Translate

Monday, March 30, 2009

Tiga mati ditembak banyak kes jenayah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Polis Perak percaya tiga lelaki berusia 27 hingga 35 tahun yang mati ditembak di Bukit Merah kelmarin terlibat dalam kes rompakan sebuah kedai emas di sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 18 Mac lalu.

Ketua Polis Perak , Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ketiga-ketiga lelaki itu berasal dari Johor, Melaka dan Kedah dan mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 15 kes samun bersenjata api.

"Ia termasuk kes rompakan kedai emas di sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya, Pulau Pinang yang turut mengorbankan pengurus pasar raya itu minggu lalu.

"Selain itu, kumpulan yang dikehendaki ini juga dipercayai terlibat dalam 14 kes samun bersenjata api lain di sekitar Perak , Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam kejadian pukul 3 petang kelmarin, polis menembak mati tiga lelaki manakala tiga anggota kumpulan sama yang lain turut di tahan di Bukit Merah .

Zulkifli berkata, turut dirampas dalam operasi itu ialah tiga pucuk pistol, dua kereta Toyota Camry, wang tunai berjumlah RM159,000, 154 butir peluru, nombor pendaftaran kereta palsu dan topeng muka.

Mengulas kejadian tersebut, beliau memberitahu, dua kereta peronda polis mengesan sebuah kereta yang mencurigakan di Plaza Tol Bukit Merah pada kira-kira pukul 1.40 petang berdasarkan maklumat awam.

"Bagaimanapun ketika pihak polis mahu menahan kereta berkenaan, kenderaan itu sengaja merempuh kedua-kedua kereta peronda polis hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera di kaki dan tangan.

"Bagi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan tembakan ke arah kereta terbabit. Akibat tembakan itu kenderaan yang dinaiki suspek terbabas dan merempuh tiang elektrik berhampiran," katanya.

Zulkifli berkata, sejurus kemudian tiga lelaki yang berada di dalam kereta Toyota Camry itu ditahan walaupun pada mulanya cuba melarikan diri.

Susulan daripada penangkapan itu, beliau berkata, anggota polis berjaya menjejak tiga lagi anggota kumpulan penjenayah itu yang sedang menaiki kereta lain di Bukit Merah Lake Town Resort (BMLR).

"Namun mereka enggan bekerjasama, sebaliknya melepaskan beberapa tembakan ke arah anggota polis. Tembakan balas daripada polis kemudiannya menyebabkan tiga suspek yang berada di dalam kereta itu mati," katanya.

Monday, March 23, 2009

Sikap Orang Utan seperti manusia

DR. D. SABAPATHY menjelaskan masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan haiwan berkenaan lebih-lebih lagi untuk melepaskannya ke habitat asal.

"Kajian mendapati peluang Orang Utan yang dipelihara di sini hidup berdikari apabila dilepas bebas di dalam hutan cuma sekitar 30 hingga 50 peratus sahaja," katanya.

Justeru, bagi memastikan Orang Utan tersebut benar-benar bersedia dilepaskan ke habitat asalnya, pihaknya kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap berdikari haiwan primat itu kepada sekurang-kurangnya 70 peratus.

"Kita perlu sedar kebanyakan Orang Utan yang dipelihara di sini diambil ketika masih kecil dan tidak pernah mencari makanan di habitat asalnya.

"Jadi, kita tidak berharap haiwan ini boleh mencapai 100 peratus tahap mampu berdikari. Mungkin 70 peratus sudah mencukupi," katanya.

Sabapathy berkata, beliau secara peribadi percaya sasaran untuk meningkatkan daya berdikari Orang Utan kepada sekurang-kurangnya 70 peratus berdasarkan modul latihan insentif yang disusun sebelum ini boleh dicapai.

Bagaimanapun, katanya, beberapa cabaran besar terpaksa dihadapi pihaknya dalam merealisasikan hasrat berkenaan termasuk sikap dan perilaku sesetengah Orang Utan yang agak degil dan malas.

"Sikapnya seperti manusia iaitu ada yang rajin, ada yang malas, manja dan terlalu bergantung. Itu cabaran yang perlu kami hadapi," katanya.

