Translate

Friday, November 25, 2022

Balu guru kematian suami dapat RM29,000

 

HULU TERENGGANU – Seorang balu guru terharu menerima manfaat Skim Keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM29,000, tidak sampai tiga minggu selepas kematian suaminya.

 Jalimie Abdul Jalil, 52, berkata, suaminya, Allahyarham Shairun Mahyuddin Ibrahim meninggal dunia akibat kanser hati pada 3 November lalu.

 “Permohonan manfaat Skim Keahlian YGMB dibuat pada minggu lepas (14 November lalu). Alhamdulillah manfaat tersebut diterima hari ini (semalam),” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil di sini semalam. 

Terdahulu, beliau menerima manfaat khairat kematian tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat. 

Selain Jalimie, dua lagi penerima manfaat khairat kematian tersebut ialah waris Norhisyamuddin Abd. Ghani dan Mohd. Zaki Mat Salleh. 

Kedua-dua waris kepada Allahyarham yang meninggal dunia baru-baru ini masing-masing menerima manfaat khairat kematian sebanyak RM8,000 dan RM27,024.79.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah menggalakkan lebih ramai guru menyertai Skim Keahlian YGMB yang terbukti memberi banyak manfaat.

 “Ramai peserta skim keahlian di negeri ini yang ditimpa musibah terutama penyakit kronik dan kematian telah mendapat manfaat. 

“Permohonan untuk mendapatkan manfaat tidak perlu tunggu lama, terus diluluskan walaupun ahli yang baru menyertai skim. 

Setakat ini lebih 10,000 guru Terengganu telah menyertainya,

Thursday, November 24, 2022

Pesawat kurang mendarat, pendapatan pemandu teksi terjejas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pendapatan yang tidak menentu walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik meresahkan 55 pemandu teksi dan kereta sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini.

Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Ke­reta Sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Rustam Mokhtar berkata, rata-rata pendapatan bulanan mereka kini cuma RM800 sebulan.

“Walaupun fasa pandemik Covid-19 sudah berakhir, kadar pendaratan pesawat di lapangan terbang ini tidak ba­nyak berubah dengan hanya beroperasi pada waktu siang.

“Ini menyebabkan keba­nyakan kami hanya mendapat maksimum dua trip sehari yang ha­nya rata-ratanya pelancong yang mahu mengunjungi pulau pe­ranginan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Rustam berkata, pendapatan mereka dijangka terus merosot pada musim tengkujuh ini kerana kesemua pulau peranginan di Terengganu menutup operasinya.

Selain itu, katanya, pemandu teksi dan kereta sewa juga me­nerima persaingan daripada pengusaha e-hailing yang me­ngambil penumpang di lapa­ngan terbang secara haram.

“Mereka bijak melarikan diri­ apabila penguat kuasa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) mem­buat pemeriksaan.

“Bukan untuk menyekat rezeki pemandu e-hailing, tetapi ikutlah peraturan. Kami juga hanya dibenarkan beroperasi di kawasan lapangan terbang,” katanya.

Rustam berkata, setakat ini hanya penyandang Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang bersimpati dengan menyumbang barang keperluan seperti beras dan minyak masak kepada ahli persatuannya setiap bulan sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Khai­ruddin yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala­ Nerus berazam untuk terus membela nasib pemandu teksi dan kereta sewa Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Sekiranya saya terpilih lagi menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus, saya akan memperjuangkan bantuan bulanan kepada golongan tersebut.

“Mereka umpama nelayan dan penoreh getah yang me­nerima bantuan kerajaan, malah pendapatan golongan ini terjejas sepanjang tahun bukan hanya di musim tengkujuh,” katanya.

PRU15: BN tidak perlu sertai kerajaan, kekal pembangkang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) disaran agar kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan campuran pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha UMNO bahagian Setiu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, ia merupakan suara sebahagian akar umbi parti berkenaan yang seramai kira-kira tiga juta.

Beliau berkata, pilihan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran memiliki mudaratnya tersendiri terhadap BN.

“Gabungan dengan PH mungkin paling stabil bagi membentuk kerajaan tetapi jika disertai, UMNO perlu membayarnya pada harga yang mahal.

“Prinsip No Anwar, No DAP (Tidak Anwar dan DAP) adalah keputusan majoriti akar umbi (UMNO) yang tidak boleh dijual beli,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Iskandar berkata, penyertaan bersama PN juga tidak direstui kerana matlamat penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membubarkan UMNO.

