Translate

Wednesday, May 31, 2017

KPDNKK rampas telekung Siti Khadijah tiruan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan seorang wanita berketurunan Kemboja mahu mengaut 'duit raya' mudah dengan menjual telekung tiruan jenama Siti Khadijah terbongkar berikutan serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Besar, Jalan Pasir Panjang di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 2.15 petang itu, pemeriksaan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di dalam premis berkenaan telah menjumpai tiga kotak yang mengandungi 100 unit telekung jenama Siti Khadijah dipercayai tiruan dianggarkan bernilai RM12,000.
Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samad berkata, serbuan tersebut dilakukan berikutan aduan daripada syarikat Apparel Sdn. Bhd. yang merupakan pemilik cap dagang Siti Khadijah yang merupakan pengeluar telekung terkenal negara ini.
"Ini merupakan rampasan pertama melibatkan telekung tiruan yang menggunakan cap dagang Siti Khadijah di negara ini.
"Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan wanita tempatan berusia 25 tahun itu telah menghantar sampel telekung Siti Khadijah asli ke Vietnam bagi menghasilkan produk tiruan tersebut pada skala besar," katanya pada sidang akhbar di Pejabat KPDNKK Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Tiga lelaki termasuk dua kakitangan JHEAT terima rasuah keluar sijil nikah palsu dipenjara sehari, denda RM10,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Perbuatan tiga lelaki termasuk dua kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima rasuah untuk mengeluarkan surat dan kad perakuan nikah palsu setahun lalu berbalas apabila mereka dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memutuskan hukuman demikian selepas Mohd. Yazuan Yatim, 32, Mohd. Raduwan Abu Bakar, 44, dan Eirman Yusdie Ahmad Hanafiah, 35, mengubah pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes.
Beliau turut mengarahkan Eirman Yusdie yang menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memalsukan rekod perkahwinan dikenakan tambahan denda RM10,000.
Mohd. Yazuan dan Mohd. Raduan masing-masing menghadapi satu pertuduhan manakala Eirman Yusdie pula berhadapan dengan dua pertuduhan berhubung pengeluaran surat perakuan dan kad nikah palsu untuk pasangan Muhammad Hasleezam Sabarudin dan Nurzahidah Yacop dan Mei dan 19 Jun 2016.
Kesemua pertuduhan bagi tertuduh pertama, kedua dan ketiga tersebut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

Dua maut Viva dirempuh Latio

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG – Sepasang suami isteri terbunuh manakala  tiga kanak-kanak termasuk dua anak pasangan itu parah selepas kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Nissan Latio di Kilometer 36, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Serating di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.35 petang, Daud Setaffa, 55, yang merupakan Ketua Pas cawangan Kampung Batangan di sini dan isterinya, Maimun Mamat, 48, seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) meninggal dunia akibat kecede­raan parah di beberapa bahagian badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, Maimun me­ninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 7.32 malam kelmarin.
Menurut beliau, dua anak pasangan itu iaitu Nor Najihah, 11, dan Mohd. Fadhil, 9, seorang lagi kanak-kanak, Adam Ibrahim cedera parah. Keadaan ketiga-tiga mangsa itu masih dipantau di ICU hospital sama.

“Sewaktu kejadian, mereka sekeluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batangan di sini daripada menziarahi kematian tidak jauh dari situ.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian yang merupakan satu selekoh, sebuah kereta Nissan Latio yang dipandu seorang guru lelaki berusia 29 tahun tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh kereta Perodua dinaiki keluarga tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Suhaimi memberitahu, pemandu kereta Nissan Latio yang berasal dari Kampung Padang,  Bukit Tumboh, Kuala Nerus hanya mengalami kecede­raan ringan dan menerima rawatan di HSNZ sebagai pesakit luar.

Katanya, mayat Daud dan Maimon telah dihantar ke unit forensik hospital sama sebelum jenazah dituntut waris dan dikebumikan di  Tanah Perkuburan Islam Kampung Batangan di sini pada awal pagi semalam.

Terengganu terus mengorak langkah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu terus mengorak langkah dalam misi memburu kejua­raan Liga Premier musim ini.

Pada aksi terakhir Rabu lalu sebelum saingan liga berehat selama sebulan, skuad Penyu kini berada di landasan yang tepat selepas meraih kemenangan 2-1 ke atas UiTM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Mereka terus menghimpit pendahulu liga, Negeri Sembilan dengan perbezaan dua mata.

Penolong Jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain berkata, tiga mata berharga yang diperoleh dalam perlawanan menentang UiTM itu telah kembali meletakkan skuad Penyu ke tangga kedua liga dengan 27 mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan.

“Kemenangan ini sangat penting kerana persaingan untuk menentukan slot ke Liga Super tahun depan masih terbuka memandangkan kutipan mata yang diperoleh empat pasukan teratas Liga Premier setakat ini sangat rapat.

“Kita bernasib baik kerana Negeri Sembilan mencatat keputusan seri, manakala PKNP FC yang sebelum ini berada di posisi kedua pula tewas,” kata Nafuzi baru-baru ini.

Nafuzi berkata, biarpun ketiadaan penyerang utama berikutan penggantungan Issey Nakajima serta kecede­raan yang dialami Federico Falcone, para pemain Terengganu dapat menye­rap kekurangan itu dengan melaksanakan taktikal yang telah direncanakan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

“Para pemain telah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan menentang UiTM dan cara mereka mengawal permainan juga lebih berdisiplin,” katanya lagi.

Sementara itu, perancang import, Lutfulla Turaev seakan memberi isyarat bahawa dia bakal menjadi pemain import kedua Terengganu yang bakal digugurkan selain Falcone pada jendela perpindahan yang telah dibuka sejak 15 Mei lalu.

Sebaik dikeluarkan pada perlawanan Rabu lalu, pemain kelahiran Uzbekistan itu bukan sahaja menepuk tangan tanda memberi penghormatan kepada penyokong tegar skuad Penyu, malah dipeluk oleh setiap pengurusan dan pemain termasuk Nafuzi yang berada di bangku simpanan.

Mengulas perkara itu, Nafuzi yang mengemudi pasukan pada aksi tersebut memilih jawapan selamat dengan memberitahu perkara itu hanya ditentukan Irfan yang kini sedang berehat akibat demam.

“Perancangan pasukan dibuat sepenuhnya oleh beliau (Irfan), saya hanya mengetahui senarai pemain baharu pada sesi latihan yang bakal bersambung pada 5 Jun nanti,” katanya.