Pulau Orang Utan yang sebelumnya dikenali sebagai Pulau Panjang ini merupakan tarikan utama ke Bukit Merah Laketown Resort (BMLR).

Meliputi kawasan seluas 9.2 hektar, pulau itu telah pun memiliki 23 ekor Orang Utan termasuk 10 ekor yang dilahirkan di situ.

Bagi memudahkan pengunjung, BMLR menyediakan pakej lawatan ke pulau tersebut. Dengan kekerapan kunjungan setiap setengah jam pada hujung minggu, pengunjung akan dibawa menaiki bot selama 10 minit ke pulau tersebut.

Saturday, March 21, 2009

Jurukimpal maut ditetak tiga lelaki

MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Seorang jurukimpal maut ditetak di luar rumah mentuanya di Taman Damai , Simpang ketika seluruh ahli keluarganya sedang leka menonton televisyen malam kelmarin.

Mangsa, K. Yogaraj (gambar), 30, dijumpai dalam keadaan terlentang dengan beberapa kesan tetakan pada anggota badan oleh bapa mentuanya, R. Ramakaliselvam, 54, setelah terdengar suara orang mengerang kesakitan di luar rumah.

"Ketika kejadian pukul 11.15 malam itu, saya sedang bersiap-siap untuk pergi kerja manakala ahli keluarga lain asyik menonton televisyen di ruang tamu.

"Tiba-tiba saya terdengar suara menantu saya yang sedang berehat di luar rumah mengerang kesakitan dan sebaik keluar, kami nampak tiga orang lelaki melarikan diri meninggalkannya dalam keadaan parah," kata Ramakaliselvam ketika ditemui di rumahnya semalam.

Katanya lagi, mangsa masih bernyawa ketika itu tetapi keadaannya terlalu lemah akibat kecederaan parah di kepala, kedua-dua belah kaki dan dua jari sebelah tangan kanannya juga putus.

"Kami sempat menghantarnya ke Hospital Taiping malangnya dia meninggal ketika sedang dirawat pada pukul 3.30 pagi.

"Penyerangnya mungkin menggunakan senjata tajam seperti parang berdasarkan kecederaan yang dialami menantu saya," katanya.

Ramakaliselvam bagaimanapun gagal mengecam wajah penyerang mangsa yang melarikan diri melalui pintu pagar belakang rumahnya dengan kereta Perodua Kelisa berwarna perak yang sedia menunggu di luar.

Sementara itu, isteri Yogaraj, R. Kogilawani, 27, berkata, beliau bingung dengan kejadian yang menimpa suaminya kerana sepanjang pengetahuannya, suaminya seorang yang mudah mesra dan tidak mempunyai musuh.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sunday, March 15, 2009

Emelda kini tunangan Adlin

BERTUNANG. Selepas empat tahun menganyam cinta, pelakon Emelda Rosmila semalam sah menjadi tunangan Adlin Aman Ramli.

Tambah manis apabila mereka ditunangkan pada hari ulang tahun kelahiran Emelda yang ke-29 di rumah pusaka milik keluarganya yang sudah setahun ditinggalkan di Kampung Melayu, Batu 8, Ulu Kinta, Ipoh.

Selain bertukar hantaran lima belas dulang berbalas tujuh, Emelda yang anggun berbaju kurung moden berwarna putih disarung cincin pertunangan oleh ibu saudara Adlin, Jumaiyah Sidek di atas pelamin indah bertema putih dan hitam.

Pasangan tersebut sepakat untuk melangsungkan pernikahan pada hari ulang tahun kelahiran Adlin ke-37 pada 23 Mei ini dengan mas kahwin RM1,001 dan wang hantaran RM30,000.

Turut hadir pada majlis pertunangan mereka ialah ibu Adlin, pelakon veteran, Ruminah Sidek, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida, produser filem, Raja Azmi Raja Sulaiman dan sanak keluarga terdekat.

MBI arah roboh segera plak PR

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Tidak sampai 24 jam selepas plak peringatan yang dibina parti Pakatan Rakyat ( PR ) di bawah pokok Jemerlang yang menjadi lokasi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 3 Mac lalu dirosakkan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula mengeluarkan arahan agar ia segera dirobohkan.