Beliau berkata, tidak mustahil sebahagian besar ahli UMNO bakal meninggalkan parti sebagai protes sekiranya membantu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, pilihan terbaik BN ialah tidak menyertai kerajaan dan menjadi pembangkang yang baik.

“Hormati keputusan rakyat menolak BN dan terus berkhidmat menjadi mata dan telinga rakyat menegur kerajaan,” katanya.

Mohd. Iskandar berkata, walaupun kerajaan mungkin sukar dibentuk tanpa penyertaan BN namun itu urusan PH dan PN yang memiliki kerusi terbanyak di Dewan Rakyat.

“Sepatutnya PH dan PN yang bergabung membentuk kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Wednesday, November 23, 2022

Balu guru tiga minggu kematian suami terima manfaat YGMB

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang balu guru terharu menerima manfaat Skim Keahlian Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM29,000 tidak sampai tiga minggu selepas kematian suaminya.

Jalimie Abdul Jalil, 52, berkata, suaminya, Allahyarham Shairun Mahyuddin Ibrahim meninggal dunia akibat kanser hati pada 3 November lalu.

“Permohonan manfaat Skim Keahlian YGMB dibuat pada minggu lepas (14 November lalu).

“Alhamdulillah manfaat tersebut diterima hari ini (semalam),” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Ajil di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima manfaat khairat kematian tersebut daripada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Selain Jalimie, dua lagi penerima manfaat khairat kematian tersebut ialah waris Norhisyamuddin Abd. Ghani dan Mohd. Zaki Mat Salleh.

Kedua-dua waris kedua-dua yang meninggal dunia baru-baru ini masing-masing menerima manfaat khairat kematian RM8,000 dan RM27,024.79. – KOSMO! ONLINE

4 cawangan Bersatu Terengganu lumpuh

 

HULU TERENGGANU – Kurang 36 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok, seramai 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu bertindak keluar daripada parti. 

Mereka yang diketuai bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Zamani Mamat beralih menyokong calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat. 

Penghijrahan mereka melumpuhkan sekurang-kurangnya empat cawangan Bersatu di daerah ini. 

Zamani berkata, mereka akhirnya sedar hanya BN mampu menawarkan kestabilan kepada negara.

 “Penting untuk kita menangkan Datuk Rozi (calon BN) bagi memastikan Parlimen Hulu Terengganu menyumbang satu kerusi pembentukan kerajaan.

 “Lagi pun kami telah menilai kepimpinan Datuk Rosol (calon Perikatan Nasional) yang kini menerajui Bersatu Bahagian Hulu Terengganu,” katanya di sini semalam. 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Alias Abdullah berkata, mereka lebih yakin kemampuan Rozi untuk berkhidmat di Parlimen Hulu Terengganu.

 “Rata-rata kami merupakan ahli UMNO sebelum mengikut Datuk Rosol memasuki Bersatu pada Disember 2018. “Baru kami sedar Bersatu tiada akar umbi yang kuat dan tidak sebaik UMNO dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya

PRU15: Senarai calon Parlimen di Terengganu

PETALING JAYA – Berikut adalah senarai calon yang akan bertanding di kerusi-kerusi Parlimen di Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15):-

P033 – BESUT

Calon

  1. Datuk Nawi Mohamad (BN)
  2. Abd. Rahman @ Abd. Aziz Abas (PH) 
  3. Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang)
  4. Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh  (Pas)

Penyandang : Tan Sri Idris Jusoh (BN)

Pengundi Berdaftar : 111,650

P034 – SETIU 

Calon:

  1. Abdul Rahman Mat Yasin (BN)
  2. Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas)
  3. Mohamad Ngah (PH)
  4. Wan Adnan Wan Ali (Pejuang)

Penyandang : Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas)

Pengundi Berdaftar : 107,294

P035 – KUALA NERUS

Calon

  1. Datuk Dr. Alias Razak  (PN)
  2. Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali (BN)
  3. Azaha Wahid (Pejuang)
  4. Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH)

Penyandang : Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Bebas)

Pengundi Berdaftar : 105,952

P036 – KUALA TERENGGANU

Calon

  1. Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang)
  2. Datuk Zubir Embong (BN)
  3. Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) 
  4. Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN)

Penyandang : Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas)