Tuesday, May 30, 2017

Pelajar USIM maut kemalangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

BESUT – Dua beradik terbunuh sebelum sempat mereka berbuka puasa apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Jalan Kampung Tembila berhampiran Kampung Raja dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang, Muhammad Hafizuddin Che Mat, 21, dan adiknya, Muhammad Husaini, 17, meninggal dunia kerana masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, Muhammmad Hafizuddin yang juga pelajar tahun satu, Fakulti Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, adik mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila di sini pula menghembuskan nafas terakhir­nya ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Besut di sini pada pukul 3.20 pagi semalam.

“Kejadian berlaku selepas kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang peniaga mengalami kerosakan secara tiba-tiba sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian merempuh motosikal Modenas Kriss yang dinaiki kedua-dua beradik berkenaan,” kata beliau kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, rempuhan itu menyebabkan ke­dua-dua beradik terbabit yang tidak memakai topi kele­dar tercampak beberapa meter di atas jalan raya.

Katanya, pemandu Toyota Hilux yang berusia 36 tahun mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangan kanan dan pinggang kiri.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk dibedah siasat.

Restoran berkonsep kedai kopi Cina

KEHARMONIAN masyarakat majmuk antara Melayu dan Cina di daerah Kemaman, Terengganu memberi ilham kepada pembukaan Dinnie Kopitiam di bandar Chukai kira-kira dua tahun lalu.

Pemiliknya, Roselaini Ismail, 45, berkata, restoran yang berkonsepkan kedai kopi Cina moden itu menggabungkan menu makanan masyarakat Tionghua dan Pantai Timur.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Dinnie berkata, penduduk Kemaman gemar meluangkan masa bersama-sama terutamanya menikmati sarapan di kopitiam.

“Pada masa sama, tekak mereka juga tidak boleh lari daripada selera masakan Pantai Timur yang banyak dipengaruhi menu dari Selatan Thailand.
“Oleh itu, saya mengambil peluang ini untuk menggabungkan kedua-dua menu kegemaran itu di bawah satu premis bagi memenuhi kehendak masyarakat setempat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Dinnie berkata, restoran itu menyediakan pelbagai menu yang biasa terdapat di kedai kopi Cina.

Antaranya, minuman berasaskan kopi dan teh seperti kopi cham dan kopi putih, roti kahwin, roti bawang putih, mi hailam, nasi goreng Cina, nasi ayam, telur separuh masak, bihun Singapura serta char kuetiau kerang.
“Dinnie Kopitiam juga menyediakan menu istimewa, hamlet yang mendapat permintaan ramai dalam kalangan pelanggan.

“Hamlet ialah roti yang berinti adunan jagung, telur, seri kaya dan marjerin yang saya cipta sendiri sewaktu mula-mula berniaga di kampung halaman, Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan pada lewat 1990-an,” ujar beliau.

Dinnie yang mempunyai dua restoran lain di Kemaman dan Kuala Terengganu berkata, hamlet yang kelihatan seperti roti John itu enak dimakan bersama air teh atau kopi panas.

Menurutnya, restoran itu juga terkenal dengan menu mi celup hasil air tangan tukang masak yang dibawa khas dari Selatan Thailand.

“Mi celup Dinnie Kopitiam diperbuat daripada bahan segar termasuk perut lembu. Kami memang menjaga kualiti agar rasanya tidak berubah dan menepati selera tempatan,” katanya.

Pencuci mulut
Dinnie memberitahu, selain masakan panas ala Thai, antara menu istimewa lain yang dinikmati pelanggan ialah maggi telur sotong, maggi sotong gergasi dan shell out dengan harga berpatutan.

Ujar beliau, pencuci mulut kegemaran seperti pulut durian, pulut mangga aiskrim yang dihidangkan dalam buah kelapa dan tembikai serta kuih tradisional Kelantan dan Terengganu turut disajikan kepada pelanggan pada setiap hari.
“Bagi memenuhi permintaan pelanggan sama ada penduduk tempatan atau pelancong, Dinnie Kopitiam dibuka selama 19 jam pada setiap hari kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

“Memang tidak banyak kedai makan dan restoran di Kemaman yang dibuka melebihi pukul 10 malam. Bagi memastikan operasi berjalan lancar, seramai 15 pekerja masing-masing untuk syif pagi dan malam ditugaskan bagi melayan pelanggan,” katanya.

Pengedar pil kuda berjaya diberkas

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh disyaki pengedar pil kuda berjaya diberkas polis di dalam sebuah rumah di Kampung Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus pada Isnin lalu.
Lelaki yang berusia 27 tahun itu berjaya ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu pada pukul 11.30 pagi.
Ketua JSJN Terengganu, Superintendan Roslan Tahir berkata, pemeriksaan di dalam rumah terbabit telah berjaya menemui sebanyak 1,832 biji pil berwarna merah dan hijau yang dipercayai pil kuda.
"Kesemua pil kuda terbabit yang seberat 183.2 gram dianggarkan bernilai RM12,150 dan siasatan awal suspek baru aktif dalam kegiatan pengedaran dadah pada akhir tahun lalu.
"Dadah jenis tersebut dipercayai disasarkan kepada penagih di sekitar bandar raya ini dan daerah Kuala Nerus," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

Monday, May 29, 2017

Lepasan sekolah Terengganu akan dibantu sambung pelajaran

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu berhasrat memastikan semua lepasan sekolah di negeri tersebut dapat menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat kemahiran.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, setiap tahun dianggarkan 20,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri tersebut ditawarkan melanjutkan pelajaran ke IPT manakala 4,000 hingga 5,000 pula keciciran.
"Saya minta Yayasan Terengganu untuk bantu anak-anak yang tercicir daripada melanjutkan pelajaran ini dapat disalurkan sekurang-kurangnya ke pusat pengajian milik kerajaan negeri seperti Kolej Universiti Tati dan Tesdec (Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu).
"Mereka tidak perlu mohon tetapi akan ditawarkan secara automatik ke pusat pengajian tersebut sekiranya melepasi kelayakan minimum," katanya selepas menyampaikan bantuan persediaan ke matrikulasi dan diploma peringkat Parlimen Kuala Nerus di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua beradik maut, motosikal dirempuh Toyota Hilux

BESUT - Dua beradik maut sebelum sempat berbuka puasa semalam selepas motosikal yang ditungganginya mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux di Jalan Kampung Tembila berhampiran Kampung Raja dekat sini.
Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, Muhammad Hafizuddin Che Mat, 21, dan adiknya, Muhammad Husaini, 17, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, Muhammmad Hafizuddin yang juga pelajar Universiti Sains Islam Malaysia meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, adik mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila pula menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Besut di sini pada pukul 3.20 pagi tadi.
"Kejadian berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux yang dipandu seorang peniaga mengalami kerosakan alat penghubung antara kotak gear dan gandar belakang sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Kenderaan itu kemudiannya merempuh motosikal Modenas Kriss yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Penyeludup lari tinggalkan lori

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penyeludup rokok bertindak melarikan diri dan meninggalkan lori yang dipandunya selepas dikejar sejauh lima kilo­meter oleh pihak berkuasa kerana membawa 1.2 juta batang rokok seludup bernilai RM864,960 di Kampung Petaling, Kuala Nerus kelmarin.

