahida yang hanya dikenali sebagai Mr. A tersimpan rapi selama lapan tahun.
Namun, ia akhirnya terlerai selepas lelaki yang disifatkan pemalu itu sah memiliki penyanyi bersuara lantang tersebut menerusi ikatan perkahwinan pada Isnin lalu.
Abdul Shukur Mohd. Zain, 29, hanya memerlukan sekali lafaz sahaja untuk menjadi suami kepada penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu tersebut.
Disaksikan ahli keluarga kedua-dua belah pihak, Sentosa Villa Resort menjadi lokasi bersejarah dua jiwa tersebut yang dinikahkan Naib Kadi Air Kuning, Taiping, Imanuddin Zakaria.
Anggun dengan busana putih rekaan Syarakim, riak wajah Farawahida Razali, 28, tampak tenang duduk bersimpuh di pelamin yang bertemakan karangan laut, mutiara dan kulit siput.
Berbeza dengan Shukur, bacaan lafaz taklik perkahwinan tersekat-sekat dan terhenti beberapa kali setelah dia gagal menahan sebak dan air mata yang tumpah di pipi.
Mengulas emosinya pada waktu itu, Shukur yang merupakan seorang usahawan memberitahu, terma dan syarat dalam lafaz taklik yang mewajarkan pembubaran perkahwinan amat mengentarkan jiwanya.
“Bagi saya, perkahwinan cuma sekali dan untuk sepanjang hayat. Tak mampu saya membayangkan perpisahan.
“Saya juga agak gementar kerana akad nikah bukan sekadar lafaz mewajarkan hubungan suami isteri tetapi juga amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul sebagai pemimpin keluarga yang baharu dibina,” jelas anak jati Klang, Selangor itu ketika ditemui usai upacara pernikahan tersebut.
Merahsiakan jumlah wang hantaran kecuali untuk pengetahuan keluarga terdekat, Farawahida menerima mas kahwin RM1,000 berserta dua bentuk cincin emas.
Pengantin lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran iaitu beg tangan, persalinan, komputer riba, minyak wangi, buah-buahan, sejadah dan telekung serta satu persalinan.
Pihak pengantin perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran. Antara yang menarik perhatian ialah empat buku biografi negarawan, tokoh perniagaan dan sukan iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, Nelson Mandela, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Alex Ferguson.
Selain itu, Farawahida turut menghadiahkan suaminya, Ipad, sebuah tafsir al-Quran, seutas jam tangan, buah-buahan kering, minyak wangi, tali pinggang dan tali leher, sirih junjung serta buah-buahan.
Gelodak jiwa
Menyentuh semula tentang emosi dirinya sewaktu melalui detik-detik akhir zaman daranya, ujar Farawahida, biarpun luarannya nampak tenang namun hanya Tuhan yang mengetahui gelodak dalam jiwanya.
“Saya tak risau kelancaran upacara pernikahan kerana yakin abang (Shukur) mampu melaluinya. Namun yang lebih membuatkan saya gelisah tentang cabaran dan tanggungjawab menanti sebaik menjejakkan kaki ke alam rumah tangga.
“Oleh itu, kami sentiasa mengharapkan keberkatan Allah dan restu keluarga serta peminat agar kehidupan yang baru dibina kekal rukun hingga ke jannah,” pintanya.
Mengimbas detik awal perkenalan mereka, ujar Farawahida, dia dan Shukur mula dipertemukan sewaktu masing-masing mewakili sekolah pada pertandingan sayembara puisi pada tahun 2001.
“Namun kami tidak bertegur sapa sehinggalah bertemu semula pada majlis perjumpaan rakan-rakan sekolah saya di Taiping pada tahun 2005. Shukur yang mengikut salah seorang rakan sekolah saya menyertai program itu menggamit perasaan saya.
“Kami mula rapat setahun kemudian sebelum serius membicarakan soal perkahwinan beberapa tahun kemudian,” cerita penyanyi tersebut.
Shukur yang berada di samping isterinya itu pula menyampuk. Ujarnya, penglibatan dalam dunia penyiaran dan kewartawanan secara sambilan termasuk menjadi hos rancangan bual bicara Hello On 2 pada tahun 2009, merapatkan lagi hubungan dirinya dengan Farawahida.
“Namun, sifat pemalunya sukar dikikis. Seingat saya, kami tak pernah bergambar bersama kecuali untuk praperkahwinan baru-baru ini. Tapi hari ini (Isnin lalu), boleh rakam gambar kami banyak-banyak,” selorohnya.
Hikmah
Mengakui berkasih selama lapan tahun sebagai tempoh yang agak panjang, Shukur tetap mengambil hikmah dan menganggap ruang masa tersebut membolehkan dia dan Farawahida lebih mengenali hati budi masing-masing dan menunjukkan karakter sebenar tanpa berlindung.
“Saya mempunyai masa untuk memahami kerjaya Farawahida sebagai penyanyi sekali gus yakin dapat menyesuaikan diri dalam dunia selebriti yang penuh onak duri,” ujarnya.
Farawahida pula mengakui selesa bersama Shukur kerana selain ahli keluarganya, jejaka lulusan Universiti Malaya itu merupakan insan yang sentiasa memberi sokongan setiap kali dia dilanda kontroversi demi kontroversi sepanjang bergelumang dalam industri seni.
Dalam pada itu, Farawahida dan Shukur sepakat tidak merancang zuriat sebalik berserah kepada ketentuan Illahi termasuk bersedia bergelar ayah dan ibu dalam masa terdekat.
Memilih untuk menjelajah beberapa pulau-pulau peranginan terkenal tanah air sebagai lokasi berbulan madu, bagaimanapun masih belum menetapkan tarikhnya memandangkan mereka sibuk dalam kerjaya masing-masing.
“Shukur mempunyai jadual yang cukup ketat bagi menguruskan perniagaan manakala saya yang akan meneruskan karier sebagai penyanyi selepas ini menyasar mengeluarkan single terbaharu pada awal tahun hadapan.
“Mungkin kami akan curi-curi masa untuk selit aktiviti berbulan madu apabila ada sedikit kelapangan kelak,” beritahunya.
Majlis resepsi pasangan dua sejoli itu yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Perak itu turut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk rakan-rakan artis seperti Ifa Raziah, Fazli Zainal, Ayu Damit dan Salma.