Pengundi Berdaftar : 123,305

P037 – MARANG

Calon

  1. Jasmira Othman (BN)
  2. Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN)
  3. Azhar Abdul Shukur (PH)
  4. Zarawi Sulong (Pejuang)

Penyandang : Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas)

Pengundi Berdaftar : 131,001

P038 – HULU TERENGGANU 

Calon

  1. Datuk Rozi Mamat (BN)
  2. Mohd. Khadri Abdullah (Pejuang)
  3. 3.Datuk Rosol Wahid (PN)
  4. Alias Ismail (PH)

Penyandang : Datuk Rosol Wahid (Bersatu)

Pengundi Berdaftar : 87,917

P039 – DUNGUN

Calon 

  1. Ghazali Ismail (Bebas) 
  2. 2.Nurhisam Johari  (BN)
  3. Noraisah Hasan (Pejuang)
  4. Wan Hassan Mohd. Ramli (PN) 
  5. Datuk Dr. Mohd. Johari Mohamad (PH)

Penyandang : Wan Hassan Mohd. Ramli (Pas)

Pengundi Berdaftar: 115,559

P040 – KEMAMAN

Calon     

  1. Rosli Ab. Ghani (Pejuang)
  2. Che Alias Hamid (PN)
  3. Datuk Seri Ahmad Said (BN)
  4. Hasuni Sudin (PH)

Penyandang : Alias Abd. Hamid (Pas)

Pengundi Berdaftar: 139,423

Suri rumah sakit saraf cekal jaga ibu bapa terlantar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Biarpun berdepan masalah kesihatan, seorang suri rumah tetap menggagahkan diri berbakti menjaga ibu bapanya yang semakin uzur.

Rohani Tarzan, 51, berkata, penyakit saraf otak yang dihidapi ibunya, Sapiah Mohd. Boto’, 77, semakin kronik apabila dia ­hanya mampu terlantar atas tilam sejak lebih dua bulan lalu.

“Ibu menderita pe­nyakit itu sejak tujuh tahun lalu. Mulanya dia menjadi pelupa dan nyanyuk, namun kini saraf otak semakin membengkak menyebabkan tidak mampu bangun.

“Ayah, Tarzan Abd. Rahman, 83, terlalu uzur dengan pelbagai komplikasi kesihatan seperti masalah usus, tekanan darah tinggi dan rabun kronik,” katanya.

Rohani berkata, dia juga menghidap penyakit saraf berkaitan tulang belakang yang dideritai sejak 10 tahun lalu.

Terang ibu kepada empat anak itu, penyakit tersebut akan menyebabkan sendi-sendi kaki dan tangan membengkak sekiranya melakukan aktiviti fizikal terlalu berat.

“Tugas menguruskan ibu bapa yang uzur sebenarnya agak berat dan kakak, Norlida, 58, yang menghidap penyakit buah pinggang akan membantu menguruskan ibu bapa jika saya kurang sihat,” katanya.

Rohani berkata, mereka tidak mampu menyediakan peralatan kesihatan seperti katil boleh laras, kerusi roda dan alat bantu berjalan buat ibu bapanya di­sebabkan masalah kewangan.

Jelasnya, suaminya yang bekerja sebagai pengawal ke­selamatan cuma berpendapata­n RM1,500 sebulan sedangkan empat anaknya berusia 10 hingga 18 tahun masih bersekolah.

“Bagi menambah pendapatan, dia bangun seawal pukul 4 pagi untuk membuat kuih dan dihantar ke gerai-gerai berhampiran dengan purata pendapatan RM500 sebulan,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Rohani 1150041000119261 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi talian 0129648835.

PRU15: PN umum calon di lapan Parlimen Terengganu

Berikut merupakan senarai calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di lapan kerusi Parlimen di Terengganu:

P033 BESUT – Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pas)

P034 SETIU – Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas)

P035 KUALA NERUS – Datuk Dr. Alias Razak (Pas)

P036 KUALA TERENGGANU – Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas)

P037 MARANG – Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas)

P038 HULU TERENGGANU – Datuk Rosol Wahid (Bersatu)

P039 DUNGUN – Wan Hassan Mohd. Ramli (Pas)

P040 KEMAMAN – Alias Abd. Hamid (Pas)

Tuesday, November 22, 2022

PRU15: Senarai penuh keputusan Parlimen di Terengganu

Berikut merupakan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Terengganu:

P033 – BESUT

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Pas) MENANG
Jumlah undi : 49,569 undi
Majoriti : 18,666 undi