Kejadian pada pukul 10 pagi tersebut berlaku selepas sepasukan anggota Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya mengesan kedudukan suspek yang sebelum itu bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari kerana bimbang dicekup.

Pengarah Kastam Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, pemeriksaan menemui 6,000 karton rokok jenama League yang diisi di dalam 120 buah kotak.

Katanya, intipan dilakukan selepas pihak­nya menerima maklumat mengenai kegiatan suspek yang mahu menyeludup rokok melalui Thailand pada Jumaat lalu.

“Suspek kemudian te­lah bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari selepas menyedari di­buru sebelum dia dikesan berada di da­erah Kuala Nerus pagi semalam (kelmarin).

“Anggota Kastam telah mengejar lori suspek sejauh lima kilo­meter sebelum suspek me­ninggalkan kenderaan itu di tengah jalan. Suspek masih belum dapat diberkas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, suspek didapati telah menukar modus operandinya de­ngan bergerak pada waktu siang melalui Lebuhraya Pantai Timur 2.

Menurut Aidid, berdasarkan rekod, penyeludup biasanya melalui Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada waktu malam menggunakan van atau lori.

“Jumlah cukai kesemua rokok itu ialah RM768,960 dan ia tidak memenuhi spesifikasi rokok yang dibenarkan untuk dipasarkan,” katanya.

Pelancong tempatan putus dua jari bot dinaiki bertembung bot nelayan

BESUT – Kegembiraan seorang pelancong tempatan lelaki mengunjungi Pulau Perhentian berakhir dengan tragedi apabila dua jari kanannya putus selepas bot pelancong yang dinaikinya bersama empat penumpang lain berlanggar sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berdekatan jeti Kuala Besut dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, Zawahid Abdul Ghani, 29, mengalami kecederaan teruk pada jari manis dan hantu akibat rempuhan kedua-dua bot berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemandu bot pelancong terbabit yang berumur 49 tahun turut mengalami kecederaan ringan pada kepala selain mengadu mengalami kesakitan pada pergelangan tangan, dada dan kaki kiri.

“Empat lagi pelancong tempatan yang turut menaiki bot pelancong terbabit terselamat daripada sebarang kecederaan. Sewaktu kejadian, bot tersebut dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian.

“Semasa hendak menghampiri jeti Kuala Besut tiba-tiba bot pelancong itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh sebuah bot nelayan kosong yang diletakkan berhampiran muara Sungai Besut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, Zawahid yang cedera parah dan pemandu bot pelancong berkenaan telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Besut di sini untuk menerima rawatan.

Menurut beliau, bot pelancong itu rosak teruk manakala bot nelayan terbabit pula mengalami kerosakan pada sisi kanannya akibat rempuhan berkenaan.

“Punca sebenar yang menyebabkan kemalangan itu dan kerugian yang dialami masih disiasat.

“Kes ini telah diserahkan kepada Pasukan Gerakan Marin Wilayah Timur yang berpangkalan di Kuantan, Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sunday, May 28, 2017

APM bakal guna bot Sealegs pada musim banjir

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diperkasa dengan penerimaan aset baharu iaitu enam bot Sealegs yang mampu beroperasi di dalam air dan darat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APM, Sukiman Ahman berkata, bot berkenaan akan digunakan agensi itu bagi operasi bantuan bencana alam terutama banjir.
"Kesemua bot Sealegs berharga RM650,000 setiap satu ini mempunyai dua model iaitu 6.1 dan 7.1 yang masing-masing mampu membawa maksimum enam dan lapan penumpang pada satu-satu masa.
"Dua bot Sealegs yang baru diterima tersebut akan ditempatkan di Kelantan dan masing-masing satu di Terengganu, Sabah, Sarawak dan ibu pejabat, Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai pasukan yang melakukan ujian terhadap bot Sealegs berkenaan di perairan Pulau Redang dekat sini hari ini. - K! ONLINE

LAJSM 2017 berlangsung awal pagi

PENGANJURAN Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) edisi ketujuh yang berlangsung pada 23 September depan mencipta kelainan apabila dua kategori utama akan diadakan pada awal pagi, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, dua kategori tersebut iaitu 42 kilometer (km) dan 21km yang akan bermula pada pukul 12.01 te­ngah malam dan dijangka berakhir pada pukul 6 pagi.

Selain mencipta kelainan, ia bertujuan memberi keselesaan kepada peserta larian jarak jauh itu memandangkan pada hari kejohanan, waktu siang diramal panas terik.

“Strategi ini juga sebahagian usaha untuk menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan peminat acara larian jarak jauh dari dalam dan luar negara,” katanya di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Rozi berkata, tiga kategori lain yang akan dipertandingkan dalam LAJSM iaitu 12km selain lima dan tiga km pula bakal tetap dianjurkan seperti biasa iaitu bermula pada pukul 7 pagi dan berakhir tiga jam kemudian.

Menurut beliau, seramai 50,000 peserta termasuk sebahagiannya dari luar negara disasarkan untuk memeriahkan LAJSM 2017 yang menawarkan ganjaran wang tunai keseluruhan sebanyak RM186,000 dan bertemakan Vacay Run iaitu berlari sambil bercuti sempena sambutan Tahun Melawat Terengganu 2017.

Orang ramai yang ingin menyertai LAJSM 2017 boleh mendaftar secara online   menerusi lamam web, ww2.myraceonline.com sehingga 25 Mei ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh di laman Facebook LAJSM 2017.

LAJSM merupakan acara la­rian merentasi Jambatan Sultan Mahmud yang menghubungkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mula dianjurkan pada tahun 1990 tetapi terhenti selama 22 tahun sebelum dihidupkan semula pada tahun 2012 oleh kerajaan Terengganu yang ketika itu diterajui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Saturday, May 27, 2017

Terengganu tidak hasrat laksana hudud pada masa terdekat

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu tidak berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud pada masa terdekat sebaliknya mahu memperkasa terlebih dahulu undang-undang takzir yang telah ditambah baik baru-baru ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakan hudud tidak boleh dilakukan secara mendadak sebaliknya harus berdasarkan keperluan selain mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Beliau berkata, sebarang keputusan berkait dengan hudud perlu mengikut peruntukan undang-undang Parlimen sedia ada termasuk perkembangan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) atau RUU 355 yang masih dibentangkan di Dewan Rakyat.
"Saya melihat kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib baru-baru ini adalah pendapat peribadi beliau dan agak umum berasaskan peruntukan (Enakmen Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002) yang pernah diluluskan sebelum ini.
"Apa pun, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan pindaan undang-undang takzir (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu) yang telah diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini," katanya ketika ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada penduduk di Masjid Abidin di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ghazali yang mengatakan kerajaan negeri Terengganu sentiasa memperjuangkan undang-undang hudud dan mahu menjadikan Acheh sebagai model pelaksanaan hukum hudud di Terengganu sewaktu melakukan lawatan kerja ke Pejabat Gabenor Acheh, Indonesia semalam. - K! ONLINE