Menurut notis yang dikeluarkan Pegawai Undang-Undang MBI, Syahrul Azrin Ghazali, plak peringatan terbabit yang berada di rizab jalan di Persiaran Istana di sini itu telah didirikan tanpa kebenaran pihaknya.

Syahrul Azrin berkata, pembinaan plak berkenaan bercanggah dengan Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan sehubungan itu pihak bertanggungjawab dikehendaki untuk meruntuhkan struktur terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Sekiranya arahan ini tidak dipatuhi, struktur plak berkenaan akan diruntuhkan MBI dan segala kos dan belanja memusnahkannya akan ditanggung oleh pihak yang membinanya," katanya dalam notis beramaran yang dikeluarkan lewat petang kelmarin.

Akhbar semalam melaporkan plak peringatan terbabit dipecahkan pihak tertentu tidak sampai lima hari selepas dipacakkan.

Sebahagian besar plak yang dibina daripada batu marmar berwarna hitam itu pecah terutama bahagian tepi dan bertaburan di atas tanah.

Dalam pada itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam reaksi balasnya bukan sahaja enggan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu malah masih mahu meneruskan hasrat untuk membina plak baru yang lebih besar dan cantik bagi menggantikan tugu yang dipecahkan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis itu berkata, plak terbabit akan mengandungi empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan Melayu.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berhampiran mendapati plak itu dimusnahkan oleh seorang individu dengan benda keras dipercayai tukul besi pada kira-kira 1.30 pagi semalam (kelmarin).

"Bagaimanapun, imej individu tersebut kabur kerana agak jauh dengan CCTV dan lokasi itu pula agak gelap. Begitupun kami tetap akan membuat laporan polis mengenai kes itu pada Isnin ini," katanya pada sidang media di Wisma DAP Perak di sini semalam.

Tinjauan Kosmo! Ahad semalam pula mendapati keadaan plak peringatan semakin teruk apabila ia disimbah pula dengan cecair tar.

Friday, March 6, 2009

Sidang DUN pokok: Polis terima 31 laporan

IPOH - Polis Perak mengesahkan menerima 31 laporan mengenai perhimpunan haram yang terjadi berikutan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 'tergempar' di bawah pokok beringin berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada 3 Mac lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, 14 laporan itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan, lima di bawah Akta Hasutan dan 12 kerana mengedarkan risalah yang berunsur hasutan.

"Semuanya sedang disiasat namun pendirian pihak polis jelas, ia merupakan perhimpunan haram dan sesiapa yang menghadirinya bakal dikenakan tindakan undang-undang.

"Pihak polis juga telah mengenal pasti kebanyakan peserta perhimpunan haram itu. Sebagai permulaan pihak polis mengemukakan enam foto suspek yang disyaki terlibat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Sebelum itu, beliau menyaksikan upacara serah tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak daripada pemangku jawatan itu, Asisten Komisioner Zulkifli Hassan dengan Pemangku Senior Asisten Komisioner II, Mohd. Dzuraidi Ibrahim Zulkifli.

Zulkifli meminta individu terbabit memberi keterangan di balai polis berhampiran dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Beliau juga mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Perak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kelmarin untuk memberi keterangan pembabitan mereka dalam perhimpunan haram terbabit.

Sementara itu, semua anggota Dewan Undangan Negeri Perak daripada pakatan pembangkang yang menghadiri 'persidangan tergempar' dewan itu akan dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan.

Wednesday, March 4, 2009

Mesyuarat DUN Perak diadakan di tepi jalan



Oleh AHMAD SYAKIR SAZILI dan MOHD. AZLI ADLAN
berita@kosmo.com.my

IPOH - Politik Perak kini mencetuskan insiden memalukan, mungkin yang pertama seumpamanya di dunia.

Semalam, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diadakan di bawah pokok di tepi jalan. Dalam tempoh sidang kira-kira setengah jam, tiga usul diluluskan.

Wakil-wakil rakyat dan Speaker Dewan bersidang dalam keadaan berdiri tanpa meja dan kerusi dan bercampur dengan orang ramai yang hadir.