Datuk Nawi Mohamad (BN) 30,903
Abd. Rahman @ Abd. Aziz Abas (PH) 4,339 Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) 553

Penyandang : Tan Sri Idris Jusoh (BN)
Pengundi Berdaftar : 111,650

P034 – SETIU

Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas) MENANG
Jumlah undi : 50,768
Jumlah majoriti : 19,032

Datuk Abdul Rahman Mat Yasin (BN) 31,736
Mohamad Ngah (PH) 2,125
Wan Adnan Wan Ali (Pejuang) 203

Penyandang : Shaharizukirnain Abdul Kadir (Pas)
Pengundi Berdaftar : 107,294

P035 – KUALA NERUS

Datuk Dr. Alias Razak (Pas) MENANG
Jumlah undi : 56,697
Jumlah Majoriti : 29,765

Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali (BN) 26, 932
Azaha Wahid (Pejuang) 291
Datuk Seri Suhaimi Hashim (PH) 3,708

Penyandang : Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali (Bebas)
Pengundi Berdaftar : 105,952

P036 – KUALA TERENGGANU

Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas) MENANG

Jumlah undi : 63,016 undi
Majoriti : 40,907 undi

Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang) 481
Datuk Zubir Embong (BN) 22,109
Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) 10,946

Penyandang : Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (Pas)
Pengundi Berdaftar : 123,305

P037 – MARANG

Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas) MENANG
Jumlah undi : 73,115
Jumlah majoriti : 41,729

Jasmira Othman (BN) 31,386
Azhar Abdul Shukur (PH) 4,140
Zarawi Sulong (Pejuang) 427

Penyandang : Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas)
Pengundi Berdaftar : 131,001

P038 – HULU TERENGGANU

Datuk Rosol Wahid (Pas) MENANG
Jumlah undi : 42,910
Jumlah majoriti : 15,734

Datuk Rozi Mamat (BN) 27,176
Mohd. Khadri Abdullah (Pejuang) 182
Alias Ismail (PH) 1,740

Penyandang : Datuk Rosol Wahid (Bersatu)
Pengundi Berdaftar : 87,917

P039 – DUNGUN

Wan Hassan Mohd. Ramli (Pas) MENANG
Jumlah undi : 59,720
Majoriti : 34,105 undi

Ghazali Ismail (Bebas) 305
Nurhisam Johari (BN) 25,615
Noraisah Hasan (Pejuang) 322
Datuk Dr. Mohd. Johari Mohamad (PH) 5,307

Penyandang : Wan Hassan Mohd. Ramli (Pas)
Pengundi Berdaftar: 115,559

P040 – KEMAMAN

Che Alias Abd. Hamid (PN) MENANG
Jumlah undi : 65,714
Jumlah majoriti : 27,179

Rosli Ab. Ghani (Pejuang) 506
Datuk Seri Ahmad Said (BN) 38,535
Hasuni Sudin (PH) 8,340

Penyandang : Che Alias Abd. Hamid (Pas)
Pengundi Berdaftar: 139,423

KOSMO! ONLINE

PRU15: Empat ceramah politik tanpa permit dikesan di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu mengesan empat ceramah politik yang dianjurkan tanpa permit di seluruh negeri ini pada hari pertama kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semalam.

Ketua Urusetia PRU15 Kontinjen Terengganu, Superintendan Mohd. Aluwi Husain berkata, pihak polis telah bertindak pantas menyuraikan ceramah politik tanpa permit berkenaan.

“Hari pertama kempen (PRU15) semalam (kelmarin), sebanyak 14 aktiviti ceramah (politik) diadakan di seluruh Terengganu. Sebanyak 10 memiliki permit manakala empat pula tiada.

“Saya nasihatkan parti-parti politik yang bertanding agar mengemukakan permohonan permit untuk mengadakan aktiviti berbentuk ceramah di ibu pejabat polis daerah masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Aluwi juga menasihatkan semua bahan-bahan kempen yang dipasang parti politik tidak mengganggu pandangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

Tambah beliau, pihak terlibat berkenaan juga diingatkan agar tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

“Patuhi juga segala peruntukan undang-undang seperti Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Polis akan sentiasa memantau aktiviti ceramah dan kempen parti-parti yang bertanding sepanjang tempoh berkempen PRU15,” katanya. – KOSMO! ONLINE

PRU15: Calon Pas tidak wajib isytihar harta

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Tiada keperluan buat calon Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, calon-calon Pas bukan sahaja rata-ratanya tidak memiliki banyak harta malah cukup dikenali pengundi setempat.