Anak Orang Asli, OKU bukti kemampuan

IPOH - Kepayahan ibu mencari rezeki bagi menyara keluarga menjadi perangsang kepada seorang pelajar anak Orang Asli untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumum semalam.
Ere Yan Bah Dim, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sheikh Abdul Ghani, Bidor dekat sini memperoleh 7A, sekali gus muncul pelajar tunggal daripada komuniti peribumi berkenaan di Perak yang mendapat gred A dalam semua subjek yang didudukinya.
Dia yang berasal dari Kampung Chang, Bidor berkata, ibunya, Keretina Bahdahman, 36, terpaksa menyara keluarga sendirian setelah ayahnya, Bah Din Thatoh, 41, tidak mampu bekerja berikutan mengalami kecederaan tulang belakang kekal kira-kira lapan tahun lalu.

“Bapa saya yang sebelum ini bekerja kampung telah terjatuh dari pokok petai. Dia tak mampu lagi membuat kerja berat lalu ibu ambil alih tugas mencari rezeki dengan bekerja sebagai pekerja am di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Nilam Ehsan, Bidor.
“Dengan pendapatan lebih kurang RM900, dia menyara keluarga termasuk menyekolahkan kami tiga beradik. 

"Ia membuatkan saya berazam belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu di Marang, Terengganu, pelajar keperluan khas, Nur Aimi Yasirah Mohamad Samsor, 15, berjaya membuktikan bahawa kecacatan fizikal tidak menghalangnya untuk cemerlang dengan mendapat 9A.

Menurut pelajar yang kudung tangan kanan dari paras siku sejak lahir itu, kekurangan tersebut menyebabkan dia sering berasa rendah diri dan membataskan kemampuannya untuk aktif dalam bidang lain.

"Salah satu cara untuk membuktikan kebolehan adalah dengan belajar bersungguh-sungguh.

"Saya rasa sangat puas kerana walaupun kudung, saya juga dapat merasai kegembiraan pada hari ini.

"Kejayaan ini saya hadiahkan kepada ibu dan ayah yang banyak memberi dorongan," katanya.

Jurukimpal jumpa bayi ditinggal atas jalan tar

IPOH - Seorang  bayi  perempuan nyaris maut akibat kepanasan selepas ditinggalkan di atas jalan tar di belakang deretan rumah kedai baharu yang masih belum berpenghuni di Taman  Lapangan   Setia  di sini semalam.
 Bayi  yang dianggarkan berusia kurang 24 jam itu bernasib baik apabila tangisannya didengari seorang jurukimpal yang kebetulan sedang melakukan kerja-kerja pendawaian di sebuah lot di deretan rumah kedai berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, ketika ditemui pada pukul 10.20 pagi,  bayi  yang cukup sifat dan bertali pusat itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan tertiarap di atas jalan bertar dengan mukanya menghadap penutup besi longkang.

"Jurukimpal yang mendengar bunyi tangisan berkenaan telah menjumpai  bayi  tersebut di lorong belakang deretan rumah kedai itu sebelum memaklumkan penemuan itu kepada penyelianya.

"Anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati  bayi  itu masih bernyawa dan terus menghantarnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Ahmad Termizi berkata, walaupun sebahagian badan  bayi  perempuan tersebut sedikit kemerahan kerana kepanasan akibat ditinggalkan di atas jalan bertar dalam cuaca panas terik, keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut beliau,  bayi  tersebut telah diletakkan di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang  bayi  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Thursday, December 19, 2013

323 pelatih tamat Latihan Perajurit Muda TUDM

TAULIAH. Seramai 323 pelatih menamatkan Latihan Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Institut Latihan Tentera Udara, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Upacara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 49/2013 itu dirasmikan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud.
Pada majlis itu, Muhammad Syahadat Ramli, 19, dinobatkan sebagai Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan.
Muhammad Akram Mustapha Kamal, 22, pula dinobat sebagai Perajurit Muda Akademik Terbaik sementara anugerah Perajuit Muda Penembak Terbaik milik Mohamad Amirul Azman, 21.

Kakitangan AmBank sahut cabaran berakit di jeram

RIADAH. Seramai 200 kakitangan AmBank menyertai aktiviti berakit jeram di Sungai Jahang, Gopeng, Perak baru-baru ini.
Presiden Kelab Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali berkata, program rekreasi yang julung-julung kali diadakan itu berjaya mengumpulkan kakitangan bank berkenaan dari seluruh negara.
Beliau berkata, selain mengeratkan lagi hubungan sesama ahli kelab, aktiviti berakit menyusuri Sungai Jahang itu bertujuan memupuk sikap mencintai alam semula jadi dalam kalangan kakitangan AmBank.
"Oleh kerana sambutan menggalakkan, kami bercadang untuk menjadikan aktiviti berakit jeram ini sebagai salah satu program tahunan," katanya yang juga Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank.

Tuesday, December 17, 2013

PUO reka kereta Perodua Face

INOVATIF. Politeknik Ungku Omar (PUO) memperkenalkan rekaan kereta baharu, Perodua Face di Pusat Jualan, Servis dan Perkhidmatan Perodua Ipoh, Perak baru-baru ini.
Pengarah PUO, Datuk Md. Nor Yusof berkata, kereta dua pintu yang berkonsep mesra alam dan lebih menjimatkan petrol tersebut berjaya memenangi pertandingan Perodua Eco Challenge 2013 anjuran syarikat automobil, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. yang diadakan baru-baru ini.
Beliau berkata, pasukan pelajar PUO menukar rekaan kenderaan itu agar lebih aerodinamik, menggunakan bahan binaan luar fiber supaya lebih ringan dan menggantikan dengan enjin DOHC 16 valve intercooled Turbo.
"Seramai 25 pelajar PUO dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan mengambil masa hampir tiga bulan mereka cipta Perodua Face dengan kos pengubah suaian sebanyak RM46,000," katanya.

Farawahida bergelar isteri

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my


TAIPING - Semalam merupakan hari paling bahagia buat penyanyi bermata bundar, Farawahida apabila sah dinikah dengan jejaka pilihannya, Abdul Shukur Mohd. Zain.
Dengan sekali lafaz, Farawahida Razali, 28, yang popular dengan lagu Tanpamu sah menjadi isteri kepada usahawan, Abdul Shukur, 29.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Naib Kadi Air Kuning, Imanuddin Zakaria dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada pukul 10.30 pagi.

Farawahida  yang merupakan anak keempat daripada enam beradik kepada pasangan Razali Nordin, 56, dan Nurmah Omar, 51, menerima mas kahwin RM1,000 dan dua bentuk cincin.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan jumlah wang hantaran diterima.

Penyanyi itu turut menerima tujuh dulang hantaran daripada suaminya dan membalas sembilan dulang hantaran bagi pihak pengantin perempuan.

Turut hadir pada majlis pernikahan berkonsepkan Pulau Rahsia ialah ibu bapa Abdul Shukur, Mohd. Zain, 55, dan Soboriah Abdul Razak, 48, yang berasal dari Klang, Selangor.

 Farawahida  dan Abdul Shukur yang anggun berbusana putih rekaan Syarakim bersyukur jalinan percintaan mereka sejak lapan tahun akhirnya berjaya disimpul dengan ikatan perkahwinan.

Kedua-dua mempelai kemudian diraikan dalam majlis persandingan yang bertemakan Glamour Extravaganza di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini pada pukul 8.30 malam tadi.

Friday, December 13, 2013

13 anggota polis wanita jalani kursus Ops Cantas

TANGKAS. Seramai 13 anggota polis wanita termasuk tiga pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menjalani kursus Ops Cantas Khas Wanita di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, kursus seminggu itu bertujuan memantapkan kemahiran anggota pasukan tersebut bagi mengendalikan operasi pencegahan jenayah berat.
"Pasukan Ops Cantas Khas Wanita Selangor tersebut bakal ditugaskan melakukan tugas-tugas operasi yang selama ini dipikul anggota lelaki," katanya ketika ditemui di pusat latihan itu.