APMM tahan nelayan Vietnam ceroboh guna bot klon

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Taktik sekumpulan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara ini dengan menggunakan bot klon berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kemaman dekat sini kelmarin.
Bot yang dinaiki enam nelayan asing tersebut berjaya ditahan pada kedudukan kira-kira 67 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.
Timbalan Pengarah Wilayah Maritim Timur ( Operasi), V. Pannir Selvan berkata, kapal peronda APMM, KM Pekan telah terserempak dengan bot berkenaan yang berada dalam keadaan mencurigakan sewaktu mengadakan operasi di Zon Ekonomi Ekskusif di perairan terbabit.
"Sewaktu serbuan diadakan, kesemua suspek dalam persediaan untuk melabuhkan pukat hanyut bagi menangkap ikan. Semakan dengan Jabatan Perikanan mendapati nombor pendaftaran JHF 2918 yang digunakan pada bot berkenaan adalah palsu.
"Kita percaya ia merupakan bot klon dan modus operandi mereka menggunakan nombor pendaftaran bot palsu telah gagal mengaburi mata pasukan penguat kuasa APMM," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - K! ONLINE

Pelajar Fakulti PPIMG UMT bakal terima nilai tambah persijilan SAS

Oleh MOHD. AZLI ADLAN


KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan SAS Institute Sdn. Bhd. (SAS Institute) bagi membolehkan pelajar Pengajian Informatik & Matematik Gunaan (PPIMG) universiti itu memperoleh Sijil Perisian Sebagai Perkhidmatan (SAS) sebelum tamat pengajian.
Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Nor Aieni Mokhtar berkata, persijilan SAS tersebut memberi nilai tambah kepada pelajar fakulti tersebut sekali gus membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.
"Sijil berkenaan memperakui pengetahuan teori dan praktikal yang mengesahkan kebolehan graduan terlibat dalam mengendalikan data atau masalah permodelan.
"Pengetahuan dan kemahiran terutama dalam menganalisis dan menginterpretasi data berdasarkan bantuan pakej perisian SAS ini dapat diperlukan oleh pelbagai industri seperti kewangan, perbankan, insurans, minyak, gas dan automatif," katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan SAS Institute yang diwakili Pengarah Eksekutif Jualan dan Operasinya, Sheikh Manzoor Ghani.
SAS Institute merupakan syarikat berpengkalan di Amerika Syarikat yang menyediakan perkhidmatan latihan perisian SAS meliputi statistik analitik dan visual serta pengurusan data dan risiko. - K! ONLINE

Pelancong putus dua jari, bot pelancong bertembung dengan bot nelayan

BESUT - Kegembiraan seorang lelaki mengunjungi Pulau Perhentian berakhir dengan tragedi apabila dua jarinya putus selepas bot pelancong yang dinaikinya bersama empat penumpang lain berlanggar dengan sebuah bot nelayan di muara Sungai Besut berdekatan jeti Kuala Besut dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu, Zawahid Abdul Ghani, 29, mengalami kecederaan teruk pada jari manis dan hantu tangan kanannya akibat rempuhan kedua-dua bot berkenaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, pemandu bot pelancong terbabit yang berumur 49 tahun turut mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala selain mengadu mengalami kesakitan pada bahagian pergelangan tangan, dada dan kaki kiri.
"Empat lagi pelancong tempatan yang turut menaiki bot pelancong terbabit terselamat daripada sebarang kecederaan. Sewaktu kejadian, bot tersebut dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian.
"Semasa hendak menghampiri jeti Kuala Besut tiba-tiba bot pelancong itu dikatakan hilang kawalan lalu merempuh sebuah bot nelayan kosong yang diletakkan berhampiran muara Sungai Besut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Friday, May 26, 2017

Larian amal belon kumpul dana misi kemanusiaan

MISI. Seramai 488 pelajar dan masyarakat setempat menyertai program Larian Amal Belon anjuran Kelab Pengurusan Acara, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah program, Abdul Syukur Abd. Hamid berkata, program larian sambil membawa belon sejauh tujuh kilometer itu bertujuan mengumpul dana bagi menjayakan Misi Kemanusiaan Kemboja-Vietnam yang bakal disertai pelajar UMT tidak lama lagi.

APMM tahan nelayan Vietnam 
tangkap gamat secara haram

KEMAMAN – Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur berjaya mematahkan kegiatan sekumpulan nelayan warga Vietnam yang menangkap 50 kilogram (kg) gamat secara haram di perairan Kertih dekat sini Jumaat lalu.

Kesemua tekong dan awak-awak nelayan asing berusia dalam lingkungan 26 dan 57 tahun itu berjaya ditahan selepas hampir sejam dikejar kapal peronda APMM pada pukul 10.30 pagi.

Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Mohd. Marmizi Mohd. Nor berkata, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin telah terserempak bot dinaiki nelayan Vietnam tersebut pada kedudukan 13 batu nautika dari Tanjung Labohan, Kertih dekat sini.

“Sewaktu ditemui, kesemua nelayan asing berkenaan sedang asyik menangkap gamat di perairan itu. Mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan penguat kuasa APMM sebaliknya bertindak melarikan diri dengan memecut laju bot, namun berjaya dipintas kira-kira sejam kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Marmizi berkata, pemeriksaan di dalam bot berkenaan telah menjumpai 50kg gamat hidup dan peralatan untuk menangkap hidupan laut tersebut.

Menurut beliau, tiada ikan dan peralatan menangkap dijumpai di dalam bot itu sekali gus menunjukkan nelayan Vietnam terbabit sememangnya berniat untuk mengambil gamat secara haram di perairan negara ini.

“Permit untuk mengeluarkan gamat tidak dikeluarkan untuk perairan Pantai Timur. Kesemua bot, hasil dan pera­latan gamat yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM200,000 telah dirampas,” katanya.

Thursday, May 25, 2017

Terengganu tewaskan UiTM 2-1

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu memperoleh kemenangan berharga dengan menumpaskan UiTM FC 2-1 pada pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan Pantai Timur itu kembali mendaki tangga kedua liga dengan 27 mata di belakang Negeri Sembilan.