“Harta kita (calon Pas) tidak banyak, orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu tidak sampai juta. Jadi tidak perlu isytihar.

“Orang kita (Pas) yang terlibat dengan politik ini berniaga pun kena sekat macam-macam,” katanya ketika ditemui di Rusila di sini hari ini.

Beliau mengulas pengisytiharan harta yang diwajibkan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding pada PRU15 ini.

Abdul Hadi berkata, beliau percaya keputusan tidak mewajibkan calon Pas untuk mengisytihar harta masing-masing bukanlah isu besar.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu juga tidak kisah sekiranya ia dipolitikkan oleh parti-parti politik lain. – KOSMO! ONLINE

145 sekolah pondok Terengganu berjaya didaftarkan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kesemua 145 sekolah pondok di Terengganu telah berjaya didaftarkan secara rasmi dengan kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat berkata, ia dilaksanakan menerusi program pemutihan sekolah pondok yang bermula pada tahun 2018.

“Kita telah melakukan pemutihan dengan memudahkan proses pendaftaran sekolah pondok di negeri ini.

“Sehubungan itu, kita percaya tiada lagi sekolah pondok yang beroperasi tanpa berdaftar dengan kerajaan negeri Terengganu,” katanya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan pengurusan kepada sekolah pondok dan sekolah agama persendirian Terengganu dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM3.39 juta.

Satiful Bahri berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu sekolah pondok dan sekolah agama persendirian terbabit menambah baik premis dan mutu pengajaran di pusat pengajian masing-masing.

Beliau berkata, bantuan pengurusan perkapita diagihkan berdasarkan bilangan pelajar yang terdapat di pusat pengajian terlibat.

“Terima kasih juga kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga menyediakan peruntukan pembangunan sekolah pondok dan kita membantu menambah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Jangan sampai nyawa kami melayang angkara lembu’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Tindakan pemilik lembu membiarkan puluhan haiwan ternakan mereka berkeliaran mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya di sekitar Kampung Tok Jembal dan Teluk Ketapang di sini.

Keadaan itu menyebabkan ada antara pengguna jalan raya mendakwa hampir kemalangan apabila lembu berkenaan melintas secara tiba-tiba.

Seorang pengguna, Muhammad Imran Ghazali, 29, berkata, pemanduannya di laluan antara dua perkampungan yang terletak di pesisir pantai tersebut sering terganggu dengan kelibat lembu yang tiba-tiba melintas jalan.

“Kita kena selalu berhati-hati dan memperlahankan pemanduan apabila melalui kawasan tersebut kerana terlalu banyak lembu berkeliaran.

“Saya kesal sikap penternak haiwan berkenaan yang mementingkan diri sendiri dengan mengamal konsep lepas bebas sehingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.


Muhammad Imran berkata, aliran trafik tinggi dicatatkan di laluan Kampung Tok Jembal dan Teluk Ketapang kerana laluan berkenaan merupakan antara jalan utama untuk ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini dan beberapa destinasi pelancongan di daerah ini.

Keluhan sama disuarakan Nur Maisarah Mohd. Shahir, 35, yang berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih proaktif mengatasi isu ternakan berkeliaran.

“Dahulu sewaktu kerap berlaku kemalangan melibatkan haiwan ternakan berkeliaran, PBT melakukan penguatkuasaan menangkap lembu-lembu ini, namun kini dilihat sudah berkurangan.

“Janganlah tunggu kecelakaan dan kehilangan nyawa baru hendak aktifkan semula. Penguatkuasaan harus tegas bukanlah secara bermusim,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Maisarah berkata, kerajaan negeri Terengganu juga harus merangka pendekatan efektif bagi memastikan penternak lebih beretika selain tidak menyusahkan mana-mana pihak.

PRU15: Terengganu umum cuti ganti kelepasan am pada Ahad

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan Ahad ini sebagai cuti am.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, ia sebagai ganti cuti kelepasan am sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Jumaat dan Sabtu ini.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) telah mengumumkan 18 dan 19 November ini sebagai hari kelepasan am seluruh negara bagi memudahkan rakyat keluar mengundi.

