Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA dan MOHD AZLI ADLAN
PETALING JAYA – Biarpun sudah berusia lebih berabad lamanya iaitu sejak 1880-an, penyakit tibi masih ada hingga ke hari ini, malah sukar dihapuskan dengan kedatangan warga asing yang membawa bakteria ‘Mycobacterium tuberculosis’.
Penyakit itu disebarkan melalui udara yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang terdedah kepada bakteria tersebut.
Mereka yang dijangkiti tibi yang juga dikenali batu kering bukan sahaja perlu menelan sekampit ubat, malah terpaksa menggadaikan kerjaya demi membolehkan diri mendapatkan rawatan sepenuhnya.
Di Melaka, berkongsi pengalaman, seorang bekas pesakit tibi dikenali Ijah 29, berkata, dia disahkan menghidap tibi kelenjar limfa pada 2021 ketika di awal kehamilan anak pertama.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia bekerja dalam bidang perkapalan dan terdedah dengan persekitaran berisiko termasuk interaksi dengan pekerja asing.
“Saya mengalami simptom awal demam, badan menjadi sejuk, tetapi berpeluh-peluh dan selepas tiga hari tiba-tiba ada dua ketulan kelenjar timbul pada leher di sebelah kiri.
“Saya dapat rasakan ketulan itu adalah tidak normal dan terus ke klinik kesihatan untuk membuat pemeriksaan sebelum diberitahu ia adalah tibi kelenjar.
“Difahamkan ada beberapa kemungkinan punca tibi ini antaranya adalah interaksi sosial terutamanya dengan pekerja warga asing,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, dia yang ketika itu sedang hamil tiga minggu terus diselubungi kebimbangan memikirkan risiko kepada bayinya dan kesan pengambilan ubat-ubatan dalam tempoh lama.
“Awalnya saya rasa berat hati nak makan ubat sebab 16 jenis ubat perlu ditelan, tetapi atas nasihat doktor, saya teruskan rawatan.
“Doktor turut memberikan jaminan ubat yang diberikan tidak akan memberi kesan kepada kandungan,” katanya.
Tambahnya, disebabkan terlalu kerap mengambil cuti untuk ke hospital, dia akhirnya berhenti bekerja dan memberikan fokus kepada rawatan diri.
“Saya harap sangat kerajaan dan pihak swasta memainkan peranan memastikan warga asing yang dibawa masuk telah melakukan saringan pemeriksaan kesihatan secara sah,” katanya.
Di Kota Bharu, seorang pekerja syarikat swasta hilang pekerjaan dengan gaji lumayan di sebuah kilang di Singapura kira-kira lima tahun lalu selepas menghidap tibi.
Haikal Ramli, 30, berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Singapura selama dua tahun dengan purata pendapatan sebanyak AS$2,000 atau lebih RM6,000 sebulan.
Menurutnya, dia ketika itu bermastautin di Taman Universiti, Johor Bahru tidak kisah meskipun perlu berulang-alik menyeberang Tambak Johor Johor hampir setiap hari.
Katanya, kehidupan hariannya mula berubah apabila dia mengalami batuk tidak henti selama sebulan sehingga sering tidak hadir ke tempat kerja dua kali seminggu.
“Saya membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik swasta di Johor Bahru dan doktor mengesahkan saya ada penyakit batuk kering atau mild tibi.
“Syarikat kemudian mengeluarkan surat pemberhentian kerja kepada saya dalam tempoh seminggu,” katanya.
Tambahnya, dia terkejut dengan keputusan syarikat apabila dia langsung tidak menerima sebarang pampasan atau wang ihsan selepas diberhentikan kerja.
Setelah itu katanya, dia bekerja di beberapa syarikat di Johor Bahru sebelum pulang ke kampung halaman di Jelawat, Bachok, dua tahun lalu.
Katanya, setakat ini, keadaan kesihatannya terkawal dan hanya mengalami sesak nafas terutama selepas dijangkiti Covid-19 kira-kira dua tahun lalu.
Berdasarkan statistik, kematian akibat penyakit itu meningkat kepada 2,572 kes pada 2022 berbanding 2,288 kematian pada tahun sebelumnya.
Jumlah kes penyakit tibi dalam negara pada tempoh sama juga meningkat sebanyak 3,664 kes kepada 29,055 kes berbanding 25,391 kes pada 2021.