Tuan rumah mendahului menerusi tandukan padu pemain tengah, Nasrullah Haniff Johan yang menerjah pintu gol UiTM FC pada minit ke-8.

Tiga minit selepas itu, penyerang import sensasi UiTM FC, Akanni Sunday Wasiu berjaya melepasi pertahanan Terengganu  sebelum menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd. Suffian Rahman Kungi Raman bagi mengikat kedudukan 1-1.

Perancang skuad Penyu, Mohd. Faiz Mohd. Nasir muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan tuan rumah pada minit ke-32.

UiTM berpeluang untuk menyamakan kedudukan semula namun rembatan Wasiu dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Mohd. Suffian Rahman pada minit ke-61.

Wasiu kembali mengancam kubu Terengganu seminit kemudian, begitu pun masih gagal memecah kebuntuan apabila tandukan padunya sekadar singgah di penjuru kanan gawang tuan rumah.

Mohon bonus raya RM1,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan agar mempertimbangkan pemberian bonus sekurang-kurang­nya RM1,000 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, beliau berharap pemberian bonus itu lebih tinggi berbanding RM500 yang diberikan tahun lepas ekoran kos sara hidup dan harga barang yang kini meningkat.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan pihak kerajaan berhubung permintaan itu dan beberapa perkara berbangkit lain dalam masa terdekat.

“Kalau pemberian bonus ini dapat dipertimbangkan, saya yakin ia dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam yang sekarang ini terbeban dengan kos hidup yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam peringkat Terengganu di sini semalam.

Dalam pada itu, Azih turut menafikan laporan yang tersebar menerusi media sosial sejak beberapa hari lalu kononnya pemberian bonus raya pada tahun ini telah ditetapkan pada kadar RM500.

Pemandu lori belasah bapa mertua guna kerusi

KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu lori yang khayal dadah ditahan polis selepas tergamak membelasah bapa mertua­nya di rumah mereka di Kampung Kayu Kelat, Jertih, Besut kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, suspek yang berusia 35 tahun telah bertindak menghentak badan bapa mertua dengan sebuah kerusi dalam kejadian pukul 5 petang itu.

“Sebelum kejadian, suspek dan bapa mertuanya yang berumur 63 tahun telah bertengkar berkaitan hal keluarga. Lelaki itu yang gagal mengawal marah telah bertindak memukul bapa mertua dengan sebuah kerusi sehingga menyebabkan mangsa jatuh tertiarap di atas lantai rumah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, suspek telah bertindak melarikan diri dari rumah terbabit sebaik sahaja melihat bapa mertuanya yang merupakan seorang petani jatuh.

Menurut beliau, isteri suspek berusia 36 tahun yang merupakan seorang pembantu kedai kemudian telah menjerit meminta pertolongan.

“Beberapa penduduk kampung yang mendengar jeritan tersebut telah bertindak mengejar suspek sebelum dapat menangkapnya di kawasan sawah padi tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, pemeriksaan urin kemudiannya mendapati lelaki itu positif dadah jenis amphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Wednesday, May 24, 2017

T-Team berdepan misi sukar
di Alor Setar

T-TEAM menjangkakan bakal menghadapi tentangan hebat daripada tuan rumah apabila berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar,  Kedah pada aksi Liga Super malam ini.

Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan berkata, pemain-pemain Kedah sudah pasti berada dalam moral tertinggi selepas kejayaan menjulang Piala FA pada Sabtu lalu.

“Kedah sudah pasti bersemangat luar biasa untuk membenam cabaran kita di hadapan penyokong-penyokong mereka yang sudah pasti akan memenuhi stadium malam esok (malam ini) bagi memberi sokongan padu serta meraikan pasukan yang masih segar bergelar juara Piala FA.

“Ini tonik tambahan buat skuad Kedah untuk membalas dendam terhadap kekalahan besar 0-5 kepada kita pada aksi pusingan pertama di Kuala Terengganu tempoh hari,” kata Rahmad ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad menjelaskan, biarpun mereka bakal menghadapi cabaran getir, ia tidak bermakna skuad kendaliannya akan menyerah awal ke–rana anak-anak buahnya kini turut bermotivasi tinggi.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu berkata,  mereka mahu meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super seperti yang telah dibuktikan dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini.

“Saya tuntut semua pemain agar terus fokus pada perlawanan serta mempraktikkan dengan baik taktikal yang telah direncanakan. Ini merupakan aksi yang sukar dan jika mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata, ia sudah satu kejayaan buat saya,” katanya.

Selepas mengharungi 12 perlawanan liga, T-Team kini menghuni tangga kelapan dengan mengumpul 13 mata.

Terengganu mahu balas dendam

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu berazam melunaskan dendam terhadap UiTM FCapabila kedua-dua pasukan turun membuat perhitungan pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak-anak buahnya telah mengambil pengajaran berguna selepas dibelasah 0-4 oleh pasukan yang sama pada aksi pusingan pertama di Stadium UiTM, Shah Alam, 14 April lalu.

“Saya juga telah kenal pasti corak permainan UiTM. Sudah pasti tiga tonggak import mereka iaitu Akanni Sunday Wasiu, Dechi Marcel N’Guessan dan Do Dong-Hyun yang menjadi kunci kekuatan pasukan itu akan diikat pada pertemuan malam esok (malam ini).

“Ini peluang kita untuk membalas kekalahan lalu selain mahu mengakhiri aksi Liga Premier dengan kemenangan sebelum berehat panjang pada bulan Ramadan,” kata Irfan ketika ditemui Kos­mo! di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, barisan pemainnya kini kembali fokus kepada saingan Liga Premier selain sudah melupakan kehampaan gagal melangkah ke final Piala FA selepas dikecewakan pasukan juara, Kedah pada saingan separuh akhir piala berprestij tersebut baru-baru ini.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, mereka tidak mahu lagi kehilangan mata penting bagi terus menghambat Negeri Sembilan dan PKNP FC yang kini menghuni dua kedudukan teratas liga.

“Keutamaan saya adalah untuk memastikan Terengganu menduduki dua tangga teratas Liga Premier musim ini, sekali gus mara ke saingan Liga Super musim depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Irfan juga memberi bayangan bahawa dua pemain import termasuk Federico Falcone yang bermain di posisi serangan hampir pasti digugurkan pada jendela perpindahan pemain yang telah dibuka semula 15 Mei lalu.

Begitu pun, beliau memberitahu, Falcone kemungkinan besar tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong tegar skuad Penyu pada malam ini kerana tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan.

“Saya masih belum dapat umumkan seorang lagi pemain import yang bakal digugurkan tetapi aksi menentang UiTM FC malam esok (ini) sudah pasti menjadi perlawanan terakhirnya bersama kami,” katanya.