“Memandangkan ia jatuh pada hari kelepasan mingguan bagi Terengganu iaitu Jumaat dan Sabtu, hari kelepasan am pada Sabtu ini akan diganti pada hari berikutnya (Ahad),” katanya di sini hari ini.

Tengku Farok Husin berkata, ia selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951. – KOSMO! ONLINE

Monday, November 21, 2022

PRU15: Pas ambil tindakan ahli agresif, cetus provokasi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Penceramah dan ahli Pas yang didapati mengeluarkan kenyataan provokasi serta berkelakuan agresif sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini telah diambil tindakan oleh parti tersebut.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil bagi mengelakkan ia berlarutan sehingga menyebabkan sebarang insiden yang boleh mengundang huru-hara.

“Mana-mana kalangan kita (Pas) yang mengambil pendekatan menyerang (agresif), kita gam dan hentikan mereka daripada ceramah.

“Kita dapat menenangkan keadaan. Pantau mereka kerana dasar Pas (ialah) menerang bukan menyerang,” katanya selepas menyampaikan ceramah Grand Finale Perikatan Nasional (PN) di sini malam tadi.

Sebelum ini, sekurang-kurangnya dua penceramah iaitu Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir dan pelakon, Zul Huzaimy dikesan mengeluarkan kenyataan menggunakan agama secara keterlaluan di pentas Pas.

Selain itu, sekumpulan penyokong Pas juga didakwa bertindak agresif memprovokasi wakil Pakatan Harapan (PH) yang cuba memasang bendera parti di Batu Enam, Kuala Nerus pada Selasa lalu.

Abdul Hadi berkata, ia merupakan kes terpencil dan bilangan ahli Pas yang dikenakan tindakan atas kesalahan terbabit sepanjang kempen PRU15 ini tidak ramai.

Timbalan Pengerusi PN tersebut juga menasihatkan ahli dan penyokong Pas agar menjaga etika dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi pihak lawan. – KOSMO! ONLINE

PRU15: Abdul Hadi selesai mengundi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selesai membuang undi di pusat pengundian, di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini hari ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Marang itu tiba di pusat mengundi pada pukul 8.50 pagi sebelum selesai membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.

Penyandang kerusi Parlimen Marang itu ditemani isterinya, Tok Puan Seri Zainab Awang Ngah dan anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil.

Seramai 4,000 pengundi berdaftar layak untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini di tujuh saluran disediakan di pusat terbabit.

Pengundi mengambil kesempatan cuaca baik pada pagi ini untuk keluar mengundi dengan beratur di pekarangan pusat mengundi seawal pukul 7.30 pagi.

Pada PRU15 ini, Abdul Hadi dicabar calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Abdul Shukur dan Dr. Zarawi Sulong (Parti Pejuang Tanah Air). – KOSMO! ONLINE

PRU15: Balu Menteri Besar Terengganu naik ambulans untuk mengundi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Keuzuran menderita penyakit saraf tidak menjadi halangan buat seorang wanita warga emas berusia 89 tahun untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Fatimah Ismail yang merupakan balu Menteri Besar Terengganu keenam, Allahyarham Mohd. Daud Samad begitu bersemangat ke pusat pengundian, Sekolah Kebangsaan Rusila di sini dengan menaiki ambulans.

Wanita kepada 13 anak, 32 cucu dan lebih 100 cicit yang menderita penyakit saraf sejak lima tahun lalu tiba di pusat mengundi itu dengan ditemani salah seorang anaknya pada pukul 11 pagi.

“Penyakit saraf yang saya hadapi sejak tahun 2017 menyebabkan pergerakan terbatas namun ia bukan alasan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Ini bukan kali pertama saya ke pusat mengundi dengan ambulans. Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 pun sama,” katanya ketika ditemui di SK Rusila di sini hari ini.

Suami Fatimah iaitu Allahyarham Mohd. Daud pernah menjadi Menteri Besar Terengganu antara tahun 1959 hingga 1961.

Wanita warga emas yang menetap di Kampung Rusila berkata, beliau begitu memahami kepentingan mengundi pada pilihan raya umum. – KOSMO! ONLINE

PRU15: [TIDAK RASMI] Abdul Hadi dahului di Parlimen Marang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Calon Perikatan Nasional (PN) , Tan Sri Abdul Hadi Awang kini mendahului empat calon lain di Parlimen Marang dengan majoriti 2,149 undi.

Setakat pukul 8. 10 malam, Abdul Hadi mendapat 4, 396 undi daripada 15 peti undi sudah diterima.

Calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman pula menerima 2,247 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab. Shukur (168 undi) dan calon Parti Pejuang Tanah Air, Dr. Zarawi Sulong (42 undi).

Pusat Penjumlahan Undi Parlimen Marang bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijalankan di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini. – KOSMO! ONLINE

PRU15: [TIDAK RASMI] Mohd. Khairuddin jauh ketinggalan di Kuala Nerus

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Alias Razak selesa mendahului tiga calon lain dengan majoriti 12,956 undi di Parlimen Kuala Nerus.

Setakat pukul 9.27 malam ini dan selepas 83 daripada184 peti undi dikira, beliau kini memperoleh sebanyak 25,156 undi.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali pula mendapat 12,100 undi diikuti Datuk Seri Suhaimi Hashim (Pakatan Harapan) dengan 1,613 undi manakala Azaha Wahid (Parti Pejuang Tanah Air) pula 120 undi.

Pusat Penjumlahan Undi Rasmi Parlimen Kuala Nerus bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijalankan di Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus di sini. – KOSMO! ONLINE

Tujuh kertas siasatan kesalahan pilihan raya dibuka di Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak tujuh kertas siasatan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya dibuka di Terengganu sepanjang tempoh dua minggu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.

Ketua Urusetia PRU15 Kontijen Terengganu, Superintendan Mohd. Aluwi Husain berkata,
enam kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 manakala satu lagi dibawah Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Laporan polis berhubung tersebut diterima dari daerah ini iaitu tiga kes dan masing-masing satu di Besut, Kemaman, Dungun dan Marang.

“Begitupun, secara keseluruhannya perjalanan PRU15 di Terengganu berlangsung dengan tenteram tanpa sebarang insiden menggugat ketenteraman awam,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Aluwi berkata, setakat ini, situasi di negeri ini kekal terkawal dan pemantauan akan terus dilakukan sehinggalah kerajaan Persekutuan dibentuk. – KOSMO! ONLINE

Thursday, November 17, 2022

Penduduk bantah projek mewah Pulau Perhentian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT- Kerajaan negeri Terengganu digesa mendengar keluhan lebih 2,000 penduduk Pulau Perhentian yang menggesa agar projek pembinaan resort mewah di sebuah teluk di situ dibatalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman berkata, kerisauan anak jati Pulau Perhentian tersebut ada asasnya.

“Tanah seluas kira-kira 42 hektar yang diserahkan kepada syarikat gergasi bagi projek mega itu amat strategik dan penting bagi penduduk asal pulau berkenaan.

“Ia satu-satu kawasan landai dan pantai awam yang masih tinggal untuk kegunaan penduduk Pulau Perhentian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pada 3 November lalu, Kosmo! melaporkan lebih 2,000 penduduk Pulau Perhentian membantah projek pembinaan resort mewah di sebuah teluk yang terletak di Pulau Perhentian Besar.

Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Perhentian, Zainuddin Mohamad berkata, kawasan itu amat signi kan kepada warga tempatan kerana mempunyai tapak pendaratan helikopter yang amat penting bagi pengagihan makanan dan kes kecemasan terutama pada musim tengkujuh.

Tengku Zaihan berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, tapak pendaratan helikopter tersebut adalah termasuk dalam tanah yang diserahkan oleh kerajaan negeri bagi projek mega tersebut.

Ujarnya, beliau sedar minat besar syarikat swasta terbabit untuk memajukan kawasan berkenaan berikutan lokasi berkenaan mempunyai daya komersial.

“Kawasan di teluk itu memiliki dua pantai yang masing-masing menghadap Pulau Perhentian Kecil dan tanah besar.

“Pesisir pantainya pula kaya dengan terumbu karang bagi aktiviti snorkeling dan juga selam skuba.

“Begitupun, kalau kerajaan negeri Terengganu mahu memajukan juga kawasan itu, saya minta jangan ketepikan kebajikan rakyat,” katanya.

Ujarnya lagi, berdasarkan pengalaman yang pernah berlaku di pulau-pulau peranginan lain, beliau sebagai wakil rakyat kawasan tersebut risau dengan nasib pendudukdi Pulau Perhentian selepas ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan, sekiranya masih mahu dimajukan juga, projek itu dicadang diberi kepada agensi berkaitan kerajaan negeri agar ia boleh disesuaikan dengan kepentingan rakyat kelak.