Sekali pandang, ia saling tak tumpah bagaikan penjual ubat tepi jalan sedang dikerumuni orang ramai.

Begitulah gambaran sidang tergempar DUN Perak yang diadakan di bawah pokok mempelam dan beringin di sini pagi semalam.

Episod itu bermula apabila Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dan 27 anggota dewan daripada pembangkang mengadakan 'persidangan tergempar DUN' di bawah pokok yang terletak 100 meter di luar bangunan DUN yang berkunci.

Persidangan pada pukul 10.20 pagi itu diadakan setelah kumpulan ADUN berkenaan dihalang oleh polis daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan DUN Perak pagi semalam.

Persidangan itu disifatkan sebagai tidak sah setelah tidak mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Peranan Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri yang digantung oleh Sivakumar petang kelmarin 'diambil alih' setiausaha politik bekas Menteri Besar, Mohd. Misbahul Masduki yang turut berdiri di bawah pokok tersebut.

Persidangan itu ditangguhkan 25 minit kemudian selepas meluluskan tiga usul.

Usul-usul itu menyatakan sokongan kepada ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar serta membubarkan DUN Perak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Selain itu, sidang itu turut meluluskan usul yang dibawa oleh ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham untuk mengesahkan keputusan Speaker melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Sebelum itu berlaku kekecohan di luar perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan apabila kumpulan ADUN pembangkang tersebut cuba memasuki kawasan bangunan itu untuk menghadiri persidangan di dalam dewan.

Ekoran kegagalan kesemua 27 ADUN daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang dikawal ketat Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Sivakumar terpaksa memilih kawasan lapang berhadapan kompleks perniagaan Medan Istana itu sebagai lokasi persidangan.

Pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat DAP Perak sejurus selesai 'sidang DUN' berkenaan, Mohammad Nizar mendakwa, beliau akan menghadap dan memohon Sultan Azlan Shah bagi menyembah keputusan sidang tersebut untuk membubarkan DUN Perak dalam masa terdekat.

Ditanya apakah akan berlaku jika Sultan Azlan tidak memberi perkenan kepada pembubaran DUN Perak, Mohammad Nizar berkata, ia akan memanjangkan lagi krisis perlembagaan yang sedang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, polis sedang mengesan beberapa individu yang memaki hamun anggota keselamatan semasa sekumpulan wakil rakyat pembangkang dihalang daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan.


Majalah Simee Sigaram dilancar

TERBITAN BARU. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Simee, Ipoh melancarkan majalah sekolah yang diberi nama 'Simee Sigaram' baru-baru ini.

Guru Besarnya, R. P. Jayagopallan berkata, kewujudan majalah tersebut merupakan kebanggaan sekolah kerana merupakan julung kali diterbitkan dalam sejarah 58 tahun penubuhan sekolah terbabit.

"Majalah ini hasil kerja keras semua warga sekolah ini yang terdiri 18 guru dan 256 murid. Kita harap usaha ini akan menjadi pemangkin kepada penerbitan buletin sekolah secara berkala selepas ini.

"Selain itu, kami amat berbesar hati kerana majalah sekolah ini dilancarkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran terbabit di Wisma YMCA, Ipoh baru-baru ini.

Tuesday, March 3, 2009

KRT dilancar tingkat kerjasama penduduk

SEPAKAT. Kelab Rukun Tetangga (KRT) Seri Desa Tanah Hitam, Chemor, Ipoh dilancarkan secara rasmi oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perak, Alias Mohamad baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian secara besar-besaran di Dataran Seri Desa Tanah Hitam itu ialah Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Abd. Rahim Md. Ariff dan Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ibrahim Abu Bakar.

Pengerusi KRT Seri Desa Tanah Hitam, Yusof Hassan berkata, kelab berkenaan dianggotai oleh 25 ahli jawatankuasa dan mempunyai sebuah pusat kawalan KRT yang terletak di dataran terbabit.

"Kami juga aktif menjalankan pelbagai program yang melibatkan penduduk dan agensi berkenaan seperti MBI dan polis seperti program gotong-royong mencegah demam denggi pada 15 Februari lalu," katanya.