Pekerja pelantar minyak rugi RM1,000 disamun

KUALA TERENGGANU – Seorang pekerja pelantar minyak kerugian lebih RM1,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di Jerteh Souq, Jerteh, Besut kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam itu, pemuda berusia 19 tahun yang menetap di Taman Seratus, Kuala Besut, Besut kehilangan telefon bimbit jenama Lenovo, wang tunai RM1,000, kad ATM, MyKad dan beberapa dokumen kerja.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru keluar dari sebuah tandas Jertih Souq telah dida­tangi seorang lelaki.

“Lelaki itu tiba-tiba menekup muka mangsa dengan sehelai baju sebelum memaksa dia memasuki sebuah kereta yang diletakkan berhampiran bangunan itu.

“Mangsa memberitahu dua lelaki lain berada di dalam kereta terbabit. Dia juga mendakwa telah dipukul sebelum dipaksa untuk menyerahkan semua barang berharganya kepada ketiga-tiga penjenayah terbabit sebelum ditolak keluar dari kereta tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Zamri berkata, sewaktu kejadian, mangsa sedang menunggu bas ekspres untuk ke Kota Tinggi, Johor di Jerteh Souq.

Menurut beliau, kejadian samun itu menyebabkan pekerja pelantar minyak itu mengalami lebam di bahu kiri dan kepala dan telah menerima rawatan di klinik berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.

Jurugambar bebas mati lemas di Sungai Tersat

KUALA TERENGGANU – Kegembiraan sekumpulan 20 remaja berkelah di hulu Sungai Tersat, Hulu Terengganu berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.05 petang itu, Muhammad Diya Uddin Saidi, 18, yang berasal dari Kampung Sungai Derhaka di sini sedang riang mandi-manda dengan rakan-rakannya sebelum tiba-tiba tenggelam ke dalam sebuah kawasan lubuk di sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, Muhammad Diya Uddin yang merupakan jurugambar bebas telah pergi ke kawasan perkelahan itu bersama 20 rakannya pada pukul 2 petang selepas mengikuti sebuah program anjuran parti pembangkang di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Mangsa dikatakan cuba menyeberang sungai sebelum tiba-tiba termasuk ke dalam kawasan lubuk sungai.

“Sebahagian rakan-rakannya yang menyaksikan kejadian itu cuba menyelamatkannya tetapi gagal. Mangsa yang tidak tahu berenang kemudiannya telah tenggelam ke dalam lubuk berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohd. Adli berkata, mayat Muhammad Diya Uddin kemudiannya berjaya dijumpai sepasukan anggota bomba dari unit penyelam di dasar lubuk berkenaan yang dianggarkan sedalam kira-kira tiga meter pada pukul 7 malam.

Menurut beliau, mayat remaja itu berjaya dikeluarkan dari kawasan perkelahan yang terletak jauh di dalam hutan dan berhampiran Gunung Padang, Kuala Berang pada pukul 11.30 malam.

Tuesday, May 23, 2017

Zakat fitrah Terengganu 2017 ditetapkan pada kadar RM7

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengumumkan kadar zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada kadar minimum RM7.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan 10 peratus dan lima peratus hancur.
Beliau berkata, bagi individu yang menggunakan beras Super Import pula, kadar bayaran zakat fitrahnya bersamaan dengan nilai 2.6 kilogram (kg) beras terbabit.
"Pembayaran zakat fitrah bagi Terengganu pada tahun ini ditetapkan dengan wang tunai sahaja berbanding sebelum ini turut menerima beras," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Seri Iman di sini hari ini. - K! ONLINE

Tingkat kebolehpasaran pelajar UMT

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalin kerjasama dengan SAS Institute Sdn. Bhd. (SAS Institute) bagi membolehkan pelajar Fakulti Pengajian Informatik dan Matematik Gunaan (PPIMG) memperoleh Sijil Perisian Sebagai Perkhidmatan (SAS) sebelum tamat pengajian.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Nor Aieni Mokhtar berkata, persijilan SAS tersebut bakal memberi nilai tambah kepada pelajar fakulti berkenaan sekali gus membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.

“Sijil berkenaan memperakui pengetahuan teori dan praktikal yang mengesahkan kebolehan graduan terlibat dalam mengendalikan data atau masalah permodelan.

“Pengetahuan dan kemahiran terutama dalam menganalisis dan menginterpretasi data berdasarkan bantuan pakej perisian SAS ini amat diperlukan oleh pelbagai industri se­perti kewangan, perbankan, insurans, mi­nyak, gas dan automatif,” katanya di sini semalam.

Terdahulu beliau menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan SAS Institute yang diwakili Pengarah Eksekutif Jualan dan Operasinya, Sheikh Manzoor Ghani.

SAS Institute merupakan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang  menyediakan perkhidmatan latihan perisian SAS meliputi statistik analitik dan visual serta pengurusan data dan risiko.

Nor Aieni berkata, pelajar Fakulti PPIMG akan menerima Sijil SAS ber­kenaan setelah mengikuti beberapa kursus Matematik dan Statistik dengan minimum 12 kredit sepanjang tempoh pengajian.

Menurut beliau, selain persijilan terbabit, kerjasama dengan SAS Institute itu juga merangkumi pertukaran kepakaran, latihan industri untuk pelajar dan pembukaan pusat penerangan SAS.

“Kadar kebolehpasaran graduan Matematik dan Sains Komputer UMT adalah 76.94 peratus pada tahun lalu dan ia meningkat daripada 55.51 peratus sahaja pada tahun 2015,” katanya.

Monday, May 22, 2017

Pekerja pelantar minyak tengah tunggu bas ekspres kena samun

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar minyak kerugian lebih RM1,000 selepas disamun sekumpulan lelaki di Jerteh Souq, Jerteh, Besut semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam itu, pemuda berusia 19 tahun yang menetap di Taman Seratus, Kuala Besut, Besut itu kehilangan telefon bimbit jenama Lenovo, wang tunai RM1,000, kad ATM, Mykad dan beberapa dokumen kerja.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang baru keluar dari sebuah tandas Jertih Souq telah didatangi seorang lelaki.
"Lelaki itu tiba-tiba menekup muka mangsa dengan sehelai baju sebelum memaksa dia memasuki sebuah kereta yang diletakkan berhampiran bangunan itu.
"Mangsa memberitahu dua lelaki lain berada di dalam kereta terbabit. Dia juga mendakwa telah dipukul sebelum dipaksa untuk menyerahkan semua barang berharganya kepada ketiga-tiga penjenayah terbabit sebelum ditolak keluar dari kereta tersebut," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Tokoh Guru Terengganu derma wang untuk iftar di Masjidilharam

KUALA NERUS – Bekas Guru Cemerlang Sains Gred Khas C, Hamzah Othman, 61, dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2017 semalam.