Monday, December 2, 2013

Pembaca gembira tarikh akhir peraduan Kosmo! dilanjutkan

IPOH - Langkah melanjutkan tarikh dua peraduan Kosmo! selama lima hari sehingga 5 Disember ini ternyata menggembirakan ramai pembaca setia akhbar kompak tersebut.

Seorang pembaca, Firdaus Ahmad Termizi, 29, dari Silibin di sini berkata, beliau akan menggunakan peluang tersebut untuk menghantar borang penyertaan Peraduan Cari 9 Kelainan Kosmo! sebanyak mungkin.

"Dengan pelanjutan tarikh akhir penerimaan borang peraduan sehingga 10 Disember ini membolehkan saya menghantar lebih banyak penyertaan peraduan bagi meningkatkan peluang memenangi ganjaran yang ditawarkan,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Nor Helmi Mohd Nor, 29, dari Tanjung Rambutan dekat sini juga melahirkan rasa gembira dengan tindakan Kosmo! itu yang membuka peluang kepadanya menambah bilangan penyertaan.

“Di samping pembaca setia Kosmo! sejak dahulu, saya juga kaki bola. Penyertaan dalam Peraduan Kaki Bola Kosmo! ini bagaikan sambil menyelam minum air.

“Selain membaca berita dan rencana yang penuh informasi, mana tahu berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM10,000 dengan hanya berbelanja RM1 setiap hari,” katanya.

Eksekutif Pengurusan Jenama Kosmo!, Mohd. Fikri Hamdan berkata, kedua-dua peraduan tersebut yang sepatutnya berakhir 30 November ini dilanjutkan selama lima hari lagi berikutan permintaan tinggi daripada pembaca setia Kosmo!.

Dalam Peraduan Cari 9 Kelainan Kosmo!, peserta dikehendaki mencari sembilan perbezaan menerusi lima siri gambar yang berbeza setiap hari.

Bagi Peraduan Kaki Bola Kosmo! pula, peserta perlu meneka kedudukan bola dengan tepat pada setiap lima siri gambar yang berlainan setiap hari.

Hadiah utama bagi kedua-dua peraduan tersebut ialah wang tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000 selain hadiah sagu hati berupa Galaxy Note 3 + Gear.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua peraduan itu boleh diperolehi dengan menghubungi Unit Pengurusan Jenama Kosmo! di talian 03-92324429 dan 03-92324430 atau kunjungi Facebook rasmi Kosmo!.

Cardoso pikat panel penilai PAFA

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PEMAIN kelahiran Brazil, Anderson Rodrigues Cardoso semakin hampir untuk menyertai Perak selepas berjaya mempamerkan prestasi memberangsang sejak diserapkan sebagai pemain percubaan pada 27 November lalu.

Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim berkata, kemampuan dan kelincahan bekas pemain kelab Brazil, EC Taubate setiap kali berada di depan pintu gol telah menarik minat panel penilaian Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang diketuai beliau.

“Setakat ini, dia paling menonjol berbanding enam penyerang import lain yang turut mencuba nasib untuk menyertai pasukan.

"Dia berjaya meledak dua gol dalam kedua-dua penampilannya bersama skuad Perak pada perlawanan ujian menentang Super Star FC dan Melaka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Ipoh semalam.

Selepas menewaskan Super Star FC 2-0 pada 27 November lalu, Perak diikat Melaka 1-1 dalam perlawanan ujian kelima yang berlangsung di Stadium Kubu, Melaka pada kelmarin.

Begitupun, Abu Bakar menjelaskan, pengurusan PAFA masih melakukan penilaian sebelum memuktamadkan kontrak dengan pemain Brazil yang berusia 27 tahun tersebut.

Beliau memberitahu, selain Cardoso, PAFA turut mempertimbangkan seorang penyerang import dari Columbia yang dijangka tiba pada hari ini.

“Pemain bermain lewat 20-an yang beraksi Liga Peru tersebut telah dicadangkan oleh Ketua Jurulatih Akademi Bolasepak PAFA, Marshall Soper.

“Dia akan dinilai dalam masa terdekat. Sekiranya menepati kriteria dikehendaki, saya akan mencadangkan pengurusan untuk mengambil Cardoso dan pemain tersebut,” katanya.

Abu Bakar berkata, pemilihan pemain import terakhir tersebut akan melengkapkan skuad Seladang yang turut dibarisi kapten bawah 23 tahun Myanmar, Kyaw Zayar Win, 22 dan Martin Kafando, 25, dari Burkina Faso.