Bapa kepada enam anak itu menerima hadiah wang tunai RM6,000, plak, medal, tafsir al-Quran, sijil dan sepersalinan baju Melayu pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu kali ke-46 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.

Hamzah turut mendapat hadiah peribadi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman yang menaja beliau dan isteri mengerjakan umrah.

Hamzah berkata, beliau berniat untuk mendermakan wang tunai RM6,000 itu untuk majlis iftar jemaah umrah di Mekah pada bulan Ramadan ini.

“Saya akan menunaikan umrah selama sebulan dan akan berangkat ke Tanah Suci pada 26 Mei ini.

“Saya berniat mendermakan wang tunai kemenangan sebagai iftar kepada jemaah yang mengerjakan ibadah umrah di Masjidilharam nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, pemilihan Hamzah yang telah bersara awal pada tahun 2010 sebagai menghargai sumbangan dan kegigihannya dalam memperkasakan mata pelajaran Sains.

“Beliau telah mencipta Kaedah Pecutan Kognitif Sains yang merupakan pendekatan inovatif pemahaman subjek berkenaan yang masih dimanfaatkan oleh pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Pentaksiran Tingkatan Tiga sehingga kini.

“Sebelum ini, beliau juga pernah meraih anugerah Inovatif Kementerian Pendidikan pada tahun 2001 selain dinobat sebagai Guru Inovatif Terengganu sebanyak tujuh kali pada tahun 1993, 1994, 1995, 1997, 1999 dan 2001,” katanya.

Dakwaan pokok Ceiba Chodatii, mercu tanda Bandar Baharu Kuala Nerus telah mati disangkal

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya pokok benang sutera atau nama saintifiknya, ceiba chodatii dianggarkan berharga RM180,000 yang menjadi mercu tanda unik di Bandar Baharu Kuala Nerus sejak lima bulan lalu telah mati.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pokok gergasi berasal dari Brazil itu sebenarnya hanya mengalami keguguran daun berikutan musim panas terik yang melanda negeri Pantai Timur sejak kebelakangan ini.
"Saya amat terkejut kerana ingatkan isu (penanaman pokok ceiba chidatii) ini sudah selesai. Dulu dakwa kerajaan negeri (Terengganu) bazirkan duit membeli pokok tersebut kini tuduh (pokok) sudah mati pula.
"Apa motif cuba menimbulkan isu ini semula sedangkan pokok tersebut tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri, ia ditanam kontraktor utama (Bandar Baru Kuala Nerus)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kononnya pokok benang sutera terbabit yang ditanam pada 22 Disember lalu telah mati baru-baru ini berikutan keadaan kesemua daunnya yang gugur baru-baru ini. - K! ONLINE

Sunday, May 21, 2017

Nelayan Vietnam tangkap gamat secara haram ditahan APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEMAMAN - Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur berjaya mematahkan kegiatan sekumpulan nelayan warga Vietnam yang menangkap 50 kilogram (kg) gamat secara haram di perairan Kertih dekat sini Jumaat lalu.
Kesemua tekong dan awak-awak nelayan asing berusia dalam lingkungan 26 dan 57 tahun itu berjaya ditahan selepas hampir sejam dikejar kapal peronda APMM pada pukul 10.30 pagi.
Pengarah Maritim Pangkalan Kemaman, Mohd. Marmizi Mohd. Nor berkata, kapal peronda APMM yang sedang melakukan rondaan rutin telah terserempak bot dinaiki nelayan Vietnam tersebut pada kedudukan 13 batu nautika dari Tanjung Labohan, Kertih dekat sini.
"Sewaktu ditemui kesemua nelayan asing berkenaan sedang asyik menangkap gamat di perairan itu.
"Mereka tidak memberi kerjasama kepada pasukan penguatkuasa APMM sebalik bertindak melarikan diri denga memecut laju bot namun berjaya dipintas kira-kira sejam kemudian," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

1,500 PKS bakal sertai DFTZ

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasarkan seramai  1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan disenaraikan dalam Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) menjelang akhir tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) dan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) telah mengenal pasti sebahagian daripada PKS yang berpotensi untuk menyertai zon yang bakal menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud milik jutawan Internet dari China, Jack Ma.

“DFTZ akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan.

“Pemilihan usahawan akan dilakukan secara inklusif melibatkan pelbagai jenis produk dan kawasan di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Minggu PKS peringkat kebangsaan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mustapa menjelaskan, terdapat tiga kriteria asas telah ditetapkan bagi pemilihan tersebut iaitu usahawan terbabit perlu menetapi definisi PKS, mempunyai kemampuan untuk mengeksport dan memiliki sijil yang diperlukan bagi perdagangan digital rentas sempadan tersebut.

Tambah beliau, pelaburan Alibaba Group menerusi DFTZ merupakan pemangkin yang cukup signifikan kepada kemajuan PKS tempatan untuk membantu produk-produk keluaran industri terbabit menembusi pasaran global.

“Negara China sendiri merupakan pasaran yang cukup besar. Buat masa ini, antara produk PKS tempatan yang mendapat sambutan hangat di pasaran China adalah produk minuman siap sedia dan makanan berasaskan durian," katanya.

Saturday, May 20, 2017

AirAsia lancar laluan Kuala Terengganu-Johor Bahru bermula 22 Jun ini

KUALA TERENGGANU – AirAsia Bhd. (AirAsia) melancarkan laluan baharu dari Kuala Terengganu ke  Johor Bahru bermula 22 Jun ini.

Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, buat permulaan, perkhidmatan tersebut akan menawarkan kekerapan tiga penerbangan seminggu.

“Jabatan Penerbangan Awam te­lah meluluskan jadual penerbangan kedua-dua hala antara Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman.
Aziz menjelaskan, AirAsia juga akan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan bas ulang-alik dari LTAS ke Singapura bagi menarik pelancong dari negara jiran tersebut menggunakan perkhidmatan penerbangan Johor Bahru-Kuala Terengganu berkenaan.

“Kemudahan bas ulang-alik itu juga disasarkan kepada pelancong China yang transit di Singapura. Berdasarkan maklum balas, pengunjung dari negara tersebut gemar bercuti di pulau peranginan di  ne­geri ini seperti Pulau Perhentian serta Pulau Redang dan pengenalan laluan baharu ini memudahkan akses mereka ke Terengganu,” ujarnya.

Friday, May 19, 2017

Pokok Ceiba chodatii botak akibat cuaca panas

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya pokok benang sutera atau nama saintifiknya, Ceiba chodatii yang dianggarkan berharga RM180,000 dan menjadi mercu tanda unik di Bandar Baharu Kuala Nerus sejak lima bulan lalu telah mati.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pokok gergasi berasal dari Brazil itu sebenarnya hanya mengalami keguguran daun berikutan musim panas terik yang melanda negeri Pantai Timur sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Penge­rusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Rosli Othman berkata, berdasarkan maklumat daripada kontraktor landskap terlibat, keguguran daun pokok Ceiba chodatii berkenaan merupakan proses normal bagi pokok yang  dipindahkan dari nurseri ke tapak berikutan faktor cuaca.

Beliau berkata, pemeriksaan juga mendapati pro­ses pertumbuhan semula pucuk daun pada ranting-ranting pokok itu telah bermula beberapa hari lalu dan mula mengeluarkan tunas.

Makan Konate bakal kembali perkuat jentera tengah T-Team

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mahu ‘merujuk’ semula de­ngan ‘ayam tambatannya’ musim lalu, Makan Konate yang sebelum ini terpaksa dilepaskan akibat kecederaan bagi memperkuatkan jentera The Titans menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, lapor MOHD. AZLI ADLAN.

Kemasukan semula Konate, 26, pasti memberi khabar gembira buat peminat The Titans kerana pemain kelahiran  Mali itu telah memberi impak besar kepada kelab pada musim lepas.

Bekas pemain kelab ternama Indonesia, Persib Bandung itu bukan sahaja meledak enam gol daripada 21 penampilan, malah telah memainkan watak penting mengemudi jentera tengah T-Team sehingga mampu mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd. Azhari Salim mengesahkan Konate merupakan salah seorang pemain yang ingin diikat pasukannya pada jendela perpindahan Liga M yang mula dibuka Isnin lalu.

“Kami sedang melakukan run­dingan dengan ejen pemain itu di Indonesia dan sekiranya mereka bersetuju dengan tawaran yang diberikan, dia bakal beraksi semula dengan skuad The Titans,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Azhari berkata, sebelum kontrak ditandatangani, Konate masih tetap perlu diuji bagi memastikan dia benar-benar cergas dan bebas sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami pemain itu pada aksi separuh akhir Piala Malaysia menentang Sela­ngor akhir tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan salah seorang daripada empat pemain import sedia ada terutama yang beraksi di posisi tengah iaitu Farhod Tadjiyev, Dilshod Sherofetdinov atau Mamadou Samassa bakal digugurkan bagi memberi laluan kepada Konate.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga mengesahkan tiga pemain tempatan telah dikenal pasti untuk dibawa masuk dalam masa terdekat bagi memperkuatkan lagi skuad The Titans.

“Dua daripada mereka kini beraksi dalam saingan Liga Premier, manakala seorang lagi merupakan anak jati Terengganu yang merupakan pemain pasukan Liga Super.

“Saya belum boleh umumkan nama mereka kerana ia masih dalam peringkat rundingan yang dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini,” katanya.

Thursday, May 18, 2017

Keputusan lepas dan bebas bekas Hakim Syarie Terengganu tuduhan ingkar titah sultan dibatal

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membatalkan keputusan melepas dan membebaskan bekas Ketua Hakim Syarie Terengganu, Ismail Yahaya daripada pertuduhan menghina Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta mempertikaikan titah Sultan Terengganu dalam penstrukturan semula jawatankuasa agama itu pada tahun 2012.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menerusi Hakim Syarie Mohd. Nazri Yusof pada 1 September tahun lalu memerintahkan agar Ismail dilepas dan dibebaskan atas dua pertuduhan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang diketuai Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut secara sebulat suara menerima rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengarahkan kes tersebut di bawa semula ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk dibicarakan semula.
Sehubungan itu, panel hakim yang turut disertai Datuk Seri Dr. Md. Yusof Che Teh dan Datuk Daud Mohamad tersebut telah mengarahkan Ismail, 61, membela diri di mahkamah tersebut pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - K! ONLINE

1,500 perusahaan kecil dan sederhana tempatan tersenarai dalam Zon Perdagangan Bebas Digital menjelang akhir tahun ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasar kouta 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang ditetapkan bagi menyertai Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang bakal dilancarkan dalam tempoh lima bulan lagi dapat dipenuhi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC) dan SME Corp. Malaysia (SME Corp.) telah mengenal pasti sebahagian daripada PKS tempatan berpotensi berkenaan bagi menyertai DFTZ yang bakal menggunakan platform e-dagang Alibaba iCloud milik jutawan Internet dari China, Jack Ma.
"DFTZ akan mula beroperasi pada 1 Oktober depan. Kita yakin kesemua 1,500 PKS tempatan yang disasarkan dapat menyertai platform dagangan rentas sempadan secara dalam talian itu menjelang hujung tahun ini.
"Pemilihan akan dilakukan secara inklusif melibatkan pelbagai jenis produk dan kawasan di seluruh Malaysia," katanya selepas melancarkan Minggu PKS peringkat kebangsaan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Merokok seawal tahun satu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tabiat merokok dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini semakin membimbangkan apabila kajian mendapati, seramai 1,276 murid terlibat dengan gejala tidak sihat itu pada tahun lalu.

Lebih memeranjatkan, kajian melalui program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu mendedahkan murid tahun satu turut terlibat dengan gejala tersebut.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar (gambar kecil) berkata, jumlah itu merupakan 1.2 peratus daripada 105,162 murid dan pelajar yang disaring melalui program penjagaan gigi kelolaan JKNT.

“Seramai 150 murid sekolah rendah terma­suk seorang murid darjah satu dan dua orang darjah dua me­ngaku mempu­nyai tabiat me­rokok.
“Selebihnya 1,126 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri ini juga dikesan merokok menerusi program Kotak pada tahun 2016,” katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat Terengganu di sini semalam.

Tambahnya, setakat ini, 274 pelajar atau 21.47 peratus daripada golongan tersebut telah berjaya berhenti daripada tabiat merokok menerusi sesi kaunseling yang dijalankan oleh JKNT.

Menurut Mohammad, dianggarkan terdapat lima juta atau 23 peratus daripada penduduk berusia 15 tahun ke atas di negara ini mempunyai tabiat merokok.

“Berhentilah merokok kerana ia akan menjejaskan kesihatan gigi selain meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit gusi, kanser mulut dan kanser lidah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Kajian Kesihatan Mulut Kebangsaan 2010 menunjukkan sembilan daripada 10 orang dewasa di Terengganu mengalami kerosakan sekurang-kurangnya dua batang gigi.

“Kajian sama juga mendapati hanya empat daripada 10 orang dewasa di negeri ini masih mempunyai gigi asli dan tidak memerlukan gigi palsu.

“Ia menunjukkan masih ramai orang dewasa di Terengganu belum mahir dalam aspek penjagaan gigi dengan hampir lima peratus daripada golongan itu tidak pernah mendapatkan rawatan pergigian,” katanya.